Rabu, 17 Ogos 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pasar Raya Perlu Asingkan Segera Mentega DNA Babi

Posted: 17 Aug 2011 12:50 AM PDT

Kuala Lumpur - Semua pengusaha pasar raya dan peruncit diminta mengasingkan segera mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke dalam rak seksyen tidak halal dengan segera.

Ia bagi mengelakkan umat Islam daripada terbeli mentega berkenaan sebagai bahan membuat kek dan biskut sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, pihak berkenaan juga perlu melupuskan logo halal yang tertera pada bungkusan mentega tersebut.

"Kami meminta kerjasama semua pengusaha pasar raya dan peruncit supaya mengasingkan segera mentega mengandungi DNA babi itu daripada rak halal ke dalam rak tidak halal dengan segera,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia disahkan tidak halal kerana mengandungi DNA babi.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam pasar raya Carrefour, Salmieah Mohd. Zin berkata, pihaknya telah menghentikan penjualan mentega tersebut dua minggu lalu selepas pengguna mula meraguinya.

"Kita ada dengar cerita mentega ini ada DNA babi dan disebabkan logo halalnya bukan daripada Jakim, maka penjualannya kita hentikan dua minggu lepas," katanya.

Berita Terdahulu

SAHIH: Mentega Pure Creamery Butter-Golden Churn Mengandungi DNA Babi & Tidak Halal


Pengawal Keselamatan Didakwa Bunuh Dr. Rohani

Posted: 16 Aug 2011 11:15 PM PDT

Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, di sebuah pangsapuri di Ulu Kinta, 3 Ogos lepas.

Syahmie Hassan (gambar tengah), 20, hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Syahmie didakwa membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak Dr Rohani Kasim, 38, di sebuah pangsapuri beralamat Blok F, Tingkat 1, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View di Ulu Kinta antara 6 petang dan 7.30 malam pada 3 Ogos lepas.

Bagi kesalahan itu, pengawal keselamatan terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat mangsa.

Di mahkamah yang sama, seorang bekas tentera didakwa terhadap pertuduhan melupuskan harta curi berupa gelang emas berbentuk sembilan urat rantai yang bernilai RM6,000 milik Dr Rohani.

Nuur Hisyam Shukor, 22, dituduh melakukan kesalahan itu di kedai jam tangan Kam Seng yang beralamat No. 55, Jalan Besar di Tanjung Malim antara 3 dan 6 petang pada 4 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal menetapkan 17 Okt ini sebagai sebutan semula kes.- Bernama

Merdeka Center : Hubungan Pelbagai Kaum Di Malaysia Menurun

Posted: 16 Aug 2011 09:25 PM PDT

Tinjauan Merdeka Center mendapati bilangan rakyat Malaysia yang merasakan hubungan etnik di negara ini adalah baik menunjukkan penurunan peratus sebanyak 12 peratus daripada 78 peratus kepada 68 peratus dalam tempoh 63 bulan.

Pengurus Penyelidikan Merdeka Center, Tan Seng Keat berkata, tinjauan yang sama juga mencatatkan kajian yang bermula pada bulan Februari 2006 hingga Mei 2011 itu mendapati bilangan rakyat Malaysia yang percaya bahawa perpaduan etnik atas dasar 'ikhlas dan mesra' menurun dengan ketara.

"Daripada 54 peratus pada tahun 2006 kepada 35 peratus pada tahun 2011, mencatatkan penurunan sebanyak 19 peratus. Sebaliknya, bilangan orang-orang yang merasakan perpaduan etnik adalah 'cetek' meningkat daripada 29 peratus kepada 44 peratus,"katanya dalam satu kenyataan media.

Tinjauan itu dilakukan oleh Merdeka Center antara 24 Mei dan 8 Jun 2011 untuk menilai persepsi pengundi negara berhubung hubungan etnik di negara ini.

Seramai 1013 pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia terdiri daripada 602 Melayu, 322 Cina dan 89 responden India telah dipilih dan ditemubual melalui telefon dalam kaji selidik yang dibuat.

Kata Tan Seng Keat, responden telah dipilih berdasarkan persampelan rawak merujuk kepada jenis etnik, jantina dan negeri tempat tinggal mereka.

"Persepsi bahawa hubungan etnik telah menjadi bertambah buruk, bilangan warga Malaysia yang ditinjau merasakan bahawa rakyat di negara ini semakin hampir sama-sama menurun dari 64 peratus pada tahun 2006 kepada 36 peratus pada tahun 2011.

"Sementara itu hanya 37 peratus daripada mereka yang ditinjau merasakan bahawa hubungan etnik ini akan bertambah baik pada sepuluh tahun akan datang berbanding dengan 43 peratus pada tahun 2006,"jelasnya.

Menurut beliau lagi, daripada kaji selidik penurunan kepercayaan terhadap hubungan etnik yang baik ini adalah berkemungkinan disebabkan oleh isu yang dimainkan media termasuk perkara-perkara berkaitan politik bangsa, agama dan kesan insiden yang telah berlaku sejak tahun 2008.

Untuk rekod katanya, pelbagai bentuk isu yang berkait rapat dengan agama antaranya termasuk serangan membakar rumah-rumah ibadat, perdebatan umum mengenai isu buku teks sekolah Interlok misalnya dan kenyataan kontroversi oleh tokoh-tokoh awam yang turut dimainkan oleh media.

Malah dalam perkembangan yang sama, kaji selidik itu juga mendapati bahawa tahap kepercayaan yang diletakkan pada ketiga-tiga komuniti utama juga telah menurun.

"Amanah keseluruhan di kalangan responden terhadap ahli-ahli masyarakat India merosot daripada 37 peratus hingga 31 peratus manakala amanah terhadap masyarakat Cina menurun daripada 47 peratus kepada 42 peratus.

"Selain itu juga, amanah terhadap masyarakat Melayu juga menurun sedikit daripada 66 peratus kepada 65 peratus. Satu faktor penting yang dinyatakan dalam pertanyaan ini adalah tahap tinggi kesangsian yang dilaporkan oleh responden ke atas rakyat Malaysia lain daripada latar belakang etnik yang berbeza,"ujar beliau.

Beliau juga memberikan beberapa contoh berkaitan antaranya ialah 60 peratus daripada responden Melayu melaporkan bahawa mereka 'agak tidak dipercayai' atau 'sangat tidak dipercayai' masyarakat Cina.

Sehubungan dengan itu katanya, 42 peratus responden Cina bersama-sama dengan 16 peratus daripada responden Melayu dilaporkan tidak meyakini atau syakwasangka kepada masyarakat Melayu.

Malah tidak mengejutkan, kajian itu juga mendapati bahawa pematuhan kepada 'stereotaip' menghina kaum terus kekal berterusan.

"Kepercayaan dalam stereotaip kaum merosot hanya sedikit sejak kaji selidik yang terakhir pada tahun 2006. Sebagai contoh, kepercayaan dalam stereotaip perkauman seperti 'orang Melayu malas', 'orang Cina tamak' dan 'orang India tidak boleh dipercayai' merosot hanya sebanyak dua , tiga dan dua peratus masing-masing,"jelasnya lagi.

Kata beliau lagi, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa setiap stereotaip ini dipercayai oleh majoriti responden.

Secara keseluruhannya kata Tan, 82 peratus daripada warga Malaysia yang ditinjau dalam kajian ini berkata mereka 'gembira hidup dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia'.

Walau bagaimanapun, berlaku satu penurunan sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2006.

Kaji selidik itu juga mendapati bahawa pandangan awam mengenai kematangan masyarakat Malaysia dalam menangani isu-isu perkauman dan agama juga menurun.

Hanya 38 peratus daripada responden bersetuju bahawa 'masyarakat kita matang untuk membincangkan perkara-perkara kaum dan agama secara terbuka' berbanding dengan 46 peratus pada tahun 2006.

Sementara itu, 55 peratus daripada responden yang ditinjau bersetuju bahawa isu-isu perkauman dan agama adalah terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.




Bukan Islam Lebih Faham Islam Bila Berkawan Dengan PAS - Steven Sim

Posted: 16 Aug 2011 08:00 PM PDT

Tasek Gelugor: Hubungan dengan PAS sejak kemenangan Pilihan raya Umum tahun 2008, banyak mengajar masyarakat bukan Islam, khususnya dalam DAP untuk mengenali dan memahami Islam dengan lebih mendalam.

Demikian dinyatakan oleh Bendahari DAPSY Pulau Pinang, Steven Sim (gambar), ketika menyampaikan ceramah bersama dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz di Markas PAS Padang Menora malam kelmarin.

Menurut beliau lagi, jika sebelum ini pemikiran bukan Islam banyak diracuni oleh MCA dan Gerakan dengan membuat pelbagai dakwaan yang menakutkan, tetapi kini setelah menjadi rakan dengan PAS, bukan Islam telah banyak memahami Islam yang sebenarnya.

"Kerana berkawan dengan PAS jugalah, majlis berbuka puasa turut dianjurkan oleh pemimpin DAP seperti Lydia Kok di Berapit, Bukit Mertajam bagi meraikan sauadara-saudara Islam yang berpuasa.

"Dulu kita tidak diajar untuk memahami unsur-unsur baik dan harmoni ini. Kini, pemimpin di kalangan DAP bukan saja boleh turut sama untuk berbuka puasa bersama-sama seperti mana yang sering dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, tetapi juga berjaya memahami konsep hubungan baik tersebut.

"Hubungan baik ini juga tidak berjaya diresapi oleh pimpinan MCA dan Gerakan, walaupun mereka telah sekian lama berkawan dengan Umno. Oleh kerana itu jugalah, kita melihat kecelaruan sentiasa ada dalam komponen parti tersebut," tegasnya lagi.

Turut hadir sama dalam majlis ceramah tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Pinang Pinang, Yusni Mat Piah. -hd

WANTED: Lelaki Penyimbah Asid Ini Sedang Dicari

Posted: 16 Aug 2011 05:30 PM PDT

Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.

Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.

Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

"Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. "Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek," katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.

"Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999," katanya.Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

"Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. "Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek," katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.

"Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999," katanya. -hm


Pemuda hilang komputer selepas disimbah asid

KAJANG - Seorang pemuda bukan sahaja kehilangan komputer riba malah muka dan belakang badannya turut melecur apabila disimbah sejenis cecair dipercayai asid di Batu 9, Cheras di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 11 malam itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang berusia 25 tahun memandu kereta dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di Taman Midah, Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rasyid Ab. Wahab berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa mendapati tayar keretanya pancit menyebabkan dia berhenti di tepi jalan untuk menukar tayar.

"Sejurus selepas berhenti, sebuah kereta dinaiki dua lelaki berhenti di sebelah kereta mangsa.

"Salah seorang daripada lelaki itu turun dari kereta dan terus menyimbah sejenis cecair ke badan mangsa," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu kemudian cuba melarikan kereta mangsa namun gagal kerana kunci kereta mangsa berada dalam poket seluarnya.

Suspek kemudian merampas sebuah komputer riba mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian.

Mangsa masih dirawat di sebuah hospital dan kecederaan di muka dan belakangnya stabil.

Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur semalam mengedarkan fotofit (gambar lakaran) seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan menggunakan asid di sebuah stesen minyak Shell Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi pada 26 Julai lalu.

Lakaran suspek itu diperoleh selepas polis menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilokasi kejadian.

Polis menyeru orang ramai yang ternampak mana-mana individu menggunakan kereta Proton Wira dengan nombor pendaftaran WLC 1475 supaya tampil memberi maklumat.


Kosmo! pada 27 Julai lalu melaporkan seorang penghantar surat cedera di muka dan badan selepas disimbah asid manakala wang syarikatnya berjumlah RM18,000 dikebas sekumpulan perompak di Batu 2 1/2 Jalan Sungai Besi di sini.

Sebelum kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang mengisi minyak didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira.

Salah seorang suspek kemudian bertindak menyimbah asid ke arah mangsa dan merampas beg berisi wang itu sebelum melarikan diri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops di talian 03-21159999. -kosmo


Bongkar - Pendatang Asing Dipaksa Sokong Dan Undi UMNO/BN

Posted: 16 Aug 2011 03:20 PM PDT

Demi menjaga kelangsungan kuasa Umno-Barisan Nasional (BN), peserta-peserta Program Pemutihan Pendatang Asing (6P) diwajibkan untuk menyokong parti itu pada bila-bila masa.

Perkara itu didedahkan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini dengan menyertakan salinan surat sumpah kepada media selain mendakwa ianya sebahagian daripada syarat tetap yang perlu dipatuhi warganegara asing.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak agar program tersebut dihentikan serta merta dan menggesa kerajaan membuka siasatan di peringkat tertinggi untuk memastikan ianya tidak berhasrat mencabul kedaulatan negara.

"Tindakan ini dengan jelas mensabitkan program pemutihan 6P dengan muslihat untuk menjual kedaulatan negara semata-mata untuk menjamin kelangsungan kuasa Umno-BN yang semakin ditolak rakyat," ujar beliau.

Merujuk kepada salinan surat yang dilampirkan, selain dipaksa berikrar untuk menyokong parti Umno-BN, peserta turut dipaksa menyimpan "RAHSIA" tentang perkara tersebut.


Malah sekiranya ingkar maka setiap individu "akan menerima padahnya".

Zuraida berkata, maklumat tersebut diperolehi melalui salah seorang peserta program 6P yang memberanikan diri untuk bekerjasama dan tampil mengemukakan laporan kepada PKR.

Katanya sehingga kini, pihaknya telah berjaya mengumpul hampir 10 orang peserta program itu dan menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkan muslihat Umno-BN kepada umum beserta bahan bukti melibatkan program pemutihan warga asing.

Justeru beliau meletakkan tanggungjawab ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menghentikan program tersebut serta-merta untuk agar penjelasan dapat diberikan kepada umum.

"Sama ada PM tidak tahu apa yang dibuat oleh orangnya atau dia betul-betul bersekongkol
.

"Saya juga mencabar pemimpin parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan, PBS dan lain-lain untuk menyatakan pendirian mereka samada bersetuju dengan muslihat menyeludup pengundi-pengundi hantu atas alasan pemutihan pendatang asing yang dijalankan secara besar-besaran oleh Umno ini," ujar Zuraida.

PKR sebelum ini telah membuat beberapa siri pendedahan mengenai pemindahan pengundi warga asing di kawasan-kawasan parlimen yang dipegang Pakatan Rakyat.

Ini termasuk surat permohonan meluluskan status kewarganegaraan menggunakan kepala surat Umno yang ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri.



Najib Masih Dengan Sindrom Penafian Dan Penipuan, PR Tuntut Ketuai JK Reformasi P'raya

Posted: 16 Aug 2011 08:34 AM PDT

Pakatan tuntut ketuai JK reformasi p'raya

Pakatan Rakyat mengemukakan tujuh syarat sebelum menyokong penubuhan jawatankuasa khas parlimen untuk reformasi sistem pilihan raya, termasuk melantik pemimpin pembangkang untuk mengetuainya.

Dalam kenyataan Pakatan yang dibaca oleh naib presiden PKR, Nurul Izzah, di satu sidang akhbar di pejabat agung PAS tengahari tadi, enam lagi syarat yang dituntut gabungan tersebut ialah:

1. Ia harus mempunyai kuasa menyiasat, mengesah, dan mencadangkan perubahan yang menyeluruh. Jawatankuasa mesti diberikan kuasa dan kewangan yang secukupnya.

2. Siasatan ke atas proses dan sistem pilihanraya sedia ada harus melibatkan badan audit bebas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young, dsb).

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti dipertanggungjawab atas kesemua tindakan dan kenyataan bersifat partisan, yang telah menghakis kebolehpercayaan umum terhadap institusi tersebut.

Penambahbaikan mesti dilaksanakan ke atas SPR itu sendiri demi memulihkan kewibawaan institusi ini yang sebenarnya pelindung demokrasi negara.

3. Pengesahan harus melibatkan proses pengutaraan semua isu dan cadangan terutamanya 8 tuntutan Bersih 2.0, dan melibatkan parti-parti politik, masyarakat umum dan para akademik. Web 2.0 dan Media Sosial mesti diguna untuk membolehkan orang ramai memberi maklumbalas.

4. Satu kajian bagi membanding dan mengambilpakai amalan tatacara pilihanraya terbaik seluruh dunia harus dibuat dan dibentang untuk
pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

5. Oleh sebab perkara ini memerlukan penyelarasan, analisa, laporan dsb yang cukup meluar, satu unit pengurusan program yang diambil dari sebuah firma yang boleh dipercayai harus disediakan bagi kegunaan Jawatankuasa tersebut.

6. Semua penambahbaikan ini mestilah ditamat, diumum, dan dilaksanakan secara menyeluruh sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Lebih dari itu, tambahnya, tiada apa-apa yang sebenarnya menghalang pihak Umno-BN membenarkan lebih akses media - televisyen dan media cetak - kepada Pakatan Rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, Pakatan menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen itu.

"Ini mengesahkan isu-isu penambahbaikan sistem pilihanraya seperti yang dibangkitkan Pakatan Rakyat dan BERSIH 2.0 dan kami menganggap ini satu kemenangan besar bagi pejuang demokrasi di Malaysia.

"Bagaimanapun, demi bertindak jujur, kami meminta perdana menteri menyertakan tuntutan-tuntutan berikut di dalam bidang tugas jawatankuasa khas berkenaan," tambahnya.

Menurutnya lagi, tiada apa-apa yang sebenarnya menghalang pihak Umno-BN membenarkan lebih akses media - televisyen dan media cetak - kepada Pakatan Rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, tiada apa-apa yang sebenarnya menghalang kerajaan Umno-BN daripada memperbaiki kecacatan yang terdapat pada senarai pengundi yang telah dibangkitkan hingga ke hari ini - yang telah menghakis kebolehpercayaan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Maka diseru kerajaan pusat mengadakan satu perbicaraan awam demi mendengar kes-kes di mana nama-nama pemastautin tetap telah dimasukkan ke dalam senarai pengundi, setelah dijadikan warganegara dalam masa yang amat singkat," katanya. -mk


Panel Parlimen: Najib bertegas pilihan raya adil, tapi perlu terus baiki

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Datuk Seri Najib Razak, yang semalam mengumumkan langkah mahu membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen, hari ini berkata, pilihan raya negara ini memang adil tetapi negara mesti berusaha untuk melakukan penambahbaikan ke atas sistem sedia ada.

"Pilihan raya selalunya diadakan dengan adil di Malaysia, tetapi kita mesti berusaha untuk penambahbaikan dan kecemerlangan," kata beliau (gambar) menerusi mesej Twitternya petang ini, kira-kira 24 jam selepas mengumumkan usaha terbaru itu.

"Semalam saya mengumumkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen dwipartisan untuk membincangkan pembaharuan pilihan raya," kata beliau hari ini.

Pembangkang mendakwa sistem pilihan raya semasa mempunyai banyak kepincangan termasuk dakwaan terbaru membabitkan daftar pemilih.

Semalam, Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak-wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata panel itu yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

Pagi tadi timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melahirkan pendirian yang sama dengan berkata pilihan raya negara ini bebas dan adil tetapi pembentukan jawatankuasa tersebut akan membantu mengemaskan sistem pilihan raya sedia ada.

Pelbagai pihak termasuk Pakatan Rakyat menyambut baik perkembangan ini.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat meletakkan tujuh syarat bagi memastikan jawatankuasa itu benar-benar berkesan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN dari Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, satu usul perlu dibentangkan di Parlimen untuk membentuk jawatankausa pilihan khas yang dimaksudkan.

"Kedua-dua Whip BN dan Pakatan Rakyat akan mencalonkan wakil mereka," kata beliau menerusi Twitter.

Pemimpin Kelab Penyokong-penyokong Kerjaaan BN (BBCBN) ini menambah, perbincangan jawatankuasa pilihan khas itu akan direkodkan dan akan menjadi sebahagian daripada penyata persidangan Parlimen atau rekod awam yang rasmi.

"Prosiding-prosiding jawatankuasa pilihan khas dijalankan mengikut peraturan mesyuarat Parlimen dan memiliki imuniti, seperti dalam Dewan Rakyat," tambah beliau.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah membentuk jawatankuasa pilihan khas bagi membincangkan soal sistem pilihan raya tidak perlu terlalu tergesa-gesa memandangkan Parlimen akan bersidang mulai awal Oktober ini.

Selain itu kata beliau, sudah tiada masa untuk mengadakan sidang khas Parlimen, sebagaimana diminta oleh Pakatan Rakyat, sebelum sambutan Aidilfitri kali ini.

"Tinggal lagi dua minggu lagi sebelum Aidilfitri, kita tiada masa," kata beliau.

Malah kata Wan Junaidi, beliau tidak nampak "logik" sidang khas perlu diadakan sekarang memandangkan mengikut jadual asal, Parlimen akan bersidang mulai 3 Oktober.

Kerajan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober. -TMI




Imej FELDA Semakin Hanyir - Tewas Kes Saman Fitnah RM200 Juta

Posted: 16 Aug 2011 07:00 AM PDT

Felda Tewas Kes Saman Fitnah RM200 Juta

KUALA LUMPUR: Felda dan syarikat pelaburannya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd kalah dalam kes fitnah mereka ke atas bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Dr Tan berhadapan dengan kes saman fitnah RM200 juta.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusuf pada Isnin berkata kedua-dua plaintif telah gagal untuk membuktikan Dr Tan menggunakan perkataan-perkataan bersifat fitnah dalam satu penerbitan di Suara Keadilan.

Mahkamah juga mengarahkan Felda membayar kos RM100,000 kepada Dr Tan.

Bagaimanapun Felda hanya perlu membayar RM70,000 kepada defendan kerana Dr Tan juga perlu menjelaskan RM30,000 dalam bentuk kos kepada plaintif berhubung poin-poin awalan yang dibangkitkan sebelum ini.

Pada 12 Julai lalu, Peguam Dr Tan, Ranjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas timbalan menteri itu tidak akan memberi keterangan dalam saman yang difailkan oleh Felda.

Ranjit memberitahu defendan tidak mempunyai kes untuk menjawab berhubung saman Felda dan syarikat pelaburannya Felda Global Ventures Holdings.

Ranjit memberitahu mahkamah demikian selepas peguam utama Datuk Mahinder Singh Dulku yang bertindak bagi plaintifnya memaklumkan bahawa plaintif telah menutup kes itu selepas memanggil empat saksi.

Pada 25 Januari lepas, Felda dan anak syarikatnya menyaman Dr Tan berhubung satu artikel muka depan akhbar Suara Keadilan bertajuk 'Kontroversi' yang didakwa memfitnah mereka.

Artikel itu bersambung pada muka tiga dengan tajuk "Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu."

Plaintif mendakwa artikel itu memfinah mereka kerana perkataan-perkataan itu menunjukkan bahawa pengambilan balik dan pembinaan Menara Felda di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur akan memberi manfaat kepada kroni.

Dalam kenyataan pembelaannya, Dr Tan berkata perkataan yang dibuat atau mengandungi ulasan dan menzahirkan pendapat itu merupakan ulasan adil berhubung kepentingan awam seperti kedudukan kewangan, perbelanjaan, pengurusan dan kegiatan plaintif.

Dr Tan menafikan bahawa perkataan itu dengan cara apa pun memfitnah plaintif dan dalam konteks artikel itu, jika diambil secara menyeluruh, perkataan itu tidak bermakna atau boleh membawa makna seperti yang didakwa oleh pliantif.


FELDA Akan Terjerat Jika Teruskan Saman Fitnah

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan terperangkap dalam jerat sendiri jika badan itu meneruskan saman fitnah terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi bersabit artikel 'FELDA Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu'.

Artikel yang diterbitkan akhbar Suara Keadilan pada Jun 2010, itu dikatakan memetik kenyataan Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berkata, jika kes saman itu diteruskan, FELDA terpaksa membentangkan aliran kewangannya yang dikatakan susut secara mendadak dalam tempoh singkat.

FELDA pada 25 Januari lalu bersama anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd bertindak menyaman Tan, kerana kononnya melalui artikel itu, Tan memfitnah mereka mendapat manfaat bersabit cadangan pembinaan Menara Felda di Segitiga Emas di Kuala Lumpur.

Namun Mahkmah Tinggi Kuala Lumur hari ini memutuskan untuk menolak saman bernilai RM200 juta itu setelah FELDA gagal membuktikan bahawa Tan yang membuat kenyataan itu.

Mahkamah juga mengarahkan Felda membayar kos RM70,000 kepada Dr Tan.

Mengulas perkembangan itu, Dzulkarnain berkata keputusan itu sesuatu yang agak mengejutkan berikutan rekod- rekod sebelum ini menunjukkan pimpinan Pakatan Rakyat seringkali dinafikan keadilan keatas mereka.

"Di dalam kes saman Felda terhadap Datuk Dr Tan Kee Kwong, kita melihat bahawa pihak mahkamah tidak mempunyai pilihan yang lain selain menolak saman Felda itu kerana fakta- faktanya sangat jelas sekali," katanya.

Dzulkarnain berkata, keputusan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menolak saman tersebut secara tidak langsung membayangkan FELDA sememangnya dibelit pelbagai masalah termasuk dakwaan bankrap.

Suara Keadilan sebelum ini melaporkan tunai FELDA merosot hampir RM3 bilion dalam tempoh 2004 hingga 2009 dan mendapat ulasan daripada Ketua Pembangkang, datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, Dr Tan Kee Kwong dan ADUN Seri Muda, Suhaimi Shafie.

Akhbar itu turut menyiarkan laporan projek bangunan baru Felda dan isu mengenai pulangan dividen kepada peneroka.

" Dan apa yang disebut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang mengatakan bahawa pihak kami ini merupakan pihak yang bersalah dan sebagainya dan mendakwa kami bersalah dan sebagainya.

"Ini telah terbukti bahawa pihak mahkamah telah memberi satu keputusan yang hak kepada kami. Jadi kami sebenarnya bersyukur bahawa kes Felda ini telah dibuktikan kepada rakyat bahawa sebenarnya ada asas terhadap apa yang kami dakwa bahawa Felda mengalami dan menghadapi masalah kewangan yang getir," jelas Dzulkarnain.

Ekoran pendedahan isu bankrap itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bingkas menarik balik permit penerbitan Suara Keadilan meskipun penjelasan telah dibuat pihak pengurusan akhbar tersebut.

Dzulkarnain buat kesekian kalinya mendesak FELDA agar mendedahkan bentuk pelaburan dan kedudukan kewangannya yang sebenar bagi memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap badan itu. -tvsnews







Satu Hari Papagomo Tetap Kena Walaupun Polis & SKMM Tak Jalankan Kerja

Posted: 16 Aug 2011 05:00 AM PDT

PKR akan lapor blog pro-Umno pada SKMM

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia (SKMM) berhubung satu dakwaan "fitnah" yang disiarkan dalam satu laman blog pro-Umno.

Laporan berkenaan susulan dakwaan dokumen palsu oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung dakwaan "Ops Sita" ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Dokumen dengan label "Sulit" bertajuk "Laporan Ops Sita Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya" itu dimuatkan di laman blog "Papa Gomo" sejak 13 Ogos lalu.

Dokumen berkenaan antara lainnya mendakwa, operasi untuk menyita gereja berkenaan telah dibatalkan selepas mendapat arahan daripada Nik Nazmi (gambar atas, kiri sekali).

Arahan yang sama juga didakwa dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang dinamakan dalam dokumen berkenaan, termasuk ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta tiga orang exco -- Ronnie Liu, Elizabeth Wong, Teresa Kok.

"Ini hanya dokumen olok-olok yang direka oleh blogger Umno yang terdesak," kata Nik Nazmi yang juga pengarah komunikasi PKR.

Maklumat salah

Tambahnya, dokumen berkenaan tidak wujud dan direka sebagai fitnah kepada Pakatan.

"Saya yakin (penulis blog ini) orang Islam. Mengata ini berdosa, fitnah lagi berdosa. Jadi baik dia jaga puasa dan solat dia sendiri," kata Nik Nazmi lagi dalam sidang media di ibu pejabat PKR itu hari ini.

Tambahnya, dokumen berkenaan juga mempunyai maklumat yang sama sekali salah, terutama berhubung gereja yang didakwa akan disita itu.

Dokumen berkenaan antara lainnya menyebut gereja DUMC terletak di Damansara Utama, sedangkan gereja itu terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya.

"Blogger Umno dibayar gaji mahal (tapi) tak buat research (kajian) yang betul untuk buat fitnah," katanya lagi.

Ketika ditanya, Nik Nazmi berkata pemimpin Pakatan yang terlibat akan membincangkan sama ada akan mengambil tindakan sama ke atas penulis blog tersebut.

Ahli majlis lapor polis

Sementara itu, Wong turut menafikan bahawa beliau telah membuat panggilan kepada MBPJ seperti yang didakwa dalam dokumen berkenaan.

Malah, portal Malaysiakini yang turut disebut dalam dokumen berkenaan juga "langsung tidak call saya pada hari itu," katanya lagi dalam sidang media sama.

Dokumen tersebut mendakwa, Elizabeth Wong telah memaklumkan kepada jabatan MBPJ tersebut pada pagi 11 Ogos lalu bahawa "wartawan Malaysiakini akan menghubungi (jabatan berkenaan) dan diarahkan membuat penafian."

Sejurus kemudian, wartawan Malaysiakini membuat panggilan kepada jabatan tersebut "dan penafian dilakukan sepertimana diarahkan."

Mengulas lanjut, Elizabeth berkata "apa yg dicatat itu tak betul. Saya tak pernah buat panggilan telefon kepada MBPJ pada hari tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang ahli majlis MBPJ, Latheefa Koya dalam tulisannya di Twitter hari ini berkata, satu laporan polis akan dibuat ke atas penulis blog tersebut, berhubung dakwaan fitnah tersebut. -mk

Ulasan GB

GB perhatikan sudah ada laporan polis / SKMM sebelum ini terhadap papagomo tentang banyak isu, salah satunya mengenai video seks.

Tetapi tak ada siasatan dilakukan, malah papagomo semakin galak menyiar gambar porno dan video lucah.

Yang penting sekarang, ialah laporan polis terhadap polis dan pegawai SKMM yang tak menjalankan kerjanya.

Mentang-mentang duduk sekapal dalam UMNO.

Tak apa, satu hari papagomo tetap kena. Sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga.

Doa lagi: Ya Allah buktikan kebenaran itu kebenaran....

Isu Pembesar Suara: UMNO Sengaja Perbesarkan Untuk Burukkan Imej Pulau Pinang

Posted: 16 Aug 2011 02:50 AM PDT

Mufti: Larangan guna mikrofon bukan isu politik, tapi arahan Nabi

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Oleh itu katanya, tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

"Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

"Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad s.a.w dan juga menjaga Islam yang harmoni," katanya dipetik Bernama Online.

Hassan berkata larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri.

Katanya, banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.


Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ianya tidak memerlukan perkenan Seri Paduka baginda.

"Bagaimanapun, perkara itu (larangan penggunaan pembesar suara untuk bacaan Quran) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat majlis fatwa akan datang bagi membuat keputusan sama ada ianya dijadikan fatwa atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, dalam Islam sebenarnya terdapat dua azan subuh iaitu azan pertama ialah sebelum waktu subuh untuk mengejutkan orang ramai tetapi ianya tidak dipratikkan di negara ini bagi mengelak dari mengganggu orang ramai sebelum masuk waktu subuh.

"Islam mensyariatkan tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali untuk azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan terdapat banyak nas yang melarang kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain kerana walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita," katanya.

Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah mengeluarkan larangan itu kepada Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang pada 12 Julai lepas kerana pentadbiran kariah adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Katanya, beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi berbincang menangani isu itu.


Isu Pembesar Suara : Ia Bukan Arahan, Tapi Pemberitahuan, Kata Malik

SHAH ALAM 15 OGOS : Pekeliling yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bersabit hukum membaca Al- Quran sebelum waktu Subuh menggunakan pembesar suara adalah salah disisi syarak', adalah pemberitahuan bukannya arahan mutlak, menurut Exco Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim.

Justeru beliau berkata, terpulang kepada kebijaksanaan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri itu, sama ada mahu menerima pemberitahuan tersebut ataupun tidak.

"Ini bukan surat arahan tetapi surat surat pemberitahuan untuk masyarakat setempat mengamalkannya, di dalam kehidupan bermasyarakat.

"Terpulanglah kepada masjid- masjid dan surau untuk melihat keputusan ini dan menerima keputusan jawatankuasa fatwa tersebut," tegasnya.

Malik menjelaskan hukum tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri sejak April lalu dan hanya disahkan pada bulan Jun 2011.

Tambahnya lagi, mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad dan disertai ulama, professional agama serta wakil daripada istana.

Keputusan itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang untuk dihebahkan kepada setiap masjid dan surau dinegeri ini.

"Keputusan itu kemudiannya disampaikan kepada Jabatan Agama Islam untuk dipanjangkan sebagai maklumat kepada masjid- masjid," katanya.

Keputusan tersebut dicapai setelah mendapati bacaan ayat suci Al- Quran sebelum waktu Subuh menggunakan pembesar suara mengganggu masyarakat setempat dan menerbitkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Mengulas tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan kerajaan negeri dengan keputusan tersebut, Malik menegaskan kerajaan negeri tidak pernah campur tangan dalam isu tersebut berikutan ia adalah dibawah bidang kuasa majlis fatwa.

"Perkara ini langsung tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri dan tidak pernah dibincangkan pada mana- mana peringkat," jelasnya.

Malik kemudiannya membacakan kepada Tv Selangor, surat pekeliling yang ditandatangani Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang bertarikh 3 Ogos 2011.

Pekeliling itu menyebut, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, bilangan 2/2011 yang diadakan pada 7 April 2011 memutuskan bahawa bacaan Al- Quran dengan pembesar suara daripada masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak'.

Turut disertakan catitan minit mesyuarat Jawatankuasa Fatwa perkara 6.2 untuk perhatian dan tindakan susulan Jabatan Agama Negeri.

"Sehubungan dengan itu dipohon kerjasama tuan- tuan supaya menampal surat pekeliling berserta cabutan minit supaya umat Islam setempat memahami hukum tersebut sekaligus mengamalkan didalam kehidupan bermasyarakat," ujar Malik ketika membaca surat pekeliling tersebut.

Keputusan jawatankuasa fatwa itu disokong Mufti Perlis Dr. Juanda Jaya dengan berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

Turut menyokong tindakan itu adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.






Ulasan GB

Hal ini kecil tetapi UMNO membesarkannya untuk mendapatkan political mileage daripada isu ini.

Memang sudah jelas bahawa memang ada hadith sahih yang melarang umat Islam membaca Al-Quran dengan suara nyaring sehingga mengganggu orang lain.

Jika demikian sepatutnya semua pihak kena akur dan patuhi termausk pihak JAKIM sendiri.

Apabila sudah dibuktikan wujud hadith sahih mengenainya, maka fatwa sudah tidak perlu lagi. Fatwa hanya untuk perkara samar yang tidak ada nas sahih daripada Al-Quran dan Hadith.

Malangnya di Malaysia institusi fatwa pun berpolitik. Nak jaga parti UMNO. Itulah taraf kebanyakan mufti di negara ini.

Sementara pengikut UMNO pula menggunakan emosi dan sentimen terhadap isu ini untuk untuk mewujudkan kebencian kepada negeri yang tidak diperintah oleh mereka.

GB kukuh berpegang dengan pendapat GB ini.


Tiada ulasan: