Rabu, 27 Julai 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


253 Peneroka Di Jengka Failkan Tindakan Saman Terhadap Felda Akibat Manipulasi Dan Penipuan

Posted: 26 Jul 2011 10:06 PM PDT

KUANTAN, 27 Julai - Seramai 253 orang lagi peneroka di kawasan Felda Gugusan Jengka, akan memfailkan saman dan menuntut ganti rugi terhadap Felda kerana manipulasi dan penipuan yang dilakukan agensi itu terhadap mereka. Di fahamkan jumlah peneroka dari beberapa Felda yang memfailkan saman mereka meningkat kepada 964 orang. Katanya, setiap peneroka menuntut RM458,000 kerugian yang ditanggung sejak 15 tahun lalu, berhubung Kadar Gred Perahan Asas (OER) buah kelapa sawit yang lebih rendah dari nilai asal. Ia termasuk tindakan Felda Palm Industries yang tidak mengira hasil tandan kelapa sawit peneroka yang dihantar kepada pengilang itu, dengan alasan buah kepala sawit muda dan mengkal. Tindakan saman ini i menyebabkan ada Pengurus dan pegawai-pegawai dari beberapa Pejabat Felda di sekitar Jengka sedang giat menjalankan kempen mengugut peneroka Felda yang memfailkan saman mereka seperti di Felda Jengka 8, Jengka 3 dan Jengka 18. Di antara ugutan yang digunakan ialah penafian kepada peneroka-peneroka itu ke atas bonus tahunan dan "duit raya". Namun difahamkan peneroka-peneroka tidak mempedulikan ugutan ini kerana sejak mereka memulakan tindakan menyaman Felda, peratusan perahan KPG mereka telah berjaya dinaikkan dari 18% kepada 21%, dan kenaikan ini sudah melebihi bonus tahunan dan juga hari raya yang boleh diterima mereka.

[Pada 17 Jun lalu, seramai 711 orang peneroka rancangan Jengka telah memfailkan saman sebanyak RM344 juta berhubung dakwaan penipuan dan pecah amanah. Felda sebelum ini turut disaman di Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan. Dalam kenyataan tuntutan mereka, peneroka berkenaan mendakwa mereka sejak 15 tahun lalu dibayar mengikut OER yang rendah dengan purata 18.5 peratus. Namun kadar sebenar OER didapati lebih tinggi apabila mereka menghantar contoh rawak hasil buah kelapa sawit kepada makmal bebas untuk menilai kadar sebenar OER. Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadar purata lebih tinggi sebanyak 27 peratus, yang bermaksud perbezaan purata 8.5 peratus berbanding kadar yang digunakan oleh Felda Palm Industries. Dengan perbezaan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu RM30,912 pada tahun 2008 sahaja].

Naib Presiden PAS, YB Salehuddin Ayub Ceramah Di Markas PAS Kg.Pandan 2, Kuantan Malam Ini !

Posted: 26 Jul 2011 09:47 AM PDT

KUANTAN, 27 Julai - Satu program Ceramah Umum anjuran PAS Kawasan Paya Besar bakal diadakan di Markas PAS Kg.Pandan Dua (Jalan ke Lapangan Terbang Sultan Hj.Ahmad Shah) jam 9.00 malam ini. Tetamu jemputan khas yang bakal berceramah malam ini ialah Naib Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Kubang Kerian iaitu, YB Salehuddin Ayub (foto). Turut berceramah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Yusof Embong dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Md Saad. Orang ramai terutamanya yang berada di kawasan Parlimen Paya Besar, Kuantan dan Indera Mahkota adalah dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan lagi program ini nanti.

Datuk Ambiga: Kaedah Biometrik Untuk Elak Undi Bertindih Bukan Penyelesaiaannya, Guna Dakwat Lebih Rasional, Murah Dan Mudah Dilaksanakan!

Posted: 26 Jul 2011 09:20 AM PDT

SHAH ALAM 27 Julai - Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik untuk mengatasi masalah pengundi hantu tidak harus bersandar kepada rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semata- mata, kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreneevasan (foto). Ini kerana JPN sendiri tidak mempunyai rekod lengkap mengenai individu yang telah meninggal dunia, sekaligus memberi ruang kepada pihak tertentu memanipulasi butiran mereka untuk dimasukkan dalam daftar pengundi SPR, kata beliau. Bercakap dalam forum "Apa Selepas 9 Julai" semalam, Ambiga mengambil sikap terbuka kepada cadangan SPR menggunakan teknologi biometrik namun mempersoalkan keupayaan JPN memastikan rekod-rekodnya adalah tepat dan terkini. "Saya risau kerana sistem biometrik akan bergantung sepenuhnya terhadap JPN yang tidak boleh mengesan orang mati. Saya ada masalah dengan itu," kata beliau. Justeru, saranan supaya SPR memperkenalkan dakwat kekal untuk mengelak isu pengundi bertindih adalah jauh lebih rasional, murah dan mudah untuk dilaksanakan. Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini mengenalpasti lebih 1,607 pengundi yang sudah mati di Perak tetapi masih disenaraikan dalam daftar SPR. SPR sering dikecam bersabit dakwaan bahawa daftar pengundi dimanipulasi bagi bolehkan pengundian dua kali oleh individu sama atau kes individu menggunakan butiran pihak lain untuk mengundi.

[Ambiga seterusnya mempersolkan sama ada SPR mampu melaksanakan sistem biometrik menjelang pilihan raya umum yang dijangka di adakan dalam tempoh beberapa bulan lagi. "Ia melibatkan jumlah teknologi yang besar. Sistem ini akan mudah tergendala kerana melibatkan sistem yang rumit," ujar beliau. Beliau seterusnya menyarankan SPR mengorak langkah melaksanakan pendaftaran pengundi undi secara automatik apabila seseorang mencapai usia 21 tahun. Ambiga gusar sistem yang ada sekarang akan menafikan hampir 3.5 juta pengundi hak untuk mengundi, semata- mata kerana nama- nama mereka tidak sempat diwartakan dalam daftar pengundi terbaru. "Kita perlu mengorak langkah untuk memastikan (mereka boleh mengundi) dan bukan halang mereka. Untuk daftar pengundi mudah tapi (untuk mengundi mereka) terpaksa menunggu beberapa bulan. Tiga juta orang (kemungkinan) tidak boleh mengundi dan itu melanggar perlembagaan," ujarnya]. sumber

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar Telah Kena 'Boo' Dalam Debat Sinar Harian

Posted: 26 Jul 2011 08:18 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Julai - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar (foto) hari ini berdepan dengan hadirin yang mencemuhnya dalam debat dengan pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan. Beliau juga kena 'boo' beberapa kali sehingga terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan dalam debat yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf, sebuah pertubuhan media yang menerbitkan Sinar Harian dan beberapa majalah popular yang lain. Wan Ahmad bertegas menjelaskan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasa dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Pejabat Peguam Negara. "Jangan anggap SPR sebagai musuh," rayunya. Dalam tindakbalasnya, Ambiga membidas SPR kerana tidak mengambil langkah pro-aktif meminda undang-undang yang lapuk. "Awak yang menganggap orang ramai sebagai musuh. Jika SPR bertindak terhadap cadangan pembaharuan, kami akan sokong anda. Kami akan berjuang bersaam anda," katanya sambil diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin. Panel itu turut dianggotai oleh profesor dari UKM Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

[Sesuatu yang wajar dipertikaikan melihat kepada penjelasan oleh Wan Ahmad SPR ini, beliau seolah-olah menyokong dan meneruskan kenyataan yang dibuat oleh kerajaan UMNO BN tanpa merujuk langsung kepada tuntutan rakyat yang dibuat menerusi himpunan Bersih 2.0. Bayangkan, dakwat celup yang sepatutnya digunakan mahu ditukarkan dengan kaedah Biometrik kononnya untuk membersihkan senarai daftar pengundi. Masalahnya, apakah orang ramai boleh tahu siapa yang sudah mengundi dan siapa yang akan masuk ke pusat pengundian dua tiga kali dengan kaedah tersebut?. Apatah lagi jika etugas SPR sendiri bersekongkol seperti sebelumnya. Jika dakwat celup digunakan, bukankah orang ramai lebih mudah menangkap mana-mana pihak yang cuba mengundi dua kali dilokasi yang berbeza. Kadeah Biometrik hanyalah untuk memudahkan pihak terbabit meneruskan agenda tersembunyi mereka sebenarnya. Justeru itu, kaedah ini wajar ditolak dan kenapa SPR nampaknya beriya-iya benar mahu menggunakan kaedah tersebut selepas mendengar kenyataan PM Najib Razak sendiri. Bukankah celup dakwat jauh lebih murah dari kaedah tersebut. Kenapa lain diminta lain yang mahu dibuat?].

Al-Fatihah: Mantan ADUN Kawasan Chenor, Ustaz Dato' Hj.Mahmud Bin Mat Taib Meninggal Dunia !!

Posted: 26 Jul 2011 07:01 AM PDT

MARAN, 26 Julai - Mantan Ahli Dewan Undangan Kawasan Chenor, Parlimen Maran Dato' Hj.Mahmud Mat Taib (foto) khabarnya telah meninggal dunia malam tadi. Allahyarham dipercayai menyertai UMNO sekitar tahun 80an dan telah berjaya menjadi wakil rakyat selama dua penggal sebelum diambil alih oleh ADUN Sekarang, Dato' Tan Mohd Aminuddin Ishak. Allahyarham lulusan agama universiti Timur Tengah itu merupakan antara pengasas ABIM Pahang dan agak rapat dengan Anwar Ibrahim sehingga ke akhir hayatnya. Malah Allahyarham juga telah menubuhkan sebuah sekolah agama berhampiran rumahnya di Kampung Awah dekat sini. Sekolah tersebut yang dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama (SABK) Al-Mahmudi, dan Allahyarham merupakan Pengetuanya hingga ke hari ini. Allahyarham dipercayai lebih rapat dan senantiasa berdampingan dengan orang-orang PAS mutakhir ini sebenarnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. Amin.

Tiada ulasan: