Khamis, 21 Julai 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Anwar Tidak Terima Notis Polis, Kata Peguam

Posted: 21 Jul 2011 07:49 AM PDT

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa lain tidak pernah menerima sebarang notis daripada pihak polis untuk memberi keterangan bersabit perhimpunan aman Bersih, kata peguam Parti Keadilan Rakyat, N.Surendran.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR, menafikan laporan Berita Harian kononnya polis memohon waran tangkap terhadap Anwar, anaknya Nurul Izzah dan 11 individu lain kerana tidak hadir memberi keterangan kepada polis sejak 11 Julai lalu.

Surendran menyifatkan laporan akhbar kawalan Umno itu sebagai berniat mencalar imej Pakatan Rakyat.

"Saya boleh sahkan bahawa tidak ada apa-apa notis di bawah Kanun Acara Jenayah mahupun panggilan telefon yang diterima Datuk Seri Anwar meminta beliau agar hadirkan diri ke balai polis seperti yang dinyatakan dalam laporan Berita Harian," kata beliau.

Sehubungan dengan itu Surendren berkata, akan menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menuntut penjelasan terhadap laporan Berita Harian itu.

"Kita menganggap laporan ini berniat buruk dan sengaja untuk memburukkan pihak pembangkang. Saya percaya daripada senarai 13 orang itu saya boleh pastikan Sivarasa, Datuk Samad Said, Nurul Izzah dan Lathefah Koya tidak menerima notis," tambah beliau.

Antara nama lain yang turut tersenarai termasuk ahli parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, bekas speaker Perak V Sivakumar, ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Wong Chin Huat dan Haris Ibrahim dan pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin.

Antara lain laporan itu menyebut polis Kuala Lumpur telah menghantar laporan ke ibu pejabat polis Bukit Aman menamakan 13 individu yang gagal menghadirkan diri untuk membantu siasatan berkaitan perhimpunan Bersih 2.0.

Malah, polis turut membuat permohonan waran tangkap kepada kesemua individu terbabit.
Perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu menyaksikan hampir 1,700 orang penyokong ditangkap.

Seorang meninggal dunia manakala Anwar, pegawal peribadinya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu adalah antara mereka yang tercedera akibat asakan polis.

Fahaman Komunis : PSM Timbang Tindakan Undang-undang

Posted: 21 Jul 2011 07:48 AM PDT

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


SHAH ALAM : Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyatakan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama wakil peguam terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap dakwaan mencemar nama baik parti itu.

Ini berikutan, dakwaan aktivis cuba menghidupkan semula fahaman komunis sekali gus melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pengerusinya, Dr. Nasir Hashim berkata dakwaan sesetengah pihak terutama media arus perdana yang dikawal Umno-Barisan Nasional(BN) telah memanipulasikan perkara itu sebelum polis melakukan siasatan terhadap enam anggota PSM terbabit.

"Kerana mereka (polis) menimbulkan masalah bahawa kami (PSM) seolah-olah berfahaman komunis dan hendak lancarkan perang kepada Agong. Segala perkara teruk dilepaskan kepada kami, walhal tiada apa-apa dalam afidavit menunjukkan ia sebegitu," tegasnya.
"Kita akan hubungi peguam bagi mendapatkan pandangan mereka. Kami juga akan pertikaikan tindakan akhbar yang sengaja melaporkan berita-berita untuk memburukkan PSM semata," katanya memberitahu Tvselangor.

Berdasarkan laporan media semalam, PSM mencabar dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz sama ada enam pemimpin terbabit ditahan di bawah Ordinan Darurat kononnya ada kaitan dengan usaha menghidupkan semula fahaman komunis.

Peguam PSM Edmund Bon berkata, perkara itu sangat jelas berdasarkan kandungan 37 afidavit yang diserahkan kepada polis kelmarin sebagai respons kepada permohonan habeas corpus, sekali gus menunjukkan polis hanya menyoal siasat keenam-enam mereka, didakwa mendalangi perhimpunan Bersih 2.0.

Selain Jeyakumar, mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah Sukumaran Munisamy, Letchumanan Aseer Patham, Choo Chon Kai, Sarasvathy Muthu dan Sarat Babu Raman.
Enam individu yang ditahan itu pada mulanya didakwa berniat melancarkan peperangan terhadap Yang DiPertuan Agong di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka ditahan di Tol Sungai Dua, Kepada Batas dua minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 dijadualkan berlangsung di ibu negara.

Video Polis Tidak Menjawab Kesakitan Rakyat

Posted: 21 Jul 2011 06:17 AM PDT

Ditulis oleh Salmiah Drahsin


SHAH ALAM : Di sebalik pengakuan polis bahawa meriam air dipancutkan ke kawasan Hospital Tung Shin, polis hakikatnya tidak menjawab secara keseluruhan tentang keganasan yang dilakukan terhadap ribuan peserta Himpunan Bersih 9 Julai lalu.

Selain puluhan malah mungkin ratusan video yang didedahkan di internet, malah paling penting ribuan saksi mata yang melihat keganasan polis pada 9 Julai lalu, polis ironinya terus bertindak menafikan dengan menyajikan rakyat rakaman video terpilih, kata peguam hak asasi manusia, N Surendran.

" Apa jawapan polis tentang kecederaan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, ke atas pengawal peribadi Anwar, Yew Boon Lye dan ramai yang berada di dalam terowong termasuk Datuk Seri Anwar. Bukankah mereka cedera? Bukankah kita sudah tunjuk keterangan video dan gambar. Tiada jawapan.

" Penafian polis hari ini mereka menggunakan rakaman yang terpilih. Tidak menunjukkan keseluruhannya sedangkan kita telah menunjukkan banyak video tentang berlaku banyaknya keganasan. Apa jawapan polis tentang tembakan 12 das di terowong KL Sentral?,"katanya kepada Tv Selangor.

Dalam insiden 9 Julai lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia menyertai himpunan aman menuntut pilihan raya yang adil walaupun terpaksa meredah pancutan air kimia dan tembakan gas pemedih mata polis.

Dunia hari itu menyaksikan Malaysia mencatat sejarah apabila menahan lebih 1,600 rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman di ibu negara.

Selain puluhan mengalami kecederaan, seorang meninggal dunia.

" Mereka seolah-olah berpura-pura bahawa tidak ada isu. Walhal sebenarnya banyak keterangan dan isu telah dibawa tetapi tidak dijawab. Bagaimana kes Mohamad Sabu, kes Baharuddin, bagaimana pula orang ramai yang dipukul dan dikasari oleh pihak polis,"soal Surendran.

Malah naib presiden PKR itu turut mempersoalkan bagaimana video-video rakaman media antarabangsa yang memaparkan aksi ganas polis.

" Bagaimana rakaman daripada Al-Jazeera yang menunjukkan pihak polis menyepak mereka yang berhimpun secara aman? Tidak ada jawapan untuk semua ini,'kata Surendran.

Sementara itu, ahli parlimen Batu, Tian Chua ketika dihubungi Tv Selangor menyerahkan hal ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk membuat siasatan.

Malah katanya beliau yakin, saksi-saksi keganasan polis pada hari kejadian akan tampil menceritakan hal sebenar sekaligus menafikan kenyataan dan video yang dipaparkan polis hari ini.

" Polis tidak ada kredibiliti. Oleh itu apa jua video yang mereka tunjuk, ia tidak menunjukkan apa yang berlaku. Beribu-ribu orang di sana menjadi saksi dan kita lihat banyak lagi video lain.

" SUHAKAM selepas ini akan membuat inkuiri awam dan kita tunggu lah orang-orang ramai untuk kemukakan bukti. Kita harap polis pun akan kemukakan bukti mereka juga,"katanya.

SUHAKAM sebelum ini memutuskan akan mengadakan inkuiri awam menyiasat dakwaan keganasan polis bulan depan.

Menurut naib pengerusi SUHAKAM, pihaknya yang turut menghantar pasukan pemantaunya ketika perhimpunan Bersih 2.0 juga akan bergantung pada maklumat yang mereka perolehi pada hari terbabit.

Peguam Perancis sedia dedah pembelian Scorpene

Posted: 21 Jul 2011 06:14 AM PDT

Susan Loone


Peguam Perancis William Bourdon mendarat di Pulau Pinang hari ini. Beliau dijadual berucap pada majlis makan malam anjuran Suaram malam ini dengan tujuan mengutip derma.

french lawyer William BourdonPesawat yang membawa dari KLIA tiba pada jam 10.25 pagi dan beliau memasuki negeri ini tanpa sebarang halangan.

Pengarah Suaram Cynthia Gabriel, yang mengiringi Bourdon dalam lawatan itu berkata peguam itu juga tidak menghadapi sebarang masalah di Imigresen KLIA apabila mendarat lewat malam semalam.

"Segalanya okay. Beliau hanya keletihan dan memerlukan sedikit rehat," katanya kepada Malaysiakini.

William Bourdon dijadual berucap mengenai 'Ops Scorpene' di Bayan Baru malam ini. Penceramah lain termasuk Cynthia, pemimpin vetera DAP Lim Kit Siang, naib presiden PKR Tian Chua dan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu.

NONEPeguam Perancis yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan - Sherpa - dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.

Bourdon dijangka mendedahkan butiran kontroversial mengenai pembelian kapalselam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.

Syarikat itu didakwa membayar komisyen "yang amat tinggi" kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

mongolian model altantuya shaariibuu murder 161106 abdul 2Suaram berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 daripada majlis makan malam ini dan dua lagi acara yang sama di Ipoh dan Kuala Lumpur, bagi membiayai kos perundangan dalam kes yang difailkan di Paris yang akan dibicarakan di mahkamah terbuka pada September ini.

Kes berkenaan difailkan tahun lalu oleh Suaram, melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.

Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda (kanan).

Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan.

Waran tangkap: Husam, Hatta tak pernah dihubungi

Posted: 21 Jul 2011 06:10 AM PDT

Abdul Rahim Sabri


Naib presiden PAS Datuk Husam Musa hairan mengenai berita yang melaporkan polis akan mendapatkan waran tangkap terhadapnya dan 12 lagi individu kerana gagal hadir membantu siasatan berhubung perhimpunan 9 Julai.

NONESetakat ini, katanya, beliau tidak pernah dihubungi polis sama ada dari dari Bukit Aman, ibu pejabat polis Dang Wangi atau ibu pejabat polis Kelantan untuk tujuan tersebut.

"Jadi saya hairan mengapa berita ini (bahawa polis akan mendapatkan waran tangkap). (Saya) tidak dihubungi polis.

"Saya rasa polis kena ikut trend semasa dengan lebih canggih seperti menghubungi melalui SMS, Facebook atau melalui emel," katanya kepada Malaysiakini.

Husam yang juga exco kanan kerajaan Kelantan mendakwa tindakan polis itu tidak wajar dan "mensensasikan keadaan".

"Saya bersedia untuk (memberi keterangan) tetapi polis kena tinggalkan pesan ataupun SMS," katanya

Berita Harian hari ini melaporkan, selain Husam dan Anwar, polis akan mendapatkan waran tangkap ke atas 12 individu lain. Manakala seorang lagi, ahli parlimen TItiwangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali meninggalkan dunia Ahad lalu akibat barah.

NONEYang lainnya termasuk Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, timbalan pengerusi DAP Perak V Sivakumar, aktivis Wong Chin Huat, pengendali blog Haris Ibrahim, peguam Latifah Koya dan aktivis Badrul Hisham Shaharin.

Sementara anggota parlimen Pakatan Rakyat pula termasuk R Sivarasa (Subang), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Turut tersenarai ialah ketua penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Sementara itu, A Samad - dalam SMS kepada Malaysiakini - berkata: "Kini semuanya di tangan peguam saya".

NONEManakala Dr Hatta yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat, juga dalam SMSnya - berkata beliau tidak tahu menahu mengenai usaha polis untuk mendapatkan keterangan daripadanya.

"Saya tidak pernah dihubungi sama ada melalui telefon atau surat oleh pihak polis," katanya sambil menyifatkan kenyataan bahawa beliau gagal memberi kerjasama, sebagai berniat jahat.Sementara itu, naib presiden PKR N Surendran berkata pihaknya terkejut dengan ancaman tangkap terhadap 13 pemipin Pakatan, dan menegaskan bahawa mereka sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis.

Katanya, pemimpin pembangkang sentiasa memberi kerjasama kepada polis walaupun siasatan polis terhadap perhimpunan aman anjuran pembangkang didakwanya sering berat sebelah, tidak adil dan melanggar aktikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, tidak seorang pun daripada mereka, menerima sebarang notis dari pihak polis untuk memberi keterangan pada 11 Julai.

Surendran berkata sekiranya dipanggil untuk berbuat demikian, mereka akan memberi kerjasama penuh dan hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi

Beliau berkata, pihaknya menganggap laporan Berita Harian itu sebagai tidak wajar, nakal dan berniat untuk memburuk-burukkan pembangkang.

"Kami memandang serius perkara itu dan menuntut penjelasan segera atau permohonan maaf dari ketua polis negara dan akhbar berkenaan," katanya.

Tindakan terhadap pegawai SPRM langgar prosedur

Posted: 21 Jul 2011 06:07 AM PDT

BERNAMA


Kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan akan terus memastikan keutuhan perundangan negara terus dipelihara, selain usaha membanteras dan memerangi rasuah di semua peringkat dilaksanakan dengan tegas dan telus.

"Kerajaan penuh yakin dan percaya dengan kewibawaan dan integriti SPRM dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini," katanya ketika mengumumkan intipati laporan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock di bangunan Parlimen hari ini.

Suruhanjaya Diraja itu mendapati kematian pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009 adalah akibat membunuh diri.

Mohamed Nazri berkata hasil siasatan Suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

Laporan suruhanjaya itu menyebut bahawa tindakan yang dilakukan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut.

Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar.

Nazri juga meminta semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu ini dan memutarbelitkan fakta yang dilaporkan dalam laporan berkenaan.

"Saya ingin meminta semua pihak menghormati dan menerima hasil Laporan Suruhanjaya Diraja demi menghormati keluarga Teoh Beng Hock.

"Dengan selesainya siasatan oleh suruhanjaya ini, saya amat berharap semua pihak termasuk keluarga Teoh dapat membawa episod ini kepada penutup dengan laporan ini," katanya.

Ditanya sekiranya keluarga Teoh masih tidak berpuas hati dengan laporan siasatan berkenaan, Mohamed Nazri berkata mereka boleh mengambil sebarang tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

"Ini sebuah negara bebas, kalau ada apa-apa cadangan lagi yang dimahukan, kita boleh pertimbangkan, lagipun (Suruhanjaya Diraja) itu dilaksanakan mengikut permintaan orang ramai," katanya.

Beliau berkata SPRM perlu melaksanakan semua penambahbaikan yang dicadangkan Suruhanjaya Diraja itu di dalam laporan berkenaan supaya masyarakat tidak akan hilang keyakinan terhadap SPRM.

"Kita akan maklum kepada mereka bahawa ini perlu dilaksanakan untuk kebaikan dan nama baik badan bebas ini dan tidak ada sebab mengapa mereka menolak cadangan daripada Suruhanjaya Diraja ini," katanya.

Bagi pihak kerajaan, Mohamed Nazri turut melahirkan rasa yang amat kesal kepada keluarga Teoh di atas kematiannya.

"Kerajaan turut bersedih dengan kejadian tersebut dan kehilangan beliau," katanya.


Siasatan insiden di Hospital Tung Sin dimula minggu ini

Posted: 21 Jul 2011 06:05 AM PDT

BERNAMA


hubung dakwaan bahawa gas pemedih mata telah dilepaskan di dalam kawasan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu, Kuala Lumpur semasa perhimpunan haram 9 Julai lalu akan dimulakan dalam tempoh seminggu lagi.

NONEMenteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan oleh kementerian itu akan mempercepatkan siasatan yang akan bertumpu kepada pihak hospital, doktor dan pesakit.

"Saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian untuk menjalankan siasatan, kita akan percepatkan (pelaksanaan siasatan). Ketua setiausaha kementerian telah mengadakan mesyuarat dan menggariskan terma-terma rujukan dan pelaksanaan (siasatan akan dimulakan) dalam seminggu dua ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Klinik Kesihatan Buntong di Ipoh hari ini yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Liow turut menjelaskan bahawa siasatan jawatankuasa kementerian itu tidak akan bertindih dengan skop siasatan polis yang juga menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

NONE"Kita akan pastikan tiada pertindihan, di mana kita buat siasatan melalui pandangan hospital, menjaga keselamatan hospital dan pesakit manakala polis daripada aspek orang ramai iaitu aspek keselamatan secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata Kabinet turut mengambil berat tentang perkara berkenaan.


S'jaya cadang baiki sistem perlindungan saksi SPRM

Posted: 21 Jul 2011 06:04 AM PDT

BERNAMA


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta meningkatkan infrastruktur di premis dan pejabatnya termasuk menyediakan kamera pengawasan untuk merekod pergerakan dan perlakuan setiap orang yang memasuki atau meninggalkan pejabat atau mana-mana biliknya.

Itu antara cadangan suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock dalam laporannya bagi menambah baik aspek perlindungan saksi yang sedang dalam siasatan SPRM bagi mengelak sebarang kontroversi seumpama kes kematian Teoh berulang.

Cadangan yang dikemukakan itu merupakan pendapat kesemua ahli panel Suruhanjaya Diraja itu berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan semasa perjalanan siasatan kes berkenaan.

Selain penambahbaikan infrastruktur, Suruhanjaya Diraja itu turut mengusulkan supaya SPRM meneliti prosedur sedia ada supaya lebih mantap dan berkesan dan menilai semula kelayakan masuk perkhidmatan dan latihan pegawainya.

Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Bagi meningkatkan aspek infrastruktur, suruhanjaya diraja itu berpendapat SPRM perlu mengadakan bilik menunggu yang ditetapkan untuk menempatkan saksi sementara menunggu ditemubual atau pernyataannya direkod.

Para pegawai perlu menunggu bersama dengan saksi untuk menghalang apa-apa perkara yang tidak diingini dan juga untuk menghalang saksi yang terlibat dalam siasatan yang sama daripada berhubungan antara satu sama lain.

Saksi pula tidak boleh dikehendaki menunggu lebih daripada 30 minit kecuali ada alasan yang baik, demikian menurut laporan itu.

"Kami tidak perlu menekankan lagi keperluan perkara ini memandangkan terdapat kejadian yang menunjukkan bahawa apabila saksi atau orang yang disyaki dibiarkan merayau-rayau tanpa diawasi di pejabat SPRM, perkara yang tidak diingini mungkin berlaku," katanya.

SPRM turut disarankan mewujudkan bilik khas untuk menemubual dan merekod pernyataan saksi.

Bilik temubual itu perlu ditempatkan di tingkat bawah pejabat SPRM dan tidak boleh dikunci semasa sesi temubual atau sesi merekod pernyataan.

Ini akan membolehkan pegawai atasan kepada pegawai yang menemubual atau yang merekod pernyataan memeriksa pegawai tersebut dari masa ke masa untuk memastikan sesi itu dijalankan dengan sepatutnya dan mengikut undang-undang.

Bagi mewujudkan ketelusan dalam proses temubual dan mengelak tuduhan menggunakan kekerasan, bilik itu perlu dilengkapi cermin kaca sekala selain semua prosiding di pejabat SPRM dirakam dalam CCTV.

SPRM turut disaran mewujudkan bilik rehat atau bermalam untuk pegawainya sekiranya tugas memerlukan mereka berada lebih lama di pejabat bagi membolehkan mereka berehat dengan lebih selesa bagi membolehkan pegawai berkenaan menguruskan saksi dengan lebih baik.

Mengenai tindakan merekod pernyataan di luar waktu pejabat, Suruhanjaya Diraja itu berpendapat, jika perberhentian tugas merekod pernyataan saksi mendatangkan kesan buruk terhadap siasatan, maka tugas itu hendaklah diteruskan melewati waktu pejabat dengan syarat saksi diberikan waktu rehat yang mencukupi dan perhatian kepada keadaan dan kesihatan fizikal dan mental saksi diambil kira.

Turut ditekankan oleh suruhanjaya diraja itu berkenaan layanan kepada saksi semasa tempoh soal siasat dijalankan di pejabat SPRM, termasuk penggunaan bahasa yang baik selain memberikan hak kepada saksi untuk berhubung dengan keluarga.

Mengenai kelayakan pegawai SPRM, suruhanjaya diraja itu berpendapat, mereka hendaklah sekurang-kurangnya tamat pendidikan tinggi, telah menjalani latihan yang komprehensif dan memenuhi standard yang dikehendaki termasuk penilaian dan kaunseling psikologi.


Mat Sabu: 'Tunggu kita saman di mahkamah'

Posted: 21 Jul 2011 05:59 AM PDT

Abdul Rahim Sabri


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu enggan mengulas kenyataan polis yang mendakwa beliau membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya pada perhimpunan BERSIH 9 Julai lalu.

"Saya tidak mahu menjawab apa-apa... Tunggu kita saman di mahkamah," katanya melalui satu kiriman SMS lewat petang ini.

Ditanya bila tindakan itu akan diambil, Mohamad menjawab: "Kena tanya peguam Hanipa Maidin".

NONEPolis hari ini tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas Mohamad kerana didakwa membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid, dilaporkan berkata tidak ada kebenaran bahawa Land Rover milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.

"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar pembahagi jalan," katanya sewaktu tayangan video berhubung perhimpunan itu.

Mohamad mengalami kecederaan dengan ligamen lutut kanannya terkoyak sehingga memerlukan menjalani pembedahan.

Berikutan itu, doktor telah memasukkan skru sepanjang 2.5 inci di bahagian pelipat lututnya.

Mohamad juga menafikan bahawa beliau berlakon untuk meraih simpati di atas kejadian yang menimpanya.

Polis: Mat Sabu akan didakwa buat tuduhan palsu

Posted: 21 Jul 2011 05:55 AM PDT

Hafiz Yatim


Polis hari ini tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu kerana didakwa membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya.

NONEPengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid, berkata tidak ada kebenaran bahawa Land Rover milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.

"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar pembahagi jalan," katanya.

Video berkenaan menunjuk sebuah Land Rover mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu. Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.

"Menurut siasatan kami, Mat Sabu cedera ringan dan diberi rawatan unit pesakit luar. Kami tidak faham mengapa beliau perlu berkerusi roda. Kami tidak tolak kemungkinan mengambil tindakan ke atasnya," katanya.

NONEMat Sabu semalam menafikan beliau berlakon dan berkata skru sepanjang 2.5 inci terpaksa dimasukkan ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.


9 Julai: Video 'layanan baik' polis ditayangkan

Posted: 21 Jul 2011 05:52 AM PDT

Hafiz Yatim


Polis hari ini mengakui kemungkinan meriam air dipancutkan ke lorong-lorong di belakang hospital Tung Shin manakala asap gas pemedih mata yang ditembak meresapi perkarangan hospital itu.

NONENamun sasaran polis adalah peserta perhimpunan BERSIH 2.0 dan ia dijalankan mengikut prosedur operasi standard polis," kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid.

"Perkara itu masih dalam siasatan. Namun polis tidak menafikan kemungkinan itu (pancutan meriam air dan gas pemedih mata memasiki kawasan hospital)," katanya pada sidang akhbar petang ini.

Dalam mempertahankan tindakan polis, Salleh berulangkali berkata dalam banyak kejadian peserta BERSIH 2.0 yang memprovokasikan anggotanya supaya menangkap mereka.

Sebelum sidang akhbar bermula, tayangan video juga dipertontonkan kepada wartawan bagi membuktikan polis mematuhi peraturan dan "layanan baik" mereka kepada hampir 1,700 orang yang ditangkap pada perhimpunan 9 Julai itu.

NONESemua klip video yang ditayangkan itu menunjukkan tindakan polis ke atas peserta BERSIH 2.0.Sesi tayangan dan taklimat selama sejam 30 minit itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, bagi menjawab salah laku yang didakwa dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun tidak ada klip video mengenai layanan polis terhadap anggota Pemuda Umno yang juga berhimpun bagi menentang BERSIH 2,0 pada hari berkenaan.

SKMM siasat kesahihan foto di Malaysian Insider

Posted: 21 Jul 2011 05:44 AM PDT

BERNAMA


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan penyiasatan terhadap kesahihan foto berkaitan perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lepas, yang disiarkan dalam portal berita The Malaysian Insider.

Menurut kenyataan SKMM hari ini, sebarang tindakan yang akan diambil berkenaan dengan hal itu akan hanya dilakukan setelah penyiasatan dijalankan dan mengikut proses yang telah ditentukan.


Judi: Umno biarkan MCA calar imej Islam

Posted: 21 Jul 2011 05:39 AM PDT

Aslani


KOTA BHARU: Tanpa rasa syak lagi Kelantan kemungkinan besar kembali ke era lama sekiranya Umno diberi mandat semula mentadbir negeri ini.

Premis-premis judi dan loteri seperti wujud sebelum 1990 dijangka muncul semula serupa negeri-negeri lain sekarang.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kemungkinan itu tidak dapat dinafi memandangkan parti kompenan Barisan Nasional (BN), MCA dilihat berada di sebalik tiga individu menyaman kerajaan Kelantan dalam isu pengharaman premis judi.

Katanya, kehadiran anggota Jawatankuasa MCA Pusat, Datuk Ti Lian Ker semasa saman tersebut difail menggambarkan penglibatan parti kompenan BN dalam kes menyaman kerajaan negeri.

"Ini sebagai satu petanda Umno pada hakikatnya hanyalah bermain wayang dan melakukan pembohongan besar apabila menyatakan perjuangan untuk membela agama Islam dan umat Melayu.

"Mengapa dalam isu ini Umno tidak bersuara, bahkan mungkin merestui tindakan yang dilakukan MCA tersebut," katanya di sini.

Akhbar hari ini melaporkan tiga penduduk Kelantan iaitu Wong Meng Yit, 47, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa, 58 dan Gan Han Chuan, 44 mengemukakan saman pemula menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi.

Saman itu difail di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dinamakan sebagai defendan.

Salinan writ saman terbabit diserah seorang pemimpin MCA kepada media semalam.

Malah Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mahu menyaman Kelantan kerana melarang premis perjudian.

Fadhli berkata, sekiranya rakyat Kelantan memberi sekali peluang kepada Umno menjadi kerajaan, pastinya kegiatan judi dan maksiat akan subur semula.

Oleh itu beliau berharap umat Islam memberikan sokongan kepada kerajaan negeri menjaga kesucian syariat Islam di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Beliau juga mencabar Pergerakan Pemuda Umno Kelantan menyatakan sikap ekoran tindakan tiga individu terbabit menyaman kerajaan negeri dalam isu pengharaman judi dan loteri.

"Pemuda PAS mempersoalkan di manakah ketegasan Umno dan juga NGO-NGO mereka yang selama ini nyaring mendakwa mempertahankan kesucian Islam.

"Atau adakah Umno sudah hilang kejantanan sehingga membisu seribu bahasa dengan tindakan MCA yang jelas mencabar kedaulatan Islam," ujarnya.

Katanya berdasar kepada perkembangan tersebut Umno sudah tidak layak untuk diberikan kepercayaan menjaga kesucian Islam.

1,800 pemilih ‘hantu’ dilonggok di Bukit Panau

Posted: 21 Jul 2011 05:38 AM PDT

M Faqih


TANAH MERAH: Ketika dipamerkan senarai Daftar Pemilih Induk (DPI) suku akhir tahun lepas lebih 100 pengundi tidak dikenali dibantah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Panau.

Namun ketika dipamer senarai pemilih baru suku pertama tahun ini lebih 100 orang yang dibantah itu masih kekal pada Daftar Pemilih Tambahan.

Ketika perbicaraan diadakan di hadapan pengadil dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Mei lalu sekali lagi pemilih berkenaan dibantah.

Senarai pemilih yang dibantah itu belum dapat dipastikan lagi memandangkan senarai daftar baru suku kedua dijangka dipamerkan pada 27 Julai hingga 2 Ogos ini.

Persoalannya siapa yang mengekalkan pemilih terbabit, sedangkan ketika perbicaraan mereka tidak datang.

Difahamkan mengikut prosedurnya pemilih yang dibantah boleh merayu dan sekiranya dipersetujui pengadil senarai namanya dimasukkan kembali.

Adun Bukit Panau, Abdul Fattah Mahmood (gambar) mendedahkan pemilih yang telah lama dibantah dijelma kembali dalam senarai pemilih baru di Bukit Panau.

"Mengapa pemilih yang dibantah disenaraikan kembali. Ini menimbulkan banyak persoalan," katanya di sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam amal Pemuda PAS Tanah Merah di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah. Program itu dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Hadir sama Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa, Ketua Pemuda PAS Tanah Merah, Hisham Fauzi serta wakil kaum India dan Cina.

RM18,000 kos bantahan

Menjelang pilihan raya umum 2004, Dun Bukit Panau dilonggok seramai 1,800 pemilih baru yang tidak dikenali.

Pada proses perbicaraan yang diadakan ramai tidak hadir. PAS terpaksa membelanjakan kira-kira RM18,000 sebagai kos bantahan tersebut.

Setiap seorang yang dibantah perlu dibayar sebanyak RM10 oleh pembantah.

Wang deposit bantahan tersebut tidak dikembalikan biar pun pembantah menang pada perbicaraan dikendalikan di bawah SPR.

Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri juga mengesan lebih 300 orang tidak dikenali pada senarai pemilih baru suku pertama tahun ini di Dun Gual Ipoh.

Dan ketika proses bantahan dikendalikan SPR pada Mei lalu pemilih tak dikenali itu tidak hadir.

"Saya bimbang Dun Bukit Panau dan Gual Ipoh menjadi tempat longgokan pengundi luar bagi membolehkan pihak lawan menang mudah.

"Usaha tersebut dilakukan secara terancang menjelang pilihan raya umum 2004, namun hasil kerja keras jentera pilihan raya PAS menyebabkan pemilih tidak dikenali dikeluarkan," ujar Abdul Fattah yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, jentera PAS terpaksa bekerja keras bagi memastikan senarai pemilih tambahan yang dipamer tidak mempunyai pemilih tidak dikenali.

Katanya, apa yang berlaku di Bukit Panau menjelang PRU 2004 mencatat sejarah apabila begitu ramai pemilih tidak dikenali dilonggok di Dun berkenaan.

Nasihat bekas pengarah

Bekas Pengarah SPR Kelantan, Abdul Rahim Salleh mengingatkan jentera pilihan raya PAS memberi tumpuan utama kepada daftar pemilih baru.

"Dan apabila ada pemilih tidak dikenali mereka perlu dibantah segera bagi mengelakkan orang itu mengambil kesempatan mengundi ketika pilihan raya diadakan," ujarnya.

Bagaimanapun bantahan tersebut dianggap Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai agenda politik parti tertentu.

Dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini beliau dilaporkan berkata, proses bantahan dianggap mempunyai agenda politik menyebabkan 81,000 pemilih tidak dapat disahkan dalam suku pertama tahun ini.

Malah dakwanya ada pihak kurang bertanggungjawab dan mempunyai agenda politik mahu menghalang pendaftaran baru di satu-satu kawasan.

Kenyataan tersebut dibidas pelbagai pihak sehingga ramai mendesak Wan Ahmad meletak jawatan.

Writ saman tidak wakili kaum Cina - Perakan

Posted: 21 Jul 2011 05:37 AM PDT

Harakahdaily


SANDAKAN: Persatuan Anak Kelantan Di Perantauan (Perakan) Sandakan mengutuk keras tindakan tiga orang individu yang menyaman Kerajaan Kelantan dalam isu pengharaman premis judi.

Akhbar hari ini melaporkan tiga penduduk Kelantan iaitu Wong Meng Yit, 47, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa, 58 dan Gan Han Chuan, 44 mengemukakan saman pemula menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi.

Saman itu difail di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dinamakan sebagai defendan.

Tindakan tiga individu ini dianggap tidak bertamadun di dalam keadaan negara yang sarat dengan pelbagai masalah sosial, sepatutnya semua pihak berganding bahu menangani masalah sosial yang semakin parah.

Malah mereka juga sepatutnya turut menyokong tindakan Kerajaan Kelantan yang telah menutup pintu-pintu maksiat, kata Zaidi Mustafa (gambar), Setiausaha Perakan Sandakan.

Beliau turut melahirkan perasaan kecewa di atas sikap NGO-NGO Islam khususnya yang lantang bersuara dalam isu-isu agama sebelum ini tetapi masih lagi membisu dalam isu saman pengharaman judi ini.

Zaidi turut menyeru umat Islam dalam apa jua pertubuhan, parti politik patut bangun bersama dan berdiri teguh di belakang Kerajaan Kelantan dalam mempertahankan maruah Islam dan rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian.

"Sekiranya benar tiga orang individu yang mengemukan saman tersebut di dalangi oleh MCA, ianya cukup menggambarkan bertapa gawatnya pemikiran sebuah parti komponen yang memerintah negara lebih daripada 50 tahun.

"Adakah selama ini pimpinan MCA tidak meyakini bahawa judi boleh mendatangkan merbahaya yang besar terhadap sosial, politik dan ekonomi negara?" soal Zaidi dengar nada kesal.

Beliau turut yakin bahawa writ saman tersebut tidak mewakili masyarakat Cina kerana judi bukanlah budaya orang Cina ataupun mana-mana bangsa yang bertamadun.

Kehadiran anggota Jawatankuasa MCA Pusat, Datuk Ti Lian Ker semasa saman tersebut difail menggambarkan penglibatan parti kompenan BN dalam kes menyaman kerajaan negeri. Salinan writ saman terbabit diserah seorang pemimpin MCA kepada media semalam.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek ini pernah mengeluarkan kenyataan mahu menyaman Kelantan kerana melarang premis perjudian.

"Pearakan Sandakan berdiri teguh dibelakang Kerajaan Negeri Kelantan dalam mempertahankan keputusan yang telah dibuat dan menyakini keputusan ini adalah keputusan yang terbaik demi ummah dan negara," ujarnya

Aishah bangga buat persembahan di Kelantan

Posted: 21 Jul 2011 05:35 AM PDT

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Penyanyi terkenal Kelantan, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin, 45, melahirkan rasa syukur berikutan imejnya yang bertudung, beliau diundang kali kedua oleh kerajaan Kelantan untuk membuat persembahan di negeri itu.

Menurutnya, mungkin kerana memenuhi syarat yang telah ditetapkan beliau sekali lagi diundang untuk membuat persembahan tertutup di negeri itu.

"Andainya saya masih belum bertudung, tentu kerajaan Kelantan tidak menjemput saya kan?" soalnya sambil tersenyum.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Kerajaan Kelantan, di Kelantan Trade Cantre (KTC), di sini tengahari tadi yang dirasmikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya hanya beliau dan artis Nora sering dijemput, ini bererti masih belum ramai lagi artis (penyanyi) yang bertudung.

"Ini merugikan masyarakat, sebab setiap lagu-lagu yang didendangkan bukan hanya sekadar lagu, sebaliknya membawa mesej yang bermakna pada masyarakat,"ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut berharap artis wanita khususnya penyanyi supaya turut menampilkan imej bertudung kerana rezki ada di mana-mana.

Aishah kini dalam persiapan untuk melahirkan album baru irama pop, namun yang bermesej sesuai untuk kehidupan masyarakat sama ada sebagai seorang anak atau ibu.

Sempena program itu Aishah menyampaikan lapan buah lagu, iaitu lagu untuk Wanita, Janji Manismu, empat lagu medlay yang bertemakan ibu, Syurga Di Telapak Kaki Ibu termasuk zikir dan Anak.

Ustazah Asni Mansur personality tv turut diundang untuk menyampaikanmotivasinya pada program yang bertemakan Tangan Menghayunkan Buaian Menggegarkan Dunia.

Bersih 2.0: Najib diseru pecat yang bertindak bodoh

Posted: 21 Jul 2011 05:33 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diseru memecat semua yang terlibat dalam strategi yang tidak menguntungkan sebelum, semasa dan semasa perhimpunan aman Bersih 2.0 9 Julai yang lalu jika beliau ingin menyelamatkan konsep 1Malaysianya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) meluahkan rasa hairannya bagaimana pentadbiran Najib boleh membuat banyak perkara yang tidak menguntungkan sempena perhimpunan aman Bersih 2.0.

"Adakah Najib boleh mencari punca mengapa beliau dan kerajaan telah bergerak ke arah kesilapan yang besar dalam hal menangani Bersih 2.0 yang hanya menuntut pilihanraya yang bersih dan adil, dengan melakukan perkara yang tidak menguntungkan satu demi satu?" soal beliau.

Antara tindakan yang tidak menguntungkan kerajaan sebelum perhimpunan Bersih 2.0, kata Lim ialah pengumuman bahawa Bersih 2.0 ialah pertubuhan haram, pengharaman baju Bersih termasuk ketakutan kepada barang-barang kuning dan penangkapan, tidak menghormati titah Yang Di-Pertuan Agong untuk mengadakan perhimpunan di stadium.

Beliau juga mungkir janji terhadap perjanjian bahawa perhimpunan boleh dibuat di stadium apabila menyekat stadium Merdeka dari digunakan untuk perhimpunan itu.

Selain itu, sekatan jalan raya, ugutan Mei 13 of Pemuda Umno dan Perkasa, melarang 91 individu untuk memasuki kawasan Kuala Lumpur Julai 9, tuduhan liar kepada Presiden Bersih 2.0 Ambiga Sreevenasan, penahanan Ahli Parlimen PSM Dr Michael Jeyakumar dan lima ahli PSM lain di bawah Ordinan Darurat dan kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memberikan respon kepada 8 tuntutan Bersih 2.0.

Selain itu, Lim turut menyenaraikan perkara-perkara yang tidak menguntungkan yang dibuat kerajaan semasa perhimpunan Bersih 2.0.

Antaranya ialah kelampauan, kekasaran dan penahanan beramai-ramai oleh polis, kematian Baharuddin Ahmad, melanggar motorsikal yang ditunggang oleh Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu, menembak gas pemedih mata tanpa amaran ke dalam tunnel KL Sentral tanpa memikirkan keselamatan awam dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan menembak gas pemedih mata dan air asid ke kawasan Hospital Tung Shin.

Selepas perhimpunan Bersih 2.0, Lim berkata kerajaan terus melakukan perkara-perkara yang tidak menguntungkan di mana Najib mempersendakan perhimpunan Bersih 2.0 kepada 6000 pemimpin Umno pada sebelah pagi selepas perhimpunan diadakan.

Selain itu, kenyataan Ketua Polis Negara bahawa hanya 6000 orang sahaja yang menyertai perhimpunan, penafian polis dan Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai terhadap serangan terhadap hospital Tung Shin, ugutan Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek bahawa Bank Negara boleh membeku aset pemimpin Bersih juga silap.

Meng'hitam'kan perenggan dalam artikel dalam majalah Economist terbaru dan dakwaan berterusan bahawa Bersih 2.0 didalangi elemen asing, sehinggakan Putrajaya terpaka menjauhkan diri daripada dakwaan Utusan Malaysia bahawa Bersih 2.0 ada hubungan dengan Yahudi to menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional juga dianggap silap.

"Mampukan Najib dan menteri-menteri Barisan Nasional faham bahawa perhimpunan Bersih 2.0 adalah satu pengalaman yang unik dan berharga untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, kelas, umur dan jantina untuk bersama sebagai rakyat Malaysia yang didasari perasaan sayang dan tujuan yang sama untuk satu pilihanraya yang adil dan bersih – yang tidak boleh dicapai oleh beribu-ribu bendera yang diedarkan oleh menteri-menteri semalam di kabinet?" soal Lim.

Lim berkata adalah tidak lambat lagi untuk Najib mengiktiraf kepentingan Bersih 2.0 dalam menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai satu Malaysia yang bersih dan adil demi menyelamatkan konsep 1Malaysia.

"Tapi beliau kena bertindak cepat," ujar beliau.

Lim mencadangkan supaya Najib menghentikan pengharaman Bersih 2.0 dan menyeru beliau menghentikan ketakutan BN terhadap warna kuning.

Di samping itu, Lim turut menyarankan supaya satu Suruhanjaya DiRaja dibuat untuk mereformasikan sistem pilihanraya negara sebelum pilihanraya ke 13 berlangsung, membebaskan 6 tahanan PSM di bawah Ordinan Darurat dan juga Suruhanjaya DiRaya untuk menyiasat kelampauan polis di perhimpunan Bersih 2.0.

Penduduk Kuantan resah dengan Lynas

Posted: 21 Jul 2011 05:20 AM PDT

Zulkifli Sulong


KUANTAN: "Di negara mereka, ditetapkan peraturan zon bafer seluas 30 km dari kilang rare earth (nadir bumi), namun di sini, jika apa-apa berlaku seluruh bandar Kuantan akan terlibat kerana kilang ini hanya 25 km sahaja dari bandar Kuantan."

Fakta inilah yang membuatkan penduduk Kuantan sekarang resah dengan kehadiran kilang 'lampu' atau 'Lamp' yang akan dibina di kawasan perindustrian Gebeng, 25 km dari bandar Kuantan. Ia disingkatkan dengan nama Lamps On pada papan tandanya di Gebeng.

Namun sebagaimana biasa, masyarakat Cina di sini jauh lebih resah berbanding dengan orang Melayu kerana inilah yang sentiasa berlaku apabila melibatkan sensitiviti masyarakat. Mereka telah mengepalai NGO "Save Malaysia - Stop Lynas' bagi melawan projek ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyalahkan sikap media Melayu yang terlalu 'membela' kerajaan dalam laporan mereka menyebatkan sensitiviti orang Melayu rendah dalam isu sebegini.

Satu keluarga Cina di Kuantan diminta berpindah dari bandar itu oleh ibu mereka kerana takutkan apa yang berlaku di Bukit Merah, Ipoh berlaku lagi di Kuantan dengan pembinaan kilang 'Lamp' ini.

Ini kerana, kilang yang sama di Bukit Merah, Ipoh (bukan Bukit Merah, Taiping) telah diarahkan tutup oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 1992 ekoran tindakan penduduk tempatan membantahnya selepas dipercayai menyebabkan pelbagai kecacatan dan kematian kepada penduduk berhampiran kilang ini.

(Papan tanda jalan masuk ke kilang Lynas di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan)

Lamp adalah singkatan dari perkataan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) sebuah kilang memproses nadir bumi yang sudah 65 peratus siap (ada yang berkata 90 peratus siap) sekarang ini. Ia dibina di atas tapak sebuah kawasan perindustrian yang berjiran juga dengan kilang-kilang perindustrian yang lain di situ.

Antara kilang yang berkongsi pagar dengan Lamp adalah Polyplastics, BASF Petronas Chemicals dan juga Palmoil Industrial Cluster yang sedang dibina.

Di seberang jalan pula adalah pusat latihan Agensi Penguatkuasaan Meritim Malaysia (APMM).

Pada papan tandanya, tercatat papan tanda LAMPS ON atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) yang dimiliki Lynas Malaysia Sdn Bhd dan UGL Resources. UGL Resources adalah syarikat utama yang berpengkalan di Australia dalam bidang Pengurusan Aset dan Projek dengan jumlah kakitangan sekitar 42,000 orang.

Mereka telah dianugerahkan Kontrak Pengurusan Projek Pembinaan Lynas di Gebeng pada 22 Februari 2010 dengan nilai kos pengurusan projek di sekitar RM96.8 juta.

UGL Resources bertanggunjawab di dalam urusan rekabentuk kejuruteraan kilang Lynas. Kos infrastruktur Lynas di Gebeng dianggarkan sekitar RM700 juta.

(Bangunan APMM yang siap untuk digunakan hanya dipisahkan dengan jalan raya dan sebuah kilang sahaja dengan kilang Lynas. Ia tidak sampai 5 km jaraknya sebagaimana yang disarankan dalam laporan EIA)


Kilang ini adalah 100 peratus milik Lynas Australia dan dijadual untuk disiapkan Suku-3 2011 (iaitu September). Tarikh asal dikatakan pada suku-pertama 2011 (Mac).

Selepas siap nanti, nadir bumi yang dilombong di Australia akan dibawa ke perlabuhan Kuantan dengan kapal. Dari kapal, ia akan dibawa dengan lori ke kilang ini untuk diproses sebelum dieksport semula.

Ada beberapa isu penting yang membimbangkan penduduk tempatan.

1) Bahan 'nadir bumi' ini berupa gentian yang sangat halus yang mengandungi bahan radio aktif. Ia sangat merbahaya kalau tertelan atau dihidu dan masuk ke dalam badan.

2) Semasa memproses nadir bumi ini, ia akan melibatkan penggunaan yang asid Hidroklorik dan asid Sulfurik yang banyak. Ia sangat bahaya kalau terlepas bebas ke udara.

3) Prosesnya juga melibatkan banyak air dan air yang telah digunakan akan dilepaskan ke Sungai Gebeng selepas dirawat. Namun setakat manakah rawatan itu berlaku dan apa berlaku jika rawatan ini tidak lengkap.

3) Bahan sisa kilang ini juga mengandungi radio aktif. Di mana ia akan dibuang dengan selamat.

Ke empat-empat isu inilah telah menyebabkan penduduk tempatan khasnya di Beserah dan Gebeng serta Kuantan menubuhkan NGO khas bagi menghadapinya.

Badan itu adalah Save Malaysia - Stop Lynas dan satu lagi Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (Badar).

(Tiga penggerak utama Badar yang dipimpin oleh Amdan Sura [berdiri di tengah] ketika ditemui di Gebeng Ahad lepas)

Hari ini, Badar telah menyerahkan memorandumnya kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi membantah kebenaran yang diberikan MITI untuk pembinaan kilang ini di Malaysia.

Mereka juga bertemu dengan Lajnah Guaman PAS bagi membuat proses tindakan undang-undang bagi menyekat pembinaan kilang ini di Gebeng.

"Pada peringkat awal dahulu kita agak lunak dengan pembinaan kilang ini tetapi setelah mengetahui secara mendalam, kita tidak akan biarkan dan akan menentangnya," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul hadi Awang kepada Harakahdaily dua hari lalu.

LAPORAN BERKAITAN

Lynas : Apa yang perlu anda ketahui

Tsu Koon: Hubungan Malaysia-Vatican akan rangsang dialog antara Agama

Posted: 21 Jul 2011 05:19 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Holy See di Vatican merupakan perangsang positif bagi inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dalam satu kenyataan, Koh (gambar), yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Malaysia dan Vatican kini boleh bekerjasama menggalakkan nilai-nilai kesederhanaan dan inklusif menerusi dialog antara agama yang lebih bermakna dan bertukar-tukar pandangan selaras dengan semangat 1 Malaysia dan 1 Dunia.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata sebagai seorang daripada anggota delegasi Malaysia ke Vatican dan sebagai seorang penganut Buddha, ia merupakan pengalaman berharga bagi dirinya dapat bertemu Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo.

Koh turut melawat Majlis Pontifical bagi Dialog Antara Agama dan Institut Pontifical bagi Pengajian Bahasa Arab dan Islam di bawah pentadbiran Holy See untuk mengkaji kemungkinan bagi kedua-dua institusi itu menjalin hubungan dengan institusi di Malaysia bagi menggalakkan persefahaman antara agama.

Katanya Najib telah mengilhamkan idea untuk melawat Vatican dua tahun lepas, tetapi ia hanya direalisasikan pada Mei tahun ini selepas perbincangan dengan Papal Nuncio (Duta) Holy See ke Singapore, Leopoldo Girelli dan Ketua Biskop Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam.

Koh juga berkata ia merupakan penghormatan luar biasa yang diberikan oleh Pope atas kesudiannya bertemu dengan perdana menteri di kediaman musim panasnya di Castel Gandolfo kerana beliau biasanya tidak menerima tetamu di situ.

Katanya jalinan hubungan diplomatik itu dicadangkan oleh Holy See semasa lawatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002.

Kabinet pada tahun ini sebulat suara bersetuju bahawa masanya adalah sesuai untuk Malaysia menjalin hubungan rasmi itu, selaras dengan inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan Najib.

Kes Beng Hock: SPRM akan teliti segera hasil siasatan suruhanjaya

Posted: 21 Jul 2011 05:15 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya akan segera meneliti secara keseluruhan laporan suruhanjaya diraja siasatan mengenai kematian Teoh Beng Hock dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas sebarang cadangan atau syor diketengahkan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, SPRM berkata ia juga komited dan telah memberi kerjasama yang penuh kepada suruhanjaya diraja sepanjang perjalanan penyiasatan tersebut dan akan menerima Ini adalah kenyataan media keputusan yang dibuat secara terbuka.

Bagaimanapun katanya, ia masih belum mendapat laporan suruhanjaya diraja.

"SPRM ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini belum menerima sebarang laporan yang dibuat oleh suruhanjaya siasatan diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

"SPRM akan berusaha untuk mendapatkan laporan penuh suruhanjaya berkenaan apabila laporan tersebut dijual kepada umum pada hari Jumaat (esok) sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Menteri (Datuk Seri Nazri Aziz) dalam sidang media petang tadi," katanya.

SPRM berkata ia akan terus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dalam membanteras jenayah rasuah dan memastikan teras NKRA dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.

Suruhanjaya diraja mendapati kematian Teoh, pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009, adalah akibat membunuh diri.

Keputusan itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya itu dalam laporannya mendapati Teoh membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.

Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan membabitkan Yong.

Bersih 2.0: Polis tayang video tunjukkan “imej positif’ PDRM

Posted: 21 Jul 2011 05:10 AM PDT



Pegawai polis menahan salah seorang peserta perhimpunan Bersih 9 Julai 2011.
KUALA LUMPUR — Polis hari ini telah menayangkan rakaman video berhubung Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di ibu negara sambil menegaskan tiada kekerasan dilakukan ke atas peserta perhimpunan.

Bagaimanapun dalam sesi penerangan dijelaskan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid, rakaman-rakaman itu hanya menayangkan "kebaikan" yang dilakukan polis ke atas peserta dan tidak secara keseluruhan tentang apa yang berlaku.

Bahkan, sepanjang penerangan itu Salleh lebih banyak mengatakan polis bertindak secara berhemah dan menyalahkan peserta kerana melakukan provokasi.

"Sesi penerangan ini adalah untuk menjelaskan beberapa isu mengenai perhimpunan haram Bersih 2.0 yang mana ada tiga lokasi utama iaitu KL Sentral, Menara Maybank, Puduraya, Hospital Tung Shin dan KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur).

"Jumlah peserta yang hadir tidak melebihi 10,000 orang, isu yang timbulan adalah berhubung tohmahan yang dilemparkan terhadap kita," katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Dalam sesi penjelasan yang turut menayangkan rakaman video di tiga lokasi utama itu, Salleh berkata pihaknya juga mendapati kematian Baharuddin Ahmad dan kecederaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tiada kaitan dengan tindakan polis.

Ia disahkan dalam rakaman yang ditayangkan kepada media dan juga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas Salleh, sepanjang pasukan keselamatan mengawal perhimpunan itu setiap tindakan yang dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita ikut SOP yang ditetapkan, sepanjang perhimpunan kita mengawal keadaan dan bertindak secara berhemah, namun peserta perhimpunan yang banyak membuat provokasi.

"Video yang kita tunjukkan ini adalah untuk membuktikan polis tidak bertindak ganas malah mengambil berat ke atas peserta yang ditangkap selain provokasi yang dibuat peserta," katanya.

Dalam pembentangan hampir 45 minit itu, banyak rakaman yang menyaksikan bagaimana peserta termasuk Naib Presiden PKR Tian Chua yang cuba menyerbu ke arah pasukan keselamatan di KL Sentral.

Bagaimanapun tindakan Tian Chua itu gagal selepas polis melepaskan gas pemedih mata di luar premis KL Sentral sejauh 30 meter.

Dalam rakaman video yang ditayangkan itu tiada satu pun rakaman yang menyaksikan polis bertindak kasar ke atas peserta.

Sebaliknya ia menayangkan rakaman di mana polis menghulurkan bantuan kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad yang ditahan di KL Sentral.

Sementara itu di KLCC, hanya menayangkan rakaman yang menyaksikan meriam air sedang dilepaskan ke arah peserta perhimpunan.

Bagaimanapun, lebih banyak rakaman video di kawasan Hentian Puduraya ditayang di mana turut dipaparkan perbincangan antara Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa dengan polis.

Turut disiarkan gambar-gambar yang mana peserta perhimpunan menyerbu ke arah kenderaan pasukan keselamatan selain tembakan gas pemedih mata dan meriam air dilepaskan.

Secara keseluruhan, tayangan yang ditayangkan itu lebih banyak menunjukkan "kebaikan" polis terhadap peserta dan bukan sebaliknya.

Justeru kata Salleh, pihaknya meminta agar rakyat tidak terpedaya dengan rakaman video atau gambar yang dimuatnaik di Internet.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan meminta agar mana-mana bukti yang mengaitkan tentang keganasan polis diserahkan agar tindakan susulan boleh diambil.

"Siasatan masih berjalan lagi, ini bukan keputusan akhir... kita masih mengumpul maklumat... jika ada bukti (keganasan polis) serahkan kepada kita untuk disiasat.

"Kalau ada (anggota) yang bertindak di luar SOP tindakan akan diambil," katanya.

Gaji minimum: MTUC akan minta Parlimen betulkan jika menteri silap

Posted: 21 Jul 2011 04:35 AM PDT


KUALA LUMPUR — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan meminta Parlimen membetulkan maklumat pada penyata mesyuarat sidang jika benar telah dimaklumkan bahawa badan induk kesatuan sekerja itu pernah bersetuju dengan Rang Undang-undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang diluluskan baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya Abdul Halim Mansor (gambar) berkata, pihaknya masih dengan kekal dengan pendirian bahawa MTUC tidak pernah dimaklumkan ataupun diajak berbincang secara formal selepas rang undang-undang itu digubal.

"Mengenai isu itu, memang kita tidak pernah bersetuju atau diberitahu mengenai rang undang-undang itu, sebelum ia dibawa ke Parlimen," kata Halim.

"Pendirian Majlis Am MTUC (yang bermesyuarat 6 Julai lalu) ialah MTUC akan meneliti penyata mesyuarat Dewan Rakyat, dan jika benar Menteri Sumber Manusia ada mengatakan MTUC sudah pun bersetuju dengan akta ini, maka kami akan menulis kepada Parlimen, akan meminta supaya mengambil tindakan membetulkan maklumat itu," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Katanya, kepimpinan MTUC sedang meneliti kandungan penyata mesyuarat.

"Kami sedang mendapatkan penyata Parlimen . . . sebab kami tidak pernah bersetuju ataupun diadakan perbincangan formal," kata beliau.

Halim menambah, MTUC tiada kuasa untuk mengambil tindakan ke atas menteri berkaitan, tetapi hanya boleh memaklumkan kepada Parlimen agar dibuat demikian supaya rakyat khususnya ahli-ahli MTUC tidak terkeliru.

The Malaysian Insider difahamkan perkara tersebut ada dibangkitkan ketika pertemuan kepimpinan MTUC dengan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia mengenai rasa tidak puas hati kongres itu mengenai gaji minimum Isnin lalu.

Halim ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Kokus Pekerja Parlimen Abdullah Sani Abdul Hamid yang menimbulkan persoalan sama ada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam atau MTUC yang bercakap benar dalam isu terbaru berkaitan dengan undang-undang mengenai gaji minimum kebangsaan.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider minggu lalu, MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan secara formal mengenai kandungan Rang Undang-undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini.

"Ketika saya menimbulkan perkara ini di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia berkata kepimpinan dulu (sebelum Disember 2010) tidak setuju dengan dasar gaji minimum, tetapi kepimpinan sekarang sudah bersetuju," kata Abdullah Sani.

"Jadi siapa yang cakap benar dalam isu ini sekarang? Jika menteri berbohong, saya akan membawa usul ke atas menteri pada sesi Parlimen Oktober ini, mendakwa menteri sudah mengelirukan di Dewan (Rakyat)," kata beliau.

Abdullah Sani juga berkata, tidak logik kedua-dua kepimpinan MTUC dan MEF boleh berbohong dalam hal ini memandangkan mereka memberi pendirian yang sama.

"Mengikut semangat tiga pihak, kerajaan sepatutnya membawa mana-mana rang undang-undang mengenai dasar perburuhan ke NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan) . . . ini sepatutnya dibuat. Apa jadi sekarang, saya tidak pasti," kata beliau lagi.

Ahli Parlimen PKR dari Kuala Langat ini menambah, perkembangan terbaru ini menunjukkan bahawa pendirian Putrajaya mahu memperkenalkan dasar gaji minimum berhadapan dengan ketidaktentuan dan dilema kemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.

Suruhanjaya putuskan Beng Hock bunuh diri

Posted: 21 Jul 2011 04:34 AM PDT

TERKINI


Nazri Aziz mengumumkan hasil siasatan suruhanjaya diraja mengenai kes kematian Teoh Beng Hock. - Foto Choo Choy May


KUALA LUMPUR— Laporan siasatan suruhanjaya diraja memutuskan Teoh Beng Hock membunuh diri ekoran tekanan daripada kaedah siasatan agresif dan berterusan di pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai-pegawai SPRM telah mengenakan tekanan ke atas Teoh agar menjadi saksi dalam kes terhadap seorang Adun DAP.

Hasil siasatan diumumkan oleh Datuk Nazri Aziz yang turut mengatakan bahawa keputusan suruhanjaya itu adalah sebulat suara.

Suruhanjaya diraja juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM didapati telah melanggar prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Ia mengesyorkan agar tindakan diambil khususnya ke atas tiga pegawai SPRM.

Nazri berkata kerajaan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pegawai-pegawai terbabit.

Kata beliau, polis perlu membuka satu siasatan dan membawa perkara tersebut kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.

"Keputusan siasatan suruhanjaya diraja menunjukkan Teoh Beng Hock tidak dibunuh tetapi dia merasakan dirinya dibebani dan tertekan kerana sesi soal siasat yang agresif dan berterusan, disokong karakternya yang lemah menyebabkannya dia membunuh diri," kata beliau pada sidang media di Parlimen hari ini.

"Faktanya, (tindakan) membunuh diri disokong oleh keterangan pakar forensik psikiatrik, Professor Paul Edward Mullen yang dilantik oleh Majlis Peguam.

"Prof Mullen berkata Teoh Beng Hock memang membunuh diri berdasarkan karakternya yang berubah daripada kumpulan risiko rendah kepada kumpulan risiko tinggi untuk membunuh diri selepas melalui sesi soal siasat yang berterusan dan agresif," katanya.

Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, yang penubuhannya diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Suruhanjaya itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saripuddin Kasim selaku setiausaha suruhanjaya.

Amarjeet Singh a/l Serjit Singh (Timbalan Ketua Bahagian Guaman I), Awang Armadajaya Awang Mahmud (Timbalan Pendakwa Raya) dan Kwan Li Sa (Timbalan Pendakwa Raya), dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu diberi tanggungjawab menyiasat punca kematian Teoh, setiausaha politik anggota exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu juga ditugaskan menyiasat sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya yang mengadakan siasatannya dari 14 Februari hingga 18 Mei lepas telah memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan.

Menerusi prosiding suruhanjaya itu, pelbagai perkara baru disiasat termasuk kandungan SMS dan maklumat dalam telefon serta komputer pegawai SPRM.

Punca siasatan SPRM terhadap Teoh juga didedah hingga timbulnya isu penyelewengan lesen kontraktor bumiputera.

Bagi melengkapkan siasatan terhadap kematian yang mencetuskan kontroversi itu, suruhanjaya melantik penyiasat persendirian sendiri iaitu bekas anggota polis British, Michael Leslie Squires.

Wakil Majlis Peguam dan peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah turut membantu anggota suruhanjaya itu.

Laporan hasil siasatan suruhanjaya itu telahpun diserah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bulan lepas.

Sebelum ini satu inkues yang dikendalikan Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka iaitu kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Sepanjang prosiding inkues dari 29 Julai 2009 hingga 4 November 201 itu, 37 saksi dipanggil termasuk beberapa pegawai SPRM serta pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Laporan itu akan dijual mulai esok di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mulai esok.

Buku laporan 124 muka surat itu dijual pada harga RM45 senaskhah dan boleh diperoleh dalam kedua-dua Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Keluarga Teoh tolak laporan suruhanjaya, mahu semakan semula

Posted: 21 Jul 2011 04:33 AM PDT




Keluarga Teoh Beng Hock


KUALA LUMPUR— Keluarga Teoh Beng Hock kemungkinan memohon agar diadakan satu semakan kehakiman ke atas penemuan suruhanjaya diraja yang menyiasat kes kematian setiausaha politik kepada seorang wakil rakyat DAP itu.

"Keputusan bunuh diri tidak dapat diterima oleh keluarga (Teoh)," kata peguam kepada keluarga Teoh, Karpal Singh kepada pemberita di sini hari ini.

"Suruhanjaya diraja adalah tribunal yang rendah dari struktur undang-undang dan apa sahaja keputusan dibuat oleh tribunal yang rendah boleh disemak balik oleh Mahkamah Tinggi," kata beliau.

Karpal yang juga Pengerusi DAP kebangsaan berkata, beliau sedang meneliti laporan suruhanjaya itu "baris demi baris" untuk menentukan tindakan susulan, yang akan diketahui menjelang awal minggu depan.

MENYUSUL LAGI

Bersih 2.0: Polis nafi semua tohmahan kecuali kes Hospital Tung Shin

Posted: 21 Jul 2011 04:19 AM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR — Polis menolak semua dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan pihak tertentu yang mendakwa pasukan keselamatan itu melakukan kekerasan semasa menghuraikan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara, 9 Julai lalu kecuali melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin.

Bagaimanapun menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid, siasatan berhubung tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin masih berjalan.

Pada sidang media yang diadakan di Bukit Aman di sini petang ini, beliau juga menegaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air itu hanya dilepaskan di kawasan berhampiran dan bukan dalam premis Hospital Tung Shin.

"(Memang) meriam air ada buat semburan di kawasan laluan masuk ke Hospital Tung Shin tetapi gas pemedih mata berlaku di kawasan berhampiran (laluan sebelah Hospital Tung Shin).

"Kejadian di Hospital Tung Shin kata polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata memang tidak boleh dinafikan sebenarnya, mungkin angin yang tiup masuk," katanya.

Bagaimanapun tegas Salleh, siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan dan jika didapati ada anggota melepaskan tembakan gas pemedih mata ke kawasan Hospital Tung Shin tindakan akan diambil.

"Apa sahaja tindakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekiranya berlaku pelanggaran kita akan ambil tindakan," katanya.

Salleh turut menayangkan rakaman video yang diperoleh daripada polis dan orang persendirian berhubung insiden-insiden yang berlaku.

Ia termasuk kes kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad, kes "pelanggaran" Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan kekerasan polis.

"Polis menggunakan SOP yang telah ditetapkan dan kita tidak bertindak secara keras (terhadap peserta), kita bermula dengan meriam air dan sebelum kita tembak kita akan beri amaran dulu, kita tidak gunakan kekerasan.

"Selain itu kita tidak melakukan kekerasan terhadap mereka yang ditahan, kita tangkap mereka secara berhemah dan mereka yang ditahan dibawa dengan van (untuk ke Pulapol) dan bukan black maria, di sana (Pulapol) kita sediakan tempat solat, kita beri makan macam makan kenduri, kita sediakan perkhidmatan dan mereka yang ditahan kita hantar ke tempat untuk mereka mudah dapatkan pengangkutan awam," kata Salleh.

Jelas beliau, pendedahan itu dibuat selepas mendapat maklumat daripada enam jawatankuasa khas menyiasat enam dakwaan kezaliman pihak berkuasa itu ketika bertugas pada 9 Julai lalu.

Selain itu tegas Salleh, sepanjang bertugas pada Himpunan Bersih 2.0 semua polis bertindak secara berhemah dan tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan seperti mana yang didakwa.

Bagaimanapun jelas beliau, peserta perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang bertindak di luar batasan dengan melakukan banyak provokasi termasuk cuba merempuh polis.

"Insiden di KL Sentral mengenai gas pemedih mata, ketika itu ada kumpulan seramai 400 orang di KL Sentral... tembakan (gas pemedih mata) dilepaskan di luar kawasan (KL Sentral) dan bukan di dalam (terowong), kita buang (tembak) di luar bukan di dalam.

"Malah di sana Tian Chua (Naib Presiden PKR) cuba merempuh ke arah polis, namun selepas tembakan (gas pemedih mata) dilepaskan, dia lari masuk ke dalam," katanya sambil menambah, anggota polis yang berada di kawasan itu diletakkan kira-kira 30 meter di luar KL Sentral.

"Kenapa 30 meter? Itu sebab... ia adalah SOP jika mahu lepaskan gas pemedih mata," tambah Salleh.

Justeru jelas beliau, sepanjang mengawal keselamatan dan menghuraikan Himpunan Bersih 2.0, polis telah bertindak secara profesional.

"Langkah yang telah kita buat telah berjaya mengekang 300,000 orang datang dengan hanya tidak sampai 10,000 orang, perhimpunan itu mengambil masa tiga jam bermula dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

"Pendekatan tegas, adil dan berhemah ini berjaya menghalang daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini, tiada kerosakan yang berlaku," katanya.

Bersih 2.0 mendakwa kira-kira 50,000 orang muncul pada perhimpunan Sabtu lalu manakala pihak polis mendakwa hanya 6,000 orang muncul di ibu negara.

Perhimpunan itu yang diadakan tanpa permit polis telah menyebabkan hampir 1,700 orang ditahan termasuk beberapa ahli politik.

Seorang peserta, yang merupakan ahli PAS, didakwa meninggal dunia terkenan gas pemedih mata.

Polis berkata Baharuddin Ahmad meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Tiada ulasan: