Jumaat, 26 Ogos 2011

.

.


Bingkisan Jumaat

Posted: 25 Aug 2011 11:29 PM PDT

Bagi Yang Ingin Keinsafan

Naikilah Kapal Tsunami Di Aceh!


Ya Qubbidh: MULAI tanggal 26 Disember 2004 sesiapa yang berhajat untuk ke Aceh pasti berbuku dihatinya untuk melihat kesan-kesan tsunami yang melanda Nenggaroe Aceh Darussalam yang amat dahsyat itu. Tsunami dengan kekuatan 9.3 skala ritcher telah membunuh lebih 200,000 rakyat Aceh dan memusnahkan banyak harta benda.


Kesan tsunami bukan itu saja, ia juga meninggalkan banyak kanak-kanak yang menjadi yatim piatu yang sampai kini memerlukan pemeliharaan dan bantuan. Rengetan dan keredupan wajah anak-anak yatim piatu inilah secara peribadi menarik saya untuk selalu ke Aceh terutamanya pada setiap Ramadhan.


Apapun kejadian dan takdir Tuhan ada hikmat dan rahmatnya. Maksud al-Quran; sesungguhnya apa yang berlaku ini untuk dijadikan iktibar dan renungan seluruh manusia. Begitu juga dengan bencana yang dianggap kiamat oleh rakyat Aceh itu. Hanya mereka yang celik mata hati memperolehi manfaatnya, tetapi yang buta dan dihijapi nafsu duniawi tetap gelap selamanya. Mata mereka laksana mata ikan kering saja.


Manfaat secara lahiriahnya, kesan tsunami menjadi daya tarikan pelancong ke Aceh. Bagi mereka mahu melihat dengan mata sendiri kesan-kesan dahysat itu pergilah ke Aceh. Banyak keistimewaan dan ilmu yang boleh dipetik di Aceh dari tragedi yang berlaku tujuh tahun lalu itu.


Beberapa kesannya dikekal dan masih dapat dilihat sampai kini. Ia dipelihara dan dirawat untuk jadi tarikan parawista. Antaranya ialah Kapal Apung I – sebuah kapal yang menjana kuasa eletrik dikekalkan pada kedudukannya hari ini menjadi objek wisata. Kapal ini terdampar di Punge Blang Cut Kecamatan Jaya Baru, Banda Aceh yang diserek dari tempat asalnya sejauh 2km dari pantai di Ulee Lheue.


Selain itu sebuah kapal nelayan yang mendarat di sebuah rumah di pinggir pelabuhan nelayan di Leampuluh juga masih dikekalkan. Sampai kini ia masih terdampar di atas sebuah rumah penduduk di situ. Selain itu masih banyak kesan-kesan lahiriah lain. Toh... yang banyak ialah kesan spiritual – kejiwaan yang tidak terungkap oleh peribadi yang mengalaminya sendiri. Ini boleh digali dengan perenungan dan pentafsiran yang tajam dan melangkau normal akal.


Memang panjang masa untuk bercerita mengenai tragedi yang mengejutkan dunia itu. Cuma apa boleh disebutkan ia sungguh dahsyat dan sesiapa menyaksinya tidak akan terlupa sampai ke bila pun. Kebetulan saya mendapat rezeki untuk melihat sendiri segala kedahysatan itu. Saya sampai ke Banda Aceh pada hari ke empat kejadian tsunami dan sempat merakam lebih 500 keping gambar.


Masih terbayang di mata saat itu rupa Banda Aceh yang ayu dan lumus kini, sama sekali berubah. Ia menjadi sebuah bandar punah dan hancur dipenuhi dengan puing-puing dan mayat manusia dan haiwan bergelimpangan di jalan raya dan ada tersangkut dibumbung dan pokok kayu. Ia berbaur dengan ribuan sisa tsunami lain yang menjijik dan mengharukan perasaan. Hati saya trauma melihat kedahsyatan itu hingga kini!


Hanya manusia seperti Firaun, Adolf Hitler, Benito Musolini, Slobodan Milosevic, Jesoph Setelin dan lain-lain serta orang politik yang bejat saja tidak akan menangis atau sayu dengan keadaan itu. Sesiapa melihatnya akan insaf dan sedar dan akan terus menangis dan merintih dengan bencana yang Tuhan turunkan untuk dijadikan teladan dan iktibar itu. Serentak itu juga rasa ingin beriman dan bertuhan akanmenjelma dalam jiwa yang insaf.


Ah, panjang ceritanya... apa yang hendak saya cerita di sini mengenai Muzium Tsunami di Aceh yang baru pertama kali saya mengunjungi dan menjenguk masuk ke dalamnya minggu lepas sewaktu mengunjungi bumi Tanah Rencong itu dengan Rushdan dan Radzi.


Kewujudannya memberi erti dan simbol besar untuk Aceh danjuga dunia lainnya. Muzium itu menjadi monumen tsunami yang berlaku di Aceh.


Muzium ini mempamerkan kesan-kesan tsunami yang dahsyat itu dan juga menghuraikan sejarah tsunami dan juga mengenai penderitaan mangsanya. Perwujudannya adalah satu ilham yang bijak bagi merakam peristiwa penting itu agar tidak akan dilupai oleh manusia baik yang merasainya atau generasi mendatang.


Muzium ini dibina tahun 2006 dan siap sepenuhnya 2010 atas usaha beberapa badan atau organisasi pemerintah Indonesia. Ianya terletak di Jalan Blang Padang, Banda Aceh dengan kos pembinaanya RM23.6 juta. Bentuk bangunannya yang unik adalah kombinasi ciri-ciri rumah tradisi Aceh. Ia direka oleh arkitek Indonesia yang tidak asing bernama Redhwan Kamel.


Bangunan berbentuk kapal ini menjadi mercu tanda baru di Aceh selain bangunan lapangan terbang Sultan Iskandar Muda dan juga beberapa buah masjid yang dibina oleh negara-negara Islam yang bersimpati dengan malapetaka berlaku di Aceh seperti masjid Turki yang dibina oleh kerajaan Turki.


Kehebatannya bukan saja dari sudut luar tetapi dalam dalamnya juga, bagaimana pengisian muzium itu dilakukan dengan pamiran segala bentuk kedahsyatan bencana berkenaan.

Semua aksi-aksi atau peristiwa itu digambarkan secara realiti di dalam muzium yang mempunyai empat tingkat ini. Kesemua empat tingkat ini menyimpan dan mempamerkan cerita dan kisah-kisah tersendiri mengenai tsunami.


Sesuai ia juga sebagai pusat pembelajaran dan kajian sumber-sumber saintifik mengenai tsnami juga disediakan. Jadi muzium ini bukan saja setakat tempat untuk melihat gambaran kejadian tetapi tempat pembelajaran mengenainya juga.


Mungkin muzium ini juga agak ganjil dan unik sedikit berbanding dengan muzium lain kerana berbentuk melingkung ini menjadikan setiap pengujungnya akan berjalan seolah-olah sedang menongkah sebuah bukit besar untuk menyaksikan apa yang disajikan.


Bermula di pintu masuk, kita akan disaksikan sebuah helikopter yang musnah dibaham tsunami. Dari itu kita akan melangkah memasuki untuk menuju ke atas menerusi sebuah terowong yang berkeluasan 2.5 meter. Di kiri kanan terowong itu dibina tembok setinggi 30 meter, sama ketinggian dengan ombak tsunami. Di sepanjang tembok sejauh 20 meter itu dialirkan air dengan kuat dengan kesan menakutkan. Sesekali aliran air persis air terjun itu akan menampar muka dan tubuh kita.


Sampai ditingkat pertama kita memasuki sebuah bilik yang berkedudukan miring 30 darjah. Bilik ini samar dengan panataan cahaya persis dalam sebuah panggung untuk babak menakutkan. Di sini disediakan beberapa buah panel berteknologi canggih (4D), darinya dapat kita saksikan ratusan gambar-gambar kedahsyatan tsunami itu.


Dari sini kita akan menampak ke tingkat dua, dan disebelah kirinya membawa kita memasuki sebuah bilik yang berbentuk bulat (selinder) seluas kira-kira 15 meter. Bilik atau ruang ini lebih tepat kalau dikatakan sebuah telaga atau perigi. Di puncaknya tertera kalimah Allah. Saya tertanya-tanya apakah sebenarnya dan apakah ia serumbu kapal? Di sekeliling dinding bilik itu dicatat ribuan nama-nama mangsa bencana berkenaan. Memandangkan masih banyak ruang kosong, bererti masih banyak mangsa yang tidak dikenali dan namanya belum diabadikan di situ.


Selepas keluar dari telaga ini kita akan menampak melingkungi bangunan ini untuk memasuki ke ruang pameran ditingkat tiga. Di sini disediakan pameran gambar-gambar bencana berkenaan serta maklumat beberapa NGO yang membantu semasa kejadian itu. Di sini banyak dokumen bercatat disediakann untuk bahan kajian dan penyelidikan.


Di tingkat empat pula disediakan replika mengenai beberapa kemusnahan semasa tsunami berkenaan. Paling menarik replika saat-saat awal kejadian di mana digambarkan manusia kelam kabut melarikan diri. Tayangan (audio video dan visual) juga diadakan disini. Serta sebuah panggung khas disediakan untuk merasai bagaimana hebatnya goncangan tsunami. Bagaimana pun pada kunjungan itu kami tidak sempat merasainya kerana mungkin terlalu awal, atau pun persiapan belum lengkap.


Manakala di tingkat bawah disediakan kolam dan sebuah kantin. Ruang ini lebih untuk bersantaian. Dari sini kita akan dapat menyaksikan ke atas bumbung 'kapal' yang dihiasi dengan puluhan bendera berbagai buah negara yang datang membantu mangsa tsunami itu.


Sesuatu yang mendu kacita sepanjang penjelajahan kami ke atas "Kapal Tsunami" itu tidak ada kapten atau jurupandu. Ini menyebabkan kami terpaksa mentafsir sendiri berdasarkan keterangan gambar. Kami mencari arah dan destinasi sendiri menurut getar dan rintih jiwa. Mungkin bagi saya tidak menjadi keliru sangat sebab sebahagian replika, gambar-gambar kejadian itu sebahagiannya saya saksi sendiri.


Lebih malang lagi sewaktu kami ke pejabat penerangan untuk mendaptkan katalog mengenai butiran muzium berkenaan pintunya dikunci. Dalam katanya mungkin katalog itu belum disediakan lagi untuk manfaat dan kemudahan pelancong dalam penjelajahan itu. Apapun kerana ia masih sedang dalam pembinaan muzium ini akan lengkap dalam setahun dua lagi apabila sudah ada pihak yang diberi tanggungjawah menjaga dan menguruskannya. Terima kasih kepada pemerintah Indonesia yang membangunkan kapal tsunami itu yang semestinya memberi manfaat besar bagi mereka yang ingin beriman dan bertakwa.


Namun sesungguhnya budi pemerintah itu tidak akan dapat melangsaikan hutangnya kepada rakyat Aceh. [wm.kl.2:28 pm 26/08/11]

Tiada ulasan: