Muslimeen United |
- BERS✔H 2.0: Pemuda Difitnah Pegang Pisau Mahu Saman Berita Minggu
- Dr Lo’ Lo’ Sekadar Yang Saya Kenali
- Kenyatan Yang Paling Lawak Dalam Sejarah..
- Jenazah Allahyarhamah Dr Lo' Lo' selamat dikebumikan (video)
- Bila kerajaan negeri Umno boleh laksana 'Amar Makruf Nahi Mungkar'?
- Rakyat Tertunggu-Tunggu Video PDRM-Prof Aziz Bari
- HIMPUNAN FOTO - Perginya sebutir 'mutiara'
- Kematian Baharuddin : Kerajaan, Polis Nampak Macam Nak 'Cuci Tangan'- Wan Azizah
- Tidak pernah saya rasa begitu benci pada kerajaan
- Allahyarhamah Dr Lo'Lo Selamat Dikebumikan
- BN Panik, Terancam, Tak Mampu Berfikir -Marina Mahathir
- Video Lucahnya Yang Gagal, Dituduh BERSIH 2.0 Gagal
- BERS✔H: Bilamasa Wujudnya Pertubuhan BERSIH Dan Logo Rasmi BERSIH?
- Zambry lupa yg dia sebenarnya masuk rumah guna pintu belakang..!!!
- Bersih Tuntut Dakwat Kekal, Bukan Biometrik
- Bukti bergambar Abang Mat Sabu bukan pura-pura sakit !
- Kehilangannya Yang Sukar Dicari Ganti
BERS✔H 2.0: Pemuda Difitnah Pegang Pisau Mahu Saman Berita Minggu Posted: 18 Jul 2011 08:27 AM PDT Seorang peserta Himpunan Bersih 2.0 dari Unit Amal PAS mahu menyaman Berita Minggu milik Kumpulan New Straits Times kerana mendakwa dia memegang pisau semasa perhimpunan di ibu negara, 9 Julai lalu. Abdul Razak Endut, 32, dari Temerloh berkata edisi 10 Julai yang menyiarkan gambarnya dengan tajuk "seorang perusuh membawa pisau dalam perhimpunan haram" manakala tajuk kecilnya pula berbunyi "perusuh guna senjata, batu, lawan polis" adalah tidak benar. Sebaliknya Abdul Razak yang mesra dengan panggilan "Ajak" berkata dia hanya memegang sebatang bendera Malaysia dan bukannya pisau seperti mana yang didakwa. Selain Berita Minggu, gambar sama turut dimuatkan oleh akhbar New Sunday Times dengan tajuk "Peaceful (Aman)?" pada muka depan. "Saya mahu saman Berita Minggu kerana telah menjatuhkan imej saya, disebabkan gambar itu ramai yang bertanyakan hal sama kepada saya. "Setakat ini saya tidak tahu berapa jumlah yang akan disaman, saya akan berbincang dulu dengan peguam saya," kata Abdul Razak kepada The Malaysian Insider. Kelmarin, Abdul Razak yang bekerja sendiri tampil membuat pendedahan berhubung gambar yang disiarkan Berita Minggu. Dia berkata selain tidak memegang pisau, dia juga menafikan membaling batu ke arah pihak keselamatan. Pada perhimpunan Bersih 2.0, Abdul Razak diarah agar menjaga Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli dan peserta perhimpunan berhampiran Menara Maybank. "Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister itu dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat," kata Abdul Razak mendedahkan perkara sebenar dengan berpakaian sama seperti yang disiarkan dalam Berita Minggu. Gambar Abdul Razak berdepan pancutan meriam air dengan memegang bendera negara juga dirakamkan turut disiarkan media antarabangsa sekali gus menolak dakwaan beliau memegang pisau. "Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara)," katanya. Sementara itu, peguam yang mewakili Abdul Razak, Ahmad Nizam Hamid berkata pihaknya akan memfaikan saman itu dalam masa terdekat. "Sebelum ini saya telah nasihatkan dia (Abdul Razak) untuk saman NST dan Berita Minggu kerana siarkan gambar palsu... ini satu kes yang bagus kerana melanggar etika. "Tindakan ini perlu diambil kerana ia sangat tidak beretika mereka ubah gambar asal, ia adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya. Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya. Pada perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan. -TMI
|
Dr Lo’ Lo’ Sekadar Yang Saya Kenali Posted: 18 Jul 2011 08:19 AM PDT Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya. Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut 'insyaAllah'. Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo' Lo' Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki. Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita: "Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: 'aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya. Peringatan Jawatan Mufti Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo' Lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo' Lo' sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum. Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo' Lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu. Antara yang beliau sebut "..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat". Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau. Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO. Selepas Mufti Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya. Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo' Lo' yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya: "Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada". Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar. Masuk UMNO Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo' Lo' menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau: "Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama". Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya: "mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO". Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo' Lo' sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata: "Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO". Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya. Kritik PR Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo' Lo' kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya 'tegas'. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin. Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya 'Ulama atau professional Jadi Pemimpin' . Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS. Ziarah Hospital Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo' Lo' meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau: "ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik". Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah. Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau. Ustaz Sampul Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata; "Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana". Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau 'pendakwah'. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo' Lo' itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan. Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya. |
Kenyatan Yang Paling Lawak Dalam Sejarah.. Posted: 18 Jul 2011 04:08 AM PDT Orang ramai diminta serah video perhimpunan haram. GENTING HIGHLANDS 18 Julai — Orang ramai diminta bekerjasama dengan polis bagi menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan haram 9 Julai lepas untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar kejadian yang berlaku setelah banyak pihak mendakwa kekasaran polis semasa menangani perhimpunan itu. "Kita akan siasat secara telus, terperinci dan polis tidak akan sembunyikan apa-apa fakta yang benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Banteras Kecurian Kenderaaan di Malaysia di sini, hari ini. Sehubungan itu, beliau berkata polis menubuhkan enam jawatankuasa yang diketuai seorang pegawai kanan bagi menyiasat enam dakwaan kezaliman polis ketika bertugas menangani perhimpunan tersebut. - Bernama Laporan terhadap polis dan polis juga yang menyasat.. sapa nak mengaku berak tengah jalan beb.!!! |
Jenazah Allahyarhamah Dr Lo' Lo' selamat dikebumikan (video) Posted: 18 Jul 2011 04:06 AM PDT |
Bila kerajaan negeri Umno boleh laksana 'Amar Makruf Nahi Mungkar'? Posted: 18 Jul 2011 03:51 AM PDT Kejayaan kerajaan Kedah melaksanakan enakmen pengharaman hiburan tempat terbuka sepanjang Ramadhan baru-baru ini telah mendapat pengiktirafan mufti dan pelbagai NGO, termasuk beberapa NGO wanita yang bukan Islam sebagaimana dilaporkan oleh akhbar-akhbar. |
Rakyat Tertunggu-Tunggu Video PDRM-Prof Aziz Bari Posted: 18 Jul 2011 03:50 AM PDT Bagaimanapun bahan bukti seperti video itu janganlah pula disunting atau ditokok tambah sehingga boleh menyebabkan situasi yang berlainan dipaparkan kepada rakyat, tegas Penganalisis Politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari. Beliau menyatakan demikian ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu polis menyegerakan siaran rakaman video serta bukti lain bagi menghalalkan tindakan polis menyuraikan orang ramai pada 9 Julai lalu. "Ya pada saya terpulanglah kalau polis ada video , bukti dan sebagainya boleh dkemukakan, tinggal lagi kita tak mahulah video atau gambar itu diubah-ubah atau ubah suai sebagainya seperti yang kita lihat dalam NST dan Berita Minggu baru-baru ini. Gambar itu sudah diubahsuai sudah disunting dan sebagainya dipaparkan, jadi kekeliruan itu tak bolehlah. "Sama juga dengan video... jika video itu sudah disunting, dipotong dan sebagainya (tetapi) kita harap jangan begitulah,"kata Aziz kepada Tv Selangor. Muhyiddin sebelum ini berkata, media dalam dan luar negara dilihat melakukan tohmahan kepada pihak polis dengan hanya menyiarkan rakaman video pihak polis menyuraikan orang awam. Namun katanya, video-video yang dipamerkan tidak pula memuatkan tindakan para peserta yang sengaja melakukan provokasi dan bertindak ganas membaling batu. Hakikatnya hujah Aziz yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ada asasnya apabila Berita Minggu pada 10 Julai lalu memaparkan watak seorang peserta yang disifatkan ganas dengan memanipulasi tindakan peserta itu pada hari kejadian. Abdul Razak Endut, individu yang dipaparkan gambarnya di muka depan akhbar itu dikatakan bertindak membalas serangan pihak polis ke atas orang awam. Malah beliau didakwa membawa pisau dan membaling batu ke arah polis. Namun menceritakan apa yang berlaku pada hari itu, Abdul Razak yang merupakan Unit Amal PAS berkata, beliau hanya memegang sebatang bendera Malaysia dan bukannya pisau seperti yang dilaporkan akhbar milik Umno-BN itu pada ceramah PAS malam tadi. "Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister itu dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat,"ujar beliau. Gambar Abdul Razak berdepan pancutan meriam air dengan memegang bendera negara juga dirakamkan oleh Reuters yang sekaligus menolak dakwaan beliau memegang pisau. "Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara)," katanya. Justeru itu menurut Aziz, beliau agak sangsi dengan rakaman video mahupun gambar yang bakal dipaparkan oleh PDRM sendiri. "Dan saya fikirkan kalau bahan-bahan bukti itu ada, sudah lama dikeluarkan.. tak perlu tunggu lama sehingga sekarang setelah diserang, dikritik bertubi-tubi belum ada yang kita lihat. Begitu juga tuduhan polis tembak air ke hospital,itu sudah banyak dikemukakan bukti dan nampaknya selepas itu kerajaan dan polis cuba pula buat siasatan lain. "Kalau mereka ada (bukti) mereka boleh keluar lebih awal lagi sebelum mereka diserang. Sebenarnya sebelum himpunan Bersih itu pun pihak polis telah dikecam dan dikritik begitu hebat. Jadi mengapa perlu tunggu lama untuk mengeluarkan bukti yang ada,"kata Aziz. Namun ujar beliau, jika polis berani bertindak menyunting mahupun menokok tambah video sedia ada, ia hakikatnya boleh menjadi boomerang kepada PDRM sendiri. " Bukti-bukti seperti itu bukan saja tak menyakinkan tetapi menjadi boomerang juga boleh menjauhkan lagi imej pasukan polis. " Dan saya fikir dalam hal ini, saya rasa pihak kerajaan janganlah menarik polis begitu teruk atau melibatkan pihak polis sebab kalau imej dan kredibiliti polis itu jatuh begitu teruk...yang menerima kesan ialah rakyat,"tambah beliau lagi. |
HIMPUNAN FOTO - Perginya sebutir 'mutiara' Posted: 18 Jul 2011 01:16 AM PDT
Kredit kepada Abah Anas (ehsan foto) Oleh : Dr. Mujahid Yusof Rawa Nama Dr Lo'Lo' agak sukar dilafazkan kerana ia berasal dari bahasa Arab yang bermakna permata mahal dari lautan. Jikalau dalam Bahasa Arab pun sebutannya susah disebut, tetapi bertentangan dengan tuan tubuh yang benama Lo'Lo' beliau seorang yang mudah dan senang bergaul. Sifat ramah dan tamahnya sesekali sebagai ibu, kakak dan kawan membuatkan kita amat selesa berada dalam persahabatannya.Lo'Lo' tidak pernah mengecewakan permintaan rakan seperjuangannya dan selalu mendahulukan urusan parti dari kepentingan dirinya malah keluarganya sendiri. Selalu beliau bergurau dengan saya, tatkala saya membuat komplen terlalu sibuk dengan parti. Dr Lo'Lo' menjawab awak takpalah muslimin (lelaki), saya muslimat terpaksa tinggalkan suami di rumah untuk urusan parti. Mendengar gurauan itu, ia benar-benar menyusup ke dada saya tentang kecekalan seorang sahabat dan seorang yang saya anggap kakak saya. Berita pemergiannya menyentap hati dan sanubari kerana suka duka kenangan seorang muslimat Pas yang bernama Dr Lo'Lo' Ghazali. Saya mula mengenali Dr Lo'Lo' semasa dalam kepimpinan pemuda dalam beberapa program parti. Kakak saya Aida Binti Haji Yusof Rawa seorang aktivis muslimat memperkenalkan saya dengan Dr Lo'Lo, malah Dr Lo'Lo' pernah menghadiri perhimpunan keluarga kami bagi meraikan keluarga besar Haji Yusof Rawa. Beliau diberi ruang berucap dan memuju Haji Yusof Rawa sebagai mempunyai keluarga yang besar dan anak-anaknya mampu menghimpunkan seluruh keluarga. Kehadiran Dr Lo'Lo' dalam majlis kami hari itu cukup menyerikan dan saya masih terkenang itulah pertama kali saya mengenali beliau dengan cara dekat. Mulai itu saya menjadi rakan seperjuangannya apatah lagi semasa berada bersama dlam AJK Pas Pusat. Banyak masa bersama Dr Lo'Lo' ialah semasa kempen PRK. Beliau akan senantiasa aktif berkempen secara agresif dan kadang-kadang tak terdaya saya mengejarnya. Selalu beliau akan mengejek saya secara berseloroh: "Macamana ni muslimin (lelaki) dah tak larat, kami muslimat boleh jalan lagi ni" kecuali PRK Bagan Pinang, langkahnya perlahan malah dilihat tercungap-cungap keletihan. Walaupun saya dah biasa dengan Dr Lo'Lo' dalam siri-siri kempen, kali ini saya merasai Dr Lo'Lo' agak keletihan. Beliau menjawab, dia tak berapa sihat, malah dia cuma mampu berada sehari dua sahaja di Bagan Pinang. Saya merasa kekok bila Dr Lo'Lo' tidak hadir malah pernah menaliponnya, lalu dia menjawab tak berapa sihat. Saya pernah bersama Dr Lo'Lo' bermusafir ke luar negara dalam rombongan ahli Parlimen ke Gaza sejurus setelah Gaza di tawan Israel. Semangatnya yang cekal untuk bersama 10 orang ahli Parlimen PAS memang mengkagumkan. Sepanjang perjalanan beliau nampak bersemangat walaupun kami terpaksa beberapa hari di perbatasan Mesir dalam kesejukan. Begitu juga terpaksa melalui jalan darat ke Jordan, Syria, Dr Lo'Lo' tetap bersemangat. Sememangnya semangat Dr Lo'Lo' terhadap perjuangan Palestine memang kental, malah dalam perjalanan beliau membeli mafla bersimbolkan Palestine itu dan memberikannya setiap seorang. Selebihnya saya membeli 10 mafla Palestine untuk saya agih-agihkan pada sahabat-sahabat di Malaysia. Sambil dia mengemaskan saya mafla Palestine dia berseloroh lagi "tak dapat pergi Gaza pun, promosi mafla Hamas pun dah kira pahala tu". Ada juga peristiwa lucu ketika kami tersadai di Lapangan Terbang Damaskus gara-gara imigresen yang melambat-lambatkan kami. Dr Hatta yang terkenal kerana gurauannya yang tak kira tempat, berseloroh dengan kami sambil kami duduk di lantai dewan ketibaan. Kata Dr Hatta sambil menunjukkan tangannya: "Ini orang-orang gaji yang tak ada tuan yang nak ambil depa, yang ini (tunjuk kepada Dr Lo'Lo') mahal sikit sebab dia putih yang ini (tunjuk kepada Dr Maria) murah sikit sebab hitam . . ." Kami tertawa dengan gelagat Dr Hatta dan Dr Lo'Lo' menampakkan wajahnya kemerahan nak tergelak dan marah pun ada. Itulah telatah bersama Dr Lo'Lo' dalam bermusafir ke Mesir, Syria dan Jordan. Dalam Parlimen Dr Lo'Lo' sebagai Ahli Dewan Rakyat Titiwangsa, sememangnya lantang dalam Parlimen khususnya dalam soal-soal menegakkan keadilan dan membela isu Kampong Baru yang hendak diperbadankan. Saya masih ingat semasa kempen GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA, Dr Lo'Lo' dilihat mengedar badge GMI di Parlimen termasuk kepada wakil rakyat BN. Apa lagi, marahlah mereka dalam dewan kerana sikap "persuasive" Dr Lo'Lo' berkempen. Termasuk ketegasan Dr Lo'Lo' ialah tentang rokok, saya masih ingat perdebatan hangat di dewan tentang penajaan syarikat tembakau dalam sukan bolasepak. Dr Lo'Lo' bertegang leher dengan Ahli Dewan Rakyat Arau, Yb Ismail Kassim yang bertegas bahawa jika tidak ada penajaan syarikat tembakau maka sukan bolasepak khususnya akan bungkus. Dr Lo'Lo' tetap bertegas bahawa tidak ada bezanya penajaan sukan dan bahaya merokok. Saya turut menyokong soal rokok ini di mana saya pernah mencadangkan supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa pengharaman rokok, Dr Lo'Lo' menyokong penuh saranan ini dan telah menjadi berita yang dipetik dalam hampir semua akhbar termasuk akhbar Cina. Semasa sesi Parlimen terakhir baru-baru ini saya terkejut kerana diminta bertukar tempat dengan Dr Lo'Lo' yang asalnya berada di blok hadapan dan saya di blok belakang berjiranan dengan konsensus bebas. Kerana keuzuran, ADR Titiwangsa itu terpaksa berkerusi roda dan kerana itu perlu berada di blok belakang dan tempat saya menjadi pilihan menukar. Saya dan saya yakin, ramai dari kalangan wakil rakyat Pakatan dan BN akan merindui suara lantang Dr Lo'Lo'. Saya yakin pengundi beliau juga akan merindui Dr Lo'Lo' khususnya kebajikan yang diusahakan. Dalam parti Dr Lo'Lo' sememangnya sinonim dengan Lujnah Kebajikan dan tagline Kami Prihatin adalah usaha beliau yang menjadi slogan kebajikan Pas. Termasuk usaha Dr Lo'Lo' ialah memberi makan kepada warga Chow Kit dan usaha itu terus dijalankan hingga hari ini. Dr Lo'Lo' juga cuba untuk memastikan isu wanita menjadi inklusif dalam ruang ligar perjuangan Pas dan sikap keterbukaan Dr Lo'Lo' amat disenangi oleh semua pihak khususnya dalam advokasi hak-hak wanita di Malaysia dan dunia secara umumnya. Saya menulis ketika berita Dr Lo'Lo' meninggal dunia tersebar luas dan saya mahu menjadi orang yang pertama mendapat penghargaan menulis tentang Serikandi ini. Mungkin saya tidak mengenali Dr Lo'Lo' sepenuhnya tetapi saya yakin tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jikalau saya mengatakan Dr Lo'Lo' adalah permata dari lautan yang mahal nilainya untuk perjuangan ini. Ramai yang mempunyai nama yang hebat tapi tak ramai yang boleh hidup atas nama masing-masing. Al Fatihah buat Dr Lo'Lo'. |
Kematian Baharuddin : Kerajaan, Polis Nampak Macam Nak 'Cuci Tangan'- Wan Azizah Posted: 18 Jul 2011 01:08 AM PDT KUALA LUMPUR 18 JULAI : Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mahu punca kematian peserta Baharuddin Ahmad disiasat dengan adil dan saksama. Menurut beliau, punca kematian Allahyarham yang menyertai himpunan Bersih untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 9 Julai lalu masih tidak diketahui keluarga beliau walaupun ramai saksi menyaksikan tindakan polis pada hari tersebut. "Cara polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tangani himpunan tuntutan yang murni itu menunjukkan ada sesuatu yang tak kena dengan sistem negara kita, " kata beliau dalam sidang media di sini hari ini. Polis sebelum ini telahpun membuat kenyataan bahawa mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya. Setakat ini, keluarganya hanya menerima surat kebenaran membawa keluar jenazah untuk dikebumikan, namun masih belum menyatakan sebab kematian kerana masih menunggu hasil ujian makmal. "Kita percaya ajal di tangan Tuhan tetapi cara hidup dan mati jadi pengajaran kepada kita. "Apa-apa yang berlaku kita mesti tuntut keadilan kepada arwah. Kita mesti buat secara adil dan saksama," kata beliau lagi. Pengerusi Biro Displin PKR itu turut mempersoalkan mengenai kenyataan rasmi kematian Baharuddin oleh kerajaan dan polis yang seolah-olah cuba 'mencuci tangan' dari sebarang tanggungjawab. "Apa yang kita tahu, Baharuddin sihat ketika keluar dari rumah pada hari itu. "Tindakan polis menembak gas pemedih mata pada orang ramai yang tidak bertindak ganas pada hari itu dilihat semua. Saya nampak dengan mata sendiri di Sogo polis mengejar orang ramai yang telahpun bersurai. Adakah itu namanya 'crowd control' ?," soal beliau merujuk kepada ratusan video dan gambar serta cerita orang ramai mengenai kejadian pada 9 Julai lalu. |
Tidak pernah saya rasa begitu benci pada kerajaan Posted: 18 Jul 2011 01:04 AM PDT KUALA LUMPUR, 18 Julai: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada kerajaan. Ini berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat. (Gambar: Pak Samad menurunkan tandatangan pada baju seorang anak muda yang hadir pada malam itu.) "Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis. Beliau menyifatkan tindakan polis menangani perhimpunan damai itu secara bengis. Katanya, seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan Umno BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis. Justeru, beliau kesal kerana pemimpin Umno BN membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat sebaliknya menuduh rakyat yang bertindak kasar. "Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya Umno BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti," katanya. Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin. Turut berucap ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta anggota Unit Amal yang difitnah membawa pisau semasa himpunan Bersih 2.0, Abdul Razak Pak Samad juga menceritakan peng.alamannya dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. "Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain, jadi go through saja. "Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis. "Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water canon, mereka (Polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya". "Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan. "Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun di situ. "Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan. "Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin. "Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas. "Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. "Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri. "Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan. "Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan. "Saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita. "Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat, namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran kerajaan baru," kata Pak Samad Said disambut laungan Allahu akbar hadirin. -Hrkh |
Allahyarhamah Dr Lo'Lo Selamat Dikebumikan Posted: 17 Jul 2011 09:24 PM PDT Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memimpin solat jenazah bersama-sama ribuan jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat. Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil. Hadir sama naib presiden PAS Salahuddin Ayub, Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Yusof. Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada jam 10.13 malam semalam di hospital Selayang di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun. Berita kematian allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitternya atas nama keluarga. Beliau dalam keadaan kritikal akibat penyakit barah paru-paru sejak akhir Julai 2009. Allahyarhamah adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah. Ahli parlimen itu meninggalkan seorang suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan. Lebih 2,000 orang ramai termasuk penyokong PAS dan penduduk parlimen Titiwangsa mengunjungi dan mengiringi beliau ke tanah perkuburan, yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid berkenaan. Sebelum itu, dewan solat Masjid Al-Akram sesak dengan orang ramai yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo' Lo'. Dr Lo' Lo' aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.Sementara itu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang ditemui, menyifatkan pemergian Dr Lo' Lo' sebagai satu kehilangan yang amat besar. Menurut mereka, khidmat beliau yang belum selesai, khususnya berkaitan perjuangan membela penduduk Kampung Baru yang ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya dalam pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020. Ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof sebak atas kehilangan rakan seperjuangannya, itu yang juga bekas pemimpin Dewan Muslimat PAS pusat. Beliau berkata antara pesanan terakhir Dr Lo' Lo' khususnya kepada Dewan Muslimat PAS supaya meneruskan perjuangan demi melaksanakan tuntutan Islam. "Beliau menasihatkan supaya kami banyak bersabar, tabah dan jangan patah semangat dalam perjuangan, khususnya mempertahankan maruah Kampung Baru," katanya bergenangan air mata. Katanya, penduduk di parlimen Titiwangsa amat bertuah kerana wakil rakyat mereka itu memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaafar pula berkata Dr Lo' Lo' adalah seorang pemimpin dan tokoh wanita yang berprinsip dan berani menyuarakan pandangan dalam memperjuangkan hak rakyat. "Kesan perjuangannya amat besar di parlimen Titiwangsa dan keberanian arwah memperjuang serta menyelesaikan masalah rakyat. "Pemergiannya satu kehilangan besar kepada PAS, Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat di negara kita," Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata penduduk Titiwangsa bukan sahaja kehilangan seorang tokoh wanita yang hebat, malah PAS dan beliau sendiri kehilangan sahabat yang banyak memberi motivasi kepada rakan-rakannya yang lain. "Sifatnya sebagai seorang ibu yang memberi leteran, tetapi leteran itu merupakan satu motivasi kepada kami bekerja lebih kuat dan terus bekerja untuk rakyat Malaysia. "Beliau seorang yang sangat gigih dan (selalu) turun padang memberi khidmat kepada penduduk Titiwangsa dan kehilangannya sukar dicari ganti," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena. Sehubungan itu, Mahfuz berkata wakil rakyat PAS dan Pakatan akan mengagihkan tugas untuk meneruskan tugas Allahyarhamah di parlimen Titiwangsa walaupun pilihan raya kecil tidak diadakan kerana tempoh parlimen sudah melebihi tiga tahun. Sementara itu, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata beliau bersama dengan ahli parlimen Pakatan akan bersama-sama meneruskan perjuangan Dr Lo' Lo'. Beliau juga berharap keluarganya bersabar, tabah dan redha dengan ujian Allah dan berharap amalan Allahyarhamah diterima Allah dan dosanya diampuni. Sebelum itu, sewaktu talkin sedang dibacakan, suasana tenang dan sunyi, disusuli awan menutupi matahari sebanyak dua kali, menjadikan suasana redup di tengah-tengah belaian angin sepoi-sepoi bahasa. |
BN Panik, Terancam, Tak Mampu Berfikir -Marina Mahathir Posted: 17 Jul 2011 09:23 PM PDT "Mereka rasa terancam kerana memandang remeh BERSIH pada 2007 dan pada pilihan raya umum 2008 mereka hilang banyak kerusi di parlimen dan dewan undangan negeri. Dan oleh kerana kini dalam keadaan panik, mereka tidak boleh berfikir dengan jelas lagi. Apa di kepala mereka adalah hanya cara untuk menang pilihan raya. "Awak boleh dapatkan semula sokongan orang ramai dengan hanya berbaik kepada mereka. Awak tidak boleh dapatkan sokongan dengan bersikap jahat. Awak tak boleh tuduh peserta perhimpunan itu semuanya kumpulan samseng, mungkin ada segelintir. Tetapi bukan semua mereka. "Majoriti mereka adalah kumpulan professional. Kumpulan itu adalah berbeza-beza dan ia sebenarnya 1Malaysia, muda, kaya, miskin, setiap bangsa dan agama menyertainya," kata Marina dalam satu wawancara dengan Malaysiakini. Pada 9 Julai lalu, Marina juga mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 2.0. Beliau turun ke jalanan bersama anak dan rakan-rakannya. Mereka bermula berhampiran Jalan Pudu (Berjaya Times Square) dan berarak sepanjang Jalan Hang Jebat di hadapan Stadium Negara menuju ke bangunan Majlis Olympik Malaysia. Katanya, mereka yang turun pada hari itu begitu bangga dengan pertubuhan BERSIH 2.0. "Saya mungkin tidak setuju dengan perjuangan mereka tetapi mereka melakukan perkara yang baik. Kami semua menjadi 1Malaysia. "Sekarang kerajaan melabelkan kami dengan pelbagai nama. Biar saya beritahu, mereka kini kehilangan banyak undi. Mereka mungkin beranggap mereka telah tewas tetapi biar saya beritahu, sebenarnya banyak yang masih di atas pagar dan sudah tentu (tindakan kerajaan itu) mereka akan menyokong pihak satu lagi. Saya lihat ini jelas dalam media sosial, terutamanya di emel, twitter dan blog," kata Marina. |
Video Lucahnya Yang Gagal, Dituduh BERSIH 2.0 Gagal Posted: 17 Jul 2011 09:21 PM PDT Kasihan malaun ini seorang, Mantan Ketua Menteri Melaka, juga Mantan Perogol Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, berdasarkan jumlah tidak sampai 100,000 orang yang sanggup turun ke jalanan bagi menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu membuktikan ia telah gagal. "Saya secara peribadi mengganggap perhimpunan itu gagal, kerana walaupun sasaran mereka untuk mengumpulkan lebih 100,000 lebih, saya fikir paling ramai pun 15,000 sahaja yang hadir," katanya. Kasihan lagi kerana tak pernah belajar ilmu hisab. Kasihan juga tak belajar ilmu 'polis gila', bagaimana peserta BERSIH 2.0 dikepung sebegitu rupa oleh polis, namun ribuan juga yang datang. Kasihan juga, kerana menjadi pengarah dan penerbit video lucah yang gagal!! selanjutnya disini |
BERS✔H: Bilamasa Wujudnya Pertubuhan BERSIH Dan Logo Rasmi BERSIH? Posted: 17 Jul 2011 09:20 PM PDT Polis: Boleh pakai baju kuning tanpa logo BERSIH Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata tidak salah memakai baju kuning tetapi diingatkan supaya tidak memakai baju kuning yang mengguna lambang BERSIH. Katanya, buat masa ini Bersih telah disahkan sebagai sebuah pertubuhan haram dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat pengumuman itu baru-baru ini. "Apabila pengumuman itu telah dibuat, tanggungjawab polis adalah untuk menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan sesuatu pertubuhan haram. Jadi, polis cuma menguatkuasakan undang-undang yang ada berkaitan dengan pengistiharan bahawa Bersih itu adalah satu pertubuhan yang haram. "Itu sebabnya kita tangkap mereka yang memakai baju kuning yang menggunakan lambang BERSIH. Tak salah pakai baju kuning...tak salah, pakailah baju kuning, stoking kuning atau topi kuning...cuma yang tidak boleh adalah apa juga logo yang menyokong pertubuhan haram Bersih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Skim Kepolisian Masyarakat dan 'Crime Awareness Team' (CAT) di Dataran Nilai malam tadi. Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan timbalannya Datuk Abd Manan Mohd Hassan. Khalid berkata jika ada pihak yang tidak puas hati dengan larangan itu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk diputuskan. "Jadi, bila mahkamah telah putuskan kita (polis) akan ikut. Kita akan melaksanakan apa juga perintah mahkamah itu mengikut undang-undang," katanya. Mengenai penubuhan CAT, beliau berkata ia adalah program di bawah pencegahan jenayah bagi mengembeleng tenaga golongan muda ke arah membantu polis dalam agenda menurunkan kadar jenayah dan menghapuskan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah. Katanya kerjasama dan penglibatan golongan muda dalam program masyarakat seperti CAT di bawah kawal selia Jabatan Belia dan Sukan sebagai aktiviti Rakan Muda, membolehkan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah dapat dianjurkan dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya tampil membantu polis dalam pencegahan jenayah. - Bernama Pertama, keputusan mahkamah yang menyatakan BERSIH adalah pertubuhan haram. Keputusan itu tidak dapat dikuatkuasakan kerana JELAS bahawa BERSIH bukan sebuah pertubuhan, ia hanya satu kempen. Tidak ada organisasi bernama BERSIH. Jangan ada ialah Jawatankuasa Penganjur Kempen BERSIH. Kedua, Jawatankuasa BERSIH tidak pernah mengisytiharkan apa-apa logo atau lambang. Yang ada hanyalah perkataan BERS✔H 2.0 yang diterima ramai (tidak diketahui siapa melakarkannya kali pertama). Justeru tidak timbul soal lambang atau logo BERS✔H lantaran ianya tidak merupakan lambang dan logo rasmi BERSIH. Berdasarkan kepada kedua-dua poin di atas, keputusan Polis untuk melarang, menahan, menangkap mereka yang berpakaian "berlambangkan" logo BERS✔H, sebenarnya invalid, null & void. -GB |
Zambry lupa yg dia sebenarnya masuk rumah guna pintu belakang..!!! Posted: 17 Jul 2011 09:13 PM PDT Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dengan pelik kenyataan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang cuba mengulas istilah revolusi yang cuba dikaitkan dengan Himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk cuba mengaitkan bahawa ianya akan terus menggulingkan kerajaan adalah berniat jahat tetapi di dalam masa yang sama Datuk Seri Zambry lupa bahawa cara Umno / Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini telah dapat semula mentadbir Kerajaan Negeri Perak dengan cara terhormat? Kami melihat pendekatan Datuk Seri Zambry cuba memburukkan pemikiran rakyat terutama yang telah sama-sama menyertai himpunan tersebut pada 9 Julai yang lalu. Jika Datuk Seri Zambry mengandaikan revolusi terhadap himpunan BERSIH 2.0 ini, sepatutnya sudah lama berlaku kerana cara jahat yang dilakukan oleh BN di Perak lebih kotor lagi dan sebenarnya menggulingkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Perak dengan istilah revolusi sebenarnya. Dalam proses demokrasi yang ada, siapakah yang menggunakan pendekatan jahat dalam negara kita? Bukankah dalam sejarah politik tanah air, BN seringkali melakukan kaedah kotor yang boleh disifatkan dengan cara revolusi? Dimana cara revolusi adalah kaedah yang melanggar prinsip demokrasi dan Undang-Undang yang ada di dalam negara kita, adakah BN telah melakukan revolusi di Perak? Dimana cara BN merampas secara jahat dengan menafikan hak rakyat yang memilih pemimpin mereka di dalam sistem Pilihanraya? Datuk Seri Zambry perlu diam jika benar cara BN Perak mendapatkan mandat rakyat dan bukannya memburukkan orang lain seolah-oleh cara BN baik dan adil. Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak. |
Bersih Tuntut Dakwat Kekal, Bukan Biometrik Posted: 17 Jul 2011 05:30 PM PDT Jika Perdana Menteri tidak mahu rakyat berdemo, sila buat pilihanraya adil dan terima tuntutan Bersih. Beliau mengatakan demo bukan budaya kita. Sepatutnya beliau kena berfikir kenapa rakyat berani untuk berdemo walaupun diugut dengan berbagai ugutan. |
Bukti bergambar Abang Mat Sabu bukan pura-pura sakit ! Posted: 17 Jul 2011 05:28 PM PDT |
Kehilangannya Yang Sukar Dicari Ganti Posted: 17 Jul 2011 05:22 PM PDT Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi. Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat. Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily. Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga. Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser. Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat. "Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi. "Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook. Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah. "PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter. Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok. "Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily. -Hrkh
|
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan