Paradigma Berani |
Lagi Surat Terbuka Dato' Mat Zain Ibrahim Untuk Perdana Menteri Posted: 11 Jun 2011 06:26 PM PDT Mat Zain bin Ibrahim, 10hb.Jun 2011. Kepada; YAB Dato Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Dengan Tangan 62152 Putrajaya, Wilayah Persekutuan. Yang Amat Berhormat Dato Seri, PERANAN PEGUAM NEGARA DALAM SKANDAL MAS. Assalamualaikum wbt. 1. Saya muncul kali ini untuk, menarik perhatian YAB kepada pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Dr.Hadenan Abdul Jalil pada 31.5.2011 yang "membersihkan" Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara sekali lagi, daripada sebarang salah laku jenayah,berkaitan pemergiannya menunaikan Haji di-Mekah, bersama-sama dengan seorang Shahidan Shafie yang dikatakan seorang proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli. 2. Saya menyatakan bahawa tindakan Tan Sri Hadenan sedemikian itu, adalah tidak teratur serta tidak mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada.Ini memandangkan beliau, sama ada secara persendirian atau sebagai sifat Pengerusi Operation Review Panel MACC tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak mengikut Perlembagaan atau mana-mana Undang-Undang,untuk menyemak apa-apa keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya atau SPRM sendiri. 3. Untuk penekanan yang lebih jelas,saya sertakan salinan surat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bertarikh 23.7.2009, menyentuh bidangkuasa mereka,yang ditanda tangani sendiri oleh YA Bhg.Tun Abdul Hamid bin Haji Mohamad,Pengerusi LPPR dengan maksudnya berpenerangan sendiri. 4. Sekiranya Jawatankuasa induk LPPR yang diperngerusikan oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara, telah mengesahkan bahawa mereka sendiri TIDAK mempunyai kuasa menyemak keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya atau SPRM,maka persoalannya ialah;darimana pula Tan Sri Hadenan memperolehi kuasa beliau untuk membersihkan Gani Patail.Selain itu Tan Sri Hadenan sendiri dipercayai telah menerima surat rayuan saya bertarikh 15.4.2009 dialamatkan kepada LPPR dan dipercayai juga, telah mengambil pendirian secara kolektif sepertimana jawapan Pengerusi LPPR bertarikh 23.7.2009 tersebut. 5. Pada pendapat saya persoalan sama ada Tan Sri Hadenan serta Ahli-Ahli jawatankuasa beliau berpuas hati atau sebaliknya, berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul,memandangkan beliau tidak ada kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati.Malahan Tan Sri Hadenan sendiri telah membuat kenyataan umum, bahawa Operations Review Panel (ORP) tidak terlibat didalam sebarang proses penyiasatan SPRM memandangkan ORP bukan sebagai sebahagian organisasi SPRM melainkan sekadar mewakili orang ramai sahaja,sepertimana yang dilaporkan oleh Bernama pada 12.11.2009. Beliau membuat kenyataan ini ketika mengesahkan akan menghantar peromohan ORP kepada Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran bertulis meneliti kes berkaitan V.K.Lingam.Saya sendiri tidak nampak apa yang ORP boleh buat dengan kes berkenaan oleh kerana ORP tidak mempunyai kuasa penyiasatan atau pendakwaan ataupun kuasa dan hak menyemak semula apa apa keputusan yang dibuat oleh SPRM atau Pendakwa Raya. 6. Seterusnya saya berpendapat bahawa tindakan Tan Sri Hadenan membuat pengumuman berkaitan pemergian Peguam Negara ke-Mekah sedemikian itu, sekadar merupakan suatu eksesais "white-washing" yang tidak teratur dan sia-sia,bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah, berdasarkan daripada penerangan yang saya berikan diatas dan juga hujah lanjutan dalam perenggan-perenggan yang akan menyusul selepas ini. 7. Antara dakwaan utama yang dibuat terhadap Gani Patail berkaitan isu pemergiannya ke-Mekah itu,ialah beliau didapati bersekongkol dengan seorang En.Shahidan Shafie yang dikatakan sebagai seorang proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli (TRI) yang sedang menghadapi penyiasatan SPRM berkaitan skandal MAS.Hubungan erat antara Gani Patail dengan Shahidan seperti ahli keluarga didakwa telah mempengaruhi Gani Patail untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap TRI. 8. Saya menyatakan bahawa Shahidan bukan sekadar seorangproxy biasa kepada TRI.Malah Shahidan mempunyai liabiliti penjenayahannya yang tersendiri dalam Skandal MAS tersebut, berasingan dengan liabiliti jenayah TRI.Dakwaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan kepada SPRM yang dibuat oleh En.Shahari bin Sulaiman Pengarah Urusan MASKargo Sdn Bhd.sebuah anak syarikat MAS pada 20.5.2009.Untuk kemudahan rujukan,saya lampirkan salinan laporan berkenaan yang pernah disiarkan kepada umum oleh blog Malaysia Today sekitar bulan Ogos 2010. 9. Siapa Shahidan,apa hubungan beliau dengan TRI dan apa peranan yang dimainkan oleh Shahidan, dilaporkan secara teratur dan kemas dalam laporan berkenaan.Begitu juga dengan peranan dan tanggungan liabiliti jenayah oleh individu-individu lain yang dinamakan dalam laporan sama.Kredibiliti laporan oleh MAS tersebut tidak boleh dipertikaikan memandangkan terdapat wakil Kerajaan dalam Lembaga Pengarah MAS sendiri. Malahan laporan dari MAS itu seharusnya dianggap sebagai laporan daripada Kerajaan.Kerugian terkumpul RM 8 Billion akibat Skandal MAS itu juga wajar dianggap sebagai pendedahan oleh Kerajaan sendiri. 10. Pada 15 Disember 2010,Tan Sri Hadenan telah membuat pengumuman bahawa Skandal MAS tersebut masih dalam siasatan SPRM setelah muncul keterangan dan saksi-saksi baru.Pengumuman ini telah disiarkan secara meluas oleh media MSM dan alternatif.Ini bermakna status TRI ialah beliau masih dalam siasatan.Begitu juga dengan status setiap seorang yang dinamakan dalam laporan MAS tersebut.Ini juga bermakna bahawa status Shahidan dalam Skandal MAS ini juga, adalah beliau masih dalam siasatan SPRM. 11. Persoalannya ialah adakah wajar,Gani Patail seorang Peguam Negara yang masih berhidmat dilihat sebagai bersekongkol dengan Shahidan, seorang yang masih dalam siasatan serious SPRM, yang mana hasil siasatannya kelak, dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara yang diketuai oleh Gani Patail sendiri.Mampukah SPRM atau Jabatan Peguam Negara bertindak berkecuali serta memberikan pertimbangan yang adil dan saksama dalam kes ini sedangkan skandal ini melibatkan kerugian melebihi RM 8 Billion wang Rakyat. 12. Ketika membuat pengumuman pada 31.5.2011 itu pula,Tan Sri Hadenan tidak langsung menyebut berkaitan status Shahidan dalam penyiasatan SPRM ataupun mengesahkan sama ada Gani Patail dan keluarganya benar telah pergi dan tinggal bersama dengan Shahidan ketika di-Mekah ,walapun fakta ini adalah fakta material dalam penyiasatan.Sekiranya Tan Sri Hadenan mengharapkan untuk menemui rekod transaksi kewangan antara TRI atau Shahidan didalam akaun persendirian Gani Patail,maka itu seolah mengharapkan bulan jatuh keriba.Sama ada beliau sedar atau tidak,Tan Sri Hadenan boleh disifatkan telah menyembunyikan sesuatu fakta material yang boleh dianggap sebagai suatu perdayaan sepertimana yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan. 13. Perkara utama dalam isu ini, tidak lain daripada mempertimbangkan tingkah laku atau conduct Gani Patail.Sama ada sebagai seorang Peguam Negara,sepadan atau tidak, beliau bersekongkol secara terang-terang dengan seorang yang sedang dalam penyiasatan pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dalam suatu skandal besar melibatkan wang Rakyat.Apabila ianya melibatkan isu conduct seorang Peguam Negara yang sedang berhidmat,maka pihak yang mempunyai kuasa atau hak mengadilinya, hanyalah sebuah Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri, sepertimana yang sedia ada secara spesifiknya dalam Artikel 125 (3) dibaca bersama Artikel 145 (6) Perlembagaan.Saya yakin saya tidak perlu menjelaskan perkara ini lebih lanjut lagi memandangkan Kerajaan sendiri pernah menghadapi situasi serupa dalam isu conduct mantan Ketua Hakim Negara, YA.Bhg.Tun Salleh Abbas. 14. Seorang Peguam Negara yang berwibawa dan mempuyai kredibiliti tidak tercemar, akan mempertahankan hak dan keistimewaan jawatan beliau yang sedia diperuntukkan dalam Perlembagaan.Beliau tidak akan sama sekali membenarkan, mana-mana pihak yang tidak berkenaan, sewenang-wenangnya mengadili atau meneliti perihal conduct beliau sepertimana yang pernah dicabar oleh Tun Salleh Abbas suatu ketika dahulu.Malangnya Gani Patail yang kita kenali, sanggup merelakan dirinya diadili oleh sesiapa jua asalkan pihak berkenaan sanggup mengistiharkan secara umum, bahawa beliau bebas daripada sebarang salah laku jenayah.Sekiranya Gani Patail tidak mampu dan berani mempertahankan hak dan keistimewaan jawatan beliau sendiri,maka bagaimanakah Rakyat boleh mengharapkan beliau menjadi pelindung serta mempertahankan hak kesamarataan Rakyat dari sudut Perlembagaan dan undang-undang Negara. 15. Walaubagaimanapun perkara yang ,menarik dalam laporan Pengarah Urusan MASKargo itu ialah; "modus operandi" (M.O.) yang diamalkan oleh TRI dan lain-lain individu terlibat dalam Skandal MAS tersebut. M.O yang dimaksudkan ialah, "membuat perjanjian/konrak jangka panjang yang berat sebelah". M.O sebegini dikatakan telah diamalkan oleh TRI dalam beberapa perjanjian/kontrak sejak beliau mengambil alih MAS dari tahun 1994 sehingga 2001 yang menyebabkan kerugian terkumpul lebih daripada RM 8 Billion. 15.1. Rakyat juga kini mendapat tahu bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dilaporkan telah menandatangani beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah dengan beberapa Penjanakuasa Bebas (IPP),yang mengakibatkan Rakyat menanggung kerugian lingkungan RM 20 Billion. 15.2. Begitu juga dalam hal skandal kewangan Syarikat Perwaja Steel, dimana beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah telah dibuat dengan beberapa Syarikat dalam dan Luar Negara yang mengakibatkan dana Rakyat sekitar RM 4 Billion lesap. 16. Secara kebetulan pula ketiga-tiga "skandal kewangan" ini berlaku atau bermula antara tahun 1994 hingga tahun 1996.Tidak salah jika demi kepentingan Rakyat, Kerajaan meneliti semula kesemua perjanjian/kontrak yang dikatakan berat sebelah itu memandangkan terdapat keserupaan dalam M.O yang digunakan oleh ketiga-tiga Syarikat terlibat untuk mencari "common factor"yang mungkin boleh ditemui jika penyiasatannya dilakukan dengan teliti.Kita tidak boleh mengenepikan kemungkinan mendapati orang atau kumpulan orang-orang yang menyediakan terma-terma perjanjian/kontrak berkenaan terdiri dari kumpulan orang yang sama.Kajian kriminologis telah membuktikan bahawa pencuri,perompak dan penipu lazimnya akan mengamalkan M.O yang sama setiap kali melakukan jenayah kerana itu adalah kelebihan atau kemahiran mereka. 16.1. Saya percaya eksesais ini berbaloi memandangkan kerugian yang Rakyat telah tanggung melebihi RM 30 Billion.Mungkin Rakyat sendiri tidak dapat membayangkan nikmat dan kemudahan yang mereka akan rasai jika wang sebanyak itu telah dibelanjakan untuk kepentingan mereka. 17. Boleh dikatakan tahun 1994 hingga 1996 merupakan suatu tempoh bila mana "skandal-skandal" dan kontroversi menggemparkan Negara berlaku atau bermula.Selain daripada skandal kewangan melibatkan MAS,TNB dan Perwaja Steel yang telah dibincangkan dalam perenggan diatas, beberapa peristiwa menarik perhatian umum yang saya masih ingat antaranya; 17.1. Beberapa orang Menteri Kanan dan Ketua Menteri didedahkan melakukan salahgunakuasa dan rasuah melibatkan ratusan juta Ringgit. 17.2. Pendedahan percutian mantan Ketua Hakim Negara Tun Eusuff Chin dan keluarga ke New Zealand bersama VK Lingam dan keluarga. 17.3. Pendedahan percutian Peguam Negara Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah dengan VK Lingam dan ahli perniagaan Vincent Tan ke-Italy/Spain. 17.4. Rompakan terbesar dalam sejarah Negara berlaku di-gudang MASKargo, Terminal B Lapangan Terbang Subang dalam bulan Ogos 1994.Dalam kejadian ini kumpulan "Geng Mamak" terdiri daripada kumpulan 6 adik-beradik berasal dari Kuala Kangsar,Perak telah melakukan rompakan nekad, 300 ketul jongkong emas bernilai RM 10 juta.Kami mengenalpasti Geng Mamak yang melakukan rompakkan ini berdasarkan daripada kajian M.O mereka. 18. Kecuali kes rompakan 300 jongkong emas di-MASKargo itu,peristiwa-peristiwa lain yang disebutkan diatas masih lagi diperbualkan dan dibahaskan sehingga hari ini.Mungkin kerana kerugian lebih RM 30 Billion itu adalah terlalu besar untuk Rakyat berdiam diri atau memaafkan sesiapa juga yang terlibat mengakibatkan kerugian sebanyak itu yang menyebabkan sebilangan besar Rakyat menderita selama itu. 19. Dalam tempuh 1994 hingga 1996 itu juga,Gani Patail turut sibuk memainkan peranannya menutup kes atau membenamkan maklumat yang melibatkan Menteri-Menteri atau Ketua Menteri berkaitan yang boleh dibuktikan sebagai telah melakukan salahguna kuasa dan rasuah.Tidak ketinggalan juga berkaitan kes Perwaja dan kemudiannya yang berkaitan dengan TRI. 20. Berbalik kepada perkara eksesais membersihkan Gani Patail daripada sebarang salahlaku jenayah pada 31.5.2011 itu, bukanlah kali pertama SPRM lakukan. Bukan sahaja keputusan ini sudah dijangkakan,malahan Rakyat telah sampai ketahap meluat dengan tindak-tanduk SPRM yang tidak putus-putus berbohong, semata-mata untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah. Rakyat telah hilang keyakinan terhadap SPRM sehinggakan apa juga kebaikkan dan kejayaan yang dipamirkan oleh SPRM dianggap sebagai sandiwara untuk mengabui mata Rakyat semata-mata. 21. Padahalnya, Operasi 3B yang SPRM lancarkan 2 bulan lalu, yang menghasilkan kejayaan cemerlang, patut diberi pujian dan sepatutnya mampu mengembalikan maruah SPRM yang telah tercemar.Bukan mudah untuk mencapai kejayaan sedemikian itu,melainkan operasinya dirancang dan dilaksanakan dengan tahap professionalisma yang tinggi dan kerahsiaan maklumat yang ketat, yang diamalkan oleh setiap seorang Pegawai dan angguta terlibat dalam operasi tersebut. Malangnya segala usaha mereka dianggap sebagai sandiwara semata-mata.Namun kita tidak boleh menyalahkan Rakyat kerana mereka mempunyai sebab untuk membentuk persepsi sedemikian. 22. Walaubagaimanapun dalam hal ini hanya SPRM sahaja yang berhak memilih jalan terbaik untuk mereka.Sama ada mereka terus memilih untuk melindungi Gani Patail seorang dan sanggup membiarkan Rakyat terus mengecam mereka, ataupun mereka memilih mempertahankan nama baik dan maruah organisasi dan setiap seorang warga SPRM dan keluarga mereka.Saya yakin Yang Amat Berhormat tidak keberatan membantu mereka. Selamat sejahtera.Wassalam. Terima kasih, Yang benar, (MAT ZAIN IBRAHIM) |
DATO’ MENTERI BESAR LAWAT RAKYAT DI SEPANG.... Posted: 11 Jun 2011 06:22 PM PDT KENYATAAN AKHBAR 11 JUN 2011 DATO' MENTERI BESAR LAWAT RAKYAT DI SEPANG Dato' Menteri Besar Tan Sri Khalid semalam telah meluangkan satu hari di daerah Sepang bersama rakyat sempena Progam Khas Mesra Rakyat di seluruh Selangor yang bertujuan mendekati rakyat serta memahami dan menyelesaikan masalah mereka. Beliau memulakan program di Sepang dengan Program Perhimpunan Pagi dan Dialog di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, bersama kakitangan kerajaan serta pemimpin tempatan termasuk pegawai kerajaan, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuaan Kampung (JKKK) di Sepang. Dalam sesi dialog tersebut, Menteri Besar memberi penerangan mengenai dasar-dasar baru, terutamanya dasar yang bertujuan memudahkan sistem pentadbiran dalam isu-isu tanah. "Di bawah Skim Pemilikan Tanah Persendirian, rakyat yang ingin memiliki tanah atau rumah secara sah kini ada pillihan untuk membayar RM 1,000 sahaja sebagai premium. Bayaran penuh premium hanya akan dikenakan sekiranaya tanah atau rumah tersebut dijual kepada pihak ketiga yang bukan ahli keluarga," kata beliau. Turut diperkenalkan adalah sistem pentadbiran tanah yang berasaskan sistem data komputer yang akan meringankan beban pegawai kerajaan dalam penyimpanan fail-fail tanah seperti sedia ada. Beliau juga telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menambah baik pengendalian Skim Mesra Usia Emas dengan mewujudkan satu program baru dimana baucer pembelian barangan makanan akan diberi kepada warga emas. "Kita lakukan begini kerana warga emas walaupun gembira dengan skim khairat kematian sebanyak RM2,500, namun begitu mahu menikmatinya sewaktu masa hidup. Oleh yang demikian, kita akan lancarkan program 'Jom pergi shopping bersama ADUN'. Bagi warga emas yang menyertainya akan dibawa ke hypermarket di mana mereka akan diraikan serta diberi baucer untuk berbelanja. Syarikat besar seperti Tesco, Giant dan Econsave telah menyatakan keinginan untuk turut serta dalam program ini," kata beliau. Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM5 hingga RM 10 juta untuk menjayakan inisiatif ini. Dato' Menteri Besar turut serta dalam dialog bersama lebih 4,000 rakyat di Dewan Orang Ramai Dengkil di mana rakyat berpeluang mengutarakan masalah-masalah yang dihadapi terus kepada Menteri Besar. Dalam ucapan beliau, Dato' Menteri Besar mengulangi komitmen beliau terhadap menjunjung amanah yang diberikan oleh rakyat, iaitu untuk mereformasikan kerajaan negeri. "Program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah untuk manfaat semua rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama, atau kecenderungan politik," tambah beliau. Di Dengkil, Dato' Menteri Besar menyampaikan bantuan MES kepada peserta Skim Mesra Usia Emas dan Tabung Warisan Anak Selangor serta menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang. Sebelum itu, beliau telah menunaikan solat jumaat bersama rakyat di Masjid As-Syakirin, Kg. Labu Lanjut dan seterusnya menjamu selera bersama lebih kurang 300 penduduk. Seterusnya beliau turut melawat pengusaha industri kecil dan sederhana di Kampung Sungai Buah. Kemuncak program tersebut adalah ceramah perdana berkenaan pencapaian negeri Selangor di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, dimana penasihat ekonomi negeri, Dato' Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan. Penasihat Ekonomi Negeri Selangor telah mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah memperkenalkan pelbagai dasar dan program demi membela kebajikan rakyat terutama program pemilikan rumah serta pembinaan rumah mampu milik. "Ini sebenarnya bukan kewajipan kerajaan negeri kerana kewangan kerajaan negeri mempunyai kekangan. Namun demikian, kerajaan negeri Selangor terpanggil untuk lakukan projek perumah mampu milik kerana kerajaan persekutuan enggan berbuat demikian. Jadi saya ingin mengucapkan syabas kepada Tan Sri Khalid," kata Anwar kepada lebih kurang 1,000 hadirin di ceramah tersebut. Sepang adalah daerah ketiga yang dilawati sempena Progam Khas Mesra Rakyat selepas Klang dan Hulu Langat. Beliau dijangka melawat Hulu Selangor pada Julai depan. Dikeluarkan oleh SEKRETARIAT AKHBAR PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR |
You are subscribed to email updates from Paradigma Berani To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan