Muslimeen United |
- Bersih 2.0 diteruskan walau Perkasa halang
- Perakuan: Kebebalan Blogger Umno
- Nelayan mogok: Harga ikan didakwa naik 30 peratus
- Isu yang harus di baca dan di fahami
- Berkenalan Dengan PJ PAS Selangor: Hajat Sembelih Kambing Tak Sampai
- Taktik serang Mat Sabu guna skandal seks akan ‘makan diri’ Umno-BN
- Pemuda PAS santuni anak muda underground
- Aktivis anti-Taib mohon campur tangan Agong
- Akademi Fantasia - Sekadar Panduan
- Kerajaan Umno/BN zalim kata Ketua Puteri Umno cawangan Banggol Donas
- Sampai bila pun Umno tak faham perjuangan PAS
- Himpunan BERSIH: Manifestasi Suara Rakyat Untuk Pilihanraya Yang Adil Dan Bersih
- Operasi Pencarian Jenazah Osama Di Laut Arab
Bersih 2.0 diteruskan walau Perkasa halang Posted: 13 Jun 2011 04:19 AM PDT KUALA LUMPUR, 13 Jun: Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, PAS tidak akan berganjak bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, 9 Julai ini. Katanya, biarpun kumpulan pendesak Melayu, Perkasa memberi amaran untuk menghalang, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan. "Kita akan buat terus, dia (Perkasa) nak buat himpunan itu hak dia," katanya kepada Harakahdaily hari ini. Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dalam sidang media di parlimen hari ini memberitahu pertubuhan itu akan melawan habis-habisan himpunan Bersih 2.0 itu. Sambil menyifatkan himpunan itu sebagai "mengacau", Ibrahim turut memberi amaran akan membuat himpunan serupa bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 tersebut walaupun terpaksa berlaku pertembungan. Ibrahim, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta. Membidas kenyataan Ibrahim itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, bukan Perkasa yang menentukan himpunan tersebut huru-hara atau tidak. "Itu kerja polis la nak tentukan aman atau tidak. Datuk Ambiga (Pengurusi Bersih), sudah beri jaminan kita akan buat himpunan secara aman," katanya. Beliau turut memberi contoh himpunan Bersih pertama pada 2007 lalu, menyaksikan himpunan berlangsung secara aman. "Perkasa kalau nak buat juga himpunan, buat hari lain la, kita dah cadang tarikh ni lebih awal lagi," katanya. Declare perang fizikal Seorang lagi AJK Bersih, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan tindakan Perkasa memberi amaran mahu bertembung dengan peserta himpunan Bersih sebagai tidak wajar. "Kita tak pernah halang Perkasa nak berhimpun. Tapi berhimpun lah untuk memperjuang hak sendiri, bukan sebab nak halang kita semata-mata. "Ini sudah declare perang secara fizikal. Bukan begini caranya, ini cara pengganas," katanya. -hrkh |
Perakuan: Kebebalan Blogger Umno Posted: 13 Jun 2011 04:15 AM PDT Kesian blogger-blogger pencacai goblok Umno... sudahlah hari-hari kerjanya tiada lain selain menabur FITNAH, tidak cukup disumpah seranah oleh rakyat.... pemimpin mereka sendiri pula menabur racun hati.. !! Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata unit tempur siber parti ketika ini dilihat tidak memberikan perincian serta penghayatan pada sesuatu isu sehingga gagal menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasar. BENTONG: UMNO perlu mewujudkan "unit tempur siber" yang lebih bersistematik dan mantap bagi menangani isu yang dibangkitkan pembangkang dalam alam siber. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata unit tempur siber parti ketika ini dilihat tidak memberikan perincian serta penghayatan pada sesuatu isu sehingga gagal menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasar. Malah, katanya, unit berkenaan juga selalu kalah dalam menjawab isu yang dibangkitkan pembangkang dalam media baru itu. "Berbanding pembangkang, mereka (unit siber) dikumpulkan dan mengupas isu mengikut tafsiran masing-masing yang kebanyakannya menjurus ke arah membelasah kerajaan. "Padahal kita ada kumpulan yang lebih besar tetapi mungkin satu unit tempur siber yang bersistematik perlu diwujudkan bagi membalas segala serangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bentong di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, yang juga Ketua UMNO bahagian itu. Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, maklumat yang tepat dan jelas, penting bagi menarik masyarakat khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar daripada terjebak dalam dakyah pembangkang. Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut meminta semua ahli UMNO memainkan peranan dalam memberikan penerangan mengenai dasar kerajaan dan tidak hanya berharap ia dilakukan oleh pemimpin mereka. - BERNAMA |
Nelayan mogok: Harga ikan didakwa naik 30 peratus Posted: 13 Jun 2011 04:11 AM PDT Harga ikan dan makanan laut naik kira-kira 30 peratus sejak nelayan laut dalam dan pengusaha bot pukat tunda C2 mogok dua hari lalu, dakwa ahli parlimen DAP Nga Kor Ming, yang juga membidas kerajaan kerana gagal menyelesaikan isu berkenaan. Nga (DAP-Taiping) berkata kerajaan sepatutnya membantu pihak yang terjejas itu dan bukannya mengeluarkan amaran dan ancaman terhadap mereka yang mogok itu. Kira-kira 500 nelayan dan pengusaha bot tunda engan turun ke laut dan berkumpul di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuantan bagi menuntut kerajaan mengembalikan sunsidi super yang dinikmati mereka sebelum ini. Nga tidak ada sebab bagi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengugut untuk menarik balik lesen nelayan di zon A, B dan C berkenaan. "Pendirian Pakatan adalah jumpa dan bincang segera dengan nelayan kelas C2 berhubung mogok itu," kata Nga. "Sejak mogok bermula, terdapat pengurangan kira-kira 30 peratus bekalan ikan dan tambahan 30 peartus harga ikan," dakwanya. Pemegang lesen C2 adalah mereka yang dibenarkan menangkap ikan di kawasan 30 batu nautika dari pantai manakala bagi pemegang lesen B dan C merupakan nelayan yang hanya dibenarkan menangkap ikan dalam lingkungan 20 batu nautika dari pantai. Hanya pengusaha bot pukat tunda terbabit dengan keputusan pemotongan subsidi. Kerajaan telah memansuhkan pemberian diesel subsidi super kepada sembilan kategori kenderaan di sektor pengangkutan barangan termasuk teksi limosin berkuatkuasa 1 Jun lalu. -M'kini |
Isu yang harus di baca dan di fahami Posted: 12 Jun 2011 11:25 PM PDT Moga terus berkibar Telah lebih seminggu berakhirnya muktamar PAS yang berlangsung di Taman Melewar. Seminggu lebih jugalah media2 berat sebelah UMNO memainkan pelbagai isu yang berkait dengan keputusan muktamar yang lalu. Geram dan meluat dengan isu2 yang dimanipulasikan dan dikelirukan membuatkan aku ingin berkongsi sedikit apa yang aku dapati dan fahami dari muktamar yang lalu. Sebelum kita terus kepada isu2 yang di bangkitkan mari kita lihat perbezaan suasana muktamar PAS dengan Mesyuarat Agung UMNO. Kita tengok tempat pun cukup lah. Dengan tengok tempat berlangsungnya muktamar pun kita sudah dapat tahu perbelanjaan wang untuk menjayakan muktamar tersebut. Selidik pula UMNO di mana tempatnya. Kalau nak dibandingkan perbelanjaan dari sudut persediaan tempat ternyata PAS tewas di situ. Tapi persoalannya dari mana datangnya dana tersebut? UMNO.. Sudah pasti mereka menggunakan wang kerajaan yang mereka anggap duit kerajaan adalah duit UMNO sendiri. PAS.. hanya mampu menggunakan duit parti yang juga tempat simpanannya adalah didalam kocek ahli sendiri. Ini baru kita tengok tempat berlangsungnya program. Belum kita tengok tempat perwakilan menginap. Umno.. Perwakilan di sediakan hotel yang selesa. PAS.. Pandai2 la perwakilan sendiri. Kalau takde duit. Kat dalam kereta pun jadi la. Mari kita tengok isu2 yang dimainkan selepas muktamar berakhir. Pertamanya persoalan perubahan pucuk pimpinan. Kalau kita tengok sebelum muktamar berlangsung media2 UMNO sibuk mencanang bahawa gandingan ulama' antara Tn Guru Hj Hadi dan Ustaz Nasa adalah satu gandingan yang sangat mantap. Apa tanda di situ? Mereka sangat takut andai Mat Sabu pemidato yang vokal dalam isu2 negara dari memenangi jawatan Timbalan Presiden. Akhirnya apa yang ditakuti UMNO menjadi kenyataan apabila keputusan pemilihan muktamirin memihak kepada pimpinan yang diistilahkan pimpinan perang di angkat menjadi pimpinan. Bila berlaku perkara ini mereka mula mencanang tentang isu kepimpinan ulama' disisihkan pula. Kita kena faham bahawa hiraki kepimpinan PAS tidak sama dengan UMNO. Kalau dalam UMNO ulama' di letak di bawah biro agama semata2. Tapi jauh berbeza di dalam PAS. Ulama' telah di letakkan khas di tempat tersendiri. Setiap keputusan yang ingin diputuskan akan di syurakan di majlis syura yang sememangnya terdiri dari ulama'. Penegerusi Majlis Syura ataupun dikenali Mursyidul Am PAS selaku penasihat tertinggi pula adalah merupakan seorang ulama' haraki yang di segani kawan mahupun lawan iaitu Tn Guru Nik Aziz Nik Mat. So kat sini kita boleh lihat ulama' tetap diletakkan di hiraki tertinggi dalam pembuat keputusan2 akhir yang melibatkan pergerakan parti. Timbul pula isu golongan professional. Ini pun aku tak faham. Dulu ketika PAS di dokongi kebanyakan dari golongan ulama' UMNO mengatakan Gerakan Islam berbentuk parti ini adalah JUMUD kerana hanya didokongi oleh golongan berkopiah. Namun kini, Setelah fikrah PAS berkembang dari sekolah pondok ke bilik bedah, ke bengkel kereta, ke makmal sains, ke meja akauntan, ke cerun batuan, ke meja jurutera dan ke setiap ceruk minda professional masyarakat maka mereka kecoh pula tentang ulama' di sisihkan. Memprofessionalkan ulama' dan mengulama'kan professional. Usaha yang sangat menarik yang berjaya dilaksanakan oleh PAS. Jika dahulu Ulama' hanya pandai mengajar kitab kuning di pondok2. Tapi kini telah berubah. Begitu banyak ulama' yang begitu hebat dari sudut organisasi dan skill interpersonal. Golongan professional pula kini sudah mampu untuk ke hadapan memberi ceramah memetik ayat2 quran dan hadith di dalam ceramah mereka. Seterusnya isu merubah dasar parti. Sebelum cakap banyak aku cadangkan UMNO pergi baca dulu dasar PAS dan bandingkan dengan dasar diorang. Di mana islam itu diletakkan dalam kedua dasar parti tersebut? Dari negara islam ke negara kebajikan. Isu dasar yang dimainkan oleh media UMNO. Sebelum tu kita perlu memahami tentang negara islam terlebih dahulu. Kalau diikutkan sememangnya istilah negara islam dalam islam sememangnya tidak wujud. Yang ada adalah wilayah islam ataupun Darul Islam. Dalam usaha menghalau penjajah lah yang memangkinkan munculnya istilah negara islam yang ditambah lagi dengan tercetusnya Revolusi Iran. Jenama dan pengisian. Istilah seterusnya yang perlu kita beri perhatian. Antara kedua jenama dan pengisian ini mana yang lebih penting? Kita melihat negara kita telahpun dijenamakan sebagai negara islam namun di mana letaknya pengsianya dari segala aspek? Dalam membentuk sesuatu ada 2 method yang kita boleh pilih. Kita analogikan dengan perbuatan ingin menunjukkan air milo kepada kawan kita. Pilihan pertama kita mengambil mug milo percuma dan mengatakan ini adalah air milo.(walaupun di dalamnya mungkin hanya air bio aura je.) Pilihan kedua adalah kita buat dahulu air milo itu di dalam mug nescafe. Kita tunjukkan kepada kawan kita. Ini adalah airi milo. Bila sampai satu masa yang sesuai kita tuangkan ke dalam mug milo yang tersedia. Hakikatnya ianya masih terisi dengan air milo bukan? Pandangan aku yang kerdil di gelanggang siasah ini merasakan pilihan kedua ini yang cuba dilakukan oleh pimpinan PAS. Substance nya masih sama cuma jenamanya berubah atas dasar kedinamikan jemaah itu sendiri. Prinsipnya masih sama cuma perlaksanaannya sedikit diharmonikan dengan rakan Pakatan Rakyat yang lain. Memetik kata2 Ustaz Asri di webnya. "Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam" Begitu juga kata2 Tn Guru Hj Hadi.. "Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan". Inlah yang terjadi di Malaysia. Meletakkan jenama Negara Islam sebagai satu jenama sempena rakyatnya yang majoritinya adalah umat islam. Namun kita selidiki di mana perlaksanaannya di medan masyarakat? Islam itu hanya diletakkan sebagai nama semata2. PAS kini menerima sokongan bukan ISLAM Negara kebajikan adalah satu istilah yang menjadi titik temu antara PAS PKR dan DAP. Dalam memacu perubahan di Malaysia titik temu seperti ini amat penting. Namun harus diingat prinsip dan dasar utama masih kekal. Semoga suatu masa nanti air milo di dalam mug nescafe ini mampu di tuang ke dalam mug milo. Cukup sekadar ini sedikit ulasan aku di atas isu2 yang berlegar di media berat sebelah BN kini. Mereka memanipulasi kenyataan dan cuba mengelirukan masyarakat bahawa PAS telah mengubah prinsipnya. Perlu jelas disini bahawa prinsipnya masih kekal hanya penjenamaan yang berubah seperti yang telah aku nyatakan di atas. Semoga sedikit ulasan ini mampu memperjelas fikrah korang dan terutamanya juga kepada aku yang bersama dengan Jemaah Islam PAS ini. Wallahualam.. |
Berkenalan Dengan PJ PAS Selangor: Hajat Sembelih Kambing Tak Sampai Posted: 12 Jun 2011 11:09 PM PDT Dr Rani hargai kepercayaan, anggap pikul amanah berat SHAH ALAM - Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abd Rani Osman menyifatkan pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang baru sebagai satu amanah berat untuk dipikul. Menurutnya, beliau sebelum ini telah menolak tawaran untuk menggantikan Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan bernazar jika tidak pilih. Namun menurutnya, beliau terpaksa memikirkan semula tawaran tersebut setelah beberapa ulama parti menasihati beliau untuk menerima jawatan jika telah dipilih sebulat suara oleh pimpinan pusat. "Saya sendiri telah bernazar untuk sembelih kambing jika tidak dipilih sebagai pesuruhjaya Pas negeri, kerana saya melihat ia sebagai satu amanah berat untuk dipikul. "Namun, kini semua terpulang kepada pucuk pimpinan parti, saya akan menunggu surat rasmi pelantikan tersebut sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Beliau berkata, sekiranya dipilih menjadi pesuruhjaya negeri, beliau akan memastikan misi utama mengekalkan Negeri Selangor di tangan Pakatan Rakyat (PR) tercapai. Menurutnya, beliau akan berbincang dan bekerjasama dengan kesemua pemimpin Pas negeri khusus dalam persediaan pilihan raya kali ini. "Saya menganggap salah satu tugas yang berat untuk dipikul adalah untuk membawa Pas Selangor menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. "Namun, saya berpendapat kesemua keputusan berhubung pilihan raya, perlu diputuskan oleh kesemua ahli jawatankuasa negeri termasuklah timbalan pesuruhjaya negeri, setiausaha, bendahari dan lain-lain," katanya. -SH
|
Taktik serang Mat Sabu guna skandal seks akan ‘makan diri’ Umno-BN Posted: 12 Jun 2011 11:04 PM PDT Oleh Melissa Chi KUALA LUMPUR, 13 Jun — Penganalisis-penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka. Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee berkata, lebih banyak taktik kotor dan usaha mengaibkan dari kedua-dua sebelah perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin "panas" di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum semakin dekat. "Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS. "Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah," katanya kepada The Malaysian Insider. Kata beliau, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media dikawal perikatan itu akan menggunakan isu berkenaan untuk terus melakukan serangan. "Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya," kata beliau. Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata "Skandal Seks Mat Sabu", dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu. Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu. Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun "penat" dengan taktik sedemikian. "Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat," katanya. Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil. Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13. ". . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka," katanya. Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut. "Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu," katanya. Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar. "Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa," kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar. |
Pemuda PAS santuni anak muda underground Posted: 12 Jun 2011 11:02 PM PDT KUALA LUMPUR, 13 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan berkesempatan bersama dengan anak-anak muda Chow Kit di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara semalam dan bertemu dengan kumpulan underground. Program yang di bertemakan "Chow Kit Kita" yang dianjurkan oleh anak-anak muda dan aktivis di sekitar Chow Kit dan Kuala Lumpur telah mengadakan berberapa aktiviti seperti pameran, menyanyi bersama, jualan baju dan lain-lain lagi. Beberapa orang peserta program agak terkejut dan gembira dengan kehadiran Nasrudin dan sempat bergambar bersama-sama beliau dan rombongan. Selepas itu, rombongan pemuda PAS menjenguk kumpulan underground yang sedang mengadakan konsert mereka berhampiran di situ. Anak-anak muda underground dan punk yang pada mulanya agak rimas dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS yang memakai kopiah itu, akhirnya serasi dan biasa dengan penampilan itu. Selain bersama-sama mengambil gambar, Nasrudin juga diberi peluang masuk ke dalam dewan konsert yang gelap, yang hanya disuluh oleh lampu neon yang bersimpang siur serta disantap dengan muzik-muzik punk dan underground. Turut menyertai Nasrudin ialah Khairul Faizi Ahmad Kamil (setiausaha), Kamaruzaman Mohamad (exco), Firdaus Jaafar (exco), Zamri As'ad Khuzaimi (exco) dan kepimpinan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. -Hrkh |
Aktivis anti-Taib mohon campur tangan Agong Posted: 12 Jun 2011 11:01 PM PDT Pergerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong berhubung dakwaan rasuahnya ke atas Kertua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Sehubungan itu, perwakilan NGO berkenaan menghantar sepucuk memorandum ke Istana Negara pagi ini memohon Seri Paduka mengenakan tekanan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan. MoCS juga memohon Seri Paduka supaya menolak sebarang cadangan bagi melantik Taib sebagai bakal Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Memorandum berkenaan yang ditandatangani oleh Ahmad Azizan Abdul Manan, Awang Abdillah Nasar, Ronald Sia, Erick anak Nicholas Mujah dan Francis Siah diserahkan kepada seorang pegawai polis di pintu pagar Istana. Terdapat kira-kira 30 anggota polis termasuk yang tidak berpakaian seragam berkawal sekitar kawasan dan sesetengahnya dilihat merakamkan gambar dan video keadaan di sana. Memorandum yang diserahkan itu menyenaraikan pelbagai dakwaan salah laku dan rasuah yang dilaporkan di Internet, portal berita dan blog sama ada dalam negara mahupun luar negara yang dilakukan oleh Taib. Pada 4 Mac lalu, MoCS menuntut pejabat SPRM di Kuching supaya segera menyiasat dakwaan rasuah yang dilemparkan itu. Tuntutan itu turut diperakui oleh parti-parti Pakatan Rakyat di Sarawak - PKR , PAS dan DAP - serta beberapa NGO yang lain. "MoCS seterusnya menyerahkan tuntutan itu kepada SPRM di Putrajaya pada 30 Mac," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan akhbar hari ini. Sehingga hari ini, badan pencegah rasuah itu belum mendedahkan sebarang maklumat berhubung siasatan mereka itu. "MoCS mahu butiran siasatan, jika ada didedahkan," petik kenyataan itu. -M'kini |
Akademi Fantasia - Sekadar Panduan Posted: 12 Jun 2011 03:32 PM PDT SiasahKini (SK) di fahamkan malam ni 12hb Jun 2011 adalah malam penentuan bagi peserta-peserta AF berentap untuk merebut habuan dunia. Rumah sesiapa yang ada ASTRO boleh lah layan benda-benda gini. Hadiah nya berapa pun tak taulah sebab SK tak berapa nak kisah sangat dengan benda-benda macam ni. Pi sana dok sembang AF, pi sini pun dok AF. Tak habis-habis dengan AF. Bila dok belek-belek dalam youtube ni SK tertengok satu ceramah oleh Ust Azhar Idrus yang SK anggap ada baik juga kita kongsi sama-sama maklumat dengan jawapan ringkas dari beliau mengenai AF. Harap semua yang dengar boleh lah ambil apa-apa yang patut sebagai panduan...untuk kebaikan kita juga. |
Kerajaan Umno/BN zalim kata Ketua Puteri Umno cawangan Banggol Donas Posted: 12 Jun 2011 03:30 PM PDT Buletin Online - Kepimpinan Umno Cawangan Banggol Donas termasuk sayap puterinya mendakwa Umno dan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu khianat dan zalim. Pengkhianatan dan kezaliman yang dilakukan itu tanpa mempedulikan hak serta nasib rakyat yang terlibat dengan pengambilan balik tanah bagi Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda melalui Kampung Banggol Donas. Ketua Puteri Umno cawangan Banggol Donas, Puan Rosni Hassan, 37, melahirkan rasa dukacita terhadap sikap wakil rakyat Barisan Nasional dan kerajaan negeri. Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato' Abdul Rahin Mohd Said langsung tidak mahu berbincang dengan penduduk terbabit. "Saya ini Ketua Puteri Umno cawangan (Banggol Donas), kita buat bantahan kepada semua pihak termasuk pihak Suhakam, jabatan-jabatan, menteri besar, kementerian hingga kepada Perdana Menteri. "Saya cukup kecewa dan 'meluat' dengan Umno dan Barisan Nasional sekarang. Apa lagi untuk sebut Puteri Umno…'meluat' sungguh kepada kami sekarang," ujarnya dengan gimik muka yang jengkel. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat 10, Wisma Persekutuan, dekat sini, hari ini. Menurutnya, demi kepentingan projek pihak tertentu nasib rakyat termasuk di kalangan ahli dan penyokong Umno-BN sendiri diabaikan. Hari ini (12 Jun), sekumpulan wakil penduduk Kampung Banggol Donas yang tanah warisan mereka 'dirampas' secara terhormat atas nama pembangunan datang beramai-ramai ke pejabat SPRM di Wisma Darul Iman. Malah, kedatangan kumpulan tersebut turut membawa warga emas serta kanak-kanak sebagai 'protes' terhadap pengambilan balik tanah yang tidak mengikut peraturan serta disyaki berlaku unsur penyelewengan. Memorandum diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Banggol Donas, Salleh Embong kepada Timbalan Pengarah SPRM Terengganu, Encik Azmi Yusuf pada jam10.30 pagi setelah pertemuan selama satu jam. Pada 11 Mei lalu, kumpulan yang sama telah menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di Lobi U2 Dewan Undangan Negeri (Dun) Wisma Darul Iman. Ahmad Said ketika menerima serahan memorandum tersebut menjelaskan kerajaan negeri Terengganu tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana projek jalan tersebut sedang berjalan. [Gambar - Rosni paling kiri, bergambar di Wisma Persekutuan selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM] Katanya, kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menyediakan kos projek dan berkaitan jajaran adalah dibawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR). "Kita (kerajaan) sudah tidak boleh buat apa-apa lagi kerana projek ini telah berjalan dengan kerja-kerja menambung tanah dan sebagainya. "Jika awal dulu boleh kita tengok dan itu (jajaran) tugas JKR yang tentukan dan kita hanya keluarkan kos projek, sekarang tak boleh buat apa-apa lagi," ujarnya kepada wakil penduduk tersebut. Buletinonline dimaklumkan, aduan pernah dibuat kepada pihak SUHAKAM yang turut mendapat 'respons' agar dihentikan sementara projek tersebut. Pada bulan April 2010, penduduk pernah menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanannya. Manakala, bulan April 2011 lepas, sekali lagi mereka (jawatankuasa) menulis surat kepada Perdana Menteri dan dijawab surat itu serta dihantar kepada Kementerian Luar Bandar, salinan kepada Jawatankuasa Bertindak tetapi tidak kepada MB (Terengganu). Menurut sumber, Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda melalui Kampung Banggol Dona itu dimiliki oleh Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Bahari Baharudin. Projek "OKU" (Orang Kuat Umno) itu hanya sepanjang 5.6 kilometer tetapi menelan belanja RM226 juta yang dianggap tidak manasabah. Hadir sama mengiringi penyerahan memorandum tersebut Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Ridhuan Hashim, Ketua Cawangan PAS Paya Datu, Ustaz Awang Embong, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Fariz Musa, Ketua Cabang PKR Kuala Nerus, Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad serta beberapa orang penduduk kampung berkenaan. |
Sampai bila pun Umno tak faham perjuangan PAS Posted: 12 Jun 2011 03:17 PM PDT Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa PAS hilang konsistensi dalam isu menjaga ketekalan dasar perjuangan parti. Baginya, apa yang diperkatakan oleh Khaled membuktikan sekali lagi bahawa Umno sangat resah dan gelisah dengan perkembangan terbaru dalam PAS "Saya rasa sampai bila pun pemimpin Umno tidak akan faham dengan perjuangan parti PAS kerana parti tersebut selesa dengan situasi berada di bawah tempurung besi, jauh sekali untuk memahami apa yang diperjuangkan oleh PAS. "Kalau saya bertanyakan kepada Khaled tentang apa yang sebenarnya yang diperjuangkan oleh Umno dia pun tidak mampu jelaskan, bagaimana beliau menyibuk untuk mengulas mengenai PAS," ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak. Beliau mengulas Mohamed Khaled Nordin yang dilaporkan berkata PAS perlu meminta maaf kepada Umno kerana pelbagai tuduhan menyebabkan rakyat terutama masyarakat Melayu berpecah belah dan keadaan negara tidak tenteram. "PAS patut minta maaf kepada Umno sebab selama perjuangkan dasar menegakkan Islam menuduh Umno tidak betul tetapi baru-baru ini mengubah dan menyatakan perjuangan itu (negara Islam) tidak ada dalam al-Quran dan yang ada negara kebajikan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Usahawan Muda dan Jom Cari Kerja Kolej Komuniti Wilayah Pantai Timur, di sini, semalam. Selain itu, Khalil yang juga Adun Titi Serong melihat pemimpin Umno sudah buntu untuk memikirkan helah dan cara memecah belahkan Pakatan Rakyat dan PAS itu sendiri dengan taktik yang pelbagai. Bagaimanapun, beliau yakin PAS tidak akan tergugat dengan pelbagai jolokan yang digunakan oleh Umno bagi mengelirukan rakyat. Katanya, pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Umno membuktikan ia sebuah parti yang terlalu jumud sehingga enggan menerima perubahan. Menurutnya, walaupun perubahan yang berlaku dalam kepimpinan PAS bukan terhadap asas dasar parti, tetapi Umno dilihat seperti hilang fokus dan menipu kerana telah menumpukan penerangan kepada umum bahawa PAS telah lari dari dasar perjuangan. Tegasnya, PAS tetap konsisten dengan prinsip yang ditetapkan sejak awal penubuhan dan akan tetap dengannya kerana Al-Quran dan Hadis menentukan bahawa sebarang bentuk praktikal dalam perjuangan dan apa-apa perkara sekalipun perlu bermatlamatkan Allah. Menurutnya, Umno mengaku bahawa mereka pejuang bangsa Melayu dan agama Islam tetapi bersikap talam dua muka dalam isu seperti yang dimainkan terhadap PAS. Beliau menambah, setelah separuh abad, Umno BN gagal berubah walaupun PAS yang merupakan parti lawan yang sama "tua" telah melakukan lonjakan persepsi yang mana PAS telah berjaya mendapat perhatian dari di kalangan yang bukan Islam. "Kerana itu Umno cemas dengan sokongan terhadap PAS yang meningkat di luar jangakaan itu. "Wujudnya kelab penyokong PAS yang telah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan PAS dan ini telah menjadikan PAS sebuah sebagai parti bukan untuk satu bangsa dan kaum," ujarnya. |
Himpunan BERSIH: Manifestasi Suara Rakyat Untuk Pilihanraya Yang Adil Dan Bersih Posted: 12 Jun 2011 03:17 PM PDT Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyelar pandangan wadah milik UMNO, Mingguan Malaysia apabila menyifatkan perhimpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai tindakan 'kotor' anjuran Pakatan Rakyat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Malah tegas beliau, perhimpunan Bersih yang dianjurkan menggambarkan tuntutan dan kebangkitan rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil. "Pandangan Utusan itu adalah pandangan yang terlalu jauh ketinggalan zaman, yang tidak subur dalam konteks demokrasi kerana apa yang Bersih tuntut adalah satu perhimpunan aman yang kita mahu perjelaskan tentang satu fenomena pilihan raya yang adil dan bersih." Jelasnya himpunan BERSIH juga bertujuan "membersihkan" kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya supaya tidak terpalit dengan persepsi yang boleh menjejaskan kewibawaannya sebagai satu badan di bawah nangan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu TV Selangor bahawa pihak penganjur memberi jaminan perhimpunan ini akan berjalan dengan aman tanpa sebarang ketegangan yang boleh mencetuskan huru-hara sekiranya pihak keselamatan memberikan kerjasama yang baik. Perhimpunan Bersih pada tahun 2007 di Dataran Merdeka disertai oleh 100, 000 orang. Kali ini penganjur Bersih berhasrat menghimpunkan 300,000 peserta bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Ada pihak meramalkan pilihanraya umum ke 13 akan diadakan sewal bulan depan atau selewat-lewatnya Mac tahun depan. Hasrat penganjur Bersih menimbulkan kegusaran kepada Putrajaya dan beberaka kumpulan pro-Umno membuat laporan polis mendesak perhimpunan itu dibatalkan. "Ia satu tekanan yang telah berjaya kita berikan kepada pihak kerajaan untuk kita galas satu pilihan raya yang adil dan bersih, jadi ini merupakan satu respon yang menujukkan mereka bimbang terhadap kebangkitan rakyat semakin menuntut hak mereka untuk melihat satu pilihan raya yang benar-benar menepati ciri-ciri sebuah negara yang mengamalkan demokrasi." Beliau turut kecewa dengan kenyataan yang dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan perhimpunan tersebut boleh mengakibatkan huru-hara. "Satu pandangan yang saya rasa tidak sepatutnya lahir daripada seorang Menteri seperti Hishamuddin, dia tidak boleh menuduh perkara itu tanpa perhitungan yang adil. Ini jelas menunjukkan sikap terdesak beliau bila kita mahu mengadakan satu perhimpunan yang aman tetapi dia telah buat kenyataan yang memberikan kesalahan sebelum perhimpunan itu diadakan." -tvsnews |
Operasi Pencarian Jenazah Osama Di Laut Arab Posted: 12 Jun 2011 03:14 PM PDT Kapal perang AS, USS Vinson yang telah membuang jenazah Osama bin Laden di Laut Arab Utara. Ingin membuktikan bahawa Osama bin Laden benar-benar sudah mati, seorang pemburu harta karun merancang untuk menyelam Laut Arab Utara untuk mencari jenazah pemimpin Al Qaeda itu. Kepada TMZ, Sabtu (11/6/2011), Bill Warren mengaku penjelajahannya ini untuk membuktikan kepada dunia tentang Osama. "Saya berusaha membuktikan bahwa Osama benar-benar sudah mati dan ingin menunjukkan bukti. Kami melakukan ini kerana kami warga Amerika yang patriotik dan merasa Presiden Barack Obama gagal menunjukkan bukti," katanya. "Saya tidak percaya kepada pemerintah ataupun Obama," tegasnya. Pencarian itu akan dilakukan di Laut Arab Utara. Jangkaan mereka kapal perang Amerika Syarikat USS Carl Vinson yang membuang jenazah Osama di laut itu. "Kami maksudkan untuk menemukannya serta mengangkat jenazahnya, kemudian mengambil foto dan merakamkannya melalui video serta melakukan ujian DNA," kata Warren. Untuk ekspedisi yang disebut-sebut sebagai 'mission impossible' itu, pasukan Warren membawa beberapa kapal dan sejumlah teknologi canggih. Ekspedisi itu sendiri dijangkakan bakal menghabiskan ratusan ribu dollar US. Bill Warren merancang membawa satu pasukan filem untuk merakam dan mendokumentasikan seluruh perjalanan itu. USS Carl Vinson menerima jenazah Osama bin Laden dari pasukan Navy SEAL yang membunuhnya di Abbottabad, Pakistan, 2 Mei lalu. Hanya sedikit maklumat yang dilaporkan pemerintah Amerika Syarikat tentang proses pemakaman Osama. Jenazah Osama diletakkan di dalam sebuah bungkusan yang dilengkapi pemberat, disembahyangkan, kemudian diletakkan pada sebuah papan di geladak kapal. Papan itu kemudian dimiringkan hingga jenazah Osama jatuh ke laut, begitulah penjelasan Pentagon. Presiden Barack Obama menolak supaya foto jenazah Osama disiarkan. Kerja Bill Warren bermula dengan mencari harta karun sejak tahun 1972. Prestasi pertama ditunjukkannya adalah sebuah kapal dagang Inggeris yang karam di pegairan Santa Cruz, California.-Kompas |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan