Khamis, 14 Julai 2011

Addin

Addin


Microsoft Akui Window Phone Gagal

Posted: 14 Jul 2011 05:00 PM PDT

REDMOND - Chief Executive Officer (CEO) Steve Ballmer mengakui perkembangan sistem operasi Windows Phone tidak berjalan seperti yang diharapkan. "Dibandingkan dengan kompetitor, ini (Windows Phone) masih sangat kecil," kata Ballmer dalam konferensi Microsoft Worldwide Partner di Los Angeles, seperti dikutip situs Telegraph kemarin. "Dalam tempo satu tahun ini, kami masih menjadi pemain yang kecil, bahkan sangat kecil." Sejak diluncurkan pada Oktober tahun lalu, platform Windows Phone 7 hanya digunakan 1 persen dari total pasar ponsel pintar di Amerika Serikat. 


Tapi, di balik "kesedihan" itu, Ballmer dengan yakin mengatakan tahun ini Windows Phone 7 akan berhasil meraih kesuksesan. Salah satu kunci sukses platform tersebut, menurut Ballmer, adalah kepercayaan dari Nokia, yang dipastikan akan menggunakan sistem operasi tersebut pada ponsel pintarnya. "Nokia dan mereka yang menggunakan ponsel untuk bisnis percaya pada keunggulan kami," katanya.

Pada platform Windows Phone, yang diadopsi oleh Nokia nantinya, kata Ballmer, Microsoft akan mengedepankan fungsi komputasi awan. Alasannya, 58 persen dari perusahaan yang hadir dalam konferensi tersebut telah menggunakan teknologi cloud computing.

"Kami adalah perusahaan yang membawa sistem ini ke mana saja Anda berada," ujarnya. "Dan layanan tersebut benar-benar akan mengubah lingkungan bisnis Anda."/tempo


Bongkar!! Sejak Merdeka, Pekan Ini Tiada Pondok Polis

Posted: 14 Jul 2011 08:59 AM PDT

Penduduk di Pekan Bingkor, Keningau merayu pihak berkuasa mewujudkan sebuah pondok polis di kawasan tersebut dan melakukan rondaan yang lebih kerap ekoran berlaku beberapa kejadian jenayah yang amat membimbangkan penduduk. Wakil penduduk, Jailin Lian berkata, baru-baru ini satu cubaan menculik dua pelajar sekolah rendah di Bingkor ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah. "Anak kami dipujuk masuk ke dalam kereta oleh seorang yang tidak dikenali, namun mujurlah ada orang dewasa yang melihat kejadian itu dan penculik terus melarikan diri," kata Jailin, mewakili orang awam yang bimbang dengan kejadian itu dari berlaku lagi.


Katanya, keadaan di Pekan Bingkor juga kini tidak berapa selamat kerana seorang peniaga dirompak oleh lelaki bermotorsikal yang dipercayai sudah lama mengintip dan merancang rompakan berkenaan pada sabtu lalu. Bahkan katanya, pada awal pagi rabu ketika seorang peniaga di Pekan Bingkor sedang membersihkan kedainya, tanpa disedarinya beg yang berisi barang berharga telah dilarikan oleh pencuri. 

"Kami meminta Polis membuat rondaan yang kerap kerana keadaan di Bingkor masa kini sangat membimbangkan orang awam. Kami juga meminta polis menempatkan Balai Bergerak buat sementara waktu," katanya. 

Jailin mengakui, beliau kerap menerima aduan dari orang ramai tentang kelibat orang yang tidak dikenali cuba mempengaruhi pejalan kaki untuk 'berkawan' atau 'mahu minta ditemani' dalam keadaan yang mencurigakan. "Pekan Bingkor bukan lagi seperti dulu. 

Kini telah menjadi pekan jenayah dan semakin meningkat setiap hari, terutama kecurian hartabenda oleh pendatang asing tanpa izin kerana ketiadaan polis," kata Jailin yang memaklumkan penduduk tidak lagi dapat bersabar dengan kejadian yang semakin serius. Sehubungan itu, Jailin merayu Pesuruhjaya Polis Sabah agar agar membina sebuah pondok polis bagi mengembalikan keamanan dan keselamatan di sini. 

Beliau turut mengingatkan ibubapa memberi nasihat kepada anak-anak mereka agar tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali. "Kejadian cubaan menculik adalah perkara terbaru yang cukup mencabar kesabaran kami di sekitar Bingkor, hinggakan ada ibubapa yang bimbang menghantar anak mereka ke sekolah," katanya. 

Jailin tidak menolak kemungkinan para penculik atau orang yang cenderung untuk melakukan jenayah menggangap kawasan luar bandar sebagai tempat yang sesuai untuk melakukan perbuatan terkutuk mereka, memandangkan jauh daripada Pusat Bandar dan Balai Polis. 

"Palis-palis jika mereka ini menculik untuk tujuan penyeludupan manusia dan pemerdagangan manusia seperti yang berlaku di Kalimantan, Indonesia," ujar Jailin yang juga Pengerusi Panel Kesihatan Klinik Bingkor./sabahkini


PSM Dakwa Polis Cipta Konspirasi Baru

Posted: 14 Jul 2011 07:16 AM PDT

KUALA LUMPUR -  Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa polis mencipta konspirasi baru untuk dikaitkan dengan parti itu berhubung penahanan enam aktivisnya di bawah Ordinan Darurat. Setiausahanya, Arutchelvan berkata, dakwaan itu berdasarkan soal siasat yang dilakukan tiga unit polis iaitu siasatan ibu pejabat polis daerah (IO), D6 Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Cawangan Khas Bukit Aman. Menurutnya, mereka menggunakan pelbagai teknik untuk soal siasat, bahasa kesat, pendekatan lembut dan keras, menanam ketakutan, penderaan (dipaksa berdiri untuk 7 jam) serta melagakan satu ahli dengan ahli yang lain. 


Harakahdaily melaporkan PSM bimbang enam tahanan itu dipaksa menandatangani beberapa dokumen yang tidak diketahui isi kandungannya. 

Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim turut hadir pada sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina tengahari tadi. Awal Julai, Polis menahan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr. Jeyakumar Devaraj di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. 

Mereka adalah 30 ahli PSM yang ditangkap ketika dalam perjalanan menghadiri program parti itu 'Udah La Tu… Bersaralah' pada 26 Jun lalu, menjelang himpunan Bersih 2.0.

Shahrizat Jalil Isytihar 'Perang'

Posted: 14 Jul 2011 06:34 AM PDT

MUAR, 12 Julai - Seluruh anggota Pergerakan Wanita Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menghadapi "peperangan" di dalam bentuk pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan tidak lama lagi. Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Selasa, Wanita Umno dan BN merupakan benteng dan perisai kepada BN terhadap segala ancaman. "Kita berharap Wanita Umno dan BN bersedia untuk menghadapi peperangan, persiapkan diri kita dengan strategi 'art of war' yang terbaru di dalam usaha kita untuk menghadapinya. Kita tidak boleh ketinggalan," kata beliau. 


Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Skuad Sayang Parlimen Pagoh yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat, Kundang Ulu, Pagoh. 

Menurutnya, anggota Wanita Umno dan BN perlu menguasai teknologi baru seperti 'social network' di dalam usaha pergerakan itu menghadapi pilihan raya umum akan datang. Mengenai perhimpunan haram Bersih, Shahrizat berkata, Wanita Umno boleh mengerahkan 1.3 juta anggotanya ke Kuala Lumpur sebagai reaksi balas kepada perhimpunan haram itu, tetapi ia tidak mahu berbuat demikian. 

Katanya, Wanita Umno tidak memilih jalan berhimpun kerana ia mematuhi undang-undang dan kerana ia sayangkan negara. "Tetapi jangan ambil mudah," kata beliau pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Wanita Umno Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Ketua Wanita Umno Pagoh Noriah Mahat/bernama

Addin :

PATRIOT anjur himpunan hanya 300 orang yang hadir termasuk Mat Bangla. Berarak 200 meter dah cabut lari. Kalau Shahrizat yang anjur.. berapa agaknya yang hadir.. itu pun termasuk Minah Indon dan Bangla sekali.


Setiap 5 Saat, Seorang Rakyat Malaysia Tolak Najib

Posted: 14 Jul 2011 04:15 AM PDT

Mengikut pemerhatian Keadilandaily.com, secara purata rakyat Malaysia yang menyertai laman peminat Facebook untuk mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur sebagai perdana menteri, bertambah setiap lima saat apabila butang F5 (refresh) ditekan. Sementara menurut laporan AFP, laman itu berjaya menarik sekitar 300 orang setiap minit untuk menekan butang like (suka) pada satu-satu masa- dengan sasarannya mendapatkan 100,000 penyokong. Sehingga kini, lebih 170,000 pengguna Facebook menyukai laman itu sejak ia diwujudkan pada Sabtu lalu- iaitu satu jumlah yang telah melebihi sasaran pentadbir laman berkenaan.


Tepat pada jam 5.22 petang tadi, seramai 176,176 pengguna Facebook menyukai laman itu dan menggesa Najib meletakkan jawatan. Jumlah itu dijangka akan terus meningkat dan kemungkinan mencapai angka 200,000 selepas tengah malam ini- iaitu satu jumlah yang dapat memenuhi dua buah Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, hanya sekitar 51 orang sahaja menyokong Najib kekal sebagai Perdana Menteri dalam laman peminat yang dibina khusus penyokongnya.

Ia merupakan satu reaksi dan tamparan hebat terhadap kepimpinan Najib- selepas rejim di bawahnya bertindak ganas menangani perhimpunan aman Bersih Sabtu lalu- mengakibatkan lebih 1,600 ditangkap pihak berkuasa./kd


Exco Melaka Di Dakwa Hina Kaum Cina

Posted: 14 Jul 2011 02:00 AM PDT

Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menyelar tindakan Adun Ayer Molek, Datuk Mohd Yunos Husin yang menghina kaum Tionghua dengan mengatakan budaya judi menjadi budaya kaum tersebut. Ketua penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, tindakan menyamakan budaya judi sebahagian budaya Cina adalah suatu yang tidak wajar dan ianya tindakan yang menghina kaum itu. Adun Barisan Nasional itu yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka telah menyatakan sedemikian dalam menjawab soalan tambahan pembangkang di dalam sidang dewan undangan negeri yang bersidang kelmarin.


Dalam soalan tambahan itu, Goh Leong San selaku Ketua Pembangkang mempersoalkan tentang mesin judi yang kemudiannya dijawab oleh Mohd Yunos bahawa ia tidak boleh disekat kerana ianya telah menjadi budaya sebilangan orang Cina.

"Kita sudah maklum bahawa budaya judi adalah budaya yang mendatangkan keburukan kepada masyarakat. Setiap kaum dan setiap agama menolak judi," kata Aizat.

Katanya, Mohd Yunus dilihat gagal dalam memahami budaya kaum Tionghua walaupun negara ini telah lama merdeka.

"Ianya suatu yang sangat malang bagi Adun yang seharusnya menjadi 'role-model' kepada rakyat memandangkan beliau adalah seorang pemimpin rakyat," ujarnya.

Beliau berkata, Exco itu juga telah gagal dalam memahami konsep 1Malaysia yang telah digagaskan sendiri oleh pemimpin mereka.

Menurutnya, sejarah juga membuktikan gagasan 1Malaysia telah gagal memandangkan telah ramai pemimpin dari Barisan Nasional dan Umno menghina kaum dan agama lain sebelum ini.

Tambahnya, tindakan menghina kaum Tionghua itu juga menjadi penyebab kepada Ketua Pembangkang, Goh Leong San yang merupakan Adun Kesidang digantung daripada menghadiri sidang dewan setelah beliau bangkit dan mendesak Adun Ayer Molek itu menarik kata-kata menghina tersebut.

Justeru, ujarnya rakyat jangan lupa bahawa pemimpin Barisan Nasional juga yang menghalalkan judi bola sepak sebelum ini. "Jangan nanti orang kata, kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih," ujarnya lagi.

Utusan Meloya Tertekan Dengan Portal Berita Pro Pembangkang

Posted: 14 Jul 2011 12:05 AM PDT

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak lagi memberi muka kepada akhbar asing dan portal berita yang menurutnya menyokong pembangkang.Menurut akhbar itu, media asing terutama portal pembangkang di negara ini begitu berani membuat laporan yang tidak benar kerana begitu yakin kerajaan melalui KDN tidak akan mengambil tindakan.Akhbar itu mendakwa, dua portal berita tempatan Malaysiakini dan The Malaysian Insider sealiran dengan akhbar luar membuat laporan palsu mengenai perhimpunan Bersih Sabtu lalu.


Utusan Malaysia dalam rencana pengarang hari ini mendakwa kedua-dua portal itu membuat banyak laporan palsu ketika perhimpunan Bersih berlangsung bertujuan untuk memburukkan kerajaan di mata masyarakat dan mencemarkan Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, sikap tidak beretika dan melampau media-media berkenaan tidak harus dibiarkan dan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendedahkan bukti apa sebenarnya berlaku pada Sabtu lalu amat dialu-alukan. "KDN tidak harus lagi berlembut dengan media-media seumpama itu yang dalam setiap laporan mereka tidak ada yang baik mengenai kerajaan dan Malaysia.

"Dalam soal ini kita tidak mahu lagi mendengar hujah atau amaran tetapi kesudahannya tiada tindakan tegas diambil," lapor Utusan Malaysia.

Menurut akhbar itu, kalaupun kerajaan cuba 'berbaik-baik' dengan mereka dengan memberikan maklumat dan fakta yang tepat dan sahih, mereka tidak akan menggunakannya.

Sebaliknya mereka akan mencari fakta lain yang boleh memburuk-burukkan imej kerajaan dan Malaysia serta tetap mendengar putar belit pembangkang.Bagaimanapun, melihat rakaman media asing Al-Jazeera tentang perhimpunan Bersih 2.0, ternyata kalimah mereka gunakan adalah realistik.

Ahli perhimpunan disifatkan sebagai pembantah kepada perjalanan pilihan raya yang disaluti amalan tidak demokratik kerana undang- undang pilihan raya yang tidak adil.

"Lalu dianggapkan urusan perhimpunan sebagai saluran untuk menuntut Najib menggubal undang-undang pilihan raya yang adil.

"Ia jauh berbeza dengan laporan media lokal yang terlampau negatif untuk Bersih 2.0, malah turut mengundang persepsi, betapa media tersebut kuat dikontrol oleh penguasa Umno-Barisan Nasional.

"Meskipun semua pengamal media boleh menyifatkan orientasi media itu sudah melanggar etika pemberitaan kerana sarat dengan kandungan kepalsuan, pembohongan dan pemfitnahan melampau," kata Wan Nik Wan Yusoff, pengkaji politik di pejabat Menteri Besar Kelantan .

Misalnya akhbar Berita Harian telah menggunakan 'imej jadian' dengan mempamerkan lagak seorang pemuda seumpama pemuda Palestin sedang melontar batu ke arah polis Israel.

Ala media Israel

"Ia suatu ciptaan, bukan realiti tentang perhimpunan Bersih 2.0. Mana ada lagak pemuda sebegitu! Ia suatu teknik kepalsuan ala media Israel (Yahudi) yang bertujuan mencemarkan misi perhimpunan Bersih 2.0," tambahnya.

Beliau berkata, media lokal itu juga turut mesra pembohongan apabila dikesan telah mengabaikan fakta sebenar tentang perhimpunan Bersih 2.0.

Di antaranya meletakkan status Bersih 2.0 sebagai gagal dan menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang kononnya ahli perhimpunan hanya sekitar 5,000 atau 6,000 orang sahaja.

"Sedangkan dalam lembaran akhbar sama turut mengesahkan lebih 1,600 telah ditangkap. Jika benar gagal, kenapa perlu tangkap sampai hampir dua ribu orang,? soal Wan Nik.

Menurutnya, pembohongan paling tidak berperikemanusiaan turut disiarkan melalui kenyataan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berhubung pengakuan di sebalik kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad.

"Kematian beliau dikatakan akibat sakit jantung, sedangkan ahli keluarganya mendakwa arwah tidak pernah mengidap sakit jantung. Apakah kepakaran polis telah mengambil alih kepakaran seorang doktor? Hanya media yang sewel seumpama media lokal tersebut sahaja yang mengiktiraf kenyataan polis sebagai benar," tegasnya.

"Satu lagi, amatlah malang apabila media lokal tersebut sudah menjadi mata pedang yang membunuh watak akibat mainan fitnah yang dihamburkan kepada masyarakat. Ia berkaitan dengan laporan terhadap (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicap sebagai petualang, penderhaka dan pengacau.

"Ia suatu fitnah besar. Maka lagak media lokal itu seumpama hakim yang pendek akal kerana mengecap Anwar dengan niat mematikan wataknya sebagai politikus yang berprinsip.

"Termasuklah juga menyiarkan pandangan yang anti Bersih 2.0, kononnya Sasterawan Negara, A. Samad Said sebagai seorang yang bijak telah digambarkan semacam watak yang pendek akal kerana boleh bersama-sama Datuk S Ambiga menuntut lapan perkara ke arah pilihan raya yang adil," ujarnya.

Addin :

Salah satu sebab lagi Utusan Meloya tertekan di sebabkan hasil jualan akhbarnya merosot, jikalau tidak kerana dana yang di suntik oleh Umno mungkin Utusan Meloya dah lama gulung tikar.


ABIM Gesa Kerajaan Perhalusi Tuntutan BERSIH

Posted: 13 Jul 2011 05:00 PM PDT

KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) beranggapan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan. Presidennya, Dr Muhamad Razak Idris turut menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi meneliti dan menilai secara objektif tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih berdasarkan kepada beberapa perkembangan yang hangat berkaitan isu tuntutan itu. 
 

Bagi tujuan tersebut, pihaknya ingin menyeru pihak SPR dan Bersih meneruskan usaha rundingan bagi menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang meminta supaya isu ini diselesaikan menerusi dialog. 

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebahagian dari tuntutan-tuntutan tersebut di luar dari bidang kuasa SPR, kedua-dua pihak harus bersetuju tentang langkah-langkah yang seharusnya dilakukan untuk tempoh terdekat dan jangka panjang bagi merungkai isu-isu berbangkit berkaitan tuntutan tersebut. 

Menurutnya, di dalam suasana masyarakat Malaysia yang terbuka hari ini dan kesedaran terhadap nilai-nilai demokrasi yang semakin tinggi, sebarang pengesyoran dan permintaan yang boleh membawa kepada pengukuhan amalan dan sistem demokrasi seharusnya diraikan secara positif dan konstruktif. 

"Tambahan pula dalam konteks ini ialah berkaitan amalan pilihanraya yang merupakan nadi kepada sistem demokrasi itu sendiri," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. 

Sebagaimana sedia diketahui, ujarnya amalan pilihanraya yang dihormati oleh semua pihak akan membawa kepada kewibawaan keputusan yang diperolehi. Ini, tambahnya secara langsung akan menyumbang kepada kesatuan penerimaan terhadap mandat kepimpinan yang dibentuk dan diputuskan oleh rakyat terbanyak.

"Kepimpinan yang diperoleh menerusi mandat rakyat secara berwibawa akan mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan diyakini oleh segenap pihak di dalam dan di luar negara," ujarnya./hrkh


Tiada ulasan: