Jumaat, 10 Jun 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Orang Melayu tak sejahil sangkaan UMNO – oleh Muhammad Zir

Posted: 10 Jun 2011 07:16 PM PDT


10 JUN – UMNO menganggap orang Melayu kurang cerdik dan mudah dicucuk hidung. Matlamat UMNO menyerang DAP adalah untuk menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap DAP, dan seterus supaya menolak Pakatan. Ini adalah pakej UMNO mengajak Melayu membenci DAP, dan ia diulas untuk membuktikan UMNO sendiri tahu yang para pemimpinnya banyak omong kosong dan terlalu bergantung kepada fitnah.

Mengapa orang Melayu tidak ramai menyertai DAP?

Kerana UMNO berjaya menfitnah sejak zaman-berzaman, mereka memberi persepsi buruk terhadap DAP dengan mengaitkan hal perkauman, agama dan ideologi komunis. Hakikatnya, semua dakwaan itu palsu dan UMNO sendiri pun tahu yang ia palsu. Semua fitnah ini telah dibuktikan tidak relevan dan salah sama sekali. Komunis tidak mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan tetapi DAP menjunjung Perlembagaan dan segala isinya. Ideologi DAP adalah demokrasi social yang ditolak dan ditentang oleh komunis. Dalam UMNO, pernah ada pemimpin ditahan di bawah ISA kerana dituduh komunis. Bagaimana UMNO boleh menyamakan kuda dengan basikal?

Apakah benar DAP parti berbilang bangsa dan Melayu boleh menjadi pemimpin dalam DAP?

UMNO menerusi ejen-ejen seperti Utusan dan Perkasa melukis gambaran pada fikiran orang Melayu bahawa mereka hanya akan menjadi kuda tunggangan orang-orang Cina dalam DAP. Hakikatnya, untuk menjadi pemimpin yang baik dalam mana-mana organisasi, setiap individu perlu mempunyai kualiti dalam semua segi. Kualiti hanya akan wujud sekiranya organisasi itu mempunyai jumlah kuantiti yang mencukupi. Tanpa kuantiti, sukar untuk memilih kualiti yang terbaik di kalangannya. Sifir ini dengan mudah menjelaskan, mengapa orang Melayu belum ada yang menjadi pemimpin besar dalam DAP, kerana jumlahnya masih sedikit. Senario ini juga adalah kesan dari kempen UMNO BN menakut-nakutkan orang Melayu kepada DAP, hingga jumlah ahli Melayu dalam DAP belum ramai. Kini, masa depan kita pasti akan berubah.

Pada masa yang sama, perlu ditanya: MCA itu kuda tunggangan UMNO atau UMNO kuda tunggangan MCA?

Benarkah DAP menjaga kepentingan Melayu di Pulau Pinang?

Sebelum PRU 2008, kita semua tidak akan tahu jika tidak diuji. Kini, pentadbiran Pulau Pinang termasuk kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain, adalah manifestasi kerajaan yang mendukung Perlembagaan dan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Yang DiPertua Negeri masih kekal, jabatan dan agensi kerajaan kekal, kepentingan dan kedudukan semua kaum di Pulau Pinang tetap terpelihara. Pendek kata, tidak ada apa-apa perubahan dibuat untuk mengubah struktur pentadbiran negeri.

Yang baru dan amat berbeza adalah corak dan pendekatan pentadbiran. Ia kini lebih bersih, telus dan saksama dengan agihan ekonomi yang semakin adil. Maksudnya, semua ini boleh dilakukan sebelum 2008 tetapi tidak dilakukan oleh UMNO, Gerakan dan BN. Tetapi ia telah dilaksanakan oleh DAP dan Pakatan Rakyat. Ini adalah proses, dan proses adalah bukti nyata. Mana-mana ahli forensik sekali pun tidak mampu menyangkalnya. Jangan lupa, yang telah diuji pula telah gagal – UMNO. Lihat sendiri track record mereka, dulu, kini dan selamanya – gagal.

Dengan adanya pemimpin Melayu didalam DAP, adakah ia akan merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat?

UMNO hanya faham politik kaum. Pemimpin mereka ingat orang lain pun seperti mereka. Melayu letak dalam UMNO, Cina dalam MCA dan India dalam MIC. UMNO kata lompat, komponen-komponen BN lain tanya, berapa tinggi mahu lompat. Oleh kerana tidak faham atau pura-pura tidak faham, UMNO terus melaga-lagakan hubungan antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Itu kerja mereka. Bagi rakyat yang sudah celik – biarlah si Luncai terjun dengan labunya..biarkan. Hakikatnya, apa yang didukung oleh PKR, DAP dan PAS semuanya bersifat politik terbuka. Yakni rentas kaum, agama dan budaya. Ini perjuangan kemanusiaan. Semua ini menjadi dasar bersama PR yang kuat.

Benarkah DAP akan menjadikan negara ini negara Kristian? DAP mahu Perdana Menteri dari orang Cina?

Ini adalah dakyah terbesar UMNO-BN tahun ini. Mereka ibarat berkhayalkan pisang akan berbuah nangka. Dakyah ini menghina intelek masyarakat. Semata-mata mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu, mereka telah mencipta berita palsu. Mereka ingat orang Melayu bodoh dan tidak faham Perlembagaan. Sedangkan UMNO bising melalak tentang Perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan. Tidak masuk akal langsung tuduhan itu.

Lagi satu, mungkin pemimpin dan ahli UMNO lupa bahawa pemimpin besar mereka Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang sesiapa yang layak menjadi Perdana Menteri tanpa mengira kaum dan agama. Namun DAP adalah parti berprinsip yang menerima hakikat masyarakat, realiti politik bahawa orang Melayu dan Bumiputera ialah kaum majoriti di Malaysia. DAP dengan hati terbuka menerima Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu dan Islam; syaratnya pemimpin yang jujur, ikhlas, bersih dan telus dan adil.

Malah apabila ada pemimpin UMNO yang cuba "cucuk" Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan mahu menjadi Perdana Menteri, dengan senyum tenang, Presiden PAS itu menjelaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan itu. Jelas, hanya UMNO yang gila kuasa dan tidak sanggup hilang dari kuasa yang membolehkan mereka membuat segala kebejatan.

Pemimpin UMNO selalu tuduh DAP, PAS dan PKR gila kuasa. Tapi rakyat sudah tahu kelentong dan tembelang UMNO.

Dan akhirnya…

Parti mana yang akan menjadi pembangkang yang 'kuat' di Malaysia?

Jawabnya ialah UMNO dan mana-mana komponen BN yang setia dengannya. Ini adalah kerana UMNO-BN yang paling kuat membangkang semua keperluan dan kehendak rakyat.

  • Rakyat mahu hapuskan tol, ia dibangkang 'kuat' oleh UMNO-BN
  • Rakyat mahu sistem pendidikan dirombak, UMNO-BN bangkang dengan'kuat'
  • Guru-guru mahu gaji, elaun dan pengurangan kerja pentadbiran untuk tumpu kepada mengajar, UMNO-BN bangkang dengan 'kuat'
  • Wartawan, seniman dan mahasiswa mahukan kebebesan, UMNO-BN bangkang lagi 'kuat'
  • Rakyat mahu negara berkebajikan, UMNO-BN tolak keras
  • Rakyat tidak mahu subsidi dikurangkan, UMNO-BN peduli apa kerana rakyat tidak sepenting kroni korporat mereka.

Oleh kerana hebat benar bangkangan UMNO dan BN terhadap aspirasi dan keperluan rakyat, maka elok sangat jika UMNO menjadi ketua pembangkang selepas PRU akan datang. – Roketkini.com

MP Serah Dokumen Projek Hospital Shah Alam Kepada SPRM

Posted: 10 Jun 2011 09:16 AM PDT






SHAH ALAM 10 JUN :Sangsi dengan ketelusan pelaksanaan projek Hospital Shah Alam yang melibatkan kepentingan awam di negeri ini, ahli parlimennya, Khalid Samad tampil membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Laporan itu dibuat ekoran pelbagai dakwaan yang membelenggu projek terbabit termasuk isu pembayaran komisyen berjuta-juta ringgit oleh syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Kewangan.

Terdahulu, Khalid mendedahkan dokumen yang menunjukkan bekas subkontraktor projek itu, Frontier Structure menawarkan komisyen RM30 juta kepada bekas kontraktor utama Sunshine Fleet Sdn Bhd.

Manakala sepucuk surat lagi menunjukkan Kementerian Kewangan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memasukkan Frontier sebagai syarikat yang membida projek berkenaan walaupun tidak berkelayakan dan tidak berhasrat berbuat demikian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas membuat laporan itu menegaskan, beliau mahu SPRM menjalankan siasatan rapi bagaimana situasi seperti ini boleh berlaku.

"Kita mengharapkan pihak SPRM akan siasat dan selidik kenapa perkara seperti ini boleh berlaku?,"soalnya.

Adalah menyedihkan katanya, projek Hospital Shah Alam yang sepatutnya siap akhir bulan ini masih terbengkalai.

Untuk rekod, projek bernilai RM482.6 juta itu dimulakan sejak November 2007 dan bekas kontraktor utama, Sunshine Fleet hanya menyiapkan tidak sampai 30 peratus dari keseluruhan projek.

Khalid juga turut meminta SPRM menyiasat berhubung penundaan tender disebabkan mahu Frontier memperolehi pendaftaran sebagai kontraktor Kelas A terlebih dahulu.
"Ini menjadi tanda tanya bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan sekarang ini pun projek ini masih tak berjalan, kenapa ia tak berjalan? Saya rasa mereka nak beri masa untuk Frontier mendapatkan pendaftaran mereka,"tambahnya lagi.

Khalid membuat laporan dan menyerahkan dokumen bukti kepada Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad.

Malah beliau turut melahirkan kekecewaannya terhadap sikap sambil lewa kerajaan pusat di atas kelewatan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada warga Shah Alam hanya kerana lebih mengutamakan pemberian tender kepada kroni daripada kebajikan rakyat.

"Bagi warga Shah Alam ada kesannya, apabila kroni-kroni Umno bertelagah berebut projek, warga Shah Alam menjadi mangsa,"ujarnya.

Nurul tetamu persembahan untuk Selamatkan MerdekaReview

Posted: 10 Jun 2011 03:30 AM PDT

Ahli parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar bakal menjadi tetamu dalam satu persembahan seni untuk "Selamatkan MerdekaReview". Antara pasukan muzik yang bakal terlibat dalam program "Rescue MerdekaReview to uphold independent Voice" ini termasuklah Fetus, Maharaja Commision, Seconds to Collide, Think! Tadpole! Think!, NAO, Carburetor Dung, Xerpent dan lain-lain lagi.

Program ini akan diadakan pada 2 Julai 2011 (Sabtu), antara jam 3 hingga 6 petang di MCPA Theater, Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur-Selangor - bertujuan mengumpul dana untuk melanjutkan kelangsungan media internet, MerdekaReview. Sebelum ini, MerdekaReview berdepan dengan masalah kewangan untuk meneruskan operasinya. Bagaimanapun, dengan sokongan yang diberikan pembaca, MerdekaReview kini mampu bertahan untuk sementara waktu, pada masa yang sama merancang untuk mencari pelabur yang baru.

Sebagai media alternatif, MerdekaReview juga menerima sokongan daripada pertubuhan masyarakat sivil, malah media alternatif yang lain seperti Malaysiakini. Sebelum ini, Susan Loone, wartawan Malaysiakini telah menderma empat karya lukisannya untuk dilelong (auction) - tiga daripadanya dibeli oleh Encik Lee dengan harga RM10,000; sementara satu lagi dibeli oleh staf Malaysiakini sendiri dengan RM3,200 - kesemuanya diderma kepada MerdekaReview.

"Rescue MerdekaReview"

Badan bukan kerajaan (NGO) seperti jawatankuasa, pertubuhan dalam Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor juga mengambil inisiatif untuk mengadakan satu pertunjukan seni, dengan tujuan mengutip dana untuk MerdekaReview.

Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Jawatankuasa Hak Civil, Liau Kok Fah berkata, komplot antara kuasa ekonomi dengan kuasa politik telah menyempitkan ruang bersuara, sehingga masyarakat semakin berjauhan dari kebenaran. Bagaimanapun, media alternatif memainkan peranannya untuk menjadi pemantau yang terbaik.

Beliau menambah, muzik yang independen bukan bermakna untuk memberontak, tetapi melambangkan pemikiran yang independen; bukan untuk menterbalikkan tradisional, tetapi untuk berkreatif. Ciri-ciri sedemikian seiring dengan MerdekaReview.

Jawatankuasa Hak Civil ialah penganjur utama program ini, menganggap sokongan muzik independen terhadap media independen sungguh memberi makna. Muzik mempunyai pengaruhnya untuk mengkritik apa yang tidak benar dalam masyarakat arus perdana; dan kini mereka sanggup menyokong media independen untuk mengekalkan suara alternatif dalam masyarakat.

Tiket program ini terbahagi kepada RM30 dan RM50 (T-shirt percuma), boleh dibeli melalui:

1. KL & Selangor Chinese Assembly Hall
1, Jalan Maharajalela, 50150 Kuala Lumpur, Malaysia.
Telefon: 03-2274 6645, Faks:03-2272 4089

2. Akaun Maybank Merdeka Review Sdn Bhd (Nombor: 514440123099)
Sila menyimpan resit, dan faks kepada 03-7960 9916. Nyatakan nama, nombor telefon dan bilangan tiket yang ingin dibeli, atau email "resit dalam bentuk soft copy" kepada admin@merdekareview.com, dan nyatakan nama, nombor telefon dan bilangan tiket.

3. Perlu diberi perhatian bahawa tiket dituntut di pejabat KL & Selangor Chinese Assembly Hall, sama ada ia dibeli terus, mahupun melalui cara sebagaimana yang dicatat di atas.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Encik Chia (012-6517282), atau Shane (0123778558).

Baca: MerdekaReview, kini media yang dimiliki wartawan

Baca: Jom labur di MerdekaReview untuk melakar masa depan!

Edar Video Seks : Tiada Perkembangan, Penangkapan

Posted: 10 Jun 2011 02:54 AM PDT



 KUALA LUMPUR 10 JUN : Polis masih belum mempunyai sebarang petunjuk baru atau membuat tangkapan berhubung pengedaran VCD lucah yang memaparkan aksi seks seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang seperti yang dipertontonkan oleh trio 'Datuk' kepada wartawan.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

"Tiada perkembangan baru atau tangkapan berhubung perkara itu.

"Kami memang sedari bahawa video itu sedang diedarkan di negeri ini dan mengklasifikasikan kes itu mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana mengedarkan barangan lucah," katanya.

Sejak bulan lalu, semakin ramai pemimpin masyarakat mendakwa menerima video seks berkenaan.

Antara mereka termasuk ketua kampung di kebanyakan tempat di Selangor sebelum menular ke negeri-negeri lain.

Selain kampung-kampung Melayu, turut menjadi sasaran adalah kampung Cina dan India.

VCD lucah yang diposkan ke rumah mereka dikatakan berasal dari Shah Alam dan ada yang dari Melaka. Ini berdasarkan setem dan cop pos di sampul surat yang dihantar itu.

Awal hari ini, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin membuat laporan polis di ibu pejabat daerah polis Ampang Jaya setelah menerima VCD di peti suratnya bersama surat palsu yang kononnya dikeluarkan oleh PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu, dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Skandal Seks Mat Sabu

"Sebaran VCD lucah fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berleluasa ke seluruh negara. Sepatutnya pihak polis sudah boleh mengesan siapa dalangnya. Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini.

"Lebih melampau, saya sendiri telah menerima VCD dan risalah fitnah ini yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang dihantar mengandungi surat palsu yang menggunakan kepala surat PAS, VCD bertajuk 'Skandal Seks Mat Sabu' dan risalah yang memaparkan beberapa adegan dari VCD lucah...mula dicemarkan sehingga ke Ampang pula," katanya.

Zuraida mendakwa penyebaran rakaman seks itu kerja Umno sebagai usaha mereka bagi memecah-belakan kerjasama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

"Susulan dari laporan polis saya hari ini juga, saya meminta agar Unit Siasatan PDRM segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku jelas bermotifkan politik dan berkemungkinan turut melibatkan arahan dan penglibatan pihak atasan," kata Zuraida.-Malaysiakini

Dr Lo' lo' : RUU Perbadanan Pembangunan Kampung Baru Perlu Dijelaskan Secara Teperinci

Posted: 10 Jun 2011 12:27 AM PDT




SHAH ALAM 10 JUN : Beberapa cadangan berhubung Pindaan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) perlu dijelaskan kepada penduduk sebelum ia dibentangkan di Parlimen, tegas Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' lo Ghazali.

Menurut Dr Lo' lo', beliau menyambut baik pembatalan pembubaran Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (Mas) dan enakmen Mas.

Bagaimanapun pihaknya mempersoalkan apakah status lembaga itu kini, kerana Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKKB) tetap bertindak sebagai pentadbir Kg Baru.

Katanya lagi, kemasukkan jawatan Timbalan Pengerusi dalam RUU dengan menyebut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan turut dipersoalkan kerana sebelum ini dalam Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan ia mestilah dilantik daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru sendiri.

"Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan telah dikurangkan dan ditambah dengan memasukkan Timbalan Pengerusi yang mana dalam RUU PPKB 2010 yang asal jawatan ini tidak ada manakala pelantikanya akan dibuat daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Baru," katanya.

"Kenapa dalam Fasal 5(2) ini tidak disebut perlantikan mestilah di kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Baru? Adakah ada helah di sebalik perlantikan ini? soal Dr Lo' lo' dalam satu kenyataan medianya, semalam.

Dr Lo' lo' berkata, Fasal 5(1) (f) dalam RUU PPKB 2010 yang asal menetapkan untuk melantik anggota perbadanan ia memerlukan dua pemilik tanah Kampung Baru, namun setelah ia diganti dengan fasal baru lembaga berkenaan mengkehendaki lima wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Adakah ini juga disebabkan lobi-melobi daripada Badan-badan Bukan Kerajaan yang diketahui mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu atau yang gilakan jawatan di dalam Perbadanan? Apakah signifikannya perlantikan mereka ini? soalnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai mekanisme pembangunan Dr Lo' lo' berkata beliau akan merujuk perkara tersebut mengikut RUU PPKB 2010 yang asal disebut penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 tetapi dalam pindaan yang dicadangkan, peruntukan itu telah dipotong.

Ujar Dr Lo' lo' lagi, sekiranya benar Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak mahu dan tidak akan digunakan kenapa ia tidak dimasukkan terus peruntukan yang spesifik bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan dalam pembangunan Kg. Baru?

"Jika begitu keadaannya, bagaimanakah pula bentuk rancangan pembangunan yang hendak dijalankan? Apakah ia akan melibatkan pemindahan penduduk sepanjang tempoh pembangunan tersebut ? Jika perlu dipindahkan, ke mana dan adakah sebarang pampasan atau gantirugi yang akan diberikan?," soal beliau.

Tambah Dr Lo' lo', persoalan-persoalan berhubung RUU PPKB ini masih kabur kepada sebilangan besar penduduk Kg Baru dan perkara ini perlu diberikan penjelasan teperinci oleh pihak Kementerian.

Jelasnya lagi, perkara utama dalam perkara ini adalah dengan menarik semula pembentangan RUU yang dibuat pada Disember tahun lalu kerana segala pindaan yang dicadangkan itu tidak bermakna dan tidak akan menjadi sebahagian daripada undang-undang selagi mana RUU yang asal masih berada di Parlimen.



Tembak Mati Remaja : Ibu Bapa Mangsa Kesal Tindakan Terburu-buru Polis

Posted: 10 Jun 2011 12:02 AM PDT




PETALING JAYA 9 JUN : Hancur luluh hati seorang ibu apabila membayangkan saat terakhir anaknya sedang melutut dan merayu meminta nyawa sebelum ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada begitu sahaja.

Apatah lagi si penembak merupakan mereka yang sepatutnya menjaga keamanan, keselamatan dan keadilan rakyat dan orang awam.

Dengan esak tangis, Norhafizah Mohd Ghazali menyatakan kekesalan dan hilang keyakinan terhadap Polis Di Raja Malaysia(PDRM) yang seolah cuba menyembunyikan hal sebenar berkaitan kematian anak beliau, Muhammad Syamil Hafiz bin Shafiei yang ditembak mati oleh anggota polis seminggu hari jadi ke 16 nya November tahun lalu.

"Selama hampir 7 bulan saya menunggu apa yang saya fikirkan selama ini menjadi kenyataan. Anak saya memang dibunuh. Kenapa dia dibunuh? Anak saya bukannya pembunuh. Dia cuba berumur 15 tahun. Di mana keadilan untuk anak saya? Saya hilang kenyakinan pada pihak polis. Saya nak tegakkan keadilan untuk anak saya. Saya nak orang yang bunuh anak saya dihadapkan ke mahkamah dan terima balasan setimpal,"

Malah katanya, beliau tidak faham mengapa Polis yang lengkap bersenjata tidak menangkap dan menghadapkan anaknya ke mahkamah jika ia benar-benar melakukan kesalahan tanpa perlu bertindak sedemikian rupa.

"Kenapa tidak dia ditangkap sahaja, kenapa dia harus dibunuh. Mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, sebagai ibu saya tak dapat membayangkan anak saya merayu agar nyawanya tidak diambil," ujarnya.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi pada 13 Disember lalu.

Pihak polis sebelum ini turut mendakwa ketiga-tiga remaja berkenaan telah menyerbu anggatonya dengan bersenjatakan parang dan bagi mempertahankan diri mereka pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum ini, ketiga-tiga remaja terbabit juga baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1, Glenmarie dan bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Bagaimanapun laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Jabatan Kimia Malaysia didapati ia bercanggah dengan kenyataan Thaiveegan itu.

Menurut laporan bedah siasat Hairul dan Syamil dan berdasarkan penemuan keluarga pada badan mangsa, Hanafi masing-masing mempunyai dua kesan tembakan iaitu di kepala dan dada.

Kata beliau, kesemua tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada manakala peluru-peluru pula keluar rendah dan badan mereka mengalami lebam dipercayai akibat dipukul.

Ia menunjukkan trajektori peluru pada badan Hairul juga menunjukkan penembak mangsa itu melepaskan peluru dari kedudukan yang tinggi.

Laporan kimia pula menunjukkan ketiga-tiga mereka ditembak dari jarak dekat berdasarkan kesan serbuk pistol di badan mangsa.

Justeru bapa Hanafi, Omar Abu Bakar mempertikai kenyataan Polis yang seolah cuba menyembunyikan apa yang berlaku.

"Saya nak pertikaikan kenapa Polis tembak anak saya dari sebelah kanan. Dua butir di kepala dan dibahu. Pihak polis keluarkan laporan lain. Hospital keluarkan laporan betul. Dan kalau polis kata serang dari depan, kenapa tembakan dari kanan? soalnya.

"Saya tak puas hati dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor itu. Mengaburi mata rakyat untuk melindungi anggotanya. Apa standing orders untuk menenbak penjenayah bersenjata? Yang bersenjata api tembak, yang pakai parang pun tembak juga? Pistol boleh tembak dari jauh," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: