Khamis, 9 Jun 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


BERSIH 2 : Majlis Peguam sedia perkhidmatan undang-undang pada yang ditangkap - Baljit Singh

Posted: 09 Jun 2011 11:17 PM PDT

Walaupun pengerusi Gerakan Kedah Cheah Soon Hai, semalam, melabelkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sebagai 'lawak bodoh yang tidak bermanfaat', namun rakannya di Pulau Pinang akan menyertai acara itu bersama sekumpulan peguam.

Menurut ketua biro hak asasi dan undang-undang Gerakan Pulau Pinang Baljit Singh, beliau bersama 10 peguam lain dari negeri itu akan menyertai Majlis Peguam memantau perhimpunan pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.

Baljit berkata keputusan menyertai perhimpunan itu bukan kerana beliau menyokong BERSIH dan tuntutannya tetapi kerana perlembagaan persekutuan menjamin demonstrasi aman.

Kumpulan itu akan menyerahkan nama-nama peguam yang akan terbabit dan mereka juga akan membekalkan perkhidmatan perundangan kepada peserta BERSIH sekiranya tangkapan dibuat.

"Setiap orang mesti hormat perlembagaan persekutuan yang membenarkan demonstarsi aman bagi rakyat meluahkan suara mereka," kata Baljit kepada Malaysiakini.

Perhimpunan besar-besaran itu akan diketuai oleh beberapa NGO dengan tujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campurtangan Seri Paduka dalam memulakan reformasi sistem pilihan raya negara - malaysiakini

Bila BN cakap benteras rasuah , rakyat senyum kambing : Prof Aziz Bari

Posted: 09 Jun 2011 09:05 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, Pakatan Rakyat komited melakukan reformasi seperti yang digaris dalam kerangka dan dasar yang terkandung dalam Buku Jingga.

Berbeza dengan Umno-Barisan Nasional, parti pemerintah itu katanya, meskipun tampil dengan pelbagai slogan, namun dilihat tidak konsisten terutama dalam melaksanakan perubahan seperti membanteras rasuah dan salahguna kuasa.

"Saya fikir Pakatan sudah memaparkan idea mereka dalam buku jingga dan apa yang penting ialah hapuskan rasuah dan ketirisan supaya sumber yang ada sampai ke tangan yang disasarkan.

"Masalah Umno-BN ialah masalah ketiadaan integriti. Contohnya apabila mereka bercakap tentang membanteras rasuah, rakyat senyum kambing kerana mereka ragu yang kerajaan ini mempunyai landasan moral untuk memperkatakan soal-soal seperti itu," katanya dalam satu temubual bersama wartawan Keadilandaily.

Tambah beliau, isu pembangunan bukan lagi isu yang boleh menarik perhatian rakyat, terutama kaum Melayu seperti mana yang selalu dilakukan Umno setiap kali menjelang pilihan raya.

"Siapa pun boleh buat pembangunan jika ada kuasa. Isu yang lebih dekat dengan hati orang Melayu ialah siapa yang boleh mengurus dengan baik; bukan soal kalau parti lain memerintah tidak ada pembangunan.

"Seperti yang kita lihat Pakatan tidak memainkan isu itu; mereka lebih menekankan soal pengurusan, soal idea dan yang penting ada ketelusan dan pertanggungjawaban.

"Isu-isu ini tidak dapat ditangani oleh Umno-BN kerana mereka anti pertanggungjawaban dan ketelusan. Sebab itu mereka tidak boleh buat tender terbuka umpamanya," kata pakar perlembagaan itu lagi.

Ditanya mengenai sentimen di kalangan golongan muda pula katanya, ia menunjukkan perubahan apabila kelompok itu mula menerima politik baru.

"Saya pasti ada perubahan; yang jelas kita ada ramai pengundi muda yang cara berfikir mereka tak sama dengan orang tua mereka. Selain itu mereka juga adalah generasi yang berbeza; isu kaum dan sensasi termasuk hantu 13 Mei 1969 tidak masuk akal bagi mereka.

"Dalam pada itu mereka juga kurang tebal sentimen perkauman. Keutamaan mereka ialah masa depan dan kebajikan mereka. Mahasiswa contohnya tidak lagi takut seperti mahasiswa 10 atau 15 tahun dulu sebab mereka bukan generasi biasiswa kerajaan.

"Tidak seperti dulu, kerja tidak lagi terjamin. Mereka juga tidak takut dibuang kolej kerana sekarang kolej ini yang terdesak mencari pelajar! ini semua adalah perubahan dan anjakan yang kebanyakan kita tidak sedar. Dalam pada itu mereka terdedah kepada media alternatif," katanya

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15088

6 tahun jadi pemuas nafsu abang ipar

Posted: 09 Jun 2011 06:46 PM PDT

Seorang anggota tentera dikesan menjadikan adik iparnya sebagai tempat pemuas nafsu serakah sejak mangsa berusia 19 tahun lagi. Lebih malang lagi mangsa yang kini berusia 25 tahun turut didera dan diugut jika melaporkan kejadian itu kepada sesiapa termasuk keluarganya.

Malah lebih keji lagi apabila kakak kandung wanita itu turut bersubahat menyembunyikan kegiatan jahat suaminya sehingga mangsa melahirkan seorang anak perempuan yang kini berusia dua tahun.

Difahamkan gadis yang tidak tahan menanggung derita apabila kerap dirogol tampil membuat laporan di Balai Polis Gemencheh dekat sini Jumaat lalu.

Kejadian terakhir berlaku kira-kira jam 10 malam Khamis lalu apabila mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada abang iparnya itu mementa dia pulang segera ke rumah di Gemencheh, katanya.

Katanya, mangsa yang mengetahui musibah buruk bakal menimpanya enggan pulang ke rumah dan tindakan itu menimbulkan kemarahan suspek yang bertindak mencarinya di tempat kerja.

"Namun, belum sempat sampai di tempat kerja mangsa, suspek bertemu mangsa berhampiran stesen minyak di Pekan Gemencheh, sebelum mengheretnya menaiki motosikal dan memukul kepala mangsa dengan tangan.

"Suspek kemudian membawa mangsa  ke sebuah kebun getah berhampiran Taman Bunga Raya menghala  Kampung Seri Ashan, dekat sini, lalu merogolnya. Mangsa yang tidak tahan dengan kelakuan abang  iparnya itu kemudian membuat laporan polis.

Suspek yang berusia 38 tahun bertugas di sebuah kem tentera dekat Gemas kini direman 7 hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

STONE : Rogol 6 tahun?  ..... susah nak pikir. baik jangan pikir lah.

Jururawat, 22 tahun diculik dan di jual

Posted: 09 Jun 2011 05:04 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang jururawat berusia 22 tahun kini trauma selepas diculik sebelum dipukul sekumpulan tiga lelaki tidak dikenali ketika berada di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Difahamkan, selepas menculik wanita itu, kumpulan terbabit membawa mangsa ke lokasi tidak diketahui dan mahu menjualnya kepada individu lain yang sedia menunggu.

Namun, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, urusan tiga suspek terkubur apabila mangsa berjaya melarikan diri.

Biarpun jururawat itu dikejar ketiga-tiga penjenayah terbabit, dia menyembunyikan diri di dalam stor sebuah kedai makan di kawasan berkenaan selama tiga jam dan sebaik merasakan selamat, dia keluar dan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, kira-kira jam 4.30 petang.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, mangsa yang berjalan sendirian di kawasan LRT berkenaan mendakwa dihampiri sebuah kereta BMW biru gelap dinaiki tiga lelaki sebelum pemandu kenderaan itu menegur mangsa. -  Metro

PEKIDA bakal saman penerbit dan pengarah filem Kongsi dan KL Gangster

Posted: 09 Jun 2011 08:15 AM PDT

Pekida Mahu Saman Farid Kamil & Syamsul
Oleh KEMALIA OTHMAN

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) berhasrat menyaman penerbit dan pengarah filem Kongsi dan KL Gangster kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.

Ketua Ahli Majlis Negeri Pekida Wilayah Persekutuan, Shikin Begum berkata antara dialog dalam kedua-dua filem berkenaan telah menggunakan kata kunci pertubuhan tersebut yang selama ini dianggap rahsia.

"Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida.

"Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalu dan menjatuhkan martabat bangsa Melayu sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Shikin berkata, pihaknya kecewa kerana penerbit filem tersebut iaitu Skop Production dan Metrowealth yang tidak sensitif dengan perkara melibatkan pertubuhan tersebut.

Kedua-dua filem itu juga dilihat telah menjejaskan imej masyarakat Melayu apabila mengaitkan golongan Melayu dalam kumpulan gengster.

"Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu.

"Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat," ujarnya kesal.

Tambahnya, dia memahami kedua-dua pengarah muda ini mempunyai perjuangan dalam memeriahkan industri filem tanah air, namun tidak seharusnya mengambil jalan dengan menjatuhkan imej pertubuhan tersebut.

"Kedua-dua filem itu bukan sahaja tidak menghormati kami, malah memberi pandangan buruk kepada masyarakat tentang perjuangan sebenar Pekida.

"Kami pada awalnya berdiam, namun kemunculan filem KL Gangster membuatkan kami seperti dicabar untuk bangkit mendapatkan penjelasan selain mengambil tindakan," jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula.

Pertemuan itu kata Shikin telah diaturkan di pejabat LPFM di Putrajaya, Jumaat (hari ini) pada pukul 4 petang. - mStar

STONE Buat laporan polis, saman adalah kerja PEKIDA.

Lagi artis mendapat hidayah dari Nya - Catriona Ross

Posted: 09 Jun 2011 06:52 AM PDT

PRU 13 : Mat Sabu sanggup bertanding di Bukit Bintang

Posted: 09 Jun 2011 05:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, beliau sanggup bertanding di kawasan majoriti Cina seperti Bukit Bintang pada pilihan raya umum akan datang sekiranya diberi peluang oleh Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, parti itu akan lebih berpengaruh dalam PR sekiranya ia bertanding di lebih banyak kerusi dengan majoriti bukan Melayu.

Mohamad Sabu juga berkata, parti itu kini semakin diterima di kawasan bukan majoriti Melayu.

Bercakap dalam temuramah dengan portal berita MalaysiaKini, Mohamad Sabu bagaimanapun menegaskan, keputusan akhir mengenai pengagihan kerusi akan diputuskan oleh pucuk pimpinan PR.

Katanya, trend sekarang ialah kemenangan mana-mana calon banyak ditentukan oleh ketokohan seseorang.

"Saya sendiri berani bertanding di Bukit Bintang, asalkan (guna) simbol PAS (dan) DAP tak bertanding, dan lawan MCA...boleh menang," katanya sambil ketawa kecil.

Dalam temuramah itu, beliau juga berpandangan bahawa penentuan pengagihan kerusi pada masa hadapan mungkin tidak lagi berasaskan majoriti Melayu, PAS bertanding dan bukan Melayu DAP bertanding.

Sekarang kata Mohamad Sabu, segala-galanya bergantung kepada calon, sama ada diterima atau tidak oleh pengundi.

Kata Mohamad Sabu beliau tidak pasti sama ada formula dahulu iaitu kawasan Melayu PAS bertanding, bukan Melayu DAP dan campuran PKR masih boleh diguna pakai atau tidak kerana keadaan telah berubah - mStar -

SPRM sedang siasat Taib Mahmud - Abu Kassim

Posted: 09 Jun 2011 04:39 AM PDT

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah balak.

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM kini dalam proses mengumpul maklumat berhubung perkara berkenaan.

"Saya akan mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang ini (isu berkenaan). Seperti saya katakan dulu, kami sedang menyiasat Taib Mahmud dan apa jua tindakan kita, kita tidak dapat mendedahkan buat masa ini," katanya kepada wartawan pada majlis menandatangani dan menyerahkan ikrar integriti korporat kepada SPRM di sini, Khamis.

Abu Kassim menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan sebagaimana dilakukan Agensi Pencegahan Rasuah Switzerland, yang baru-baru ini membekukan aset Taib Mahmud atas dakwaan rasuah balak.

Menurut sumber berita asing, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland Micheline Calmy-Rey dilaporkan menyedari tentang dakwaan itu dan telah mengemukakan maklumat mengenai aset Taib di Switzerland kepada badan kawal selia, FINMA (Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland) untuk siasatan lanjut.

Mengenai pemantauan projek-projek mega, Abu Kassim berkata SPRM akan terus memantau projek-projek berkenaan dari masa ke masa.

"Tanggung jawab kami adalah untuk memantau sebarang projek dari masa ke masa. Saya tidak boleh nyatakan projek mana tetapi tugas kami memantau dan mencegah rasuah dalam kerajaan," katanya ketika ditanya sama ada SPRM telah mengenal pasti projek lain. Setakat ini, SPRM dijangka memantau tiga projek mega iaitu Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat yang bernilai RM5 bilion; sistem transit laju massa (MRT) bernilai RM36 bilion; dan projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM6.7 bilion. - BERNAMA

Pejabat MB Johor 'diserang' 300 penduduk

Posted: 09 Jun 2011 01:48 AM PDT

Oleh MOHD FARHAAN SHAH

NUSAJAYA: Lebih kurang 300 orang kampung yang datang dari Muar cuba meloloskan diri mereka memasuki Komplek Pejabat Menteri Besar di sini dalam usaha mereka untuk menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar sendiri.

Suasana itu telah menimbulkan kekecohan.

Kumpulan dari lima buah kampung di Muar itu termasuklah kanak-kanak, wanita dan orang tua tiba menaiki dua buah bas pada sekitar jam 11 pagi untuk bertemu dengan Datuk Abdul Ghani Othman.

Kumpulan itu diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dan Presiden Anak, Mazlan Aliman yang baru sahaja terpilih sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mereka bagaimanapun gagal menyerahkan memorandum itu kerana Menteri Besar tidak ada di dalam negeri.

Kumpulan ini tidak berpuashati dengan isu pembahagian lot tanah di lima kampung berkenaan di Sungai Abong Muar.

Mereka mendakwa hanya diberikan satu ekar bidang tanah sedangkan yang mereka pohon ialah dua ekar dan mereka juga tidak berpuashati kerana bukan penduduk kampung berkenaan juga telah diberikan lot tanah di kampung berkenaan.

"Keluarga kami adalah penduduk asal yang menerokai kampung ini 30 tahun lalu tetapi kini tanah di sini turut diberikan kepada mereka yang bukan dari sini," kata salah seorang penduduk kampung, Mohd Fakarudin Paijalah, 29.

Dia mendakwa, mereka telah mengirim satu surat bantahan rasmi kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah agar meluluskan permohonan mereka sejak 1976 tetapi ia telah ditolak.

Sementara itu, Suhaizan berkata, mereka sekali lagi akan mengadakan protes di hadapan Dewan Undangan Negeri pada persidangan bulan ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, tindakan kumpulan itu hari ini tidak wajar dilakukan dan lebih bermotifkan politik.

"Perkara ini sedang diteliti oleh kerajaan negeri jadi mereka perlulah bersabar sedikit," katanya.

Hubungan PAS - Umno semakin sukar selepas Muktamar

Posted: 09 Jun 2011 12:44 AM PDT

SHAH ALAM - Harapan UMNO untuk menjalin perpaduan dengan Pas semakin sukar selepas kepimpinan tertinggi Pas yang baru dipilih pada Muktamar baru-baru ini terus melaungkan slogan bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Atory Hussain berkata, Pas selepas ini akan terus menjauhkan diri dari UMNO kerana kepimpinan baru Pas amat yakin boleh menawan Putrajaya dengan bantuan PKR dan DAP.

Menurutnya, walaupun UMNO sudah beri isyarat perpaduan dengan Pas sejak beberapa tahun lalu, Pas dilihat menolak mentah-mentah konsep perpaduan anjuran UMNO tersebut.

"Walaupun Pas terus menolak, tetapi saya tahu jauh di sudut hati pemimpin UMNO, mereka masih mahu dan tidak berputus asa supaya hubungan perpaduan ini dapat menjadi realiti.

"Begitu juga jauh di sudut hati sesetengah pemimpin Pas, mereka mahu menyambut seruan itu tetapi Pas sekarang tidak boleh kerana 'terperangkap' dalam PR," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan kelmarin yang meminta pemimpin Pas agar jangan sandarkan kepada kenangan kerana pemimpin kedua-dua parti sekarang terdiri daripada generasi baru, Ahmad menjelaskan ia masih sukar kerana Pas 'diikat' kedua-dua kakinya.

"Pas tidak seperti UMNO dalam Barisan Nasional (BN), dalam BN kesemua parti komponen memberi mandat dan mengikut tindak tanduk UMNO. Pas tidak begitu dalam PR.

"Selepas pilihan raya umum lalu, Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) terlepas cakap dengan menyebut mengenai kerajaan perpaduan, beliau ingat Pas seperti UMNO tetapi tidak, jadi beliau terpaksa membuat pusingan U," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan yang akan menyebabkan Pas bersama UMNO pada masa depan, Ahmad menjelaskan buat masa sekarang tidak ada petunjuk yang menggambarkan kedua-dua parti akan duduk semeja.

"Dari segi sejarah, Pas pernah bersama dengan UMNO pada tahun 1970an dengan membentuk kerajaan campuran selepas berlakunya tragedi 13 Mei. Pemimpin Pas ketika itu adalah Datuk Mohamad Asri Muda.

"Pas boleh bersatu dengan UMNO pada ketika itu kerana Pas berseorangan, tidak terikat dengan parti-parti lain. Selepas itu mereka berpecah, bagi saya punca perpisahan ini kerana kesalahan kedua-dua pihak, UMNO besar kepala, Pas pula berangan," katanya.

'Tian Chua' kata video tu sah DSAI

Posted: 09 Jun 2011 12:20 AM PDT

KUALA LUMPUR: Identiti Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua digunakan untuk mengirim emel kepada Ahli Parlimen bagi memberi gambaran palsu, kononnya Ahli Parlimen Batu itu percaya video seks memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai sah.

Menyelar perbuatan itu, Tian Chua berkata penyamar itu didapati menggunakan alamat emel 'tianchua@rocketmail.com' untuk menghantar maklumat palsu itu kepada 16 penerima dengan sebahagian sebesar adalah wakil rakyat KEADILAN.

"Ini tindakan mereka yang rendah moral dan menunjukkan Umno Barisan Nasional (BN) terdesak sehingga sanggup menyamar identiti (saya).

"Ini kesalahan serius. Semua bukti ada dan emel palsu, tidak mustahil untuk dijejaki," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin pula mendedahkan beliau turut menerima salinan video fitnah itu yang dikirim melalui sampul ke peti surat rumahnya di Ampang, pagi ini.

Justeru, mereka akan melaporkan kejadian itu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam masa terdekat.

(Laporan lanjut menyusul)

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15030

Dedah kos lawatan Najib Rosmah ke Kazakhtan

Posted: 08 Jun 2011 11:23 PM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kepada umum perbelanjaan lawatan beliau ke Kazakhstan, yang secara kebetulan diadakan dengan majlis pertunangan anak perempuannya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin "kerana mengesahkan dakwaan kami bahawa majlis perkahwinan diaturkan ketika lawatan" perdana menteri ke negara itu.

"Selepas ucapan Najib pada Forum Ekonomi Islam Sedunia mengenai urus tadbir yang baik dan ketelusan, beliau seharusnya mendedahkan berapa banyak yang beliau telah habiskan untuk lawatannya."

"Dedahkan berapa banyak telah digunakan untuk urusan peribadi dan nyatakan sama ada mana-mana pihak dalam rombongannya tidak perlu (ketika beliau) menghadiri WIEF," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Khairy mempertahankan lawatan Najib ke Kazakhstan menerusi akaun Twitternya.

Khairy berkata, Najib berada di Kazakhstan untuk menyampaikan ucapan pada WIEF dan lawatan ke negara itu adalah atas jemputan presidennya Nursultan Nazarbayev yang pernah melawat Malaysia ketika era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dzulkefly menambah, ini bukan kali pertama perdana menteri membuat lawatan kerja yang secara kebetulan berkaitan dengan urusan peribadi.

Katanya, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu mengunjungi Amerika Syarikat (AS) dan menghadiri majis konvokesyen anak perempuan mereka di Georgetown University.

"Malah di mana-mana syarikat pun, ahli lembaga pengarah perlu mengisytiharkan terlebih dahulu jika wujud unsur konflik kepentingan," kata wakil rakyat PAS - TMI

Tiada ulasan: