Anak Sungai Derhaka |
- Takburnya Shabery Chick ni...
- Hasilkan lebih banyak Fesyen menutup Aurat - Rosmah
- Sokong yang bakal membawa Rebah buat PAS Kedah..
- Boleh pakai baju kuning pulakdah..
- Fitnah ni.. Rais Yatim!!
- Cincin RM70 Juta : Ada cubaan merekacipta Bukti - Chegu Bard
- BERSIH dari Kuala Lumpur ke New York
- Saya nak tumbuk Anwar - Kamariya
- Najib nak bohong siapa ni?
Posted: 17 Jul 2011 05:51 AM PDT KUALA LUMPUR, 17 Julai — Datuk Ahmad Shabery Cheek mendakwa Pakatan Rakyat mengeksploitasi perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini sebagai alasan untuk menjustifikasikan kemungkinan kekalahan mereka dalam pilihan raya umum ke-13. Menteri Belia dan Sukan ini menekankan siri kekalahan pembangkang dalam pilihan raya kecil, antaranya di Hulu Selangor, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau sejak pertengahan 2009. "Itu sebabnya mereka menggunakan Bersih untuk mempertikaikan pengadil tentang kemungkinan kekalahan mereka," kata Shabery ketika berucap membuka perhimpunan agung tahunan ke-12 Kelab Umno Luar Negara hari ini. "Mereka akan kata sistem (pilihan raya) ada cacat (dan) penggadil (iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya) pula tidak betul," kata beliau. Dalam tulisan yang muncul di Mingguan Malaysia ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof terus menyerang kepimpinan Bersih 2.0 dengan mendakwa mereka didalangi parti politik dan "tidak benar-benar ikhlas." "Saya sebenarnya tidak pasti adakah penganjur perhimpunan haram Bersih benar-benar ikhlas atau mempunyai maksud lain di sebalik perhimpunan itu," kata Aziz. Aziz juga mendakwa beliau berpandangan sedemikian kerana dalam perjumpaan pertamanya dengan Bersih 2.0 akhir tahun lalu, pihaknya memaklumkan bahawa ia adalah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan parti politik. Bersih 2.0 dianggotai oleh sebanyak 62 NGO dan mengemukakan tuntutan lapan perkara dalam membawa pembaharuan sistem pilihan raya. "Penganjur Bersih mendakwa mereka berkecuali. Tetapi daripada apa yang dilihat sama ada gambar-gambar dan kenyataan parti-parti politik pembangkang, penganjur Bersih sudah memihak dengan jelasnya kepada pembangkang," kata beliau. Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga berulang kali menekankan bahawa pihaknya telah mengundang kesemua parti politik - Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyertai usaha mereka menuntut pembaharuan pilihan raya, tetapi ia hanya disambut oleh komponen Pakatan Rakyat. Sebaliknya, BN dan pihak-pihak yang pro-BN mendakwa Bersih 2.0 bersekongkol dengan komponen Pakatan Rakyat. Shabery melahirkan pandangan yang seiring dengan kenyataan Aziz apabila ditanya mengapa beliau menganggap perhimpunan anjuran Bersih 2.0, gabungan pertubuhan bukan kerajaan pada 9 Julai lalu, sebagai gimik politik. "Hadi pergi. (Timbalan Presiden PAS) Mat Sabu telah pergi. Anwar Ibrahim pergi. Ini antara mereka yang telah pergi. Pakatan Rakyat menggunakan Datuk Ambiga dan Ambiga menggunakan Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita kemudian. Apabila ditanya Bersih 2.0 juga ada mengundang Barisan Nasional (BN) agar sertai bersama, ahli Majlis Tertinggi Umno ini menjawab: "Mengapa anda mahu berarak?" "Kami tidak mahu mencapai kemenangan menerusi kaedah yang dipertikaikan. Legitimasi adalah penting. "Orang tidak akan berunding dengan kita jika kita berkuasa menggunakan penipuan," kata beliau. Bagaimanapun Ahli Parlimen Kemaman ini mengakui bahawa ada kelemahan dalam sistem pilihan raya semasa, antaranya pengundi di luar negara tidak boleh mengundi. "Umumnya, sistem kita masih merupakan sistem yang memberikan legitimasi kepada mereka yang menang," kata Shabery. |
Hasilkan lebih banyak Fesyen menutup Aurat - Rosmah Posted: 17 Jul 2011 03:38 AM PDT Datin Seri Rosmah Mansor berharap Festival Fesyen Islam (IIF) akan terus menjadi pentas bagi pereka fesyen mempamerkan rekaan mereka selain menggalakkan lebih ramai menghasilkan pakaian yang menutup aurat. Isteri perdana menteri itu berkata ini akan menggalakkan kelahiran lebih ramai pereka fesyen islamik yang penting dalam memastikan kerancakan industri tersebut. "Satu masa kelak fesyen islamik juga boleh menjadi ciri kekal semasa minggu fesyen di kota-kota fesyen dunia," katanya pada jamuan tengah hari 'IFF Eastern Treasures', di London pada Jumaat. Rosmah yang juga penaung IFF berkata fesyen islamik kini menjadi bidang keusahawanan yang menguntungkan. Walaupun tidak ada data perdagangan rasmi untuk industri fesyen Muslim dunia, unjuran menunjukkan angka yang positif, katanya. Rosmah berkata bagi membolehkan industri itu berkembang pesat, pertumbuhan dan pembangunan mesti meliputi semua aspek iaitu daripada fesyen mewah kepada yang mampu dimiliki semua. Katanya beliau teruja mendengar pusat membeli-belah mewah seperti Harrods di London dan Saks di Arab Saudi telah mula menjual pakaian berunsur islamik. "Ini satu permulaan yang sangat bagus, tetapi menjadi impian saya untuk melihat lebih banyak pusat membeli-belah seperti Bloomingdales, Macy's Debenhams dan lain-lain menawarkan pakaian dan aksesori islamik sebagai sebahagian fesyen arus perdana dunia. "Pada masa itu barulah kita dapat menyatakan fesyen islamik benar-benar mendapat tempat," katanya. --Bernama |
Sokong yang bakal membawa Rebah buat PAS Kedah.. Posted: 17 Jul 2011 02:54 AM PDT Dalam melaksanakan sesuatu agenda, kita kadang-kadang memerlukan sokongan samada untuk mengukuhkan lagi agenda tersebut ataupun menunjukkan solidariti yang kita ada.. tapi kalau jenis yang menjadi Sokong untuk membawa rebah macam kat bawah ni.. tak payahlah.. UMNO sokong tindakan Pas ALOR SETAR - UMNO Kedah menyokong Kerajaan Negeri melaksanakan enakmen yang melarang operasi pusat hiburan sepanjang Ramadan. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah bagaimanapun berkata, langkah penguatkuasaan undang-undang itu harus seiring dengan budi bicara demi menjaga hati dan kepentingan masyarakat bukan Islam. "Saya sokong pelaksanaan enakmen 1997 itu tapi perlu ada budi bicara. Saya nampak, tindakan ini akan makan diri mereka (Kerajaan Pakatan Rakyat) sendiri," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, Pas tidak sepatutnya mempolitikkan tuntutan orang bukan Islam di negeri ini semata-mata untuk melaga-lagakan parti komponen BN. Menurutnya, tindakan Pemuda Pas Pusat mengecam UMNO yang berdiam diri ditenggelami 'kelantangan' MCA dan Gerakan memperlihatkan muslihat sebenar parti itu menggunakan Enakmen 1997 untuk memecahbelahkan BN - Sinar Harian Pusat hiburan hanya untuk orang bukan Islam di Kedah AMPANG 17 JULAI: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memaklumkan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 di negeri Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan nanti, namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja. Menurut Abdul Hadi, kekeliruan yang berlaku sebelum ini sengaja ditimbulkan media arus perdana dengan menyiarkan laporan tidak tepat hingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam. Malah, katanya keputusan yang dibuat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang diluluskan oleh Umno-Barisan Nasional(BN) ketika mentabir negeri itu sebelum ini. Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, undang -undang itu telah "diperbetulkan" agar hak orang bukan Islam tidak dinafikan dalam pentadbiran negeriPakatan Rakyat. Ujarnya lagi, pusat hiburan di Kedah kini dibenarkan untuk beroperasi pada bulan Ramadhan nanti dengan syarat pihak pengurusan premis itu menguatkuasakan larangan kepada orang Islam untuk tidak memasuki premis terbabit. "Kita sudah dapat maklum balas daripada pihak pengurusan premis hiburan dan rakan-rakan pemimpin Pakatan Rakyat dan mendapati laporan media yang disiarkan tidak tepat,"katanya memetik laporan The Malaysian Insider. "Media BN sengaja gunakan isu ini, jadi PAS ambil jalan menyelesaian iaitu hak orang bukan Islam walaupun diharamkan dalam Islam tapi mereka ada hak dan yang kedua hak orang Islam tidak boleh melakukan maksiat," ujarnya lagi. "Jadi orang bukan Islam sahaja boleh masuk (pusat hiburan), jangan bagi orang Islam masuk," katanya pada sidang media di sini sambil menambah tindakan akan diambil ke atas mana-mana pusat hiburan yang membenarkan orang Islam memasuki premis mereka,"katanya. Jelas Abdul Hadi, berdasarkan keterangan yang diberikan Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat hari ini, pusat hiburan boleh ditarik lesen sekiranya didapati membenarkan orang Islam memasuki premis pada bulan Ramadan. Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997 itu melarang pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar serta di warung kopi, karaoke dan disko. Bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat ia tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan. |
Boleh pakai baju kuning pulakdah.. Posted: 17 Jul 2011 02:36 AM PDT Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata tidak salah memakai baju kuning tetapi diingatkan supaya tidak memakai baju kuning yang mengguna lambang BERSIH. Katanya, buat masa ini Bersih telah disahkan sebagai sebuah pertubuhan haram dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat pengumuman itu baru-baru ini. "Apabila pengumuman itu telah dibuat, tanggungjawab polis adalah untuk menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan sesuatu pertubuhan haram. Jadi, polis cuma menguatkuasakan undang-undang yang ada berkaitan dengan pengistiharan bahawa Bersih itu adalah satu pertubuhan yang haram. "Itu sebabnya kita tangkap mereka yang memakai baju kuning yang menggunakan lambang BERSIH. Tak salah pakai baju kuning...tak salah, pakailah baju kuning, stoking kuning atau topi kuning...cuma yang tidak boleh adalah apa juga logo yang menyokong pertubuhan haram Bersih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Skim Kepolisian Masyarakat dan 'Crime Awareness Team' (CAT) di Dataran Nilai malam tadi. Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan timbalannya Datuk Abd Manan Mohd Hassan. Khalid berkata jika ada pihak yang tidak puas hati dengan larangan itu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk diputuskan. "Jadi, bila mahkamah telah putuskan kita (polis) akan ikut. Kita akan melaksanakan apa juga perintah mahkamah itu mengikut undang-undang," katanya. Mengenai penubuhan CAT, beliau berkata ia adalah program di bawah pencegahan jenayah bagi mengembeleng tenaga golongan muda ke arah membantu polis dalam agenda menurunkan kadar jenayah dan menghapuskan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah. Katanya kerjasama dan penglibatan golongan muda dalam program masyarakat seperti CAT di bawah kawal selia Jabatan Belia dan Sukan sebagai aktiviti Rakan Muda, membolehkan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah dapat dianjurkan dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya tampil membantu polis dalam pencegahan jenayah. - Bernama |
Posted: 16 Jul 2011 10:25 PM PDT "Misalnya pada 9 Julai lalu, sedemikian ramai mereka yang terlibat tidak tahu kenapa mereka berada di Kuala Lumpur, mereka kata diberi sedikit imbuhan dan bila ditanya apa sebab datang, mereka kata sebab kawan-kawan ramai, kami pun datang, kami dapat imbuhan, jadi kami pun mengambil bahagian," Ayat diatas adalah satu tuduhan yang tidak berasas oleh Rais Yatim terhadap peserta Perhimpunan BERSIH 2.0, bukan saja tidak berasas malah juga berniat jahat dan mahu merosakkan kredibiliti Peserta kerana menggambarkan mereka punya perangai seperti pencacai UMNO yang hanya bergerak bila ada upah.. Siapa-siapa yang telah menyertai Perhimpunan BERSIH 2.0 tu yang punya sangat banyak masa terluang sila saman dia pulak.. Rais mahu kaji motif sertai perhimpunan 9 Julai KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang menjalankan kaji selidik untuk mengenal pasti motif mereka yang menyertai perhimpunan pada 9 Julai lalu. Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kaji selidik oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu melibatkan tiga perkara penting iaitu mengapa mereka hadir pada perhimpunan itu, imbuhan yang diterima dan perasaan mereka apabila tidak faham mengapa mereka menghadiri perhimpunan itu. "Jadi ketiga-tiga soalan itu sedang kita ajukan tetapi tidaklah dapat disusul kepada semua, sekiranya dapat kita kumpulkan sekitar 2,000 sampel, maka ia akan memberi satu pola yang kita akan umumkan kemudian. "Ini supaya kita jangan rugi dari segi perjuangan dan Gagasan 1Malaysia itu sebenarnya adalah sesuatu yang setiap individu harus menilai dan menerimanya kerana ia mempunyai tujuan murni untuk menyatu padukan rakyat," katanya dipetik Bernama Online. Rais berkata kaji selidik itu penting kerana orang Melayu kini didapati mudah tertarik dengan isu-isu politik dan terikut-ikut untuk menyertai politik jalanan tanpa mengetahui masalah dan punca mereka melakukannya. "Misalnya pada 9 Julai lalu, sedemikian ramai mereka yang terlibat tidak tahu kenapa mereka berada di Kuala Lumpur, mereka kata diberi sedikit imbuhan dan bila ditanya apa sebab datang, mereka kata sebab kawan-kawan ramai, kami pun datang, kami dapat imbuhan, jadi kami pun mengambil bahagian," katanya. Rais berkata pendirian sebegitu sebenarnya merugikan semua pihak dan perkara itu harus dan hanya boleh dijawab oleh mereka yang merencana dan menyokong perhimpunan 9 Julai. "Bukan kerajaan tidak mengiktiraf hak kita untuk berkumpul tetapi cuma setiap individu harus tahu apa sebab mereka datang dan membuat sesuatu tindakan sama ada untuk perjuangan atau untuk tujuan tertentu pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, Rais mengingatkan orang Melayu supaya tidak terkeliru dengan perkara yang berlaku pada perhimpunan haram itu kerana apa yang terjadi sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang tidak sanggup melihat kejayaan masyarakat 1Malaysia malah menganggapnya sebagai satu ancaman terhadap kelangsungan politik mereka. Rais berkata sebagai orang yang telah lama berjuang di dalam politik dan kemasyarakatan, beliau tidak mahu melihat ada orang yang bertepuk tangan melihat Melayu sesama Melayu bergaduh sedangkan perkara itu tidak membawa sebarang keuntungan. "Sampai mana kita hendak bergelut, bergaduh di politik jalanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di Dataran Merdeka atau di stadium, apa yang kita nak capai. "Orang Melayu khasnya, saya ingin memberi pandangan, kita jangan lagi bermuslihat atas perkara-perkara yang berlaku pada 9 Julai lepas, tak ada untungnya bagi kita," katanya. The Malaysian Insider |
Cincin RM70 Juta : Ada cubaan merekacipta Bukti - Chegu Bard Posted: 16 Jul 2011 10:07 PM PDT SHAH ALAM 17 JULAI : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dilaporkan telah menyoal siasat seorang individu yang dikaitkan dengan dakwaan sebentuk cincin berlian bernilai lebih RM70 juta dibawa masuk ke negara ini tanpa cukai untuk isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor. Menurut pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, SPRM telah menyoal A.Krishnan, individu yang dikenalpasti oleh SAMM sebagai bertanggungjawab menguruskan dokumen-dokumen Kastam Diraja Malayasia (KDRM) yang berkaitan. SAMM memperolehi nama individu berkenaan daripada salinan ceraian dokumen pengisytiharaan Kastam yang dicetak melalui komputer. "(Tindakan) SPRM bertindak dengan 'menahan' individu yang namanya terdapat dalam sistem komputer tersebut, membuktikan bahawa pendedahan itu bukan palsu,' katas Chegubard. Beliau melaporkan isu cincin belian itu kepada SPRM Pulau Pinang, minggu lalu. "SPRM telah menahan A.Krishnan dan siasatan berkisar kepada bagaimana belian tersebut boleh dibawa masuk dengan cukai 'RM0' sahaja,"katanya. Pada masa yang sama, beliau mempersoalkan sama ada pengecualian cukai untuk berlian itu ada hubungan dengan tindakan Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini untuk mengecualikan cukai untuk belian, perhiasan serta pakaian (termasuk yang mewah) dalam belanjawan yang lalu. "Adakah pindaan cukai itu untuk memenuhi selera individu tertentu?," soalnya. Chegubard juga mendakwa sebaik sahaja siasatan SPRM bermula, sistem kastam di Kargo, KLIA telah mengalami gangguan hampir 3 jam. Ini menurut beliau, menyebabkan kakitangan agen pengurusan kargo tidak lagi boleh mengakses sistem kastam seperti biasa dan selepas itu dipulihkan, perbagai 'syarat' dikenakan untuk mendapat akses kepada dokumen sebegitu. Chegubard berkata dalam usaha untuk menimbulkan keraguan mengenai pemilik belian itu, semalam muncul pula borang asal di alam siber dan apa yang disebut sebagai borang 2 Kastam. Borang itu "diadakan" untuk "membuktikan" cincin belian itu dibawa keluar ke Singapura empat hari selepas ia dibawa masuk ke Malaysia. Chegubard berkata borang itu adalah untuk menyokong dakwaan kononya cincin belian itu hanya untuk pameran yang dibuat di rumah VVIP sahaja dan kemudian dibawa keluar semula ke Singapura. Chegubard berkata sumber dalaman beliau mengesahkan beberapa percanggahan ketara dalam maklumat borang 2 kastam termasuk nilai barangan. Borang itu juga tidak meyenaraikan sebarang terma untuk pameran yang dimaksudan, seperti lazimnya, kata beliau. Sebelum ini, Rosmah yang digelar 'Imelda Marcos Malaysia' membelanjakan sebanyak RM4,498,0949.99 juta wang rakyat untuk mengadakaan Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Ibu negara Oktober tahun lalu, selain suaminya sendiri Najib Razak membelanjakan RM8.7 juta untuk mengadakan lawatan ke 42 negara seluruh dunia. Dalam rangka lawatan ke Arab Saudi, Oman dan bangladesh, Rosmah Mansor membelanjakan sebanyak RM134,317.76. Malah, Rosmah turut berbelanja mewah dengan menghabiskan lebih RM100,000 bagi penginapan hotel mewah, Atlantis di Dubai hanya untuk semalaman. TVS News |
BERSIH dari Kuala Lumpur ke New York Posted: 16 Jul 2011 09:44 PM PDT "Apabila Rakyat takut kepada kerajaan, Ia dinamakan Penjajahan (tyranny), Apabila Kerajaan takut kepada Rakyat, Itu Namanya Kemerdakaan (Liberty)" Oleh : Nurul Syaheedah 17 JULAI — Pagi hari yang cerah disinar mentari,dihiasi pepohon hijau dengan daun berjuta melambai sayu. Tanah subur bersulam bunga berbagai warna diatas bumi diiringi bunyi kicauan burung-burung, menjadi petanda hari bersejarah yang bakal diukir. Sambil menyaksikan segala keindahan alam serta kesibukan insan di Kota New York, hati bersyukur kepada tuhan akan kebebasan yang dinikmati di bumi orang. Sebaliknya hati terasa hiba lagi terharu memikirkan apa yang telah berlaku di tanah air sendiri 12 jam yang lalu. Sememangnya saya bersyukur dengan apa yang telah negara kita capai tetapi realiti kini sukar untuk disembunyi kerana bau bangkai janji kemerdekaan terhidu kuat serata dunia. Semenjak 1946, rakyat telah berani bangun dan keluar ke jalanraya di bandar dan desa untuk menentang penjajah British. Keberanian berjuang kerana kebenaran berpaksikan hak asasi telah melahirkan sebuah negara merdeka pada tahun 1957. Alhamdulillah kita bebas dari penjajahan 500 tahun warga asing. Tetapi, sejarah hitam 1969 mengajar bagaimana nafsu kuasa pihak yang mahu mengangkat satu ketuanan telah mengikat kembali kebebasan demokrasi dengan akta darurat berlapikkan hujah perkauman menjadi nyata. Mimpi merdeka bertukar ngeri kotor lagi menghampakan. Masya Allah, kita dijajah kembali bukan sahaja dengan dilarutkan demokrasi tetapi jauh lebih dasyat kerana minda dan jiwa dijajah hipokrasi sebuah nasionalisma sempit lagi menghimpit. "Inilah nasib kisah orang melayu, Hujah lapuk lagi palsu diterima bulat generasi minda yang lesu, Korupsi, Kolusi, Konspirasi depan mata biar diam membisu, Sibuk bersubahat menghalang rakyat berhimpun untuk bersatu, Yang mahu Negara Bersih dan bukan kiasu, Suruh semua bersyukur buta sejarah yang lalu, Tetapi buat lupa dosa kerajaan yang aib lagi tidak malu, Ibarat kisah si Luncai dengan labu-labu..Biarkan..Biarkan" Mana boleh dibiarkan......dibiarkan begitu sahaja? Oleh itu tahun 2011 menyusul di atas usaha gergasi 2007 untuk mengembalikan jiwa Malaysia yang berbilang bangsa melalui pilihanraya bebas dan adil menjadi agenda murni patriot jitu negara. Oleh itu hak demokrasi berani bertembung dengan tamparan kuku besi otokrasi yang tidak mahu negara Bersih daripada dijajah hipokrasi demokrasi penuh korupsi. Oleh itu kuning menjadi haram, bersih pula dikotorkan dan rakyat terus ditakutkan dengan cerita momok konon mengancam bangsa oleh pemangsa khayalan ciptaan ilusi jiwa muflis bersongkok tinggi. Mana boleh dibiarkan.....dibiarkan begitu sahaja? Tanggal 9 Julai bermulalah perjuangan menuntut janji demokrasi sebenar. Tanggal 9 Julai bermulalah perjuangan membebaskan ekonomi untuk semua. Tanggal 9 Julai bermulalah perjuangan memerdekakan minda dan jiwa daripada penjajah otokrasi Putrajaya. Mana boleh dibiarkan....dibiarkan begitu sahaja? Tepat jam 10 pagi bermulalah tiupan panggilan Bersih pada 9 Julai 2011 di Melbourne, Australia yang terus bergilir mengelilingi dunia secara aman sehingga tiba di Kuala Lumpur di mana patriot pertiwi yang ramai berhimpun damai diserang bertubi-tubi oleh penjajah baru biru yang tidak bersantun lagi lupa diri serta ikrar suci menjaga rakyat dahulu dan bukan diutamakan bersubahat bersama tuan berbibir merah jambu berambut kelabu. Tepat jam 10 pagi setibanya giliran tiupan Bersih di Kota New York, 12 jam selepas Kuala Lumpur yang masih basah berdarah lagi pedih berasap memahat sejarah; Bersih disambut dengan kain rentang kuning memanjang dan semangat Malaysia Muhibah yang baru. Mana boleh dibiarkan.....biarkan begitu sahaja? Maka tuhan dan dunia menyaksikan melalui YouTube, Facebook, Twitter mahupun SMS; pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, antara patriot dan penjajah dan antara Bersih dan Kotor. Maka Patriot Bersih beribu ditangkap, berjuta menunggu sedangkan 'Patriot' Kotor hanya beratus beratur paksa manakala juak berjuta menyorok di belakang tengkolok hanya taat berolok membuat bising seperti ayam berkokok menunggu disembelih keris tumpul lagi bengkok oleh puak pemakai songkok tinggi yang ghaib kehadiran tersesat di jalanan sebagai alasan balasan dosa nista pahlawan palsu berjiwa lesu. "Ada Bersih, Ada Kotor, Yang takut berkata karut, Yang berani sanggup digari, Akhirat nanti jawablah sendiri, Buku di tangan kanan atau kiri, Orang berani tidak takut mati, Kerana niat suci didalam hati, Berjuang demi Ilahi." Memang benar pagi hari yang indah menjadi petanda sejarah baru diukir. Cahaya mentari menerangi kegelapan penindasan serta pepohon hijau demokrasi memberi teduh kepanasan kezaliman, kicaun burung penuh kesyukuran perjuangan murni baru dimulakan dan warna-warni bunga ibarat berbagai bangsa bersama untuk menjadikan Malaysia Bebas, Bersatu dan Bersih. Insya Allah, Malaysia Muhibbah Merdeka sudah lahir bersih dari kekotoran pengkhianat bangsa-pemungkir janji-pemecah amanah-penghasut durjana. Terima kasih Bersih yang penuh cinta untuk pertiwi dan dengan penuh sayu salam AlFatihah untuk wira Baharudin yang gugur merintis perjuangan menuju kebebasan agar dipenuhi janji merdeka yang sebenar! Pesanan Peringatan bersama dari Thomas Jefferson: "Apabila Rakyat takut kepada kerajaan, Ia dinamakan Penjajahan (tyranny), Apabila Kerajaan takut kepada Rakyat, Itu Namanya Kemerdakaan (Liberty)" Masih mahu dibiarkan.....dibiarkan begitu sahaja? Nurul Syaheedah, USA |
Saya nak tumbuk Anwar - Kamariya Posted: 16 Jul 2011 07:04 PM PDT Akibat terlalu marah dan kecewa, wanita ini membuat laporan polis pada hari kejadian dan nekad untuk menyaman penganjur perhimpunan haram (BERSIH 2.0)itu yang didakwa telah mengakibatkan dia mengalami kerugian RM45,000.00 untuk penyediaan catering kenduri kahwin anaknya.. RM45,000.00 untuk katering kenduri kahwin dengan 3000 jemputan?? Biar betul!!.. Macam belanja kenduri anak-anak Datuk saja padahal kerja sebagai pembantu pejabat saja.. Lagipun sejak bila pula kenduri kahwin telah menjadi satu perniagaan yang menguntungkan? namapun dah kenduri.. amal jariah tu.. kalau nak untung jangan buat kenduri!! Ayat ini menunjukkan beliau tidak ikhlas dengan apa yang dikatakannya sebagai sedekah itu.."Saya dan suami, Jaharudin Khan, 63, yang merupakan siak masjid berasa sedih kerana hanya jiran-jiran yang tinggal di Desa Pandan sahaja yang boleh datang menyebabkan lauk-pauk yang ditempah dari syarikat katerer terkenal dengan kos RM45,000 terpaksa disedekahkan kepada tetamu untuk dibawa pulang, Saya nak tumbuk Anwar - Kamariya KUALA LUMPUR 16 Julai - "Kalau jumpa Anwar, (Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya nak tumbuk dia. Apa yang dia nak lagi...bertaubat sajalah." Kata-kata kemarahan itu diluahkan oleh seorang ibu, Kamariya Rejab, 59, yang kecewa setelah majlis perkahwinan anak tunggalnya yang sepatutnya berlangsung meriah bertukar muram gara-gara tindakan pertubuhan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang didalangi Anwar mengadakan demonstrasi jalanan di ibu negara pada Sabtu lalu. Akibat terlalu marah dan kecewa, wanita itu membuat laporan polis pada hari kejadian dan nekad untuk menyaman penganjur perhimpunan haram itu yang didakwa telah mengakibatkan dia mengalami kerugian RM45,000. Menurut Kamariya, dia yang bekerja sebagai pembantu pejabat di pejabat Kedutaan Malaysia di Singapura sanggup berulang-alik ke rumahnya di Desa Pandan, Kampung Pandan di sini sejak enam bulan lalu untuk menguruskan persiapan perkahwinan anak perempuan tunggalnya, Rehan Jaharudin, 29. "Rehan adalah satu-satunya anak saya dan sudah lebih 50 tahun saya menunggu detik manis untuk menyaksikan majlis perkahwinannya berlangsung dalam suasana meriah. "Selama lebih 20 tahun saya bekerja keras menyimpan wang untuk perbelanjaan perkahwinannya tetapi alangkah kecewanya apabila ia berlangsung dalam suasana muram disebabkan ramai tetamu tidak dapat hadir kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan dan Kuala Lumpur bertukar wajah menjadi seperti 13 Mei 1969," katanya. Kamariya ditemui pemberita semasa datang untuk mendapatkan khidmat guaman percuma yang disediakan oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) di Bazar Masjid India di sini, hari ini. Menurut Kamariya, dia menjemput seramai 3,000 tetamu untuk meraikan majlis perkahwinan Rehan dengan menantunya, Mohd. Dzulfikar Mahtar, 29, pada Sabtu lalu di kediamannya tetapi hanya 1,000 orang yang hadir. Selain saudara-mara dari seluruh Semenanjung, katanya, dia turut menjemput kenalan dari Singapura dan juga rakan setugas anaknya di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Putrajaya serta tempat lamanya di Tenaga Nasional Berhad. "Saya dan suami, Jaharudin Khan, 63, yang merupakan siak masjid berasa sedih kerana hanya jiran-jiran yang tinggal di Desa Pandan sahaja yang boleh datang menyebabkan lauk-pauk yang ditempah dari syarikat katerer terkenal dengan kos RM45,000 terpaksa disedekahkan kepada tetamu untuk dibawa pulang," katanya. Kamariya berkata, peristiwa sedih itu bukan sahaja membuatkan dia menangis tetapi terpaksa dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan diberi cuti sakit tiga hari kerana terlampau tertekan dengan penganjuran perhimpunan haram itu. Lidah Rasmi UMNO |
Posted: 16 Jul 2011 08:48 AM PDT LONDON, 16 Julai – Datuk Seri Najib Razak berkata demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda. "Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan," katanya dipetik Bernama Online. "Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya," kata Perdana Menteri ketika berucap pada perhimpunan rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di sini malam tadi. Kata Najib: "Kita tidak perlukan semua ini (demonstrasi)." "Apa yang kita mahu ialah sebuah negara Malaysia yang ditransformasikan, sebuah negara Malaysia yang boleh menjadi kebanggaan dan kesayangan kita," katanya lagi. "Kita mahukan sebuah negara yang boleh berdiri sama tinggi dengan negara yang maju sepenuhnya, yang boleh menjadi contoh ketara sebagai sebuah negara maju. Inilah harapan kita untuk Malaysia. "Kalau pun kami hendak dianggap membuat kesilapan, kesilapan itu semata-mata bertujuan untuk memastikan ketenteraman, keselamatan awam dan keharmonian awam sentiasa terpelihara kerana apabila berlaku sesuatu kesilapan, ia akan merebak dengan amat pantas dan sukar untuk dibayangkan apa yang akan terjadi selepas itu kerana keganasan pasti akan membuahkan keganasan juga," katanya. Merujuk kepada beberapa perkara, termasuk pencapaian pembangkang pada pilihan raya umum lepas, Najib berkata itu menunjukkan wujudnya demokrasi di Malaysia. "Dan pilihan raya di Malaysia diadakan secara bersih. Kalau anda rasa itupun belum memadai, kami akan lakukannya dengan lebih baik lagi – kami akan perkenalkan sistem biometrik, contohnya, untuk memastikan tidak wujud pengundi hantu," kata beliau. The Malaysian Insider |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan