Generasi Pewaris Khilafah |
Kembalinya Novelis Terkenal Kerahmatullah Posted: 21 Aug 2011 04:55 AM PDT Assalamualaikum .. salam mesra Novelis terkenal tanahair, Haji Azizi Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi. Rakan sekerjanya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. Jenazah Allahyarham Haji Azizi akan dibawa pula ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini. Menurut Ibnu Hasyim, "Azizi menjadi PAS semasa saya jadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau, melalui Cikgu Mat Isa Kampung Perlis Balik Pulau, yang masih ada sekarang. Waktu itu, kami sering berjumpa beliau masa tengah malam di kawasan rumah sementaranya di Titi Teras, Balik Pulau. Takziah kepada keluarga beliau di kulim." p/s Assirkami : Takziah buat keluarga Allahyarham .. Moga Ruhnya dicucuri Rahmat |
Nasihat Tok Guru : Ramadhan Masuk Fasa Akhir Posted: 21 Aug 2011 04:02 AM PDT Assalamualaikum .. salam mesra Firman Allah SWT bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..." - (Al-Baqarah: 183) Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya. Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadan. Perkara paling penting dalam menyambut Ramadan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain. Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun. Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT bermaksud: "Tunjukilah kami jalan yang lurus..." - (Surah al-Fatihah: 6). Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. Firman Allah SWT bermaksud: "... (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." - (Surah al-Fatihah: 7) Dan siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT bermaksud: "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya..." – (Surah an-Nisa': 69) Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya. Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah SWT. Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya. Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak. Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup. Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union. Ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam. Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah. Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan. Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah. Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula. Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan. Akhir kata, selamat menyambut Ramadan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadan yang telah berlalu. |
You are subscribed to email updates from Minda Assirkami To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan