Khamis, 21 Julai 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Bersih: Lagi pemuda dedah jadi mangsa polis

Posted: 20 Jul 2011 07:46 AM PDT

BANDAR JENGKA, 20 Julai: Seorang lagi peserta himpunan Bersih 2.0 tampil mendakwa dikasari tidak kurang 20 orang anggota polis walaupun selepas bersurai.

Badrul Hisham Abdul Halim, 26, dari Felda Jengka 19 dekat sini, berkata beliau dibelasah ketika melalui tangga OCBC Bank dalam perjalanan ke stesen LRT untuk pulang.

"Saya menyertai perhimpunan Bersih di Pasar Seni bersama kira-kira 5,000 yang lain. Kira-kira pukul 4.30 petang perhimpunan bersurai setelah diarahkan polis dan saya berjalan mencari stesen LRT yang beroperasi untuk pulang ke Pahang," katanya ketika bercerita kepada Harakahdaily.

Tambahnya, semasa perjalanan pulang itu beliau memang memegang baju kuning Bersih di tangan dan sedar terpaksa melalui deretan polis di tepi jalan.

"Polis yang berada di tepi jalan telah memanggil saya lalu meminta baju berkenaan. Saya enggan menyerahkannya lalu mereka rentap dan rampas kemudian mereka mengkasari saya.


"Seingat saya polis bernama Azrin dan seorang lagi bernama Hafizul mengheret saya sambil mencengkam kolar baju. Kemudian mereka gari saya dan heret sejauh kira-kira 200 meter ke Dataran DBKL. Saya ingat betul pada masa itu tak kurang daripada 20 orang polis berseragam membelasah sambil memaki hamun saya sebagai samseng.

"Mereka pukul saya dengan berselindung di sebalik trak polis. Saya langsung tak melawan kerana digari dan mereka hanya berhenti apabila tiba di Dataran DBKL. Selepas berada di situ selama setengah jam, saya dinaikkan ke dalam trak dan dihantar ke Pulapol. Di situ baru gari dibuka dan dibebaskan sejam kemudian," ujarnya.

Badrul yang mengusahakan ladang bapanya sendiri, berkata pada ketika itulah baru dia sedar di sebelah mata kanannya lebam dan berdarah, kepala bengkak serta tulang betisnya amat sakit akibat disepak.

"Dari Pulapol saya kemudiannya polis hantar ke stesen LRT Dang Wangi untuk meneruskan perjalanan pulang ke Pahang," katanya.

Bagi Badrul, ini merupakan pengalaman pertama menyertai himpunan seperti itu dan tidak sangka sudah menjadi belasahan polis.

Katanya, beliau pergi kerana gambaran awalnya perhimpunan aman dan merasa tidak takut kerana selama ini mengganggap polis adalah sebagai pelindung dan pemelihara undang-undang.

"Tapi dengan layanan sebegitu saya terperanjat. Saya sanggup tampil jika ada yang mahu menyiasat. Saya juga akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dipetik dari sini

Ditahan Keranan BERSIH Dan Bukannya Komunis

Posted: 20 Jul 2011 07:43 AM PDT

Polis: PSM6 ditahan kerana 'peranan utama' dalam BERSIH

Satu afidavit yang difailkan oleh pihak polis mengesahkan bahawa enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan peranan mereka dalam BERSIH 2.0, dan bukannya kerana aktiviti yang berkaitan dengan komunisme.

Dalam sidang akhbar PSM di Kuala Lumpur hari ini, peguam Edmund
Bon (dua dari kanan) - yang mewakili PSM6 mendedahkan kandungan afidavit tersebut.

Afidavit itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam oleh penolong pengarah tahanan (D7B) di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat polis Bukit Aman, ACP Kamarul zaman Mamat.


Ia adalah jawapan kepada afidavit yang dikemukakan oleh ahli keluarga PSM6 untuk menyokong permohonan habeas corpus mereka, yang akan didengar pada hari Jumaat.

Dokumen tersebut dengan jelas menyatakan sebab-sebab penahanan enam aktivis PSM itu.


"...kerana saya percaya terdapat alasan-alasan bahawa pemohon pertama, pemohon kedua, pemohon ketiga, pemohon keempat,
pemohon kelima dan pemohon keenam terlibat sebagai penggerak kepada pertubuhan tidak berdaftar BERSIH yang telah menggerakkan gabungan kumpulan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) supaya orang ramai hadir Perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur pada 9hb Julai 2011," kata ACP Kamarul Zaman Mamat.

Afidavit Kamarul juga berkata perhimpunan itu harus dielakkan kerana ia akan menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam serta boleh mengakibatkan gangguan terhadap kehidupan harian masyarakat yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, sehingga ramai orang awam membuat laporan polis menyatakan kegusaran mereka.

Bagi menyokong dakwaannya itu, ACP Kamarul berkata, perhimpunan pertama Bersih pada November 2007 telah mengakibatkan huru-hara, kemusnahan harta benda dan memudaratkan ketenteraman awam.

Menteri de facto Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz
sebelum ini berkata enam aktivis PSM itu disyaki bertindak untuk memulihkan komunisme.

Bon berkata, afidavit itu membuktikan bahawa kenyataan Nazri adalah satu pembohongan.

"Semua ini adalah pembohongan kerana pihak polis sendiri tidak menyebut satu perkataan pun tentang komunisme, Chin Peng atau semua perkara mengenainya (dalam afidavit tersebut)," kata peguam tersebut.

Bon mendakwa, kerajaan menggunakan BERSIH 2.0 sebagai sebab yang mudah dan enam tahanan PSM itu sebagai kambing-hitam, hanya untuk mewujudkan keadaan seolah-olah darurat, untuk tidak menggalakkan orang ramai menyertai (perhimpunan) 9 Julai."

Dipetik dari Malaysiakini

Gempar.... Allahyarham Ahmad Sarbaini Ditolak Hingga Jatuh... Siapa Yang Tolak?

Posted: 20 Jul 2011 06:04 AM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Peguam keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menegaskan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan baru dibuat editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu 6 April lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Awtar Singh berkata, pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini membunuh diri seperti yang didakwa.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.


"Kita akan buat satu laporan polis yang baru berhubung pendedahan dalam blog Raja Petra Kamaruddin, mana mungkin Ahmad Sarbaini bunuh diri... mungkin dia ditolak dari tingkap.

"Mungkin pada inkues nanti kita akan minta untuk sekali lagi ke bangunan (SPRM) untuk kaji dan lakukan semula tentang apa yang berlaku... kita memang sudah jangka Ahmad Sarbaini tidak mungkin bunuh diri.

"Kita akan buat laporan polis dengan segera, kita mahu polis siasat semula perkara ini sebab mustahil Ahmad Sarbaini boleh jatuh sendiri, saya tidak kata dia dibunuh tapi mungkin berlaku kecuaian," kata Awtar.

Inkues Sarbaini telah bermula pada 4 Julai lalu dan ramai saksi termasuk ahli keluarga Sarbaini telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Tegas Awtar, pihaknya telah mengesyaki dua individu yang didakwa beliau terlibat dalam kematian Sarbaini..

"Kita juga sejak dari awal sudah mengesyaki dua suspek yang terlibat dalam perkara ini (kematian Sarbaini).

"Sebab, kalau dari segi kecederaan yang dialami (Sarbaini) seperti ada sesuatu yang berlaku, apa sahaja boleh berlaku," tambah Awtar.

Raja Petra dalam entri terbaru dalam blognya berkata Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

"Di sana, Sarbaini telah 'didera' secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

"Mohd Fauzi juga mengatakan 'orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain', terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

"Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia," dakwa beliau.

Sarbaini sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan menerima rasuah, namun bertindak mengubah keterangan yang diberikan itu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian, Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.

Baca seterusnya disini

Ku Li : Kerajaan Wajar Timbang Tuntutan Bersih 2.0

Posted: 20 Jul 2011 05:19 AM PDT

SHAH ALAM 20 JULAI : Tokoh Umno Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi "melawan arus" pendirian kepimpinan Umno, apabila menzahirkan sokongannya terhadap tuntutan Bersih 2.0 mahukan pilihanraya adil dan telus.

Bekas Menteri Kewangan itu menyifatkan desakan gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu sebagai sesuatu yang harus diberi pertimbangan wajar demi menyuburkan demokrasi.

"Sebagai seorang demokrat yang melihat kepada keadaan ini dan UMNO sendiri juga menjanjikan supaya demokrasi dipertahankan dalam negara kita, wajar kita timbang semua tuntutan yang dibuat (oleh Bersih)," kata Tengku Razaleigh kepada pemberita.


Pendirian Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu dijangka menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno, khususnya di peringkat Majlis Tertinggi parti.

Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno mengisyhtiarkan Bersih sebuah pertubuhan haram.

Lebih 1,600 orang yang menyertai perhimpunan aman itu pada 9 Julai lalu ditangkap manakala ribuan lagi ditembak dengan gas pemedih mata dan air berkimia.

Ku Li berkata lapan tuntutan Bersih yang termasuk kempen minima pilihanraya selama 21 hari bukanlah keterlaluan.

"Tujuan (Bersih) supaya perjalanan pilihan raya dilakukan secara adil dan bersih, terbuka, supaya rakyat turun mengundi mana-mana calon pilihan mereka, dapat berbuat demikian tanpa ugutan, tanpa sebarang perasaan tak puas hati selepas itu," kata beliau.

"Tuntutan yang dibuat oleh mereka ini…ialah supaya kempen pilihan raya dilanjutkan sedikit, bukan 7 hari. kalau 7-8 hari tak sempat orang-orang nak berkempen.

"Saya boleh menerima pendapat ini. Misalnya kalau kita datang dari Kelantan nak tolong kempen di Sabah ataupun di pedalaman Sarawak, tak sempat nak balik, apatah lagi perjalanan sukar ke tempat-tempat yang dihajati untuk melawat," tambah beliau yang juga bekas naib presiden Umno.

"Jadi untuk berlaku adil supaya rakyat yang berada di kawasan seumpama itu mendengar penerangan daripada pihak yang menawar khidmat dalam pilihan raya berkesempatan mendengar penerangan penerangan mereka dengan memberi masa yang lebih lanjut. Kalau 7 hari tak sempat, macam mana nak kata adil?," ujar beliau.

Ku Li berkata pemerintah harus mengakui kekangan-kekangan yang dihadapi oleh parti pembangkang ketika pilihanraya.

"Mereka (pembangkang) tidak berhak bercakap menerusi TV, radio. Sebab itu mereka buat juga tuntutan semua pihak dibenar masa yang sama untuk menyampai pandangan dan pendapatan mereka mengenai sesuatu hal kepada rakyat menerusi TV, media masa yang dikawal oleh kerajaan," jelas beliau.

"Dulu zaman Tengku dulu, samada pemerintah ataupun parti lawan, bergantung kepada jumlah kerusi yang kita bertanding dan jumlah undi yang diperolehi sebelum ini, jadi kita diberi masa untuk bercakap," tambahnya. .

Ku Li berkata peredaran masa dan perubahan teknoloji memerlukan Umno-Barisan Nasional lebih peka kepada realiti politik semasa.

Beliau berkata tindakan menafikan parti pembangkang ruang di media arus perdana akan hanya memakan diri pemerintah.

"Dulu zaman Tunku Abdul Rahman, samada pemerintah ataupun parti lawan, bergantung kepada jumlah kerusi yang kita bertanding dan jumlah undi yang diperolehi sebelum ini, kita diberi masa untuk bercakap," di dalam media, kata beliau.

"Saya tak boleh cari sebab mengapa (pembangkang) tak boleh dibenarkan sekarang, sebab kalau tak dibenar pun mereka boleh guna internet, emel, facebook macam-macam," kata Ku Li.

"Keadaan sudah berubah. Namun untuk nak berlaku adil kepada semua pihak, saya rasa elok diberi layanan yang sama kepada semua pihak yang menawar diri untuk bertanding dalam pilihan raya," tegas beliau.

Dipetik dari tvs

Kewibawaan Pasukan Polis

Posted: 20 Jul 2011 04:25 AM PDT

Sesebuah negara perlu mempunyai pasukan polis yang kuat. Polis memikul tanggungjawab yang amat tinggi, memastikan keamanan sesebuah negara dan masyarakat, melindungi rakyat dan memerangi penjenayah.

Sudah tentu polis terutama pegawai di peringkat tinggi mengikuti kursus undang-undang dan perundangan untuk menjalankan tugas pemeliharaan kedaulatan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kita mahu pasukan polis adalah satu pasukan yang cekap, kuat dan beramanah. Mereka perlu dilatih samada mencapai kecekapan mental dan fizikal yang maksima. Sudah tentu latihan-latihan untuk membina fizikal yang tampan, kuat, gagah dan berhemah perlu ada kepada setiap anggota polis. Sebagai rakyat kita amat berbangga melihat polis yang segak, tampan dan berdisiplin.


Rakyat akan lebih berbangga dan melihat polis sebagai rakan pelindung kepada keselamatan dan keamanan mereka, sebaliknya penjenayah pula melihat anggota polis yang menakutkan mereka. Oleh itu anggota polis dan pasukannya mesti hebat, kuat, berhemah, bergaya dan berprestasi.

Apa yang berlaku di Malaysia, pasukan polis yang kuat disalahgunakan oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional untuk melawan rakyat yang bertangan kosong di samping kerja-kerja memerangi penjenayah. Himpunan BERSIH 2.0 dapat dilihat kekuatan fizikal pasukan polis digunakan untuk melawan rakyat yang tidak bersenjata.

Rakyat yang tidak suka kepada Barisan Nasional dianggap sebagai musuh negara. Mereka (pasukan polis) didoktrin untuk memerangi rakyat (pembayar cukai) yang tidak suka atau sealiran dengan parti pemerintah. Pasukan polis boleh menafikan ini, tetapi sebahagian rakyat melihat keadaan pasukan polis digunakan untuk memerangi mereka yang tidak sealiran dengan parti-parti Barisan Nasional.

Tugas menjaga keselamatan rakyat sudah mula bertukar kepada menjaga keselamatan parti pemerintah. Inilah yang berlaku kepada pasukan polis dalam dunia ketiga sebelum demokrasi sebenar dapat dikecap. Thailand, Indonesia, Filipina sudah mula melepasi "period" pasukan keselamatan menjaga parti pemerintah. Hanyalah tingggal Malaysia dan Burma di rantau ini yang masih menggunakan pasukan polis untuk melindungi parti pemerintah.

Saya yakin pasukan polis bersedia untuk merubah keadaan ini, supaya mereka dapat dilihat menjadi pelindung kepada perlembagaan dan rakyat jelata, daripada melindungi parti pemerintah. Saya yakin pasukan polis Malaysia juga berwibawa dan berintergriti untuk melakukan perubahan ini. Apabila saya berada di lokap Balai Polis Jinjang, saya amat berasa amat malu di mana bebrapa orang-orang tua yang berumur 60 hingga 70 tahun dibawa ke lokap semata-mata orang-orang tua ini disyaki menyertai Himpunan BERSIH 2.0. Apakah pasukan polis yang gagah perkasa ini, tugas mereka untuk memerangi orang-orang tua seperti itu? Kekuatan pasukan keselamatan sepatutnya digunakan untuk melindungi rakyat, menentang penjenayah? Sebaliknya digunakan untuk melawan rakyat.

Sayang, arahan ALLAH… " hendaklah kamu menyediakan segala bentuk kekuatan, termasuk kuda kuat yang ditambat, untuk menggerunkan musuh ALLAH dan musuh kamu" , perintah ALLAH itu dilihat dilaksanakan di negara-negara barat, di mana bila berlaku himpunan aman seperti di England, Perancis, Belanda, Itali, German, Switzland, Autralia dan lain-lain lagi, pasukan polis melindungi himpunan dan perarakan rakyat sebaliknya mereka menyediakan kekuatan untuk membantu Israel menyerang Iraq, menyerang Afganistan dan menyerang Vietnam. Apa yang berlaku di negara orang Islam, pasukan keselamatan memerangi rakyat dan rakyat yang tidak sealiran dengan pemerintah dianggap musuh oleh pasukan keselamatan.

Rakyat menjadi gerun kepada pasukan keselamatan khususnya polis, sebaliknya musuh ALLAH dan musuh negara pula tidak gerun kepada pasukan keselamatan kita.

Sampai bila keadaan ini akan berubah, dan rakyat menunggu perubahan ini…..

SUMBER:WARTAUTARA

Tiada ulasan: