Sabtu, 16 Julai 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Surat terbuka untuk Pemuda Umno

Posted: 15 Jul 2011 06:54 PM PDT

Salam buat Pergerakan Pemuda Umno Malaysia agar kita semua dirahmati Allah SWT,

Baru-baru ini beberapa ahli Pergerakan Pemuda Umno turut juga mengadakan demontrasi jalanan dengan 'memakai baju merah berjenama 'Patriot' yang khabarnya mahu turut juga berarak berhimpun dari Jalan Bukit Bintang,Kuala Lumpur menuju ke Stadium Merdeka. Khabarnya juga perhimpunan kumpulan 'Patriot' dikepalai Khairy Jamaluddin dan rakan-rakan dalam pemuda.

Apapun niat atau motif kumpulan ini bukan tujuan saya mahu memperkatakannya. Pada saya; baik kumpulan 'Bersih', 'Patriot' atau pertubuhan berdaftar 'Perkasa' mahu menyertai rali rakyat di jalanan bagi menyuarakan suara hati secara aman dengan berhemah dan bijaksana tidak menjadi masalah; selagi tidak melanggari perlembagaan dan undang-undang negara.

Biarlah masa dan waktu yang akan menghakimi kebenarannya dan apapun yang berlaku tetap menjadi lakaran sejarah tanah air.

Sebagai seorang warganegara, anak kelahiran Persekutuan Tanah Melayu yang membesar bersama suka duka kehidupan era sebelum merdeka, zaman darurat dan pelbagai bentuk cabaran kehidupan insani maka saya dan seluruh anak-anak Malaysia seangkatan zaman saya hanya sering memikirkan dan melaksanakan kewajipan menuntut ilmu dan berjaya dalam pelajaran bagi merubah nasib diri,keluarga dan bangsa.


Rata-ratanya kami kebanyakannya anak-anak kaum buruh, petani, penoreh getah, penarik beca, pesawah, nelayan,anggota keselamatan awam dan sebagainya. Kami bukan anak Perdana Menteri. Kami bukan anak menteri atau ahli parlimen. Kami bukan anak golongan bangsawan atau hartawan. Kami bukan anak birokrat atau teknorat ataupun daripada golongan kelas menengah Melayu.

Kami tidak seperti kudrat anak-anak muda sekarang; yang mana sekurang-kurangnya mereka anak kepada ahli perniagaan, anak kepada pesara guru siswazah atau anak kepada anak pesara pegawai daerah.

Saudara-saudara sekalian,

Sebagai pemerhati dan penganalisis persekitaran yang kreatif dan kritis; tidak dapat dinafikan rasa sensitiviti hadir dalam diri dengan penuh keinsafan. Apatah lagi generasi zaman saya; membaca pelbagai bahan yang positif banyak menyuburkan minda.

Sementelahan pula kecenderungan membaca hanyalah antara satu pengisian berguna di samping hiburan bermakna. Membaca melahirkan diri kita terbuka minda dan anti kejumudan.

Persoalannya; adakah saudara-saudara sedar tahap minat membaca para 'pemuda' Melayu/lslam/Bumiputera ketika ini?

Adakah Pergerakan Pemuda Umno ada menubuhkan pasukan penyelidik bagi mengkaji dan mengenal pasti aras membaca dan faktor-faktor yang berhubung kait dengan faktor menarik dan faktor menolak sikap membaca anak-anak muda kini?

Dan alangkah moleknya hasil penyelidikan ini dapat dibahaskan dalam perhimpunan agung parti saudara secara cendekia dan profesional.

Walaupun saya tidak dapat mengimpikan pemimpin pergerakan ini seperti zaman Syed Jaafar Albar yang digelar Singa Umno atau Harun ldris (Datuk) namun cukuplah sekadar masih ada lagi para pemimpin pergerakan ini yang meletakkan daya keintelektualan dalam kepemimpinannya.

Sebenarnya orang-orang Melayu masih berdiri di atas tanah airnya sendiri di atas permukaan tanah yang mendap.lngatlah, orang-orang Melayu baru berdiri di atas kejayaan minimum generasi pertama .

Adalah amat malang kini generasi kedua atau ketiga yang sepatutnya lebih berjaya dan kukuh dirinya tetapi ramai yang terlibat dalam penagihan dan pengedaran dadah, pelacuran, vandalisme, mania hiburan, juvana, pengangguran dan pelbagai gejala negatif. Apakah ini bukan isu utama untuk dibahaskan dalam pergerakan atau mesyuarat agung tahunan?

Saya juga mendambakan agar pergerakan ini menubuhkan team penyelidik untuk membongkar kembali statistik tanah-tanah, hartanah, tanah-tanah simpanan Melayu/Bumiputera yang tinggal berbaki kini.

Tidak salah jika membentangkan perangkaan perbandingan dengan milik bukan Melayu. Begitu juga kajian statistik terkini golongan profesional Melayu (kerana yang terdahulu telah meninggal dunia dan bersara) dalam bidang perubatan, kejuteraan, perakaunan, guamam, teknologi dan seumpamanya.

Buatlah perbandingan dengan statistik pencapaian bukan Melayu agar orang Melayu tidak leka, celik mata dan buka minda; hasilnya kelak mudah-mudahan ada kesedaran dan daya saing.

Kajian yang menyentuh hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu berlandaskan faktor peratusan penduduk wajar dibuat dan ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia. Begitu juga perangkaan berhubung dengan pemilikan premis-premis kedai dan wisma/bangunan di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Muar dan sebagainya.

Sebenarnya banyak tugas dan tanggungjawab yang mendepani pergerakan ini. Tidak salah, jika pergerakan saudara-saudara bekerjasama dengan tenaga pemikir dan penyelidik di IPTA/IPTS tanah air kita yang kini rata-ratanya kini ramai yang memiliki PhD dan telah bergelar Profesor, Profesor Madya dan sebaginya.

Dalam erti kata lain, komitmen beginilah yang masyarakat mahukan. Bahkan bukan setakat Pergerakan Pemuda Umno yang masyarakat dambakan tetapi termasuk parti-parti lain seperti PAS, Pesaka Bumiputera dan NGO seperti Perkasa dan lain-lainnya.

Justeru dalam ayat lain, buat apalah saudara-saudara mahu terikut-ikut politiking jalanan tanpa hala tuju seandainya tugas dan tanggungjawab hakiki terabai dan terlepas pandang.

Pandangan saya bersandarkan Pergerakan Pemuda Umno ada sejarah panjangnya yang tersendiri dan turut memainkan peranan lampau dalam pengisian kemerdekaan negara. Usahlah umpama tin kosong; tetapi biarlah diam-diam umpama diam ubi tetapi berisi,berhasil dan bernilai pada zaman ini.

Dr Rajiee Hadi
Penulis adalah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur


Dipetik dari Free Malaysiakini

Tiada Perhimpunan BERSIH Pada 24 Julai Di Shah Alam

Posted: 15 Jul 2011 06:20 PM PDT

KUALA SELANGOR, 15 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tiada perhimpunan khusus berkenaan BERSIH 2.0 akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, tetapi hanya majlis pelancaran program dan logo "SelangorKu" diadakan di stdaium berkenaan pada 24 Julai ini.

Beliau berkata program itu akan dihadiri oleh pemimpin dan wakil parti PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), pemimpin masyarakat serta orang awam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat PAS Selangor yang disuarakan oleh Ketua Penerangan PAS negeri Khalid Abdul Samad agar satu perhimpunan besar-besaran untuk menjelaskan gerakan BERSIH diadakan Stadium Malawati.


Abdul Khalid berkata demikian selepas melancarkan "Program Jom Shopping di Tesco Kuala Selangor", di sini di mana kupon membeli belah bernilai RM100 diberikan kepada warga emas Selangor berusia 60 tahun ke atas sebagai sumbangan terus kerajaan kepada rakyat.

Beliau tidak mengulas lanjut mengenai konsep 'SelangorKu' tetapi berkata ia mengenai peranan rakyat dan kerajaan dalam pembangunan negeri dan pengagihan hasil kekayaan Selangor.

Mengenai program 'Jom Shopping' itu, Abdul Khalid berkata program itu dibiayai oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, yang terlibat dalam industri perlombongan pasir.

Peruntukan awal ialah RM5 juta dan jika tidak mencukupi Kumpulan Semesta akan menambah RM5 juta lagi bagi menampung perbelanjaan program itu untuk tahun ini, katanya.

-- BERNAMA

Cubaan fitnah Ahli Parlimen Titiwangsa

Posted: 15 Jul 2011 05:03 PM PDT

Pada 15 Julai 2011 Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Titiwangsa telah menerima beberapa panggilan telefon memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kain rentang (banner) berkaitan Ahli Parlimen Titiwangsa YB Dr. Lo' Lo' Binti Hj Ghazali telah terpasang di dua lokasi iaitu di persimpangan Jalan Raja Abdullah dan Jalan Sultan Ismail manakala satu lagi di jejantas Jalan Tun Razak berhadapan Pusat Darah Negara.

Ekoran maklumat tersebut, dua pegawai PKWR dan pemuda Titiwangsa telah ke lokasi dan mendapati maklumat tersebut adalah benar dan kain rentang tersebut masih ada. Kain rentang tersebut mempunyai gambar Ahli Parlimen Titiwangsa dan ucapan yang kononnya dikeluarkan oleh beliau. Kain rentang tersebut ditujukan kepada penduduk Kg. Bharu berkaitan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu. Kandungan ucapannya seperti berikut :

"Saya memohon maaf kepada penduduk Kg. Baru terhadap penentangan saya ke atas Perbadanan Pembangunan Kg. Baru, saya sedar Perbadangan Kg. Baru dapat meyelesaikan hubungan manusia dengan Allah dan sesame manusia" – Dr. Lo' Lo'.


DPPK Titiwangsa ingin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Titiwangsa tidak pernah sama sekali mengeluarkan dan memasang kain-kain rentang tersebut. Kami beranggapan bahawa tindakan ini dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, terdesak dan mempunyai niat jahat serta tidak bermoral.

Sepanjang sebulan ini Ahli Parlimen Titiwangsa menjalani rawatan perubatan beliau dan bercuti daripada bertugas. Tidak semena-mena kain-kain rentang ini telah dinaikkan dan mengucapkan permohonan maaf kepada pihak-pihak tertentu. Ini adalah suatu tindakan jahat untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti Ahli Parlimen Titiwangsa, malah tindakan ini boleh dianggap cuba menimbulkan keresahan dan salah faham penduduk-penduduk Kg. Bharu khasnya dan Parlimen Titiwangsa amnya.

Ahli Parlimen Titiwangsa konsisten dalam isu Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu seperti yang dinyatakan sebelum ini. Ahli Parlimen Titiwangsa sentiasa mendokong kehendak dan hasrat para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu bahawa mereka menolak sebarang Perbadanan yang akan ditubuhkan berkaitan tanah mereka. Sebagai Ahli Parlimen yang dipilih secara sah mewakili para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu dan penduduk Titiwangsa amnya, Ahli Parlimen Titiwangsa amat komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam memastikan setiap cadangan pembangunan berkaitan Kg. Bharu mestilah melalui persetujuan setiap pemilik dan pewaris tanah kerana setiap inci tanah yang hendak dibangunkan itu adalah hak mereka. Justeru suara mereka hendaklah diambil kira dan dipertahankan. Inilah pendirian Ahli Parlimen Titiwangsa selama ini dan akan berterusan selagi mandat diberikan.

DPPKT beranggapan kain-kain rentang berunsur fitnah ini telah dikeluarkan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan sokongan dan komitmen Ahli Parlimen Titiwangsa dalam isu pembangunan Kg. Bharu. Ini adalah suatu cubaan menangguk di air keruh. Atas ketidaksihatan Ahli Parlimen Titiwangsa, mereka cuba menabur fitnah dan akhirnya melaga-lagakan serta cuba memanipulasi pemikiran dan perasaan penduduk Kg. Bharu. Mereka sedar majoriti pemilik dan pewaris tanah menyokong dan mengharapkan Ahli Parlimen Titiwangsa terus mempertahankan hak mereka daripada dirampas secara terancang oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Justeru mereka cuba melakukan taktik kotor ini untuk menjatuhkan dan mencemar imej Ahli Parlimen Titiwangsa di mata para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu dan penduduk Parlimen Titiwangsa.

Akhir sekali, kepada mereka yang melakukan perkara ini, bertaubatlah selagi pintu taubat masih terbuka. Insaflah bahawa apa yang ada di dunia ini adalah pinjaman semata-mata dan kepada Allah juga akhirnya kita semua.

Disediakan oleh

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

Dipetik dari Harakahdaily

Seorang pelajar di Mesir didakwa sertai Himpunan Bersih 2.0 dibuang

Posted: 15 Jul 2011 07:57 AM PDT

SHAH ALAM, 15 Julai — Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman mendedahkan beliau mendapat maklumat seorang penuntut Malaysia di sebuah universiti di Mesir telah dibuang kerana didakwa terlibat dengan Himpunan Bersih 2.0 di sana.

Bagaimanapun kata Rani, pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu dakwaan itu kerana maklumat yang diperoleh masih belum mencukupi.

"Saya baru dapat maklumat itu dan ia mengatakan seorang pelajar di Kaherah telah dibuang kerana terlibat dalam Himpunan Bersih 2.0.

"Ia mengatakan penuntut itu dibuang atas arahan yang dikeluarkan Kedutaan Malaysia di sana namun apabila ditanya kepada kedutaan mereka cuba berdolak-dalik," katanya pada sidang media selepas memfailkan saman pemula terhadap empat individu termasuk Hishammuddin berhubung tangkapan yang dilakukan ke atas ahli parti Islam itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.


Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meru berkata, beliau akan membawa perkara itu ke perhatian Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan susulan.

"Kita akan siasat dulu perkara ini dan kita akan bawa kepada Menteri Besar untuk membantu.

"Kita harap perkara ini tidak benar," katanya.

Sebelum ini Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya tidak akan bertanggungjawab atau memberikan sebarang jaminan sekiranya terdapat penuntut Malaysia yang menuntut di universiti luar negara ditahan kerana mengadakan perhimpunan haram.

Bagaimanapun beliau yakin dan percaya bukan mudah penuntut di luar negara untuk mengadakan sebarang perhimpunan dan sudah pasti negara yang terbabit tidak akan memberi kebenaran.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS pusat Mohd Sany Hamzan mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk berdebat secara terbuka mengenai lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Dipetik dari The Malaysia Insider

"Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti"

Posted: 15 Jul 2011 06:51 AM PDT

Pada 9 Julai 2011, saya menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0. Saya dibasahi hujan, dua hari keletihan dan saya merehatkan diri selama dua hari, sekarang barulah ada mood untuk mencatatkan perasaan saya. Ramai warga internet telah menulis kisah 709 masing-masing, maka saya cuma nak mencatatkan adegan-adegan yang memahat hati sahaja.

1. Saya berkenalan dengan kawan Melayu baru. Seorang ahli PAS yang berpengalaman dalam demonstrasi sebelumnya memegang tangan saya, "Terima kasih kerana sokongan kamu (orang Cina)". Saya menjawab, "Ini usaha yang saya patut lakukan. Ini negara saya juga." (Rupa-rupanya dari pandangan mereka, orang Cina hanya mengaut keuntungan dan mengutamakan keuntungan sahaja. Jadi mereka amat gembira apabila ternampak dua tiga wajah orang Cina.)


2. Seorang uncle Cina membawa isterinya dan dua orang anak yang usianya kira-kira 20 tahun. Tinggi, kurus dan kelihatan lemah. Beliau memesan anaknya, "Cepat, cepat ikut mereka (kelompok orang). Apa takut? Bukan suruh kita pergi mati pun? Jangan takut, kita bukan orang besar. Sekarang bilangan orang yang diperlukan (perhimpunan), kita mesti sokong!" (Kebanyakan ibu bapa akan memarahi anak mereka, agar tidak terlibat dalam perhimpunan. Mengapa pula keluarga ini "terbalik" keadaannya?)

3. Seorang Melayu yang agak lanjut usianya berkata kepada beberapa orang pemuda Cina, "Kita mahu tunjuk perasaan , bukan kemarahan." (EQ pemuda Melayu lebih tinggi daripada orang Cina kali ini, memang cukup kelayakannya untuk berkata sedemikian.)

4. Sepasang suami isteri membawa dua orang anak, yang usianya kira-kira 8 hingga 10 tahun, mengambil makanan ringan di atas tangga. Hati saya berfikir, "Berkelah ke?" Wanita Melayu itu menatap saya, seolah-olah memahami apa yang bermain dalam fikiran saya. Maka beliau senyum dan berkata, "Kami nak mereka tahu, dari kecil lagi, malah belajar bagaimana memperjuangkan demokrasi." (Lantas saya mengangguk-angguk kepala saya, agak malu dengan diri saya yang memandang rendah orang tadi.)

5. Sepasang suami isteri Melayu yang lanjut usianya, mengeluarkan topeng yang kelihatan seolah-olah alat mainan dari beg plastiknya, dengan tangan yang bergetar. Mereka dengan ghairah berkata kepada saya, "Kami ada buat persediaan, kamu ada?" (Hati saya berfikir, memang kamu perlukannya, sebab kamu tak dapat lari dengan cepat!)


6. Sepasang suami isteri Cina yang muda, bukan sahaja turun ke jalan raya, malah membawa kereta bayinya. Mereka memakai baju hujan semasa air hujan mencurah dari langit. Malah, kereta bayinya sudah disediakan dengan kain kalis air. Dengan cepat saya menutup kereta bayinya, kemudian bersama dibasahi hujan di situ. (Bayi pun turut serta dalam perhimpunan, comel juga bayi tu!)

(Selepas saya balik, saya menceritakan kisah ini kepada jiran saya. Makcik-makcik itu mencelah, "Aiyoh, buat apa pergi demo? Apa kena-mengena dengan kita? Memang tak ada otak langsung. Bawa bayi pulak? Mengapa tidak kamu marahnya?" Saya berbisik dalam hati, "Aunty, saya terasa nak marah kamu...")

7. Seorang Mat Salleh nampak saya mengejar untuk merakamkan gambar bagaimana FRU menyuraikan orang ramai. Beliau berlari mengikut saya, malah berulang-kali berkata kepada saya, "You must put it in the media." (Brother, kamu terlebih memandang tinggi teknik sayalah. Saya bukannya pro (profesional) sangat...)

8. Kawan Melayu saya memberitahu saya, dirinya mempunyai pengalaman yang banyak untuk berdemonstrasi - bagaimana beliau tidak gentar dengan kuasa, bagaimana bertahan sehingga akhir, malah beliau berjanji untuk menjaga saya. Ketika gas pemedih mata ditembak untuk pusingan pertama, beliau menarik saya dan berlari. Dalam hati saya tertanya-tanya, "Bukankah kamu kata nak bertahan sampai ke akhir?"

Selepas kami keluar dari kelompok manusia, beliau menunjuk ke satu arah, "Kamu jalan dari sini. Tunggu kami di Stadium Merdeka. Kami akan berjumpa kamu di sana. Hubungi kawan yang lain. Bilangan yang menyertai perhimpunan dah mencukupi sekarang. Saya percaya polis akan lebihkan serangannya. Kamu tak boleh singgah di sini."

Saya bertanya, "Macam mana kamu pula?" Dia jawab, "Saya nak ke baris depan, bersama kawan saya." Seterusnya, beliau memaling dan melangkah menuju ke kepulan asap gas pemedih...

Akhirnya, saya berhimpun dengan kawan saya di tempat yang berhampiran dengan stadium, dan menyertai perarakan terakhir yang menuju ke Stadium Merdeka. Polis mengejar dan menangkap. Saya tidak lagi menemui kawan Melayu saya itu lagi. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa beliau telah ditangkap, bagaimanapun dibebaskan juga akhirnya.

Nota akhir:

Saya membaca pengalaman ramai peserta, termasuk cerita Aunty Anne yang membuatkan saya terharu. Tetapi saya tidak menitiskan air mata, sehingga saya terbaca catatan seorang warga internet,

"Adegan yang paling memahat ingatan saya sepanjang perhimpunan itu adalah, ketika kami sekumpulan orang melarikan diri dari tangkapan polis melalui pagar di belakang Hospital Tung Shin, orang Melayu menendang pagar itu dengan kakinya, dan berkata 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti'. Kata-kata ini terus menusuk hati saya, saya amat terkagum! Kini barulah saya menghayati apa makna sebenarnya 'saling menolong tanpa mengira kaum dan budaya dalam Satu Malaysia', dan bukannya '1 Bumi, 1 Malaysia' yang didukung Barisan Nasional'. "

Tiba-tiba saya sebak. Saya tahu apa yang dikatakannya adalah kisah benar, ini kerana kawan Melayu saya juga menjaga saya. Lebih-lebih lagi, kawan saya dalam Facebook rata-ratanya menceritakan pengalaman bagaimana sahabat Melayu menjaga orang Cina kali ini. Mungkin mereka menganggap orang Cina jarang menyertai perhimpunan, tiada pengalaman.

Mengapa saya tersentuh dengan hal yang remeh sebegini? Kerana saya amat memahami, orang Cina adalah kaum minoriti di Malaysia. Seandainya minda perkauman ini tidak dipecahkan, orang Cina akan tetap ditindas dan tidak dilayan dengan adil. Namun, kerajaan kita bersikap perkauman, ditambah pula PERKASA yang melaga-lagakan, hal ini sukar diselesaikan!

Perhimpunan ini melakar gambaran masa depan untuk saya, malah mengubah persepsi saya terhadap kaum Melayu secara menyeluruh. Seandainya dikatakan negara ini musnah kerana politikus dari kaum ini, maka negara ini juga akan bangkit kerana kaum ini! Saya masih menaruh harapan dan keyakinan terhadap kaum ini dan negara ini.

Dipetik dari MerdekaReview

Jeti Roboh Di Melaka - Satu Lagi Projek Kerajaan BN

Posted: 15 Jul 2011 06:13 AM PDT


JASIN, 15 Julai -- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka, Datuk R.Perumal (kanan) melepaskan benih anak ikan Lampam ke dalam Sungai Tehel, di sini, hari ini.
Turut serta Anggota Dewan Undangan Negeri Bemban Chua Kheng Hua (kiri).


Induk Jantan Dan Induk Betina Lampam Turut Jatuh.. Kahkahkah..

TERJATUH... Beberapa petugas Jabatan Perikanan Melaka membantu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka, Datuk R.Perumal (dua kanan) naik ke tebing selepas terjatuh ke dalam sungai bersama beberapa jemputan ketika melepaskan benih anak ikan Lampam ke dalam Sungai Tehel, di sini, hari ini. Sebanyak 20, 000 ekor benih ikan dilepaskan pada program tersebut.

Pihak Bernama teleh menerima arahan berikut "ARAHAN KETUA PENGARAH PERIKANAN MALAYSIA DAN PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DESA DAN PERTANIAN NEGERI MELAKA SUPAYA TIDAK MENGGUNAKAN GAMBAR INI". - Author Faethal

Sumber - Pulakdah

Rombak Sistem Atau Tiada Pilihan Raya

Posted: 15 Jul 2011 06:03 AM PDT

SHAH ALAM 15 JULAI: "Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu mengambil pendekatan untuk berubah, maka tidak perlu adakan pilihan raya."

Demikian kenyataan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah seraya mendesak suruhanjaya itu mempertimbangkan empat tuntutan utama bersabit rombakan sistem pilihan raya yang boleh dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dengan kadar segera.

Tambahnya lagi, Bersih akan mengemukakan petisyen kepada SPR dalam masa terdekat sebagai tindakan lanjut termasuk memberi tempoh tiga bulan untuk melihat sebarang perubahan yang akan dilakukan agensi bebas itu.


Beliau berpendirian tindakan tersebut adalah sebahagian daripada cara gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu mengekalkan momentum selain inisiatif rakyat menganjurkan program 'hari kuning' pada setiap Sabtu.

"Kita mahu bergerak ke hadapan. "Bola" kini berada dalam gelanggang SPR dan mereka perlu respon sekarang," katanya.

Bercakap dalam wawacana khas bersama Tv Selangor, Maria menyifatkan SPR tidak mengambil pendekatan proaktif untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dengan pihak Bersih.

Malah katanya, sehingga kini suruhanjaya itu lebih gemar memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba untuk melindungi pihak berkepentingan.

Baca seterusnya disini

Liow Tiong Lai Dah Tukar Jadi Liar Tongue Lei??

Posted: 15 Jul 2011 04:43 AM PDT

Liow: Ada orang cuba kenakan saya

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa ada pihak yang cuba menggunakan serangan polis ke atas Hospital Tung Shin supaya memberi tekanan kepadanya meletakkan jawatan.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau juga menafikan spekulasi bahawa pemberian RM2 juta kepada hospital adalah bagi menutup kejadian itu.

Menurut Liow, khabar angin yang tersebar di internet dan dilaporkan secara meluas di akhbar Cina sebagai "mengarut" dan percubaan "memalukannya".

"Semua ini mengarut, yang jelas bertujuan memalukan saya dan Hospital Tung Shin."


Timbalan presiden MCA itu juga menegaskan lawatannya ke Tung Shin pada 11 Julai lalu hanya bertujuan memenuhi tanggungjawabnya sebagai menteri kesihatan yang meninjau aspek keselamatan hospital dan pesakitnya.

Dakwanya ada pihak yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan laporan berita 2010 bagi menyokong hujah mereka bahawa lawatan 11 Julai lalu itu bagi menyampaikan sumbangan RM2 juta dengan tujuan menutup isu berkenaan.

"Hakikatnya, saya memang ke Hospital Tung Shin Hospital pada 12 Januari 2010 untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka dan juga Hospital Bersalin Cina.

"Adalah jelas bahawa ada pihak yang cuba menggelitukan orang ramai dengan memainkan isu RM2 juta ini.

"Ini menunjukkan niat jahat mereka yang menyebarkan khabar angin ini. Ini mendedahkan bahawa mereka mahu memaksa saya meletakkan jawatan," kata Liow.

Dipetik dari Malaysiakini

Mat Sabu selamat jalani pembedahan

Posted: 15 Jul 2011 04:08 AM PDT

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selamat menjalani pembedahan membetulkan ligamen lututnya yang terkoyak akibat dirempuh kenderaan Land Rover polis dalam perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu.

Menurut isterinya Normah Alwi, suaminya menjalani pembedahan itu di Hospital Pakar KPJ Selangor di Shah Alam pada jam 3 petang hari ini.

"Sekarang ini dia stabil, OK, sudah makan dan sedar," katanya sambil menambah pembedahan itu mengambil masa kira-kira satu jam.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Normah berkata, doktor memasukkan skru sepanjang 2.5 inci ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.


"Sekarang dia dipindahkan ke wad biasa kira-kira jam 5 petang tadi," katanya.

Setakat ini Mohamad belum menerima pelawat, tambahnya.

Menurut Normah juga, Mohamad akan bermalam di hospital itu selama tiga hari sebelum dibenarkan mendaftar keluar.

Sebagai isteri, Normah berkata beliau tidak dapat menerima tindakan polis yang didakwa mencederakan Mohamad.

"Saya tidak boleh menerima kejadian macam ini. Hanya Allah sahaja yang akan membalas orang yang berbuat zalim," katanya lagi.

Dipetik dari Malaysiakini

Permintaan Malaysia Agar Polis British Halang Demo Sambut Najib Ditolak

Posted: 15 Jul 2011 03:44 AM PDT

Permintaan kerajaan Malaysia agar pihak berkuasa Britain mengharamkan perhimpunan demo menyambut kehadiran Najib di sana ditolak mentah-mentah.

Bagi pihak berkuasa British, negara mereka menghargai kebebasan bersuara dan ia bukanlah merupakan satu kesalahan.

Mungkin pihak polis Malaysia boleh pergi ke sana dan beli seberkas senjata dan tunjukkan pada pihak berkuasa polis British bahawa para pendemo merbahaya dan perlu dikurung...tengok mereka akan percaya atau tidak.

Atau YB Zul Kulim perlu turun sekali dengan rombongan Najib dan mulakan ayat terkenalnya..."saya ada maklumat mereka membawa berbagai senjata termasuklah bom api bagi melumpuhkan ekonomi Britain"...



Baca seterusnya disini

RM25 Untuk Nasi Kosong, Sayur, Sambal Dan Air Manis?

Posted: 15 Jul 2011 03:03 AM PDT

Polis akui salah guna dana awam?

PETALING JAYA: Benarkah polis membelanjakan sebanyak RM25 seorang untuk menyediakan makan dan minum kepada peserta Himpunan Bersih 2.0 yang ditahan pada 9 Julai lalu?

"Jika benar, ini bermakna pihak polis sudah menyalah guna dana awam ketika menyediakan makan minum peserta yang ditahan," ujar

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, dipetik dari blognya hari ini.

Beliau, yang dikenali sebagai CheguBard, merujuk laporan media yang memetik kenyataan polis yang cuba membela diri kononya semua peserta Himpunan Bersih diberikan layanan sempurna.


"Bila ditanya kepada mereka yang ditahan, rata-rata memberitahu bahawa mereka makan ayam goreng, sayur, sambal dan nasi kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang?" soal beliau.

"Pergilah ke mana-mana pembekal makanan memasak, tanyakan harga menu tersebut untuk lebih dari 1,000 orang makan secara buffet…..rata-rata akan mengatakan RM6 satu kepala malah ada yang akan menawarkan semurah RM4 sahaja jika cara pembayaran dipermudahkan," jelasnya.

Katanya, ini bermakna, polis mengeluarkan belanjawan RM25 untuk seorang daripada wang rakyat. Mana pergi lagi RM20? Ini melibatkan salah guna kuasa.

Justeru itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melaksanakan tugasnya untuk menyiasat perkara ini.

CheguBard berkata, perkara seperti ini sememangnya sudah lama berlaku……makanan dalam lokap siapa pernah periksa berapa harga diperuntukkan dan bagaimana mutu makanan disajikan dan siapa yang meraih keuntungan 'rasuah' tersebut?

"Satu lagi teori menurut mereka yang ditahan, jumlah peserta demonstrasi Bersih sebenarnya menjangkau lebih 3,500 orang tetapi sebaliknya yang diisytiharkan ditahan hanya lebih 1,000 orang," katanya.

Beliau mahu pihak polis memberi penjelasan mengenai adakah benar sebanyak RM25 dibelanjakan untuk seorang peserta dan adakah jumlah yang ditahan melebihi dari jumlah yang diisytiharkan.

Dipetik dari Free Malaysia Today

Pelajar Di Mesir Tidak Terikat Dengan Undang2 Rimba Malaysia

Posted: 15 Jul 2011 02:19 AM PDT

Jabatan Penuntut jangan jadi keldai Umno

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa Kerajaan Malaysia supaya bersikap profesional dalam menyantuni pelajar-pelajar yang bersama-sama menyokong rakyat Malaysia di Kuala Lumpur serta 25 bandar utama seluruh dunia yang berhimpun menuntut 8 tuntutan rakyat bagi pilihanraya yang bersih dan adil.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) di Kaherah yang mengancam dan mengugut mereka yang berhimpun di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah Sabtu lalu untuk menarik balik pemberian zakat dan biasiswa mereka.

"Sedangkan pada hemat kami, para pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara tidak terikat terhadap sebarang undang-undang rimba Malaysia terutamanya Seksyen 27 Akta Polis seperti mana di Malaysia yang melarang lebih 5 orang berkumpul tanpa permit," katanya kepada Harakahdaily.


Katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh JPM jelas sekali berbau politik dan berbentuk ugutan yang sama sekali tidak berasas sedangkan pemberian zakat kepada para pelajar kita bukanlah berasaskan kepada politik dan baju yang dipakai oleh pelajar tetapi berdasarkan asnaf dan hukum.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS mencabar JPM untuk menarik pemberian zakat kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang menghadiri himpunan Bersih di Kaherah baru-baru ini sekiranya mereka benar-benar ingin menjadi keldai kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tambahnya, kenyataan dangkal oleh Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Aziz Mamat kelmarin juga sangat dikesali yang jelas sekali pentadbiran YT sangat mentah dalam memahami undang-undang dan peraturan negara kita.

Beliau berkata, Pemuda PAS bersama-sama pasukan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi DPPM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan jika JPM dan mana-mana pentadbiran kerajaan negeri seperti YT yang bertindak memberhentikan pemberian zakat dan pinjaman terhadap pelajar.

"Kami juga ingin tegaskan bahawa rakyat Malaysia di luar negara tidak terikat terhadap mana-mana peraturan dan undang-undang Malaysia yang bersifat subjektif," ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pusat.

Beliau menambah, rakyat Malaysia perlulah menghormati dan mematuhi undang-undang yang diguna pakai oleh kerajaan di mana mereka berada ketika di luar negara.

Pemuda PAS, katanya menyanjung tinggi rakyat Malaysia di luar negara yang bersama-sama Bersih 2.0 di Malaysia yang menzahirkan memberi sokongan dan tuntutan yang sama kepada Kerajaan Malaysia.

Tambahnya, tindakan profesional pihak berkuasa tempatan luar negara seperti di United Kingdom dan Australia juga patut dipuji yang mengeluarkan permit dan membantu menjaga keselamatan peserta yang menghadirinya.

Begitu juga, ujarnya pihak berkuasa di negara-negara lain seperti di Mesir, Taiwan, Jepun dan Indonesia serta 20 negara yang lain yang membenarkan rakyatnya berkumpul dan menzahirkan isi hati mereka.

Katanya lagi, tindakan profesional itu adalah manifestasi terhadap konsep demokrasi yang diamalkan dan yang didukungi oleh dunia dewasa ini.

Menurutnya, konsep Hak Asasi Manusia yang disepakati bersama perlulah didokongi bersama oleh terutamanya kerajaan Malaysia.

Harakahdaily

Tiada ulasan: