Sabtu, 27 Ogos 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Belum Daftar Tapi Nama Tersenarai Dalam Sistem SPR

Posted: 26 Aug 2011 08:16 PM PDT

SHAH ALAM 27 OGOS : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendakwa berlaku kepincangan baru dalam daftar pemilih ekoran aduan bahawa ada rakyat yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, namun nama mereka sudah terdapat dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, rakyat disarankan agar melakukan semakan bagi memastikan maklumat peribadi dalam daftar pemilih lengkap dan betul.

"Akhir-akhir ini, Bersih 2.0 telah menerima beberapa kes di mana individu-individu yang belum mendaftar mendapati mereka dimasukkan dalam daftar pemilih. Terdapat juga kes di mana kawasan mengundi telah ditukar tanpa diberi notis," katanya dalam satu kenyataan.


Justeru itu, Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan meminta semua rakyat sentiasa peka dan mengambil langkah bagi mengelakkan kepincangan berlaku.

"Oleh itu, Bersih 2.0 menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah-langkah ringkas berikut untuk memastikan setiap warga Malaysia memastikan hak anda kepada pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tidak dicabuli.

"Semak nama anda dalam daftar pemilih untuk memastikan maklumat anda dalam daftar pemilih adalah tepat, semakan boleh dilakukan di laman web SPR, Kami berharap kepada semua warga Malaysia tidak kira di dalam atau di luar negera untuk menyemak nama dalam daftar pemilih," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Selain itu, jawatankuasa Bersih 2.0 juga meminta agar "Individu yang belum mendaftar untuk mengundi juga digalakkan untuk menyemak nama."

Kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, sekiranya maklumat peribadi dalam daftar pemilih tidak betul, pihaknya meminta agar dikemukakan aduan kepada badan itu.

"Sekiranya anda mendapat tahu kawasan mengundi anda telah ditukar tanpa pengetahuan atau nama anda dilampirkan dalam daftar pemilih walaupun belum mendaftar, sila berikan maklumat terperinci kepada kami di info@bersih.org atau faks kepada 03-77844978.

"Sekiranya anda masih belum mendaftar untuk mengundi, sila mendaftar di pejabat-pejabat pos yang terdekat selepas Hari Raya Aidilfitri, jangan mengabaikan hak mengundi anda! Pastikan anda mengundi ketika pilihan raya nanti," katanya.

Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Untuk memastikan pembaharuan sistem pilihan raya, pentadbiran Najib memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang akan dianggotai wakil daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Bebas.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2.0. 


Melayu pecah: Kerajaan enggan dengar input rakyat juga punca, kata pakar

Posted: 26 Aug 2011 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Profesor Madya Mohammad Agus Yussoff menegaskan perpecahan Melayu yang didakwa semakin parah turut disebabkan tindakan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan berbeza daripada rakyat.

Selain itu tegas pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perpecahan Melayu juga berpunca daripada tindakan kerajaan mengetepikan hak orang Melayu sepertimana yang berlaku di Kelantan.

"Saya setuju sangat dengan padangan Harussani tapi saya nak tambah lagi dua iaitu perpecahan Melayu juga berpunca dari sikap kerajaan yang tidak mahu buka telinga dan dengar pandangan yang berbeza daripada rakyat... kalau kerajaan tidak mahu orang Melayu berpecah, kerajaan perlu dengar dan terima pandangan yang berbeza sebab itu punca orang Melayu berpecah tapi masalahnya kerajaan takut nak dengar.


"Berpecah orang Melayu ini juga sebab diskriminasi dan ketidakadilan kepada orang Melayu itu sendiri seperti mana yang berlaku di Kelantan sebab itu perpecahan ini berlaku," katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti baru-baru ini, Harussani berkata perpecahan di kalangan Melayu berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Tegas Agus, perpecahan Melayu boleh dielakkan sekiranya kerajaan menerima setiap kritikan dan pandangan berbeza yang dikemukakan oleh sesiapa sahaja termasuk Pakatan Rakyat.

"Sedangkan kerajaan boleh lakukan pelbagai cara dan saya takut perpecahan orang Melayu ini akan meruntuhkan negara, kita ada ramai ahli akademik dan pembangkang yang memberikan pandangan tapi kerajaan tidak mahu dengar.

"Sekarang kita lihat tiada lagi orang Melayu yang berani untuk beri pandangan yang berbeza dengan kerajaan, ini yang menyebabkan kelemahan orang Melayu... kerajaan perlu berani mendengar pendapat yang berbeza," katanya. Tambah beliau:

"Tiada guna adanya ahli akademik kalau semua jadi pak angguk."

Agus menambah isu perpecahan Melayu bukan isu politik dan pandangan Harussani perlu diambil berat.

"Ini bukan isu politik, ini pandangan mufti untuk beritahu kenapa orang Melayu lemah dan berpecah.

"Saya setuju dengan pandangan Harusani itu, ia adalah pandangan yang baik tapi kerajaan tidak mahu terima," katanya.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu tampil membuat penjelasan sama ada bersetuju atau tidak dengan pandangan Harussani itu.

"Apa yang dikatakan Harussani itu antara sebab mengapa wujud perpecahan, barangkali perdana menteri perlu mengeluarkan kenyataan balas sama ada beliau setuju dengan pandangan mufti Perak itu atau tidak.

"Penjelasan harus diberikan supaya tiada lagi spekulasi lain kerana ia keluar daripada Harussani," katanya.

Jelas beliau, banyak faktor yang menyebabkan perpecahan orang Melayu berlaku bukan hanya tiga perkara yang dibangkitkan Harussani.

"Bagi saya perpecahan orang Melayu itu mungkin berpunca daripada parti politik macam PAS dan Umno dan saya rasa kalau kedua-dua parti ini duduk bertemu perkara ini boleh diatasi.

"Sebab isunya sekarang adalah Melayu-Islam, utamakan perpaduan dan ketepikan fahaman politik dan titik imbangan itu, ini bukan kerjasama politik tapi untuk perpaduan orang Melayu," katanya.


Rakyat Singapura pilih presiden baru hari ini

Posted: 26 Aug 2011 06:21 PM PDT

Rakyat Singapura akan keluar mengundi hari ini untuk memilih presiden baru di kalangan empat calon yang mempunyai nama keluarga yang sama iaitu 'Tan' bagi menggantikan penyandang SR Nathan.

Nathan akan mengundurkan diri sebagai Ketua Negara apabila tamat tempoh presiden pada 31 Ogos ini selepas berkhidmat selama dua penggal.

Pemilihan presiden kali ini dianggap bersejarah kerana ini merupakan kali pertama pemilihan presiden membabitkan empat penjuru selepas Ong Teng Cheong menang pada pertandingan satu lawan satu pada 1993.


Empat calon presiden adalah terdiri daripada bekas timbalan perdana menteri Dr Tony Tan Keng Yam, bekas ahli parlimen, Dr Tan Cheng Bok, bekas ketua NTUC Income, sebuah pertubuhuan koperasi insurans, Tan Kin Lian dan bekas pegawai kanan kerajaan, Tan Jee Say.

Selepas hari pencalonan bermula 17 Ogos lalu, akhirnya rakyat Singapura akan memilih presiden di kalangan empat calon hari ini.

- Bernama


Pendedahan Harussani Bukti Tuduhan Terhadap Anwar Fitnah

Posted: 26 Aug 2011 03:03 PM PDT

Pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Melayu-Islam berpecah kerana kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah dengan sendirinya menolak dakwaan ia berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat, kata PKR.

Sebaliknya, Ketua penerangannya Dr Muhammad Nur Manuty mendakwa perpecahan Melayu-Islam hari ini adalah berpunca daripada "politik kotor" pemimpin Umno sendiri.

Malah, ia didakwa bermula daripada zaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad lagi.


"Dengan pendedahan yang dibuat ini, rakyat perlulah membuka mata dan menyatakan sikap menolak dengan tegas fitnah yang dilemparkan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim," kata Dr Muhammad Nur dalam kenyataan hari ini.


"Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu,"katanya.

Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti kelmarin, Harussani berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Ditanya kembali mengenai pendedahan itu, Harussani berkata perpecahan Melayu berlaku disebabkan tiga faktor itu.

"Najib tanya kepada saya mengapa jadi macam ini (perpecahan Melayu), saya kata ia berlaku sebab kerajaan sekarang cukup lemah, tidak amanah dan rasuah.

"Sebab itu saya minta Najib perbetulkan, cari jalan... bukan hanya Najib, kerajaan dan rakyat juga perlu cari jalan untuk bersatu," katanya.

Justeru beliau meminta Najib supaya mencari jalan untuk menyatukan semula perpaduan orang Melayu yang semakin parah.

Malah, langkahnya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk dari dalam Umno sendiri.

Dalam pada itu, Manuty menyeru pemimpin UMNO supaya memuhasabah diri sekali gus menghentikan kezaliman ke atas Anwar demi perpaduan ummah dan seluruh masyarakat Malaysia amnya.

Tambahnya, beliau yakin selagi kezaliman terhadap Anwar tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas.-Tvsnews


Politik kotor Umno punca Melayu pecah, bukan kerana Anwar atau Pakatan

Posted: 26 Aug 2011 07:11 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengenai perpecahan Melayu membuktikan ia berlaku disebabkan "politik kotor" Umno, bukannya disebabkan faktor-faktor lain.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata, pendedahan Harussani juga membuktikan perpecahan Melayu bukan berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

"Beliau (Harussani) juga menyatakan bahawa demi menjaga perpaduan Melayu, pernah menasihati (Tun) Dr Mahathir Mohamad agar tidak memecat timbalanya ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta membuat tuduhan liwat tanpa membawa empat orang saksi.


"Dengan kenyataan di atas, jelaslah bahawa apa yang ditanggapi sebagai perpecahan Melayu-Islam pada masa kini adalah berpunca dari permainan politik kotor para pemimpin Umno sendiri bermula dari Dr Mahathir," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pendedahan yang dibuat Harussani itu juga membuktikan tuduhan liwat terhadap Anwar pada 1998 adalah fitnah dan konspirasi Dr Mahathir.

"Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin politik harapan orang Melayu-Islam.

"Adalah jelas bahawa pemecatan Anwar bukan kerana faktor moral tetapi konspirasi jahat Dr Mahathir dan para pengikutnya," katanya.

Harussani dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti di Shah Alam kelmarin berkata, beliau pernah cuba untuk bertemu dengan Dr Mahathir agar tidak memecat dan juga tidak mengenakan tuduhan liwat ke atas Anwar.

Beliau berkata pemecatan Anwar akan mengakibatkan perpecahan orang Melayu kerana Anwar mempunyai pengaruh yang besar.

Kata Muhammad, ekoran pendedahan Harussani itu rakyat perlu sedar dan menolak fitnah yang dilemparkan ke atas Anwar.

"Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu.

"Kita menyeru pemimpin Umno supaya melakukan muhasabah diri dan menghentikan kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim demi perpaduan seluruh masyarakat Malaysia. Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas," katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.

Kemudian beliau berhadapan dengan kes salah guna kuasa dan liwat.

Anwar, Ketua Umum PKR, menghadapi tuduhan liwat kali pertama pada 1998 yang dikaitkan dengan beberapa individu yang rapat dengannya seperti Azizan Abu Bakar dan Sukma Darmawan.

Anwar kini berdepan dengan satu lagi tuduhan liwat yang melibatkan pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan - kes masih dalam perbicaraan.


MP tuntut TV3, Karam Singh Walia mohon maaf

Posted: 26 Aug 2011 02:42 AM PDT

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Saleh menuntut permohonan maaf dari TV3, wartawannya dan seorang ahli politik yang didakwa memburukkannya dalam siaran berita berhubung pusat pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan.

Peguam Fuziah menghantar tiga notis tuntutan itu semalam dengan menamakan wartawan alam sekitar Karam Singh Walia dan TV3 sebagai responden pertama dan kedua, sementara dua lagi surat dialamatkan kepada Ketua MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker.

Dalam surat yang dialamatkan kepada Karam dan TV3, Fuziah (kiri) mahu penarikan balik dibuat terhadap beberapa siri siaran berita itu yang disiarkan antara 28 Jun dan 30 Jun serta pada 24 Ogos lalu, yang mana beliau mendakwa ia "tidak benar dan kandungannya dilihat untuk memburukkan" Fuziah.


Beliau yang juga naib presiden PKR menuntut Tv3 agar tidak berterusan menyiarkan siaran berita itu pada masa akan datang dan membuat permohonan maaf berdasarkan syarat yang telah disahkan oleh peguamnya.

Dalam kes Ti pula, Fuziah menuntut kepada bekas ADUN itu menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf terhadap kenyataan yang disiarkan syarikat televisyen swasta itu.

Dalam siaran berita itu, Ti didakwa memetik Fuziah sebagai berkata "pegawai-pegawai kita, pakar-pakar Melayu, pakar-pakar rakyat Malaysia semua tak boleh dipercayai".

Dakwaan Fuziah terhadap Ti dinyatakan dalam dua notis tuntutan yang berasingan, yang merujuk kepada dua insiden yang berasingan masing-masing pada 30 Jun dan 24 Ogos apabila Tv3 menyiarkan siri laporan beritanya berhubung plan yang bernilai RM700 juta itu.

Ketiga-tiga notis tersebut turut meminta jaminan bahawa tidak ada lagi pengulangan dakwaan demikian terhadap Fuziah dan menuntut kerugian dan tanggung kos guaman.


Tiada ulasan: