Jumaat, 22 Julai 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Bourdon : Berikrar untuk meneruskan misi bagi mendedahkan kebenaran pembelian Scorpene

Posted: 22 Jul 2011 08:57 AM PDT

NOTA : William Bourdon telah dihantar pulang ke Paris melalui penerbangan MAS jam 11.30 tadi sambil berkata "Saya akan kembali"

EKSKLUSIF Walaupun ditahan di Sepang, peguam Perancis William Bourdon berikrar untuk meneruskan misinya bagi mendedahkan kebenaran di sebalik kontroversi urusniaga melibatkan pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

Urusniaga yang dimeterai antara kerajaan dan syarikat gergasi Perancis, DCNS, dikatakan membabit sogokan jutaan ringgit kepada pegawai tertinggi di Malaysia.

Menurut undang-undang Perancis, sogokan itu menyalahi undang-undang dan boleh dihukum.

Bercakap kepada Malaysiakini kira-kira sembilan jam selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Bourdon (kiri) menegaskan bahawa "kesediaannya untuk berkhidmat kepada pelanggannya tetap utuh walaupun dinafikan masuk ke dalam negara ini".

"Saya ingin memberitahu rakan-rakan saya di Malaysia bahawa saya akan meneruskan misi saya untuk berkhidmat kepada mereka. Saya tidak akan menyerah kalah.

"Saya ingin memberitahu mereka supaya menjaga diri mereka dan mempunyai keberanian untuk meneruskan perjuangan untuk keadilan," katanya.

Bourdon berkata beliau bingung dengan keputusan kerajaan untuk mengusirnya secara tiba-tiba kerana beliau tidak melanggar sebarang undang-undang dan datang ke negara ini sebagai memenuhi tugasnya kepada pelanggannya, Suaram - sebuah NGO tempatan yang sah.

Bagaimanapun, apabila pesawat yang dinaikinya dari Pulau Pinang mendarat di KLIA pada kira-kira 11.40 pagi tadi, pegawai Imigresen menahannya dan membawanya ke pusat tahanan, di mana beliau telah disoalsiasat selama beberapa jam mengenai lawatannya ke negara ini.

"Saya ditanya tujuan lawatan saya dan apa yang saya buat di Pulau Pinang. Saya memberitahu mereka apa yang saya buat kerana saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

"Saya telah disoal oleh tiga orang pegawai, yang cukup mesra dengan saya, tetapi mereka tidak dapat menjelaskan kepada saya dengan sempurna mengapa saya ditahan di pusat tersebut," katanya. - Malaysiakini

Penangkapan Bourdon : Tahniah Najib - Malaysia terus dimalukan

Posted: 22 Jul 2011 08:34 AM PDT

TASEK GELUGOR, 22 Julai: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin penangkapan Peguam Hak Asasi Manusia Perancis, William Bourdon pasti akan meningkatkan lagi kemarahan rakyat selepas negara melakukan kezaliman terhadap perhimpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 baru-baru ini.

Menurutnya, dalam keadaan rakyat ingin tahu perkara sebenar hasil pendedahannya di Malaysia, tiba-tiba sekumpulan pegawai Imigresen menangkapnya setelah pesawat yang dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, tangkapan itu amat memalukan negara sekali lagi setelah dimalukan dengan perhimpunan aman Bersih 2.0.

Tambahnya, tindakan tersebut sekaligus menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disebut-sebut terlibat dengan pembelian kapal selam Scorpene.

"Jika Kerajaan Barisan Nasional (BN) berani kerana benar kenapa mereka tidak biarkan sahaja William Bourdon menjalankan tugasnya mendedahkan siapa di sebalik pembelian kapal selam yang tidak boleh menyelam sekembali ke Malaysia," katanya.

Baginya, isu penangkapan Willian Bourdon di Malaysia pastinya mendapat kritikan berbagai pihak sama ada secara terus atau di alam maya kerana beliau bukan calang-calang peguam - Harakah Daily

Misteri 907 Hospital Tung Shin – oleh Aishah

Posted: 22 Jul 2011 07:04 AM PDT

22 JULAI – Dahulu, ibu selalu akan memanggil anak-anaknya "masuk ke dalam, tengok langit tuh, kuning!" Mambang kuning katanya. Setiap senja menjelma, menghampiri malam, akan ada lah ia – mambang berwarna kuning.

Tapi kali ini, yang berwarna kuning di tengah-tengah bandaraya pada 9 Julai lalu bukanlah mambang yang ini, walau pun warnanya seakan sama.

Rentetan kes mambang kuning yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini, pelbagai spekulasi, ramalan mimpi dan jampi mantera ditemukan. Mulalah terdengar bisikan-bisikan jahat tentang siapa salah, siapa benar, siapa mangsa, siapa pembunuh.

Misteri di hospital

Dan sehingga ke detik 12 malam ini, masyarakat masih dihantui dengan misteri…dengan asap yang muncul dengan tiba-tiba. Kerana hantu merah tidak mengaku berbuat dajal di situ, tempat suci.

Pihak yang lain pula menuduh itu adalah kerja orang jahat yang ingin merampas kuasanya. Itulah dia, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendakwa ia bermotif politik untuk mendesaknya meletak jawatan.

Pihak polis berterusan menafikan terus pembabitannya yang salah laku dan melekatkan beban itu kepada orang ramai – ya, orang ramai yang disembur gas pemedih mata yang bersalah.

Kemudian tampillah kenyataan daripada 11 malaikat penyembuh – para doktor Hospital Tung Shin sendiri – yang mengesahkan dakwaan orang ramai, walau pun lembaga hospital tersebut sebelum itu memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku pun ketika perhimpunan aman 9 Julai.

Sebelas doktor ini tidaklah pula menyimpan keinginan untuk memihak pada sesiapa, hanya ingin berkata yang benar kerana perbuatan polis itu melanggar pengiktirafan sejagat – hospital sebagai tempat perlindungan.

Pimpinan DAP juga telah membawakan empat saksi yang berada di tempat kejadian; Teo Nie Ching, Liew Chin Tong, Tony Pua dan Zairil Khir Johari.

Namun, sehingga kini, tiada siasatan selain janji-janji kosong. Dan rakaman video polis yang disunting sebegitu rupa di mana hanya 'kejahatan' orang ramai dikatakan tertonjol manakala polis 'baik' saja rupanya.

Sementara itu, komander Unit Simpanan Persekutuan (FRU) polis pula boleh berseloroh dengan mengatakan FRU bertindak kasar semasa perhimpunan 9 Julai itu benar, sudah pasti ramai yang akan dirawat di hospital, sekurang-kurangnya sebagai pesakit luar.

Agaknya dia itu buta, tidak mampu melihatkan keadaan orang ramai yang terjatuh dikejar, terkena kanister gas, patah tulang sana sini.

"Di sini, timbul masalah kepada polis, penonton tidak berhati-hati atau dilatih untuk menapis maklumat yang diberikan kepada mereka atau apa insiden sebenarnya yang berlaku di tempat kejadian." Malah, "Hampir setiap hari saluran berita menonjolkan bagaimana penunjuk perasaan diperlakukan dengan kasar dan polis pencegah rusuhan bertindak kasar malahan di negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia." –Supt (B) Sulaiman Menga Din

Apa pun prosedur operasi piawai (SOP) yang dipraktikkan, masyarakat cukup jelas dengan kesannya yang mencemar hak asasi manusia (HAM).

Malah, Malaysia kini sudah cukup malu untuk berdepan dengan komentar keras daripada media luar. Sehingga laporan dalam The Economist juga sanggup ditapis.

Sepatutnya kalau tidak bersalah, tindakan yang harus diambil pihak yang bertanggungjawab ialah dengan menepis, bukan menapis. Tetapi ini tidak dilakukan, atau tidak mampu dilaksanakan, kerana sudah terlalu banyak penipuan.

Konsep dan amalan hak

Konsep hak semulajadi atau 'natural rights' ini telah ada sejak berkurun lamanya, dan di Eropah, hak ini tertakluk bukan kerana seseorang itu warganegara tetapi kerana ia seorang manusia. Dan ini menjadi asas kepada ide hak warga, politik dan kebebasan agama.

Konsep HAM ini dapat dikesan dalam Declaration of the Rights of Man and of The Citizen (1789), Magna Carta (1215), dan sebagainya. Ia bermula dengan The Charter of the Rights of Nations of Cyrus (580-529SM).

Malah sejarah Islam telah mencatatkan hak-hak manusia dalam Piagam Madinah (622M). Dan ini jelas menunjukkan ia merupakan nilai yang relatifnya sama dan dikongsi, bukanlah sesuatu perkara asing yang dipaksakan.

Hal paling penting adalah idea non-violent/ ahimsa/ satyagraha/perhimpunan aman. Idea ini dibangun oleh Leo Tolstoy, Mahatma Gandhi dan Martin Luther King sebagai penolakan terhadap tindakan kerajaan yang tidak beretika.

Dan pada prinsipnya, jika kebangkitan diinginkan rakyat, ia bertujuan membawa perubahan dan menamatkan eksploitasi pemerintah yang sedia ada, sama ada penjajah atau kerajaan sendiri. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Gandhi itu yang akhirnya berjaya mengusir penjajah dari ibu pertiwinya.

Ia justeru bermasalah, apabila media massa kawalan Barisan Nasional sengaja mengaitkan perhimpunan aman di negara ini dengan keganasan mau pun gerakan pemisah di luar sana.

Mungkin ada sedikit kegusaran pemerintah di situ, bimbang kuasanya tercabut, kepercayaan rakyat sudah lama lenyap. Kerana selalunya, gerakan rakyat tertindas berjaya di beberapa tempat di dunia, antaranya gerakan civil rights di Amerika Syarikat dan anti-apartheid di Afrika Selatan.

Melihat aksi orang ramai dan reaksi kerajaan dalam menangani fenomena ini, jelas menunjukkan ada usaha untuk menutup kebangkitan kesedaran publik.

Dahulu, ruang demokrasi di Malaysia ini tidak subur, malah ada yang mengatakan ia telah terkubur.

Tetapi kejadian demi kejadian pasca 2008 dan proses pendemokrasian seperti yang berlaku baru-baru ini menunjukkan ia petanda baik bagi negara yang 'hidup'.

Tuntutan hak demokrasi ini, jika direalisasikan dan menjadi budaya, akan mudah merungkaikan misteri 907 Hospital Tung Shin. – Roketkini.com

BERSIH 2.0 : Najib 'kencing' PM Britain ...

Posted: 22 Jul 2011 05:07 AM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah menjelaskan kepada rakan sejawatannya di Britain, David Cameron mengenai niat sebenar perhimpunan haram di ibu negara 9 Julai lepas, semasa beliau melakukan lawatan rasmi empat hari ke United Kingdom baru-baru ini.

Dalam pertemuan di No. 10 Downing Street Khamis lalu, Najib berkata Cameron banyak bertanyakan soalan kepada beliau termasuklah berkaitan perhimpunan yang dianjurkan badan tidak berdaftar ketika lawatan itu berlangsung.

"Saya beritahu kepada Perdana Menteri United Kingdom "that we have room for dissent) (kami memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati) di Malaysia," katanya ketika berkongsi pengalamannya kepada hampir 3,000 orang yang menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang setelah mengakhiri lawatan ke tiga negara iaitu Turkmenistan, United Kingdom dan Itali selama lapan hari.

Hadir sama menyambut beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ialah timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Najib berkata sebagai kerajaan, soal ketenteraman awam harus dijaga dan pada masa sama memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati.

"Saya beritahu beliau kita tawar sebuah stadium tetapi mereka tolak. Mereka mahu Stadium Merdeka kerana tujuannya hanya mahu berarak. Selepas itu lakukan provokasi terhadap polis. Biar polis naik berang. Apabila polis bertindak, mereka ambil gambar masuk laman YouTube dan mereka katakan kekejaman polis," kata Najib.

Perdana Menteri berkata Cameron juga dimaklumkan bahawa perhimpunan oleh badan tidak berdaftar itu bukanlah sebenarnya bertujuan menuntut "pembaharuan pilihan raya".

"Mereka lebih ingin tunjukkan kerajaan Malaysia seperti di Timur Tengah.

"Mereka gambarkan kerajaan Malaysia autokratik. Sebenarnya mereka hendak ambil kuasa daripada kita (kerajaan) yang dipilih oleh rakyat," katanya.

Beliau berkata, perdana menteri Britain itu turut diberitahu kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang sentiasa menegakkan prinsip demokrasi.

"Saya kata pilihan raya di Malaysia, kita tidak pernah menipu. Pilihan raya di Malaysia adalah pilihan raya yang bersih," kata Najib.

- Bernama

BERSIH 2.0 : Tembak kanister gas, Khalid Samad saman polis

Posted: 22 Jul 2011 12:03 AM PDT

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam , Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala akibat ditembak kanister gas pemedih mata 9 Julai lalu, mempertimbangkan untuk mengemukakan saman terhadap polis.

Ia berikutan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata secara tepat ke arah peserta himpunan Bersih dan menjadikan beliau antara sasaran keganasan tersebut.

"Kita akan tunggu dan saya akan mendapatkan nasihat pihak peguam dan saya akan mempertimbangkan untuk menyaman pihak polis di mahkamah" katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

Beliau pada masa sama menyifatkan pihak polis cuba menegakkan benang yang basah apabila menuduh pimpinan Pakatan Rakyat berbohong dan berlakon tentang keganasan yang dilakukan polis dan FRU.

Pada 9 Julai lalu, Khalid Samad mengalami kecederaan teruk di kepala selepas terkena kanister gas pemedih mata FRU di laluan bawah KL Sentral, semasa himpunan aman Bersih 2.0.

Kanister tersebut- juga dipercayai digunakan tentera Israel- turut menyebabkan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Al-Bakqry mengalami kecederaan parah, menyebabkan tulang pipinya remuk dan terpaksa menjalani pembedahan.

Fayyadh pada masa itu cuba melindungi Anwar dari terkena serangan kanister gas itu.

Sekurang-kurangnya 12 tembakan mendatar dilepaskan ketika peserta himpunan itu terperangkap di laluan bawah KL Sentral, dengan tembakan tidak disasarkan 45 darjah ke udara seperti sepatutnya.

Ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kelmarin, peguam yang mewakili Fayyadh, N Surendran berkata, tembakan gas itu diarahkan oleh Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

N Surendran berpendapat tindakan itu merupakan satu usaha serius untuk mendatangkan kecederaan, malah membunuh orang ramai.

Tiada ulasan: