Pahang Daily Online |
- Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman Rasmikan Program Memperkasakan Deklarasi Hak Orang Asal Di Rompin
- Inkues Sarbaini: Saksi Kedua Maklum Mahkamah Koroner Bahawa Mangsa Terjatuh Ketika Sedang Cuba Keluar Dari Tingkap Dan Bukan Bunuh Diri
- Edisi Pahang: Kerajaan "Sedang Berusaha" Atasi Masalah Bekalan Air Dengan Menjalankan Proses Menaik Taraf Loji Dan Paip Usang Seluruh Negeri
- Jenayah: Polis Lumpuhkan Kegiatan Pengedaran Dadah Dengan Tertangkapnya Sepasang Kekasih!
- Sensasi: Gelombang Kuning Mewarnai Sambutan Lawatan Rasmi 'Perdana Menteri Malaysia', Dato' Seri Najib Tun Razak Ke 'Kota London' Semalam !!
- "Mahkamah Tinggi Pulau Pinang" Mengetepikan Hukuman Terhadap Kesalahan Gobalakrishnan Yang Di Lakukan Beliau Pada Tahun 2002 Dulu !
- Aktiviti Rakyat: MB Bakal Rasmi Karnival Gempaq Motor Pahang Di 'Stadium Sukpa Kuantan' Esok !!
- Kontroversi Di "Perhimpunan Bersih", Wajarkah Keseluruhan "Institusi Polis" Itu Di Persalahkan Gara-Gara Kesilapan Beberapa Anggota Mereka !!
- Aktiviti Rakyat: Radzi "Cinta Untuk Nabila" Serta Pak Long "Selagi Ada Rindu" Di Felda Sg.Panching Selatan Dalam "Konsert Jom Ubah" Malam Nanti !
- Aktiviti Rakyat: Orang Ramai Di Pelawa Menyertai Program 'Moh Kayuh Ke Lubuk Yu'Hari Sabtu Ini
- Aktiviti Rakyat: MB Pahang Merasmikan BN Youth Job Fair 2011 Dekat Hotel Zenith Kuantan Hari Ini
- Artikel PDO Tersiar Di 'Buletin Utama TV3', Andai Benar Gambar 'Allahyarham Baharuddin' Adalah Palsu Maka Kami Mohon Maaf Atas Kesilapan Itu!
Posted: 15 Jul 2011 03:36 AM PDT ROMPIN, 15 Julai - Pengerusi Keadilan Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman (foto) telah turun ke kawasan penempatan Orang Asal di Kg Kundang, dekat sini pada 13 Julai yang lalu. Beliau hadir bagi merasmikan Program `Memperkasakan Deklarasi Hak Orang Asal' yang bermula pada jam 11.00 pagi. Ketibaan beliau disambut oleh penduduk-penduduk di situ yang sejak awal pagi lagi menanti program dimulakan. Di antara pimpinan yang turut hadir adalah Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat, Tuan Hj Suhaimi Said, Sdr Rebin Birham selaku Setiausaha Biro Masyarakat Felda PKR Pusat, dan beberapa pimpinan PKR tempatan. Majlis diPengerusikan oleh Saudara Ismail bin Leh. Ketua Ranting PKR Kg Kundang, Saudara Rani telah memainkan peranannya dengan baik sekali bagi menjayakan program tersebut dengan kerjasama semua penduduk di situ. Tuan Hj Suhaimi Said telah menyampaikan ucapannya dengan menyentuh beberapa perkara berkaitan kepentingan dan hak Orang Asal. Perasmian program tersebut telah dilakukan oleh Dato' Fauzi Abd Rahman. Sebelum itu beliau berucap dengan menyentuh beberapa isu politik semasa yang mempunyai kaitan dengan kepentingan masyarakat Orang Asal. Isu Perhimpunan BERSIH 2.0, isu rampasan tanah, kenaikan harga barang serta memberikan jaminan kepada masyarakat Orang Asal ke arah kehidupan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat dapat mengambil alih kerajaan. Laporan lanjut klik SINI |
Posted: 15 Jul 2011 03:24 AM PDT KUALA LUMPUR 15 Julai - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed tidak membunuh diri dan tidak dibunuh, sebaliknya terjatuh ketika cuba keluar dari tingkap di bilik pantri, aras tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan. DSP Sharul Othman Mansor, 49, yang bertugas di Makmal Forensik Bukit Aman berkata, beliau berpendapat Allahyarham cuba keluar daripada tingkap itu untuk melompat ke bumbung berdekatan, tetapi terjatuh di gelanggang badminton yang terletak di aras satu bangunan berkenaan. Saksi kedua itu yang dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini, berkata, apabila berada di tingkap berkenaan dan melihat ke bumbung yang berdekatan, jarak antara bucu tingkap ke bumbung kelihatan dekat, namun apabila dibuat ukuran, jaraknya agak jauh iaitu 3.02 meter. Sharul Othman berkata, setelah siasatan dilakukan, beliau turut mendapati kedudukan mayat berada selaras dengan tingkap di aras tiga berkenaan dan setelah memeriksa mayat, ditemui kesan cat putih pada kepala tali pinggang dan bahagian hadapan seluar mangsa. "Hasil pemeriksaan di bilik pantri juga ditemui goresan lebih kurang empat sentimeter pada dinding tingkap yang berdekatan dengan sinki, di mana dipercayai Allahyarham cuba keluar," katanya ketika disoal oleh Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang wakili SPRM. |
Posted: 15 Jul 2011 02:26 AM PDT RAUB 15 Julai - Kerajaan Negeri Pahang sedang berusaha mengatasi masalah bekalan air dengan menjalankan proses menaik taraf secara berperingkat bagi menggantikan loji dan paip usang di seluruh negeri. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (foto) berkata, isu berkaitan bekalan air dibincang secara serius pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dengan mengenal pasti beberapa kawasan yang mengalami masalah tersebut. ''Kerajaan negeri membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan kerana bajet menggantikan semua saluran paip dan loji memerlukan perbelanjaan besar iaitu RM1.5 bilion. ''Bagaimanapun pembangkang menyebar fitnah kononnya kerajaan negeri melakukan pembaziran sebanyak RM2 bilion sedangkan perbelanjaan tersebut bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih dan tidak lagi mengalami kesukaran pada masa akan datang," kata Menteri Besar Pahang itu. [Adnan berkata demikian selepas menghadiri majlis Mesra Bersama Penduduk Daerah Raub di sini baru-baru ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram. Menurut Adnan, sekiranya proses menaik taraf bekalan air itu dilakukan serentak di seluruh negeri, rakyat akan menghadapi masalah bekalan selama enam bulan dan ia akan menimbulkan kesukaran kepada mereka. Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, bekalan air di Pahang tidak akan terjejas walaupun disalurkan ke Lembah Klang. Katanya, masalah bekalan air yang dihadapi kini bukan berpunca daripada kekurangan sumber tetapi masalah saluran paip usang dan loji pemprosesan yang perlu dinaik taraf. Beliau memberi jaminan bekalan air di negeri ini tidak akan terjejas kerana sumber sedia ada melebihi keperluan]. sumber |
Jenayah: Polis Lumpuhkan Kegiatan Pengedaran Dadah Dengan Tertangkapnya Sepasang Kekasih! Posted: 15 Jul 2011 02:05 AM PDT KUANTAN 15 Julai - Polis melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah dengan tertangkapnya sepasang kekasih di sebuah rumah di Gambang Makmur dekat sini malam kelmarin. Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, seorang lelaki dan teman wanitanya berada di dalam rumah bersama seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipercayai anak wanita terbabit. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supritendan Yap Thoon Kuan berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 34 tahun dan teman wanitanya yang berumur 37 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. "Kita mendapati suspek lelaki itu masih dalam jaminan mahkamah atas kes sama. Kita percaya rumah sewa milik wanita terbabit digunakan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah kepada penagih berdekatan," katanya. Menurut Thoon Kuan, dalam serbuan tersebut, polis merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 17 gram dan dua peket dipercayai syabu seberat 1.5 gram. "Pada masa sama, polis merampas satu peket plastik heroin seberat 100 gram, 11 peket syabu seberat 6.86 gram dan beberapa pil Eramin 5 yang cuba dibuang suspek ke dalam mangkuk tandas. "Semua rampasan itu bernilai kira-kira RM5,000. Pemeriksaan turut mendapati suspek lelaki positif dadah manakala wanita itu negatif," katanya. Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. sumber |
Posted: 15 Jul 2011 01:07 AM PDT Mutakhir ini, heboh diperkatakan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Tun Razak telah disambung dengan "gelombang kuning" semasa kunjungan hormat beliau ke Istana Buckingham, London semalam. Kami cuba mendapatkan maklumat dan kebenaran perkara itu, ternyata ia sungguh mengejutkan. Apakah masyarakat antarabangsa sudah mula mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku di negara kita. Tambaha pula bagi negara British yang pernah menjajah Tanah Melayu sejak sekian lama. Perhimpunan Bersih 2.0 sudah seminggu berlalu, namun bahangnya masih terasa sehingga ke hari ini. Gelombang kuning kini seolah-olah membuktikan kebangkitan suara rakyat untuk perubahan. Soalnya, kenapa ia juga mewarnai sambutan pemimpin nombor satu negara itu ke United Kingdom?. Tambah memalukan, apabila Permaisuri British, Ratu Elizabeth itu sendiri turut memakai baju kuning ketika menerima kunjungan Najib. Ini sungguh memalukan dan seolah-olah menunjukkan isyarat jelas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berusaha membuat perubahan agar pilihanraya yang diadakan di negara ini benar-benar bersih dan adil. Harus diingat, Malaysia adalah negara Komenwel dan sudah semestinya kita harus mengikuti apa yang diamalkan oleh negara terbabit. Mereka memberi kemerdekaan kepada kita agar kita akur dan berlaku adil kepada rakyat. Jika ini keadaannya, sudah pasti mereka juga kecewa dengan senario yang berlaku. Oleh itu, kerajaan juga perlu serius untuk melakukan perubahan demi masa depan negara kita sebenarnya. Bukti, Najib dan Rosmah disambut pakaian kuning oleh Ratu Elizabeth Bukti, gelombang kuning mewarnai kehadiran PM Najib ke kota London [Apa yang terjadi ini bukanlah dirancang sebenarnya, namun ia sungguh mengejutkan. Paling menarik ketika Najib diiringi oleh Setiausaha Pengangkutan Negeri, Philip Hammond ketika melawat Stesyen Keratapi London, pemimpin terbabit juga mengenakan tali leher berwarna kuni (klik sini). Kehadiran Najib ke London juga disambut dengan demontrasi aman himpunan Bersih 2.0 oleh rakyat Malaysia di sana. Ia jelas menunjukkan isyarat supaya kerajaan bersedia untuk berubah. Jika tidak sudah pasti gelombang Bersih 3.0 akan menyusul kelak. Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein berkata kemeja-T (kuning) yang menyokong Himpunan Bersih 2.0 diharamkan kerana ia ada kaitan dengan perhimpunan haram itu bulan depan. Sementara itu, parti PAS menyifatkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak sekarang sedang mengidap penyakit Xantho Phobia atau ketakutan kepada warna kuning]. |
Posted: 15 Jul 2011 12:48 AM PDT GEORGETOWN 15 Julai - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengenepikan hukuman terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan (foto) yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret terhadap beliau atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 2002. Hakim Datuk Zamani Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah meneliti rayuan pihak pembelaan dan persetujuan daripada pihak pendakwaan untuk mengekalkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadap Gobalakrishnan seperti yang terdapat pada peruntukan undang-undang ketika itu. Sehubungan itu mahkamah perlu menggantikan semula wang denda RM2,000 kepada Gobalakrishnan kerana beliau telah membayar kesemua jumlah denda sebanyak RM3,000 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret tahun lepas. Gobalakrishnan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Mei tahun lepas selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana didapati bersalah atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 2002. Beliau dituduh dengan sengaja menghalang C/Insp V. Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama di sini kira-kira pukul 12.20, 29 Jan 2002 dan beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang kira-kira 30 penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada menari ketika sambutan Thaipusam di George Town. Gobalakrishnan diwakili peguam bela Saiful Ambar Abdullah Ambar manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang yang mewakili Suhaimi Ibrahim. |
Aktiviti Rakyat: MB Bakal Rasmi Karnival Gempaq Motor Pahang Di 'Stadium Sukpa Kuantan' Esok !! Posted: 15 Jul 2011 12:14 AM PDT KUANTAN, 15 Julai - Orang ramai adalah dipelawa menyaksikan Karnival Gempaq Motor Pahang 2011 di Stadium Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota dekat sini esok (16 Julai). Program sehari itu akan dirasmikan pada jam 8.00 pagi oleh Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob (foto). Berbagai aktiviti menarik disediakan termasuk Sprint Test Motosikal dan Kereta, Persembahan Artis (Ramli Sarip), Free Style Motosikal, Indoor Game (Dart), Sepak Raga Bulu Ayam, Target Shooting (Paintball) dan lain-lain. Disamping itu, cabutan bertuah juga disediakan dimana penganjur menyediakan dua buah motosikal, telefon bimbit dan barangan elektrik. Semua belia yang menunggang motosikal adalah dijemput hadir. Masuk adalah percuma dan T-Shirt disediakan bagi pendaftaran awal. Program ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Pahang dibawah Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Pahang. |
Posted: 14 Jul 2011 01:41 PM PDT Rakyat sewajarnya tidak terus menjatuhkan kesalahan atas bahu anggota polis dalam beberapa insiden panas yang berlaku ketika perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu. Ini kerana, mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab atas arahan yang telah diberikan. Maka sewajarnya sebagai penjawat awam, pihak polis terpaksa melakukan tindakan sekiranya mendapati keselamatan dan ketenteraman awam terancam. Memang benar, peserta Bersih 2.0 menjatuhkan kesalahan sepenuhnya atas bahu polis kononnya mereka bertindak kasar, biadap, kejam dan keterlaluan kepada orang ramai yang terlibat dengan perhimpunan tersebut. Namun, dalam masa yang sama rakyat juga harus sedar dengan tanggungjawab pihak terbabit dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara tidak tercemar. Rakyat boleh berhimpun tetapi pihak polis juga ada hak menjalankan tugas mereka. Tambahan pula, bila diwar-warkan ia adalah "perhimpunan haram" tanpa permit dan sebagainya. Memang benar, mungkin ada seorang dua yang bertindak keterlaluan terhadap mereka. Namun, apakah kesalahan itu boleh diletakkan kepada keseluruhan institusi polis itu sendiri. Bukankah, pihak polis juga ada banyak jasa dan sumbangan terhadap rakyat itu sendiri. Mungkin ada beberapa tindakan peserta demontrasi terbabit yang bersikap keterlaluan dan sengaja menimbulkan provokasi yang mengundang kemarahan beberapa orang anggita polis yang bertugas. Sesiapa pun akan menjadi marah dan hilang pertimbangan jika maruah mereka dicabar sebenarnya. Oleh itu, tidak perlulah isu ini terlalu diperbesarkan, kerana akhirnya rakyat akan berhadapan semua dengan pihak polis pada bila-bila masa andai mereka berhadapan dengan berbagai kes jenayah dan sebagainya. Bukti, rawatan kesihatan dan ruang solat turut disediakan kepada peserta Peserta diambil keterangan dan diberikan jamuan makan ketika ditahan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sendiri juga mengadu kepada polis Kepada siapa lagi mereka harus melaporkan kejadian dan musibah yang melanda, jika institusi polis itu terus dimusuhi oleh rakyat. Amatlah tidak wajar "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga". Apa yang berlaku hari ini, seolah-olah rakyat menjadi polis itu sebagai musuh yang perlu ditentang, sedangkan jika berlaku sesuatu kejadia tidak dingini ke atas diri mereka maka Balai Polis itu jugalah yang menjadi tempat mereka mengadu. Oleh itu, bersikap rasional dalam mengeluarkan kenyataan dan tindakan agar hubungan antara polis dan rakyat itu dapat dipertahankan sampai bila-bila. Mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira masanya. [Kami juga bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (foto) bahawa tindakan akan diambil terhadap anggota polis yang didapati menyalahi Prosedur Pelaksanaan Standard atau SOP ketika bertugas pada perhimpunan haram, Sabtu lalu. Ketika memberi jaminan itu, beliau berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan itu jika ada laporan dan bukti. Bagaimanapun, beliau yakin anggotanya menjalankan tugas mengikut prosedur ditetapkan. Beliau juga berjanji akan mengkaji keruhan operasi polis semasa Himpunan Bersih 2.0. Namun begitu beliau percaya memang pihak polis telah melakukan tugas dengan betul dan sekiranya ada satu atau dua yang bertindak diluar arahan maka tindakan akan dikenakan selepas laporan terperinci diterima olehnya. Ikuti laporan Buletin Utama TV3 tentang kenyataan ini semalam. Polis telah berjaya mengawal kekecohan yang disebabkan peserta perhimpunan. Biarpun ianya dilihat kejam di mata peserta perhimpunan, mereka juga manusia yang tidak terlepas melakukan kesilapan jika menghadapi provokasi melampau. Tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara]. |
Posted: 14 Jul 2011 01:26 PM PDT KUANTAN, 15 Julai - Orang ramai dipelawa hadir beramai-ramai ke program Konsert "Jom Ubah" bersama bekas vokalis kumpulan rock Melissa yang popular dengan lagu hitsnya "Cinta Untuk Nabila" iaitu Ustaz Radzi dan Pak Long "Selagi Ada Rindu" jam 9.30 malam ini (Jumaat). Program bakal diadakan di Markaz PAS Felda Panching Selatan dekat sini. Program yang bertemakan "Orang Muda Geng Kita" itu adalah anjuran PAS Kawasan Paya Besar. Program ini adalah bertujuan untuk menarik golongan muda supaya menerima PAS sebagai landasan perjuangan mereka. Ia juga bagi membuktikan kepada rakyat yang parti itu tidak menolak hiburan sepenuhnya, tetapi masih memberi ruang kepada mereka untuk berdakwah menerusi kaedah tersebut. Ia juga sebagai satu pendekatan baru kepada orang ramai, yang selama ini hanya disajikan dengan unsur-unsur ceramah daripada pemimpin politik semata-mata. |
Aktiviti Rakyat: Orang Ramai Di Pelawa Menyertai Program 'Moh Kayuh Ke Lubuk Yu'Hari Sabtu Ini Posted: 14 Jul 2011 01:22 PM PDT MARAN, 15 Julai - Orang ramai di sekitar kawasan Maran dan sekitarnya di jemput menyertai program "Moh Kayuh Ke Lubuk Yu" sempena memeriahkan kembali Pusat Rekreasi Lubuk Yu dekat sini. Program tersebut bakal diadakan pada mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang hari Sabtu, 16 Julai 2011 ini. Banyak acara menarik akan diadakan dari Dataran Tasik Maran ke Lubuk Yu bermula jam 7.30 pagi hari tersebut. Perlepasan peserta akan dilakukan oleh Dato' Haji Ismail bin Haji Abdul Muttalib, Ahli Parlimen Maran. Penyertaan acara kayuhan ini adalah terbuka kepada semau peserta yang berumur 18 tahun ke atas sahaja. Sementara itu bagi peserta yang berumur dibawah 18 tahun dinasihatkan mendapat kebenaran ibubapa masing-masing. Acara yang dipertandingkan ialah Mountain Bike, Road Bike dan Fixie. Manakala jarak kayuhan adalah melalui jalan kampung dan jalan utama sejauh 30 kilometer. Peserta juga akan dihiburkan dengan persembahan artis tempatan seperti Ali Terra Rossa, Mohd Mentor, Iqa Mentor, Daly Ahli Fiqir dan Erma Bintang RTM pada hari tersebut. Program ini adalah anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Pahang, Sinar Harian dengan kerjasama Pejabat Daerah Maran, Majlis Daerah Maran dan jabatan-jabatan kerajaan Daerah Maran. Yuran pendaftaran untuk terbuka ialah RM15.00 dan bagi kategori pelajar sebanyak RM10.00 sahaja. Peserta dinasihatkan memakai kasut dan helmet ketika berkayuh. Sila dapatkan BORANG DI SINI |
Aktiviti Rakyat: MB Pahang Merasmikan BN Youth Job Fair 2011 Dekat Hotel Zenith Kuantan Hari Ini Posted: 14 Jul 2011 01:02 PM PDT KUANTAN, 15 Julai - Orang ramai di seluruh negeri Pahang dan sekitarnya dijemput hadir ke Karnival Kerja Pemuda BN 2011 yang akan berlangsung selama tiga hari (15-17 Julai) bermula hari ini di Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Hotel Zenith dekat sini. Karnival tersebut dijangka menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada orang ramai. Difahamkan karnival berkenaan akan melibatkan penyertaan 150 pelbagai syarikat dan agensi swasta dan kerajaan. BN Youth Job Fair (Karnival Kerja Pemuda BN) tersebut akan dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, karnival berkenaan bermula 10 pagi hingga 8 malam. Perhatian kepada mereka yang hadir, sila bawa bersama resume serta dokumen yang berkaitan untuk temuduga terbuka. |
Posted: 14 Jul 2011 10:46 AM PDT Biarpun agak musykil dengan laporan TV3 berhubung dengan gambar individu yang meninggal dunia ketika himpunan Bersih 2.0 yang telah disiarkan oleh banyak laman blog termasuk Pahang Daily Online (PDO) baru-baru ini adalah gambar palsu. Malah kenyataan pihak polis juga dipetik menafikan gambar yang tersebar menerusi media sosial kononnya seorang lelaki yang sedang terbaring dan sesak nafas di atas jalan raya ketika perhimpunan haram Sabtu lalu, adalah Allahyarham Baharudin Ahmad. Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara Bahagian Perhubungan Awam, PDRM, ACP Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan telah dijalankan dan pihaknya mengenal pasti gambar serta video yang tersebar menerusi media sosial adalah gambar palsu. Bagi menjelaskan situasi sebenar, gambar sebenar turut diedarkan. Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak mempercayai gambar dan video palsu yang disebarkan dengan niat kononnya cuba jejaskan imej PDRM serta mempolitikkan isu itu. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam satu sidang media Ahad lalu, mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung ketika serrtai Bersih 2.0. Sebelum ini, beberapa blog pro-pembangkang memaparkan foto seorang lelaki lain dan mengaitkannya sebagai mangsa terbabit. Lelaki yang tidak dikenali itu juga dipaparkan dalam video bertajuk "Doa terakhir arwah Baharudin." lapor Buletin Utama TV3. Laporan tajuk utama yang telah disiarkan oleh Pahang Daily Online perihal majlis pengebumian jenazah Allahyarham Baharuddin |
You are subscribed to email updates from PDO :: Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan