Jumaat, 1 Julai 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Pemuda PAS Minta RTM Henti Iklan Gambarkan Himpunan Bersih Negatif

Posted: 01 Jul 2011 07:51 AM PDT

KUALA LUMPUR 1 JULAI : Dewan Pemuda PAS Pusat kesal dengan tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyiarkan iklan khas dengan tujuan memberikan gambaran buruk terhadap Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Menurut Ketua Peneranganya Riduan Mohd Nor, iklan khas itu mula disiarkan di saluran TV2 sejak semalam dengan memaparkan tiga pelakon muda negara.

"Iklan pendek berkenaan dimulai dengan salah seorang pelakon menunjukan risalah Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) yang kemudiaannya disambut baik oleh pelakon Bell Ngasri yang menyatakan minat untuk menyertai perhimpunan di awalnya.

"Kemudian pelakon ketiga, Ezany Nizariff pula menunjukan klip video huru-hara yang berlaku di luar negara dan mengatakan bahawa itulah yang akan berlaku dalam himpunan Bersih.

"Rakyat terancam dan pelancong pun akan lari dan iklan itu di akhiri dengan Bell mencampakkan risalah Bersih dan mengatakan perhimpunan itu adalah perhimpunan kotor," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih yang disokong Pakatan Rakyat mendapat respons negatif di media arus perdana terutamanya media kawalan UMNO, selain turut mendapat kecaman daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perkasa.

Sejak sebulan yang lalu, Himpunan Bersih 2.0 dikecam hebat dalam media arus perdana, malah polis juga memulakan tindakan keras dengan menahan lebih 100 setakat ini.

Sekitar 2,000 laporan polis dibuat ke atas Himpunan Bersih 2.0.

Selain itu, dalam khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini turut mengecam Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan pihak penganjur sebagai gerakan pelampau.

Tegas Riduan, iklan anti-Bersih itu sengaja disiarkan bagi memberikan gambaran negatif kepada rakyat mengenai Himpunan Bersih 2.0.

"Iklan yang dirakamkan disebuah kedai kopi ini sengaja disiarkan bagi meningkatkan salah faham rakyat terhadap Bersih, kami kesal kerana RTM sanggup menyalahgunakan wang rakyat untuk membuat fitnah kepada himpunan rakyat yang aman ini.

"Dengan sendirinya RTM membiarkan dirinya menjadi alat politik pihak-pihak yang takut kepada himpunan Bersih... lebih mendukacitakan bila mana RTM tiada bukti untuk menggambarkan keganasan dan huru hara yang berlaku dalam Himpunan Bersih hingga terpaksa mencuri rakaman video dari luar negara pula," katanya.

Selain menuntut RTM menghentikan penyiaran iklan berunsur fitnah itu, Riduan menegaskan pihaknya mencabar agensi penyiaran itu menganjurkan debat secara langsung di TV1 dan TV2 agar rakyat menilai sendiri tuntutan yang dibuat Bersih.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Kami mencabar RTM untuk menganjurkan debat secara langsung di TV1 dan TV2 dengan menjemput wakil Bersih atau komponennya dan juga wakil SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) atau BN supaya rakyat boleh menilai sendiri tuntutan Bersih dan perjuangannya," katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

Azmin kepada Wan Ahmad: Letak jawatan dan bertanding dalam PRU!

Posted: 30 Jun 2011 11:48 PM PDT

| Jul 01, 2011 11:42:41 am

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar yang dilaporkan oleh laman portal Malaysiakini.com bertarikh 30 Jun 2011 bertajuk "SPR: Ambiga diperalat, BERSIH kian kusut".

Menurut laporan tersebut, Wan Ahmad mendakwa bahawa Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH), Ambiga Sreevenasan (gambar kiri) telah diperalatkan oleh pemimpin politik pembangkang untuk membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kenyataan Wan Ahmad adalah tidak bertanggungjawab dan menzahirkan watak sebenar beliau yang selama ini dilihat sebagai alat kepada pimpinan UMNO dan sistem yang rosak. Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.

Adalah malang apabila Wan Ahmad gagal memperlihatkan profesionalisme sebagai penjawat awam yang seharusnya bersifat berkecuali. Ketaatan membuta-tuli beliau kepada UMNO jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada "government of the day" dengan taat kepada "governing party".

Beliau turut dilaporkan oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata komponen Pakatan Rakyat sudah mula risau dengan kebangkitan Barisan Nasional yang memperlihatkan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu.

Pilihan raya yang bebas dan adil tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui siapakah yang akan menang dalam sesuatu pilihan raya.

Sebaliknya, apabila Wan Ahmad menzahirkan kenyataannya bahawa Barisan Nasional semakin kuat, maka timbul persoalan apakah beliau sudah merancang sesuatu bagi menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional? Kalau inilah peranan yang dicatur oleh Wan Ahmad, maka pilihan raya di Malaysia sememangnya tidak lagi bebas dan adil!

Wan Ahmad seharusnya faham dan menghayati peranan SPR yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia. Asas utama dalam mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil ialah daftar pemilih yang bersih untuk menjamin tidak berlaku pengundian berganda oleh seorang pemilih berdaftar termasuk undi pos.

Saya telah menyahut cabaran Wan Ahmad dan telah membuktikan secara berfakta bahawa Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011 adalah daftar pemilih yang terkotor dalam sejarah pilihan raya dan dakwaan saya telah diakui benar oleh SPR dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria bertarikh 24 Jun 2011. Wan Ahmad harus memikul tanggungjawab ini dan meletakkan jawatan serta merta. Beliau tidak lagi punyai maruah dan kredibiliti untuk memimpin SPR.

Wan Ahmad (gambar kanan) juga sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH.

Lapan (8) tuntutan BERSIH iaitu (i) pembersihan senarai pengundi; (ii) reformasi undi pos; (iii) penggunaan dakwat kekal; (iv) tempoh kempen minima 21 hari; (v) memperkukuh institusi awam; (vi) menghentikan rasuah pilihan raya dan; (viii) menghentikan politik kotor; adalah bertujuan untuk menyuburkan demokrasi dalam negara dan memperkukuhkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Tuntutan-tuntutan ini sewajarnya dipandang serius dan positif oleh SPR dalam usaha untuk memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus, bebas dan adil. SPR harus berlapang dada untuk menerima dan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh rakyat demi memperbaiki imej dan kredibiliti SPR yang dilihat sebagai tidak berwibawa dan bersikap berat sebelah.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat senantiasa mendukung sebarang usaha yang proaktif demi rakyat dan demi menjamin satu sistem demokrasi yang menjanjikan pilihan raya yang telus, bebas dan adil.

Sehubungan dengan itu, saya mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR. Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik UMNO dan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13!

*Kenyataan media oleh Mohamed Azmin Ali (gambar kiri) selaku Timbalan Presiden PKR.

UMNO BN Komunis, Bukan PSM - Khalid Samad

Posted: 30 Jun 2011 11:40 PM PDT

SHAH ALAM 1 JULAI : Pihak yang menolak tuntutan pilihan raya bersih dan adil merupakan golongan yang mendokong fahaman komunis menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Ini kerana menurut beliau ideologi komunis bertentangan dengan hasrat rakyat untuk melihat reformasi dalam sistem pilihan raya.

"Kalau betul komunis di Malaysia mahukan pilihan raya maka komunis ini murtad. Dia lebih baik daripada Umno, mahukan pilihan raya bersih. Umno-Barisan Nasional pula yang ikut fahaman komunis mahukan pilihan raya kotor," katanya.

Khalid yang berucap pada sebuah program di Shah Alam baru-baru ini mengulas tuduhan yang dilemparkan oleh polis terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) kononnya, parti itu cuba menghidupkan fahaman komunis.

Mereka juga didakwa cuba menggunakan fahaman tersebut untuk menggulingkan kerajaan UMNO BN melalui perhimpunan Bersih 2.0 pada minggu hadapan.

Menurut polis, lima pemimpin PSM dikesan mengunjungi perkampungan Khao Nam Khang iaitu kawasan penempatan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Selatan Thailand untuk bertemu dengan bekas ahli kumpulan itu.

Walhal menurut kepimpinan PSM, pertemuan tersebut hanya bertujuan untuk bertukar- tukar pandangan.

Khalid kemudian mengambil pendirian bahawa kerajaan UMNO BN tanpa disedari telah lama mengamalkan kaedah komunis dalam pemerintahannya.

Perkara itu dapat dilihat melalui cara media dimonopoli sepenuhnya tanpa memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk muncul di kaca televisyen selain mengamalkan penyampaian maklumat secara selektif dan berat sebelah.

"Komunis tidak mahu pilihan raya. Mana ada komunis yang amalkan pilihan raya ? Negeri China, Russia tiada. Kalau mahu pilihanraya dia mahu ala Malaysia yang mana TV semua cakap pro kerajaan sahaja," tambah beliau lagi.

Beliau sebelum itu mengulas tentang tuntutan Bersih 2.0 yang dianggap relevan dan tidak mustahil untuk dilaksanakan kerajaan pemerintah.

Tiada ulasan: