Rabu, 17 Ogos 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pentadbiran negara mesti landas prinsip Islam, kata NGO

Posted: 17 Aug 2011 08:11 AM PDT


Oleh Syed Mu'az Syed Putra

SHAH ALAM, 17 Ogos — Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari sepakat bahawa pentadbiran negara ini mesti berlandaskan ajaran Islam selain diangkat martabat agama itu agar tidak dipertikai oleh pihak tertentu.

Pemimpin-pemimpin NGO Islam juga berkata masa depan Islam akan tergadai sekiranya kepimpinan negara yang beragama Islam tidak berusaha mempertahankan, memartabatkan dan mendaulatkannya sebagai agama negara.

"Kalau kita lihat masa depan agama Islam sekarang terletak di bawah jagaan orang politik dan ia sangat bahaya ... tindakan orang Islam yang tidak mempertahankan agama sendiri adalah bacul.

"Jika ini adalah sikap yang ditunjukkan oleh orang Islam dalam zaman orang lain sedang menghakis kedaulatan Islam mereka adalah bacul dan tidak rugi jika kita mengambil sedikit langkah mengangkat kembali martabat Islam selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Ahli Lembaga Penyimpan Amanah Dewan Amal Islami (Damai), Mahamad Naser Disa pada seminar Mendaulatkan Islam-Agama Negara di Masjid Negeri di sini.

Tegas beliau, kedudukan agama Islam semakin terhakis berikutan cubaan pihak tertentu termasuk daripada kumpulan Kristian yang cuba menyebarkan agama masing-masing kepada umat Islam.

"Kalau betul ada usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam mengapa kita harus diam, kita perlu bangun menyatakan pendirian kita.

"Tapi bila kita bersuara, dikatakan kita rasis, ini bukan soal rasis atau tidak tapi mana-mana agama tidak boleh disebarkan kepada umat Islam seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Jelas Mahamad Naser, beliau kesal dengan sikap pemerintah yang tidak melaksanakan pentadbiran negara mengikut ajaran Islam.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan sudah jelas, agama Islam adalah agama negara dan mana-mana agama lain boleh diamalkan tapi tidak boleh disebarkan.

"Itu masalah yang kita hadapi selama lebih 50 tahun ini, mengapa? Ini kerana di Malaysia Islam terletak di bawah kuasa politik ... Islam duduk di bawah penguatkuasaan politik," katanya.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, undang-undang negara juga perlu berlandaskan kepada ajaran Islam.

"Semua perkara yang kita lakukan perlu berlandaskan ajaran Islam, berlandaskan al-Quran ... ini yang perlu ditekankan selain Perlembagaan Persekutuan juga.

"Walaupun kita lihat undang-undang itu ada tapi pelaksanaannya itu tiada, sepatutnya semua yang kita lakukan perlu berlandaskan ajaran Islam," katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Dr Yusri Mohamad berkata pemerintah perlu mengangkat martabat dan kedudukan agama Islam.

"Ia bukan sahaja diangkat tetapi pemerintah harus mempertahankan, mendaulautkan dan memperkasakan agama Islam seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Selain itu, pemerintahan negara juga perlu berlandaskan kepada ajaran Islam dan dengan itu baru tiada pihak yang mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama negara," katanya.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, kedudukan agama Islam semakin terancam kerana sikap pemimpin Islam yang tidak berusaha mempertahankan agama itu.

"Sikap pemimpin Islam yang bermasalah, mereka tidak pertahankan Islam ... apa yang mereka pentingkan adalah undi itu sahaja.

"Selain itu, kalau kita lihat fahaman liberalisme yang semakin menular dalam masyarakat juga menjadi punca mengapa Islam semakin terancam sedangkan ia adalah agama negara," katanya.

Jawatankuasa yang tiada kuasa Oleh Adil Mat Selamat

Posted: 17 Aug 2011 07:00 AM PDT



17 OGOS – Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa pemilih Parlimen untuk meneliti status sistem pilihan raya ekoran kritikan dan dakwaan wujudnya banyak kepincangan dan kecacatan.

Kita sebagai masyarakat awam sudah tentu akan menyambut baik apa sahaja usaha melaksanakan penambahbaikan yang berkaitan dengan fungsi dan peranan institusi-institusi awam di negara ini, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.

Sekilas pandang, kita boleh sahaja menganggap bahawa pentadbiran Najib mula memperakui dan tunduk kepada desakan Bersih 2.0 yang mahu kepada pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Di pihak kerajaan, sudah tentu perkembangan ini diharap akan dapat 'mencuci bersih' imej Najib yang telah tercalar di seantero dunia gara-gara silap percaturan ketika berdepan dengan rakyat ketika tuntutan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Dunia telah melihat bagaimana kerajaan berjanji, mungkir janji dan memutarbelitkan janji; dunia menyaksikan bagaimana polis bertindak agresif dan ganas terhadap orang ramai yang berhimpun secara aman. Dan kini kerajaan Barisan Nasional seperti menjilat kembali ludah sendiri.

Mengapa perlu ada jawatankuasa pemilih?

Namun, setelah kita renung dalam-dalam akan cadangan panel Parlimen ini, timbul beberapa kemungkinan dan kesan yang akan berlaku dan seharusnya dilakukan.

Pertama, bukankah lapan tuntutan Bersih 2.0, jika dilaksanakan oleh SPR dengan perakuan kerajaan, sudah pasti tidak perlu diwujudkan jawatankuasa pemilih Parlimen ini? Bukankah dengan mewujudkan jawatankuasa itu ia akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung satu lagi beban kos?

Kedua, bukankah tuntutan Bersih 2.0 itu sudah amat jelas, ia ditujukan kepada SPR, bukan meminta penubuhan jawatankuasa yang lain? Mengapa tidak distrukturkan kembali, baik dari segi prosedur, proses, akta atau letakkan sahaja SPR di bawah tanggungjawab Parlimen?

Jika langkah ini diambil, selain dari perubahan proses dan perlaksanaan pilihan raya yang akan menjadi lebih bersih dan adil, SPR juga akan dilihat lebih telus kerana mereka akan menjawab terus kepada Parlimen, duit rakyat juga yang selamat.

Ketiga, dan yang paling penting, timbul persoalan di kalangan kita sebagai rakyat, oleh kerana ada keganjilan dan keanehan ini, benarkah jawatankuasa Parlimen itu mampu membawa perubahan yang diharapkan?

Jika kita perhatikan betul-betul, penubuhan jawatankuasa seperti ini seakan sudah menjadi 'trend', dan bukan sebagai jalan mencari penyelesaian.

Ke mana perginya hasil siasatan jawatankausa dan suruhanjaya?

Kita belum lupa pada penubuhan beberapa jawatankuasa seumpamanya seperti yang diwujudkan untuk kes kematian Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini Mohamed, adik Aminurashid; malah Suruhanjaya Diraja kes pita V.K Linggam suatu ketika dulu yang jelas siapa melakukan kesalahan, telah 'dimatikan' begitu sahaja oleh peguam negara.

Kesemua hasil siasatan jawatankuasa dan suruhanjaya ini (dengan entah berapa kosnya) tidak ke mana-mana. Malah kemampuan, kredibiliti dan keberkesanan dari hasil jawatankuasa-jawatankuasa ini terus dipersoalkan.

Jadi apa guna tubuhkan jawatankuasa atau suruhanjaya jika matlamatnya – keadilan – tidak tercapai?

Jika kita pertikaikan perkara ini, maka kerajaan akan menuduh kita macam-macam – tidak mahu menerima hasil siasatan, enggan terima keputusan, dan sebagainya. Maksudnya, walau pun pelaksanaan dan keputusan jawatankuasa dan suruhanjaya gagal menghasilkan kebenaran atau keadilan, kerajaan tetap mahu memaksa kita sebagai rakyat menerimanya.

Itulah yang terjadi dan bakal terjadi khususnya pada penubuhan jawatankuasa pemilih Parlimen yang baru ini.

Hakikatnya, penubuhan segala macam jawatankuasa sebegini hanya untuk menggambarkan bahawa kerajaan 'pro-aktif' atau 'responsif' terhadap kes-kes yang menjadi isu.

Pada hal, isu tersebut tidak akan ke mana-mana pun. Kemudian, kerajaan akan mendakwa mereka telah melaksanakan transformasi. Mudah sekali sifirnya!

Jawatankuasa pemilih hanya samaran BN

Adakah kerajaan boleh memberi jaminan bahawa penubuhan satu lagi jawatankuasa pemilih untuk penambahbaikan proses pilihan raya ini tidak akan mengikut jejak langkah dan hasil jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dibentuk dahulu?

Jika tidak ada jaminan bahawa SPR itu telus, tubuhlah seberapa banyak jawatankuasa dengan sebanyak mana kos sekalipun, hasilnya tetap akan sama.

Hakikatnya, lapan tuntutan Bersih 2.0 itu harus dilaksanakan oleh SPR tanpa kompromi dengan mana-mana pihak. Bersih 2.0 bukan milik Pakatan Rakyat, bukan milik BN, ia adalah milik rakyat Malaysia yang prihatin.

Namun kita juga sedar, jika mengharap SPR dan kerajaan untuk berubah, ibarat menanti bulan jatuh ke riba.

Dengan bertambahnya penubuhan jawatankuasa, rakyat akan tambah dikelirukan lagi tentang peranan dan fungsi institusi awam dalam melaksanakan amanah mereka kepada rakyat.

Hasil kerja jawatankuasa ini kelak, sudah tentu akan dilaksanakan oleh pihak SPR juga yang masih belum telus. Maka, usaha ini hanyalah ibarat menukar sebatang tiang rumah sedangkan keseluruhan rumah itu sendiri sudah reput di makan anai-anai.

Jika kerajaan serius dan jujur, laksanakan sahaja lapan tuntutan Bersih 2.0. Dengan itu, PRU ke-13 ini dapat dilaksanakan secara bebas, adil dan bersih.

Apa yang nampak jelas, Najib sekadar mahu menyedapkan hati rakyat dan mencuri masa untuk UMNO dan BN membuat persiapan pilihan raya.

Jawatankuasa itu kelak, sama ada siap dengan keputusan sebelum atau selepas PRU ke-13, tidak akan punya apa-apa kuasa, jawatan tiada kuasa; sama seperti jawatankuasa dan suruhanjaya yang telah diwujudkan sebelum ini. – Roketkini.com

Tugu: Mengapa JK Fatwa Melaka membisu

Posted: 17 Aug 2011 06:30 AM PDT


Ahmad Danial

MELAKA, 17 Ogos: Tugu 1Malaysia yang dibina di Pantai Klebang dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak lama dahulu dibimbangi mempunyai unsur pemujaan selain ianya jelas suatu pembaziran.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Melaka, Ustaz Mohd Nor Omar berkata jika Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tugu seumpama itu mempunyai unsur pemujaan mengapa Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka membiarkan sahaja ianya dibina tanpa membuat teguran kepada kerajaan negeri.

"Kita bimbang tugu tersebut mempunyai persamaan dengan pemujaan terhadap berhala seperti yang berlaku pada zaman jahiliyyah," katanya.

PAS, ujarnya mahu kerajaan negeri Melaka nyatakan pendirian berhubung isu itu jangan mendiamkan diri sahaja kerana akidah umat Islam mesti dijaga"

"Selain itu ia jelas suatu pembaziran yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat dengan kos pembinaan mencecah RM352,000 sedangkan kosnya tidak sampai RM100,000," tambahnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang pada bulan April lalu berpendapat tindakan kerajaan membina tugu "1Malaysia" adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala).

Menurut fatwa itu, tegahan itu dibuat berdasarkan ayat 90 dalam surah al-Maidah yang menyebut bahawa arak, judi dan menyembah berhala adalah amalan syaitan dan mestilah ditegah.

Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara'i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, sebagaimana larangan Nabi Muhammad terhadap tindakan sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul.

Cyber troopers UMNO (atau lebih dikenali sebagai pecacai UMNO)

Posted: 17 Aug 2011 06:00 AM PDT


Komentar Roketkini

17 OGOS – Mereka bangga dengan gelaran cyber troopers yang bunyinya senada dengan storm troopers dari siri filem Star Wars (atau sebenarnya lebih tepat dengan asal nama Stoßtruppen era Jerman Nazi).

Jika watak storm troopers fiskyen sains menjadi alat kepada Galactic Empire yang kejam lagi zalim, seperti mana storm troopers Nazi menjadi anjing-anjing buruan untuk Adolf Hitler, maka cyber troopers yang merelakan diri menjadi perkakas kepada UMNO juga sama kerja dan tugas upahan mereka.

Dalam bahasa seharian Melayu, cyber troopers ini hanyalah pecacai UMNO. Tugas mereka hanya menyerang dan mencipta fitnah untuk memburukkan Pakatan Rakyat atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan keadilan, kebebasan, demokrasi, hak asasi, peluang saksama, dan Islam yang progresif dan inklusif.

Yang penting sekali – berbeza dengan bloggers dan pelayar internet yang menyokong Pakatan – pecacai UMNO ini didakwa mendapat imbuhan untuk melakukan kerja-kerja keji yang hanya berniat memesongkan pemikiran rakyat serta mengapi-apikan perkauman.

Mangsa-mangsa fitnah pecacai UMNO

Ramai pemimpin Pakatan dan aktivis sosial, malah ulama yang berjuang untuk Islam yang adil dan saksama, telah menjadi mangsa fitnah mereka. Fitnah-fitnah pecacai UMNO ini banyak berputar tentang kaum dan agama, Islam dan Melayu, Islam-Melayu dan agama-agama lain.

Bagi pecacai UMNO yang telah lama terdidik oleh tafsiran agama mengikut UMNO, Islam bagi mereka adalah untuk orang Melayu sahaja. Islam telah mereka sempitkan sehingga orang Islam, jika tertelan fitnah mereka, akan sesak nafas dengan kejumudan tafsiran agama mereka.

Mungkin kerana kebanyakan mereka lahir selepas era 1970-an, mereka lupa keterbukaan para pemimpin ulung UMNO tahun-tahun 1940-an – 1960-an yang amat terbuka dalam hubungan baik dengan semua warga Malaysia (dan Malaya) yang berbeza agama dan kaum.

Antara yang hebat menjadi mangsa kecaman dan kutukan mereka – biasanya tanpa hujah dan bukti bernas kecuali caci-cerca dan maki-hamun – adalah pemimpin Pakatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Khalid Samad.

Khalid yang cukup pendidikan dalam perjuangan Islam sering ditohmah sebagai "Khalid Gereja" semata-mata kerana sikap terbukanya bertemu, berbincang dan berdialog dengan para pemimpin dan orang-orang Kristian dan agama-agama lain.

Khalid yang juga Ahli Parlimen PAS Shah Alam dalam blognya Isnin lalu (http://www.khalidsamad.com/2011/08/sekilas-ikan-di-air.html#more) dengan panjang lebar telah melakarkan sifat-sifat dan ciri-ciri cyber troopers UMNO.

Siapa dan apa itu pecacai UMNO

Dalam tulisannya, beliau mencatatkan:

"Sebenarnya jika hendak kenal pencacai UMNO di Blog, Facebook dan Twitter saya mudah sangat. Di sini saya tunjukkan beberapa contoh untuk tatapan semua.

"Saya kata "Islam itu adil untuk semua" maka mereka menjawab "Bertaubatlah Khalid, kamu ni penyokong Gereja".

"Saya kata "Islam hormat rumah ibadat agama lain dan ditegah mencerobohinya" mereka menjawab "Khalid Gereja ni kalau jumpa nak bagi penendang".

"Saya kata "Kita ingin semua merasa selamat dan terbela bila hidup di bawah pemerintahan Islam" mereka jawab "Kamu dah murtad sekali ya Khalid?"

"Saya kata "Kaedah lain boleh digunakan untuk mendapatkan bukti, kaedah yang tidak menimbulkan fitnah terhadap Islam itu sendiri" mereka jawab "Khalid sokong ummat Islam dimurtadkan".

"Saya kata "Di harapkan JAIS mendakwa mereka yang dituduh dimahkamah secara segera supaya tidak timbul fitnah dalam masyarakat" mereka jawab "Di antara JAIS dan Gereja, Khalid percaya Gereja!"

"Saya difahamkan pencacai UMNO ini mendapat elaun setiap kali komen mereka disiarkan, WalLahu 'Alam. Mereka gunakannya sebagai bukti untuk membuat tuntutan atas kerja yang mereka lakukan. Saya sebenarnya tidak keberatan untuk menyiarkannya supaya semua pengunjung boleh melihat kerenah dan perwatakan mereka secara jelas.

"Mereka bukan inginkan kebenaran dan tidak mengendahkannya. Mereka tidak juga ambil berat sekiranya imej Islam tercemar dengan tindakan mereka. Mereka hanya inginkan imbuhan dari tulisan mereka. Mereka tidak mengemukakan hujjah melainkan cacian demi cacaian.

"Namun saya akui, bukan semua yang tidak bersetuju dengan saya adalah pencacai UMNO. Terdapat juga sebahagian dari mereka ini yang tidak setuju di atas sebab tertentu dengan mengemukakan hujjah mereka secara ilmiah seperti persoalan 'maslahah yang lebih besar' menjadikan sesuatu yang haram diharuskan.

"Walaubagaimanapun, ianya perlu berdasarkan pernilaian pihak yang bertindak serta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan hanya apabila tiada pilihan lain ataupun dalam keadaan darurat seperti semasa peperangan.

"Saya sudah menyatakan sebelum ini bahawa pilihan atau kaedah lain sememangya wujud kerana sekiranya ingin memurtadkan seseorang, ianya merupakan satu proses yang memakan masa dan bukannya sekelip mata. Maka boleh ditunggu dan disoal siasat selepasnya di luar kawasan Gereja.

"Bukti juga boleh diperolehi dari mereka yang disoal siasat. Perlu juga diingatkan bahawa seperti mana maslahah boleh mengharuskan sesuatu tindakan; fitnah dan mafsadah yang lebih besar boleh mengharamkan sesuatu tindakan."

Muntahan pecacai UMNO gagal pengaruhi orang Melayu

Kerja keji pecacai UMNO ini pula sebenarnya tidak banyak membantu parti yang mereka sokong, sebaliknya menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu yang cuba mereka pengaruhi.

Blogger Sakmongkol AK47 – nama pena untuk Datuk Mohd.Ariff Sabri Abdul Aziz, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO bagi Pulau Manis, Pahang – mempersoalkan kerja-kerja pecacai alam maya tersebut.

Dalam catatan blognya (http://sakmongkol.blogspot.com/2011/08/morning-session-with-oracle-of-syed_15.html), beliau menulis (dalam Bahasa Inggeris):

"Beritahu saya secara jujur – adakah anda fikir UMNO akan menang perang di alam maya? Lihat saja artikel-artikel yang dimuntahkan oleh cyber troopers UMNO. Sesetengah mereka masih terikat dengan idea bahawa Perdana Menteri Malaysia masih lagi Dr Mahathir, jadi artikel-artikel mereka ditulis untuk disesuaikan dengan pendirian yang diambil oleh Dr Mahathir…

"…Majoriti (cyber troopers UMNO) sentiasa memuntahkan artikel-artikel menghasut kebencian, lengkap dengan mencarut dan mengguris perasaan. Bolehkah ini menarik rakyat atas pagar, bakal-bakal pengundi yang berfikiran bebas dan terbuka?"

Jelas pecacai UMNO hanya sekadar mampu memaki hamun dan mencarut. Mungkin bagi mereka mencarut itu adalah hujah.

Jika diperhatikan kebanyakan isu yang mereka timbulkan adalah remeh dan "sensitif" serta berbentuk fitnah – yang ada ditiadakan, yang tiada diadakan, yang kecil dibesarkan, yang bukan isu diputarbelitkan menjadi isu – dengan niat membangkitkan kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap agama dan kaum lain.

Jarang sekali mereka membangkitkan isu-isu besar yang menjadi masalah rakyat seperti kenaikan harga barang, rasuah yang berleluasa, salah guna kuasa, reformasi pilihan raya, reformasi pendidikan, tender terbuka, kesyumulan Islam sebagai agama yang dihormati semua dan sebagainya.

Seperti kata pemimpin PAS Idris Ahmad, zaman untuk UMNO-BN menipu rakyat seperti pengembala yang memakaikan cermin mata hijau kepada lembu-lembunya memakan rumput kering sudah berlalu.

Memang ada segelintir bloggers pro-Pakatan yang tidak kurang hebat maki-hamun mereka; namun jika dilayari blog dan laman web mereka, malah hujah-hujah mereka dalam ruang komentar, ramai antaranya yang menyediakan bukti-bukti sahih untuk mempertahankan kritikan mereka.

Jika sekadar pandai mencarut, bijak berselindung di bawah ketiak pemerintah, hebat menegakkan benang yang basah dan gah mempertahankan yang batil, memang tidak ke mana serangan pecacai UMNO.

Yang diserang mungkin sakit di hati, yang dikutuk akan terguris perasaan; namun rakyat yang semakin bijak dan tidak mudah dibakar perasaan akan membuat pilihan yang terbaik untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam pilihan raya umum akan datang. – Roketkini.com

Najib mesti umum terma penyelesaian Tajuddin

Posted: 17 Aug 2011 05:30 AM PDT


Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mestilah mengumumkan kepada rakyat terma-terma penyelesaian antara bekas pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat.

"Najib diingatkan supaya jangan menyalahgunakan kuasanya dan mempermain-mainkan amanah rakyat kerana pertikaian antara Tajuddin dan GLC berkaitan melibatkan berbilion ringgit wang rakyat dan sudah lama berlanjutan," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan seluruh rakyat kini ditipu dan dipermain-mainkan jika benar laporan yang menyatakan bahawa hanya Tajuddin dan peguam Umno, Hafarizam Harun sahaja yang tahu terma-terma penyelesaian tersebut.

"Belum habis lagi kita menghadapi bencana di mana MAS berpindah milik dari rakyat kepada individu timbul pula isu terma penyelesaian yang digelapkan sehingga GLC berkaitan pun tidak tahu.

"Lebih buruk lagi, dilaporkan juga bahawa GLC berkenaan dimaklumkan bahawa terma penyelesaian global itu akan didedahkan kepada mereka hanya jika mereka bersetuju melantik Hafarizam sebagai peguam mereka.

"Jika benar, ia seperti ugutan kepada GLC berkenaan yang sekaligus bermakna ugutan kepada rakyuat kerana GLC hakikatnya milik rakyat," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau boleh dituduh terlibat mengugut rakyat melalui terma berbau ugutan kepada GLC berkaitan jika beliau tidak menyatakan kepada rakyat terma-terma penyelesaian antara GLC tersebut dengan Tajuddin.

Beliau juga menuntut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memikul tanggungjawab utama atas apa yang berlaku itu.

"Selain apa yang dilihat sebagai pengambilalihan MAS oleh Air Asia, off-site solution dengan Tajuddin yang dilihat ditaja oleh Najib hakikatnya adalah menifestasi kegagalan program penswastaan Dr Mahathir," tegas Mahfuz.

Beliau menyifatkan kedua-duanya sebagai bencana yang diakibatkan oleh amalan kronisme dan rasuah paling hebat iaitu penswastaan atas dasar "siapa yang kamu kenal".

"Walaupun Dr Mahathir telah bersara selama kira-kira tujuh tahun, tetapi rakyat masih dipaksa menanggung beban kebobrokan pemerintahan 22 tahunnya," kata beliau.

Mahfuz kesal, MAS dari sebuah syarikat penerbangan nasional kepunyaan rakyat, yang dahulunya setaraf Singapore Airline, Cathay Pacific dan Etihad kini menanggung kerugian serta tidak dapat bersaing maju dan lebih menyedihkan, berpindah hak milik daripada rakyat kepada individu.

"Tajuddin yang dilihat umum sebagai pihak yang dikaitkan sebagai bertanggungjawab menyebabkan MAS rugi besar terlepas bebas begitu sahaja," kata beliau.

Pencacai Umno: Sekilas Ikan di Air

Posted: 17 Aug 2011 05:00 AM PDT

PENCACAI UMNO

Sebenarnya jika hendak kenal pencacai UMNO di Blog, Facebook dan Twitter saya mudah sangat. Di sini saya tunjukkan beberapa contoh untuk tatapan semua.

Saya kata "Islam itu adil untuk semua" maka mereka menjawab "Bertaubatlah Khalid, kamu ni penyokong Gereja".

Saya kata "Islam hormat rumah ibadat agama lain dan ditegah mencerobohinya" mereka menjawab "Khalid Gereja ni kalau jumpa nak bagi penendang".

Saya kata "Kita ingin semua merasa selamat dan terbela bila hidup di bawah pemerintahan Islam" mereka jawab "Kamu dah murtad sekali ya Khalid?"

Saya kata "Kaedah lain boleh digunakan untuk mendapatkan bukti, kaedah yang tidak menimbulkan fitnah terhadap Islam itu sendiri" mereka jawab "Khalid sokong ummat Islam dimurtadkan".

Saya kata "Di harapkan JAIS mendakwa mereka yang dituduh dimahkamah secara segera supaya tidak timbul fitnah dalam masyarakat" mereka jawab "Di antara JAIS dan Gereja, Khalid percaya Gereja!"

Saya difahamkan pencacai UMNO ini mendapat elaun setiap kali komen mereka disiarkan, WalLahu 'Alam. Mereka gunakannya sebagai bukti untuk membuat tuntutan atas kerja yang mereka lakukan. Saya sebenarnya tidak keberatan untuk menyiarkannya supaya semua pengunjung boleh melihat kerenah dan perwatakan mereka secara jelas.

Mereka bukan inginkan kebenaran dan tidak mengendahkannya. Mereka tidak juga ambil berat sekiranya imej Islam tercemar dengan tindakan mereka. Mereka hanya inginkan imbuhan dari tulisan mereka. Mereka tidak mengemukakan hujjah melainkan cacian demi cacaian.

Namun saya akui, bukan semua yang tidak bersetuju dengan saya adalah pencacai UMNO. Terdapat juga sebahagian dari mereka ini yang tidak setuju di atas sebab tertentu dengan mengemukakan hujjah mereka secara ilmiah seperti persoalan 'maslahah yang lebih besar' menjadikan sesuatu yang haram diharuskan.

Walaubagaimanapun, ianya perlu berdasarkan pernilaian pihak yang bertindak serta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan hanya apabila tiada pilihan lain ataupun dalam keadaan darurat seperti semasa peperangan. Saya sudah menyatakan sebelum ini bahawa pilihan atau kaedah lain sememangya wujud kerana sekiranya ingin memurtadkan seseorang, ianya merupakan satu proses yang memakan masa dan bukannya sekelip mata. Maka boleh ditunggu dan disoal siasat selepasnya di luar kawasan Gereja. Bukti juga boleh diperolehi dari mereka yang disoal siasat. Perlu juga diingatkan bahawa seperti mana maslahah boleh mengharuskan sesuatu tindakan; fitnah dan mafsadah yang lebih besar boleh mengharamkan sesuatu tindakan.

HADIAH BAGI MB
Sebagai contoh akan akhlak dan perwatakan pemuda UMNO dan golongan pencacai mereka, lihatlah pada tindakan mereka menghadiahkan tandas dan berus tandas kepada MB. Saya tidak tahu kaedah dakwah dan usul Fiqh mana yang mereka ikuti tetapi amat jelas bagi saya ianya tindakan yang hanya dilakukan oleh mereka yang kurang waras.

Satu ketika dulu kita dihidangkan dengan sebuah adegan seorang Menteri Besar menghadiahkan penyapu kepada Pegawai Daerah. Jika seorang ketua menghadiahkan penyapu kepada anak buahnya pun dilihat jelek oleh masyarakat, apatah lagi anak buah menghadiahkan tandas dan berus tandas pada ketua! Begitulah keadaan manusia yang ditarbiyyah oleh UMNO. Akhlaknya jelek dan memalukan.

Begitulah juga jika kita menyorot kembali adegan demonstrasi kepala lembu. Walaupun dinafikan UMNO terlibat, tetapi seperti kata perpatah Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina . Perangai dan akhlak yang jelek yang sama dipamirkan untuk tatapan semua. Bagi puak ini, apa sahaja tindakan boleh sahaja mereka lakukan, tiada halal dan haramnya, tiada buruk dan baiknya. Mereka anggap tiada masalah selagi mereka melaungkan retorik Islamik sedangkan tindakan mereka bercanggah dengan akhlak Islam. Mereka inginkan supaya syariat mengikut kehendak mereka dan bukan mereka mengikut kehendak syariat.

Pendek kata, UMNO masih ditahap pemikiran yang lama. Tiada perubahan. Rakyat Selangor perlu sedar akan hakikat ini dan terus menolak mereka sehingga, mungkin pada satu hari kelak mereka mampu menzahirkan akhlak dan perwatakan yang lebih baik.

MENYOKONG USAHA MEMURTADKAN ORANG ISLAM?
Sikap sambil lewa mereka terhadap persoalan membuat tuduhan yang melulu jelas terserlah apabila ada di kalangan mereka sanggup menuduh saya menyokong usaha memurtadkan orang Islam. Orang yang takut pada seksaan Allah tidak akan mengeluarkan kata-kata seperti itu dengan begitu mudah sekali. Lebih-lebih lagi apabila sejarah membuktikan sebaliknya.

Saya telah sejak dari awal bersama PAS memperjuangkan supaya Islam dimartabatkan sepenuhnya, iaitu aqeedahnya, akhlaknya dan syariatnya. Dalam mendukung perjuangan ini, saya sendiri telah ditahan bawah ISA semasa 'Ops Lalang' 1987 dan di antara sebab saya ditahan ialah penglibatan saya dalam program PAS yang mendedahkan masalah Kristianisasi di kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi penyelesaian yang dibawa PAS bukanlah untuk bertindak secara melulu tetapi untuk menangani kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan masyarakat Islam hasil dari kepimpinan UMNO. Masalah sepertimana yang ditonjolkan oleh beberapa penulis termasuklah Dr. Asri dalam blognya yang termasuk juga kelemahan dalam pendidikan agama, bantuan kebajikan dan lain-lain.

Mungkin ada yang tidak dapat memahami masalah yang dihadapi oleh golongan sebegini. Semasa di Kamunting saya telah ditemukan dengan Jamaluddin dan Helmi yang kedua-dua mereka adalah Melayu Kristian. Mereka menjadi Kristian di Singapura setelah mereka lari dari rumah dalam usia belasan tahun di atas sebab masalah keluarga dan di Singapura mereka mendapat bantuan dari kumpulan Kristian. Akhirnya mereka menganut agama Kristian dan Jamaluddin sendiri menjadi seorang pastor.

Semasa di Kamunting, pihak kem meminta bantuan saya untuk memberikan kaunseling kepada mereka dengan harapan dapat menarik mereka kembali ke pangkuan Islam. Jamaluddin berkeras dan enggan bertemu untuk berbincang dalam apa keadaan sekali pun. Dia menyatakan dia sudah memahami Islam, datuknya seorang alim di Patani dan dia terus menolak apa-apa usaha untuk memulakan perbincangan mengenai agamanya.

Helmi mempunyai sikap yang lebih terbuka tetapi selepas hanya satu sesi meminta supaya tidak diteruskan lagi kerana, katanya, "dalam keadaan diri saya ditahan, saya tidak mampu melayani apa-apa keraguan terhadap keyakinan keagamaan saya". Dengan kata-kata itu, dia menolak untuk meneruskan sesi perbincangan tersebut.

Saya ditegur oleh beberapa tahanan lain yang mengingatkan saya bahawa saya seorang tahanan, itu bukan kerja saya, serahkan sahaja kepada pegawai pemulihan. Namun saya sedar bahawa pegawai pemulihan tidak diberikan latihan di dalam bidang ini sedangkan saya sudah berpengalaman berdebat dengan Evangelis Kristian di UK semasa menuntut di sana. Lagipun, saya tetap seorang pendakwah, tidak kira di mana, walaupun dalam tahanan.

Walaubagaimanapun, apa yang saya agak kesal ialah saya tidak meneruskan hubungan dengan Helmi dan mencarinya selepas dia dibebaskan untuk berdialog dengannya. Dia pernah menghubungi saya sekali selepas dibebaskan dan mencadangkan supaya kami bertemu. Namun pada ketika itu saya terlalu sibuk, tidak seperti semasa dalam tahanan dan saya tidak sempat berjumpa dengannya. Akhirnya saya dengar dia telahpun berhijrah ke Kanada.

TIDAK SERBU HANYA PERIKSA
Baru-baru ini JAIS menyatakan bahawa mereka tidak menyerbu dan menceroboh Gereja DUMC. Mereka hanya melakukan satu pemeriksaan selepas berunding dengan pihak Gereja dan menunggu selama hampir sejam. Kalau kenyataan itu benar, maka baguslah kerana sememangnya Islam menegah kita dari menceroboh masuk ke rumah ibadat agama lain. Dengan penafian ini, maka saya kira, secara tidak langsung JAIS pun bersetuju bahawa tindakan menyerbu dan menceroboh rumah ibadat perlu dielakkan. Kalau tidak ianya akan menjatuhkan imej Islam itu sendiri.

Namun apa yang perlu dilakukan sekarang oleh pihak JAIS ialah untuk mendakwa pihak yang melakukan kesalahan menyebarkan agama lain kepada orang Islam sekiranya ada bukti bahawa ianya benar-benar berlaku. Biar perkara ini diputuskan di mahkamah, bukan di media. Apa yang dipamerkan di muka akhbar entah benar atau sebaliknya. Lebih bersifat sensasi dan bertujuan mengapi-apikan suasana. Kalau ada bukti, maka JAIS perlu terus mendakwa pihak yang melakukannya supaya dia dihukum dan usaha sedemikian dihentikan.

TUNJUK PERASAAN DI MASJID NEGERI
Saya dimaklumkan bahawa telah diadakan tunjuk perasaan di Masjid Negeri. Hairan saya, tiada polis yang datang menghalang, tiada polis, tiada FRU. Perkataan yang dikeluarkan dikatakan jelas bersifat menghasut namun ianya dibenarkan berjalan dengan begitu sahaja. Kata orang, amat mudah jika ingin tahu demonstrasi anjuran UMNO. Tiada polis, tiada FRU.

Negara kita semakin jelas bagaikan mempunyai dua sistem undang-undang. Satu untuk rakyat biasa, satu untuk UMNO/BN. Kalau untuk rakyat biasa, yang dibenarkan dan dijamin perlembagaan sekalipun boleh menjadi satu kesalahan sambil bagi UMNO/BN, yang jelas bercanggah dengan undang-undang sekalipun boleh dilakukan oleh mereka. Begitulah 'hebat'nya menjadi OKU (Orang Kuat UMNO).

Inilah di antara sebab mengapa perubahan perlu dilakukan semasa PRU ke-13 ini. Jika tidak, Negara kita akan semakin dirosakkan oleh kelompok ini. Mungkin ke tahap yang tidak boleh diselamatkan lagi, 'beyond repair'.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Gambar Tok Guru Nik Aziz Menziarahi Kubur Arwah Datuknya Yang Selama Ini Dicari. Al Hamdulillah Jumpa Juga Akhirnya

Posted: 17 Aug 2011 02:00 AM PDT

Dari maklumat yang diterima oleh pihak kami, Tok Guru sebenarnya sudah lama mencari kubur arwah datuknya. Dari maklumat orang ramai akhirnya kubur arwah datuk Tok Guru dijumpai.

Pembaca boleh tengok koleksi gambar yang dipaparkan.


Bekas IGP Musa enggan jadi saksi pembela

Posted: 17 Aug 2011 01:15 AM PDT


Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tidak mahu menjadi saksi pembela dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam-peguam Anwar berkata pada awalnya Musa kelihatan mahu ditemu bual ketika ditemui petang ini.

"Pada awalnya, beliau (Musa) kelihatan mahu ditemu bual, tetapi apabila kami memperoleh merit kes, beliau berkata beliau mahu menggunakan haknya tidak mahu ditemu bual," kata Ramkarpal Singh.

"Beliau enggan menjadi seorang saksi pembelaaan," kata seorang lagi peguam pasukan pembela Sankara Nair.

Nazri: Panel khas Parlimen diketuai menteri, lapan MP anggota

Posted: 17 Aug 2011 01:00 AM PDT


Oleh Melissa Chi


KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang akan meneliti sistem pilihan raya akan diketuai oleh seorang menteri dengan lapan anggota dari sebelah kerajaan dan pembangkang.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu, satu usul mengenai pembentukan jawatankuasa tersebut akan dibentangkan ketika sidang Parlimen Oktober ini.

Gambar: Salinan Report Polis Majlis Bandaraya Petaling Jaya Terhadap Blog Papagomo

Posted: 16 Aug 2011 09:22 PM PDT

Kenyataan Terkini Tok Guru Nik Aziz: Perkauman dan Pertembungan Agama : Benteng Terakhir UMNO

Posted: 16 Aug 2011 07:24 PM PDT

Selagi boleh, saya tidak mahu menyemarakkan pertembungan politik sepanjang bulan Ramadhan. Saya kira waktu yang amat bernilai ini amat sesuai digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran dan menghayati maknanya sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Namun, mengambil kira bahawa nama saya disebut berulang kali oleh media massa milik UMNO hari ini (16 Ogos 2011), saya ringankan tangan saya untuk menulis sedikit jawapan untuk tatapan masyarakat.

Saya mengira, UMNO sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara ini kerana larangan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP. Bagi saya, tidak munasabah UMNO mahu 'mencari balah' dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. UMNO yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang. Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah 'DAP!' Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?

Isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik. Saya ingin bertanya kepada UMNO, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar UMNO sendiri ialah kebangsaan dan sekular. Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan UMNO. Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada UMNO. Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam. Saya kira, ini sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Barangkali pihak ini 'tidak tergamak' untuk menggantikan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Masakan tidak, bila pula pernah UMNO berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Islam itu indah kerana ia diakui sendiri oleh Allah SWT sebagai rahmat. Tetapi sayangnya cara UMNO mempersembahkan Islam pada hari ini, saya lihat ia menggerunkan masyarakat bukan Islam. Apa yang tidak diajar oleh Islam, itulah yang diperbesarkan oleh UMNO. Manakala apa yang benar-benar termaktub ditidakkan. Bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan. Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain. Ini disebut di dalam sebuah hadis :

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ فِي الصَّلَاةِ

Yang bermaksud : ""Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: "Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat". – Riwayat Abu Daud.

Bahkan ini pernah ditegur oleh Ibnu al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis. Katanya :

وقد لبس إبليس على قوم من القراء فهم يقرأون القرآن في منارة المسجد بالليل بالأصوات المجتمعة المرتفعة الجزء والجزأين فيجمعون بين أذى الناس في منعهم من النوم وبين التعرض للرياء. ومنهم من يقرأ في مسجده وقت الأذان لأنه حين اجتماع الناس في المسجد.

Yang bermaksud : "Dan sesungguhnya Iblis telah mengaburi terhadap satu golongan dari pembaca al-Quran di mana mereka membaca al-Quran di mimbar-mimbar masjid pada waktu malam dengan suara beramai-ramai yang kuat samada satu juzuk atau dua juzuk lalu mereka telah mengumpulkan di antara menyakiti manusia dengan menghalang mereka daripada tidur dan mendedahkan diri kepada riya'. Dan ada di antara mereka yang membaca al-Quran di masjidnya pada waktu azan kerana pada waktu itulah manusia berkumpul di masjid…" – halaman 3, kitab Talbis Iblis, cetakan pertama 1405H terbitan Darul Kitab al-Arabi, Beirut.

Tidaklah saya ingin memutlakkan pandangan Ibnu Qayyim ini agar diterima semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada pandangan dari ulama terdahulu yang menegah untuk dibaca al-Quran dengan kuat di masjid kerana dibimbangi mengganggu tidur masyarakat sekitar. Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan. Justeru, ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

Hairannya, judi yang benar-benar dilarang oleh Islam pula nampaknya tidak diendahkan pula oleh UMNO. Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira UMNO dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional?

Saya menyeru kepada UMNO, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat UMNO sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana. UMNO mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang. Jangan dibiarkan lidah berbicara sesuatu yang sudah diketahui pembohongannya kerana dibimbangi ia hanya menggandakan dosa di sisi Allah SWT kerana menodai kesucian Ramadhan. Dan biarlah ia juga boleh menjadi jawapan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

YAB DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 16 Ramadhan 1432H / 16 Ogos 2011M

Adik Najib Antara Mendapat Bayaran Paling Tinggi, RM 12 Juta

Posted: 16 Aug 2011 06:22 PM PDT


Genting Bhd menerajui senarai pembayaran besar sebanyak RM111.48 juta kepada lembaganya, naik 21 peratus daripada RM92.11 juta sebelumnya.

Syarikat itu juga mempunyai ganjaran tertinggi antara RM106.65 juta hingga RM106.70 juta bagi seorang pengarah tunggal, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak menamakan siapa pengarah tersebut.

lim kok thay 02Eksekutif atasan yang tersenarai ialah pengerusi eksekutif merangkap ketua eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay.

Menurut kaji selidik tahunan "Pengarah Yang Dibayar Paling Tinggi" majalah perniagaan itu, syarikat tersenarai membayar ganjaran besar kepada pengarah mereka tahun lalu berbanding 2009 susulan keadaan persekitaran ekonomi yang bertambah baik.

Bagaimanapun, sesetengah syarikat mengurangkan ganjaran kepada lembaga pengarah mereka tahun lalu, termasuk CIMB Group Holdings Bhd.

nazir razakBank kedua terbesar itu membayar RM18.51 juta atau kurang 13 peratus kepada ahli lembaganya dan ganjaran rendah kepada pengarah urusan kumpulan merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Seri Mohd Nazir Razak.

Beliau menerima RM12 juta tahun lalu berbanding RM14.5 juta pada 2009.

IOI Corporation Bhd berada di tempat kedua dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.29 juta, kata Malaysian Business.

Sementara itu, dengan tiga syarikat - YTL Corp, YTL Power International dan YTL Cement - Tan Sri Yeoh Tiong Lay menerima gabungan ganjaran sebanyak RM13.10 juta.

Apa yang menarik, daripada 630 syarikat, 95 syarikat dengan kerugian besar masih memberi ganjaran kepada pengarah mereka dengan pembayaran yang tinggi.

Kaji selidik itu menyenaraikan sejumlah 630 syarikat dengan ganjaran sebanyak RM300,000 ke atas seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunan syarikat.

Daripada jumlah ini, hanya sebilangan kecil syarikat yang telus dalam menyatakan ganjaran sebenar kepada eksekutif-eksekutif utama mereka.

- Bernama

Wacana: Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti?

Posted: 16 Aug 2011 04:27 PM PDT

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash4/301025_266453710031347_100000001601905_1160814_1451632_n.jpg

Sama-sama saksikan. Kalau tak dapat hadir, boleh tengok melalui youtube

semoga mendapat manfaat darinya.

Selamat Menyambut Nuzul Al Quran Buat Semua

Posted: 16 Aug 2011 03:16 PM PDT

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/294013_273478445999748_100000127833512_1299761_296474_n.jpg

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/299141_273478145999778_100000127833512_1299760_7067138_n.jpg

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash4/297355_273476825999910_100000127833512_1299758_1357118_n.jpg

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/292773_273482185999374_100000127833512_1299770_7474044_n.jpg

Himpunan gambar di atas dirakam semasa sambutan tadurus dan khatam Al Quran beramai-ramai di Kota Bharu.

Semoga islam terus subur di Kelantan dan Malaysia secara amnya.

Terima kasih TG Nik Aziz

Tiada ulasan: