Kelab Greenboc |
- Jurujual Bawa Balik Teman Lelaki Sebagai "Teman Tidur"
- Husam Jawab Fitnah Najib
- A Samad: Kekejaman Mempunyai Tarikh Lupusnya!
- Tembelang Najib Pecah Lagi, Ugut Ambiga. Bukan Melayu Buka Mata 1Malaysia Hanya Retorik
- Sudah Gila: Baju BERSIH Di Dalam Pun Ditangkap Polis
- Pertubuhan BERSIH Diharamkan - Tak Dapat Tanduk Telinga Dipulas
- Apa Perlu Anda Lakukan Jika Ditahan
- Lagi Ditekan Lagi Ramai Sokong & Sertai Himpunan Bersih
- MP Sg Siput Ditahan Semula, BN Bakal Kalah teruk Dalam PRU
- Institusi Masjid Dicemar Untuk Batalkan Himpunan Aman Bersih
- UMNO Paksa Kakitangan Awam & Guru Sambut Najib Di Kelantan
- BERSIH Tetap Diteruskan Walaupun Berdepan Seribu Halangan
Jurujual Bawa Balik Teman Lelaki Sebagai "Teman Tidur" Posted: 03 Jul 2011 01:00 AM PDT Kampung Cacar (Terengganu) - Tindakan seorang jurujual pasar raya membawa pulang teman lelaki untuk dijadikan 'teman tidur' pada awal pagi sehingga menimbulkan syak jiran membawa padah apabila mereka dicekup pihak berkuasa. Lebih mendukacitakan, gadis terbabit yang berasal dari Bukit Besi itu dikatakan mula bekerja di pasar raya berdekatan sejak beberapa bulan lalu untuk menyara keluarga, namun usaha itu gagal menutup perbuatan sumbangnya yang mengaibkan maruah keluarganya. Ketika serbuan, sepasukan Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Dungun bersama Polis Paka kira-kira jam 1.10 pagi itu, jurujual yang tamat sekolah menengah ketika dicekup di bilik tidur bersama teman lelakinya itu hanya memakai seluar pendek berbaju T, manakala teman lelakinya memakai seluar tanpa baju. Pemeriksaan lanjut menemui sehelai seluar dalam dipercayai milik salah seorang daripada mereka dan ia dirampas sebagai bahan bukti selepas dihadapkan ke mahkamah nanti. Situasi itu menguatkan dakwaan bahawa dia sudah melakukan perbuatan tidak bermoral, walaupun mereka menafikannya. Gadis berumur 18 tahun bersama teman lelakinya yang berasal dari Sabah itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun awal Ogos nanti mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Jika didapati bersalah mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. -SH |
Posted: 03 Jul 2011 12:30 AM PDT Tapak stesen teksi Pasir Puteh tak pernah dijual - Husam Musa Saya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia di Pasir Puteh pagi ini. Saya selaku anggota Kerajaan Negeri terkejut dengan dakwaan YAB Perdana Menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh PKINK. Selain itu, kenyataan beliau juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK. Kenyataan Perdana Menteri tersebut tidak berasas sama sekali. PKINK pada sebarang masa tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh. Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran. Apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut. YAB Perdana Menteri atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka. Sudah tentu Perdana Menteri tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata. Selaku rakyat Malaysia, saya merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga YAB Perdana Menteri menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapan beliau. Saya menggesa agar Perdana Menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelakkan kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau. Selain itu, ia juga menunjukkan Barisan Nasional tidak mempunyai isu besar yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal. Saya yakin, jika Perdana Menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil pada 9 julai ini. Isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihanraya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan. Saya yakin Kerajaan Negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya. Mengenai kononnya majlis Perdana Menteri di Pasir Puteh dihadiri oleh puluhan ribu rakyat jelata, amat malang kerana lawatan yang penting seperti itu hanya dimeriahkan oleh kerahan paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan. Buktinya, semuanya 'dipakaikan' baju merah yang dibekalkan terlebih dahulu. Tidak ada tanda kedatangan sukarela atas pilihan sendiri tetapi datang 'berjemput' siap 'beruniform'. Lebih menggelikan hati bila bangunan rasmi pejabat kerajaan persekutuan di Wisma Persekutuan telah 'ditawan' oleh Barisan Nasional dengan dipenuhi oleh bendera parti itu. Ternyata, kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan dan jika inilah sikap BN yang terus menggunakan premis, harta dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti mereka tanpa segan silu, ia perlu terus ditolak oleh rakyat yang cintakan amalan politik yang telus, bersih, amanah dan amalan politik kepartian yang melampau. -husammusa.com |
A Samad: Kekejaman Mempunyai Tarikh Lupusnya! Posted: 02 Jul 2011 10:30 PM PDT Perkembangaan senario politik terkini sesungguhnya sesuatu yang agak merunsingkan buat seniman dan karyawan, namun sasterawan negara A Samad Said tetap tidak berganjak langkah dari pendiriannya ketika berdepan dengan kuasa pemerintah. Sambil bersikap sinis terhadap kerajaan yang "takut dengan warna", A Samad Said menyuntik semangat dengan peringatan bahawa "kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!" A Samad Said dipanggil polis untuk disoal-siasat pada 27 Jun, lantaran kehadiran beliau dalam majlis pelancaran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 19 Jun 2011. Beliau kembali ke bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam, untuk menghadiri majlis perlancaran buku kartun Zunar, "EVEN MY PEN HAS A STAND". Sekurang-kurang dua kali A Samad Said berjenaka bahawa Zunar dan dirinya mungkin ditangkap selepas majlis tersebut, namun disusuli dengan kenyataan bahawa dirinya sudah "bersedia". Beliau mengulas perkembangan yang terbaru ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Zunar, mengambil pendirian untuk mempertahankan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan, di samping membidas penahanan menggunakan Ordinan Darurat sebagai satu kekejaman. Kelompok "Carma" A Samad Said menyifatkan sesetengah kelompok seniman dan karyawan yang "selalu bersedia untuk tidak bersikap" sebagai "carma", iaitu cari makan. Dan sikap sedemikian menurutnya, memberi laluan kepada segala kemungkaran yang sedang berlaku dengan dahsyatnya pada hari ini. Beliau mengisahkan bahawa dirinya langsung tidak membaca media arus perdana seperti Utusan Melayu, Berita Harian, New Straits Times dan The Star sebelum ini, "oleh kerana dengan tak membacanya pun, saya tahu". Namun, perkembangan terbaru mendorong dirinya untuk membeli dan membaca akhbar-akhbar tersebut, pada dua tiga hari kebelakangan. "Daripada medium mainstream, bersih tu kotor. Saya sekarang pun hairan juga mengapa orang akhbar yang begitu berpengalaman, mendapat anugerah itu dan ini boleh mengotorkan bersih? Saya tidak faham, tapi saya tahulah di sana ada kelompok-kelompok semata-mata carma, cari makan." A Samad Said turut menyanggah tuduhan "sasterawan negara baru" terhadap dirinya, bahawa A Samad menggunakan anugerahnya untuk memecah-belahkan bangsa. A Samad Said membela dirinya bahawa sepanjang usianya, beliau hanya "menyatukan bukan mengecaikan". Ambiga tidak bersalah! Satu hal lain yang merunsingkan A Samad Said adalah, munculnya satu kelompok yang mendakwa dirinya wira khusus untuk bangsa Melayu, ingin menyaingi BERSIH 2.0, setelah BERSIH 2.0 mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi murninya. "Dan saya kira, kalaulah terjadi pertelagahan, saya lebih menyalahkan polis. Sebab polis lebih awal tahu bahawasanya beberapa bulan yang lalu kelompok BERSIH ini sudah pun meminta ruang dan hari untuk membolehkannya berdemonstrasi jujur. " Beliau memuji niat BERSIH yang bagus, namun apa yang berlaku adalah polis dengan sengaja, atau disuruh tidak membenarkannya. "Dan saya tidak hairan kalau Puan Ambiga, kerana tidak dibenarkan, dia teruskan. Bukan salahnya! Dia minta, tapi tidak dibenarkan. Jadi, apakah BERSIH yang salah, ataupun yang tak bersih tu yang salah?" persoal beliau. Malah, beliau berkata niat polis adalah jelas, iaitu untuk menakutkan rakyat - ketika mengulas kejadian di mana 70 anggota polis mengelilingi tujuh orang yang ingin ditangkap. "Sebab mustahil ada, tiba-tiba ada 70 orang polis," katanya, sambil meneruskan "Niatnya ialah untuk menakutkan. Jadi sekarang ini zaman menakutkan, supaya rakyat berhati-hati..." Timbulkan soal komunis A Samad Said tidak lupa untuk membidas, bahawa iklim siasah kita sudah mula beralih menjadi "amat kasar", apabila soal komunis ditimbulkan. Beliau berkata isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan untuk mempermudahkan penangkapan dengan undang-undang yang lama. Beliau sempat menyindir "pengkhayalan" mereka yang berkuasa, "Dan saya fikir pengkhayalan itu hanya dua orang, tak payah saya sebut namalah...", sambil menambah "Kadang-kala khayalan polis juga luar biasa". Enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula dengan Ordinan Darurat pada 2 Julai, yang membenarkan tempoh penahanan 60 hari tanpa perbicaraan. Mereka sebelum ini dituduh cuba menghidupkan semula komunisme, dan berniat memerangi Yang Di-Pertuan Agong. A Samad Said berterus-terang, "Saya kira ini adalah satu kekejaman." Beliau mempersoalkan, "Sebab kita juga hidup dalam satu dunia demokrasi, di mana suara harus didengar, harus dipertimbang. Mengapa tiba-tiba kita harus berada dalam satu situasi yang tidak boleh bercakap pun, malah warna pun tidak boleh hidup?" Beliau kemudian membidas bahawa warna kuning sebagai warna yang murni, warna simbolis sampai ke puncaknya, warna yang dihormati - kini cuba dikuburkan, selepas beliau menyindir, "Dengan warna pun dia takut?" "Dengan kesombongan kuasa yang ada, yang mengatakan tak mahu berunding lagi, itu sudah tidak demokrasi." A Samad Said berkata, "Tidak mahu berunding lagi, maksudnya, permulaan zaman menangkap!" Dengan kain kuning yang dililitkan oleh Zunar pada lengannya, A Samad berkata, "Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!" Beliau terus meluahkan keresahannya, "Saya khuatir kalau ini dibiarkan, ada tanda-tanda yang kemungkinan yang sangat besar negara kita akan menjadi negara polis. Ada tanda-tanda itu." Sebelum mengakhiri ucapannya, A Samad Said sekali lagi melontarkan jenaka, "Saya nampak banyak gambar rambut", dalam buku Zunar. Pembaca yang masak dengan kartun Zunar menyedari bahawa kartun tersebut membawa sindiran tersirat terhadap isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. A Samad mengakhiri ucapannya, "Saya takut dengan rambut! -MR |
Tembelang Najib Pecah Lagi, Ugut Ambiga. Bukan Melayu Buka Mata 1Malaysia Hanya Retorik Posted: 02 Jul 2011 08:30 PM PDT Bersih 2.0: Najib muncul di Kelantan, kecam Ambiga dan PAS PAS PASIR PUTIH, 2 Julai — Datuk Seri Najib Razak muncul di Kelantan hari ini dan mengecam ketua Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dan PAS kerana mengadakan perhimpunan 9 Julai ini sambil mendakwa parti Islam itu akan melakukan apa sahaja bagi menawan Putrajaya. "Kita tidak tahu siapa dia Ambiga. Dialah menggugat (kedudukan) Islam. Dan, di bawah dia ada Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu)," kata Najib ketika berucap di sini hari ini. Kenyataan beliau dibawa oleh berita Radio Malaysia pada pukul 1 tengah hari tadi. Saluran itu turut menyiarkan klip video membantah perarakan 9 Julai dan memuji kepimpinan Najib sambil menggambarkan beliau sebagai pemimpin semua rakyat Malaysia. Najib (gambar) berkata Mohamad sanggup menjadi timbalan kepada Ambiga demi mendapatkan kuasa politik bagi PAS, yang memerintah Kelantan sejak 1990. Hari ini, Najib mengadakan lawatan kerja ke Kelantan. Dalam pada itu Bernama Online memetik Najib berkata, kebanjiran lebih 20,000 penduduk Pasir Putih pada majlis perhimpunan Perdana Menteri Bersama Rakyat hari ini memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menyokong Umno dan menentang perhimpunan 9 Julai ini. Perdana Menteri berkata jika kehadiran rakyat yang menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri yang diperintah oleh PAS begitu tinggi, sudah tentu sokongan di negeri-negeri kalau sudsah pasti lebih tinggi lagi. Berdasarkan jumlah hadirin di sini, Najib berkata Ambiga seharusnya sedar bahawa ramai rakyat menyokong perjuangan dan dasar BN dan menentang Himpunan Bersih 2.0. "Ambiga jangan fikir kuat sangat. Kita tidak akan tunduk kepada Ambiga sama sekali, kita akan perjuangkan yang benar. Kita akan simpan kuku kita," katanya semasa berucap di Sekolah Kebangsaan Sri Aman di Kampung Tok Nik. Najib menjelaskan bahawa jika matlamat perhimpunan itu adalah untuk membetulkan sistem pilihan raya negara, kenapakah PAS boleh memerintah Kelantan selama 21 tahun. Malahan, katanya, melalui pilihan raya umum 2008 lepas, pembangkang berjaya menguasai lima negeri di Semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor. Beliau berkata keadaan itu menunjukkan keadaan demokrasi negara adalah tidak sama seperti di negara Timur Tengah seperti Mesir, iaitu parti memerintah memenangi 95 peratus kerusi dalam pilihan raya dan memerintah selama 30 tahun. Katanya, keadaan di Malaysia berbeza daripada itu, di mana parti pemerintah hanya memenangi majoriti mudah dalam pilihan raya lalu dan pemimpinnya bertukar ganti. Najib berkata BN tidak akan menghantar penyokongnya di Pasir Putih untuk bertembung dengan penyokong perhimpunan haram di ibu negara biarpun jumlah penyokong BN ramai. Beliau berkata ini kerana jika langkah itu diambil ia hanya akan menyebabkan pertembungan dan pergaduhan yang akan membawa huru-hara kepada keamanan negara. "Kita bina negara kita sejak sekian lama. Kita mulakan secara aman damai. Ambiga nak rosakkan ini semua," katanya. Najib berkata angin perubahan kini bertiup kencang di negeri yang di perintah PAS kini berdasarkan jumlah rakyat yang hadir pada majlis itu sebegitu ramai. Beliau berjanji BN akan membawa perubahan dalam aspek pembangunan jika rakyat Kelantan memberi mandat kepada BN dalam pilihan raya umum nanti. -TMI Ulasan GB Ada beberapa perkara di dalam ucapan Najib itu yang perlu diberi perhatian: 1) Ugutan terhadap Ambiga. "Ambiga jangan fikir kuat sangat. Kita tidak akan tunduk kepada Ambiga sama sekali, kita akan perjuangkan yang benar. Kita akan simpan kuku kita," Najib menyimpan kukunya! Banyak persepsi di ayat itu. Apakah Najib sudah teerlepas cakap bahawa beliau sebenarnya "kuku besi" yang akan mencengkam Ambiga pada bila-bila masa? Atau "kuku" itu bermaksud ISA yang akan dikenakan terhadap Ambiga, atau apa? Walau apa pun jawapannya, Najib sedang menyimpan "kukunya" itu. Bererti, 1Malaysia yang dijajakan sebelum ini hanyalah retorik. 2) 20,000 hadir di Pasir Putih? Katakanlah benar yang datang itu 20,000 tetapi kedatangan itu kedatangan yang dipaksa. Laporan sebelum ini di SINI yang menunjukkan Umno perangkap kakitangan awam hadir majlis Najib. Dan Najib pula memerangkap mereka kononnya kesemua mereka tidka menyokong BERSIH 2.0. Kaedah yang serupa digunakan pada himpunan sejuta (sebenarnya cuma 5 ribu) belia. Diperalatkan mereka untuk pertahankan Putrajaya. Katanya lagi: jika kehadiran rakyat yang menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri yang diperintah oleh PAS begitu tinggi, sudah tentu sokongan di negeri-negeri kalau sudsah pasti lebih tinggi lagi Kenapa tak buat di negeri lain? Nak tengok juga berapa ramai ahli UMNO yang turun? Apatah lagi jika tanpa bas percuma, nasi bungkus dan angpow? Peserta BERSIH datang TANPA menerima sebarang imbuhan dari sesiapa malah datang dari kocek sendiri, dari hati nurani sendiri. Baju sekali dirampas, beli lagi, itu semangat yang ada untuk pastikan BERSIH tetap berlansung walaupun UMNO membenci. 3) Najib berkata lagi: jika matlamat perhimpunan itu adalah untuk membetulkan sistem pilihan raya negara, kenapakah PAS boleh memerintah Kelantan selama 21 tahun. Malahan, katanya, melalui pilihan raya umum 2008 lepas, pembangkang berjaya menguasai lima negeri di Semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor. Kelantan cuba dirampas seperti mana UMNO BN merampas Terengganu, tetapi airmata TG Nik Aziz di hening subuh bersama rakyat Kelantan menyelamatkan Kelantan dari ditipu oleh SPR sehingga tipu daya itu tidak menjadi. Semua rakyat tahu hal itu. Kedua, PR menang di lima negeri - jika SPR bersih telus dan adil, PR telah memerintah banyak negeri malah telah memerintah kerajaan pusat di Putrajaya. Hakikatnya: Kemenangan UMNO/BN yang lepas adalah kemenangan yang rapuh - kemmmangan pengundi hantu, pengundi pos dan pengundi FELDA yang termakan peras-ugut UMNO. Najib mahu bicara apa lagi? Banyak rahsianya bakal terbongkar lagi. Itu doa kita kepada Ilahi. |
Sudah Gila: Baju BERSIH Di Dalam Pun Ditangkap Polis Posted: 02 Jul 2011 07:10 PM PDT Pakai baju BERSIH 'di dalam' juga ditangkap polis Tiga anggota PKR ditangkap di sebuah pasar di Batu Gajah, Perak pada jam 9.20 pagi ini kerana memakai kemeja T kuning BERSIH 2.0, meskipun mempunyai baju lain di luarnya. Menurut timbalan setiausaha PKR Perak Tan Kar Hing, ketiga-tiga mereka ketika kejadian sedang menikmati minuman teh apabila ditahan polis. "Polis minta mereka buka baju dan tahan mereka apabila baju dalam yang dipakai adalah baju BERSIH," lapor Tan. Ahli PKR itu dikatakan sedang menikmati minuman pagi dan tidak melanggar sebarang undang-undang sebelum didatangi beberapa orang pihak polis. Seorang anggota polis itu dikatakan secara tiba-tiba bertindak menyelak baju yang dipakai salah seorang daripada mereka dan menampakkan baju kuning BERSIH 2.0 yang dipakai di bahagian dalam dan terus ditangkap. Mereka yang ditangkap itu adalah timbalan ketua cawangan Batu Gajah Adnan Talib, 50, naib ketuanya Anthony Wijaya, 50, dan pengarah skuad Pemuda Perak Tamil Selvam, 28. Ketiga-tiga lelaki itu kemudiannya dibawa ke balai polis Batu Gajah untuk siasatan. Hak buka baju Sementara itu, Harakahdaily melaporkan ADUN Tronoh S Sivakumar dan peguam Ng Mun Yin turut mengiringi ahli PKR itu ke balai polis. Sivakumar ketika diminta mengulas perkara itu menyifatkan, polis bertindak keterlaluan dan tidak menghormati rakyat. "Mereka pakai T-shirt BERSIH di dalam, di luar baju lain, polis pergi buka baju mereka, apa kuasa polis buka baju orang cek dalam pakai baju apa?" soalnya tidak berpuas hati. Sementara itu, Ng pula memaklumkan mereka ditahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan. Polis juga ujarnya memberi jaminan semua yang ditahan akan dibebaskan hari ini. Sejak seminggu ini, semakin ramai yang ditangkap. Awal pagi tadi, exco Selangor Ronnie Liu ketika dalam perjanan pulang bersama Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ditangkap di Hulu Selangor manakala di Alor Setar, 14 orang yang sebahagian besar mereka ahli PKR juga dicekup oleh polis. -mk Bersih 2.0: Polis selak baju sebelum tangkap |
Pertubuhan BERSIH Diharamkan - Tak Dapat Tanduk Telinga Dipulas Posted: 02 Jul 2011 05:10 PM PDT Pakatan: Fitnah KDN mahu halang Himpunan Bersih 2.0 KUALA LUMPUR, 2 Julai — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Putrajaya membuktikan propaganda yang didakwa dilakukan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sehingga ia diisytihar pertubuhan haram. Beliau yang agak terkejut dengan tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri melalui Pendaftar Pertubuhan Malaysia menegaskan dakwaan yang dilemparkan terhadap Bersih adalah satu usaha untuk menghalang rakyat menyertai Himpunan Bersih 2.0. Menurut Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa semalam. Tegas Salahuddin, dakwaan kononnya Bersih terlibat dengan propaganda yang mengancam keselamatan negara adalah tidak benar sama sekali. "Saya menganggap itu tidak benar sama sekali kerana apa yang dituntut oleh Bersih tidak keluar daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan. "Sepatutnya tuntutan Bersih ini dikaji dahulu kerana Bersih tidak melakukan sebarang propaganda...jadi saya cabar agar buktikan propaganda yang mengatakan Bersih ini melakukan perkara yang memberi ancaman kepada negara," katanya kepada The Malaysian Insider. Justeru kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersih yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan adalah fitnah semata-mata. "Apa yang mengatakan Bersih bertentangan dengan undang-undang? Propaganda yang dilemparkan ini hanya fitnah semata-mata, malah kita pernah membawa perkara ini di Parlimen, jadi ia tiada masalah. "Ia sengaja diwujudkan untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 2.0 dan ia adalah usaha terdesak yang dilakukan Umno-BN," katanya. Tindakan drastik yang diambil Putrajaya ini merupakan perkembangan terbaru dalam siri tindakan keras diambil sejak lebih seminggu lalu. Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini menyenaraikan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya, mendapatkan sokongan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun BN dan pertubuhan-pertubuhan yang pro perikatan itu membantah. Awal minggu ini, Hishammuddin mengumumkan kemeja-T Bersih 2.0 yang dijual dan dipakai adalah bahan haram dan menjalani undang-undang negara. Malah lebih 100 orang aktivis dan pemimpin politik Pakatan Rakyat telah ditahan. Semalam polis menegaskan pihaknya telah menutup segala bentuk perbincangan dengan sekretariat Bersih. Dalam kenyataan hari ini juga, Abdul Rahman berkata Kementerian Dalam Negeri telah menyiasat pertubuhan Bersih 2.0 dan mendapati bahawa ia bukan satu pertubuhan berdaftar. Bagaimanapun kata beliau, Bersih 2.0 memenuhi takrifan pertubuhan yang berdaftar di bawah Jadual 1, Akta Pertubuhan 1966. Menurut Abdul Rahman, Bersih 2.0 telah bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini, menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu dan melalui aktiviti-aktivitinya telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum. Sementara itu Naib Presiden PKR N. Surendran berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram. "Bagaimana sebuah pergerakan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara? "Bagaimana satu perhimpunan aman dalam amalan demokrasi boleh memberi ancaman kepada ketenteraman awam?" soalnya. Tegas Surendran, Hishammuddin tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan yang bermotifkan politik dengan tujuan menghalang kritikan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). "Kami menuntut agar semua arahan ini dibatalkan segera dan kesemua yang ditahan dibebaskan," katanya. -TMI |
Apa Perlu Anda Lakukan Jika Ditahan Posted: 02 Jul 2011 03:24 PM PDT Pertubuhan Bukan Kerajaan 'Lawyers For Liberty'(LFL) mengadakan sesi penerangan kepada masyarakat umum mengenai bagaimana berdepan dengan provokasi polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung, 9 Julai depan. Sesi Penerangan itu dibuat berikutan keengganan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) memberikan kerjasama kepada penganjur serta penyokong Bersih 2.0 seraya mengugut untuk mengenakan tindakan undang-undang serta mengisytiharkan darurat pada hari tersebut. Bercakap pada forum anjuranya yang bertajuk "Hak Untuk Berhimpun" di Dewan Perhimpunan Cina Wilayah dan Selangor malam tadi, peguam Hak Asasi Manusia, Fadiah Nadwa Fikri bersama barisan peguam lain memberi penjelasan terperinci tentang hak-hak kemanusiaan yang boleh digunapakai sekiranya polis bertindak melangkaui batasan undang-undang negara. Katanya, berdasarkan pengalaman beliau menyertai perhimpunan umum sebelum ini, rata-rata masyarakat kurang jelas akan hak-hak individu yang ditahan hingga menyebabkan polis menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya. Sehubungan itu, Fadiah menasihatkan rakyat yang ingin berhimpun pada 9 Julai ini supaya mengetahui alasan penahanan mereka di samping merekodkan nama dan nombor anggota polis terbabit. "Saya sangat pasti pada hari itu nanti, mereka (polis) tidak ada alasan untuk menahan anda. Oleh yang demikian penahanan tersebut tidak sah. "Kalau mereka tanya lebih, tanya mereka adakah saya ditahan?" ujar beliau. Bagaimanapun beliau berkata, anggota polis di negara ini sering kali bertindak diluar bidang kuasa mereka selain menafikan hak individu yang ditahan. Katanya, ini kerana rata-rata pegawai polis yang bertugas pada waktu demonstrasi tidak akan menyatakan apakah alasan seseorang itu ditahan, sebaliknya menggunakan kekerasan dengan mengheret peserta demonstrasi ke balai mahupun trak polis. Malah, peserta demonstrasi itu juga tidak akan dibenarkan untuk membuat panggilan telefon mahupun kebenaran diwakili oleh peguam. "Sekiranya peserta demo ditangkap, polis hanya berhak menahan anda dalam tempoh 24 jam sahaja. Jika lebih daripada itu mereka perlu memohon daripada mahkamah. Katakan mereka menahan anda lebih daripada tempoh tersebut tanpa sebarang dokumen mahkamah, maka anda boleh saman mereka (polis) dengan asalan penahanan tanpa sebab," ujar beliau. Justeru Fadiah berkata maklumat yang disampaikan sekurang-kurangnya dapat membantu penyokong-penyokong mengelakkan mereka daripada ditahan tanpa sebab ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh peserta demonstrasi yang ditangkap : (1) Pastikan nama dan nombor tang tertera pada kad kuasa polis dicatat. (2) Minta pihak berkuasa jelaskan alasan penahanan. (3) Elak sebarang keganasan fizikal (4) Tidak membenarkan polis merampas barang peribadi seperti dompet, kamera, telefon bimbit dan lain-lain. (5) Memastikan balai polis mana anda ditahan. -tvsnews
|
Lagi Ditekan Lagi Ramai Sokong & Sertai Himpunan Bersih Posted: 02 Jul 2011 08:30 AM PDT 20 NGO belia seru ahli sertai himpunan BERSIH 2.0 Setelah PAS memberi arahan kepada seluruh ahlinya menyertai perhimpunan BERSIH, dan juga Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tegaskan bahawa mahasiswa menyokong sepenuhnya himpunan berkenaan, 20 NGO belia turut menyeru ahlinya, pemuda-pemudi dan masyarakat Cina berani menyertai Himpunan Aman BERSIH 2.0 bersama dengan masyarakat Melayu, masyarakat India dan masyarakat orang asal pada 9 Julai 2011 jam 2 petang di Kuala Lumpur. Di samping itu, pihak kami mengecam pengecut yang menghantar pesanan ringkas (SMS) mengugut untuk membunuh pemimpin NGO Ambiga Sreenevasan. Pihak kami meminta pihak polis menangkap orang yang menghantar SMS ugutan bunuh tersebut. Menganjurkan dan menyertai perhimpunan aman tidak melanggar mana-mana undang-undang, sebaliknya, sesetengah pihak yang mahu gunakan cara kekerasan untuk mencapai tujuan bagi menghentikan perhimpunan aman BERSIH adalah kesalahan serius yang tidak dapat dan tidak boleh diterima oleh seluruh warganegara Malaysia yang mencintai tanahair. Merujuk kepada kata-kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa SPR bersedia mengadakan pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dengan syarat gabungan tersebut membatalkan perhimpunannya pada 9 Julai ini, pihak kami langsung tidak boleh terima. Jika mesyuarat itu dapat menyelesaikan masalah penyelewengan, boleh memberi tekanan ke atas SPR, maka banyak perkara yang tidak adil dalam pilihan raya akan diselesaikan sejak dahulu. Kita difahamkan, telah berlakunya pelbagai penyelewengan dan juga terdapat terlalu banyak aduan dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, tetapi langsung tiada sebarang tindakan pembetulan atau siasatan dengan jawapan yang munasabah dilaksanakan oleh SPR. Tugas SPR adalah memastikan pilihan raya telus dan bersih tanpa sebarang penyelewengan, iaitu membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor, serta bukannya menghalang atau mencabul hak rakyat berhimpun. Selain itu, pihak kami ingin mengingatkan pihak polis bahawa hak untuk berhimpun adalah hak asasi yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR Artikel 20) dan Konvensyen Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 (Artikel 21). Pencabulan hak asasi perhimpunan aman adalah kesalahan di sisi Perlembagaan dan UDHR. Tanggungjawab polis adalah menjaga keselamatan rakyat yang berhimpun dan bukannya menyurai dan menyerang rakyat yang berhimpun. Orang ramai yang menghadiri perhimpunan aman BERSIH tidak akan seperti Ibrahim Ali yang katakan, akan wujud konflik dengan Melayu, ini kerana perhimpunan aman tersebut tiada kaitan dengan isu-isu perkauman. Ibrahim Ali berpendapat bahawa masyarakat Cina dan masyarakat Melayu yang menghadiri perhimpunan aman akan saling konflik, pemikiran tersebut adalah tidak logik, serta dia meletakkan semua hal berasaskan kaum patut dikritik. Akhirnya, pihak kami menyeru seluruh belia negara berani turun ke jalan raya, semua kaum berpaduan dan bersama menjana tenaga demokrasi, demi sistem pilihanraya yang bersih dan adil. Organisasi yang menyokong kenyataan bersama: 1. Pemuda Dewan Perhimpunan China Selangor dan Kuala Lumpur (Pemuda KLSCAH) 2. Bahagian Pemuda Persatuan Hokkien Selangor & Kuala Lumpur 3. Bahagian Belia Persatuan Sheng An Selangor & Kuala Lunpur 4. Bahagian Belia Persatuan HoPo Kuala Lumpur & Selangor 5. The Kuala Lumpur And Selangor Teo Chew Association, Youth Section 6. Persatuan Alumni PBTUSM Selangor & Kuala Lumpur 7. Bahagian Pemuda Persatuan Wui Leng Selangor & Kuala Lumpur 8. Bahagian Pemuda Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Yu Hua Kajang Selangor 9. Malaysia Youth and Students Democratic Movement( DEMA) 10. Kesatuan Mahasiswa New Era Kolej 11. University Malaya New Youth Association 12. Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya 13. UTM Chinese Student Council 14. Solidariti Mahasiswa Malaysia 15. Persatuan Bahasa Cina UM 16. Persatuan Bahasa Tiong Hua UPM 17. UUM Student Progressive Front 18. USM Student Progressive Front 19. UPM Student Progressive Front 20. New Era College Student Progressive Front |
MP Sg Siput Ditahan Semula, BN Bakal Kalah teruk Dalam PRU Posted: 02 Jul 2011 07:30 AM PDT Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain ditahan di bawah Akta Darurat setelah mereka dibebaskan pada jam 2 petang tadi. Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Aruchelcan ketika dihubungi Tv Selangor mengesahkan hal itu sebentar tadi. "Ya beliau ditahan di bawah Akta Darurat bersama lima yang lain. "Mereka tadi dibebaskan dan mereka akan dibawa ke Bukit Aman pukul empat petang ini,"kata beliau. Menurut peguam mereka, antara ahli lain yang ditangkap semula itu adalah timbalan pengerusi PSM M Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha bahagian Sungai Siput Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu. Dr Jeyakumar pada 25 Jun lalu ditahan polis bersama 31 yang lain ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang. Bendahari PSM Siva Rajan pada sidang media di luar mahkamah Butterworth berkata kumpulan itu dibebaskan dari ibu pejabat daerah polis Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 2 petang tadi. Namun mereka ditangkap semula oleh anggota polis Bukit Aman yang bersedia menunggu di luar balai berkenaan. Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman sehingga hari ini. Aktivis tersebut menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah" yang dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya. Polis mendakwa berdasarkan beberapa barangan yang dirampas daripada aktivis berkenaan menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan fahaman parti Komunis Malaya (PKM). Akta Darurat merupakan suatu akta yang menggunakan pendakatan penahanan tanpa bicara seperti yang diamalkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). -tvsnews Ulasan GB Penahanan Dr D Jeyakumar di bawah Akta Darurat adalah satu kesilapan besar polis dan Kerajaan BN. Umum mengetahui Dr D Jeyakumar adalah tokoh yang telah berjaya menumbangkan Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu di Sungai Siput. Belum pernah ada sebelumnya sesiapa pun yang berjaya mengalahkan Samy Vellu di dalam pilihanraya-pilihanraya umum tetalh Dr D Jeyakumar berjaya melakukan dengan majoriti hampir 2 ribu undi. Dengan penahanan Jeyakumar, ia membangkitkan lagi kemarahan rakyat berketurunan India terhadap BN. Dan ia akan menyumbang kepada faktor keruntuhan BN di dalam pilihanraya umum yang akan datang. |
Institusi Masjid Dicemar Untuk Batalkan Himpunan Aman Bersih Posted: 02 Jul 2011 06:00 AM PDT Ketandusan formula bagi menyekat kemaraan rakyat untuk menyertai sebuah perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), memaksa kerajaan menggunakan institusi masjid untuk membatalkan himpunan berkenaan. Malah gambaran yang diberikan dalam khutbah-khutbah Jumaat di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam yang menyimpang dari agenda sebenar Bersih 2.0 diadakan, benar-benar mengecewakan dan sesuatu yang sengaja direkayasa, kata pemimpin Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin. "Andaian bahawa himpunan Bersih adalah himpunan berdarah, adalah andai-andaian yang mereka sengaja cipta kerana mereka tahu bahawa kita berpotensi menimbulkan kesedaran masyarakat tentang perlunya pilihan raya yang adil, profesional dan betul,"katanya kepada Tv Selangor. Semalam, masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya diwajibkan membaca khutbah Jumaat yang menuduh penganjur Bersih sebagai "pengkhianat" dan mendakwa peserta himpunan itu "akan bertindak ganas, merosakkan harta benda…malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan." Ia seolah-olah mahu memberikan gambaran bahawa perhimpunan tersebut adalah salah dan memudaratkan rakyat dengan mengandaikan ianya adalah perhimpunan berdarah. Walhal menurut Ustaz Ghani, perhimpunan secara aman adalah sesuatu yang diharuskan dalam maqasid syariah sebagai jalan untuk menegur pemerintah yang angkuh. Apatah lagi perhimpunan yang bakal dianjurkan adalah sebuah perhimpunan aman. "Hukum asal berhimpun secara aman ini adalah harus, dengan merujuk kepada huraian alim ulama, ianya akan menjadi hukum sunnah, malah wajib sekiranya tiada lagi cara untuk menegur dan membetulkan kemungkaran dengan cara berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka mahupun jalan raya," jelas beliau. Khutbah Jumaat yang dibacakan semalam berjudul "Memelihara Nikmat Keamaman" yang diedarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mendakwa peserta Bersih pada 9 Julai akan "melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, dan berarak ke hulu hilir serta melanggar undang-undang negara". Tuduhan yang dibuat menerusi khutbah Jumaat itu mengejutkan lebih-lebih lagi setelah penganjurnya dan pemimpin-pemimpin politik yang menyertai Bersih memberi jaminan berulang kali bahawa perhimpunan itu adalah aman dan berharap polis tidak akan mencetuskan sebarang provokasi. -tvsnews
|
UMNO Paksa Kakitangan Awam & Guru Sambut Najib Di Kelantan Posted: 02 Jul 2011 05:20 AM PDT Umno perangkap kakitangan awam hadir majlis Najib PAS Kawasan Pasir Puteh, Kelantan telah mendapat aduan dan rungutan daripada kakitangan awam berkenaan jemputan pada majlis pemimpin bersama rakyat yang diadakan di kawasan itu pada 2 Julai. Perkara yang membebankan mereka ialah setiap kakitangan awam termasuk guru mesti melaporkan diri mereka pada meja pendaftaran bagi memastikan kehadiran mereka. Timbalan Ketua Penerangan PAS Pasir Puteh, Abdul Halim Mohamad menjelaskan, lebih membimbangkan mereka, jika mereka tidak hadir, tindakan akan dikenakan. Menurut beliau, begitulah antara rungutan awam terhadap majlis yang bakal berlangsung pada Sabtu nanti yang turut melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, PAS Kawasan Pasir Puteh cukup kesal dengan cara perangkap yang digunakan oleh Umno untuk memastikan kehadiran yang ramai pada majlis berkenaan. "Kita tidak bimbang dengan himpunan berkenaan kerana kita terbukti dan mampu membuat himpunan yang lebih besar tampa perlu kerahan dan lapor diri peserta dalam setiap program yang diadakan," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. Namun, beliau mencabar Umno agar memberi peluang kepada kakitangan awam untuk mereka tidak hadir pada program berkenaan dan jangan dibuat kaunter lapor diri yang merupakan suatu amalan politik lama yang digunakan. "Sebaliknya, Umno perlu meninggal politik tipu dan beralih kepada budaya politik ilmu bagi menjadikan rakyat bebas menentukan keputusan mereka tanpa lagi terkongkong dengan budaya politik tipu," katanya. Mengulas lanjut berkaitan kehadiran Presiden Umno yang juga Perdana Menteri pada majlis itu nanti, beliau berkata, kedatangan Perdana Menteri ke majlis itu jelas menunjukkan bahawa Umno Pasir Puteh sedang mencari semangat di sebalik masalah dalaman yang berlaku dan gagal menjawab isu sekitar yang menyebabkan ahlinya hilang tumpuan. Katanya, majlis pemimpin bersama rakyat yang kononnya bakal dihadiri ribuan ahli Umno itu jelas menunjukkan himpunan gelombang merah yang diadakan baru-baru ini gagal dan tidak diterima rakyat, sehingga mereka terpaksa membawa presiden parti ke dalam kawasan Pasir Puteh. PAS Pasir Puteh juga, katanya, ingin menasihatkan Perdana Menteri agar menunaikan segala janji yang ditaburkan terlebih dahulu sebelum hadir ke Pasir Puteh atas dakwaan sebagai tanda beliau menghormati rakyat Kelantan seperti yang didakwa oleh Umno. "Antara janji yang belum ditunaikan itu termasuk menyiapkan projek Kerajaan Pusat yang banyak terbengkalai dan termasuk juga memberikan royalti Petroleum kepada rakyat Kelantan," ujar beliau. -HD |
BERSIH Tetap Diteruskan Walaupun Berdepan Seribu Halangan Posted: 02 Jul 2011 03:50 AM PDT Maria: Apa jua halangan, BERSIH tetap diteruskan Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan meskipun pihak polis menegaskan akan memastikan perhimpunan itu tidak akan berlaku. Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya akan cuba memohon untuk mengadakan dialog kali kedua bersama pihak polis, lapor KeadilanDaily.com. Namun sekiranya gagal berbuat demikian, Maria berkata bahawa perhimpunan itu akan tetap diteruskan. "Kalau mereka berkeras saya amat kecewa dengan tindakan mereka. Namun kita masih memohon agar sesi dialog akan dibuat untuk kali kedua. "Apapun kami tetap akan mengusulkan dan membuat rundingan sekali lagi.Walau apapun halangan, perhimpunan akan diteruskan," katanya. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam, bahawa polis telah menutup semua pintu rundingan dengan penganjur. Ia berikutan pertemuan Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi mencari jalan rundingan dengan polis sendiri bagi menentukan jalan laluan peserta BERSIH ke Istana Negara. Bercakap pada sidang media di Bukit Aman, Khalid berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas peserta perhimpunan itu. Cabuli hak manusia Menurut Maria, BERSIH kecewa kerana polis masih berkeras, malah mengancam menggunakan ISA yang secara jelas mencabuli hak asasi manusia. "Polis sudah tidak ada idea dan cara lain selain kekerasan iaitu ISA, saya nak tanya PM kenapa bila kita dah buka cara untuk berdialog dan cuba berbincang tapi masih lagi tidak dapat terima?" soal beliau. Menurut Maria, BERSIH telah memberikan cadangan dan usul yang munasabah untuk diterima pihak polis. "Ia mudah dengan memberitahu tiga tempat berlainan di mana tiga kumpulan akan berkumpul untuk berarak. "Kita juga menjamin keselamatan peserta kerana BERSIH sendiri sudah menyediakan 5000 petugas untuk mengawal keselamatan dan perarakan juga tidak akan melebihi 2 hingga 3 jam," tegasnya lagi. -mk |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan