Isnin, 27 Jun 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Bersih: Polis panggil Anwar beri keterangan hari ini

Posted: 27 Jun 2011 06:42 PM PDT


KUALA LUMPUR, 28 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil memberi kenyataan hari ini dipercayai berhubung seruan kepada rakyat agar menyertai himpunan BERSIH 2.0 dalam satu ceramah di Brickfield.

Menurut satu kenyataan Biro Komunikasi PKR lewat malam tadi , Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu diminta hadir jam 5 petang di IPD Dang Wangi.

"Notis 111 itu juga ada menyebut siasatan dibuat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan",kenyataan itu dipetik.

Dalam perkembangan sama, turut dipanggil untuk disiasat esok adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan anggota Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dan Ahli parlimen PKR Subang, R Sivarasa Rasiah.

Petang semalam , polis turut merekod keterangan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dipercayai berhubung puisi 'hasutan' di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan juga Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya dalam majlis berkenaan.

Selain A Samad, turut disiasat adalah pengerusi jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreevenasan.

Pemuda Umno serang Ibu Pejabat PKR

Sementara itu, hampir 100 pemuda Umno berhimpun di hadapan Ibu Pejabat PKR di Toropicana kira-kira jam 11 malam tadi.

Konvoi bermotor dan kereta itu difahamkan diketuai Exco Pemuda Umno, Lokman Adam.

Mereka turut membuat ucapan mengugut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengerusi jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreevenasan agar membatalkan hasrat mengadakan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Mereka juga turut mengugut untuk memusnahkan ibu pejabat parti itu jika himpunan mahu diteruskan.

Menulis di twitter, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution menyifatkan tindakan tersebut satu provokasi dan mempersoal kenapa tiada sebarang halangan dari pihak polis.

"Tindakan provokasi samseng pemuda Umno dikepalai Lokman Adam serang HQ PKR ...PM Najib apa khabar?

"Ucapan samseng Umno ugut DSAI dan Ambiga ...konvoi motorsikal dan kereta, ada permit?

"Samseng Umno ugut musnahkn HQ PKR jika teruskan himpunan Bersih 9 Julai ...apa khabar PM Najib, siapa ganas?" soalnya yang turut bergegas ke tempat kejadian selepas itu.

Menurutnya juga, lebih separuh remaja bawah umur dalam kumpulan itu memakai tshirt merah "patriot" dan membawa bendera Umno.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tropicana.

Sidang media berhubung perkara itu dimaklumkan akan dibuat di lobi parlimen esok.

Duta AS Ragui Penjelasan Putrajaya Berhubung Enjin Jet TUDM

Posted: 27 Jun 2011 06:28 PM PDT




SHAH ALAM 28 JUN : Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia memaklumkan kerajaan serta pegawai-pegawai kedutaan itu sememangnya meragui penjelasan pentadbiran Najib berhubung kecurian enjin jet pejuang F-5 milik TUDM pada 2008.

Menurut maklumat didedahkan oleh Wikileaks, dokumen yang ditandatangani oleh Duta James Keith berkata kedutaannya berkongsi "kesangsian" diluahkan oleh siri komen dalam media atas talian mengenai pendirian Putrajaya bahawa enjin jet itu dicuri oleh dua individu berpangkat rendah dan pihak di peringkat tinggi tidak terlibat sama sekali.

"Kami berkongsi beberapa kesangsian yang dilahirkan oleh blog-blog mengenai kes kerajaan dan penjelasan siapa di belakang kecurian enjin," kata dokumen itu .

"Dalam (proses) koordinasi dengan Washington, Post terus menekankan untuk mendapatkan laporan lengkap bagaimana kecurian ini berlaku dan penempatan muktamad enjin-enjin (jet pejuang), dan untuk mengingatkan GOM tentang keseriusan isu ini dan keperluan mengambil tindakan-tindakan pembetulan," kata kabel yang disiarkan oleh portal Malaysia Today hari ini.

Difahamkan "Post" merujuk kepada seorang pegawai politik AS yang berpejabat di kedutaan di sini.

Mahkamah Sesyen kini sedang mendengar kes Sarjan N. Tharmendran dari TUDM dan ahli perniagaan K. Rajandran Prasad yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM.

Pada 6 Januari 2010, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan

Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Tharmendran didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran, 38, pengarah sebuah syarikat pembekalan, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama terhadap tuduhan dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.

Kecurian enjin jet pejuang TUDM itu dilihat sebagai insiden memalukan kerajaan selepas kapal selam pertama KD Tunku Abdul Rahman tidak dapat beroperasi ketika itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji tidak akan ada unsur menutup kes berprofil tinggi itu, yang muncul ketika beliau mengetuai Kementerian Pertahanan.

Kementerian Pertahanan kemudian digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Abdullah mendakwa perbuatan itu sebagai kerja orang dalam.

Kedua-dua enjin itu dibeli pada 1972 dengan harga RM303,570, dan bukannya RM50 juta sebagaimana dilaporkan pada awal.

Kabel itu juga mendakwa media milik kerajaan berdiam diri dalam isu tersebut manakala Kementerian Luar mengambil sikap menjauhkan diri dengan pihak kedutaan tidak mendapat sesi pertemuan dengan pegawai-pegawai Wisma Putra untuk membincangkan isu berkenaan.

Ia memetik ketua penolong setiausaha (Bahagian Amerika) Mohamad Radzi Jamaluddin sebagai berkata, Kementerian Pertahanan menyedari isu tersebut dan "elusif" dalam mengendalikan kes itu."

Kabel itu, yang diklasifikasikan oleh konsul politik Brian D. McFeeters juga berkata bahawa TUDM hanya memaklumkan secara rasmi kepada AS mengenai kehilangannya pada 6 Januari 2010, hari yang sama Tharmendran dan Rajandran dicaj di mahkamah.

"TUDM faham penuh syarat-syarat kerajaan Amerika Syarikat mengenai dasar Jualan Militari Luar (FMS) berhubung insiden ini tetapi tidak dapat memaklumkan terlebih awal sementara menunggu siasatan Polis Diraja Malaysia selesai," katanya lagi.

» Exco S'gor Kesal Tindakan Polis Cetus Suasana Tegang

Posted: 27 Jun 2011 06:24 PM PDT






SHAH ALAM 28 JUN : Exco Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan kehadiran anggota polis di Uptown Shah Alam semalam yang telah menukar suasana kemeriahan majlis promosi kempen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menjadi tegang.

Exco Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Dr Yaakob Sapari berkata, kehadiran pihak polis telah menimbulkan rasa kurang selesa kepada para pengunjung.

"Keadaan menjadi lebih meruncing apabila pihak polis membuat sekatan jalan raya yang menyebabkan kesesakan yang teruk," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik mengakui menerima beberapa aduan daripada para peniaga bahawa hasil jualan mereka terjejas akibat insiden tersebut.

Dr Yaakob yang turut turun padang melawat kawasan Uptown, tiba pada jam 11:30 malam. Walaupun jaminan keamanan telah diberikan kepada polis, namun pihak polis terus mengepung tempat kejadian sehingga jam 3 pagi.

Ekoran kejadian itu, beliau mendesak agar polis membayar segala ganti rugi yang ditanggung oleh peniaga dan pihak pengurusan Uptown atas tindakan mereka.

The Xanthophobic

Posted: 27 Jun 2011 07:30 AM PDT

Kakitangan Awam Jana Ekonomi Rakyat Selangor- Anwar

Posted: 27 Jun 2011 06:59 AM PDT

SUBANG JAYA 27 JUN : Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan negeri supaya melaksanakan tugas dengan penuh tatkelola yang baik dalam memastikan unjuran peningkatan ekonomi negeri dapat berlangsung baik.

Menurutnya, perbelanjaan kerajaan negeri perlu mengambilkira keupayaan menjana pendapatan agar hasil yang diperolehi dapat dinikmati semua pihak.

"Kita menyeru dan merayu rakan-rakan pimpinan dan para pegawai supaya ruang untuk mempertingkatkan kecekapan kita dapat diterjemahkan dengan kelulusan itu dibuat dengan cara secepat mungkin. Melengahkan pemberian khidmat itu, membebankan rakyat jelata," katanya.

"Kalau perbelanjaan itu tidak bertanggungjawab misalnya dalam pengurusan ekonomi rumah tangga, yang menjadi bebannya adalah kepada anak dan dikelilingi dengan hutang piutang. Maka perbelanjaan kita perlu mengambilkira keupayaan kita menjana pertumbuhan dan mendapatkan pendapatan," katanya.

Majlis Dialog Bajet Selangor 2012 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianjurkan untuk membuka ruang kepada semua pihak bagi mengemukkan pandangan untuk dipertimbangkan kerajaan Negeri sebelum dirumuskan dalam Belanjawan 2012.

Menurut beliau, segala pandangan pelbagai pihak sama ada dari peringkat pelabur sehingga ke akar umbi suara rakyat perlu didengar dan dipertimbangkan agar tidak ada yang terpinggir dan perlaksanaan yang baik dapat dilakukan.

"Kerangka ini harus dijelaskan kerana dasar yang dibentangkan pimpinan harus difahami. Dialog ini memberikan ruang agar dasar dan aspek yang dibentangkan boleh diubahsuai memandangkan ianya peluang untuk memperoleh input daripada khalayak yang akhirnya rakyat akan memperoleh manafaat daripadanya," katanya.

Tegas Anwar, prinsip kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah yang dipegang dan pengamalan etika yang tempang merupakan dua kerangka utama yang perlu diberikan perhatian memandangkan perkara ini merupakan pokok utama kepada ketirisan dan kegagalan pengurusan ekonomi.

"Bila ia dirumuskan, maka dua perkara tertonjol. Yang pertama adalah etika, kerana isu pengurusan ekonomi itu tidak berdasarkan ketelusan, prinsip dan kerangka dasar yang jelas maka dorongannya adalah ketamakkan, dimana peringkat sekalipun berjangkit, pimpinan dengan keinginan untuk mendapat keuntungan maka rasuah, penipuan akan menjadi peraturan. Mengambil tanah rakyat, mengambil komisyen daripada kontrak, itu menjadi lumrahnya. Sama ada caranya canggih atau tidak. Dan ini mesti dihindari.

"Kedua, Kerajaan Negeri dan pengursan kewangan adalah pemegang amanah. Kalau prinsip ketidak bertanggungjawaban itu tidak ada maka dia akan mengambil keputusan yang difikirkan wajar tanpa rasa bertanggungjawab dan beranggapan bahawa wang itu bukan wang dia," tegasnya lagi.

Ujar Anwar lagi, kekayaan ekonomi dan dana yang pesat mampu meningkatkan hasil zakat negeri seperti sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dalam membantu mengurangkan beban kemiskinan yang ditanggung rakyat.

"Pendekatan yang ingin saya sentuh, dana mesti menjana pertumbuhan. Negeri mesti kaya kalau tidak zakat akan kecil. Falsafah zakat yang dikupas oleh Sheikh Yusof al-Qardawi cukup jelas, kalau ekonomi tidak berkembang zakat kecil. Kalau pelaburan besar, ekonomi berkembang, pentadbiran juga cekap dan efisyen.

"Kita berbangga kita mewarisi satu sistem pentadbiran yang mampu memberikan khidmat yang cekap dan kita harap ianya akan dapat dipertingkatkan agar lebih cepat dan berkesan. Hanya dengan pelaburan dan menjana pertumbuhan pendapatan yang pesat maka hasil zakat akan bertambah," katanya.

Majlis Dialog Bajet Selangor 2012 merupakan anjuran Perbendaharaan Negeri Selangor dihadri seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk barisan Exco dan Adun.

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor pada Mac 2008, dasar 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' diperkenalkan dalam memastikan segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dinikmati dan dikembalikan kepada rakyat.

Dakwa BERSIH Guling Kerajaan, Kabinet Najib Mula Gentar

Posted: 27 Jun 2011 06:56 AM PDT




KUALA LUMPUR 27 JUN : Bahang perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal berlangsung 9 Julai nanti semakin dirasai oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) hingga wujud tanggapan bahawa rakyat berhasrat menggulingkan kerajaan menerusi demostrasi jalanan.

Ini berikutan hampir 81 orang aktivis- aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang dilaporkan kini telah ditangkap dengan pelbagai alasan kurang munasabah.

Sehubungan dengan itu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak merasakan seolah-olah ditentang oleh rakyat walhal isu yang disuarakan semata- mata bersabit tuntutan perubahan dalam sistem demokrasi negara.

"Saya fikir pihak media juga perlu menilai justifikasi penahanan dan saya juga ada risalah yang dianggap membahaya oleh kerajaan memperincikan tuntutan Bersih 2.0. Antaranya saya fikir membahaya untuk BN iaitu untuk mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

"Jadi sekali lagi perkara ini langsung tidak boleh diterima akal," ujar beliau di lobi parlimen pagi tadi.

Tiga puluh orang aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar yang ditahan polis ketika mengedarkan risalah "Udahlah... Bersaralah" di Pulau Pinang semalam didakwa atas alasan berhasrat untuk menentang Yang di-Pertuan Agong dan menghidupkan fahaman komunis.

Mereka kini masih ditahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Nurul Izzah kemudian berkata, kerajaan Umno-BN khuatir akan maklumat yang dimuatkan di dalam risalah "Udahlah... Bersaralah" berhubung indeks persepsi rasuah termasuk indeks demokrasi dunia sampai ke pengetahuan rakyat.

Jelas beliau, sekiranya rakyat terdedah akan kepincangan yang berlaku dalam sistem demokrasi negara maka reputasi kerajaan Umno-BN akan terjejas lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Sehubungan dengan itu Nurul Izzah bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain mendesak agar polis membebaskan aktivis-aktivis yang ditahan dengan kadar segera kerana ianya bertentangan dengan prinsip demokrasi negara.

Kerahan Tenaga Untuk Media Dayus Perdana

Posted: 27 Jun 2011 03:28 AM PDT

KOMENTAR : Kini seluruh jentera media arus perdana dikerah untuk menakutkan rakyat supaya tidak menyertai Perhimpunan Bersih 9 Julai untuk menuntut sebuah pilihanraya yang adil dan telus.

Media cetak, televisyen dan radio digerakkan untuk merakamkan "keresahan" peniaga mengenai kehilangan rezeki yang menurut media akan mencecah jutaan ringgit. Bagaimana taksiran ini dibuat – Wallahu a'lam.

Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, seorang peguam yang amat dihormati, kini dilabel oleh media sebagai tali barut pembangkang yang mahu menjatuhkan BN menerusi demostrasi jalanan.

Rasanya tidak perlu dihuraikan di sini apa yang dilaporkan oleh akhbar dan TV mengenai pemimpin-pemimpin seperti Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan "buah hati" mereka, Anwar Ibrahim.

Akhbar The Star yang selama ini dilihat sebagai "cuba" memberi perimbangan dalam laporan-laporannya, akhirnya tunduk kepada tekanan BN, khususnya Umno, dan kini menfitnah Ambiga, Anwar dan Bersih 2.0 secara keseluruhannya.

Maka secara rasmi, The Star kini menyertai kelab media dayus perdana yang dipelopori oleh Utusan Malaysia, Berita Harian, Tv3 dan New Straits Times.

Hujah The Star dan media arus perdana lain bahawa kononnya Bersih 2.0 akan menyebabkan peniaga rugi berjuta-juta ringgit adalah dangkal dan tidak masuk akal JIKA lunas-lunas demokrasi dihormati.

Antara prinsip demokrasi yang dimaksudkan itu adalah hak rakyat berkumpul secara aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang dirasakan penting untuk negara.

Malaysia tidak akan "tutup kedai" (shutdown) mahupun mengalami kemusnahan ekonomi (meltdown) jika peserta Bersih dibenarkan berkumpul dan berarak di dua tiga batang jalan raya untuk menyampaikan sebuah memorandum kepada Istana Negara.

Namun jika polis bertindak secara provokasi iaitu menutup jalan , menahan sesiapa yang memakai baju T kuning, menembak gas pemedih mata dan air berkimia terhadap pemimpin dan peserta Bersih serta membelasah mereka dengan belantan – ya, perhimpunan Bersih akan dicemari dengan keganasan.

Segala tindakan polis yang dinyatakan di atas, berlaku pada perhimpunan Bersih pertama tahun 2007.

Sebaliknya, jika polis menjalankan tanggungjawab untuk menyuburkan demokrasi dengan memberi kerjasama kepada penganjur supaya perhimpunan Bersih dilaksanakan secara teratur, adakah ini akan mendatangkan kerugian kepada Negara?

Malah sebaliknya, ia akan menjadi mercutanda betapa suburnya amalan demokrasi di Negara ini dan akan menanam keyakinan pelancong dan pelabur asing betapa sopan, tertib dan teraturnya penghayatan demokrasi di Negara ini.
Pilihan itu hak pihak polis dan pegawai atasan serta menteri serta cabinet Malaysia. Itu baru namanya anak jantan yang sihat akal fikirannya dan murni serta ikhlas akal budinya untuk menabur bakti kepada Negara.
Kerjasama sedemikian oleh polis akan memperagakan kepada pelawat asing, sebuah Malaysia moden yang mengamalkan demokrasi tanpa menjejaskan kehidupan harian.

Tapi sayang, kerjasama polis yang diharapkan adalah ibarat pungguk rindukan bulan.

Polis sudahpun memulakan tangkapan ke atas sesiapa sahaja yang memakai T-shirt Bersih selain penganjur menjadi sasaran.

Apakah yang begitu menakutkan BN mengenai Bersih 2.0 sehingga pemimpin-pemimpin kerajaan, Pemuda Umno, Perkasa, Polis dan media dayus perdana digerakkan secara begitu agresif untuk membanterasnya?

BN sebenarnya khuatir perhimpunan Bersih akan mencetuskan gelombang kemarahan rakyat terhadap Umno-BN kerana mencabuli kewibawaan institusi-institusi seperti Suruhanjaya Pilihanraya.

Dalam beberapa minggu lepas, kebejatan SPR semakin terserlah dengan pendedahan-pendedahan yang menzahirkan masalah pengundi hantu, penukaran pengundi biasa kepada pengundi pos secara haram dan pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ini diburukkan dengan dakwaan Projek IC Sabah - yang menyaksikan ratusan ribu warga asing diberi kerakyatan Malaysia untuk membolehkan mereka mengundi BN - kini menular ke Semenanjung Malaysia. Pertubuhan Bukan Kerajaan dan parti pembangkang khuatir Umno-BN akan mengotakan janji untuk memenangi PRU-13 dengan apa sekali cara pun.

Wartawan-wartawan kanan di akhbar The Star, New Straits Times, Tv3, malah Utusan Malaysia sendiri cukup arif mengenai isu pengundi hantu dan pengundi pos dan impaknya ke atas keputusan di kerusi-kerusi tertentu semasa PRU yang lalu.

Namun akhbar-akhbar berkenaan tidak menegur SPR di atas kepincangan-kepincangannya, tetapi memilih untuk melancarkan tohmahan dan fitnah terhadap penganjur Bersih 2.0.

Wartawan-wartawan yang pernah mewawancara Ambiga, pengerusi Bersih 2.0, akan memberi pengakuan bahawa beliau seorang berprinsip dan bukan tunduk di bawah telunjuk pembangkang mahupun kerajaan.
Malangnya, pengakuan ini tidak boleh diberikan secara terbuka kerana ia tentunya akan mengundang tindakan daripada media itu sendiri atau Kementerian Dalam Negeri . Itulah realiti politik di negara ini. Kes bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hatta Wahari yang dipecat oleh Utusan kerana mengkritik arah tuju laporan-laporan Utusan adalah contoh hidup dan nyata!

London, New York, New Dehli, Bangkok, Jakarta – semua bandaraya-bandaraya ini sering menyaksikan perhimpunan dan bantahan. Tiada pula laporan system ekonominya ranap kerana demonstrasi.

Hakikatnya adalah, perhimpunan yang bersih dan teratur dengan kawalan polis tidak pernah menyebabkan sebarang masalah kepada peniaga, menyusahkan rakyat atau menggugat kestabilan Negara yang mahukan kelangsungan pemerintah yang menghormati asas demokrasi.

BERSIH 2.0 : Pak Samad Sedia Beri Keterangan Di Mahkamah

Posted: 27 Jun 2011 03:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 27 JUN : Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said hari ini memberi keterangan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 Seksyen 4 (1) dan Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Bagaimanapun A. Samad Said yang lebih mesra dipanggil sebagai Pak Samad kelihatan tenang sahaja dan menyatakan beliau bersedia memberi keterangan jika didakwa di Mahkamah kelak.

"Saya cuma diambil keterangan mengapa saya hadir membaca puisi di pelancaran Bersih 2.0 dan saya beri jawapan saya akan jelaskan bila dipanggil ke Mahkamah nanti. Saya tak kata apa-apa jadi sebarang kata-kata akan dijelaskan di mahkamah nanti, "kata beliau di hadapan wartawan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Semalam, beliau menemui sebuah notis yang dimasukkan ke tingkap rumahnya untuk hadir memberi keterangan kerana bacaan sebahagian puisi beliau "Unggun Bersih" ketika Pelancaran Bersih 2.0 19 Jun lalu.

Seksyen 4 kurungan 1 menyatakan kesalahan Mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apaperbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau, jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut.

Jika didakwa Pak Samad berhadapan dengan hukuman didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun Pak Samad terus mempertahankan Bersih sebagai gerakan yang baik dan membawa perubahan Positif kepada negara.

"Sangat salah untuk menyatakan gerakan ini (Bersih) akan memporak-porandakan. Saya fikir gerakan ini untuk membantu tumbuhkan suasana lebih bagus dan sepatutnya disokong dan bukan dibanta, "kata beliau.

Pak Samad diiringi oleh dua peguam NGO Lawyers For Liberty iaitu N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri.

Menurut Surendran soalan yang dikemukakan kepada Pak Samad berunsur pelik dan cuba mengaitkannya dengan politik.

"Ini kali pertama Sasterawan Negara dipanggil polis dan disoal-siasat semata-mata kerana baca puisi yang merdu.

"Soalan yang ditanya juga pelik seperti 'Dari mana dia mendapat anugerah Datuk, adakah dia dibayar untuk baca puisi itu, dan adakah ia didokong oleh parti politik," kata Surendran.

Malah Surendran dan Fadiah turut diberikan notis 111 untuk memberi keterangan pada keesokan hari kerana hadir ke pelanmcaran bersih 19 Jun lalu.

Turut memberi keterangan hari ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

BERSIH 2.0 Dan Tuntutan Murtad Dua Perkara Berbeza

Posted: 27 Jun 2011 03:22 AM PDT

SHAH ALAM 27 JUN : Tindakan media arus perdana mengaitkan peranan dan tugas Pengerusi BERSIH 2.0, Ambiga Sreenavasan sebelum ini, sebagai peguam yang mewakili kes murtad dengan himpunan aman BERSIH 2.0 sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak relevan sama sekali.

Ini kerana ia dua perkara yang amat berbeza, lantaran tugas mewakili anak guamnya Lina Joy yang memohon untuk murtad adalah bersangkut paut dengan syariah manakala tuntutan BERSIH 2.0 bertumpu pada desakan agar pilihan raya diadakan secara bersih dan adil.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin berkata dua isu yang dibangkitkan saling tidak berkait.

"Jangan kira persoalan akidah, pro-murtad dan sebagainya, Umno berselindung disebalik kepentingan mereka tentang benda-benda seperti ini, tetapi mereka sebenarnya adalah dalang besar.
"Umno-BN nyaris lemas, mereka mahu buat himpunan tetapi gagal himpunkan orang yang ramai, mereka takut kebangkitan rakyat yang besar (himpunan Bersih 2.0), dan kita bukannya mahu jatuhkan kerajaan menerusi jalanraya, tetapi kita hanya mendesak sebuah proses pilihanraya yang baik, maksudnya kita menyokong pilihanraya," katanya.

Beliau juga membidas media arus perdana yang ghairah menyerang peribadi Ambiga dan mengaitkannya dengan perjuangan BERSIH 2.0.

Justeru Badrul menegaskan, himpunan BERSIH 2.0 bukan perjuangan peribadi Ambiga mahupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia merupakan perjungan rakyat yang dahagakan pilihan raya yang bersih dan adil.

"Saya tidak ambil pendekatan siapa salah siapa tidak, tetapi lihat bertapa hipokrasi dan munafiknya Umno-BN, sengaja bangkitkan isu IFC, kalau IFC itu salah kenapa setiap kali persidangan IFC berlangsung maka akan ada menteri yang rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan di dada akhbar Berita Mingguan, terbitan kumpulan Utusan semalam yang sengaja membangkitkan insiden melibatkan sensitiviti agama dan perkauman lampau untuk menafikan kewajaran rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.

Dengan tajuk 'Orang melayu harus selidiki siapa Ambiga' serta melabel perhimpunan haram dianjurkan oleh individu perlekeh islam, media milik UMNO BN itu dilihat berkerja keras untuk melumpuhkan himpunan aman rakyat itu, 9 Julai depan.

Badrul berkata pelbagai pihak termasuk rakyat seharusnya meneliti terlebih dahulu dasar- dasar himpunan Bersih 2.0, sebelum melabelkan himpunan aman tersebut adalah bersifat politik.

Seperkara yang perlu mereka faham dan jelas adalah, himpunan Bersih 2.0 bukan didalangi oleh Pakatan Rakyat, tetapi dinaungi oleh badan- badan bukan kerajaan (NGO).

Pakatan Rakyat hanya sekadar menyokong penganjuran himpunan aman tersebut sahaja.

Mengulas lanjut perkara ini, Badrul menyifatkan ianya adalah amalan lazim setiap parti pemerintah di dunia ini yang meniti zaman kejatuhannya.
"Ini adalah trend rejim pemerintah diseluruh dunia dihujung usianya, mereka akan menggunakan apa sahaja, mencipta pelbagai slogan untuk menipu rakyat, mereka akan membesarkan imej-imej tertentu dan mereka juga akan menggunakan profesor-profesor kangkung yang dilihat hanya memperdagang nilai akademik," katanya.

Tiada ulasan: