Khamis, 21 Julai 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kes Sarbani: Siapa Merapu, Shafee Atau RPK?

Posted: 21 Jul 2011 01:00 AM PDT

Shafee: Raja Petra merapu, dakwaan tak jejas inkues Sarbaini

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, sebagai seorang yang "bercakap merapu" sambil menegaskan dakwaan-dakwaan mengenai kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak benar.

Ini kerana menurut Datuk Seri Shafee Abdullah, sepanjang inkues setakat minggu lalu ramai saksi telah dipanggil memberi keterangan dan pakar forensik juga mengatakan Sarbaini, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia tidak membunuh diri atau dibunuh.

"Raja Petra cakap merapu, dalam inkues kita sudah panggil saksi dan pakar (forensik) juga tidak kata Sarbaini bunuh diri atau dibunuh.

"Saya percaya dakwaan ini tidak akan menjejaskan inkues, Raja Petra sudah jadi (bahan) sejarah dan selalu cakap merapu.

"Raja Petra sudah tidak ada modal (untuk bercakap), dia tiada kredibiliti, suka merepek dan sudah tidak diterima pembangkang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas beliau, adalah mustahil untuk Sarbaini keluar dan berdiri di atas tingkap bilik pantri seperti mana yang didakwa Raja Petra.

"Tiada sesiapa boleh bertenggek atas tingkap atau berdiri, yang boleh hanya berdiri di luar tingkap dan ia kita dah tunjukkan (dalam lakon semula kejadian).

"Kalau Raja Petra boleh, saya minta dia buat (berdiri atas tingkap)," katanya.

Sehingga semalam, Raja Petra telah menulis tujuh entri dan yang terbaru dalam blognya mendakwa Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

"Di sana, Sarbaini telah 'didera' secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

"Mohd Fauzi juga mengatakan 'orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain', terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

"Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia," dakwa beliau.

Ekoran pendedahan itu peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh memberitahu The Malaysian Insider semalam bahawa pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan terbaru itu.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela untuk menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian menunjukkan Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya. -TMI


Kes Sarbaini: Peguam mahu buat laporan polis, dakwa tulisan Raja Petra ada asas

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Peguam keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menegaskan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan baru dibuat editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu 6 April lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Awtar Singh berkata, pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini (gambar) membunuh diri seperti yang didakwa.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.

"Kita akan buat satu laporan polis yang baru berhubung pendedahan dalam blog Raja Petra Kamaruddin, mana mungkin Ahmad Sarbaini bunuh diri... mungkin dia ditolak dari tingkap.

"Mungkin pada inkues nanti kita akan minta untuk sekali lagi ke bangunan (SPRM) untuk kaji dan lakukan semula tentang apa yang berlaku... kita memang sudah jangka Ahmad Sarbaini tidak mungkin bunuh diri.

"Kita akan buat laporan polis dengan segera, kita mahu polis siasat semula perkara ini sebab mustahil Ahmad Sarbaini boleh jatuh sendiri, saya tidak kata dia dibunuh tapi mungkin berlaku kecuaian," kata Awtar.

Inkues Sarbaini telah bermula pada 4 Julai lalu dan ramai saksi termasuk ahli keluarga Sarbaini telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Tegas Awtar, pihaknya telah mengesyaki dua individu yang didakwa beliau terlibat dalam kematian Sarbaini..

"Kita juga sejak dari awal sudah mengesyaki dua suspek yang terlibat dalam perkara ini (kematian Sarbaini).

"Sebab, kalau dari segi kecederaan yang dialami (Sarbaini) seperti ada sesuatu yang berlaku, apa sahaja boleh berlaku," tambah Awtar.

Raja Petra dalam entri terbaru dalam blognya berkata Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

"Di sana, Sarbaini telah 'didera' secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

"Mohd Fauzi juga mengatakan 'orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain', terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

"Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia," dakwa beliau.

Sarbaini sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan menerima rasuah, namun bertindak mengubah keterangan yang diberikan itu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian, Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya. -TMI


Ulasan GB

Sepandai-pandai tupai melompat satu hari akan terhempas ke tanah juga.

Demikian diperingatkan kepada peguam Mohd Shafie.

Di dalam kes Teoh Beng Hock satu ketika dulu, beliaulah yang merapu dengan membuat dakwaan kononnya Teoh Beng Hock bunuh diri secara terhormat bagi lindungi majikan dan partinya daripada tuduhan rasuah. Satu andaian palsu dan rekaan melangkaui tahap "merapu" demi untuk mempertahankan SPRM dan Polis.

Kini di dalam kes Sarbani, beliau kembali merapu setelah ada bahan baru didedahkan oleh Raja Petra. Tersentak dengannya Shafee melakukan serangan peribadi: dia tiada kredibiliti, suka merepek dan sudah tidak diterima pembangkang.

Menunggu masa tupai akan jatuh tersembam ke bumi.

BERS✔H: Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Kelemahan Pilihanraya

Posted: 20 Jul 2011 11:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Kelemahan dan kepincangan dalam perjalanan sistem pilihan raya boleh diatasi dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja (Royal Commission of Inquiry – RCI).

"Ini cara terbaik untuk membaiki kelemahan pilihan raya negara kita yang menjadi bualan dan rungutan," kata Zaid Kamaruddin, seorang pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kepada FMT hari ini.

Beliau yang juga Presiden Jemaah Islah Malaysia (Jim), berkata, biar pakar-pakar tempatan mengkaji dan memperbetulkan kepincangan pilihan raya termasuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri.

"Kalau perlu parti politik boleh dilibatkan dalam RCI ini tetapi lebih elok diserahkan kepada pakar sahaja," katanya.

Zaid ialah salah seorang pemimpin Bersih yang menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 5 Mei lalu menuntut pilihan raya bersih dan adil. Dua lagi ialah pengerusinya Datuk S Ambiga dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Zaid memberitahu penubuhan RCI adalah di antara tuntutan yang terkandung dalam memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka akan membawa tuntutan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tuntutan Bersih

Pertemuan itu, menurutnya berlangsung kira-kira 45 minit dan Seri Paduka meminta Bersih menghantar melalui faks semua tuntutan Bersih untuk diperpanjangkan kepada kerajaan.

Zaid juga berharap SPR memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membuat pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

"Jika SPR yang buat, ia lebih berkesan dari didesak oleh pihak lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik.

"Bagaimanapun, Bersih akan terus bersuara bagi membuat tuntutan bagi mengadakan pilihan raya yang adil dan bersih," tambahnya.

Menurutnya, jika perubahan itu memerlukan pindaan undang-undang atau perlembagaan maka ia perlu dilakukan untuk kebaikan semua.

Secara keseluruhannya kata Zaid, beberapa peraturan dalam SPR sendiri perlu ditambah baik seperti ketiadaan kuasa pendakwaan bagi akta pilihan raya.

"Sehingga ini SPR tidak mendakwa seorang pun di bawah akta pilihan raya dengan alasan suruhanjaya itu tiada kuasa mendakwa," katanya. -FMT

[Video ] Tentera AS Peluk Islam Disiarkan Di LiveLeak

Posted: 20 Jul 2011 10:20 PM PDT

Seorang tentera AS di Afghanistan dilaporkan telah memeluk Islam pada upacara yang dihadiri oleh sejumlah besar orang, menurut sebuah rakaman video yang dikeluarkan pada hari Selasa (19/7/2011).

Video, yang dikeluarkan di Liveleak.com, menunjukkan bahawa tentera nasional Afghanistan juga mengambil bahagian dalam upacara tersebut.

Pada awal video, seorang lelaki Afghan separuh umur mengumumkan nama baru bagi tentera tersebut, yakni Habibullah, yang bererti "sahabat Allah" dan menyambut tentera AS dengan pelukan hangat atas keputusannya untuk memeluk Islam.

"Orang ini telah menjadi sahabat Allah kerana Allah telah memberi rahmat khusus pada dirinya (untuk menunjukkan kepadanya jalan yang benar Islam)," kata lelaki Afghanistan itu dalam video yang sebetulnya dimuat naik di Youtube sejak Jun 2011.

Lalu dia diberikan serban di kepalanya, yang merupakan tanda penghormatan dalam budaya Pakhtun. (diterjemah dari globalmuslim) -HHRS



Professor Pengampu Kelas Pertama

Posted: 20 Jul 2011 08:59 PM PDT

Hairan bin ajaib, bagaimana seorang yang bergelar profesor, tiba-tiba menyuruh kerajaan mengambil tindakan kepada portal berita The Malaysian Insider kononnya pemberitaannya memberi kesan buruk kepada keselamatan dan keamanan negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata cadangan Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain (gambar) ditertawakan oleh mereka yang belajar di sekolah atap.

"Sebenarnya yang tergugat ialah kerajaan BN, bukannya keamanan negara," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Soalnya, mengapa perlu takut dengan media baru kerana bukankah Umno memiliki media gergasi yang dapat dipancar ke setiap pelosok kampung.

Katanya, memang sahlah parti yang didukung Ahmad Atory sudah hendak menghembus nafas terakhir, sehingga takut keburukan parti Umno diketahui oleh rakyat.

Menurutnya, Atory merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia yang memang terkenal sebagai penyokong Umno tegar telah mencadangkan perkara tersebut, kerana resah dengan maklumat yang diberikan oleh The Malaysian Insider dan media alternatif lain.

Beliau berkata, jika benar laporan media alternatif itu bahaya dan menyalahi etika media, kerajaan boleh bertindak melalui Akta Hasutan bukannya menerima cadangan Atory.

Idris menambah, sepatutnya yang perlu takut kepada media alternatif ialah Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, bukannya Atory.

Soalnya, tidak cukup lagikah dengan gaji sebagai seorang profesor sehingga sanggup menjadi pengampu kelas pertama.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kualiti graduan yang beliau ajar jika beliau yang berfikiran sempit dan tidak memahami bahawa sekarang langit sudah terbuka. Inilah nasib seorang Profesor jika taksub dengan Umno sehingga hilang rasional apabila memberi pandangan," ujarnya lagi. -HD

Langkah KDN Tapis Majalah The Economist Malukan Negara & Bukti Malaysia Masih Mundur

Posted: 20 Jul 2011 07:20 PM PDT

economistEconomist akan siasat tapisan BERSIH 2.0

Majalah antarabangsa The Economist akan menyiasat tapisan atau suntingan Kementerian Dalam Negeri ke atas keluaran terbarunya berhubung laporan perhimpunan BERSIH 2.0 kata pengurus jenamanya Caroline Marrows.

"Kami akan siasat dakwaan itu," katanya kepada Malaysiakini menerusi email.

"Saya boleh sahkan sebarang bentuk tapisan dalam The Economist di Malaysia minggu lalu bukan kerja kami sendiri. Namun buat masa ini, kami tidak mahu mengulas lanjut."

Marrows juga berkata majalah mingguan itu juga tidak akan membuat sebarang spekulasi berhubung motif kerajaan Malaysia membuat tapisan itu.

Kementerian Dalam Negeri telah menghitamkan beberapa bahagian dalam laporan majalah antrabangsa yang berpangkalan di London itu pada edisi 16 Julai berhubung perhimpunan BERSIH 2.0.

Laporan, 'Political affray in Malaysia: Taken to the cleaners', menunjukkan beberapa ayat dihitamkan dengan pen penanda berdakwat kekal.

Dalam emel berasingan kepada Malaysiakini, timbalan editor The Economist edisi Asia John Parker berkata kerajaan Malaysia membuat tapisan tanpa memaklumkan kepada majalah itu terlebih dahulu.

Sementara itu, setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN Abd Aziz Md Nor mendakwa tindakan kerajaan menapis sebahagian daripada artikel itu adalah kerana laporan itu tidak tepat dan menggelirukan.

Ayat-ayat yang dipadamkan itu adalah berkaitan dengan dakwaan salah laku polis dan kerajaan ketika menghalang perhimpunan Julai 9 yang menyaksikan hampir 1,700 peserta ditangkap.

Laporan akhbar The Star, memetik Abd Aziz berkata keputusan dibuat setelah berunding dengan pihak polis dan kementeriannya telah memaklumkan perkara berkenaan kepada penerbit majalah tersebut.

Antara ayat-ayat yang dihitamkan itu adalah:

'seorang lelaki mati akibat sakit jantung' (and one man died of a heart attack), pada perenggan pertama.

'Perarakan itu kemudiannya diharamkan, meskipun pihak berkuasa menawarkan sebuah stadium untuk berhimpun - tetapi menarik balik tawaran itu' (The march itself was then banned, although the authorities offered Bersih a stadium to meet in - and then withdrew the offer') pada perenggan kedua.

'Taktik polis mencetuskan kemarahan; kerajaan akur menjalankan siasatan rasmi berhubung dakwaan keganasan polis. Dalam satu kejadian (sempat dirakamkan dalam filem) polis seolah-olah dilihat menembak gas pemedih mata dan memancutkan meriam air ke arah peserta himpunan yang berlindung daripada serangan belantan' (The heavy-handed police tactics have provoked a lot of anger; the government has conceded an official investigation into claims of police brutality. In one instance (caught on film), police seemed to fire tear gas and water cannon into a hospital where protesters were sheltering from a baton charge), pada perenggan keempat. -mk


Saring Maklumat Bukti Malaysia Masih Mundur, Terkebelakang-IDEAS

SHAH ALAM 20 JULAI : Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan membidas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melakukan tapisan ke atas artikel dari majalah antarabangsa The Enonomist berhubung himpunan Bersih, 9 Julai lalu.

Menyifatkan ia sebagai tindakan terkebelakang dalam dunia moden pada hari ini, Wan Saiful berkata adalah tidak masuk akal sama sekali untuk KDN menghitamkan beberapa ayat dalam laporan itu meskipun KDN meminta kebenaran dari majalah itu sekali pun.

"Saya rasa sama ada The Economist setuju atau tidak bagi saya itu tak relevan. Saya rasa amat malang dalam keadaan dunia yang makin maju sekarang ini, kita masih lagi guna cara untuk sunting pandangan atau laporan yang disiarkan, lebih-lebih lagi dalam dunia internet sekarang,"kata beliau kepada Tv Selangor.

The Enonomist hari ini memberitahu pihaknya akan menyiasat tapisan yang dilakukan oleh KDN.

Kementerian itu telah menghitamkan beberapa bahagian dalam laporan majalah antarabangsa yang berpangkalan di London itu pada edisi 16 Julai berhubung perhimpunan Bersih 2.0.

Laporan, 'Political affray in Malaysia: Taken to the cleaners', menunjukkan beberapa ayat dihitamkan dengan pen penanda berdakwat kekal, namun keratan itu masih boleh didapati di internet.

Antara maklumat yang dipadamkan ialah mengenai kematian seorang peserta himpunan Bersih, Baharuddin Ahmad akibat sakit jantung.

Melihat kepada senario itu, Wan Saiful berkata, akta penapisan sudah tidak munasabah dan terpakai lagi memandangkan artikel berkenaan tidak mengandungi unsur yang memudaratkan ketenteraman awam, mengancam keselamatan negara dan menggugat kesejahteraan rakyat.

"Perbuatan penapisan, awal-awal lagi saya rasa memang satu perkara yang tak patut berlaku. Akta penapisan seperti ini perlu dihentikan.

"Dari segi moral dengan dunia sudah maju sekarang ini, walaupun undang-undang membolehkan perkara tersebut tetapi perkara itu (penapisan) tidak patut dipertahankan lagi dalam situasi ini,"tambah beliau lagi.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN Abd Aziz Md Nor sebelum ini mendakwa tindakan kerajaan menapis sebahagian daripada artikel itu adalah kerana laporan itu tidak tepat dan mengelirukan.

Namun ayat-ayat yang dihitamkan lebih menjurus ke arah salah laku dan keganasan polis pada hari kejadian.

Antara ayat-ayat yang dihitamkan itu adalah:

* 'seorang lelaki mati akibat sakit jantung' (and one man died of a heart attack), pada perenggan pertama.

* 'Perarakan itu kemudiannya diharamkan, meskipun pihak berkuasa menawarkan sebuah stadium untuk berhimpun - tetapi menarik balik tawaran itu' (The march itself was then banned, although the authorities offered Bersih a stadium to meet in - and then withdrew the offer') pada perenggan kedua.

* 'Taktik polis mencetuskan kemarahan; kerajaan akur menjalankan siasatan rasmi berhubung dakwaan keganasan polis. Dalam satu kejadian (sempat dirakamkan dalam filem) polis seolah-olah dilihat menembak gas pemedih mata dan memancutkan meriam air ke arah peserta himpunan yang berlindung daripada serangan belantan' (The heavy-handed police tactics have provoked a lot of anger; the government has conceded an official investigation into claims of police brutality. In one instance (caught on film), police seemed to fire tear gas and water cannon into a hospital where protesters were sheltering from a baton charge), pada perenggan keempat. -tvsnews






BERS✔H 2.0: Lagi Pemuda Dedah Jadi Mangsa Keganasan Polis

Posted: 20 Jul 2011 05:35 PM PDT

Bandar Jengka, 20 Julai: Seorang lagi peserta himpunan Bersih 2.0 tampil mendakwa dikasari tidak kurang 20 orang anggota polis walaupun selepas bersurai. Gambar fail.

Badrul Hisham Abdul Halim, 26, dari Felda Jengka 19 dekat sini, berkata beliau dibelasah ketika melalui tangga OCBC Bank dalam perjalanan ke stesen LRT untuk pulang.

"Saya menyertai perhimpunan Bersih di Pasar Seni bersama kira-kira 5,000 yang lain. Kira-kira pukul 4.30 petang perhimpunan bersurai setelah diarahkan polis dan saya berjalan mencari stesen LRT yang beroperasi untuk pulang ke Pahang," katanya ketika bercerita kepada Harakahdaily.

Tambahnya, semasa perjalanan pulang itu beliau memang memegang baju kuning Bersih di tangan dan sedar terpaksa melalui deretan polis di tepi jalan.

"Polis yang berada di tepi jalan telah memanggil saya lalu meminta baju berkenaan. Saya enggan menyerahkannya lalu mereka rentap dan rampas kemudian mereka mengkasari saya.

"Seingat saya polis bernama Azrin dan seorang lagi bernama Hafizul mengheret saya sambil mencengkam kolar baju. Kemudian mereka gari saya dan heret sejauh kira-kira 200 meter ke Dataran DBKL. Saya ingat betul pada masa itu tak kurang daripada 20 orang polis berseragam membelasah sambil memaki hamun saya sebagai samseng.

"Mereka pukul saya dengan berselindung di sebalik trak polis. Saya langsung tak melawan kerana digari dan mereka hanya berhenti apabila tiba di Dataran DBKL. Selepas berada di situ selama setengah jam, saya dinaikkan ke dalam trak dan dihantar ke Pulapol. Di situ baru gari dibuka dan dibebaskan sejam kemudian,"
ujarnya.

Badrul yang mengusahakan ladang bapanya sendiri, berkata pada ketika itulah baru dia sedar di sebelah mata kanannya lebam dan berdarah, kepala bengkak serta tulang betisnya amat sakit akibat disepak.

"Dari Pulapol saya kemudiannya polis hantar ke stesen LRT Dang Wangi untuk meneruskan perjalanan pulang ke Pahang," katanya.

Bagi Badrul, ini merupakan pengalaman pertama menyertai himpunan seperti itu dan tidak sangka sudah menjadi belasahan polis.

Katanya, beliau pergi kerana gambaran awalnya perhimpunan aman dan merasa tidak takut kerana selama ini mengganggap polis adalah sebagai pelindung dan pemelihara undang-undang.

"Tapi dengan layanan sebegitu saya terperanjat. Saya sanggup tampil jika ada yang mahu menyiasat. Saya juga akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," katanya. -HD

BERS✔H 2.0: Ada Cubaan Untuk Membunuh Anwar

Posted: 20 Jul 2011 04:30 PM PDT

Peguam: Serangan ke atas pengawal cubaan bunuh

Pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan saman sivil ke atas polis berhubung kecederaan yang dialaminya ketika mengawal keselamatan ketua pembangkang itu.

Tulang pipi Fayyahd Afiq Albakqry, 25 dikatakan retak dan hancur semasa peserta perhimpunan BERSIH 2.0 itu melarikan diri daripada asakan dan serangan polis di terowong KL Sentral pada 9 Julai lalu.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan pembinaan semula tulang pipinya menggunakan titanium, baru-baru ini.

"Bagaimanapun, saman sivil itu adalah berasingan daripada prosiding jenayah yang akan dimulakan ke atas polis," kata peguam N Surendren yang bertindak bagi pihak Fayyahd.

Masih trauma

Surendren yang juga naib presiden PKR mengiringi Fayyadh membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi berhubung dakwaan kejadian itu sehingga menyebabkan kecederaannya.

Menurut Surendren, pengawal peribadi itu masih dalam trauma dan enggan melayan soalan wartawan.

Katanya, tindakan keterlaluan polis cuba menyuraikan peserta BERSIH 2.0 tempoh hari boleh diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh.

"Kes ini harus disiasat ke atas siapa yang melakukan tugas dan siapa yang memberi arahan. Ini adalah satu perkara dan kes salah guna kuasa yang serius sehingga mencederakan orang awam," katanya.

Oleh itu, beliau menggesa polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Polis langgar prosedur ketika melepas tembakan. Gas pemedih mata dilepaskan pada kawasan tertutup (terowong), menembak tepat kepada orang awam dan tembak tanpa memberi amaran.

"Kami ada video sebagai bukti, polis melepas lebih kurang 12 das dalam kawasan tertutup dan jelas arahan pada kelongsong, tidak boleh tembak tepat ke arah orang awam," katanya.

Pada kejadian itu, Anwar juga dilaporkan cedera akibat terjatuh semasa melarikan diri akibat terkena tembakan gas pemedih mata dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

Turut hadir pada hari ini adalah peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Pengarah Biro Guaman PKR, Latheefa Koya dan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah. -mk


Keganasan Polis : Pengawal Peribadi Anwar Buat Laporan

KUALA LUMPUR 20 JULAI : Tindakan polis menghalakan tembakan gas pemedih mata tepat menuju ke arah Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah cubaan terbaru untuk membunuh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, ia merujuk kepada tindakan polis menyerang menggunakan tembakan gas pemedih mata secara terus ke terowong dekat KL Sentral 9 Julai lalu.

Menurut beliau, insiden itu sudah dirancang lebih awal oleh pasukan polis untuk mencederakan Anwar, termasuk mendatangkan kematian.

"Tembakan kanister itu memang sengaja dihalakan ke arah Anwar dan tindakan pantas Fayyadh (Afiq Al Bakqry) menarik tangan Anwar di terowong itu berjaya menyelamatkan ketua umum itu. Namun malangnya, Fayyadh pula yang cedera," katanya.

Surendran menjelaskan hal itu pada sidang media selepas bersama-sama pengawal peribadi Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berikutan kecederaan serius yang dialami beliau dalam cubaan polis menyuraikan orang awam pada himpunan Bersih 9 Julai lalu.

Menurut peguam hak asasi manusia itu, cubaan membunuh itu susulan dari beberapa insiden seperti sabotaj kereta yang dinaiki isteri pemimpin pembangkang itu, ancaman terhadap cucu beliau dan kes cubaan membunuh membabitkan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Rahim Noor pada 1998.

"Apa sudah jadi dengan semua laporan polis yang kita buat? Sebab itu kita percaya insiden ini satu lagi cubaan membunuh Anwar dan kita menuntut siasatan segera," tegasnya.

Turut hadir ketika laporan polis dibuat peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Pengarah Biro Guaman Keadilan, Latheefa koya dan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, polis harus menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes ini memandangkan ia adalah bentuk salah guna kuasa yang serius.

" Kes ini harus disiasat ke atas siapa yang melakukan tugas dan siapa yang memberi arahan. Ini adalah satu perkara dan kes salah guna kuasa yang serius sehingga mencederakan orang awam,"kata beliau.

Pada hari kejadian, Fayyadh cedera teruk di muka apabila hampir keseluruhan tulang pipi kirinya retak akibat tembakan kanister yang dilepaskan menghala ke arah Ketua Pembangkang.

Beliau yang bertindak mahu menyelamatkan ahli parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun terkena kanister itu.

Akibat dari itu, lima plat titanium dimasukkan ke dalam tulang pipi beliau.

Oleh itu, pihaknya menggesa polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

" Polis langgar prosuder ketika melepas tembakan. Gas pemedih mata dilepaskan pada kawasan tertutup (terowong), menembak tepat kepada orang awam,dan tembak
tanpa memberi arahan,"kata beliau.

" Kami ada video sebagai bukti, polis melepas lebih kurang 12 das dalam kawasan tertutup dan jelas arahan pada kelongsong, tidak boleh tembak tepat ke arah orang awam,"tambah beliau lagi. -tvsnews






BERS✔H: Rakyat Di Kampung Tak Akan Tertipu Lagi

Posted: 20 Jul 2011 08:24 AM PDT

Timbalan Presiden PAS yang dilanggar kenderaan polis sebelum menyertai Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu menyokong sepenuhnya agenda pembaharuan dalam sistem pilihan raya diperhebatkan di kawasan-kawasan luar bandar.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Pakatan Rakyat itu tepat memandangkan golongan itu sering menjadi sasaran media milikan Umno-Barisan Nasional untuk disogokkan dengan berita palsu.

"Memang kita akan teruskan penerangan di kampung sebab orang Melayu di kampung yang mereka lihat hanyalah TV dan surat khabar Umno,"kata beliau kepada Tv Selangor.

Pemimpin Pakatan Rakyat semalam berikrar untuk meneruskan momentum perhimpunan Bersih 2.0 dan bersetuju agenda itu perlu di bawa ke kawasan luar bandar juga.

Penolohg Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching yang dipetik portal Malaysiakini memberitahu, perkara itu menjadi agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat itu semalam.

"Kami sedar impak Bersih hanya terhad di kawasan bandar dan hari ini dicadangkan kita menyebarkan dorongan itu ke luar bandar dan memberitahu rakyat mengenai Bersih," kata beliau.

Diminta mengulas perkembangan terbaru Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menayangkan video untuk menyanggah dakwaan polis melakukan keganasan terhadap rakyat ketika himpunan itu kepada media dan melalui RTM minggu ini, Mat Sabu menyifatkan ia satu pembohongan besar kerajaan dan PDRM kepada rakyat.

"Kenapa lambat sangat? Itu mesti direka. Video yang keluar internet semua, keluar 10 minit, 15 minit selepas kejadian. Orang tak percayalah pada polis semua.

"Boleh kita tengok, lakonan macam video Memali lah. Dia guna RTM, dia guna alat kerajaanlah. Semua pembohongan itu, sebelum ditayangkan saya (boleh) katakan ia bohong,"kata beliu lagi.

Himpunan Bersih 2.0 bagi menuntut sistem pilihan rayayang adil dan bersih dilaksanakan di negara ini pada awal bulan lalu mendapat tentangan hebat polis dan
kerajaan.

Malah lensa-lensa kamera menjadi saksi bagaimana Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan gas pemedih mata secara langsung kepada peserta demontarasi dan ramai yang dikasari.

Dunia pada hari itu melihat 1,667 rakyat ditahan kerana berhimpun secara aman, puluhan mengalami kecederaan dan seorang meninggal dunia ketika cuba melarikan diri dari asakan polis. -tvsnews




5 Bekas Mahasiswa UM Kekal Bebas Drp Tuduhan, Mungkin Benar Bininya Berpuaka?

Posted: 20 Jul 2011 07:30 AM PDT

Bini puaka': Pendakwaan tarik balik rayuan

Pendakwaraya kes 'bini puaka' memutuskan tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membebaskan semua tertuduh pada September lalu.

Sehubungan itu, kelima-lima bekas mahasiswa Universiti Malaya (UM) itu kekal bebas daripada tuduhan cuba melakukan khianat dengan api dan melakukan pencerobohan jenayah dua tahun lalu.

Lima mahasiswa Keputusan itu dimaklumkan kepada seorang peguam mahasiswa berkenaan Zulhazmi Shariff yang hadir dalam pengurusan kes di pejabat timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara tersebut disahkan oleh seorang lagi peguam mereka Mohd Razlan Jalaluddin ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

"Pendakwaraya tidak berminat untuk meneruskan rayuan ini. Jadi tiada lanjutan (rayuan). Mahasiswa itu kini 100 peratus bebas, bersih dan suci," katanya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 September lalu memutuskan tiada prima facie dalam kes itu.


Tertuduh - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - dituduh melakukan jenayah bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan Akademi pengajian Pengajian Islam UM pada 24 Jun 2009 kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima bekas mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Kesemua mereka kini sudah menamatkan pelajaran masing-masing di universiti berkenaan. -mk

BERS✔H 2.0: "Liow, Mana Janji Lu Mau Siasat?"

Posted: 20 Jul 2011 06:30 AM PDT

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai agar mendedahkan kemajuan siasatan kementerian itu berhubung insiden di Hospital Tung Shin semasa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

Tony Pua mengingatkan Liow bahawa parti itu telah menawarkan empat orang saksi ketika polis didakwanya menembak gas pemedih mata dan air bercampur kimia ke dalam perkarangan hospital, tempat peserta perhimpunan itu berlindung.

Keempat-empat mereka ialah ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong serta setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP, Zairil Khir Johari dan beliau sendiri.

"Bagaimanapun, selepas menunggu selama seminggu, kami tak dengar apa-apa dari Liow atau kementeriannya, kecuali janji-janji yang berterusan secara lisan untuk menyiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tony Pua turut menyuarakan kekecewaannya dengan Liow yang didakwanya "mengelak daripada tanggungjawab".

Tony Pua berkata, ini kerana tidak ada sebarang pengumuman maklumat mengenai "jawatankuasa tinggi" yang mahu ditubuhkan oleh kementerian tersebut bagi menyiasat perkara itu.

Tambahnya, beliau juga mempersoalkan ketiadaan maklumat seperti anggota jawatankuasa tersebut, terma rujukan dan garis masa untuk ia menjalankan siasatan.

Pada 11 Julai lalu, Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai.

Bagaimanapun 11 doktor mendakwa sebaliknya.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina, Sabtu lalu.

Seramai 11 doktor menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor.

Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

"Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali," kata mereka dalam kenyataan itu.

Ekoran kenyataan mereka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memutuskan untuk mengadakan satu jawatankuasa inkuiri tahap tinggi bagi menyiasat insiden pihak polis menyasarkan Hospital Tung Shin. -tvsnews


Insiden Hospital Tung Shin: Kami sedia nanti polis, kata doktor
Oleh Latifah KasmuriJuly 18, 2011KUALA LUMPUR, 18 Julai – Salah seorang daripada 11 doktor Hospital Tung Shin sedia memberi kerjasama dengan polis yang memutuskan untuk mengadakan pasukan khas menyiasat dakwaan mereka bahawa pekarangan hospital itu menjadi sasaran gas pemedih mata dan air berasid, 9 Julai lalu.

Dr Ng Kwee Boon, yang bertugas sebagai perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan berkata, beliau sedia memberi kerjasama jika polis mahu membuat siasatan mengenai perkara tersebut.

"Kalau mereka hendak buat siasatan, kami sedia beri kerjasama. Tetapi buat masa ini, mereka masih lagi tidak ada jumpa saya. Saya sendiri akan menyediakan afidavit berkanun untuk tujuan siasatan," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada 9 Julai lalu, dipercayai polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam kawasan Hospital Tung Shin untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya akan menubuhkan dua pasukan khas bagi menyiasat dakwaan 11 doktor Hospital Tung Shin di ibu negara.

Satu pasukan khas akan menyiasat dakwaan doktor-doktor manakala satu lagi pasukan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh kejadian itu.

"Kami (polis) akan menyiasat dahulu perkara yang berlaku termasuk mengambil keterangan daripada doktor, saksi dan petugas-petugas (polis) yang terlibat pada masa itu," katanya.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan Lembaga Hospital Tung Shin sendiri memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai lalu, Dr Ng berkata, beliau sendiri tidak tahu mengapa mereka berkata sedemikian.

"Saya tidak tahu kenapa mereka cakap macam itu. Mereka tidak tahu apa-apa kerana tidak berada di situ," ujarnya lanjut.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina ketika perhimpunan 9 Julai.

"Kami, doktor-dotkor yang menurunkan tandatangan di bawah, tidak mahu menyertai polemik perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, tetapi mahu menjelaskan kebenaran tentang keadaan tidak selesa yang wujud (hari itu)," kata mereka.

Selain Ng, 10 doktor lain menandatangani kenyataan itu ialah Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

"Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali," kata mereka dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, Dr Musa enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

"Saya tidak mahu komen," katanya lagi.-TMI






BERS✔H 2.0: Keadaan Timb Presiden PAS Beransur Pulih

Posted: 20 Jul 2011 05:05 AM PDT

Kecederaan lutut Mat Sabu beransur pulih

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang cedera akibat dirempuh Land
Rover polis ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu beransur pulih walaupun kini masih bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.


"Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih," katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Walaupun keadaan beliau belum pulih sepenuhnya, namun Mat Sabu berkata beliau akan meneruskan aktiviti ceramah seperti biasa.

Ketika kejadian detik cemas 9 Julai itu Mat Sabu yang membonceng motosikal mendakwa kenderaanya itu dirempuh Land Rover polis sehingga beliau tergolek di jalanan.

Rempuhan itu menyebabkan lutut kanannya cedera dan setelah pemeriksaan doktor dibuat didapati ligamen lututnya koyak dan satu pembedahan terpaksa dilakukan Jumaat lalu.

Seorang lagi rakan Mat Sabu yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang cedera di kepala kiri sehingga menerima enam jahitan akan menerima rawatan untuk membuka jahitan hari ini.

Beliau cedera akibat terkena tembakan gas pemedih mata oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ketika kejadian 9 Julai itu. -FMT

Peguam Perancis Bakal Dedah Pembunuhan Altantuya

Posted: 20 Jul 2011 03:40 AM PDT

Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon (gambar), dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.

Pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini.

Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

Altantuya mati dibunuh dengan kejam mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib. Razak juga didakwa tetapi terlepas.

Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti.

Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis.

Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini.

Baru-baru ini, menurut pasukan peguam Perancis ini, wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini.

Malam esok, Bourdon dijangka akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang.

Menurut sumber Suaram ketika dihubungi Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

"Ia bergantung kepada majlis kutipan dana untuk membiaya kes ini beberapa malam ini," kata pegawai Suaram ketika dihubungi.

Mohamad Sabu dijadualkan akan turut berucap di Pulau Pinang malam esok tetapi oleh kerana lutut beliau yang dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, dia hanya akan menyetai majlis Jumaat ini di Dewan Sivik MPPJ.

Lutut Mohamad cedera apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah land rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu di ibunegara. Rempuhan ini menyebabkan beliau jatuh dan lututnya cedera.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.

"Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih," kata Mohamad.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaram itu. -HD



Wan Ahmad & Amiga Akan Bertemu Dalam Forum

Posted: 20 Jul 2011 02:30 AM PDT


SPR — Ambiga muncul pentas sama, personaliti bukan isu kata Wan Ahmad

Kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih 2.0 akan bertemu di pentas yang sama minggu depan sementara Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata isunya bukan personaliti, tetapi peluang menerangkan kepada rakyat isu yang menjadi fokus sekarang.

"Kita akan hadir, saya akan hadir pada forum itu," kata timbalan pengerusi SPR itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"Ini bukan soal... SPR merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan, ini bukan soal personaliti atau soal organisasi, kami merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan," kata beliau ketika ditanya pendirian suruhanjaya mengenai platform yang sama akan digunakan Selasa depan.

Wan Ahmad (gambar) bersama Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga akan muncul pada wacana "Apa Selepas 9 Julai?" anjuran akhbar Kumpulan Media Karangkraf, penerbit akhbar Sinar Harian, di Shah Alam Selasa depan.

Pertemuan kepimpinan SPR dan Bersih 2.0 itu merupakan kali pertama selepas perhimpunan 9 Julai yang memfokus kepada lapan tuntutan berkaitan pembaharuan pilihan raya.

Turut menyertai mereka ialah Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Wacana itu dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai perkara menyentuh pilihan raya negara ini.

"Kami sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan di mana-mana forum sahaja... kalau diberi ruang kami akan gunakan untuk memberi penjelasan... itulah ruang yang diberikan, dan kami akan menggunakan ruang itu," kata beliau lagi.

Penganjuran wacana ini dilihat mendapat reaksi berbelah bahagi.

Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu, pihaknya memilih isu tuntutan Bersih 2.0 sebagai tajuk kerana ia masih menjadi bahan perbincangan walaupun dua minggu sudah berlalu.

"Kami menyediakan ruang perbincangan secara intelek kepada orang ramai, membincangkan isu ini secara terbuka... khalayak boleh tanya soalan kepada panel," kata beliau.

"Ya, ini kali pertama kedua-dua kepimpinan SPR dan Bersih bertemu secara rasmi selepas perhimpunan 9 Julai, peluang bagi mengetahui isu ini secara mendalam," kata Abdul Jalil yang turut mengesahkan kesemua ahli panel sudah pun mengesahkan kehadiran mereka.

Menurut Abdul Jalil, wacana merupakan program bulanan pihaknya membincangkan isu-isu semasa.

"Sebelum ini, wacana kami menyentuh isu rasuah, isu fitnah dan kali ini kami merasakan isu tuntutan pembaharuan pilihan raya... ini bukan soal politik, tetapi lebih kepada perbincangan akademik, secara intelek... kita menyediakan peluang kepada tokoh-tokoh dan juga orang ramai berbincang dengan waras dan intelek," kata beliau.

Beliau juga mengakui ada pihak yang tidak berpuas hati dengan wacana kali ini membincangkan isu perhimpunan 9 Julai.

"Tentu ada pihak yang menentang, mereka yang tidak berpuas hati tetapi kita tidak terikat... kita hanya buka medan perbincangan," kata Abdul Jalil.

Beberapa tulisan blog pro-Umno didakwa mengecam penganjuran wacana ini yang menemukan SPR dan kepimpinan Ambiga.

Usaha mendapatkan Ambiga belum berhasil dan difahamkan berada di luar negara.

Bersih 2.0, yang menurut Putrahaya telah diharamkan sejak 1 Julai lalu, mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai, dengan mendakwa disertai sekitar 50,000 orang, di sebalik sekatan ketat pihak polis.

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu mengemukakan lapan tuntutan iaitu mrminta SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. -TMI

Tiada ulasan: