Jumaat, 29 Julai 2011

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


(WACANA MAQASID SYARIAH) JIZYAH [2]

Posted: 29 Jul 2011 09:24 AM PDT

Seorang teman bertanya beberapa persoalan, disamping mengemukakan beberapa isykal berkenaan Jizyah ekoran dari article lepas. Bagi merancakkan wacana maqasid tersebut, diberikan ulasan seperti berikut;

Pertama :

Kenapa tak pasal-pasal tulis tentang jizyah?

Komen:

Asal penulisan tentang jizyah ini, apabila membaca tulisan seorang paderi dari Melaka yang mengkritik bentuk kerajaan islam. Tulisan itu telah dibalas oleh Khalid Samad. Tulisan itu dalam bahasa inggeris. Asalnya adalah kritikan beliau terhadap kerajaan islam, lalu dijawab balas oleh Khalid Samad dalam blog beliau, sehingga terjadi dialog bertulis antara mereka berdua tentang piagam madinah.

Article itu telah diterjemah dalam bahasa melayu untuk dijadikan buku. Ana akan berusaha hendak terbitkan buku tersebut – Isya Allah. Tetapi, setelah membaca beberapa ulasan tentang jizyah, terpanggil untuk ana menulis sedikit tentang tajuk itu. Ia disebabkan, menurut paderi tersebut, jizyah merupakan salah satu cara untuk melakukan penghinaan terhadap non Muslim dalam sesebuah kerajaan Islam, walhal ia tidak begitu pada hakikatnya.

Kedua :

Apakah sama jizyah dengan cukai? Apakah sama zakat dengan cukai?

Komen;

Untuk komen persoalan ini, diulas seperti berikut;

Satu :

Jizyah dan zakat tidak boleh disamakan. Ia adalah dua perkara yang berbeda. Dari sudut kadarnya, zakat adalah satu ketetapan dari Allah. Ia tidak berlaku pada jizyah, kerana ketetapan jizyah tertakluk kepada kemaslahatan yang diperhatikan oleh pemerintah.

Cuma dalam beberapa perkara yang melibatkan dengan zakat, ada zakat yang diwujudkan berdasarkan kepada qias kepada nas. Ia berasaskan kepada ijtihad insyaie. Seperti ijtihad Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengemukakan zakat pendapatan. Ulasan panjang tentang zakat pendapatan tersebut, boleh dibaca dalam buku fiqh zakat tulisan Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Atau jika mahu senang sedikit, boleh baca buku bertajuk "zakat" ulasan Dr Mahmood Zuhdi. Dalam buku tersebut, menukilkan penghujjahan Dr Yusuf Al-Qaradhawi tentang ijtihad beliau terhadap zakat pendapatan.

Adapun jizyah, ia bukan satu ketetapan dari pihak tuhan, tetapi ia diserahkan bulat-bulat kepada pemerintah dalam menentukan kadar bayarannya. Ia dibawah ijtihad pemerintah untuk mencapai sesuatu kemaslahatan dalam pemerintahan.

Dua:

Adapun cukai, ia adalah cara yang paling akhir bagi pemerintah untuk kutip dari rakyat. ia setelah pembayaran zakat atau jizyah, usyur dan sebagainya sudah tidak dapat menampung perbelanjaan Negara, lalu pihak kerajaan memotong gaji mereka terlebih dahulu. Dan akhir sekali, baru boleh kutip cukai dari rakyat. itupun, sekadarnya sahaja, tidak boleh berlebihan.

Ia dibawah maksud, "dharurat mengikut kadarnya sahaja".

Ketiga;

Apakah perlu membayar cukai lagi jika dah bayar zakat?

Komen:

Pembayaran zakat adalah satu keperluan ilahi. kadarnya ketetapan dari Allah, sama ada menerusi Al-Quran dan juga hadis. Adapun cukai, ia dikutip dikala kerajaan terlalu kekeringan, sehingga tidak ada cara lain untuk menampung kewangan Negara kecuali dengan cukai.

Jadi, dalam kerajaan Islam, cukai tidak ada kecuali dalam keadaan dharurat. Sekiranya kita berada dalam keadaan sebegitu, disamping sudah membayar zakat, maka kita juga perlu membayar cukai apabila diminta oleh pihak kerajaan dalam keadaan Dharurat tadi.

Keempat:

Macam mana pula kalau pendatang yang membayar zakat atau jizyah?

Komen:

Ini perkara yang membedakan zaman terdahulu dan zaman kini. Pada zaman dahulu, orang islam adalah satu keluarga dalam sesebuah pemerintahan yang berpayung atas nama khalifah. Tetapi kini, keadaan ini berbeda. Ia dikerat-kerat seperti kek, menyebabkan ada muslim mesir, muslim Malaysia, muslim Indonesia, muslim Pakistan, muslim Bangladesh dan sebagainya.

Justeru, dalam perkara ini ia memerlukan kepada ijtihad apabila tertubuhnya sesebuah Negara Islam. Lebih-lebih lagi, apabila kini timbul istilah warganegara, yang tertakluk dengan kelulusan rasmi dari kerajaan sebagai rakyat sesebuah Negara, seperti mendapat kad pengenalan, passport dan sebagainya.

Jadinya, dalam perkara ini, hendaklah diserahkan kepada pihak pembahas undang-undang dalam menentukan perkara ini, sekiranya islam terlaksana sesebuah Negara; sama ada melalui referendum rakyat, ataupun terserah keputusan dalam sidang parlimen atau dun.

Ana ada mempunyai pandangan dalam perkara ini, tetapi mungkin akan diulas di masa akan datang.

Sekian

Wallahu 'Alam

Tiada ulasan: