Rabu, 29 Jun 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Provokasi Keterlaluan Terhadap BERSIH 2.0

Posted: 29 Jun 2011 05:31 AM PDT

1. Saya ingin merujuk kepada laporan berita bertajuk, "Batalkan Jika Tidak Mahu 'Perang' – Omardin" yang telah dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 27 Jun 2011. Sejak pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengeluarkan kenyataan media mengenai teknik kerajaan menakutkan rakyat untuk menghadiri Himpunan BERSIH 2.0 beberapa hari lalu, kami telah menjangkakan tekanan dan ugutan yang lebih dahsyat akan dipertingkatkan menjelang 9 Julai nanti.

2. Keadaan pada hari ini bertambah getir apabila provokasi demi provokasi terus dimarakkan oleh akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia. Terbaru, sepertimana petikan daripada laporan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada 27 Jun 2011, secara jelas Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia mengeluarkan kenyataan yang agak keras dan keterlaluan.

Memetik daripada laporan berita tersebut ;

Beliau menasihatkan Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.

Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh beri jaminan bahawa kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut.

3. Ugutan sedemikian sebenarnya turut mencemarkan Institusi Budaya dan Seni Silat tanahair kita yang selama ini, secara tradisi dan warisannya sangat dikenali sebagai satu Institusi yang sangat tinggi wibawa dan disiplinnya. Malah begitulah layaknya jiwa dan karektor pendekar - pendekar tanahair yang tinggi budi dan halus pekerti disebalik kehebatan dan keperkasaan ilmu mempertahankan diri. Selayaknya pula pendekar dan satria tanahair digunakan untuk mempertahankan negara dan menegakkan keadilan, bukannya mem'belasah' rakyat sendiri yang mahu menuntut keadilan secara aman. Apakah himpunan untuk menunjuk perasaan rakyat secara aman agar beberapa tuntutan mereka diberi perhatian dan ditunai oleh kerajaan telah menjadi satu kesalahan dalam negara kita ? apakah negara kita telah menukar sistem demokrasinya kepada sistem autokrasi ?

4. Jika pihak BERSIH 2.0 boleh dan mampu memberi jaminan bahawa pesertanya berdisiplin dan hadir berhimpun dengan aman dan ia adalah satu komitmen yang konsisten dan dipertegaskan berulang kali, kenapa pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara mengeluarkan kenyataan tidak dapat mengawal emosi anak didiknya sehingga boleh mendorong tercetusnya pertembungan.

5. Jika pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara tidak berupaya mengawal emosi anak didiknya, maka usahlah dikerahkan anak didik Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara turun pada hari yang sama untuk bertembung dengan pihak BERSIH 2.0 kerana kami bagi pihak BERSIH 2.0 sekali lagi mempertegaskan bahawa kami tidak turun dengan membawa semangat mahu bertembung dengan sesiapa sebaliknya hanya sekadar mahu mengadakan " Berjalan untuk Demokrasi " sambil membawa 8 tuntutan sebagaimana yang telah dimaklumi oleh semua pihak.

6. Hari ini kita dapat saksikan bagaimana pihak kerajaan dan pengamal media tertentu dengan sengaja memainkan peranan seolah-olah ingin merancang suatu keadaan yang huru hara sehingga melibatkan pertembungan fizikal pada 9 Julai ini. DPPM ingin tegaskan bahawa tiada sebarang agenda sulit atau himpunan untuk mencetuskan kekacauan daripada rakyat menerusi anjuran BERSIH 2.0. Ini adalah satu perkara yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan.

7. Amat mengecewakan apa yang berlaku hari ini adalah hak rakyat untuk berhimpun telah dinafikan malah diancam dengan pelbagai cara. Ancaman demi ancaman inilah yang membawa kepada kekacauan sebagaimana yang telah dimomokkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih mengecewakan tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur sentimen huru hara berkenaan. DPPM yakin semua pihak mahukan negara yang aman. Maka, tidak perlu provokasi keterlaluan sehingga boleh mengheret rakyat kepada situasi yang menakutkan.

8. Demikian juga dengan beberapa siri himpunan bantahan yang dilakukan oleh pihak pemuda UMNO dan juga PERKASA dengan mengeluarkan kenyataan berupa ugutan dan ancaman sedang pihak BERSIH telah berkali - kali membuat komitmen untuk memastikan Himpunan BERSIH 2.0 kelak akan berlangsung dalam keadaan aman. Malangnya pihak berkuasa tidak pula mengambil tindakan kepada pihak yang mencetus provokasi dan beria - ia mahu berperang, bertembung dan sebagainya. Lebih malang apabila yang menjadi sasaran pihak berkuasa hanyalah BERSIH 2.0 yang bertegas mahu menganjurkan himpunan secara aman .

9. Apakah pihak kerajaan turut bersubahat dengan `pihak yang mencetus provokasi hanya semata - mata tidak mahu melihat himpunan BERSIH 2.0 ini berjaya dilakukan. Situasi ini jelas menunjukkan seawal - awalnya pihak kerajaan telah TIDAK berlaku adil dalam menangani isu ini.

10. Penegasan yang sekali lagi saya mahu utarakan kepada semua khasnya kepada pihak kerajaan bahawa kami terutamanya anak - anak muda yang akan turun pada 9 Julai 2011 kelak adalah mewakili rakyat yang mahukan keadilan , keamanan dan kesejahteraan. Kami tidak turun dengan membawa senjata demikian juga kami tidak sekali - kali akan mencetus provokasi yang mengundang kepada ancaman keselamatan kepada pihak lain. Sebaliknya ikrar kami, hanya turun membawa hati dan perasaan yang mahukan keadilan dan hak diberikan kepada kami secara saksama setelah sekian lama hak kami dinafikan seperti yang tersenarai dalam 8 tuntutan kami.

1. Clean the electoral roll
2. Reform postal ballot
3. Use of indelible ink
4. Minimum 21 days campaign period
5. Free and fair access to media
6. Strengthen public institutions
7. Stop corruption
8. Stop dirty politics

1. Bersihkan senarai undi
• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan 'pengundi hantu' seperti orang yang telah meninggal.
• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos
• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal
• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari
• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil
• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah
Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
Pembelian undi harus dihentikan!
Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor
BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Menteri, polis jangan atasi parlimen – Aziz Bari

Posted: 29 Jun 2011 05:26 AM PDT

(Oleh: Rusnizam Mahat)

KUALA LUMPUR: Menteri dan pasukan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kesalahan yang tidak disebut oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari kepada Keadilandaily ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato Seri Hishamuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini.

Hishamuddin memberi amaran sesiapa yang memakai baju T kuning Bersih adalah melakukan kesalahan dan boleh ditangkap.

Sementara Ismail pula menambah, sesiapa yang memakai kasut, menaiki kereta dan bas untuk mempromosikan perhimpunan itu juga akan ditahan kerana melakukan kegiatan menghasut.

Aziz berkata, kuasa untuk membuat undang-undang telah diletakkan di tangan parlimen.

"Menteri dan kakitangan awam seperti polis tidak mempunyai kuasa berbuat demikian. Jika ada pun kuasa itu ia mesti disebut secara jelas dalam akta yang berkenaan,".

"Apa yang dilakukan oleh menteri dan polis ialah membuat kesalahan atau jenayah baru yang di luar bidang kuasa mereka", kata pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Kata Aziz lagi, tidak ada undang-undang yang meletakkan perkara itu sebagai perbuatan jenayah, seperti yang disebut oleh Hishamuddin dan Ismail.

Dengan itu, katanya, orang ramai bebas melakukan apa yang dilarang oleh mereka berdua.

Menjelang Perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini, pihak polis bertindak sewenang-wenang menahan orang ramai yang mereka dakwa ada kaitan dengan perhimpunan tersebut.

Sehingga kini seramai 95 orang ditahan polis atas dakwaan mempromosikan himpunan itu, termasuk kesalahan memakai baju T Bersih.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), kelmarin menyeru pihak berkuasa membenarkan perhimpunan aman tersebut dianjurkan.

Tegas Suhakam, rakyat mempunyai hak berhimpun dan menyuarakan pandangan, seperti mana terkandung dalam Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Tukar Tiub Kena Tahan Polis Jugak?

Posted: 29 Jun 2011 05:22 AM PDT

Bersih 2.0: Polis soal siasat lima pemimpin, 18 lagi susul

Oleh Clara Chooi


Polis mengawal pejabat sekretariat Bersih di Petaling Jaya selepas melakukan serbuan pagi tadi. – Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Polis meneruskan pendekatan mereka dengan menyoal siasat lima lagi aktivis hari ini berhubung Himpunan Bersih 2.0 bulan depan, dan dijangka akan menyasarkan 18 lagi, demikian menurut seorang peguam Majlis Peguam.

Lima yang disoal siasat hari ini ialah anggota jawatankuasa pemandu Maria Chin Abdullah, pengarah Tenaganita Irene Fernandez, aktivis sosial Hishammuddin Rais, ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya dan ketua DAP Selangor DAP Teresa Kok.

Mereka dipanggil hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang ini.

Peguam Edmund Bon, yang menemui mereka kecuali Kok ketika sesi soal siasat memberitahu pemberita bahawa seramai 40 aktivis termasuk ahli-ahli politik pembangkang dipanggil untuk disoal siasat berhubung Himpunan Bersih 2.0.

Katanya, beliau menerima maklumat bahawa 40 dipanggil ekoran laporan yang dibuat oleh seorang anggota polis yang menghadiri majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.

"Anggota polis itu ada pada majlis pelancaran dan menurutnya, dia berpandangan bahawa pelancaran dan kenyataan-kenyataan yang dibuat adalah berbaur ugutan kepada keselamatan negara. Itu yang mencetuskan keadaan ini," katanya lagi.

Difahamkan Irene, Latheefa dan Kok disoal siasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan manakala Hishammuddin dan Maria Chin disoal siasat di bawah Akta Polis.

Menurut Latheefa, dia tidak dipanggil kerana pembabitannya dalam majlis pelancaran 19 Jun lalu tetapi kerana mengiringi Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenavasan ke balai polis Jalan Travers Khamis lalu untuk membuat laporan polis berhubung ancaman bunuh SMS.

"Ia mengarut. Saya sendiri datang ke sini untuk disoal siat dan sebabnya siasatan kerana saya mengiringi Ambiga ke balai polis Jalan Travers selepas menerima ugutan bunuh.

"Sebenarnya, saya juga salah seorang yang menerima SMS tetapi pub begitu, mereka menyiasat saya di bawah Seksyen 27 (Akta Polis) dan Akta Hasutan... hanya kerana berada di balai polis.. sejauh mana karutnya benda ini," katanya lagi.

Dia juga berkata polis menggunakan soalan-soalan yang sama kepada mereka termasuk sama ada perhimpunan itu salah, akan menjejaskan bisnes dan ada kaedah lain bagi mendesak pembaharuan sistem pilihan raya.

Kok yang disoal siasat secara berasing daripada empat mereka itu memberitahu, beliau ditanya mengenai pembabitan dalam pelancaran dan satu ceramah yang disampaikan di Telok Datok, kelmarin.

Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa apabila ditanya siapa yang menaja Bersih beliau menjawab "mungkin Kopi Jantan."

Maria Chin, yang juga Pengarah Eksekutif NGO Empower berkata kesemua rakyat Malaysia seharusnya mengecam tindakan polis yang meneruskan pendekatan menahan aktivis Himpunan Bersih 2.0.

Katanya, kerajaan memberi respons kepada perhimpunan secara tidak rasional.

"Pertama, mereka mengisytiharkan kemeja-T haram dan tidak memberikan sebab mengapa kemeja-T tidak sah.

"Saya fikir ini tindakan kasar yang menggambarkan bahawa kerajaan sudah hilang kawalan untuk menentukan apa itu rasional dan apa itu tidak rasional," katanya lagi.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Tiada ulasan: