Selasa, 19 Julai 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Mahkamah Tinggi Arahkan Blogger Sharpshooter Di Perintah Bayar RM400,000 Kepada Rais Yatim

Posted: 19 Jul 2011 01:04 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang penulis blog membayar ganti RM300,000 kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana memfitnah menteri itu dalam satu artikel. Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof juga memerintahkan Amizudin Ahmat membayar kos RM100,000 kepada Rais. Pada 1 Jan lepas, Rais, 69, memfailkan saman terhadap Amizudin (foto), 42, yang juga anggota jawatankuasa Pemuda PKR, berhubung artikel yang disiarkan dalam blog, sharpshooterblogger.blogspot.com pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas. Katanya fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan sahaja reputasi Rais akan terjejas di peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Hakim Zabariah berkata bahawa dalam menetapkan jumlah ganti rugi itu, mahkamah mendapati tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan. "Apa yang jelas ialah defendan ini berada dalam kem politik yang berlainan," katanya. Beliau berkata fitnah itu melibatkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini merupakan satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang. Hakim Zabariah berkata tuduhan itu juga tidak sihat daripada segi hubungan diplomatik dan ia menambah lagi kemarahan negara jiran itu memandangkan terdapat kes-kes warga negara berkenaan didera ketika bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Sumber dari malaysiakini

[Di luar mahkamah Rais, yang diiringi isterinya Datin Seri Masnah Rais, ketika ditanya pemberita, berkata keputusan mahkamah itu merupakan satu pengajaran kepada masyarakat, khususnya mereka yang hanya meluangkan masa menulis tentang orang lain, supaya berhati-hati. "Hari ini hari yang hebat (kerana) ia satu lambang sebenar tentang keyakinan terhadap badan kehakiman kita," katanya. Rais diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir manakala Amizudin diwakili peguam William Leong. Dalam samannya itu, Rais berkata artikel berbahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau serta bermaksud beliau melakukan kesalahan besar merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia. Seorang wanita yang pernah bekerja dengan menteri itu kemudiannya telah memberitahu sebuah portal berita Indonesia bahawa beliau tidak pernah dirogol atau dilayan dengan buruk oleh majikannya itu].

Isu Lynas: Pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan Di Triang Bantah Perjumpaan Ahli Save Malaysia

Posted: 18 Jul 2011 08:04 PM PDT

TRIANG, 19 Julai - Hampir 200 individu mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah perjumpaan ahli 'Save Malaysia Stop Lynas' (SMSL), baru-baru ini. Perhimpunan secara aman itu dilakukan berdekatan lokasi perjumpaan SMSL kerana membantah tindakan mereka yang cuba meracuni minda penduduk di seluruh daerah ini mengenai 'bahaya' projek diusahakan Lynas. Ketuanya, Mohd Sayuti Zakaria berkata, mereka membantah bukan untuk menimbulkan huru-hara, sebaliknya mahu menghentikan dakwaan tidak betul mengenai projek itu. Menurutnya, satu kajian antarabangsa sudah dilakukan untuk memastikan bahan dihasilkan kilang itu tidak menjejaskan penduduk terutama bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan Gebeng, Kuantan. "Kami yakin projek ini tidak akan memudaratkan orang ramai kerana mustahil kerajaan tidak meneliti perkara itu sebelum bersetuju ia dilaksanakan di negara ini," katanya. Mohd Sayuti berkata, SMSL sebenarnya dibayangi parti pembangkang yang sentiasa tidak akan pernah setuju dengan setiap rancangan atau projek dilaksanakan kerajaan. "Dulu mereka pernah berjanji sekiranya kerajaan boleh mengesahkan bahawa projek Lynas tidak memudaratkan, mereka akan akur dengan keputusan kerajaan. Tetapi, bila keputusan dikeluarkan, mereka tidak setuju malah tubuh SMSL untuk bantah Lynas," katanya. sinar

[Terkadang ada kebenarannya kata-kata wakil NGO terbabit. Save Malaysia Stop Lynas dilihat dan dibayangi oleh parti pembangkang selama ini. Namun anehnya, mereka tidak mengaku dan tetap mengatakan yang Save Malaysia adalah sebuah NGO bebas yang berjuang untuk membela rakyat dalam isu panas ini. Kini, tambah mengejutkan apabila Save Malaysia juga sedia melibatkan wakil dari parti BN untuk bersama mereka. Malah difahamkan, sudah ada pemimpin dan ahli MCA yang secara terang-terangan melibatkan diri dengan NGO terbabit dan bersama-sama membantah projek Lynas itu. Nampaknya, semakin kontroversi lagi isu Lynas ini dibuatnya. Hanya rakyat sahaja yang bijak menilai segalanya].

Aktiviti: 'Sasterawan Negara', Datuk A.Samad Said Bakal Hadir Ke Program Bicara Bersih Di Kuantan

Posted: 18 Jul 2011 07:46 PM PDT

KUANTAN, 19 Julai - Satu program khas "Bicara Bersih" akan diadakan di Pejabat Perhubungan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Jalan Beserah pada 25 Julai (Isnin) minggu depan. Program antara lain akan mengupas beberapa perkara penting dan matlamat perhimpunan Bersih 2.0 serta mendedahkan beberapa tindakan pihak polis yang dilihat keterlaluan terhadap peserta pada hari itu (9 Julai). Program yang bermula jam 9.00 malam itu bakal menampilkan Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said (foto) dan Ketua Srikandi Keadilan, Siti Aishah Shaik Ismail. Orang ramai dijemput hadir dan digalakkan berpakaian rasmi Bersih 2.0 atau pun berbaju kuning sebagai tanda sokongan.

Tiada ulasan: