Jumaat, 24 Jun 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Kesudahan kes video seks dalam jangkaan, dakwa Anwar

Posted: 24 Jun 2011 04:24 PM PDT

Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim mendakwa bahawa keputusan pertuduhan "Datuk T" lantaran penayangan satu klip video seks yang mengheret nama dirinya itu "sudah dijangka".

Malah, Anwar berkata, "Saya tak terkesan sama sekali. Eekmal (pembantunya) lebih terkesan, dia yang beritahu saya apa yang berlaku secara terperinci. Dan saya jangka..." Beliau meneruskan, "Siapa yang tidak tahu sistem yang ada sekarang? Dan tentunya media UMNO akan menyerang, cuba nak hidupkan balik kes yang sudah mati..."

Ketika diminta untuk mengulas isu ini, Anwar berkata, "Saya jangka, sebab tu semalam saya sebut, ini hanya satu wayang kerana yang mendakwa ialah Gani Patail. Rundingan Rahim dan Dato Seri Najib sudah berlaku mengambil masa lebih dari tiga bulan, (untuk) kes yang semudah ini. Jadi, sewajarnya rakyat tahu, apa permainan mereka. Dan tentunya digunakan medan mahkamah ini sekadar untuk melemparkan fitnah."

Beliau mempersoalkan, "Hal-hal yang melibatkan yang nyata, bukti, mengenai pembunuhan, rogol, penyeksaan, itu semua ditutup. Yang digembar-gemburkan ialah fitnah, walaupun saya sudah menafikan sekeras-kerasnya, itu yang menyebabkan saya terdorong untuk buat laporan polis. Walaupun saya tahu, keterbatasan sistem ini, tetapi kalau kita tak buat laporan polis, mereka akan berkata 'maknanya sudah bersalah'.

Anwar (gambar kanan) diminta wartawan untuk mengulas isu ini, selepas berucap dalam seminar bertajuk "Social Market Economy; an Alternative for Malaysia?" anjuran Kajian Dasar & Konrad Adenauer Stiftung, di Quality Hotel, Shah Alam, pada 24 hb baru-baru ini.

Datuk T didenda

Bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA Shuib Lazim pada hari ini didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, atas kesalahan menayangkan video lucah di bilik Seri Makmur Hotel Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur antara jam 10 pagi dan 12 tengah hari, pada 21 Mac 2011.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah, dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman seperti berikut, Eskay (kanan) didenda RM3,000, Shuib (kiri) RM1,500 dan Rahim (tengah) sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, perbicaraan kes ini tidak berhenti di situ. Peguambela Rahim iaitu Muhammad Shafee Abdullah mendakwa bahawa pelaku dalam video seks adalah "99.99% mirip rupa Anwar", memetik laporan pakar dari Amerika Syarikat, menurutnya. Malah, video seks tersebut ditayangkan di dalam mahkamah, cuma dicepatkan (fast-forward) apabila wujud aksi seks.

Meskipun tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, Rahim mendakwa misi mereka telah disempurnakan kerana telah mendedahkan "kemaksiatan Anwar". Bagaimanapun, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyelar bahawa prosedur mahkamah telah disalahgunakan, dan menuntut penjelasan polis dan Peguam Negara mengapa kes ini ditangguhkan sehingga tiga bulan? Malah, Lim Kit Siang mengkritik kenyataan memetik laporan pakar bahawa pelaku video seks 99.99% mirip Anwar, kerana laporan tersebut tidak dibuka untuk dicabar.

*Chan Kim Ming ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Dipetik, diterjemah dan disunting

Perbicaraan 'Datuk T' atau Pesta Serang Anwar?

Posted: 24 Jun 2011 03:55 PM PDT

KOMENTAR 24 JUN : Adakah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan mengambil langkah berani untuk mensabitkan Anwar Ibrahim atas tuduhan membuat laporan polis palsu ?

Atau, adakah memadai untuk Peguam Negara menutup kes ini di sini, selepas pendakwaraya mengambil kesempatan menghebahkan kononnya dua profesor sebuah kolej dari Amerika Syarikat memberitahu Polis DiRaja Malaysia bahawa orang dalam video itu adalah mirip Anwar.

Tidak ada peluang untuk peguam- peguam Anwar mempertikaikan laporan profesor dari Dartmouth College Hanover New Hampshire itu atau rekod akademik kolej itu sendiri kerana pertuduhan hanya membabitkan 'Datuk T'.

Pendakwaan itu digunakan sepenuhnya oleh Peguam Negara, Polis dan peguam 'Datuk T' untuk mengitar semula tuduhan terhadap Anwar, kali ini di dalam sebuah mahkamah terbuka.

Pada masa sama mereka menutup ruang untuk Anwar mempertahankan diri seraya memeriksa laporan "pakar" dan bukti- bukti lain yang dikemukakan semalam.

Justeru persoalan yang amat relevan adalah : Adakah Peguam Negara sanggup untuk membawa pertuduhan terhadap Anwar sendiri demi mempertahankan hasil siasatan polis dan pakar yang digunakan oleh pendakwaraya untuk mengaibkan beliau ?

Jika jawapan Gani adalah "Ya", maka ia akan membolehkan peguam Anwar menguji "bukti- bukti" pakar polis yang dimaksudkan mengenai video lucah itu serta memperinci "semangat patriotik' gandingan 'Datuk T' dalam menayangkan video lucah berkenaan.

Sayang sekali, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Shuib Lazim dan Eskay Abdullah tidak pula mengaku TIDAK bersalah dengan hujah mereka bertindak menayangkan video itu demi kepentingan negara dan bukan kerana mencari keuntungan diri.

Jika mereka berani meminta dibicarakan, maka sudah tentu ia memberi ruang kepada Anwar untuk dipanggil sebagai saksi dan peguam- peguam Anwar pula boleh memohon untuk menjadi pemerhati dengan hak menyoal balas "pakar- pakar" pendakwaraya.

Namun ini tidak berlaku. Gandingan 'Datuk T' sebaliknya cepat- cepat mengaku salah, dan membayar denda ringan. Sebaik sahaja keluar mahkamah, 'Datuk T' dan peguam mereka melontarkan satu lagi pusingan tuduhan terhadap Anwar.

Satu aspek menarik mengenai kes mahkamah 'Datuk T' adalah bagaimanakah peguambela mereka, Datuk Shafee Abdullah, memperolehi laporan daripada profesor Amerika itu jika dokumen itu adalah sulit dan dipegang oleh polis ?

Seperti yang dijangka, laporan itu dipergunakan sepenuhnya oleh Shafee untuk mendakwa kononnya kini ada pakar Amerika Syarikat mengesahkan bahawa orang dalam video itu 99.99 peratus adalah Anwar.

Yang menghairankan, ialah tidak ada pula butiran dalam laporan pakar itu yang memberikan peratusan sedemikian.

Satu carian di Internet pula mendapati Kolej Dartmouth yang menjadi rujukan Gani dan Shafee lebih terbilang sebagai kolej yang menawarkan kursus untuk siswa ijazah pertama sahaja. Kewibawaannya dalam bidang penyelidikan ala- CSI ini perlu disahkan terlebih dahulu.

Selepas pendakwaraya menghebahkan laporan pakar Amerika itu di mahkamah terbuka, peguam 'Datuk T' pula menyimpan dokumen itu untuk ditunjukkan kepada wartawan selepas perbicaraan.

Rahim, Shuib dan Eskay kemudian "dilepaskan" dengan denda berjumlah RM5,500 kerana menayangkan video lucah. Namun menurut mereka, mereka sanggup "mengorbankan diri" dengan menerima hukuman itu demi menyelamatkan Malaysia.

Jika itu alasan mereka, sudah tentu, mereka sepatutnya mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan untuk membersihkan nama mereka.

Denda beberapa ribu ringgit itu adalah harga murah untuk dibayar oleh Rahim dan dua rakannya bagi peluang mengaibkan Anwar, menjatuhkan musuh politik utama Umno dan sekali gus mencerahkan harapan Umno-BN pada pilihanraya umum akan datang.

Namun beberapa persoalan penting tidak diajukan kepada gandingan 'Datuk T', oleh pendakwaraya mahu pun polis. Antaranya;

- Eskay mendakwa kejadian berlaku di hotel, kertas tuduhan mengatakan ia berlaku di sebuah pangsapuri.

- Eskay mengaku beliau berada dalam rakaman lucah itu dan camcorder yang mengandungi rakaman itu dirampas dari beliau oleh polis.

- Justeru, bukankah Eskay mempunyai peranan yang jauh lebih berat dalam rakaman video itu ? Kenapa dibataskan dakwaan terhadap Eskay hanya dalam peranan menayangkan video lucah dan bukan sebagai pihak yang mendalangi rakaman itu sendiri ? Malah, mungkin membekalkan pelacur Cina yang dimaksudkan ?
- Dan, ini persoalan yang sering ditanya oleh media arus perdana – apa jadi dengan isu jam Omega yang diserahkan oleh Eskay kepada polis ? Tiba- tiba isu jam itu "dilenyapkan' daripada paparan orang ramai.

Ini mungkin kes pertama di dunia di mana tiga orang didakwa menayangkan video lucah namun kertas pendakwaan memberi tumpuan yang begitu spesifik kepada aspek- aspek yang boleh mensabitkan Anwar sebagai pelakunya.

Segala pertuduhan terhadap Anwar itu, malangnya, tidak boleh dijawab oleh Ketua Pembangkang kerana bukan beliau yang menghadapi pendakwaan atau pertuduhan.

Jadi ini memberi ruang yang cukup bebas untuk pendakwaraya, peguam 'Datuk T' "melanyak" beliau tanpa bimbang terhadap jawab balas Anwar di mahkamah.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mendakwa pendakwaan Datuk Trio membuktikan Umno tidak terlibat dalam video lucah yang dikaitkan kepada Anwar.

Mungkin Khairy boleh menjelaskan bagaimana tiga individu yang mempunyai kepentingan dalam Umno dan kontrak-kontrak lumayan, boleh membuat tuduhan begitu keji yang kemudiannya disokong dan diulang oleh Pejabat Peguam Negara di dalam mahkamah terbuka ?

Semua ini dibuat tanpa memberi peluang kepada Anwar untuk membela diri.

Rasanya Khairy tahu maksud pepatah "lontar batu sembunyi tangan"

Peguam Wakili Rahim Ada Agenda Politik- AMK

Posted: 24 Jun 2011 03:53 PM PDT

PETALING JAYA 24 JUN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa peguam Datuk Shafee Abdullah yang mewakili Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kes penayangan video seks lucah mempunyai agenda peribadi terhadap Ketua Pembangkang.

Ini kerana menurutnya, fakta kes yang dibaca dalam mahkamah oleh Shafee bertujuan mengemukakan hujah meringankan hukuman Rahim dilihat lebih menjurus kearah meyakinkan hakim bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video seks berkenaan.

"Kemungkinan peguam Shafee mempunyai motif peribadi, mungkin masalah beliau dengan Anwar sehingga beliau mengemukakan hujah dalam rayuan dengan menyebut dan menyerang Anwar.

"Rayuan dalam kes ini seharusnya dilakukan dalam konteks mengurangkan hukuman dan kenapa Rahim tidak boleh diberikan hukuman berat. Bukan menyerang Anwar untuk menyelamatkan Rahim, itu bukan kaedah," kata beliau.

Justeru Shamsul yakin bahawa tindakan tersebut telah dirancang dengan teliti bertujuan politik malah tidak menolak bahawa media arus perdana akan menfokus kepada si pelaku dan bukan trio 'Datuk T' yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Beliau yang ditemui Tv Selangor selepas menayangkan video dokumentari versi PKR bersama Datuk Johari Abdul kemudian menyatakan bahawa laporan pakar video dari Amerika Syarikat yang mengesahkan 99.9 peratus sepertimana yang disahkan oleh polis tidak menyebut Anwar adalah pelaku.

Namun menurut beliau laporan tersebut hanya mengesahkan pelaku adalah mirip Anwar.

"Dari segi itu, walaupun ada laporan yang dibuat kononnya dari Amerika (Syarikat) yang tidak dicabar dan melaporkan 99.9 peratus adalah Anwar, mengapa pendakwaraya tidak mengambil sikap tegas mengatakan bahawa video itu adalah Anwar dan bukan menyerupai. Ada beza menyerupai dan Anwar (sendiri)," tambah beliau.

Malah Shamsul turut berkata, wujud perkara yang meragukan mengenai hubungan Rahim dengan pemimpin tertinggi Umno- Barisan Nasional apabila terdapat maklumat mendakwa Abdul Rahim telah bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak di parlimen baru-baru ini.

"Ini adalah sama seperti konspirasi Saiful Bukhari (Azlan) terlibat kerana beliau dikatakan bertemu dengan Najib dan Rosmah. Jadi sama dari segi corak dan caranya," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau menggesa agar Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) menjalankan pendakwaan qazaf keatas ketiga-tiga individu berkenaan memandangkan mereka sudah selesai menjalani hukuman Mahkamah Majistrate.

Anwar Tetap Nafi Pelaku Dalam Video Seks

Posted: 24 Jun 2011 03:52 PM PDT

KUALA LUMPUR 24 JUN : Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kesekian kalinya bertegas bahawa beliau bukanlah pelaku dalam video seks yang membawa trio Datuk T ke mahkamah hari ini.

Bagaimanapun Anwar tidak menolak kemungkinan bahawa beliau mungkin akan turut diheret ke mahkamah kerana membuat laporan polis palsu.

"Tapi sebab mereka ini, apa sekalipun mustahil (berlaku). Mereka boleh tutup kes Altantuya (Shaariibuu), mereka boleh tutup kes bunuh dan kes rogol dan apa saja.

"Kita akan tanganinya. Kita aka persiapkan (pasukan) pembelaan kita," kata ahli parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan didakwa keranamembuat laporan polis palsu memandangkan pendakwaan dalam kes Datuk T hari ini mendedahkan bahawa pelaku dalam video seks berkenaan mirip dirinya.

Katanya lagi, beliau telah menjangkakan bahawa ketiga-tiga individu berkenaan akan dikenakan hukuman ringan kerana salah seorang daripada mereka – Tan Sri Rahim Thamby Chik telahpun mengadakan pertemuan dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya telah menjangkakan mereka akan guna mahkamah untuk melemparkan fitnah ke atas saya dan mereka akan dilepaskan dengan hukuman ringan.

"Semua ini telahpun dirancang terlebih dahulu dengan (peguam negara, Tan Sri) Abdul Gani (Patail) di belakangnya dan kita ada (peguam) hebat (Datuk Muhammad) Shafee Abdullah," katanya lagi dengan sinis.- malaysiakini.com

MP PKR tunjuk ‘dokumentari’ video seks buktikan Anwar bersih

Posted: 24 Jun 2011 04:18 AM PDT



TERKINI @ 06:26:31 PM 24-06-2011
Oleh Shazwan Mustafa Kamal
June 24, 2011

PETALING JAYA, 24 Jun — Pemimpin PKR Datuk Johari Abdul petang ini mempertahankan ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) bahawa beliau bukan si pelaku dalam rakaman video seks yang ditayangkan oleh 'Datuk T' tiga bulan lalu sambil berkata ada "seribu kemungkinan" mengenai identiti individu terbabit.

Menjawab hujah dikemukakan di mahkamah pagi tadi, wakil rakyat itu menunjukkan kepada pemberita satu "dokumentari" video seks buatan sendiri, di mana beliau merupakan "hosnya".

Tengah hari tadi, trio Datuk T menegaskan walaupun dijatuhkan hukuman kerana menayangkan bahan lucah, namun mereka menyifatkan ia "satu kejayaan" apabila dapat menyampaikan kepada rakyat identiti sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga-tiga Datuk T diijatuhkan didenda RM5,500 atas kesalahan menayangkan rakaman video seks yang si pelakunya didakwa mirip Anwar.

Ketika prosiding pagi tadi, kesemua mereka iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan.

Tegas beliau, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat Majistret Aizatul Akmal Maharani sambil menegaskan Anwar adalah pelaku dalam rakaman video seks itu.

"Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrasi ini tidak layak untuk menjadi perdana menteri dan kami berharap selepas ini, rakyat dapat menghakimi perkara yang sebenar.

"Tiada lagi kenyataan mirip-mirip Anwar... yang ada hanya Anwar Ibrahim," katanya.

"Ada seribu kemungkinan berkenaan aktor dalam video (ditayangkan oleh Datuk T)... bagi kami, ia bukan Anwar, disebabkan banyak alasan," kata Johari dalam video itu.

Video itu menunjukkan Johari bercakap kepada kamera dengan bahagian belakangnya menghala kepada televisyen skrin mendatar yang mempertontonkan bahagian-bahagian yang sudah diedit dan beberapa segmen video seks asal.

Ketika ditanya sama ada beliau sedar yang beliau boleh dicaj kerana menayangkan bahagian-bahagian tertentu video seks asal, Johari berkata, "saya mengambil tanggungjawab penuh."

'Dokumentari' itu mengetengahkan 'bukti' dalam video yang menunjukkan lelaki dalam video seks itu bukan Anwar, dengan menekankan bahawa hidung individu terbabit berbeza daripada Ketua Pembangkang, keadaan fizikal yang berbeza dan lelaki dalam video mengenakan cermin mata.

"Semua kita tahu bahawa hidung Anwar mendatar... dan juga tidak lagi memakai cermin mata selepas pembedahan laser," kata Johari lagi.

Video terbaru ini menunjukkan Joahri di satu lokasi yang tidak didedahkan, didakwa di Thailand, di mana seorang jurusolek mengenakan solekan pada muka Ahli Parlimen itu untuk beliau kelihatan seakan-akan seniman agung Tan Sri P. Ramlee.

"Datuk Shazryl Eskay Abdullah ada memberitahu bekas pengawal Allahyarham Tan Sri Megat Junid bahawa dia mahu ke Thailand untuk melakukan sesuatu ke atas Anwar.

"Video seks ini datang dari Thailand," kata Johari dalam video dengan memberikan pos di sisi gambar P. Ramlee.

"Malah anda juga boleh kelihatan macam idola," katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani ini menekankan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap penerbitan 'dokumentari' itu dan Anwar sendiri belum melihatnya lagi.

Johari berkata beliau mengambil masa kira-kira 34 hari untuk menghasilkan video itu dan melakukan sendiri segala "penyelidikan."

Kata beliau, 'dokumentari' itu dimuat naik ke dalam Youtube dalam waktu terdekat dan akan diedarkan ketika majlis ceramah kemudian.

"Ya, video ini akan diedarkan... tolong buat salinan. Kami berhutang kepada orang ramai satu penjelasan mengenai kebenaran (isu) ini," kata beliau lagi.

Karikatur Hina Islam, PAS Demo Seluruh Negara

Posted: 24 Jun 2011 04:00 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut permohonan maaf secara terbuka dari akhbar Utusan Malaysia berhubung tindakan penyiaran karikatur 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disifatkan sebagai menghina agama Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Sabki Yusof menyatakan tindakan penyiaran karikatur itu menghina sensitiviti umat Islam di negara ini dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap Utusan.

"Utusan telah menghina hukum agama Allah. Perhimpunan kita menyatakan bahawa mereka telah melakukan satu kesilapan besar terhadap umat Islam dalam negara.

"Kepada pihak JAWI dan KDN supaya mereka menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap Utusan. Sekiranya tiada tindakan yang diambil, kita akan meneruskan bantahan kita dengan skala yang lebih besar," katanya.

Sabki berkata demikian sebelum mengadakan demonstrasi membantah karikatur terbitan Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu.

Lebih 50 orang menyertai demonstrasi berkenaan yang diadakan di perkarangan Majid Jamek Kampung Baru, di ibu negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda, DPPP Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abd Aziz pula mendesak agar pihak KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia ekoran paparan akhbar itu yang sering menyimpang dari landasan sebenar.

"Tindakan awal kita menghantar memorundum kepada Utusan Malaysia agar mereka menarik balik karikatur terbabit dan memohon maaf kepada umat Islam. Kita juga minta KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia yang kita rasakan isu ini serius. Kalau mereka hina kita, kita boleh maafkan. Ini mereka menghina Islam seperti bantahan yang kita lakukan berhubung penyiaran karikatur di Sweeden dan Denmark," katanya.

DPPP hari ini menggerakkan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur mengelirukan tentang hukum Islam dalam mengadili sesuatu kes jenayah.

Selain di Kuala Lumpur, demonstrasi turut diadakan di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu ekoran keengganan Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur itu.

Dalam demonstrasi aman yang disertai kira-kira 50 orang turut melaungkan slogan "Utusan Hina Islam", "Hancur Utusan Malaysia", Boikot Utusan Malaysa", "Hidup Umat Islam", "Jangan Hina Ajaran Islam" dan "Batalkan Permit Utusan Malaysia."

Peserta demonstrasi itu juga membakar Utusan Malaysia sebagai simbolik membantah tindakan akhbar milik Umno.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada seseorang yang mirip seperti pegawai jabatan agama, namun ditolak kerana menurut watak itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Pada Jumaat lalu, Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia dan memberikan tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap kartunis yang berkenaan.

PR Galak Konsep 'Bina Dan Jual', Jana Industri Perumahan

Posted: 24 Jun 2011 03:59 AM PDT

SHAH ALAM 24 JUN : Campur tangan yang berterusan dari kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dijangka mampu memulihkan projek- projek perumahan terbengkalai yang sekaligus dapat melindungi pembeli dari risiko keberhutangan akibat rumah terbengkalai.

Langkah itu perlu dalam suasana harga barang yang semakin meningkat dan gaji rendah yang sedia menekan rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan medianya berpandangan antara lain yang boleh dilaksanakan di peringkat negeri termasuklah mempercepatkan kelulusan perancangan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) projek- projek yang dibina di bawah konsep ini.

Kerajaan negeri juga diminta menyelia anak- anak syarikat yang terlibat dengan industri perumahan agar projek perumahan siap mengikut tempoh yang ditetapkan.

Anwar juga berkata, majlis pimpinan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dan mencari kesepakatan untuk negeri- negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi menggalakkan pembinaan rumah di bawah konsep "bina dan jual" secara berperingkat.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mencari jalan penyelesaian kepada isu berbangkit sebelum konsep "bina dan jual" dilaksanakan sepenuhnya.

Kenaikan harga rumah secara mendadak ekoran kos pembiayaan projek perlu dipantau bagi melindungi hak pembeli.

Namun ia perlu juga mengambilkira keperluan nasional untuk menjamin keterlibatan pemaju- pemaju yang lebih kecil, dengan mendapatkan kemudahan pembiayaan projek pada kadar yang berpatutan.

Anwar berkata, jika kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri mempunyai kemahuan politik yang tinggi, semua ini boleh dilaksanakan dengan mengubah sikap dan struktur dalam industri perbankan dan perumahan.

Beliau menambah ekoran harga rumah meningkat secara mendadak dan tidak dapat dikawal, rakyat Malaysia kini tidak lagi mampu membeli rumah kediaman sendiri terutamanya bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Bagi mereka yang berjaya membeli rumah pertama, mereka terpaksa berhutang dalam suatu tempoh yang lama lebih- lebih lagi, rumah yang dibeli terbengkalai. Natijahnya, ramai dari mereka tidak mampu meneruskan bayaran pinjaman rumah dan disenaraihitamkan dari mendapat pinjaman di masa hadapan.

Untuk rekod, statistik terkini dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan bahawa sehingga 31 Disember 2009, terdapat 115,788 unit rumah yang tidak siap melibatkan 492 projek di seluruh negara.

PKR Terbit 'Dokumentari' Jelas Keraguan Video Seks 'Datuk T'

Posted: 24 Jun 2011 03:53 AM PDT

PETALING JAYA 24 JUN: Keraguan mengenai pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan oleh trio 'Datuk T' terjawab apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memaparkan sebuah dokumentari pendek menjelaskan secara terperinci video yang dipercayai direkayasa untuk menjatuhkan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Video sepanjang 40 minit itu ditayangkan kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR selepas mahkamah tinggi pagi tadi menjatuhkan hukuman denda kepada ketiga-tiga individu yang mengaku bersalah menayangkan video lucah kepada umum pada 21 Mac lalu.

Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang mengaku bertanggungjawab sepenuhnya menyiarkan dokumentari itu menjelaskan tujuan ianya dipaparkan adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat menilai dari aspek ketulenan fizikal pelaku.

"Saya menunggu masa yang sesuai. Tidak ada sebab untuk kita lawan di mahkamah. Saya sendiri bertanggungjawab (ke atas video) dan ini apa yang saya percaya.

"Saya tidak tuduh siapa-siapa tapi saya mahu beri peluang kepada masyarakat untuk lihat dan menilai," ujar beliau.

Dokumentari tersebut memaparkan Johari sebagai pengacara memberi penerangan mengenai bentuk tubuh badan pelaku yang amat berbeza dengan Anwar.

Ini termasuk pendedahan terbaru memperlihatkan individu dalam rakaman video tersebut memakai cermin mata walhal Anwar tidak.

Selain itu bentuk fizikal seperti perut, punggung, hidung, tali pinggang dan rambut yang digunting rapi ternyata amat bercanggah dengan susuk tubuh dan cara pemakaian Ketua Pembangkang.

Dalam dokumentari itu turut memuatkan sedutan video di mana Johari telah melawat ke negara Thailand untuk bertemu jurusolek profesional yang boleh mengubah rupa beliau mirip seniman P. Ramlee.

Ternyata hasil yang ditunjukkan kepada media memperlihatkan wajah beliau amat mirip dengan seniman agung itu dalam gambar hitam putih.

"Saya sampai ke Bangkok untuk ubah wajah saya. Jelas teknologi ini wujud," katanya lagi.

Johari kemudian memberitahu media bahawa beliau mengambil masa 34 hari untuk menyiapkan dokumentari itu termasuk menggunakan sumber kewangan sendiri dan bantuan pihak tertentu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata dokumentari tersebut akan dimuat naik di laman Youtube jam 4 petang ini dan menggesa rakyat untuk memuat turun dan meneliti perkara yang cuba disampaikan dalam video berkenaan.

Pagi tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,500 kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Shuib Lazim dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kerana didapati bersalah secara terbuka menayangkan video lucah kepada umum.

Tiada ulasan: