Jumaat, 1 Julai 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Panas! Anak YB Iskandar, Exco Selangor Ditumbuk Dan Ditikam!

Posted: 01 Jul 2011 03:00 PM PDT

Serangan Ke Atas Anak YB Iskandar A. Samad : Polis Digesa Menyiasat Dari Segala Sudut.

Saya amat berharap pihak Polis akan menyiasat dari segala sudut di dalam kejadian serangan ke atas anak saya di Pulau Pinang awal pagi Rabu.

Anak saya seorang pelajar semester kedua sebuah IPTA telah ditumbuk, disepak dan ditikam bertubi-tubi di sebuah pangsapuri di Seberang Jaya yang disewanya bersama 2 orang pelajar lain.

Pada lebih kurang jam 3 pagi, lima orang lelaki berjaya memasuki pangsapuri itu setelah mengaku diri mereka anggota Polis.

Setelah dibenarkan masuk, mereka telah menggari 2 orang rakan anak saya dan terus menyerang dan menikam anak saya.

Selepas mencederakan beliau, mereka telah membawa lari komputer riba, telefon bimbit dan dompetnya.

Pada pendapat saya, kejadian ini bukan kes rompakan biasa kerana,

1) Mereka datang ke pangsapuri itu bertujuan untuk mencari anak saya dengan memanggil nama penuhnya.

2) Mereka hanya menyerang anak saya dan tidak rakan-rakannya.

3) Mereka hanya membawa lari barang-barang anak saya dan tidak rakan-rakannya.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis yang sedang menjalankan siasatan.

Saya amat menghargai akan kerjasama pihak Polis yang memaklumkan kepada saya status penyiasatan yang sedang berjalan.

Walau bagaimanapun saya berharap pihak Polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk sudut politik.

Lebih-lebih lagi kita berada di dalam suasana di mana pihak media setiap hari meniup api permusuhan di kalangan rakyat dengan pembohongan bahawa terdapat pihak yang mahu mencetuskan huru hara. Mereka juga sentiasa berusaha untuk melaga-lagakan rakyat dengan hasutan-hasutan yang meracuni fikiran mereka.

Tetapi walau apa sekalipun motif serangan tersebut, saya berharap mereka yang bertanggung jawab akan ditahan dan didakwa secepat mungkin demi keselamatan pelajar-pelajar lain dan masyarakat di Seberang Jaya amnya.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah menyelamatkan anak saya dari kecederaan yang lebih parah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu beliau ketika saat yang mencabar ini terutamanya kakitangan institut pengajian tinggi beliau, pihak hospital, pihak Polis, rakan-rakan beliau dan orang ramai yang telah sudi membantu.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan /
ADUN Chempaka
1 Julai 2011

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Walau apa pun halangan, Bersih akan tetap diteruskan- Maria Chin

Posted: 01 Jul 2011 07:46 AM PDT

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan meskipun pihak polis menegaskan akan memastikan perhimpunan itu tidak akan berlaku.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya akan cuba memohon untuk mengadakan dialog kali kedua bersama pihak polis.

Namun sekiranya gagal, katanya, perhimpunan itu akan tetap diteruskan.

"Kalau mereka berkeras saya amat kecewa dengan tindakan mereka. Namun kita masih memohon agar sesi dialog akan dibuat untuk kali kedua.

"Apapun kami tetap akan mengusulkan dan membuat rundingan sekali lagi.Walau apapun halangan, perhimpunan akan diteruskan," kata Maria ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Beliau memberi reaksi berhubung kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini, bahawa polis telah menutup semua pintu rundingan dengan penganjur.

Ia ekoran pertemuan Pengerusi Bersih 2.0, S Ambiga dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam bagi mencari jalan rundingan dengan polis sendiri menentukan jalan laluan peserta Bersih ke Istana Negara. Bercakap pada sidang media di Bukit Aman,

Khalid berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas peserta perhimpunan itu.

Menurut Maria, Bersih kecewa kerana polis masih berkeras, malah mengancam menggunakan ISA yang secara jelas mencabuli hak asasi manusia.

"Polis sudah tidak ada idea dan cara lain selain kekerasan iaitu ISA, saya nak tanya PM kenapa bila kita dah buka cara untuk berdialog dan cuba berbincang tapi masih lagi tidak dapat terima?," soal beliau.

Menurut Maria, Bersih telah memberikan cadangan dan usul yang munasabah untuk diterima pihak polis. "Ianya mudah dengan memberitahu tiga tempat berlainan di mana tiga kumpulan akan berkumpul untuk berarak,"

"Kita juga menjamin keselamatan peserta kerana Bersih sendiri sudah menyediakan 5000 petugas untuk mengawal keselamatan dan perarakan juga tidak akan melebihi 2 hingga 3 jam," kata Maria.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Umno perlu tahu — Lagi menekan lagi rakyat jauhinya — Aspan Alias

Posted: 01 Jul 2011 07:35 AM PDT

1 JULAI — Nampaknya tekanan terhadap Bersih bertambah hebat. Usaha untuk menggagalkan perhimpunan itu dengan paksaan awal dan tindakan pre-emptive dengan tangkapan terhadap mereka yang memakai baju-T Bersih.

Pada hari ini kedengaran Ketua Polis Negara juga berkata bukan saja setakat baju T tetapi kasut dengan bus juga tidak boleh melambangkan perjuangan untuk menuntut demokrasi secara adil dan saksama.

Omar Din seorang guru silat tersohor negara juga memberikan amaran jika Bersih teruskan juga rally itu jangan salahkan beliau jika anak-anak silat beliau akan bertindak kasar terhadap rakyat yang memperjuangkan keadilan. Sebelum ini Perkasa telah menggertak akan mengadakan rally itu jika bersih tidak membatalkannya.

Pemimpin-pemimpin Umno juga dilihat sebagai tidak bermaya dan terpaksa menggunakan Ibrahim Ali dan Perkasa untuk bercakap bagi pihak Umno. Sekarang Omar Din pula menjadi jurucakap Umno. Umno sendiri kehilangan hidayah dalam menghadapi rancangan perhimpunan yang akan dianjurkan oleh Bersih.

Banyak pihak yang tidak tahu untuk bercakap, telah dengan lancang bercakap dan tidak seorang yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menyejukan keadaan tetapi keadaan itu diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk kehadapan mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh.

Masing-masing bercakap dengan garang dan "heroic" untuk menunjuk maco dengan harapan dianggap sebagai manusia yang mempunyai "consequence" yang hebat. Bermacam-macam cara untuk menempelkan diri kepada ramai yang mereka sayangkan negara sambil menonjolkan diri masing-masing dan mengharapkan dapat perhatian pihak yang tinggi.

Dalam kumpulan pemimpin yang banyak kelemahan, mereka selalunya amat bergembira dengan keadaan kucar kacir kerana dalam keadaan aman pemimpin-pemimpin pengecut ini selalu tidak akan timbul dan mendapat perhatian ramai. Itulah sebabnya terdapat mereka yang sudah berusia seperti saya masih lagi menjadi aktivis untuk meletakan diri dan wajah mereka berada di dada-dada akhbar khususnya di dalam media perdana.

Cara ini memangnya satu cara yang lazim dilakukan semasa dahulu dan rakyat akan terpengaruh dengan cara ini. Tetapi sekarang rakyat yang sudah terbuka pandangannya dengan pengaruh dunia moden ini mereka dengan mudah memahami maksud dan tujuan mereka berkelakuan begini.

Rakyat sudah pandai membaca dan membelek "air di dalam tunggak"; tahu yang mana satu yang jujur dan yang mana yang hanya berpolitiking dengan keadaan yang ada untuk menaiki tangga sosial melalui politik tadi.

Kita terlalu defensif seperti kita ini dari pihak pembangkang. Oleh kerana kita suka mengambil sifat seperti pembangkang saya merasakan yang rakyat akan meletakan mereka di tempat yang secucok dengan mereka, iaitu untuk duduk di kerusi pembangkang di dalam dewan-dewan lagisltaif negara.

Maka rakyat dari sekarang sudah mempunyai persepsi yang Umno dan Barisan Nasional sudah selayaknya untuk menyesuaikan dengan sikap defensive mereka itu dengan duduk di pihak pembangkang.

Cara dan sikap mereka pun akhir-akhir ini memang seperti parti yang hendak jadi pembangkang. Bagaimana rakyat hendak memberikan tempat sebagai pihak yang berkuasa jika sikap dan cara kita layaknya untuk menjadi pembangkang?

Jika Umno masih berselera untuk menjadi pihak yang memerintah, maka pemimpin-pemimpin parti ini wajar kembali kepada sifat dan kualiti sebagai pemerintah dan bersifat "magnanimous" yang tinggi… ada "class" kata anak-anak muda sekarang.

Orang tua-tua dahulu selalu berkata, seorang berdarah raja jika dia menjadi tukang sapu sampah pun dia tetap raja. Tetapi kalau orang itu sengkek (toman kata orang NS) jika kita letakan mahkota di kepala mereka pun, ia tetap sengkek.

Itulah sebabnya jika hendak menempah songkok, tempahlah dari tukang songkok. Jangan tempah dari pembuat kasut. Nanti songkok akan rupa kasut pula. Itulah yang berlaku sekarang. Yang tidak layak menjadi pemimpin di angkat menjadi pemimpin. Yang layak menjadi pemimpin sentiasa diketepikan.

Begitulah pentingnya "disposition diri" bagi mereka yang bercita-cita hendak jadi pemimpin. Jika tidak mampu untuk berbuat demikian elok duduk dengan saya di kedai kopi mamak sahaja. Sesudah makan tosai, kita pesan pula roti canai. Kita duduk di mana selayaknya kita.

Kepimpinan negara akan dilihat sebagai kepimpinan yang tempang jika orang yang memimpin itu bukannya yang selayaknya duduk di atas kerana ianya akan memudharatkan sistem kerajaan yang ada di bawahnya. Mereka yang jenis ini akan merasakan yang sistem yang "rigid" untuk kebaikan negara itu membebankan mereka. Sistem yang baik akan menghalang dari mereka menunjukan kuasa.

Kita harus mengambil isu kelayakan ini sebagai perkara besar di dalam kepimpinan negara. Jika kita hanya mereka yang sepatutnya berada di sana maka tidak timbul masalah "attitude" dalam kepimpinan. Jika kita pilih pemimpin yang baik tidak timbul ada permainan ilmu hitam misalnya kerana mereka yang mempraktikan ilmu hitam ini adalah orang yang paling rendah darjatnya kerana sanggup menduakan Tuhan yang maha Esa.

Tidak akan timbul juga tindakan menunjuk-nunjuk dengan "door gift" yang mahal seperti jam yang "diamond-studded" kepada jemputan yang menghadiri majlis pertunangan atau perkahwinan anak kita. Kekayaan kita tidak perlu ditunjuk-tunjuk kerana ianya akan membeza nilai keperibadian seseorang itu.

Jika pemimpin yang duduk dalam "public office" yang tinggi orang ramai akan bertanya. "dimanalah mereka ini dapat kekayaan hingga berkemampuan untuk memberi hadiah yang bermillion harganya ini?"

Itulah sebabnya kita melihat rakyat begitu ramai memberikan sokongan moral terhadap NGO Bersih ini… bukannya kerana mereka menyokong Bersih tetapi mereka terlalu mual dengan apa yang dilihat mereka di dalam kepimpinan negara kita.

Rakyat sayangkan negara mereka kerana ini sahajalah negara tempat mereka berteduh. Itu sebabnya rakyat akan melakukan apa sahaja untuk mempastikan negaranya ditadbir oleh mereka yang selayaknya diyakini.

Kita boleh salahkan sesiapa juga, tetapi jangan sekali-kali menyalahkan rakyat. — aspanaliasnet.blogspot.com

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Tidak peduli kempen cemar, Bersih 2.0 teruskan kempen

Posted: 01 Jul 2011 06:53 AM PDT

Oleh Melissa Chi


PETALING JAYA, 1 Julai — Meskipun berhadapan dengan siri amaran dan dakwaan bahawa dipengaruhi oleh fahaman komunis, sekretariat Bersih menegaskan pihaknya akan meneruskan rancangan menganjurkan perhimpunan menuntut pilihan raya bebas dan adil atas alasan pihaknya tidak mencabar sesiapa.

Polis pula menegaskan pihaknya akan memastikan perhimpunan 9 Julai ini tidak menjadi kenyataan manakala kerajaan Barisan Nasional (BN) melarang orang ramai menjauhkan diri daripada pergerakan Bersih atas alasan ia dipengaruhi oleh agenda politik Pakatan Rakyat.

"Saya merayu kepada kerajaan agar bertindak rasional. Atasi isu-isu yang diletakkan di atas meja dan berikan kami satu penjelasan ... jangan serang pertubuhan madani.

"Mereka fikir mereka mematikan saraf kempen ini. Sebenarnya, ia sudah menjangkaui sekretariat ini. Rakyat adalah saraf," kata Pengarah Eksekutif Empower Maria Chin Abdullah di sini.

Premis Empower dan Women's Aid Organisation (WAO) bertindak sebagai sekretariat Bersih, yang diserbu oleh polis dua hari lalu.

Tujuh sukarelawan dipanggil untuk soal siasat selain bahan terbitan dan kemeja-T Bersih 2.0 dirampas oleh polis.

Gambar Samsiah Fakeh dan CD Abdullah, bekas pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya yang sudah diharamkan juga dirampas, dan ia digunakan untuk mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan itu dengan komunis.

Maria berkata dakwaan mengaitkan pihaknya dengan komunis satu tindakan mahu melemahkan pertubuhan tersebut.

Kini kesemua bahan berkaitan dengan Bersih 2.0 dianggap sebagai haram.

Maria berkata Bersih 2.0 yang dianggotai oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan telah menghimpunkan 5,000 orang yang akan bertindak sebagai pekerja keselamatan manakala 100 doktor bertindak sebagai pasukan perubatan dan peguam untuk bertindak jika ada tangkapan.

"Jika ada sebarang keganasan, sudah pasti ia tidak akan datang dari Bersih," kata beliau sambil menambah, pihak polis seharusnya bekerjasama dengan mereka untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan aman.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah menutup semua bentuk perbincangan dengan penganjur-penganjur yang mahu mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini.

Pengarah Eksekutif WAO Ivy Josiah berkata Bersih 2.0 tiada niat untuk mencabar kerajaan dan perhimpunan minggu depan dilihat sebagai satu ancaman.

"Kami tidak mencabar sesiapa. Kami hanya mahukan pilihan yang bebas dan adil. Ini bukan satu pertandingan," katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim

Posted: 01 Jul 2011 05:00 AM PDT

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Jumaat, 1hb Julai 2011:

Serangan yang bersifat partisan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad kepada Bersih 2.0 membuktikan bahawa SPR sendiri tidak bebas dan ia merupakan musuh kepada pilihan raya bersih dan adil di Malaysia

Fitnah Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar mengenai Bersih 2.0 sebagai alat Pakatan Rakyat, membuktikan lagi kepada rakyat Malaysia bahawa SPR sendiri bukanlah sebuah badan yang bebas dan ia tidak boleh diharap untuk menegakkan hak sivil rakyat untuk pilihanraya yang bersih dan adil .

Permintaan Wan Ahmad supaya Bersih menjarakkan entitinya dengan Pakatan Rakyat adalah nakal, mengelirukan dan tidak adil kerana Bersih telah mengambil keputusan dengan menolak sebarang keahlian dari mana-mana parti politik untuk mengelakkan tuduhan yang tidak wajar sebagaimana selepas perhimpunan Bersih 2007. Kini Bersih merupakan gabungan lebih dari 60 buah NGO dan orang-orang awam dan tiada penglibatan dari parti politik.

Selain itu, Bersih juga sentiasa cuba untuk menjalin hubungan dengan semua parti politik di Malaysia termasuk Barisan Nasional (BN), bagi menarik sokongan supaya melaksanakan lapan tuntutan untuk perubahan sistem pilihanraya. Bagaimanapun usaha Bersih tidak diberi perhatian malah diabaikan, diketepikan dan ditolak oleh pemimpin BN.

Lapan tuntutan Bersih untuk melakukan reformasi pilihan raya adalah adil, wajar dan ianya merupakan satu keperluan penting dalam sistem demokrasi yang sihat di seluruh dunia. Lapan tuntutan adalah seperti berikut:

Bersihkan senarai pengundi

Mereformasikan undi pos

Gunakan dakwat kekal

Tempoh kempen minimum 21 hari

Akses media yang bebas dan adil

Memperkukuhkan institusi awam

Hentikan rasuah

Hentikan politik kotor

Jika SPR dan kerajaan melaksanakan lapan tuntutan di atas, kerajaan yang dipilih hari ini akan mempunyai legitimasi yang lebih baik dalam maksud kredibaliti pemerintahannya. Hanya sebuah kerajaan korup, yang merompak kuasa melalui pilihanraya yang kotor dan dengan sokongan daripada SPR yang berat sebelah, akan menentang lapan tuntutan ini dan terus memburukkan gerakan masyarakat sivil yang menyokong mereka.

Saya ingin mengingatkan Wan Ahmad, pada Forum Awam bersama SPR yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), bertempat di MBPJ pada 22 Februari 2011, dihadiri oleh kira-kira 200 orang awam bahawa, Wan Ahmad telah hadir dan rekod menyatakan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan mana-mana tuntutan reformasi pilihanraya yang dicadangkan oleh Bersih kerana batasan undang-undang kepada SPR, SPR hanya diberi kuasa "untuk menjalankan dan mentadbir pilihan raya".

Wan Ahmad juga berkata, "Saya harap anda patut pergi kepada Perdana Menteri dan Peguam Negara dengan cadangan pembaharuan tersebut kerana SPR tidak boleh berbuat apa-apa."

Oleh itu, Wan Ahmad harus bersyukur kerana Bersih mempunyai keberanian dan integriti untuk mendesak melakukan perubahan sistem pilihanraya bahawa SPR tidak punya kuasa untuk melaksanakannya dan SPR harus memberikan sokongan yang penuh kepada perhimpunan awam Bersih pada 9 Julai ini.

Sebagai Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad harus sedar bahawa lapan permintaan Bersih untuk reformasi pilihanraya akan dapat membantu SPR menjadi organisasi yang benar-benar bebas daripada kuasa eksekutif, malah menjadikan SPR lebih berkuasa sebagai sebuah institusi yang dihormati dan bertaraf dunia.

Lebih daripada itu, ia akan memperlihatkan SPR sebagai penentang yang kuat kepada Bersih seperti boneka BN dan menjadi musuh kepada pilihanraya yang bersih dan adil.

* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, EXCO Kanan Selangor & Ahli Parlimen Kawasan Seputeh

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Kenyataan Media berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Posted: 01 Jul 2011 04:45 AM PDT

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato' Wan Ahmad Wan Omar yang dilaporkan oleh laman portal Malaysiakini.com bertarikh 30 Jun 2011 bertajuk "SPR: Ambiga diperalat, BERSIH kian kusut".

Menurut laporan tersebut, Wan Ahmad mendakwa bahawa Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH), Dato' Ambiga Sreevenasan telah diperalatkan oleh pemimpin politik pembangkang untuk membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kenyataan Wan Ahmad adalah tidak bertanggungjawab dan menzahirkan watak sebenar beliau yang selama ini dilihat sebagai alat kepada pimpinan UMNO dan sistem yang rosak. Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.

Adalah malang apabila Wan Ahmad gagal memperlihatkan profesionalisme sebagai penjawat awam yang seharusnya bersifat berkecuali. Ketaatan membuta-tuli beliau kepada UMNO jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada 'government of the day' dengan taat kepada 'governing party'.

Beliau turut dilaporkan oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata komponen Pakatan Rakyat sudah mula risau dengan kebangkitan Barisan Nasional yang memperlihatkan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu.

Pilihan raya yang bebas dan adil tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui siapakah yang akan menang dalam sesuatu pilihan raya.

Sebaliknya, apabila Wan Ahmad menzahirkan kenyataannya bahawa Barisan Nasional semakin kuat, maka timbul persoalan apakah beliau sudah merancang sesuatu bagi menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional? Kalau inilah peranan yang dicatur oleh Wan Ahmad, maka pilihan raya di Malaysia sememangnya tidak lagi bebas dan adil!

Wan Ahmad seharusnya faham dan menghayati peranan SPR yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia. Asas utama dalam mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil ialah daftar pemilih yang bersih untuk menjamin tidak berlaku pengundian berganda oleh seorang pemilih berdaftar termasuk undi pos.

Saya telah menyahut cabaran Wan Ahmad dan telah membuktikan secara berfakta bahawa Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011 adalah daftar pemilih yang terkotor dalam sejarah pilihan raya dan dakwaan saya telah diakui benar oleh SPR dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria bertarikh 24 Jun 2011. Wan Ahmad harus memikul tanggungjawab ini dan meletakkan jawatan serta merta. Beliau tidak lagi punyai maruah dan kredibiliti untuk memimpin SPR.

Wan Ahmad juga sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH.

Lapan (8) tuntutan BERSIH iaitu (i) pembersihan senarai pengundi; (ii) reformasi undi pos; (iii) penggunaan dakwat kekal; (iv) tempoh kempen minima 21 hari; (v) memperkukuh institusi awam; (vi) menghentikan rasuah pilihan raya dan; (viii) menghentikan politik kotor; adalah bertujuan untuk menyuburkan demokrasi dalam negara dan memperkukuhkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Tuntutan-tuntutan ini sewajarnya dipandang serius dan positif oleh SPR dalam usaha untuk memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus, bebas dan adil. SPR harus berlapang dada untuk menerima dan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh rakyat demi memperbaiki imej dan kredibiliti SPR yang dilihat sebagai tidak berwibawa dan bersikap berat sebelah.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat senantiasa mendukung sebarang usaha yang proaktif demi rakyat dan demi menjamin satu sistem demokrasi yang menjanjikan pilihan raya yang telus, bebas dan adil.

Sehubungan dengan itu, saya mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR. Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik UMNO dan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13!

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden KEADILAN
www.azminali.com


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

PERKASA Pinjam Minah Indon Untuk Demo? Bergambar

Posted: 01 Jul 2011 04:01 AM PDT

http://a4.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/263000_10150231582573046_215868293045_6944498_5334320_n.jpg

perkasa?

pejuang islam?

kepala hotak lu!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Najib Ingat Peguam Bodoh Macam Puak Umno?

Posted: 01 Jul 2011 03:05 AM PDT

Jangan guna demonstrasi jalanan, Najib beritahu peguam

Oleh Shannon Teoh

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta para peguam agar menggunakan saluran perundangan bukannya turun ke jalan untuk mengetengahkan tuntutan dan rasa tidak puas hati mereka.

Perdana Menteri memberi pandangan ini ketika tinggal satu minggu sebelum Himpunan Bersih 2.0 — yang disokong oleh parti-parti politik dan sekumpulan 60 pertubuhan bukan kerajaan termasuk Lawyers for Liberty dan bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

"Peguam-peguam yang merupakan profesional tidak perlu terlibat dalam demonstrasi kerana kita sebuah negara berdaulat dengan adanya undang-undang dan perlembagaan," kata beliau.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Polis akan pastikan perhimpunan 9 Julai tidak jadi, kata timbalan IGP

Posted: 01 Jul 2011 03:04 AM PDT

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, 1 Julai — Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menegaskan pihaknya menutup segala bentuk rundingan dengan mana-mana penganjur perhimpunan tidak sah yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Jelas Khalid, keputusan itu dibuat selepas kesemua penganjur iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pemuda Umno dan Perkasa tetap berkeras meneruskan perhimpunan haram itu sambil memberi amaran bersedia untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang.

"Kami sudah memberikan penjelasan kepada mereka, memberi peringatan dan amaran tetapi mereka tetap tidak peduli. Kami akan memastikan perhimpunan ini tidak akan berlaku.

"Kami tidak akan mengadakan sebarang perbincangan lagi. Bersiap sedia berhadapan dengan tindakan undang-undang," katanya.

Bercakap pada sidang media di Bukit Aman, Khalid berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas peserta-peserta perhimpunan itu.

"Kami tidak akan bertolak ansur," katanya.

Semalam Bersih meminta polis sendiri mencadangkan satu laluan yang pihak berkuasa rasa sesuai untuk mereka mengadakan perarakan tanpa gangguan kepada sesiapa pun.

Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan pasukan pemantau pilihan raya ini telah mengemukakan cadangan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dengan harapan polis akan bersikap terbuka dan bekerjasama dengan gabungan tersebut.

Bagaimanapun Ismail menolak cadangan Bersih itu.

Khalid berkata Ismail telah mengadakan pertemuan dengan semua penganjur yang akan mengadakan perhimpunan minggu depan dan memberitahu kerisauan polis.

"Kami sudah jelaskan kepada mereka tentang kebimbangan peniaga, pengusaha pelancong, pemandu teksi dan orang ramai yang membantah perhimpunan itu.

"Tetapi mereka tetap berkeras, jadi kami akan gunakan undang-undang yang ada," katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Khutbah Jumaat Wilayah label Bersih gerakan pelampau

Posted: 30 Jun 2011 11:48 PM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 1 Julai — Selepas dikecam hebat dalam media arus perdana, Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai turut menjadi fokus khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini dengan menyifatkan penganjurnya sebagai gerakan pelampau.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali mengesahkan perkara itu.

Kata beliau, sebanyak 150 masjid termasuk di Putrajaya akan membacakan khutbah bertajuk "Memelihara Nikmat Keamanan".

"Ya . . . ya . . . kita akan gunakan khutbah khas itu sebab penting satu keamanan yang kita kecapi tidak mudah kita musnahkan," jawabnya ringkas.

Ditanya lebih lanjut, Che Mat bagaimanapun meminta agar terus mendapatkan kandungan khutbah Jumaat itu dari laman web agensi itu.

Teks khutbah itu berkata memelihara keamanan adalah satu perkara yang dituntut dalam semua agama.

"Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran.

Kita juga telah menyaksikan betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan," katanya.

"Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam," kata khutbah khas yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini.

Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus ke atas Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), yang mendapat sokongan padu Pakatan Rakyat.

Parti teras BN iaitu Umno dan Perkasa menentang keras Himpunan Bersih 2.0.

Justeru mereka juga mahu mengadakan perhimpunan balas pada hari yang sama.

Sejak sebulan yang lalu, Himpunan Bersih 2.0 dikecam hebat dalam media arus perdana, malah polis juga memulakan tindakan keras dengan menahan lebih 100 setakat ini.

Sekitar 2,000 laporan polis dibuat ke atas Himpunan Bersih 2.0.

Kata khutbah itu, Islam menolak mana-mana gerakan yang boleh menghuru-harakan keamanan sesebuah negara termasuk daripada gerakan pelampau.

"Mutakhir ini kita dibimbangi oleh gerakan golongan pelampau yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Pilihan Bersih dan Adil.

"Golongan ini pada asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam.

"Dalam usaha mencapai matlamat perjuangan, golongan ini akan melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, mereka berarak ke hulu hilir, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang negara malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan," katanya.

Tegas khutbah itu, Himpunan Bersih 2.0 berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia dan politik untuk "meniru" keganasan di negara asing untuk menekan pemerintah negara yang diterajui BN.

"Apa yang paling malang lagi, golongan ini berlindung atas nama perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik, menggunakan media cetak dan elektronik, kemudahan Internet dan meniru tindakan keganasan yang berlaku di negara asing bagi menekan dan mengugut pemerintah serta rakyat di negara ini dalam memenuhi tuntutan mereka.

"Mimbar ingin menegaskan bahawa tindakan golongan pengkhianat seperti ini merupakan satu tindakan yang zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara ini sebenarnya satu tindakan yang boleh mencampakkan manusia itu di dalam kebinasaan serta mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat," katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Tiada ulasan: