Rabu, 27 Julai 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


WAN AHMAD WAN OMAR LAYAK GANTI NAJIB

Posted: 27 Jul 2011 08:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

SIAPA kata BERSIH adalah pertubuhan haram atau diresapi oleh Komunis? Buktinya, masakan Ke Bawah Duli YMM Seri Paduka YDP Agong bersetuju untuk menerima mengadap Pengerusi BERSIH Datuk S. Ambiga. Mustahil Tuanku mahu berjumpa dengan pertubuhan haram apatah lagi dikatakan mempunyai fahaman Komunis.

Terbaru, BERSIH sendiri telah diundang sebagai ahli Panel di dalam wacana debat anjuran Karangkraf di shah Alam kelmarin dan SPR sendiri turut mengiktiraf BERSIH apabila Timbalan Presidennya Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut serta di wacana tersebut. Mustahil pertubuhan haram yang berfahaman Komunis boleh dijemput oleh pihak Penganjur tanpa halangan dari pihak berkuasa.

Menguatkan lagi hujah bahawa BERSIH adalah satu pertubuhan yang tiada kena mengena dengan fahaman Komunis atau apa jua gerakan `subversif', pada Jumaat (esok) sekali lagi BERSIH diundang untuk hadir bersemuka dengan Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR yang berpeluh sakan di dewan semasa wacana kelmarin. Kali ini mereka akan berforum atas tajuk "undang-undang pilihan raya, SPR & reformasi pilihan raya" anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) di Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya.

NONEDi dalam kemarahan kita kepada SPR, kita tidak boleh menidakkan keberanian SPR untuk berdepan dengan BERSIH walaupun SPR membawa hujah yang sering menjadi bahan ketawa dan ejekan para hadirin. Paling tidak, SPR lebih `jantan' dari Najib dan kuncu-kuncunya. Najib telah beberapa kali dicabar untuk berdebat dengan Anwar atas apa jua tajuk termasuk tajuk peribadi sekiranya Najib mahu, namun `kejantanan' Najib belum dapat dibuktikan.

Najib hanya berani melalak dan melaung di depan kaca TV dan media kerana sudah pasti tiada soal jawab. Di hadapan TV, Najib tunjukkan `jantan'nya anak Pahang Cucu Mat Kilau atau Tok Gajah. Tetapi hakikatnya, beliau boleh dianggap bersemangat `Tok Tikus' yang terus menikus. Amat malang Umno mempunyai pemimpin yang sedemikian rupa jauh sekali mewarisi semangat ayahandanya Almarhum Tun Razak.

Jika Najib penikus sedemikian rupa, masakan Muhyiddin anak Johor juga sedemikian? Siapa `jantan' sebenarnya di dalam Umno? Oleh yang demikian, jika di dalam pemilihan Umno akan datang jika Perwakilan Umno mahu menolak kedua-duanya dari takhta Umno, maka ada lojiknya juga. Masalahnya, siapa yang boleh ganti tempat kedua-dua penikus tersebut? Pada saya, Ketua Pemuda Umno memang `gentleman' dan berani tetapi di dalam Umno bukan keberanian yang mereka cari. Di dalam Umno yang mereka cari mungkin yang boleh `memberikan sesuatu' habuan kepada mereka. Masakan KJ mampu lakukan di dalam keadaan beliau tiada kuasa dan jawatan di dalam kabinet sekarang.

Naib Presiden Umno, siapa yang berwibawa dan dilihat berani? Zahid Hamidi? Hishamuddin atau Shafie Afdal? Kesemuanya satu `spesis' dengan Najib dan Muhyiddin juga. Justeru itu, `tabik spring' buat Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana `seteruk-teruk' beliau pun, beliau berani untuk ke depan bersemuka dengan seorang wanita. Seandainya Datuk Wan Ahmad Wan Omar ini meletak jawatan di dalam Kerajaan dan menyertai Umno, tiada syak lagi memang beliau layak menggantikan tempat Najib./wfauzdin.blogspot.com

KELAYAKAN PIALA DUNIA MALAM INI - JANGAN ADA LAGI JARINGAN `KARTUN'

Posted: 27 Jul 2011 10:59 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

MALAM ini perhitungan pasti mendebarkan apabila Pasukan Bolasepak Harimau Malaya kita akan turun ke padang untuk misi membalas dendam kepada Pasukan Singapura di dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Malam ini adalah penentuan samada kita layak atau tidak untuk mengukir sejarah ke pusingan seterusnya setelah kita tewas 3-5 di gelanggang lawan tempohari.

Malam ini, Jurulatih K.Rajagopal tidak lagi boleh mencipta seribu alasan sekiranya benteng kita masih senang dibolosi oleh pihak lawan. Terlalu banyak kita dengar rungutan dan kritikan dari peminat-peminat Bolasepak tanahair termasuk dari media sendiri betapa hancurnya benteng pertahanan kita sewaktu kita bermain di Singapura. Boleh dikatakan hampir kesemua gol yang diperolehi oleh pasukan Singapura itu adalah hasil dari kecuaian benteng pertahanan yang tidak boleh dimaafkan. Kita bukan tidak boleh menerima kekalahan tetapi kekalahan akibat jaringan `kartun' sedemikian rupa amat mengecewakan.

Difahamkan Jurulatih K.Rajagopal masih ingin mempertahankan benteng yang ada dan kita tetap memberi ruang kepada beliau untuk sekali lagi mencuba anak-anak buahnya. Tetapi harus diingat, Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadikan beliau sasaran sekiranya ada jaringan `kartun' yang berulang. Kita bersedia jika ditakdirkan tewas tetapi kita tidak boleh lagi menerima berbagai alasan dari beliau seandainya benteng pertahanan masih lagi menjadi `duri dalam daging' di dalam pasukan kita.

Adakah Penjaga Gol akan kembali diambil alih oleh Khairul Fahmi? Atau, adakah Sharbini masih dianggap terbaik bagi mengawal gawang pasukan Malaysia malam nanti? Ketika menentang Singapura di tempat lawan tempohari, meskipun kesilapan datangnya dari benteng pertahanan namun sepatutnya Sharbini mampu melakukan sesuatu bukan sekadar menjadi `pak pacak' di dalam gawang menyaksikan bola menerjah jaring.

Walau bagaimanapun, besar harapan kita agar malam ini pasukan kita akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya dua gol tanpa bolos untuk melayakkan kita ke pusingan seterusnya. Kehadiran para penonton tentunya melimpah ruah kerana difahamkan tiket sejumlah 85, 000 telah habis dijual. Jangan persiakan harapan mereka termasuk yang menyaksikannya melalui kaca TV atau Skrin besar. Jika tewas sekalipun, biarlah tewas dengan penuh bergaya dan bermaruah./wfauzdin.blogspot.com

UMNO DI PENGHUJUNG TANDUK APABILA GOLONGAN AGAMA DIFITNAH

Posted: 27 Jul 2011 02:00 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

APA sudah jadi dengan `Ulamak Muda' dalam Umno? Belum kering cop jari di dalam borang keahlian Umno, mereka digelar Pengganas atau Wahabi? Tidak cukupkah jasa mereka `mengipas' pemimpin Umno atau masih kurang lagi hayunan kipas mereka?

Membaca Malaysiakini hari ini, nampaknya Umno sudah berputus arang dengan golongan `ulamak'. Mungkin mereka ini tidak sampai KPI untuk menjadi Ulamak Umno yang sebenarnya. Sememangnya kita lihat Ulamak Muda di dalam Umno tidak mampu untuk membela pemimpin Umno yang semakin tenggelam dengan kemungkaran itu.

young ulama join umno 250610 02Begitu jugalah nasib yang menimpa Us Dr Asri, cuma Us Dr Asri lebih bernasib baik kerana lebih awal terhidu tengitnya bau Umno ini. Bak kata Us Nasruddin, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, beliau mengenali sebahagian anggota ulama muda Umno, melalui raut wajah dan sosok tubuh, tidak tergambar di fikirannya bagaimana mereka boleh tersenarai sebagai pengganas.

Jika saya di tempat Ulamak Muda di dalam Umno itu, saya sendiri akan pening untuk memikirkan apa sebenarnya yang pemimpin Umno mahu dari golongan Ulamak? Adakah mereka mahu Ulamak Muda ini bercakap bahawa Umno adalah pejuang Islam yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad S.A.W? Atau mereka mahu Ulamak Muda ini berhukum bahawa isteri seseorang pemimpin Islam itu `harus' membuka auratnya kerana yang penting adalah niat yang baik dan mulia seperti mewujudkan Permata?

Us Nasruddin sampai termenung memikirkan betapa jeliknya Umno melayani Ulamak mereka yang dulunya mereka raikan besar-besaran. "Kini saya termenung di anjung musolla sambil mengenang isu ini dan hati saya berdetik, kalaulah 40 ulama muda itu menyertai PAS lalu berganding memperjuangkan Islam, membasmi kejahilan, menentang kezaliman, membenteras kemungkaran dan menegakkan syariat, alangkah manis dan indahnya. "Berbaloi digelar 'pengganas' oleh kerajaan Umno dan BN kerana menentang mereka," (Us Nasruddin Tantawi)

Adakah Ulamak Muda ini masih sanggup bersekongkol dengan puak yang sekutu Apco ini? Atau, Ulamak Muda ini akan berani menyeberang bersama saf yang memperjuangkan Islam berpandukan Al-Quran dan Hadith walaupun mungkin akan mengalami kesusahan dan penderitaan?

Bagi kita yang komited dengan perjuangan ini, tidak kira samada Ulamak Muda ini mahu bersama kita atau tidak, perjuangan mesti diteruskan. Tiada tawaran atau jawatan besar menanti mereka jika mereka ingin bersama kita, cukup sekadar Allah yang membalas segala penat lelah, susah payah kita berjuang. Nampaknya, akhir riwayat Umno semakin hampir apabila golongan agama telah mereka pinggirkan./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: