Khamis, 11 Ogos 2011

Biaqpila

Biaqpila


Fitnah II: Najib, Rosmah lambatkan perbicaraan- Peguam

Posted: 11 Aug 2011 03:00 PM PDT

(Oleh: Ahmad Fadli)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Fitnah II yang melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terpaksa ditangguhkan lagi jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor masih enggan ditemubual peguambela Anwar.
Peguam Anwar, Sankara Nair berkata, perkara itu secara tidak langsung akan terus melambat-lambatkan lagi bicara kes itu yang sepatutnya memasuki peringkat pembelaan minggu hadapan.
"Jika mereka (pendakwa raya) tidak menyediakan semua saksi seperti dipersetujui sebelum hari Jumaat ini maka, perbicaraan tidak boleh diteruskan pada hari Isnin (depan)," kata Sankara Nair dalam satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Keadilandaily.
Najib dan Rosmah termasuk dalam senarai saksi-saksi yang mahu ditemubual pasukan peguam Anwar sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan.
Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan semua saksi yang ditawarkan pendakwa raya kepada peguam Anwar perlu hadir untuk ditemubual peguam Anwar.
Termasuk di dalam senarai itu adalah Najib dan Rosmah serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Rodhwan Yusof.
Selasa lalu merupakan percubaan pertama pendakwa raya untuk melengah-lengahkan perbicaraan apabila enggan meneruskan sesi temubual peguam Anwar bersama Musa Hassan dan Rodhwan Yusof atas alasan Anwar turut sama hadir.
Hakim Zabidin pada hari Rabu kemudian memutuskan Anwar berhak hadir dalam temubual yang berlangsung namun tidak dibenarkan bertanya soalan kepada saksi-saksi. Sehingga ke hari ini, Najib dan Rosmah masih lagi belum muncul untuk ditemubual peguam.
Peguam mahu memanggil Najib sebagai saksi kerana penglibatannya dalam kes tersebut, apabila mengaku berjumpa dengan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum pemuda itu membuat laporan polis terhadap Anwar.
Saiful juga bertemu dengan pembantu khas Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar dan beberapa tokoh lain.
Pegawai Penyiasat kes itu, DSP Jude Pereira dalam keterangan di mahkamah pada Mac lalu mengaku mengambil keterangan Najib dan Rosmah berhubung kes berkenaan. Ia sekaligus mewajarkan Najib dan Rosmah untuk ditemubual sebagai saksi dalam kes itu.

KD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Prestasi ekonomi mutakhir menjadi petanda kegagalan dasar ekonomi Najib

Posted: 11 Aug 2011 05:00 AM PDT

oleh Rafizi Ramli

Angka-angka ekonomi terkini yang baru diumumkan membayangkan ekonomi negara akan terus malap; selain dari kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu.

Keputusan agensi pelaburan dan penganalisa pasaran memotong unjuran pertumbuhan ekonomi negara di bawah paras 5% bagi tahun 2011 menjadi tanda-tanda bahawa dasar dan inisiatif ekonomi yang menjadi tonggak pentadbiran Najib Razak (seperti Program Transformasi Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Ekonomi Baru) telah gagal sejak dari awal-awal lagi.



Jika prestasi ekonomi terus malap seperti yang diunjurkan, Program Transformasi Ekonomi akan gagal sebelum memasuki tahun kedua kerana ia mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6% setahun untuk mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 menjelang 2020 yang diwar-warkan.  Pertumbuhan ekonomi tahunan di bawah angka 5% setahun bermakna Program Transformasi Ekonomi telah gagal menarik minat pelabur walhal kerajaan menumpukan sepenuh tenaga, fokus dan jentera kerajaan untuk mempromosikannya.  Jika ia gagal menarik perhatian dalam tahun pertama dan di kemuncak promosinya, bayangkan keadaannya 2-3 tahun akan datang.

Prospek yang malap ini akan diburukkan lagi dengan keadaan tidak menentu yang dialami Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.  Pakar ekonomi dunia sependapat bahawa krisis hutang di Eropah akan mengheret tiga ekonomi terbesarnya iaitu Itali, Perancis dan Jerman ke kancah kekalutan ekonomi seperti yang dialami oleh negara-negara Eropah lain.  Jika ini berlaku, prestasi ekonomi Malaysia akan turut terkesan dan memburukkan lagi angka pertumbuhan ekonomi tahun-tahun akan datang.

Najib Razak (gambar kiri) juga perlu menerima hakikat bahawa pentadbiran beliau telah gagal mencapai sasaran pelaburan swasta yang ditetapkannya sendiri dan diumumkan sebagai strategi utama beliau menghidupkan kembali pertumbuhan ekonomi Malaysia.  Sebelum ini, PEMANDU dengan gah mengumumkan bahawa 92% daripada dana untuk melaksanakan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi bernilai ratusan bilion ringgit akan dibiayai swasta.

Namun, sumber dana untuk membiayai projek-projek utama yang diumumkan masih diselubungi rahsia.  Setakat ini, 77% daripada 10 projek terbesar yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi akan dilaksanakan dan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Analisis 10 projek terbesar seperti berikut akan membuktikan bahawa pentadbiran sekarang masih menggunakan kaedah pergantungan kepada wang rakyat untuk mewujudkan peluang ekonomi, tetapi kini ia disalurkan melalui GLC:

Projek terbesar ETP PELABURAN DIUMUMKAN (RM BILLION) GLC/BUKAN GLC
Pembangunan kompleks loji penapisan dan petrokimia (RAPID) di Johor 60.0 GLC (PETRONAS)
MRT (kos pelaburan tidak termasuk kos tanah dan koc/kenderaan) 36.6 GLC (sebuah syarikat khas ditubuhkan)
Pembangunan minyak dan gas di lapangan Tapis dan lapangan Teluk (dijadualkan bermula 2013) 10.0 GLC (PETRONAS & ExxonMobil, pelaburan semula kekayaan minyak negara)
Pembangunan Karambunai Integrated Resort City 9.6 Bukan GLC
Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) untuk membangunkan kedai-kedai runcit 5.43 Tidak diketahui
Program pelaburan baru Shell Malaysia (menaiktaraf dan membina loji baru termasuk membabitkan kompleks Shell Middle Distillates, kompleks Port Dickson dan pembangunan lapangan Gumusut) 5.1    

GLC (PETRONAS & Shell, pelaburan semula kekayaan minyak negara)
Pembangunan terminal petroleum laut dalam di Johor 5.1 Dialog Group

(syarikat swasta dengan pegangan saham yang besar oleh badan berkaitan kerajaan)
3 loji penjanaan elektrik yang baru, 2 loji penjanaan hidro-elektrik, 1 loji penjanaan elektrik arang batu dan pelaburan dalam infrastruktur transmisi 4.0 GLC

(TNB)
Pembangunan kompleks petroleum dan lojistik di Tanjong Agas, Pekan, Pahang 3.0 GLC (di bawah Koridor Ekonomi Pantai Timur)
Pembangunan MINES Wellness City 3.0  
Setakat ini, 10 projek terbesar di bawah Program Transformasi Ekonomi menelan pelaburan RM142 bilion, iaitu 82% daripada keseluruhan pelaburan projek-projek yang telah diumumkan berjumlah RM173 bilion.  Hakikatnya, 77% daripada 10 projek terbesar di bawah pelan ekonomi Najib Razak sebenarnya menggunakan dana awam melalui GLC dan membuktikan bahawa sasaran 92% pembiayaan swasta itu tidak lebih dari angka-angka untuk kempen politik yang sudah tentu tidak akan dicapai.

Prestasi tiga penanda aras ekonomi yang paling utama (iaitu kekalutan di Bursa Kuala Lumpur, unjuran pertumbuhan yang semakin rendah saban hari dan kegagalan menarik pembiayaan swasta bagi projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi) sudah cukup untuk membayangkan kegagalan dasar dan inisiatif ekonomi Najib Razak.

Malangnya, prospek ekonomi murung yang menyelubungi Malaysia adalah berlainan sama sekali dengan prestasi ekonomi Indonesia.  Pertumbuhan ekonomi Indonesia terus meningkat pada kadar 6.5% suku yang lepas dan dijangka mencecah 7% tahun depan.  Pada masa rakyat Malaysia bergelumang dengan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh dua tahun, Indonesia pula mencatatkan kadar inflasi terendah dalam tempoh 14 bulan yang lalu.  Sementara kadar kenaikan gaji hanya menokok pada angka 2.6% sahaja bagi pekerja Malaysia sepanjang sedekad yang lalu, pekerja di Indonesia menikmati kadar kenaikan gaji tahunan 10% sejak tahun 2006.

Sudah tentu ada perbezaan yang nyata dari segi pendekatan ekonomi sehingga mengakibatkan prestasi yang berlainan seperti ini.  Pemerintah Indonesia mengalu-alukan reformasi dan keterbukaan sejak tahun 1998 lagi, berbeza dengan Barisan Nasional yang mencari seribu satu alasan untuk memadamkan api reformasi yang dituntut rakyat sehingga mengorbankan prestasi ekonomi negara.

Baiknya keadaan ini tidak akan berterusan kerana lebih ramai rakyat boleh menilai sendiri bahawa reformasi ekonomi hanya boleh berlaku seiringan dengan reformasi politik, selaras dengan pendekatan ekonomi yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

*Kenyataan media oleh Rafizi Ramli (gambar kiri) selaku Pengarah Strategi PKR.

DD



KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Rumah pusaka ayah jadi sarang zina

Posted: 11 Aug 2011 12:00 AM PDT

Di Tanjong Bungah, siapa sangka bahawa rumah pusaka peninggalan Sang Ayah dalam bulan Ramadhan ini, dijadikan sebagai sarang maksiat penzinaan oleh anak perempuan dan pasangannya?

Dikatakan lebih empat tahun rumah pusaka di tengah-tengah perkampungan umat Islam itu menyaksikan percintaan pasangan malang yang dinodai dengan dosa.

Mereka langsung tiada ikatan perkahwinan yang sah. Bersekududukan tanpa izin walaupun di bulan yang penuh mulia, tanpa sedikit pun rasa malu kepada yang Maha Melihat.

Pepatah Melayu ada menyebut "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga".

Aktiviti melampias hawa nafsu sarakah dan penzinaan yang keji di rumah pusaka itu akhirnya berjaya dihidu oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) hasil aduan warga setempat.

Sekitar jam 2 pagi hingga 3 pagi kelmarin, satu serbuan terancang dilakukan ke atas rumah pusaka berkenaan.

Dalam sedar tidak sedar, rumah dikepung supaya tidak ada manusia durjana yang terlepas dari dibawa ke kandang pendakwaan.

Salah seorang pegawai penguatkuasa bersandiwara untuk mendapatkan khidmat seks dengan memberi salam.

Lalu, wanita terbabit membuka pintu rumah dan membenarkan pegawai penguatkuasa terbabit masuk, namun seorang lelaki yang dipercayai bukan 'mahram' bersembunyi dalam satu bilik.

Ketika ditahan sang penguasa, wanita berkenaan hanya berpakaian ringkas; 'singlet' lengkap dengan seluar jeans ketat yang nyata mencolok mata.

Pada mulanya, mereka tidak mengaku pasangan kekasih. Namun, akhirnya membuat pengakuan tidur di bilik yang sama.

Wanita berkenaan berkata, dulu salah satu bilik di rumahnya itu pernah disewa oleh sebuah keluarga.

"Ustaz baru dua hari saja kami tinggal berdua, dulu memang ada keluarga tinggal dengan saya lagi," katanya memberi alasan.

Sementara itu, lelaki berkenaan ketika ditanya hanya terdiam mendengar penjelasan teman wanitanya kepada penguat kuasa JAIPP.

Rupa-rupanya lelaki berkenaan adalah bekas 'beach boy'.

Dia pun mengaku terdapat beberapa masalah yang menyebabkannya dan teman wanitanya susah untuk berkahwin.

Sementara ditanya penguat kuasa JAIPP, lelaki yang berusia sekitar 30-an itu mengaku baru saja keluar dari penjara.

"Saya baru keluar penjara kerana kes gaduh pukat harimau," beliau memberi alasan.

Operasi maksiat yang dikenali Ops Santai itu diketuai Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan.

Turut serta, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIPP, Jaafar Ismail serta 14 penguatkuasa lain.

Khairul berkata, pasangan berkenaan kemudiannya diberikan notis mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang atas kesalahan berkhalwat.

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mereka dibawa ke pejabat JAIPP di Lebuh Pantai dan laporan polis dibuat di Balai Polis Lebuh Pantai," katanya.

penangdaily


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Wartawan palsu kena cekup

Posted: 10 Aug 2011 09:00 PM PDT


KUALA LUMPUR - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Itulah kesudahan, episod penyamaran seorang lelaki sebagai wartawan Sinar Harian yang berakhir petang semalam, apabila dia ditahan polis di Saloma Bistro, Jalan Ampang, di sini.

Dia ditahan ketika mengendalikan sesi fotografi palsu, melibatkan sekumpulan artis terkenal kononnya diadakan untuk terbitan khas Sinar Harian sempena Aidilfitri.

Antara artis diperdaya untuk sesi fotografi palsu itu, Farawahida, Nubhan, Man Kidal, Azharina dan artis baru, Firdaus.

Menariknya, meskipun palsu, sesi itu diatur cukup rapi oleh si penipu yang turut dilengkapi dengan khidmat jurufoto profesional dan jurumekap artis, yang juga dipercayai diperdaya.

SH


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Masih tak serik-serik dengan UMNO-BN?

Posted: 10 Aug 2011 06:00 PM PDT

Oleh Muhammad Zir

Sudah 54 tahun rakyat Malaysia memberi amanah kepada UMNO dan Barisan Nahttp://sandakan.files.wordpress.com/2009/11/bn-flag.jpgsional (dan Perikatan sebelum 1974) untuk mengurus dan mentadbir negara kita. Tetapi apa sebenarnya yang kita nikmati hari ini?

Ya, memang kita sudah ada bangunan pencakar langit, kita ada pusat membeli-belah gergasi, pasaraya besar, ada rumah, ada kereta, ada motosikal; tetapi dalam kita sibuk menghitung apa yang telah kita perolehi, sedarkah kita apa yang kita sudah hilang?

 



Jati diri, maruah bangsa, kehormatan diri, kejujuran dan keadilan sudah tercabut dari nilai-nilai bangsa kita bangsa Malaysia. Apakah nilai-nilai ini setanding dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang bukan milik kita itu?

Tidak sukar untuk membayangkan jika UMNO-BN terus memerintah Malaysia, masalah yang kita hadapi akan lebih teruk jadinya.

Majoriti rakyat akan menanggung beban hidup yang lebih buruk kerana:

  1. Harga minyak tidak akan turun, malah akan terus mencanak naik;
  2. Harga barang keperluan harian, lebih-lebih lagi makanan, akan melambung dan kuasa beli rakyat akan lebih mengecil akibat inflasi dan seterusnya ekonomi negara akan terus malap dan menjejaskan kewangan keluarga kita;
  3. Tarif elektrik akan terus naik dan membebankan rakyat, lebih-lebih lagi kepada golongan miskin Bandar;
  4. Sumber air akan terus dimanipulasi dan harga pula semakin meningkat;
  5. Harga tol akan terus naik, dan pembinaan plaza tol akan lebih banyak, namun kesesakan lalu lintas akan kekal teruk.

Majoriti rakyat tidak akan mendapat jaminan keadilan kerana:

  1. Sistem kehakiman dan badan perundangan telah dilihat oleh rakyat sebagai pilih kasih dan tidak telus. Segala suara dan tuntutan rakyat dianggap sebagai mengancam keselamatan negara;
  2. Pasukan Polis, SPRM, SPR akan terus dimanipulasi oleh UMNO-BN demi menjayakan niat mereka untuk mengekang dan menindas rakyat. Barangkali, kes kematian sewaktu dalam tahanan pihak berkuasa akan terus berlaku;

Majoriti peniaga akan semakin rugi kerana pertumbuhan ekonomi akan lebih menguncup kerana:

  1. Peluang perniagaan tidak adil kerana semua tender akan terus diberi kepada kroni UMNO-BN;
  2. Pelabur akan lari dan para pelabur takut untuk melabur kerana pentadbiran kerajaan dan undang-undang tidak telus, malah korup;
  3. Persaingan perniagaan tidak sihat dan monopoli kepentingan perniagaan menerusi kroni politik akan terus kekal. Rakyat tiada pilihan manakala syarikat monopoli boleh naikkan harga sesuka hati kerana tiada saingan.

Majoriti golongan tua dan orang kurang upaya (OKU) tidak akan terbela kerana:

  1. Kos perubatan dan bantuan kesihatan akan terus mahal dan sukar diperolehi. Peluang bagi golongan ini untuk mendapatkan mutu kesihatan akan terus terabai;
  2. Bantuan kewangan akan lebih lambat diterima kerana karenah birokrasi yang terus berlarutan. Ini akan menyebabkan keperluan warga tua dan OKU akan terabai.

Majoriti ibu tunggal dan wanita yang memerlukan bantuan akan terabai kerana:

  1. Skim bantuan perniagaan dan latihan kemahiran akan menjadi projek untuk hanya membantu ahli-ahli UMNO sahaja. Mangsanya adalah mereka yang bukan ahli UMNO;
  2. Kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam barisan pimpinan perkhidmatan awam dan politik tidak akan tercapai kerana ia telah menjadi medan memilih kroni. Hingga kini perkhidmatan awam belum mahu laksana kuota itu walau pun sudah ada ramai wanita yang layak;
  3. Perlindungan hak, keselamatan dan undang-undang tidak akan mampu dilaksanakan khususnya jika Menteri tunduk kepada kepimpinan yang hanya pentingkan kroni.

Majoriti golongan muda akan dimandulkan idealism mereka menerusi:

  1. Kekangan untuk berpersatuan, halangan beraktiviti secara terbuka dan semua pandangan akan disekat menerusi Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU);
  2. Peluang untuk kaum muda mengembangkan potensi diri akan terbantut kerana UMNO-BN akan sentiasa menjadikan mereka kambing hitam (dipersalahkan) apabila berlaku gejala sosial dan remaja;
  3. Peluang untuk kaum muda menimba ilmu akan lebih mengecil kerana kos dan beban hutang PTPTN.
  4. Golongan muda yang baru bekerja tidak akan mampu membeli rumah kerana harga dan faedah yang dikenakan terlalu tinggi. Mereka akan menjadi golongan baru dalam kategori miskin bandar atau miskin terpelajar.

Majoriti golongan pekerja akan terus ditindas kerana:

  1. Kerajaan akan terus menekan kesatuan sekerja dengan pelbagai akta yang tidak munasabah;
  2. Golongan pekerja tidak akan mendapat layanan yang adil baik dari segi upah dan kebajikan mereka;
  3. Kerajaan UMNO-BN akan menganggap golongan ini sebagai golongan nyamuk yang hanya banyak cakap tetapi tidak berani buat apa-apa, maka golongan ini akan terus terabai. Kerajaan akan menganggap jika mereka terikat dengan masalah gaji kecil, mereka tidak akan pedulikan politik dan hak kerana hanya tumpukan kepada kewangan diri dan keluarga.

Media massa akan terus menjadi alat perkakas kerajaan UMNO-BN kerana:

  1. Media akan terus dikongkong oleh akta-akta yang menyekat, termasuk tidak dibenarkan mengkritik kerajaan walau pun kerajaan melakukan kesalahan;
  2. Media akan terus mengikut telunjuk orang-orang politik UMNO-BN.
  3. Profesion kewartawanan akan terus dihina kerana membiarkan diri menjadi balaci pemimpin UMNO-BN.

Ini antara beberapa gambaran yang jelas jika rakyat, sama ada kerana termakan fitnah atau kerana takut kepada perubahan positif, terus memilih UMNO-BN sebagai kerajaan.

Malah di kalangan cerdik pandai kita, sama ada bijak dengan ijazah atau bijak street smart, dapat menggariskan lebih banyak lagi bencana yang akan menimpa kita jika UMNO-BN kekal berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Kita sebagai warga yang rasional dan bermaruah, dan jika kita yakin bahawa rasuah itu jijik, penyelewengan itu besar dosanya dan salah guna kuasa itu akan menghancurkan bangsa, maka sudah tentu kita akan memilih sebuah kerajaan yang menjamin ketelusan sistem dan keadilan untuk semua warganya. – Roketkini.com




KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan: