Selasa, 23 Ogos 2011

jiwo kelate

jiwo kelate


Laluan bertingkat di Pasir Mas siap

Posted: 23 Aug 2011 05:46 AM PDT

Harakahdaily melaporkan, Laluan bertingkat melintas landasan kereta api di sini kini siap sepenuhnya, sedangkan jalan bertingkat di Jalan Hamzah dan jambatan Sultan Yahya Petra kedua bernilai RM150 juta belum pun mencapai 50 peratus dibina.

Laluan bertingkat itu dibina kerajaan negeri membabitkan kos RM15.5 juta, bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Pasir Mas.

Sebaliknya jalan bertingkat di Jalan Hamzah dan projek perlebaran Jambatan Sultan Yahya Petra kedua hanya kelihatan tiang dibina kerajaan pusat. Perletakan batu asas dibuat Perdana Menteri pada Ogos 2007.

Rakyat boleh menilai sendiri sebuah kerajaan negeri yang berpendapatan tidak seberapa dapat menyiapkan projek laluan bertingkat mengikut perancangan awal.

Projek laluan bertingkat sepanjang 750 meter itu menghubungkan Kampung Lemal dan Kubang Panjang dianggap projek terbesar pernah dilaksanakan kerajaan negeri.

Anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, fasa kedua projek membina jalan susur daripada laluan bertingkat ke Jalan Meranti sedang dijalankan.

"Jalan sepanjang 1.5 km itu sedang dilaksanakan kerja-kerja menambun dan dijangka siap akhir tahun ini," katanya ketika ditemui semasa meninjau projek jalan tersebut hari ini.

Menurutnya jalan bertingkat itu dijangka dapat digunakan orang ramai sehari dua lagi memandangkan kerja-kerja mengetar masih dijalankan.

"InsyaAllah anak-anak perantau yang pulang bercuti sempena Hari Raya ini akan melihat sendiri projek dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi masalah trafik di Pasir Mas," ujarnya.


Kes Anwar II: Saiful ! Saiful !!

Posted: 22 Aug 2011 08:46 PM PDT

Malaysiakini
Saksi pembelaan kedua, bekas doktor di Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid dalam keterangannya berkata Mohd Saiful Bukhari Azlan, pegandu dalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahunya bahawa objek plastik dimasukkan ke dalam duburnya seperti dinyatakan dalam laporan perubatannya.

Apabila diasak oleh ketua pendakwaan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Dr Osman (kanan) bersetuju bahawa Saiful mendakwa beliau diliwat oleh seorang VIP tetapi juga mempertahankan kenyataannya bahawa bekas pembantu Anwar itu juga mengakui objek plastik dimasukkan ke duburnya.

Saksi yang berasal dari Myanmar dan mendapat pendidikan perubatannya dari Universiti Yangon berulang-kali menafikan cadangan oleh Peguam Cara Negara II itu bahawa beliau tidak menulis plastik dimasukkan ke dubur selepas pemeriksaan dijalankan.

Jelasnya, Saiful datang ke Pusrawi pada 28 Jun, 2008 dan mengadu kesakitan di duburnya.

Selepas menjalankan pemeriksaan, beliau dapati tiada kesan koyakan atau berdarah di kawasan berkenaan dan ketika itu Saiful memberitahu dia diliwat dengan objek plastik dimasukkan ke duburnya.

“Saya ada catatkan ini selepas Saiful beritahu saya selepas pemeriksaan dijalankan dan ada masukkan sebuah protoskop,” katanya.

Menjawap soalan Yusof, Osman berkata memasukkan plastik bukan meliwat. Beliau juga menafikan bahawa nota perubatan itu ditambah kemudiannya.

Yusof: Nota (mengenai objek plastik berkenaan) dicatatkan kemudian?

Osman: Nota ditambah selepas pasca pemeriksaan.

Yusof: Saya andaikan dia tidak kata sebarang plastik.

Osman: Dia (Saiful) ada beritahu saya.

Karpal, dalam pemeriksaan balas, kemudian bertanya sama ada nota dicatakan pada hari selepasnya. Osman bagaimanapun menafikannya dan berkata ia dicatatkan pada hari yang sama.


Lagi video sempena Iftar PERSADA 20 Ramadhan 1423

Posted: 22 Aug 2011 08:32 PM PDT

Tazkirah Ustaz Wan Ji – Majlis Iftar Amal Persada 2011

Anak Yatim & Armalah – Majlis Iftar Amal Persada 2011


Rebutlah baki Ramadhan 1423 sebelum meninggalkan kita

Posted: 22 Aug 2011 11:21 AM PDT

RAMADHAN semakin hari semakin meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.w.t.

Orang-orang Soleh menangis bila Ramadhan bakal pergi kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Oleh itu rebutlah peluang dengan baki 10 hari yang ada ini, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.

Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar yang terlebih baik daripada seribu bulan kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan-Nya.

Surah Al Qadr, 1-5:
“1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al Quran ini pada malam Lailatul Qadar.
2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar.
3. Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).
5. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Beri’tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan (dengan menangis kesal, jika tidak mampu menangis, buat-buatlah menangis atau sekurang kesal dan sesal) atas apa yang berlaku, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun

Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na’uzubillah…

Oleh itu perbanyakkanlah doa (terutama sebelum waktu berbuka puasa), basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesalilah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya

Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa (samada doa murah rezki, dipanjangkan usia untuk berjuang kerana Allah dan dipermudahkan segala Urusan) kepada Allah kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajabnya doa.

Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan Al-Quran serta menyampaikan isi kandungnya, bersedekah dengan berinfaq kesemua atau separuh atau sesuku harta di Jalan Allah SWT, perbanyakkan solat sunat (Qiamullail) dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh

Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah (pada siang dan malam harinya) kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan 1433 akan datang, kita dapat bertemu lagi.

————————-

Petikan ayat Al Quran yang dibaca pada malam ini, Surah Taubah ayat 75-78:
75. Dan diantara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnyajika Allah memberi kepada kami dari limpah kurnianya tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh.

76. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurnianya, mereka bakhil dengan pemberian itu, serta mereka membelakangkan janjinya dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).

77. Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepadaAllah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.

78. Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui akan apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan dan bahawasanya Allah maha mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib.


Tiada ulasan: