Isnin, 11 Julai 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bersih 2.0 bukti anak muda tidak takut amaran BN

Posted: 11 Jul 2011 07:36 AM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kesanggupan anak-anak muda menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Kuala Lumpur walaupun terpaksa datang dari jauh, jelas membuktikan belia Malaysia hari ini mahukan perubahan.

Walaupun dihalang dengan pelbagai cara, anak-anak muda ternyata telah memecahkan tembok ketakutan terhadap BN untuk menyertai perhimpunan itu bagi menyampaikan mesej mereka ke arah membawa Malaysia hari ini kepada Malaysia baru.

(Anak muda yang memenuhi Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil Sabtu lepas)

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nik Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan, dengan kebangkitan anak-anak muda itu ke arah membawa Malaysia kepada Malaysia baru, anak-anak muda adalah Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Menurut beliau, kebangkitan anak-anak muda itu berpunca dari kegagalan para pemimpin Umno BN memahami kehendak anak-anak muda yang mahukan politik negara ini berubah ke arah kebaikan termasuk dalam sistem pilihanraya.

Katanya, keadaan itu amat berbeza dengan para pemimpin Pakatan Rakyat yang diterajui oleh golongan tua tetapi amat memahami jiwa anak-anak muda.

"Ini jelas menunjukkan BN sudah ketinggalan dan tidak memahami jiwa anak-anak muda. Sebab itulah mereka sanggup menyekat kebangkitan anak-anak muda dalam melakukan perubahan terhadap politik negara dengan pelbagai halangan.

"9 Julai lalu, pelbagai kezaliman telah dilakukan oleh kerajaan BN terhadap rakyat. Pada hal rakyat hanya mahu mengadakan himpunan aman untuk mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita.

"Namun dalam Islam, semua orang yang dizalimi doa mereka tidak terhijab di sisi Allah sama ada yang muslim dan bukan muslim," katanya ketika ditemui.

Semakin dizalimi, menurut beliau, rakyat menjadi lebih bersemangat untuk mengubah pemimpin negara bagi melahirkan Malaysia baru yang lebih baik kerana ia selaras dengan tuntutan Islam.

"9 Julai lalu terbukti rakyat sudah tidak takut lagi lagi dengan kerajaan BN. Rakyat terutama anak-anak muda telah memecahkan tembok ketakutan kepada BN. Mereka datang dari seluruh pelosok negara termasuk ratusan pemuda dari Sabah dan Sarawak.

"Perhimpunan pada 9 Julai lalu ternyata berjaya menyampaikan mesej rakyat bagi mendesak kerajaan BN melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil, malah suara mereka didengar di seluruh dunia.

"Selain boleh diikuti menerusi liputan yang dibuat oleh pihak media pada himpunan di Kuala Lumpur, seluruh dunia turut mengetahui desakan rakyat menerusi perhimpunan yang dibuat oleh anak-anak muda kita di 24 buah negara termasuk di Australia," katanya.

Bagi meraikan kejayaan himpunan aman Bersih 2.0 itu, beliau akan memakai baju kuning pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bersih 2.0: Matthias sifatkan kegagalan Najib

Posted: 11 Jul 2011 07:33 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Sehari selepas berlangsungnya perhimpunan Bersih 2.0, para penyokong BN sendiri mulai menyerang pemimpin mereka dan menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib disifatkan gagal melaksanakan cadangannya sendiri agar perhimpunan dijalankan di stadium dan disifatkan pemimpin 'flip-flop' atau 'kluk-klek'.

Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed), Matthias Chang (gambar) dalam tulisannya memberikan masa sekurang-kurangnya 10 bulan kepada BN untuk boleh membetulkan balik kesilapan cara BN mengendalikan perhimpunan Bersih 2.0 ini.

Sebelum Matthias, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah turut mempertikaikan strategi BN dalam menghadapi Bersih 2.0.

"Selepas perhimpunan 9 Julai 2011, saya mencadangkan agar Perdana Menteri dan seluruh pemimpin BN, bahawa keutamaan mereka sekarang adalah membuang semua penasihat politik yang tidak ada pengalaman langsung dalam realiti politik," tulis Matthias mengulas peranan penasihat politik Najib yang dikatakan pakar dalam "Blue Ocean Strategy" (strategi lautan biru).

Kerajaan BN, kata Mathias, membelanjakan bilion ringgit untuk membayar para 'pakar strategi' ini namun sehingga kini tidak menunjukkan sebarang hasil yang jelas 'di alam realiti dan di peringkat akar umbi.'

Tulisan Mathias membayangkan cerita sebenar di sebalik kegelisahan dan tindakan berlebihan kerajaan pimpinan Najib dalam mengendalikan Bersih 2.0.

Sehari selepas perhimpunan Bersih 2.0, Najib menghimpunkan 6,000 para penyokongnya di PWTC dan memberikan ucapan berapi kononnya Bersih 2.0 tidak ada sebarang kesan.

Sebelum itu, beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyidin Yasin telah membuat kenyataan bahawa semua urusan mengendalikan perhimpunan kali ini diserahkan kepada polis.

Hasilnya, seluruh bandaraya Kuala Lumpur dikepung dan tidak ada sebarang kenderaan yang dibenarkan masuk sejak tengahmalam sebelum 9 Julai.

Namun, pelbagai pihak menganggar lebih 100,000 penyokong Bersih berhimpun di ibunegara walaupun mendapat tentangan ganas dari pihak keselamatan.

Seorang peserta, Baharudin Ahmad, 58 tahun telah meninggal dunia. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur dan Najib sendiri mendakwa ia berpunca dari sakit jantung tetapi keluarganya berkata, Allahyarham, seorang bekas tentera yang segar bugar mustahil terkena komplikasi jantung.

Keluarganya juga berkata, jenazah Allahyarham menunjukkan tanda empat tulang dadanya patah manakala tiga batang giginya turut patah.

Di samping Baharudin, 1697 peserta ditahan sepanjang operasi polis itu termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga.

Kesan dari itu, Mathhias yang menyebut dia adalah bekas setiausaha politik PM sebelum ini berkata, jika pilihan raya diadakan tahun ini, BN tidak akan berjaya mendapat dua pertiga majoriti dalam Parlimen mahupun mengambil balik empat negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Yang lebih teruk lagi, beliau menjangkakan PM akan dihalau keluar enam bulan selepas itu.

(Polis menembak gas pemedih mata kepada peserta perhimpunan yang menuntut agar pilihan raya dijalankan dengan bersih dan adil)

Bagi menghadapinya, Matthias memberikan tiga cadangan untuk Najib:

1) Arahkan para penasihat politik beliau menonton siri TV "The Three Kingdoms" dan belajar asas-asas strategi politik.

2) Hantar sepupu beliau, Datuk Seri Hishamudin Husein iaitu Menteri Dalam Negeri untuk dianalisa jiwanya untuk "Enlarged Ego Syndrome" (EES) dan menyusun semula semua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

3) Masukkan ke dalam peti sejuk semua pimpinan Pemuda Umno pimpinan Khairy Jamaludin. Ini kerana masalah sebenar Najib bukannya pembangkang tetapi dalaman BN sendiri.

Bagi Mathias, perhimpunan 9 Julai 2011 menimbulkan tujuh persoalan untuk dijawab oleh Najib:

1) Mengapa para pakar "Strategi lautan biru" gagal menjangkakan dengan tepat apa akan berlaku dalam Bersih 2.0 dan membuat langkah awal?

2) Kenapa pasukan keselamatan kebangsaan gagal menjangka apa berlaku dalam Bersih 2.0 dan bila PM dan menteri kabinet ditaklimatkan tentang demonstrasi itu?

3) Kenapa kerajaan BN membenarkan agen provokasi Perkasa mengambilalih tugasnya dalam mengendalikan Bersih dan diikuti oleh Pemuda Umno yang tidak matang?

4) Mengapa Najib flip-flop dalam keputusannya membenarkan perhimpunan di stadium dan memberikan kebenaran kepada polis untuk bertindak sepenuhnya?

5) Apa yang menyebabkan agen propaganda BN merasa dengan menyekat seluruh ibu negara akan menyebabkan rakyat marah kepada pembangkang bukannya kerajaan BN?

6) Adakah penilaian dibuat terhadap kesan dari tindakan keras terhadap demonstrasi Bersih 2.0. Adakah ia berjaya mengekalkan penyokongnya atau menghalau keseluruhan 40 peratus pengundi atas pagar dari BN?

7) Adakah dikenalpasti objektif yang hendak dicapai dengan pendekatan kasar menghadapi Bersih dan bagaimana ia boleh menambahkan lagi sokongan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang?

Guna kekerasan bukti BN tak tahu demokrasi

Posted: 11 Jul 2011 07:32 AM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Cara pihak polis menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur 9 Julai lalu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak tahu makna demokrasi.

Tindakan BN itu disifatkan amat malang bagi sebuah negara yang mengaku sedang menuju negara maju tetapi para pemimpinnya tidak tahu menghargai suara rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) 3 PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Sabki Yusuf berkata, sebaliknya, ratusan ribu rakyat yang berhimpun secara aman bagi menyampaikan suara hati mereka agar kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil di negara kita dilayan dengan amat kasar.


(AJK PAS Pusat, Khalid Samad terpaksa menerima enam jahitan di kepala selepas ditembak dengan gas pemedih mata tepat ke kepalanya)

Pada hal, menurut beliau, apalah salahnya jika pihak polis mengendalikan perhimpunan itu dengan baik, menanganinya dengan tenang di setiap tempat perhimpunan diadakan?

"Ini tidak, atas arahan kerajaan BN, pihak polis memilih untuk bertempur dengan rakyat dengan melakukan pelbagai keganasan terhadap para pemimpin Bersih, Pakatan Rakyat dan para peserta perhimpunan itu," katanya ketika ditemui.

Tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pihak polis itu, katanya, jelas membuktikan kerajaan BN sudah ketinggalan zaman, walaupun para pemimpinnya lantang bersuara untuk membawa Malaysia ke arah negara maju.

"Tetapi dengan tindakan yang dilakukan itu, sesiapapun boleh mempersoalkan, mampukah para pemimpin BN membawa negara Malaysia kepada negara maju?

"Sedangkan hendak menangani perhimpunan aman yang diadakan oleh ratusan ribu rakyat pun gagal, jadi bagaimana para pemimpin BN hendak menjadikan negara kita sebagai negara maju?" katanya.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, katanya, jelas membuktikan kebangkitan rakyat untuk melakukan perubahan terhadap politik di tanah air.

Tujuan mereka berhimpun hanyalah untuk mendesak kerajaan BN melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita, setelah rakyat begitu muak dengan politik kotor yang diamalkan oleh kerajaan BN sejak sekian lama.

"Itu adalah suara rakyat. Bagi sebuah negara yang maju, suara rakyat amat dihargai oleh para pemimpinnya. Suara rakyat tidak akan disekat malah amat dihargai oleh para pemimpinnya bagi membawa negara ke arah yang lebih baik.

"Namun bagi para pemimpin BN, mereka begitu takut dengan suara rakyat, walaupun ia adalah untuk kebaikan. Mereka akan menghalang rakyat dari bersuara termasuk menerusi perhimpunan walaupun perhimpunan itu adalah perhimpunan aman," katanya.

Sikap kerajaan BN, katanya, amat berbeza berbanding Pakatan Rakyat dan kebangkitan rakyat menerima keberanian mereka menyertai perhimpunan itu jelas menunjukkan kerajaan BN semakin menuju kehancuran.

Kewangan Selangor RM200 juta dalam 6 bulan

Posted: 11 Jul 2011 07:30 AM PDT

Ismail Hashim


SHAH ALAM: Dewan Negeri Selangor hari ini mendapat penjelasan mengenai prestasi kewangan negeri dan cara pengurusannya yang memuaskan.

Paling memberangsangkan adalah peningkatan sumber kewangan negeri bertambah sebanyak RM200 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab soalan Adun Sekinchan, Ng Swee Lim berkata, beliau baharu sahaja menduduki Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negeri pada 5 Julai lalu.

Menurutnya, mesyuarat diberitahu tentang lembaran perimbangan kewangan negeri mengenai jumlah wang tunai dan pelaburan negeri berakhir pada 30 Jun 2011.

"Selangor mempunyai jumlah wang tunai sebanyak RM1100 juta berbanding 918 juta dalam tempoh itu tahun 2010 manakala pelaburan pula sebanyak RM557 juta pada 30 Jun 2011 berbanding RM668 juta 31 Disember 2010.

"Jumlah dua sumber disatukan itu menjadi RM1.76 ribu juta berbanding RM1.58 ribu juta dalam tempoh sama pada tahun 2010.

"Dalam masa enam bulan, Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan jumlah kewangan negeri sebanyak RM200 juta dan ini adalah keadaan kewangan antara terbaik sejak 28 tahun lalu," jelasnya.

Abdul Khalid juga berkata, bukan setakat jumlah meningkat namun kerajaan negeri berjaya menunjukkan bagaimana bentuk pengurusan kewangan terbaik yang Pakatan Rakyat laksanakan.

Menurutnya, program Mikro Kredit sebanyak RM50 juta yang diberikan kepada rakyat adalah hasil dari kutipan hutang dan jumlah itu dapat dikumpulkan di akaun Menteri Besar Yang Disatukan (MBI).

Beliau berkata, secara terperinci keadaan kewangan negeri adalah memuaskan.

Sementara itu, Abdul Khalid mengambil kesempatan itu mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan kerana berjaya mengurus dan mengutip hasil negeri dengan baik.

Paling utama, tegasnya, adalah bagaimana cara kerajaan negeri mengutip hasil dan direkodkan semuanya termasuk mereka yang tidak membayarnya juga dikenakan tindakan sewajarnya.

"Kerajaan negeri tidak memberikan 'hadiah penyapu' kepada yang gagal menjalankan tugas mereka sebaliknya Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan hadiah dalam bentuk teknologi kepada pegawainya.

"Maklumlah banyak fail yang perlu dijaga, dan sudah tentulah kita tidak begitu baik berbuat demikian kerana itu Kerajaan Pakatan Rakyat sekar ang menyimpan dalam bentuk digital.

"Sebanyak 2 juta rekod didigitalkan dan kos mendigitalkan ini juga adalah hasil kutipan hutang," tambahnya dengan penuh yakin.

Malah, beliau mempunyai data lengkap yang ditulis sendiri tentang punca, jumlah dan pengurusan kewangan yang dilakukan oleh setiap Exco.

Warga emas dapat kupon RM100

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan melancarkan Program Jom Shopping Bersama Warga Emas pada 15 Julai ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, setiap warga emas akan mendapat sekeping kupon bernilai RM100 seorang.

"Warga emas akan bersama-sama dengan Adun Pakatan Rakyat bagi merasai sama hasil negeri kita," tegasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai perkembangan terkini pentadbiran pasir di Selangor.

Minda pembangkang sudah bersih

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan minda Adun pembangkang terutamanya Kuala Kubu Bharu telah bersih mutakhir ini.

Abdul Khalid yang bertali leher kuning berkata, beliau menyambut baik persoalan mengenai tebing sungai rosak dan semua kerosakan hasil lombong pasir.

Namun, jelasnya, perkara itu telah lama berlaku, kenapa tidak dibangkitkan ketika BN memerintah Negeri Selangor.

Tetapi, ujar Abdul Khalid, jika Adun itu sudah berani membangkitkan persoalan itu bermakna mindanya sudah pun mula menjadi bersih.

Setiap kali Menteri Besar menyebutkan perkataan 'bersih', beliau mendapat tepukan meja dari kelab penyokongnya.

Bersih adalah merujuk kepada Himpunan Bersih 2.0 yang berlaku di ibu negara dengan jumlah kehadiran lebih 50 ribu peserta dengan ratusan ribu disekat dari masuk ke KL.

Turut serta mengikuti persidangan kali ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang berkerusi roda dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang berbalut kepala akibat cedera dalam Himpunan Bersih, baru-baru ini.

Bersih 2.0: Kekasaran polis punca utama kematian Baharuddin

Posted: 11 Jul 2011 07:27 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 hari mendakwa mereka menerima laporan bahawa punca utama kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad adalah disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Bersih 2.0 mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0 dan melepaskan semua tahanan dengan kadar segera.

(Anak kedua Baharudin, Nazrul, memeluk Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau mengunjungi rumah Baharudin semalam)

Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur jam 3 pagi semalam selepas menjalani postmortem.

"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar Kassim, anak saudara Allahyarham Baharudin ketika ditemui Harakahdaily di rumah Allahyarham.

Sehingga kini, laporan postmortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tandatanya keluarga kerana kenapa laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.

Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya.

Menurut Azhar , pakciknya itu bekas askar dan kini menjadi polis simpanan.

"Dia tiada ada asma, jantung atau kencing manis...yang ada darah tinggi sahaja sedikit...pendek kata dia sihatlah," kata Azhar.

"Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk.

"Terdapat bukti video yang jelas menunjukkan polis menembak gas pemedih mata masuk ke perkarangan Hospital Tung Shin serta contoh-contoh lain yang menunjukkan polis membelasah orang-orang awam yang tidak bersenjata.

"Beberapa individu termasuk Ahli Parlimen YB Khalid Samad juga cedera parah apabila terkena kanister gas pemedih mata yang dilepaskan ke arah orang ramai. Terdapat banyak contoh yang lain. Kita menyeru para peserta untuk memberikan bukti gambar dan video insiden-insiden sedemikian kepada kita," kata jawatankuasa Bersih 2.0.

Bersih 2.0 turut menyifatkan serangan bertubi-tubi terhadap para peserta demo aman Sabtu yang lalu sebagai mengejutkan.

"Kekejaman yang dilakukan dapat dilihat sendiri oleh warganegara Malaysia dan juga pemerhati antarabangsa. Ia telah menunjukkan tanpa raguan lagi bahawa pihak berkuasa telah gagal menjunjung dan memelihara perkara yang paling asas dalam hak asasi manusia seperti mana yang tercatat dalam Perlembagaan Negara," tambahnya.

Jawatankuasa tersebut turut mengutuk penafian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar tentang kekejaman dan kekerasan polis terhadap para peserta Bersih 2.0.

"Kenyataan daripada PM bahawa tiada 'pertembungan fizikal' antara polis dan para peserta yang berdemo secara aman sungguh bercanggah dengan bukti video yang berlambak, sama juga dengan kenyataan KPN yang menafikan tiada gas pemedih mata ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin.

Kita mengharapkan integriti yang lebih tinggi daripada orang-orang yang diamanah untuk menerajui negara dan menjaga keselamatan kita," selar jawatankuasa itu lagi.

Bersih 2.0 turut menuntut pihak berkuasa untuk melepas 6 tahanan dari Parti Sosialis Malaysia yang masih ditahan tanpa bicara, yang amat bercanggah dengan hak asasi manusia.

"Ahli Parlimen Dr Michael Jeyakumar baru-baru ini telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara dan kami amat bimbang tentang kesihatan dan keadaan mereka. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan kami menuntut mereka dibebaskan serta-merta tanpa syarat," seru Bersih 2.0.

Selain itu, Bersih 2.0 turut mengutuk tindakan paranoid dalam menahan individu-individu semata-mata mereka memakai baju Bersih seperti yang dilaporkan di Sabah semalam.

"Ia sememangnya tidak perlu untuk tindakan paranoid sedemikian, dan pihak berkuasa mesti menghentikan semua ini," tegasnya lagi, sambil menambah bahawa kekerasan sama sekali tidak akan melunturkan hasrat mereka untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

"Ia jelas dengan kehadiran melimpah pada 9 Julai yang lalu bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia bersetuju bahawa ada benda yang tidak kena dalam sistem pilihanraya kita," kata jawatankuasa Bersih 2.0.

"Komitmen kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya akan dan mesti mencerminkan keberanian dan perpaduan yang ditunjukkan pada 9 Julai dan semangat yang kita lihat akan terus menjadi inspirasi kita," katanya lagi.

Bersih 2.0 dianggotai Ambiga Sreevenasan (presiden), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato' Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato' Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

LAPORAN BERKAITAN

Tok Guru, doakan ayah saya mati syahid

Guan Eng mahu Ibrahim Ali, Ali Rustam hina Ambiga dihukum

Posted: 11 Jul 2011 07:26 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil tindakan tegas ke atas Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam kerana mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan dan perkauman ke atas ketua Bersih 2.0 Datuk S Ambiga.

"Selain itu, kami juga menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menunjukkan komitmen terhadap slogan 1 Malaysia dengan menuntut agar Ali Rustam digugurkan sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Kenyataan-kenyataan oleh Ali Rustam ternyata tidak bertanggungjawab dan tidak berpatutan dengan jawatannya," kata Setiausaha Agung DAP ini dalam satu kenyataan.

Lim yang juga Ketua Menteri Melaka berkata jika Hishammuddin dan Najib gagal untuk mengambil tindakan, ini bermakna mereka dan ahli-ahli Umno yang lain juga bersetuju dengan kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut.

"Diam tanpa setuju," katanya.

Dalam kes ini, kata beliau, bukan Umno sahaja tidak bertanggungjawab tetapi semua parti komponen BN lain yang berdiam diri juga tidak bertanggungjawab.

"Jika mereka tidak menyebut perkataan bantahan dan menuntut agar tindakan terhadap kenyataan berbau kebencian ini diambil terhadap rakyat Malaysia, ini bermakna mereka juga tidak relevan dan berkesan," katanya.

Lim menambah, semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan sudah bosan dengan penipuan dan perkauman yang tiada kesudahan oleh Umno dan konco-konconya.

"Kami menuntut agar tindakan diambil terhadap kenyataan berbau zalim, yang bukan sahaja menghina peribadi Datuk Ambiga tetapi juga satu penghinaan kepada semua rakyat Malaysia secara am dan masyarakat India khususnya," katanya lagi.

Lim memberitahu rakyat Malaysia biasa yang cintakan keamanan sudah bosan dan menangkis permintaan yang tidak bertamadun oleh Ibrahim dan Ali yang mahu taraf warganegara Ambiga dibatalkan.

"Kenyataan Ali Rustam yang berbunyi 'adalah lebih baik kehilangan seorang daripada kehilangan banyak nyawa' merupakan ancaman berselindung secara halus dan benar-benar tidak bertanggungjawab sebagai Ketua Menteri yang dipilih," katanya.

"Kenyataan biadap sedemikian masih belum disiasat dan bukan sahaja tidak wajar tetapi juga tidak berpelembagaan dengan bersifat perkauman dan menghasut," katanya lagi.

Bersih 2.0: Pemuda PAS buat laporan di Suhakam esok

Posted: 11 Jul 2011 07:22 AM PDT


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS pusat akan membuat satu laporan rasmi di Suhakam esok berhubung tindakan keras pihak berkuasa semasa menangani peserta Himpunan Bersih 2.0 kelmarin.

Ketuanya Nasrudin Hasan berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung kekerasan yang digunakan pihak berkuasa semasa perhimpunan itu.

"Isunya sekarang adalah mengenai keganasan pihak polis atau pihak keselamatan yang bertindakn ganas ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

"Dan, kita mempunyai banyak bukti sama ada melalui gambar atau rakaman video yang secara jelas memaparkan tindakan ganas polis ke atas peserta yang ketika itu dalam keadaan tidak bersenjata dan tidak mencetuskan provokasi tetapi mereka ditindas dengan begitu kasar dan kejam oleh polis," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, ekoran tindakan ganas pihak keselamatan itu ramai peserta perhimpunan mengalami kecedaraan fizikal akibat diserang.

"Ada yang cedera, ada juga yang terpaksa menerima jahitan dan ada yang ditangkap oleh polis tanpa sebarang rasa belas kasihan.

"Janganlah kerana mereka (polis) mempunyai meriam air, belantan dan gas pemedih mata mereka boleh bertindak dengan sesuka hati ke atas rakyat," katanya.

Menurut Nasrudin, tindakan pihak keselamatan itu bertentangan dengan amalan demokrasi negara yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

"Dalam amalan demokrasi negara rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan kita tidak faham mengapa polis bertindak ke atas peserta.

"Ini merupakan satu pencabulan dalam sistem demokrasi negara dan kami sekarang masih mengumpul bukti keganasan polis... kita setakat ini telah mengumpul banyak bukti," katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya berharap agar laporan yang akan dibuat kepada Suhakam esok akan dinilai dan tindakan selanjut harus diambil.

"Kita minta Suhakam siasat perkara ini dan bawa kepada pihak berkuasa dan kita juga mahu insiden keganasan ini disiasat segera dan anggota yang terlibat juga perlu disiasat," katanya.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Dua naib presiden PAS dakwa polis salah tahan mereka, mahu saman

Posted: 11 Jul 2011 07:21 AM PDT




Salahuddin (kiri) dan Mahfuz di ibu pejabat polis daerah Brickfields hari ini. — Foto oleh Jack Ooi


KUALA LUMPUR — Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub mahu menyaman polis, mendakwa mereka telah ditahan secara tidak sah di hab pengangkutan KL Sentral, Sabtu lalu ketika bergerak untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Mahfuz berkata KL Sentral bukan kawasan larangan yang dikenakan ke atas 91 individu termasuk mereka berdua.

"Kami melihat ini tahanan yang tidak sah, dari sudut perundangan dan bercanggah dengan perintah mahkamah.

"Dan, sebagaimana telah kami katakan tindakan (menahan kami) bertentangan dengan undang-undang dan malangnya apabila kami ditahan, polis hanya mengatakan sama ada kami sedar adanya perintah mahkamah melarang kami memasuki Kuala Lumpur, seolah-olah kami ditahan kerana bertindak bertentangan dengan perintah mahkamah," kata Mahfuz selepas membuat aduan di ibu pejabat polis daerah Brickfields di Sri Petaling hari ini.

MENYUSUL LAGI

Pegawai SPRM nafi cuba sembunyi kematian Sarbaini

Posted: 11 Jul 2011 07:18 AM PDT


KUALA LUMPUR — Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mahu menyembunyikan misteri kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed walaupun memberitahu kepada polis pegawai Kastam itu membunuh diri, kata inkues hari ini.

"Itu hanya tanggapan saya... saya sangka dia membunuh diri kerana kami melayan saksi dan suspek dengan baik," kata Penolong Penguasa SPRM Khalid Amir Meruphy Abdullah kepada mahkamah koroner.

Khalid, 38, berkata dia telah menghubungi ambulans dan polis sebaik sahaja menemui mayat Sarbaini pada 6 April di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, sambil memberitahu "seseorang telah terjatuh."

Tetapi perbualan rakaman Khalid kepada polis yang dimainkan semula di mahkamah hari ini mendedahkan dia berkata, "saya ingin melaporkan kes bunuh diri di pejabat kami di Jalan Cochrane."

Pegawai itu menegaskan dia tidak memberi apa-apa arahan tentang apa yang dikatakan kepada ambulans dan polis.

"Saya panik bila menghubungi ambulans... saya tidak ingat apa yang saya katakan," kata Khalid.

Khalid yang bekerja dengan SPRM sejak 2007, mengaku tiada bukti mengatakan Sarbaini membunuh diri.

Sarbaini ditemui mati di gelanggang badminton tingkat satu pejabat SPRM beberapa jam selepas dia ke sana untuk menarik balik pengakuan rasuh dan dipercayai telah terjatuh dari tingkap bilik pantri di tingkat tiga.

Peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh, mengatakan Khalid kelihatan tenang selepas menghubungi polis.

"Itu andaian anda... saya tidak pernah melihat bagaimana saya panik," jawab Khalid.

"Sekarang saya serius," tambahnya, menyebabkan orang ramai yang berada dalam mahkamah ketawa.

Pembantu pegawai perubatan Nor Mohd Azami Mansor yang bergegas ke lokasi Sarbaini ditemui mati berkata, tiada tanda mangsa masih bernafas ketika diperiksa dan mendapati kakinya patah dengan lebam di pergelangan tangan.

Apabila ditunjukkan gambar Sarbaini yang berlumuran darah, balunya Maziah Manap menangis teresak-esak di bahu seorang wanita lain.

Penolong Penguasa SPRM Henrita Anak Andrew Lenggie dalam keterangannya berkata, darah masih mengalir dari tubuh Sarbaini ketika dia melihat bapa lima anak itu terbaring di gelanggang badminton pada pukuk 10.20 pagi, 6 April lalu.

"Ini bermaksud ketika itu jantung masih berdegub," kata peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah sambil menambah, ia mungkin boleh menentukan masa kematian.

Laporan salah, MMC beri pakar patologi kes Kugan amaran

Posted: 11 Jul 2011 07:14 AM PDT


KUALA LUMPUR– Majlis Perubatan Malaysia (MMC) memberi amaran kepada pakar forensik yang didapati telah menyediakan laporan salah berhubung bedah siasatn ke atas A. Kugan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis dua tahun lalu.

MMC telah mendapati pakar forensik dari Hospital Serdang, Dr Abdul Karim Tajudin, yang melakukan bedah siasat pertama telah melanggar etika dan profesional perubatan.

Ini kerana bedah siasat kedua atas permintaan keluarga yang dilakukan doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Prashant N. Samberkar mendapati Kugan meninggal dunia akibat kesan trauma teruk akibat dipukul.

"Dr Abdul Karim yang melakukan bedah siasat pertama ke atas mayat Kugan yang diseksa sehingga mati oleh polis di Balai Polis Taipan pada 20 Januari 2009.

"Laporan bedah siasat itu menyatakan kematian Kugan berpunca daripada paru-paru berair, namun laporan bedah siasat kedua dilakukan Dr Prashant mendapati Kugan mati kerana mengalami kesan trauma teruk akibat dipukul," kata kenyatan peguam keluarga Kugan, N. Surendran yang juga Naib Presiden PKR.

Kenyataan itu memetik sedutan keputusan panel MMC.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Dr Lim Thiam Aun manakala keluarga Kugan diwakili oleh Surendran, M Manogaran dan Fadia Nadwa.

Kata kenyataan itu, MMC bersedia menerima bukti daripada pihak keluarga yang mengatakan Kugan telah dipukul sehingga meninggal dunia.

"Anda Dr Abdul Karim Tajudin telah mengabaikan tanggungjawab profesional anda ekoran gagal menyediakan satu laporan yang jujur sebagai ahli forensik kerajaan atau pakar patologi yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan bedah siasat ke atas si mati, seperti mana yang termaktub garis panduan yang ditetapkan.

"Dr Abdul Karim telah diberi amaran oleh Majlis Perubatan Malaysia. Kami percaya hukuman itu sudah cukup. Bagaimanapun kami menyambut baik daripada pihak keluarga Kugan yang boleh memberikan bukti bahawa dia dipukul dan diseksa sehingga mati oleh polis," kata sedutan keputusan itu.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 4 petang pada 16 Januari 2009.

Dia ditahan bersama enam individu lain.

Konstabel V. Navindran, 28, yang didakwa menyebabkan kematian Kugan telah dibebaskan daripada tuduhan itu.

Jambatan Pulau Pinang sesak akibat kebakaran kabel TNB

Posted: 11 Jul 2011 07:12 AM PDT

BERNAMA


GEORGETOWN: Ratusan kenderaan terkandas hampir dua jam di laluan masuk dan keluar di Jambatan Pulau Pinang dan sekitar bandar itu apabila kabel elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah jambatan itu terbakar petang tadi.

Jurucakap Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) berkata, kesesakan itu menjadi serius berikutan kebakaran kabel itu berlaku pada waktu puncak iaitu pada 5.30 petang tadi.

Bagaimanapun, katanya, keadaan lalu lintas beransur pulih pada 7 malam tadi selepas kerja pembaikan kabel dan memadam kebakaran selesai dijalankan.Sementara itu, Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, Abdul Aziz Jaafar, ketika dihubungi, mengesahkan kebakaran kabel simpanan di bawah jambatan itu pada 5.25 petang tadi.

Katanya, kebakaran kabel itu bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan elektrik di negeri itu kerana ia hanyalah kabel simpanan.

"Kebakaran kabel 132kv itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada 6.30 petang tadi dan ia hanya membabitkan kabel simpanan dan TNB sedang menjalankan siasatan mengenai punca kejadian," katanya.

Polis Punca Himpunan Bersih Bertukar Kecoh - Khalid Ibrahim

Posted: 11 Jul 2011 01:32 AM PDT

Ditulis oleh Salmiah Drahsin


SHAH ALAM : Polis di-Raja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya tidak menggunakan sebarang bentuk kekerasan dan bertindak ganas bagi meleraikan sebuah demonstrasi aman seperti yang berlaku semalam.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebaliknya berkata, polis seharusnya menggunakan budi bicara dan memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan supaya perhimpunan yang diadakan berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi memandangkan para demonstran tidak bersenjata mahupun mendatangkan bahaya.

Justeru Khalid mempersoalkan mengapa PDRM tidak berupaya mengawal sesebuah perhimpunan supaya ia berlangsung dengan aman sama seperti di negara maju lain yang turut mengamalkan sistem demokrasi.

"Perhimpunan Bersih hari ini (semalam) sepatutnya berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden tetapi kerana keegoaan polis yang bertindak melampaui batas telah menyebabkan perhimpunan ini berlaku sebaliknya.

"Ramai orang awam termasuk pemimpin parti politik yang mahukan keadilan dalam sistem pilihan raya di negara ini, telah cedera dan dirawat di hospital," ujar Khalid dalam satu kenyataan media.

Khalid seterusnya meminta pihak berkuasa supaya membebaskan individu yang ditangkap dengan segera.

Ini kerana katanya, para peserta demonstrasi hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi di mana rakyat bebas bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, ancaman dan kekerasan oleh pihak polis tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Beliau juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia sewaktu perhimpunan aman tersebut berlangsung.

Kuasa Eksekutif Melampau, SPR Keliru

Posted: 11 Jul 2011 01:09 AM PDT

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Kuasa eksekutif di negara ini kini dilihat telah melangkaui institusi di-Raja dalam bentuk mengawal keputusan suruhanjaya yang sepatutnya berperanan sebagai badan bebas.

Menurut Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, walaupun secara teori Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) misalnya terletak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, namun realiti menggambarkan agensi itu lebih cenderung kepada kerajaan.

"Masalah yang kita ada ialah eksekutif terlalu berkuasa sampai ketahap badan yang bukan di bawah eksekutif pun menganggap mereka berada di bawah kuasa eksekutif," jelasnya.

Beliau yang dihubungi Tv Selangor mengungkap kegagalan kerajaan menyelesaikan tuntutan gabungan Bersih 2.0 dengan kaedah politik mengakibatkan Tuanku Mizan Zainal Abidin terpaksa membuat kenyataan.

Jelasnya, Agong merupakan rujukan terakhir bagi mana-mana pihak jika setiap rundingan menemui jalan buntu.

"Apa yang berlaku ini adalah isu politik dan saya rasa sepatutnya ianya boleh diselesaikan di peringkat politik dahulu sebelum institusi Di Raja.

"Jadi bila Tuanku Mizan buat kenyataan, bagi saya itu menunjukkan kegagalan kita di peringkat politik untuk menyelesaikan," ujar Wan Saiful.

Gabungan Bersih 2.0 yang dianggotai oleh 62 badan bukan kerajaan mengemukakan lapan tuntutan kepada SPR bersabit penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Gesaan itu timbul setelah menemui pelbagai bukti menunjukkan suruhanjaya itu tidak bebas daripada pengaruh kerajaan memerintah demi mengekalkan kuasa.

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk menggunakan dakwat kekal, penghapusan undi pos, memanjangan tempoh berkempen dan mengekang gejala rasuah dan politik kotor.

Namun SPR berpendirian kesemua tuntutan tersebut tidak munasabah dan menolak sebarang perbincangan lanjut dengan gabungan itu.

Respon daripada kenyataan itu maka Bersih bernekad menganjurkan perhimpunan aman pada Sabtu untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang telah diperkenan baginda.

Namun niat murni itu disalah erti oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dan mengarahkan polis untuk menentang gabungan yang terdiri daripada golongan pertengahan dan rendah itu habis-habisan.

Hasilnya seramai 1,677 telah ditangkap dan puluhan penyokong turut cedera akibat kekasaran polis.

Menurut Wan Saiful, kedua-dua pihak harus dipersalahkan kerana memperlekeh perintah Tuanku Mizan yang mencadangkan supaya isu tuntutan itu dibawa ke meja rundingan.

Jelas beliau, setelah baginda bertitah maka Polis di-Raja Malaysia (PDRM) adalah entiti yang harus menggerakkan peranan mengemukakan cadangan berbincang dengan gabungan Bersih yang dipengerusikan Datuk S. Ambiga.

Namun apa yang berlaku, PDRM adalah agensi pertama yang menutup pintu rundingan menurut Wan Saiful.

Malah penganalisis itu menyifatkan kegagalan itu sebagai malang kepada sebuah negara yang berpegang kepada prinsip raja berpelembagaan.

"Ini masalah kita, institusi yang sepatutnya bebas sudah hilang akan kebebasan itu dan akhirnya semua orang ikut apa yang Perdana Menteri cakap dan tidak ada keberanian untuk menyatakan mereka badan bebas untuk mendengar tuntutan daripada masyarakat umum," katanya.

Sekarang Zaman Siber Tapi Najib Masih Guna Cara Lama Tipu Rakyat

Posted: 11 Jul 2011 01:01 AM PDT

Ditulis oleh Fauzan Uda Ahmad


SHAH ALAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menggunakan cara lama hanya untuk mengaburi mata rakyat Malaysia yang tinggal di kampung-kampung tanpa menyedari beliau hakikatnya memalukan diri sendiri ke seantero dunia.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, meskipun mengetahui akan keganasan yang dilakukan polis pada perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu sehingga mengakibatkan kecederaan dan seorang meninggal dunia, namun Najib masih berkeras menidakkan hal itu demi memastikan mereka yang tiada akses kepada media baru terus memihak kepada kerajaan.

Namun malang sekali, taktik Najib itu kata Khalid, tidak terpakai kepada masyarakat metropolitan yang jauh lebih ke depan sehingga menyebabkan reputasi Najib terus merudum.

"Dia ingat dia masih boleh gunakan taktik lama untuk menipu rakyat tapi rakyat sudah tahu. Hari ini berlaku, hari ini juga keluar berita di Youtube, Facebook, Malaysiakini, TV Selangor dan semua media alternatif apa sebenarnya yang berlaku .

"Dia tak sedar dia kini dalam penafian dan hidup dalam satu zaman yang sudah berlalu samalah dengan zaman BN, zaman media dikuasai,dimonopoli oleh kerajaan pun sudah berakhir. Sekarang ini dengan Twitter, Facebook, rakyat boleh dapat maklumat.Ini yang akan membuat kejatuhan mereka," kata Khalid kepada Tv Selangor.

Khalid antara puluhan yang turut mengalami kecederaan di kepala akibat tindakan ganas polis menembak gas pemedih mata secara semberono pada Sabtu lalu.

Dalam insiden yang berlaku di Stesen Sentral Kuala Lumpur, Ketua Pembangkang dan pengawal peribadi beliau turut dikejarkan ke hospital.

Manakala seorang ahli PAS disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hsopital Kuala Lumpur selepas pengsan di perkarangan KLCC akibat lari menyelamatkan diri dari tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

"Dia cukup tahu apa yang berlaku. Hakikatnya dia nak menafikan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi gambaran kepada rakyat Malaysia yang tidak mendapat berita daripada sumber alternatif seolah-olah semua yang hendak dilakukan oleh Bersih gagal, nak dapatkan orang ramai pun tak ramai hanya 6 ribu orang... selepas itu polis layan dengan baik macam kenduri kahwin dan sebagainya. Ini semua boleh dikatakan sebagai penafian tapi hakikatnya semua orang tahu apa yang sebenarnya yang berlaku,"kata Khalid.

Tambah beliau, tindakan polis menyembur air kimia dan melepaskan ledakan gas pemedih mata secara membabi buta jelas membuktikan keganasan polis ketika
menjalankan tugas.

"Keganasan itu memang berlaku kerana bila disembur dengan air kimia, ditembak dengan gas pemedih mata dan sebagainya itu semua adalah keganasan. Kalau dia tak percaya, waktu dia masuk ke pejabat, kita minta FRU sembur, nak tengok ganas tak ganasnya bila ditembak dengan gas dan sebagainya," selar Khalid kepada kenyataan sinis Najib yang memperlekehkan kecederaaan yang dialami termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Khalid, penipuan yang dilakukan oleh Najib adalah kaedah lama Umno-Barisan Nasional bagi menutup kelemahan kerajaan dan cuba memikat hati rakyat yang kurang berpengetahuan, sedangkan bagi orang ramai yang terdedah dengan teknologi terkini, fakta itu hanya di hujung jari mereka.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya berani dan bersedia memberi peluang kepada pihak pembangkang mengadakan himpunan secara sah dan berpermit bagi mendengar suara rakyat.

"Saya sebenarnya mengharapkan bahawa kerajaan ini akan mempunyai keberanian untuk membenarkan sekali saja satu himpunan diadakan secara halal, berpermit anjuran pihak yang selain daripda kerajaan dan Barisan Nasional. Buat satu himpunan dan kita tengok bagaimana sokongan rakyat terhadap program-program yang bukan daripada Barisan Nasional,"katanya.

Harapan Pejuang Keadilan

Posted: 11 Jul 2011 12:58 AM PDT

Abu Anas Luqman Al-Kelantani

Hati berdetik.. adakah aku mampu sampai kesana?

Atau tergantung tersungkup disua gas dan air



Takutkah aku?

Kepada siapa aku perlu takut sebenarnya

Pencipta atau yang dicipta?



Akhirnya hari itu aku lalui

Penuh sarat kepedihan terasa pada diri

Ingin diluahkan sahaja yang terbuku dihati

Kepada kawan-kawan dikongsi



Gambar-gambar kepahitan berlegar-legar dengan sendiri

Tanpa perlu aku catatkan notanya

Ianya mudah difahami bagi yang mengerti, yang memahami



Seluruh dunia membuka mata penuh mengerti

Bahawa kami mencari keadilan

Bukan ingin meruntuh seperti yang diwarkan



Tawarnya hati mereka menyambut kami

Rakyat marhaen yang merindui keadilan



Tidak apalah jika tidak mahu mendengar kami

Kami yakin pada Yang Maha Mendengar, Peguasa Arasy

Mendengar rintihan hamba-hambaNya yang dikasihi



Ucapan terima kasih kami akhiri

Pada penguasa yang begitu keras layanannya pada kami

Sanggup kami dilayan seperti kambing biri-biri

Membelasah kami hingga lupa diri

Walhal diri seorang hamba abdi seperti juga kami



Pesan kami pejuang keadilan

Tunggulah hari dimana anda pula akan dilayan seperti itu

Bahkan lebih teruk dari itu

Hari dimana penyesalan tiada lagi berguna

Itulah hari kemenangan kepada pejuang yang mencari keadilan



Abu Anas Luqman Al-Kelantani
11 Julai 2011

Pemuda Amal kecam akhbar ubah suai gambar

Posted: 11 Jul 2011 12:44 AM PDT

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOHi: Seorang Pemuda Amal PAS kawasan ini mengecam tindakan sebuah akhbar harian semalam yang menyiarkan gambarnya dengan imej "pemuda bertopeng" semasa perhimpunan Bersih Sabtu lalu yang telah diubah suai bagi menggambarkan keganasan.

(Gambar yang disiarkan oleh sebuah akhbar yang tidak membayangkan hal sebenarnya)

Sebaliknya beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ajak, berkata tangannya memegang bendera jalur gemilang bukannya pisau sebagaimana mahu digambarkan akhbar berkenaan.

Serentak dengan itu, beliau yang menganggap akhbar kawalan Umno itu berniat jahat dan menipu rakyat negara ini menggesa jurufoto yang menggambil gambarnya itu menyiarkan gambar yang sebenar atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Saya turun ke Kuala Lumpur sebagai anggota Amal PAS yang mengawal keselamatan dan saya berada di hadapan Maybank bersama puluhan ribu rakyat ketika itu dan saya berada di depan sekali. Antara pimpinan yang ada ialah Dr Mohamad Hatta Ramli.

"Pada masa itu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata. Bagi mengawal pemimpin, saya sempat mengutip kelongsong gas yang masih berasap itu lalu membalingnya ke atas rumput bukannya ke arah polis," ujarnya.

Tambahnya, gambar yang masih disiarkan akhbar berkenaan seolah-olah memegang pisau dan membaling batu sedangkan beliau memegang bendera jalur gemilang dan membaling kelongsong gas kosong ke tepi.

Katanya, anggota Amal diajar dengan disiplin yang tinggi dan jika beliau memiliki pisau sudah lama ditangkap polis kerana perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur terpaksa menempuh banyak sekatan polis.

(Gambar sebenar Ajak dengan bendera Malaysia yang dikatakan pisau oleh akhbar berkenaan)

"Malangnya gambar tersebut telah diubah suai dengan niat jahat, menipu dan mengaibkan peserta himpunan menuntut pembaikan proses pilihan raya itu.

"Kenapa keluar gambar saya seorang, mana puluhan ribu lagi rakyat yang berarak dari Jalan Pudu hingga ke Maybank itu? Saya cabar akhbar itu siarkan gambar sebenar," katanya.

Mengenai pemakaian topeng, beliau berkata itu bagi mengelakkan terhidu gas berasid yang boleh memudaratkan kerana beliau sudah bepengalaman acap kali menyertai demonstrasi.

Dalam pada itu beliau sedang berbincang dengan seorang peguam terkenal di sini bagi membawa kesnya itu ke mahkamah kerana beliau sudah mula menjadi tumpuan umum akibat gambar yang mengaibkannya disiarkan secara berleluasa.

Polis tangkap luar kawasan perintah mahkamah

Posted: 11 Jul 2011 12:39 AM PDT

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub masing-masing membuat laporan polis hari ini berhubung penahanan tanpa sebab ke atas mereka di Setesen Sentral Kuala Lumpur pada tengahari 9 Julai lalu.

Mahfuz yang hadir berbaju kuning bercetak "Bersih 2.0" bersama Salahudin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Sri Petaling kira-kira jam 10.40 pagi ini.

Kedua-duanya diiringi peguam masing-masing.

(Salahudin dan Mahfuz bersama peguam masing-masing menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat)

Bercakap kepada pemberita selepas itu, kedua-duanya sekali lagi mempersoal berhubung penangkapan tanpa dinyatakan alasan kepada mereka pada hari tersebut.

"Saya tanya apa alasan saya ditahan. Seorang anggota polis bertanya pula kepada saya adakah saya tak tahu hari ini (9 Julai) saya tidak dibenarkan masuk KL," kata Mahfuz.

"Saya kata, KL sentral tidak tidak termasuk dalam kawasan yang disebut dalam perintah larangan itu," tambahnya yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Tidak mengindahkan penjelasan itu, polis kemudiaan dakwanya terus menangkap mereka.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Mahfuz dan Salahudin antara pemimpin terawal Pakatan Rakyat ditahan dalam usaha pihak polis menggagalkan himpunan Bersih 2.0.

Mereka ditahan kira-kira jam 11.45pg ketika berada di Stesen Sentral KL.

Kedua-duanya juga adalah antara 91 nama yang dilarang mahkamah berada di beberapa kawasan di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

Bagaimanapun, dalam perintah larangan yang diperolehi polis dari mahkamah Majistret itu, KL Sentral adalah tidak termasuk.

"Saya tidak buat apa-apa kesalahan. Saya ditahan ketika berada di pintu masuk KL Sentral, bukan di mana-mana himpunan," katanya.

Selain tidak diberitahu alasan ditahan, mereka juga memberitahu, polis tidak membenarkan mereka menghubungi keluarga dan peguam.

Tindakan tersebut ujarnya bertentangan dengan seksyen 28 A (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Sehubungan itu, beliau dan Salahudin akan memfailkan saman sivil untuk menuntut gantirugi berhubung tangkapan itu.

"Kami akan failkan saman malu menuntut ganti rugi terhadap penangkapan saya, keresahan isteri, anak dan keluarga saya, serta memalukan imej saya kepada pengundi kawasan saya dan masyarakat antarabangsa,"jelasnya.

Tubuh suruhanjaya pembaikan SPR

Sementara itu, Salahudin ayub berkata, perjuangan menuntut reformasi pilihan raya akan diteruskan biarpun berdepan halangan dari pihak berkuasa.

Tuntutan itu akan ditumpukan kepada reformasi dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri dahulu selaku penyelia proses pilihan raya di negara ini.

"Perjuangan ini akan diteruskan oleh parti-parti politik. Kita akan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pembaikan SPR secepat mungkin,"katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Gugur kerakyatan Ambiga idea karut, kata Suaram

Posted: 11 Jul 2011 12:37 AM PDT


KUALA LUMPUR — Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sambil menyifatkan gesaan agar kerakyatan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai "mengarut".

Menurut sektariat Suaram Fadiah Nadwa Fikri, gesaan yang dibuat Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu menunjukkan pemimpin bersuara lantang itu ketinggalan zaman.

"Gesaan itu adalah sesuatu yang ketinggalan zaman, kalau kita duduk di zaman batu atau zaman gelap ia boleh (dilucutkan) tapi kita duduk dalam negara yang ada Perlembagaan.

"Ia adalah sesuatu yang mengarut untuk melucutkan kerakyatan," katanya pada sidang media di sini.

Tegas beliau, Himpunan Bersih 2.0 yang didakwa disertai 50,000 peserta pada kelmarin sama sekali tidak melanggar titah Yang di-Pertuan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Kita tidak melanggar perintah, kita nak berarak ke Stadium Merdeka tapi dihalang... kita bukan boleh terbang dan tiba-tiba jatuh di stadium.

"Kita tidak melanggar apa-apa perintah," katanya.

Ibrahim (gambar) menyifatkan peserta perhimpunan itu sebagai penderhaka kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau juga menggesa agar kerakyatan Ambiga dilucutkan.

"Ambiga sudah diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi akhirnya melawan titah Tuanku. Kalau di Thailand orang seperti ini sudah dihalau dan dilucutkan kerakyatannya," Ibrahim.

Tambah Fadiah Nadwa, pihaknya kini sedang mengumpul bukti keganasan polis yang menangani perhimpunan itu sebelum tindakan susulan diambil.

Beliau juga meminta mana-mana peserta yang dikasari polis agar memaklumkan perkara itu kepada Suaram.

Ditanya mengenai kematian peserta Himpunan Bersih 2.0 Allahyarham Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia selepas didakwa terkena air berasid dan gas pemedih mata, Fadiah Nadwa berkata maklumat masih lagi dikumpulkan.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan keluarga Baharuddin akan mengambil tindakan undang-undang.

Suaram: Peguam Perancis tiba di Malaysia, dedah skandal kapal selam

Posted: 11 Jul 2011 12:33 AM PDT


KUALA LUMPUR — Kedatangan peguam terkenal Perancis William Bourdon ke Malaysia pada minggu depan dijangka akan membongkarkan lebih banyak maklumat terkini mengenai pembelian dua kapal selam oleh Kementerian Pertahanan pada 2002.

Menurut Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Cynthia Gabriel, Bourdon yang mengurusan isu skandal kapal selam, yang difailkan pihaknya di Mahkamah Perancis, akan berada di Kuala Lumpur mulai 20 hingga 24 Julai.

Kata beliau, tiga program yang dianjurkan itu akan menjadi platform pendedahan lebih banyak maklumat mengenai skandal berprofil tinggi itu.

"Program ini penting kerana lebih banyak maklumat akan terbongkar dalam skandal ini dan penglibatan individu yang berprofil tinggi juga dijangka akan didedahkan.

"Ini adalah pendedahan penyelewengan yang berlaku dalam pembelian dua kapal selam oleh Kementerian Pertahanan dan maklumat terkini dan terperinci akan didedahkan William Bourdon nanti," katanya pada sidang media di sini.

Katanya, kempen yang dinamakan "Ops Scorpene" itu akan diadakan pada 21 hingga 23 Julai di mana Bourdon akan menghadiri semua program untuk memberi perkembangan terbaru.

"Skandal ini amat penting kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan rakyat perlu tahu siapa di belakang skandal ini.

"Justeru Suaram mengambil langkah mengadakan majlis makan malam pada 21 Julai ini di Pulau Pinang, 22 Julai di Selangor dan 23 Julai di Ipoh, Perak dan sebarang maklumat mengenai program ini boleh didapati di laman web kami," katanya.

Tambah beliau, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar dijangka menghadiri program yang pertama kali diadakan.

Menurut Cynthia, program itu diadakan dengan tujuan selain mendapatkan maklumat mengenai skandal itu adalah untuk mendapatkan dana bagi membiayai kos guaman Bourdon.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai penjualan tiket ia boleh didapati di pejabat Suaram dan sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Suara Inisiatif Sdn Bhd di akaun 0300 0065 200, Hong Leong Bank.

Sebelum ini Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya bersedia memberi keterangan di mahkamah berikutan siasatan Perancis berhubung dakwaan wujudnya gejala rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene yang bernilai ribuan juta ringgit oleh Malaysia.

Pihak berkuasa Perancis sedang menjalankan siasatan berhubung komisen yang dibayar dalam perjanjian pembelian kapal selam itu yang dianggarkan bernilai RM7.3 bilion antara kerajaan Malaysia dengan firma pertahanan yang berpangkalan di Perancis, DCNS.

Bayaran seumpama itu adalah tidak sah di bawah undang-undang Perancis.

Pada 2009 Suaram, mengemukakan saman ke atas DCNS di mahkamah di Paris dalam apa yang didakwa mereka sebagai rasuah aktif dan pasif dalam menjalankan urus niaga berdasarkan habuan dan menyalahgunakan aset koporat.

Lebih 100,000 warga Facebook desak Najib letak jawatan

Posted: 10 Jul 2011 10:59 PM PDT


KUALA LUMPUR — Lebih 100,000 pengguna laman sosial Facebook mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar meletakkan jawatan, hanya dua hari selepas Himpunan Bersih 2.0 diadakan.

Halaman itu, dipercayai dibentuk selepas ribuan orang membanjiri ibu negara Sabtu lalu, telah menarik sekurang-kurangnya lima pengguna untuk menekan butang "likes" setiap saat dan ia mencecah 100,000 kira-kira pukul 3.50 pagi tadi.

Sebaik sahaja menekankan butang "likes", ratusan pengguna menulis "Anda Dipecat" pada laman itu dengan merujuk perkara itu kepada perdana menteri keenam.

Halaman itu juga menyasarkan sejuta pengguna untuk menyokong dan menarik perhatian Najib.

Malah ada juga pengguna yang mencadangkan kepada sesiapa yang menekan butang "likes", menekan butang "unlikes" di laman Facebook Najib.

"Tik tok tik tok, bilangan semakin bertambah setiap saat," kata pengguna Iven Leh.

"Kita boleh lihat berapa ramai yang mahu beliau meletakkan jawatan. Beliau sepatutnya berfikir apa yang telah beliau lakukan kepada rakyat yang tidak bersalah dalam perhimpunan aman," katanya.

Kebanyakan yang menekan "likes" pada laman itu dipercayai penyokong Bersih 2.0 kerana ia turut memaparkan komen berbaur kemarahan terhadap pentadbiran Najib.

"Najib, saya menggesa anda untuk melihat laman rasmi penyokong Bersih 2.0. Tiada serangan fizikal? Tiada keganasan? Atau definisi keganasan anda adalah penghabusan, jadi apa yang berlaku ini tidak dipanggil keganasan?" kata pengunjung bernama Kenny Chong.

Najib telah menafikan polis telah melakukan kekerasan sementara Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan tindakan pihak berkuasa berjaya menangani perhimpunan itu.

Perdana menteri juga sempat menghabiskan masa melawat sekitar Kuala Lumpur, hanya 24 jam selepas pusat bandar menjadi pertempuran peserta Bersih 2.0 dengan pihak berkuasa.

Kedudukan Najib pada Mei tahun lalu adalah sebanyak 72 peratus, seolah-olah memberi gambaran sokongan semula kepada Barisan Nasional (BN) selepas melancarkan kempen 1 Malaysia bagi meraikan rakyat pelbagai kaum dalam negara.

Bagaimanapun jumlah itu jatuh sedikit pada Disember dengan 69 peratus selepas Putrajaya bertindak menghapuskan subsidi untuk keperluan harian seperti bahan api, gas dan gula.

Kematian Baharuddin umpama ‘nasib wanita Palestin diserang Israel’, dakwa Pemuda PAS

Posted: 10 Jul 2011 10:58 PM PDT


KUALA LUMPUR — Kecaman terhadap keganasan polis terhadap peserta Himpunan Bersih 2.0 berterusan dengan Dewan Pemuda PAS pusat hari ini menggesa Putrajaya melakukan satu siasatan berhubung insiden kelmarin.

Malah kata Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor, pihak juga mahu polis bertanggungjawab atas kematian peserta Himpunan Bersih 2.0 Allahyarham Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia selepas didakwa terkena air berasid dan gas pemedih mata.

Keluarga Baharuddin juga mahu polis bertanggungjawab atas kematiannya, malah PAS mengecam pendekatan pihak berkuasa menangani perhimpunan Bersih 2.0 semalam yang disifatkannya sebagai "ganas" sambil menegaskan, Putrajaya perlu bertangggungjawab ke atas kematian Baharuddin.

"Kami menuntut agar satu siasatan dibuat ke atas beberapa insiden keganasan pihak polis ketika cuba menghalang Himpunan Bersih 2.0 kelmarin, polis harus mengambil tanggungjwab diatas kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad serta menjelaskan dua rakaman klip video di YouTube yang jelas membuktikan keganasan anggota polis.

"Allahyarham Baharuddin Ahmad yang berada di KLCC meninggal dunia selepas terhidu asap bom pemedih mata yang ditembak oleh FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan). Bahan kimia 2-Chlorobenzalmalononitrile (CS) yang menjadi bahan utama bom berkenaan menjadi punca mangsa mengalami trauma, sesak nafas dan kegagalan fungsi jantung hingga menyebabkan kematiannya," kata Riduan dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan pasukan polis tidak harus dipersalahkan atas kematian Baharuddin.

Sambil berkata kematian Baharuddin adalah disebabkan masalah kesihatan, Najib mempertahankan cara polis menangani perhimpunan itu.

Tegas Riduan, kematian Baharuddin itu mengulangi kekejaman yang dilakukan tentera Israel di Tebing Barat yang menyebabkan kematian seorang wanita.

"Pada 31 Disember 2010, perkara yang sama berlaku kepada seorang wanita Palestin berumur 36 tahun, Jawaher Abu Rahmah yang mati selepas terhidu gas pemedih jenis yang sama digunakan oleh rejim Israel di Tebing Barat.

"Dr Mohammed Aideh, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Kementerian Kesihatan Palestin telah mengesahkan perkara itu walaupun Israel enggan bertanggungjawab. Kini perkara ini berlaku di Malaysia, dan polis mengulangi sikap Israel itu.

"Justeru kami berharap agar satu siasatan dibuat bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya," katanya.

Tambah Riduan, banyak bukti lain yang boleh diperoleh di Youtube membuktikan polis melakukan serangan ganas ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

"Kami juga mahu penjelasan polis berhubung klip video yang dirakamkan di Jalan Tunku Abdul Rahman yang memaparkan beberapa anggota polis berpakaian reman menumbuk, menendang, memijak serta memaki hamun seorang peserta Bersih 2.0 yang telah dibaringkan di atas jalan raya.

"Klip Video AlJazeera yang dirakamkan di Jalan Pudu pula menunjukkan keganasan anggota polis beruniform menembak gas pemedih mata dan kemudiannya meluru untuk menendang dan memukul peserta Bersih yang duduk," katanya.

Kata beliau, banyak lagi bukti lain keganasan polis boleh diperoleh di Youtube termasuk ketika cuba menghalang kumpulan yang disertai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Beberapa insiden lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawalnya yang di pukul polis hingga tercedera, begitu juga kepada seorang lelaki lain di Puduraya yang pecah kepala diserang polis serta banyak lagi bukti-bukti keganasan polis menuntut pertanggungjwaban Ketua Polis Negara dan organisasinya.

"Kami akan memastikan isu ini menjadi kes utama untuk pihak Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) serta disiasat secara lebih terperinci. Kami yakin rakyat mahukan jawapan di atas ketidakjujuran Ketua Polis Negara yang menutup mata dan menafikan keganasan ini," katanya.

Samad Said fenomena baru atau faktor ketiga politik Malaysia?

Posted: 10 Jul 2011 10:57 PM PDT


KUALA LUMPUR — Meskipun bukan seorang ahli politik aktif, kemunculan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dilihat telah membawa kewujudan paradigma baru dalam arena politik negara, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.

Seniman berusia 76 tahun ini menjadi perhatian selepas melahirkan puisi berjudul "Unggun Bersih" pada majlis pelancaran perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu , sekali gus membawa kepada soal siasat oleh pihak polis.

Puisi itu disusuli dengan "Peludah Warna" dan dua lagi bakal menyusul.

Samad (tengah, kemeja-T kuning) ketika berunding dengan pasukan polis di kawasan Stadium Merdeka, kelmarin. — Foto The Malaysian Insider
Melihat pada perkembangan sejak sebulan lalu, Ibrahim melihat Samad sebagai "ikon kepada mereka yang mencintai dan mereka yang melihat tentang kesedaran bru tuntutan semasa."

"Datuk Samad Said dilihat sebagai seorang seniman yang dikenali ramai, seorang yang rendah diri dan boleh diterima ramai," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ibrahim juga melihat kemunculan Samad akan membawa kelainan kepada penonjolan khususnya di kalangan orang Melayu.

Malah beliau juga telah mengetepikan bahawa perhimpunan Bersih 2.0 tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh pihak pembangkang.

"Samad Said telah membuktikan bahawa Bersih 2.0 tidak ada agenda politik, yang didakwa bertujuan memecahbelahkan orang Melayu," katanya sambil menambah, kemunculan Samad menggambarkan keperluan pengisian semangat kemerdekaan dan membebaskan minda rakyat dihidupkan semula.

"Malah Samad Said juga telah menunjukkan bahawa mewujudkan perpaduan, kita tidak memerlukan faktor politik semata-mata, tidak semestinya pendekatan politik tetapi kreativiti sudah pun cukup," katanya.

Selepas lima dekad Samad dilihat mengembalikan peranan seniman dalam mengartikulasikan tentang keperluan kebebasan.

"Saya lihat ini gelombang baru selepas era sebelum merdeka. Pada akhir 1990-an, misalnya 1998, kita pernah menyaksikan Datuk Shahnon Ahmad, tetapi beliau terlibat dalam politik secara langsung dan mengkritik kepimpinan Dr Mahathir (Mohamad, perdana menteri ketika itu).

"Tetapi Datuk Samad menggunakan pendekatan berbeza, yang telah diterima semua pihak dan kaum," kata Ibrahim lagi yang turut mengakui bahawa Samad boleh menjadi "pesaing" kepada gagasan 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Gagasan 1 Malaysia cuba mengetengahkan aspek perpaduan dan integrasi kaum.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula melihat kemunculan Samad menunjukkan pihak berkuasa mengetepikan suara-suara bukan politik dalam pembangunan negara.

"Apa yang kita lihat hari ini adalah disebabkan kegagalan kerajaan meraihkan suara wakil masyarakat madani. Selain Samad, aktivis peguam dan sosial, kemunculan Marina, anak Tun Dr Mahathir antara satu contoh," kata tokoh agama muda progresif ini.

Asri yang seringkali menjadi perhatian kedua-dua kepimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat meramalkan akan ada lebih ramai golongan yang bakal menjejak langkah Samad selepas ini.

"Saya meramalkan lebih ramai akan muncul jika kerajaan terus gagal meraihkan suara-suara macam ini," kata Asri lagi.

Satu mesej Twitter yang dipantau menunjukkan "anak Tun Mahathir kata tidak merasakan (suasan) tidak selamat dalam kehadiran Bersih. Orang ramai mengatakan helo, sangat berdisiplin dan bertamadun."

Dr Maszlee Malik, pemerhati sosiopolitik dari Universiti Islam Antarabangsa sealiran dengan pandangan kedua-dua personaliti itu.

Kata Maszlee, "saya melihat kemunculan, kehadiran Datuk Samad Said sebagai satu perkembangan dalam arena politik tanah air."

"Saya melihat ini sebagai faktor ketiga, masyarakat madani mula menyaksikan peranan orang seni dan karyawan," kata beliau yang tidak terperanjat dengan perkembangan terbaru ini.

"Saya tidak terperanjat dengan kehadirannya kerana di Malaysia, dengan banyak ruang (suara dan kebebasan) ditutup, kita akan dapat melihat lebih ramai seniman akan muncul... macam dulu kita ada Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah," kata Maszlee.

Bagaimanapun Maszlee tidak melihat Samad sebagai ikon, sebaliknya pendukung "politik warga" — fenomena baru dalam politik negara ini.

Samad, nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said lahir pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.

Selain anugerah Sasterawan Negara beliau juga dianugerahkan gelaran Anugerah Penulis Asia Tenggara 1979. Antara antologi puisinya ialah "Suara Dari Dinding Dewan" (2003), "Dirgahayu Dr Mahathir" dan "Rindu Ibu" (2004) serta "Ilham Di Tepi Tasik" (2006).

Sebelum perhimpunan Bersih 2.0, Samad juga pernah terlibat dalam Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Samad juga melancarkan program "Kembara Kasih Bahasa" ke seluruh negara.

Pada 5 Julai, beliau bersama beberapa pemimpin Bersih 2.0 menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara berhubung perhimpunan tuntutan pembaharuan pilihan raya bebas dan adil.

Setiausaha Agung Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) Hasni Abas juga melihat sebagai satu perkembangan baik selepas Sasterawan Negara selama ini "hanya menulis dalam menyuarakan pandangan beliau termasuk dalam PPSMI."

"Penyertaan beliau dalam isu semasa ini menunjukkan beliau mendapat respons positif daripada golongan muda dan pelbagai kaum," katanya.

"Datuk Samad sudah mula menerokai satu budaya bahawa golongan seniman bukan lagi golongan membisu yang disangkakan banyak pihak selama ini," kata Hasni.

Ketika ditanya ada kemungkinan Samad akan terlibat aktif dalam politik, Hasni menjelaskan, beliau tidak melihat kemungkinan itu.

Sebaliknya kata Hasni, "beliau tidak digunakan oleh mana-mana pihak. Beliau sertai sukarelawa. Beliau terlibat (dalam Bersih 2.0) dengan penuh sedar."

"Datuk Samad pernah memberitahu saya bahawa kebebasan di Malaysia sudah tidak diseimbang dengan pembangunan negara... saya melihat beliau seorang yang ada pendirian, akan mengatakan tidak jika tidak betul, tidak kira fahaman politik," katanya.

Bersih 2.0: Pemuda PAS gesa siasat polis ganas

Posted: 10 Jul 2011 10:43 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut agar satu siasatan dibuat kepada beberapa insiden keganasan pihak polis ketika cuba menghalang Himpunan Aman Bersih 2.0 9 Julai lepas.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, pihak polis harus mengambil tanggungjwab di atas kematian Allahyarham Baharudin Ahmad serta menjelaskan dua rakaman klip video dari Malaysiakini dan Al-Jazeera yang disebar di Youtube yang jelas membuktikan keganasan anggota polis.

Katanya, Allahyarham Baharudin Ahmad, 58, yang berada di KLCC meninggal dunia selepas terhidu asap bom pemedih mata yang ditembak oleh FRU.

Beliau menambah, bahan kimia 2-Chlorobenzalmalononitrile (CS) yang menjadi bahan utama bom berkenaan menjadi punca mangsa mengalami trauma, sesak nafas dan kegagalan fungsi jantung hingga menyebabkan kematiannya.

"31 Disember 2010 yang lalu, perkara yang sama berlaku kepada seorang wanita Palestin berumur 36 tahun, Jawaher Abu Rahmah yang mati selepas terhidu gas pemedih jenis yang sama digunakan oleh rejim Israel di Tebing Barat," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, Dr. Mohammed Aideh, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Kementerian Kesihatan Palestin telah mengesahkan perkara itu walaupun Israel enggan bertanggungjawab.

Kini, ujarnya perkara itu berlaku di Malaysia, dan polis mengulangi sikap Israel itu.

Justeru, katanya DPPP berharap agar satu siasatan dibuat bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya.

Pemuda PAS juga, ujarnya mahu penjelasan polis berhubung klip video Malaysiakini bertajuk Police beating yang dirakamkan di Jalan Tunku Abdul Rahman yang memaparkan beberapa anggota polis berpakaian reman menumbuk, menendang, memijak serta memaki hamun seorang peserta bersih yang telah dibaringkan diatas jalan raya. http://youtu.be/ZqCmcF7pZZI

Katanya, klip Video Al-Jazeera bertajuk [BERSIH 2011] RIOT BY POLICE - Live Footage From Al-Jazeera yang dirakamkan di Jalan Pudu pula menunjukkan keganasan anggota Polis beruniform menembak gas pemedih mata dan kemudiannya meluru untuk menendang dan memukul peserta Bersih yang duduk. http://youtu.be/uqegLG8wfxc

Beliau berkata, beberapa insiden lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawalnya yang dipukul polis hingga tercedera, begitu juga kepada seorang lelaki lain di Pudu yang pecah kepala diserang polis serta banyak lagi bukti-bukti keganasan polis menuntut pertanggungjwaban Ketua Polis Negara dan organisasinya.

"DPPP akan memastikan isu ini menjadi kes utama untuk pihak Suhakam serta disiasat secara lebih terperinci.

"DPPP yakin rakyat mahukan jawapan di atas ketidakjujuran Ketua Polis Negara yang menutup mata dan menafikan keganasan ini," ujarnya.

Kejam: PAS desak KPN, timbalan letak jawatan

Posted: 10 Jul 2011 10:36 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS hari ini mendesak Ketua Polis Negara dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar dan Datuk Khalid Abu Bakar supaya meletak jawatan ekoran kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta Bersih 2.0 kelmarin sehinggakan seorang terkorban dan puluhan lagi tercedera.

"PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini sehingga menyebabkan kematian seorang peserta Saudara Baharuddin Ahmad dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku.

"PAS mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Tindakan ganas dan melampau polis, kata Tuan Ibrahim langsung tidak mencerminkan slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul – jauhlah lagi terpesong dengan piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah.

"Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja.

"Kebiadaban anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta Bersih 2.0 ataupun media antarabangsa telah membuktikan kegagalan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat," tambah beliau.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai yang lalu dicemari oleh tindakan polis yang agresif dengan serangan gas pemedih mata bertubi-tubi dan water cannon barangkali atas arahan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional telah menyebakan seorang mangsa terkorban dan puluhan tercedera.

Mangsa terkorban ialah Allahyarham Baharudin Ahmad, 58. Antara yang cedera termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Di samping itu, polis juga telah menahan 1,667 orang sebelum melepaskan kesemuanya pada jam 9.30 malam hari Sabtu yang lalu.

Bagaikan spring yang melantun akibat ditekan, seramai 50,000 telah menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 walaupun bermacam-macam cara yang digunakan kerajaan Barisan Nasional untuk menghalangnya.

Angka tersebut mungkin lebih kerana ada kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya bergabung dengan kumpulan utama.

Ironisnya, ia merupakan satu senario yang kerajaan cuba nak elakkan dengan melancarkan pelbagai tangkapan awal dan satu serbuan terhadap segala yang berwarna kuning.

Tuduhan kerajaan dan polis bahawa Bersih 2.0 mungkin cuba membuat huru-hara di sekitar Kuala Lumpur juga dibuktikan palsu apabila ketegangan diwujudkan polis sendiri setelah menjadikan kawasan sekitar Kuala Lumpur bagaikan medan perang sebelum perhimpunan bermula.

"Dalam perhimpunan aman Bersih 2.0, langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini.

"Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada langsung sebab untuk mereka menggunakannya," bidas Tuan Ibrahim yang juga menyertai perhimpunan tersebut kelmarin.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kenyataan Ismail yang kononnya mendakwa bahawa polis hanya bertindak ganas sedemikian selepas diprovokasi para peserta Bersih 2.0.

Dengan pelbagai gambar dan video yang terpapar, Tuan Ibrahim berkata kenyataan songsang Ismail dan timbalannya sebaliknya hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan pembohongan mereka sendiri.

Kepada para peserta Bersih 2.0, beliau mengucapkan syabas bagi pihak PAS dan mengingatkan mereka kuasa menentukan masa depan negara sudah berada di tangan mereka sekarang.

"Andaikan 50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman Bersih 2.0 mereka kepada 10 seorang – maka 500,000 rakyat akan terasa – dengan 500,000 setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang – maka hasilnya 2.5 juta rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas.

"Dengan perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik licik Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka," terang beliau.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga mengulangi peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan mereka kepada pakatan pembangkang negara.

"Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di'offset'kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.

"8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa," terang beliau.

Pakatan Rakyat, katanya juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional.

"Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara," kata beliau.

PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau.

"Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini," tambahnya.

Polis buat Kuala Lumpur macam darurat tapi himpunan BERSIH 2.0 tetap berjaya

Posted: 10 Jul 2011 05:24 PM PDT

PASPB


Macam nak darurat kat K.Lumpur. Semua jalan masuk ditutup. Sekatan jalan raya berlaku disetiap pelusuk negera. Semua kedai-kedai diarahkan tutup.

Yang lawak tu, pihak polis menemui parang yang disembunyi di beberapa tempat di Bandar K.L dan yang peliknya ditemui oleh orang asli. Kelakar ajaib.

Kalu orang asli dah lama dibawak parang-parang baru tu wat menebas dihutan. Ditemui molokov Coctail yang diisi minyak petrol dalam botol mineral plastik dengan sumbu macam pelita minyak tanah empat hari sebelum 9 Julai. Ish-ish mungkin kemaren dah kecut botol tu dan kalau nak cucuh api… nak cari mampus.

Empunya diri dulu yg meletup. Mereka ingat psy-war zaman jepun boleh pakai lagi ke sekarang???

Ingat dah umum darurat. Kuala Lumpur bak diserang garuda dipagi Sabtu Kuala Lumpur. Sunyi. Kosong jalanan. Yang ada polis dan sekatan jalanraya.

Nampak macam perhimpunan Bersih 2.0 telah gagal. Mungkin rakyat takut dengan propaganda kerajaan Umno-BN. tetapi sebaliknya. Pukul 12.30 orang-ramai mula memenuhi Bandar KL seolah-olah semut yang keluar dari sarang.

Tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia yang inginkan keadilan dicelah-celah kezaliman Umno-BN. Tekanan dan sekatan pihak polis yang menjadi alat Umno-BN telah gagal.

Tahniah diucapkan kepada semua para peserta himpunan Bersih. Sebahagian gambar perhimpunan Bersih 2.0 yang berjalan aman. Ganguan polislah menjadi punca kucar kacir.

Presiden bersama orang-ramai dalam perarakan Bersih 2.0dari KLCC peserta berarak

dari Bukit bintang ke Pudu

Jalan Petaling ke Persimpangan PuduMereka bergabung di persimpangan dihadapan Maybank

hotel Angcana menjadi saksi samada puluhan ribu atau 6K lapuran KPN

lalu datanglah pengacau & penghuru-hara dgn menyembur air asid & gas pemedih mata pun ditembak.

Peserta diasak polis ke Hentian bas Pudu

manakala A.samad said dan peserta di halang untuk menyerah memorandum Stadium Merdeka

Tuan Guru Presiden sempat senyum bersama S/u beliau dalam tahanan polis. Sebahagian besar pimpinan ditangkap

Anwar Ibrahim tersadai dihospital akibat dipukulMat Sabu yang cedera dilanggar sengaja oleh kereta polis ketika menunggang motosikal

Meskipun ramai lagi yg terhalang. Yang sangkut diluar K.Lumpur. Di Masjid negara. Yang berterabur di masjid jami'. Yang lekat kat SOGO. Yang ditahan lebih 1,600 orang.

Apapun tahniah kepada peserta bersih. Anda berjaya dan Kezaliman gagal menghalang kebangkitan rakyat. termasuk himpunan bersih diluar negara.

Tiada porak-peranda, tiada bom molokov meletup, tiada keganasan dan tiada ancaman komunis. yang ada adalah provokasi pihak polis. menangkap tanpa mengira siapa.

Menembak gas pemedih mata, menyembur air asid yang menyebabkan seorang meninggal dunia dan dua orang dalam ICU. Ada yang cedera kena tembakan pihak polis dan ada yang cedera kerana dipukul polis. Merekalah sebenarnya pencetus huru-hara.

Ish kemana hulubaya Umno-BN? Mana PEKIDA, Pesilat UMNO maupun Patriot? PESAKA memang pergi bersiar-siar ke tasik titiwangsa. Ibrahim Ali bersungut beliau tidak hadir kerana dilarang isterinya. Yelah!!! Pejuang-pejuang perut dan dibawah perut.

Diharap cukuplah menjadi perkakas Umno & BN. Nak jadi jaguh pejuang Istana & Raja-raja, pingat datuk pun dah ditarik istana. Nak bertemu dengan pihak istana terhegeh-hegeh tidak dilayan.

Diharap golongan ini banyak-banyaklah bertaubat dan marilah Bersama-sama dengan perjuangan rakyat.

Tahniah. 9 Julai baru permulaan !!! - Ustaz Saiful Bahri

Tiada ulasan: