Pahang Daily Online |
- Terkini: Pihak Polis 'Melarang' Himpunan Bantah Isu Lynas Di Perkarangan Stadium Darul Makmur Program Berpindah Ke Bukit Pelindung Ahad Ini !
- Pengerusi Felda, Isa Samad Dakwa Langkah Buat Pinjaman 'RM6 Bilion' Daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 'Bukti' Ia Di Landasan Kukuh !
- Peringatan: Puting Beliung Di Karnival 1 Malaysia Rompin, Satu Peringatan Buat Kita Yang Terleka !
- Edisi Sukan: Lin Dan Tersingkir Badminton Super Siri Terbuka Indonesia, Lee Chong Wei Pula Mara
- Edisi Sukan: Malaysia Tewaskan Lebanon 2-1 Pada Pusingan Kedua 'Kelayakan Olimpik' Malam Tadi !
Posted: 24 Jun 2011 02:31 AM PDT KUANTAN 24 Jun - Pihak polis hari ini mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram berhubung bantahan isu Lynas, dipercayai akan diadakan di pekarangan Stadium Darul Makmur, Ahad ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, setakat ini tiada sebarang permohonan permit dikemukakan oleh mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan itu. Beliau berkata, polis menerima dua laporan berhubung perhimpunan itu dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengikuti perhimpunan haram itu. Katanya, cadangan mengadakan perhimpunan itu turut disebarkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS). "Dengan penyebaran SMS berkenaan, kami menjangkakan lebih 300 orang akan menghadiri perhimpunan itu yang dipercayai dianjurkan oleh Persatuan Save Malaysia yang belum didaftarkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Zulkifli berkata pihaknya telah bersiap sedia untuk menghadapi perhimpunan itu bagi mengelak sebarang masalah yang timbul sekiranya ia berlaku. Polis akan menguatkuasakan Seksyen 27(5) Akta Polis 1957 bagi membolehkan polis menghentikan perhimpunan tanpa sebarang waran manakala Seksyen 27(6) akta sama memberi kuasa kepada polis untuk tangkap individu yang terlibat, katanya lagi. [Sementara itu, difahamkan himpunan di yang bakal diadakan di perkarangan Stadium Darul Makmur itu khabarnya sudah dipindahkan ke Bukit Pelindung berhampiran pantai Teluk Chempedak. Ini berikutan terdapat ura-ura pihak polis akan menggunakan kuasa dan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat jika program itu diteruskan di sana. Justeru, orang ramai yang menyokong bantahan Lynas diseru hadir beramai-ramai bermula jam 7.00 pagi untuk bersama-sama NGO Save Malaysia meneruskan demontrasi aman membantah projek kilang memproses rare earth Lynas Corporation di Gebeng itu. Nampaknya, kini pihak polis semakin agreasif cuba menggagalkan himpunan yang dirancang oleh rakyat. Semuanya mungkin dek kerana terpaksa akur dengan arahan pihak atasan (politik) yang semakin takut dengan kebangkitan suara rakyat susulan kehangantan isu kontroversi ini]. |
Posted: 23 Jun 2011 11:01 AM PDT KUALA LUMPUR 24 Jun - Langkah Felda membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuktikan Felda berada pada landasan yang kukuh berikutan keyakinan KWSP dengan keupayaannya untuk membayar balik pinjaman itu, kata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (foto). Beliau berkata, perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana ia adalah satu transaksi yang biasa dibuat dalam setiap perniagaan. "Bagi saya perkara membuat pinjaman ini adalah menjadi perkara biasa, jadi pinjaman yang kita (Felda) buat kepada KWSP itu seperti satu penghormatan kepada Felda kerana mereka (KWSP) yakin kita (Felda) mampu membuat bayar balik pinjaman itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad semalam. Beliau mengulas kenyataan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) baru-baru ini yang mempertikaikan tujuan Felda meminjam RM6 bilion daripada KWSP dan mendakwa ia bagi tampung masalah kewangan yang dialami organisasi itu. [Kenyataan Isa Samad ini sebenarnya jelas membuktikan serta mengukuhkan lagi hujjah bahawa Felda sebenarnya memang sudah berada pada landasan yang tidak kukuh "muflis" seperti yang didedahkan oleh Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK) sebelum ini. Jika benar Felda kukuh, kenapa mereka tidak meminjam daripada agensi kewangan sendiri. Kenapa perlu mengambil wang caruman pekerja untuk itu?. Bukankah ini membuktikan Isa Sama takut Felda gagal membayar segala pinjaman berkenaan, lantaran itu mereka gusar akan dibebani dengan masalah yang lebih besar selepas ini. Jalan terbaik ialah meminjam daripada KWSP yang mereka tahu akan disokong oleh kerajaan itu sendiri sebenarnya. Jika benar Felda kukuh, kenapa pula mereka perlu meminjam wang daripada agensi lain?. Bukankah ini satu bukti jelas bahawa Felda sudah kehilangan arah tuju sekarang ini. Justeru, rakyat terutamanya warga peneroka diminta berfikir sebelum membuat tindakan dalam pilihanraya umum akan datang. Jangan dibiarkan rakyat terus ditipu lagi]. |
Peringatan: Puting Beliung Di Karnival 1 Malaysia Rompin, Satu Peringatan Buat Kita Yang Terleka ! Posted: 23 Jun 2011 10:36 AM PDT ROMPIN, 24 Jun - Kejadian ribut "puting beliung" yang disertai oleh hujan lebat yang melanda tapak karnival 1Malaysia di Tanjung Gemuk dekat sini dua hari lalu jelas sekali meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada para peniaga yang terlibat. Berdasarkan kepada laporan Sinar Harian semalam, dalam kejadian tersebut berpuluh-puluh peniaga terpaksa lari bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing ketika kejadian. Dalam kejadian jam 5 petang itu, angin kencang berwarna hitam membentuk corong berputar yang dikatakan dari Sungai Anak Endau itu sekelip mata meranapkan sebahagian besar kanopi di kawasan itu. Sebanyak 10 kanopi rosak teruk dan sebahagiannya runtuh, manakala 24 kanopi lagi di kawasan sama turut terkena tempias angin kencang mengakibatkan barang-barang perniagaan bertaburan di merata-rata tempat. Dianggarkan semua peniaga mengalami kerugian sebanyak RM500,000 setelah barangan perniagaan mereka musnah dan rosak teruk dalam kejadian paling dahsyat pernah berlaku itu. [Soalnya sekarang, apakah semua yang terjadi ini adalah satu bala dan peringatan daripada Allah SWT terhadap hambanya?. Apakah para peniaga dan penganjur yang terbabit dapat menerima kenyataan yang acara tersebut dipenuhi dengan unsur-unsur hiburan maksiat yang bertentangan dengan agama Islam. Lantaran itulah kita tidak hairan ribut sedasyat itu melanda kawasan terbabit sebenarnya. Pengajaran dan ikhtibar yang harus diambil oleh semua pihak ialah, tidak sewenang-wenangnya mengadakan karnival jualan yang diselitkan dengan berbagai unsur maksiat yang jelas menghina kesucian agama Islam itu sendiri. Semoga semua yang berlaku ini dapat dijadikan ikhtibar oleh semua pihak agar lebih berhati-hati selepas ini. Semoga mereka tabah menghadapi segalanya. Apa yang penting, tidak ada nyawa yang terkorban dalam kejadian ini. Jika tidak sudah pasti sesuatu yang lebih besar bakal terjadi]. |
Edisi Sukan: Lin Dan Tersingkir Badminton Super Siri Terbuka Indonesia, Lee Chong Wei Pula Mara Posted: 23 Jun 2011 10:09 AM PDT JAKARTA, 24 Jun - Juara bertahan Datuk Lee Chong Wei (foto) mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Super Siri Terbuka Indonesia selepas mengalahkan pemain Hong Kong, Wong Wing Ki, pada pusingan kedua di sini Khamis. Chong Wei, pemain nombor satu dunia, hanya mengambil masa kurang dari 30 minit untuk menundukkan lawannya 21-7, 21-12 untuk berdepan dengan pemain Vietnam Nguyen Tien Minh pada saingan suku akhir Jumaat. Chong Wei diramal akan mara ke final Ahad ini selepas musuh ketatnya, juara Olimpik, Lin Dan, tersingkir pada pusingan kedua di tangan pemain Jepun Sho Sasaki. "Tidak ada perbezaan...sudah tentu Lin Dan menjadi pilihan untuk menentang saya di final tetapi saya belum lagi layak ke final. "Saya masih mempunyai beberapa pemain yang handal yang perlu ditempuhi dalam saingan di sini. Saya perlu fokus sehingga mencapai sasaran mempertahankan gelaran saya," kata Chong Wei. Dalam pada itu, beregu utama negara Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat turut mara ke suku akhir bersama beregu wanita negara Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty. Tan dan Koo tumpaskan beregu Jepun Naoki Kawamae/Shoji Sato 20-22, 21-19, 21-18 untuk menentang beregu Indonesia Mohammad Ahsan/Bona Septano pada saingan suku akhir. Wong dan Chin mengalahkan beregu Kanada, Charmaine Reid/Nicole Grether 17-21, 21-8, 21-13. Kejohanan itu tawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$600,000 (RM1.815 juta). |
Edisi Sukan: Malaysia Tewaskan Lebanon 2-1 Pada Pusingan Kedua 'Kelayakan Olimpik' Malam Tadi ! Posted: 23 Jun 2011 10:01 AM PDT KUALA LUMPUR 23 Jun - Malaysia tumpaskan Lebanon 2-1 pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, dekat sini malam ini. Skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-8 menerusi Mohd Irfan Fazali dan gol kedua oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-41. Separuh masa kedua pasukan Lebanon menjaring satu gol melalui Chandie Atie pada minit ke-64 dan selepas itu Malaysia terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Gary Steven Robbart dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua. Situasi itu memaksa pasukan kebangsaan bertahan sehingga ke wisel penamat. Pada pertemuan pertama di Beirut sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 0-0. |
You are subscribed to email updates from PDO :: Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan