PUTRAJAYA 12 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah serik untuk membenarkan Datuk S. Ambiga yang mengetuai pertubuhan haram 'Bersih' serta kumpulannya bertemu suruhanjaya itu bagi membincangkan soal menjamin proses pilihan raya yang telus dan adil. Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof (foto) berkata, setelah meneliti senario perhimpunan haram di ibu negara Sabtu lalu yang tidak ada satupun dibangkitkan mengenai lapan tuntutan oleh 'Bersih' berkenaan pilihan raya, beliau secara peribadi menganggap pintu rundingan sudah tertutup buat Ambiga. "Ambiga ini hanya mahu menjadikan SPR sebagai 'kambing hitam' sebagai nak mencari sebab untuk diadakan perhimpunan haram itu. "Lihatlah sahaja gelagat jeleknya semasa perhimpunan itu...dia semacam tak tahu apa-apa dengan menjadi 'kuda tunggangan' pihak lain. "Kami (SPR) tidak mahu lagi 'dipatuk ular di lubang yang sama', kami perlu elakkan lubang itu," kata beliau semalam. Banyak pihak menyifatkan Ambiga sebagai pembohong besar kedua selepas Anwar Ibrahim apabila bersekongkol dengan pembangkang dalam perhimpunan haram Sabtu lalu demi menjayakan kepentingan peribadi pemimpin tertentu. Tembelang Ambiga itu pecah berikutan tindakannya yang hadir pada sidang akhbar bersama-sama ketua pembangkang di sebuah hotel sebelum berarak dalam perhimpunan itu.
[Kenyataan Pengerusi SPR ini pasti mengundang kontroversi dikalangan rakyat, terutamanya bagi mereka yang mengharapkan keadilan dan ketelusan dalam pilihanraya itu sendiri. Tan Sri Aziz tidak wajar mengeluarkan kenyataan sebegini memandangkan gaji beliau dibayar oleh rakyat. Beliau sepatutnya melihat sesuatu itu dari sudut kebenaran dan bukan dengan emosi semata-mata. Tambahan pula, perjuangan yang dituntut oleh Bersih 2.0 adalah untuk melihat pilihanraya itu dijalankan secara adil dan saksama. Jika ini jawapan yang diberikan oleh beliau, maka kemungkinan besar rakyat semakin tidak yakin dengan pilihanraya di negara ini. Sepatutnya beliau harus mendengar titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan berlaku adil dalam pemerintahannya. Apakah kita harus terus melihat sesuatu yang jelas tidak adil berlaku lagi didepan mata kita buat selamanya?].
KUALA LUMPUR,12 Julai - Pengurusan Hospital Tung Shin(foto), semalam menafikan dakwaan sebuah berita portal bahawa gas pemedih mata dan meriam air yang dilepaskan oleh polis untuk meleraikan perhimpunan haram Sabtu lepas,memasuki kawasan hospital itu. Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Ng Beh Tong berkata tidak ada gas pemedih mata disembur ke dalam kawasan hospital. "Malah, pihak polis membawa beberapa orang penyokong demonstrasi yang cedera ringan semasa kejadian itu berlaku ke dalam hospital bagi dapatkan rawatan," katanya selepas memberikan taklimat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong yang mengadakan lawatan ke hospital itu. Ng berkata pada perhimpunan haram itu, polis juga tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap penyokong perhimpunan haram yang melarikan diri ke dalam hospital itu. Sementara itu, Liow berkata pada masa kejadian itu, polis hanya melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong perhimpunan yang berkumpul di atas jalan raya di Jalan Pudu, di hadapan hospital berkenaan. "Mungkin gas pemedih mata yang ditembak polis bagi meleraikan penyokong perhimpunan haram ditolak angin hingga tersasar dan termasuk sedikit ke kawasan hospital itu," tambah beliau.
Bukti, gambar video insiden kontroversi yang berlaku di Hospital Tung Shin
Beliau berkata bagaimanapun gas pemedih mata itu tidak mengenai mana-mana pihak yang berada dalam hospital.Mengenai rakaman video yang didakwa menayangkan polis menyembur meriam air ke arah hospital, Liow berkata polis menyembur ke bangunan bersebelahan, di mana para penyokong berkumpul, bukan ke dalam hospital, dan perkara tersebut disokong oleh Ng. Liow turut melahirkan rasa kesalnya dengan sikap pembangkang yang cuba membesarkan isu tersebut dengan tujuan memburukkan kerajaan dan polis. "Pihak pembangkang cuba mempolitikkan keadaan itu dan seolah-olah mahu memberitahu rakyat bahawa kejadian itu benar-benar berlaku, tetapi hakikatnya ia tidak berlaku, jangan cuba mempolitikkan isu ini," tambahnya.
[Pihak kami tidak dapat mengesahkan kenyataan ini kerana tidak berada di lokasi terbabit ketika kejadian. Namun, berdasarkan gambar dan video yang dipaparkan ternyata nampak seolah-olah ada asas hospital terbabit memang terkena gas pemedih ata dan meriam air. Namun, pengakuan pihak hospital berkenaan diharap dapat meredakan kemarahan orang ramai. Jika pihak berkenaan sudah menafikannya mengapa tidak perlulah lagi isu ini diperbesarkan. Mungkin juga ada gas dan meriam air yang tersasar ke kawasan terbabit akibat peserta himpunan Bersih 2.0 yang cuba berselindung di situ. Namun segalanya terletak ditangan rakyat dan mereka yang menyaksikannya. Biarlah mereka yang menilai dengan sejujurnya isu ini. Usahlah ia terus dijadikan isu kontriversi untuk diperdebatkan. Apa yang penting, mujurlah tidak ada kenyataan daripada mana-mana pesakit yang mereka juga terkena gas dan meriam air yang dilepaskan. Jika tidak, sudah pasti senarionya lebih parah daripada ini].
KUANTAN, 12 Julai - Keputusan Lynas Malaysia untuk memasang dua alat pengesan radiasi di kilang memproses rare earth milik syarikat itu di Gebeng diharap dapat meredakan kemarahan rakyat terhadap projek berkenaan. Alat yang dikenali sebagai Environmental Radiation Monitoring System atau Sistem Pemantauan Radiasi Sekeliling, dikatakan bernilai RM1.4 juta. Ia akan di dua lokasi yang ditetapkan bagi membolehkan kadar radiasi direkodkan dan dilihat sendiri masyarakat setempat. Kenyataan mengenai perkara itu telah dibuat oleh Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Datuk Mashal Ahmad(foto) kepada media baru-baru ini. Difahamkan, alat yang diimport dari Austria itu dijangka tiba dalam tempoh tiga bulan lagi dan akan dipasang di pejabat Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang dibina di tapak itu bertujuan memantau kilang itu. Beliau bercakap kepada media ketika menerima lawatan Ketua Pengarah AELB, Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan ke tapak kilang itu. "Satu unit lagi akan dipasang di lokasi membabitkan penduduk di kawasan ini supaya meningkatkan keyakinan bahawa kilang ini selamat. Mereka juga boleh datang melihat sendiri bacaan radiasi pada alat itu," katanya. Dalam pada itu, Masyal juga turut menjelaskan bahawa kadar radiasi sebenar yang bakal dihasilkan oleh kilang tersebut bukanlah seperti yang digambarkan, cuma pemasangan alat itu diharap dapat menghilangkan kebimbangan penduduk setempat. Seramai 300 penduduk sekitar Balok tekah dibawa melawat kilang itu untuk memberi gambaran sebenar mengenai pembinaannya termasuk penerangan terperinci. Mashal turut menyampaikan kunci pejabat sementara AELB kepada Ketua Cawangan AELB Zon Timur, Rozman Mohd Tahar khusus untuk pemantauan setiap hari dalam tempoh 24 jam.
[Soalnya sekarang, apakah pemasangan alat itu akan menghilangkan kerisauan rakyat terutamanya mereka yang membantah projek berkenaan selepas ini. Difahamkan beberapa orang pemimpin NGO Save Malaysia telah ke Australia untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat di sana. Namun, segalanya kini bagai sudah tersurat dan sudah pasti kilang Lynas yang bakal beroperasi kelak akan menyebabkan rakyat menjadi serba tidak kena. Mahu ditentang ia sudah hampir siap, akhirnya rakyat terpaksa menerima kenyataan bahawa kilang tersebut tetap akan beroperasi di Gebeng dalam masa terdekat ini. Cuma kita amatlah berharap agar alat yang banyak digunakan di Eropah itu dapat berfungsi dengan baik sekiranya beroperasi kelak. Apapun, jika benar operasi kilang itu akan diluluskan kelak, diharap ianya tidak akan menimbulkan masalah di kemudian hari. Kerajaan haruslah berpegang kepada janji untuk membuat kawalan ketat terhadap projek berkenaan. Kita tidak mahu, apa yang dibimbangi rakyat bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti hendaknya].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan