Khamis, 16 Jun 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


UMNO & Utusan Terasa Khutbah Jumaat Ditujukan Kepada Mereka

Posted: 16 Jun 2011 12:20 AM PDT

Khutbah Jumaat Tiada Motif Politik, Kata Mufti Selangor

SHAH ALAM 15 JUN : Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menegaskan khutbah Jumaat mengenai dosa fitnah yang dibacakan di masjid- masjid seluruh negeri Selangor, tidak mempunyai motif politik sebagaimana yang didakwa oleh Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, khutbah itu sekadar mendidik ummah negeri ini tentang bahaya gejala fitnah dan syarat-syarat Islam yang perlu dipatuhi dalam menuduh seseorang berzina.

"Saya bersangka baik bahawa khatib bertujuan mahu memberikan penjelasan kepada masyarakat agar kita lebih berhati-hati supaya jangan sampai membuat sebarang tuduhan yang tidak ada bukti (atau) saksi kerana jika seseorang itu membuat tuduhan zina ataupun qazaf mestilah ada bukti (dan) saksi," kata beliau kepada TvSelangor.

Justeru Tamyes menyifatkan tindakan Utusan Malaysia menggambarkan masjid di Selangor 'diperkudakan' demi kepentingan politik pihak tertentu adalah tidak benar dan bertujuan mencetuskan kontroversi semata-mata.

Artikel 'Masjid Selangor Diperkudakan' ditulis oleh Pengarang Utusan, Zulkifli Jalil. Beliau mendakwa khutbah itu bertujuan membersihkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dikaitkan dengan isu video lucah Datuk T.

Khutbah Jumaat itu menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.

"Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam tidak kisah sama ada ia dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain," kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor itu.

"Fitnah ialah mengadakan satu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif- motif yang buruk.

"Fitnah boleh menimbulkan qazaf dan ia bererti membuat pertuduhan terhadap seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil dan orang yang menuduh telah melakukan jenayah qazaf dan fitnah," menurut khutbah rasmi itu.

Tamyees hari ini berkata tuduhan melulu yang dibuat oleh Zulkifli dan pihak-pihak tertentu dalam Umno kononnya khutbah itu berbau politik adalah tersasar.

Beliau berkata kandungan teks khutbah yang dibaca oleh khatib disemak dan diteliti oleh Jawatankuasa Panel Khutbah yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum diedarkan kepada masjid-masjid untuk dibaca setiap minggu.

"Sebenarnya kandungan khutbah ini adalah yang disemak oleh satu lajnah ataupun jawatankuasa penilai khutbah di Jabatan Agama Islam Selangor yang dipengerusikan Pengarah JAIS sendiri, ahli jawatankuasanya terdiri daripada ahli akademik."

Tamyes bersetuju bahawa khutbah Jumaat tidak harus memecah-belahkan umat Islam namun "kalau niat imam atau khatib yang membacanya adalah sebagai peringatan kepada kita agar lebih berhati-hati apabila membuat tuduhan, itu suatu perkara yang digalakkan oleh agama."




Ulasan GB

Sekian lama UMNO BN memperkudakan khutbah Jumaat tidak dihebohkan tiba-tiba apabila khutbah Jumaat menasihati agar jangan menimbulkan fitnah, penulis Utusan itu seperti terasa pedasnya lada apabila menggigitnya. Terasa pedih telinga mendengarnya.

Sememangnya Utusan dan UMNO suka untuk menyebarkan fitnah, lantarannya, khutbah Jumaat yang menggesa agar tidak menyebarkan fitnah dirasakan seperti ditujukan kepada mereka.

Isteri Mahu Jual Organ RM1juta Untuk Bayar Hutang Suami Kepada Along

Posted: 15 Jun 2011 10:55 PM PDT

Johor Bharu: "Ini ikhtiar akhir, saya mahu jual buah pinggang atau mata pada harga RM1 juta untuk melunaskan hutang along," demikian luah ibu kepada dua anak berusia 35 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah di sini, semalam.

Suami Fatimah dikenali sebagai Ahmad, 39, terpaksa menanggung kadar bunga mencecah RM54,000 sejak September lalu melalui pinjaman RM30,000 untuk memulakan perniagaan, sudah tidak tahan lagi diganggu lelaki tidak dikenali yang sering datang ke kediamannya di Larkin di sini, bagi menuntut hutang terbabit.

Fatimah yang tidak bekerja berkata, dia sedar perbuatan menjual organ tubuh salah di sisi undang-undang, tetapi beranggapan ia jalan terakhir mampu dilakukannya bagi melunaskan hutang secepat mungkin.

"Saya melakukannya kerana tidak sanggup melarikan diri daripada buruan along selain kasihan dengan ibu yang sering menjadi mangsa maki-hamun lelaki tidak dikenali.

"Harga diletakkan pula memang tinggi kerana saya beranggapan selepas menjual organ, saya mungkin berdepan masalah kesihatan dan wang itu akan digunakan untuk membiayai kos sepanjang hayat," katanya. -hm


Jual organ bayar hutang suami

Wanita tawar buah pinggang, sebelah kornea mata pada harga RM1 juta

JOHOR BAHRU: Trauma diancam samseng pengutip hutang yang dihantar sebuah syarikat kewangan berlesen bagi menuntut hutang ditanggung suaminya, seorang ibu muda dari Kulaijaya di sini, mahu menjual buah pinggang dan kornea matanya pada harga RM1 juta.

Hasrat wanita berusia 35 tahun itu terbongkar ketika dia mengunjungi pejabat Bahagian Pengiklanan, The New Straits Times Press (NSTP) di Bandar Baru UDA di sini, untuk membeli ruangan bagi mengiklankan jualan sebiji buah pinggang dan kornea sebelah matanya.

Beliau mahu menjual dua organ berkenaan kepada sesiapa saja yang berminat membayar jumlah terbabit, tanpa menyedari perbuatannya adalah menyalahi undang-undang.

Ibu kepada seorang bayi berusia 19 bulan itu, berkata dia nekad mahu menjual organ berkenaan kerana tidak tahan lagi menanggung beban hutang selepas suaminya meminjam dengan sebuah syarikat kewangan berlesen di Kuala Lumpur yang mengenakan faedah sehingga RM6,000 sebulan.

Katanya, suaminya mendapat pinjaman RM30,000 daripada syarikat terbabit selepas seorang rakan menjanjikan kontrak menambak tanah di Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) dekat Sepang, yang perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan sebelum Ramadan tahun lalu.

"Suami saya diminta menyediakan 100 hingga 200 lori untuk projek itu menyebabkan dia teruja dan mula berusaha menyediakan lori yang dikehendaki dengan melayari laman web sebelum menemui dua lelaki yang mendakwa mampu menyediakan pengangkutan terbabit.

"Yakin mendapat projek itu, suami saya meminta bantuan abangnya di Kuala Lumpur untuk menguruskan pinjaman dengan syarikat kewangan terbabit dan berjanji membayar RM15,000 sebulan serta 'duit kopi' RM6,000 setiap bulan sehingga projek diselesaikan dalam masa dua bulan," katanya.

Katanya, selepas sebulan berlalu, lori dijanjikan dua lelaki yang dikenali menerusi iklan laman web itu gagal diperoleh, meskipun sudah membayar mereka RM3,000.

"Pada akhir bulan pertama itu, suami saya memulangkan kembali wang pokok RM15,000 serta faedah sebanyak RM6,000, tetapi selepas ini suami sudah kehabisan wang untuk membayar mereka sedangkan baki hutang mula membiak dengan faedah yang dipersetujui dengan syarikat itu.

"Suami saya gagal mendapat projek menambak tanah terbabit dan sejak itu kehidupan kami sekeluarga mula dilanda kebimbangan apabila pengutip wang mula datang ke rumah abang ipar selaku penjamin serta rumah keluarga kami di Kulaijaya.

"Nak makan pun saya tidak ada duit, mujur seorang rakan meminjamkan wang untuk suami yang membolehkan beliau mengusahakan gerai roti canai di Kuala Lumpur dan berhasil membayar RM500 sebulan sepanjang Januari hingga April tahun ini. Namun, masih tidak cukup, kereta juga sudah ditarik bank dan rumah sewa di Kuala Lumpur juga sudah tiga bulan tidak dibayar.

"Namun, mereka (pengutip hutang) tetap datang meminta kami menjelaskan baki bayaran dan sehingga kini faedahnya tidak pernah berkurangan. Saya dan suami kini tersepit apabila diburu pengutip hutang syarikat," katanya.

Katanya, beliau mengambil keputusan menjual organ itu kerana mahu membina hidup baru walaupun hasrat itu tidak diberitahu suaminya. -BH



Waspada: Panadol Dari Tepung Gandum Di Pasaran

Posted: 15 Jun 2011 09:45 PM PDT

Paracetamol palsu dikesan membanjiri pasaran tempatan dengan penjualannya menggunakan bungkusan asal jenama Panadol bersama pelekat hologram tiruan bagi mengelirukan pengguna.

Perkara itu dikesan hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati produk terbabit dipercayai menggunakan bahan asas tepung gandum yang tidak mampu melegakan demam pesakit selain didapati pada harga lebih murah.

Penolong Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Aznur Muhammad berkata, setakat ini, pihaknya masih membuat kajian bagi mengenal pasti sama ada produk tiruan itu boleh memberi kesan sampingan kepada orang ramai atau sebaliknya.

"Kami masih melakukan ujian makmal terhadap-ubatan palsu dirampas itu untuk mengesan sama ada wujud campuran bahan kimia lain atau sebaliknya.

"Bagaimanapun, pengguna yang mahu membeliubatan ini boleh memeriksa pelekat hologram digunakan bagi memastikan sama ada ia tulen atau sebaliknya menggunakan alat dibekalkan KKM di setiap kedai terbabit," katanya.

Beliau berkata, selain paracetamol, ubat-ubatan lain yang turut dipalsukan semata-mata bagi mengaut keuntungan termasuk air cap Badak, minyak angin jenama Vicks dan minyak urut jenama Mustika.

Dalam operasi sekitar Chow Kit, jam 12 tengah hari semalam, Bahagian Farmasi KKM yang membuat pemeriksaan di beberapa kedai jamu dan ubatan menemui lima gudang ubat haram membabitkan nilai rampasan bernilai RM1 juta. -HM

Lamanweb K'jaan Malaysia Digodam, Sistem Pertahanan Komputer Kerajaan Rapuh

Posted: 15 Jun 2011 07:55 PM PDT

Anonymous serang laman web k'jaan Malaysia

Sejak awal pagi tadi, sekurang-kurangnya 10 laman web agensi kerajaan tidak dapat dilayari kerana diserang oleh pengodam yang membalas tindak kerajaan menyekat beberapa laman sesawang perkongsian fail.

Bermula jam 3.30 pagi tadi pengodam yang menamakan kumpulan mereka sebagai Anonymous, menyenaraikan 18 laman web kerajaan yang didakwa telah diserang oleh DDoS (Distributed Denial-of-Service) ataupun dipadamkan sementara oleh pentadbirnya.

Tinjauan Malaysiakini sehingga jam 9 pagi ini mendapati tidak kurang sembilan laman web, termasuk portal rasmi kerajaan Malaysia MyGovernment (www.malaysia.gov.my), masih tidak dapat dilayari.

Laman lain adalah Pelancongan Sabah, Asean connect, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbendaharaan, Parlimen, Jobs Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Majlis Sukan Negara.

Menurut beberapa pelayar yang sempat merakamkan laman web kerajaan yang digodamkan itu berkata kumpulan itu juga menukar kenyataan di laman-laman berkenaan.

"Salam Malaysia, kami telah menyaksikan penapisan internet yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang menyekat laman seperti The Pirate Bay dan WikiLeaks. Malaysia adalah antara kerajaan di dunia ini yang paling ketat mengenakan tapisan, hingga sanggup menghalang akses kepada filem dan rancangan televisyen.

"Tidak ada alasan bagi sebarang bentuk penapisan. Awak hanya cuba merampas hak asasi manusia. Internet diadakan untuk kebebasan dan tanpa rasa gentar kepada kerajaan mahupun campur tangannya. Jangan fikir tidak ada orang yang sedar apa yang awak lakukan,"
petik kenyataan itu dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya lagi, serangan itu sebagai tanda dan amaran serta peluang bagi mendengar idea pihak lain. Pengodam juga berkata mereka mempunyai tanggungjawab bertindak pantas dan tanpa belas kasihan.

Minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan bahawa 10 laman web termasuk Pirate Bay dan Megaupload telah disekat kerana mencabuli undang-undang hak cipta. -mk


Anonymous ancam godam laman web kerajaan Malaysia Khamis ini
June 14, 2011

PETALING JAYA, 14 Jun — Satu kumpulan yang dikenali sebagai Anonymous mengancam untuk menggodam laman web kerajaan www.malaysia.gov.my di bawah "Operation Malaysia" awal Khamis ini.

Kumpulan itu menghantar mesej mengatakan bahawa ia akan menggodam pada pukul 3.30 pagi Khamis ini waktu Malaysia (7.30 petang, waktu GMT esok).

Laporan The Star Online pagi ini menyebut ugutan dalam bentuk grafik disiarkan di laman web http://i.imgur.com/PTFWh.png.

Mikko Hypponen, ketua pejabat penyelidikan di F-Secure Corporation, sebuah firma sekuriti perisian yang berpejabat di Helsinki, Finland menghantar mesej mengenainya menerusi Twitter kira-kira 4.42 pagi tadi (waktu Malaysia).

Tiada butiran lain diperoleh ketika ini, kata laporan itu.

Laporan itu menambah, tidak diketahui sebab Anonymous menyasarkan laman web Malaysia. -TMI 14/06/2011


Ulasan GB

GB dah ulas sebelum ini bahawa, Malaysia ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang bebal IT sekalipun di Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia, maka itu, sekalipun telah diberi amaran bahawa serangan akan berlaku ke atas laman-lamanweb kerajaan, menteri-menteri yang hanya pandai bercakap ini tidak memandang ia sebagai serius dan justeru itu ia tidak mengambil langkah berkesan untuk menghalang berlakunya pencerobohan berkenaan.

Menteri yang menjaga hal-ehwal komunikasi dan multimedia heboh pula mengedarkan netbook untuk pelajar-pelajar sedangkan beliau sendiri buta IT.

Mereka tidak berupaya untuk mewujudkan kumpulan pakar IT yang baik bagi persiapan mempertahankan lamanweb dan portal kerajaan daripada pencerobohan.

Itu mujur penceroboh telah "baik hati" kerana memberi amaran lebih awal.

Dalam banyak kes pencerobohan jarang berlaku perkara sedemikian dimana lazimnya penceroboh akan terus menerjah dan "mengambil-alih" skrin utama lamanweb.

Kita khuatir pencerobohan yang berlaku bukan sekadar pengambil-alihan skrin utama, tetapi yang lebih membahayakan pihak penceroboh telah dapat mengakses pengkalan data dan kemudian mencuri maklumat-maklumat berharga dari pengkalan data berkenaan.

Wikileaks adalah contoh terbaik dimana pengkalan data berjaya diakses dan maklumat di bawa keluar dari server mangsa.

p/s Anda berbelanja jutaan ringgit mewujudkan kumpulan apa yang dinamakan cyber-trooper untuk menggodam lamanweb, portal dan blog-blog mereka yang tak sehaluan dengan pandangan kerajaan, kini portal & lamanweb anda di serang. What goes around turns around!

Nak wujudkan kumpulan pertahanan sistem komputer pun tak berupaya, inikan pula nak wujudkan kumpulan pertahanan logi nuklear yang kononnya "kegagalan-sifar".

Lihat BERSIH Secara Positif, Ia Mampu Jana Pendapatan Peniaga

Posted: 15 Jun 2011 06:00 PM PDT

Para peniaga perlu melihat Perhimpunan BERSIH sebagai sesuatu yang positif dalam usaha menjana pendapatan peniaga, ujar Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Menurut beliau, kehadiran ramai pengunjung pada perhimpunan itu dapat menjana pendapatan peniaga seperti penjualan barang makanan, cenderahati BERSIH 2.0 dan sebagainya memandangkan perhimpunan ini sudah diwarwarkan dari awal dan bukannya di saat- saat akhir.

"Saya rasa BERSIH ini boleh menajanakan ekonomi kalau pihak peniaga Bumiputera yang pandai mengambil kesempatan memandangkan ramai orang hadir dalam perhimpunan terbabit. Saya rasa suasana yang bakal timbul terpulang kepada masing-masing.

"Kalau kita sudah menunjukkan satu sikap negatif maka kita tidak mendapat peluang. Kalau kita menunjukkan satu sikap yang positif, maka kita akan memanfaatkan perkara- perkara yang bakal berlaku," katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, pertubuhan peribumi perkasa (PERKASA) sepatutnya tidak perlu campur tangan dalam perhimpunan tersebut berikutan tujuan dan niat asal perhimpunan ini adalah baik dan bukannya bermatlamat menggugat keamanan serta menimbulkan kekacauan.

"Saya rasa mereka sepatutnya tidak dibenarkan untuk mengganggu tunjuk perasaan yang ingin dilakukan oleh pihak BERSIH 2.0. amat jelas kehadiran mereka bertujuan untuk mengganggu dan menimbulkan ketegangan sedangkan daripada tujuan dan niat asal BERSIH 2.0 adalah perhimpunan aman," katanya.

Beliau menambah, ini bukan kali pertama PERKASA 'kebal' untuk melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan prinsip keamanan dan demokrasi.


Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar memohon penjelasan daripada Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutan, PPBWP berhubung kerugian yang dialami oleh peniaga pada perhimpunan BERSIH yang lalu.

Menurut beliau, berdasarkan dakwaan peniaga sebelum ini kononnya mereka kerugian hampir RM10juta sewaktu himpunan BERSIH kali pertama diadakan, ini bermaksud peniaga memperoleh anggaran pendapatan berjumlah RM5,000 sehari dan mereka mampu mendapat RM 150,000 sebulan.

"Kalau RM10 juta dibahagikan kepada 2,000 orang, maknaya RM5,000 sehari. Untuk 30 hari maknanya RM 150,000 kerugian sebulan. Jadi saya tidak tahu bahagian kutipan dan taksiran cukai membuat satu siasatan kepada mereka kerana pendapatan mereka kalau RM150,000 sebulan maknanya ianya pendapatan mereka boleh dicukaikan. Jadi saya tidak tahu mereka sudah membayar cukai pendapatan kepada kerajaan atau tidak.

"Kalau mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan, saya turut mengalami kerugian. Rakyat juga tidak mendapat manfaat daripada cukai yang sepatutnya dibayar oleh 2,000 orang peniaga ini.

"Jadi saya minta satu penjelasan daipada PPBWP sejauh mana peniaga ini telah membayar cukai pendapatan walaupun mereka hanya sebagai peniaga kecil tetapi pendapatan mereka sangat- sangat tinggi berdasarkan laporan pengakuan yang dibuat oleh mereka yang mengatakan kerugian sebanyak RM 10juta. Dalam perhimpunan bersih yang lalu," katanya.

Beliau menambah sekiranya peniaga tidak perlu membayar cukai pendapatan kepada kerajaan maka tidak menjadi masalah berhubung penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 akan datang.

"Bagi saya ini merupakan asas yang perlu kita bincang. Kalau mereka mengatakan mereka tidak perlu membayar cukai kerana pendapatan mereka tidak sampai, maka tidak ada kerugian pada perhimpunan BERSIH yang lalu. Jadi tiada masalah untuk mengadakan himpunan BERSIH yang kedua," katanya.-tvsnews



Kartun Utusan Hina Islam, PUM Mahu Pelukis & Penerbit Didakwa

Posted: 15 Jun 2011 03:50 PM PDT


Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan pelukis kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini diheret ke mahkamah kerana menghina Islam.

"Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam dan tidak harus dibiarkan.

Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

"PUM meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama. Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat.

"Sehubungan dengan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,"
katanya.

Sheikh Abdul Halim mengulas kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh pegawai Jabatan Agama kerana tidak mempunyai empat saksi.

Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima duan itu.

Dia hanya Besi

Dialognya berbunyi "Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!"

Selain itu, dialog lain yang dikatakan menghina Islam adalah: "Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi."

Menurut Sheikh Abdul Halim Utusan sepatutnya mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan seumpama itu.

"PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan adakan lebih banyak konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang berpengetahuan agama," katanya.

Turut membidas penyiaran kartun oleh akhbar milik Umno itu ialah Dewan Pemuda PAS negeri Melaka yang mahu Utusan meminta maaf kepada umat Islam.

"Inilah akibatnya apabila akhbar Utusan Malaysia di-umno-kan. Tidak lagi seperti dahulu. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda, kata ketuanya, Aizat Baharuddin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Ruangan kartun itu, kata Aizat jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam dituduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan empat orang saksi yang tidak fasiq."

Begitu jahil

Katanya, dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

"Ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa empat orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

"Kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis," kata Aizat.

Menurut beliau tindakan akhbar itu jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya dari Allah.

"Ia dipercayai berkaitan tentang isu video seks dan liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang menjadi bahan utama (persendaan) akhbar itu,"
katanya.

Menurut Aizat, Utusan perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

"Cukuplah Islam dihina oleh musuh Islam, janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri." katanya. -mk



Persatuan Ulama kecam karikatur Utusan Malaysia, dakwa hina Islam

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam karikatur bertajuk "Kekeliruan Kes Rogol" yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini sambil menyifatkan ia menghina agama Islam.

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, penyiaran karikatur (gambar) itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi "Bagus... Alat itu pun boleh jadi bukti!"


Jelas Sheikh Abdul Halim, tindakan Utusan Malaysia melepaskan karikatur itu adalah tidak wajar dan boleh menyebabkan perpecahan antara umat Islam.

"PUM memandang serius penyiaran kartun dalam Utusan Malaysia disiarkan pada yang secara jelas menghina ulama dan Islam ... perkara ini tidak harus dibiarkan.

"Kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.


"Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mahu Majlis Fatwa Kebangsaan memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan susulan ekoran keberanian pelukis dan Utusan Malaysia menyiarkan karikatur begitu.

"PUM meminta supaya para mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama.

"Sehubungan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini," katanya.

Selain itu, tegas Sheikh Abdul Halim, pihaknya juga mahu pelukis dan Utusan Malaysia didakwa kerana menghina Islam.

"Sepatutnya perkara sebegini sepatutnya mereka perlu mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan.

"Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini di dakwa atas penghinaan ke atas Islam," katanya yang turut menyarankan agar kerajaan mengadakan lebih banyak program untuk menyelesaikan isu berkaitan agama Islam.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor pula berkata sepatutnya pelukis karikatur itu perlu tahu bahawa tindakannya akan mengundang rasa marah umat Islam yang lain.

"Kartun ini hina Islam sebab dalam kes zina memang rakaman video tidak boleh dijadikan bukti tapi dalam kes rogol ia boleh dipertimbangkan dengan rakaman video itu disahkan dulu.

"Kes rogol bukan perbuatan zina, saya rasa pelukis ini silap dan tidak faham," katanya kepada The Malaysian Insider. -TMI


Ulasan GB

GB musykil, bagaimana mahu dakwa dan ambil tindakan ke atas pelukis dan penerbit katun berkenaan sedangkan KDN juga sama jahat dan sama jahil dengan Utusan?

Yang terbaru, tiada tindakan ke atas Ibrahim Ali yang isytihar "perang jihad" ke atas Kristian pun tidak dikenakan sebarang tindakan oleh KDN.

Dua Mati Lemas Dalam Tragedi Sungai Pasir Kemudi

Posted: 15 Jun 2011 08:15 AM PDT

Seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan dan sahabatnya mati lemas ketika mandi-manda di Sungai Pasir Kemudi, Sungai Lembing dekat sini pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata, mangsa tersebut penuntut Fakulti Biologi Mohd Adhamerudin Omar, 22, yang berasal dari Padang Sanai, Padang Terap, Kedah dan Amirul Hakim Mustafa, 19, dari Indera Mahkota di sini.

Katanya sebelum kejadian, kedua-dua sahabat itu bersama dua lagi rakan mereka dipercayai mendaki Bukit Panorama di Sungai Lembing selepas solat Subuh di Masjid Sungai Lembing.

"Kesemua mereka kemudiannya turun dari bukit berkenaan dan terus ke sungai itu di mana dua mangsa berkenaan telah turun ke dalam sungai manakala dua lagi rakannya menyediakan makanan di darat," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Zulkifli berkata ketika sedang mandi-manda pada pukul 8.30 pagi tadi, salah seorang daripada mangsa didapati lemas dan beliau cuba dibantu oleh seorang lagi mangsa sebelum kedua-duanya tenggelam.

"Dua rakan mereka cuba membantu tetapi tidak sempat sebelum kedua-duanya membuat laporan mengenai kejadian itu," katanya.

Menurutnya sepasukan anggota polis, bomba dan orang ramai melancarkan operasi mencari dan menyelamat sejurus selepas itu berjaya menemui mangsa kira-kira sejam kemudian tidak jauh dari lokasi mangsa hilang.

Katanya kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing. -- BERNAMA








Laman Facebook Curi-curi Wang Malaysia Dilancarkan

Posted: 15 Jun 2011 06:30 AM PDT

Susulan pendedahan Kementerian Pelancongan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengujudkan Facebooknya, beberapa pihak yang tidak berpuas hati membuka laman baru Facebook bertajuk Curi-Curi Wang Malaysia.

Laman web yang dibuat sekitar jam 6 petang semalam telah berjaya mengumpul lebih 20 ribu orang pengikut setakat ini.

Laman tersebut boleh diakses menerusi
https://www.facebook.com/pages/Curi-curi-Wang-Malaysia

Rata-rata pengguna Facebook mengecam jumlah yang diperuntukan Kementerian itu hanya untuk mengemaskini laman Facebook Tourism Malaysia ~ Cuti- Cuti 1Malaysia.

Antara yang membidas pembaziran itu di Parlimen semalam termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Semalam Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook mendedahkan perbelanjaan itu dan memberi perakuan akaun Facebook yang mana kos penyelenggaraan dapat dilakukan dengan kos yang jauh lebih murah.

Anthony yang juga Ketua Pemuda DAP berkata Facebook Curi-curi Wang Malaysia mencerminkan rasa marah komuniti siber yang menentang pembaziran wang rakyat.

"Kita bersetuju bahawa sektor pelancongan meupakan antara sektor yang penting bagi negara tetapi ia tidak bermakna kerajaan boleh membelanjakan RM1.8 juta sedangkan ianya percuma. Semua orang tidak boleh menerima kenyataan sebegini," katanya.

Anthony Loke mendesak supaya Menteri Pelancongan, Datuk Dr Ng Yen Yen menggantung kontrak Impact Creation Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelenggara laman Facebook Tourism Malaysia ~ Cuti- cuti 1 Malaysia.

"Saya mendesak Datuk Ng Yen Yen menggantung segera kontrak Impact Creation Sdn Bhd dan meminta mereka memulangkan semula wang kepada Kementerian Pelancongan," katanya.

Anthony turut menyatakan beliau akan memaklumkan perkara ini kepada Perdana menteri, Najib Razak dan mendesak tindakan tegas terhadap Ng.

"Saya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri apa yang telah dilakukan oleh Ng Yen Yen sekarang bertentangan dengan apa yang dia (Najib) lakukan di dalam mendekati komuniti online," katanya.

Semalam Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit mengaku kontrak RM1.8 juta itu diberikan kepada syarikat, Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.

Ng hari ini mempertahankan perbelanjaan itu sambil menegaskan skop kerja Impact Creation bukan terbatas kepada membuat laman Facebook.

"(RM1.8 juta) adalah untuk menjawab, memberi maklumat, interaksi dan memantau (kerja di laman Facebook) menilai semula, pengumpulan data, pembangunan kandungan dan pengiklanan di Google, Facebook.

Beliau mendakwa perbelanjaan RM18 juta itu berbaloi berbanding "Pelancongan Australia membelanjakan RM150 juta untuk tiga tahun akan datang di media sosial," katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Menurut Ng, Facebook digunakan sebagai satu platform dan menerusinya laman web Cuti-cuti Malaysia Pelancongan Malaysia telah mendapat 24,000 peminat sejak ia dilancarkan pada Mei lalu.


Facebook "Curi-curi Wang Malaysia" bantah pembaziran RM1.8 juta

Ekoran pendedahan bahawa Kementerian Pelancongan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman peminat Facebooknya, satu lagi akaun laman peminat Facebook atas nama "Curi-curi wang Malaysia" diwujudkan.

Menurut maklumat yang terpapar di laman peminat itu, ianya diwujudkan bertujuan membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan bantahan terhadap Kementerian Pelancongan Malaysia yang membelanjakan RM1,758,432 untuk membuka dan menjaga laman peminat kementerian itu.

"Facebook adalah percuma. Jangan curi duit kami dengan cara bodoh ini dan cuba buat kami seperti orang jahil.

"Beri balik duit kami!", tulis pengendali laman itu.

Setakat berita ini ditulis, laman peminat Curi-curi Wang Malaysia ini sudah mendapat 19,044 peminat.

Jumlah itu dijangka akan terus meningkat apabila pautan ke laman peminat itu turut dipromosikan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat melalui Facebook dan Twitter mereka.

Dalam beberapa respon kepada peminatnya, pengendali laman peminat ini yang diwujudkan secara percuma, menjelaskan mahu bersaing dengan laman peminat kementerian pelancongan.

Mereka juga mahu membuktikan mereka boleh mendapat jumlah peminat lebih tinggi dari laman kementerian itu tanpa sebarang kos.

"Ubah Sekarang untuk Selamatkan Malaysia! Kita selamat, kita jimat", seru laman itu.

Sementara itu, laman peminat 'Tourism Malaysia- Cuti-cuti Malaysia' setakat berita ini ditulis juga mendapat 26,082 peminat.

Persidangan Dewan Rakyat semalam 'dikejutkan' dengan penjelasan Timbalan Menteri Pelancongan, James Dawos Mamit bahawa kementeriannya memperuntukkan RM1.8 juta mewujudkan laman peminat Facebook kementerian itu.

Projek itu diberikan kepada agensi pengiklanan yang dilantik, Impact creations sdn Bhd bermula 2011 sehingga 2013.

Anthony Loke (DAP-Rasah) bagaimanapun mempersoal kenapa begitu besar jumlah wang 'dibazirkan' untuk Facebook itu yang sebenarnya hanya boleh dibuat secara percuma.

Pandangan bahawa jumlah itu sebagai 'pembaziran' juga turut dipersetujui Khairy Jamaludin (BN Rembau). -HD


Laporan sebelum ini



Himpunan BERSIH: Peniaga Akan Untung Besar

Posted: 15 Jun 2011 05:50 AM PDT

BERSIH 2.0: Peniaga akan untung besar Oleh Suhaizan Kayat

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan telah menyatakan bahawa Himpunan Bersih 2 akan menyusahkan rakyat, penjaja, peniaga dan pemandu teksi.

Beliau menyifatkan himpunan ini adalah ancaman kepada ekonomi negara khususnya industri pelancongan dan pelaburan asing.

Perkara pertama yang wajib difahami oleh Datuk Ahmad Maslan adalah himpunan aman tanpa senjata adalah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.

Ini bermakna bahawa himpunan tanpa senjata adalah halal di sisi undang-undang negara. Semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk hadir dalam himpunan aman
.

Peserta himpunan yang bakal hadir adalah seramai 300 ribu orang. Mereka datang daripada seluruh negara dengan membawa duit perbelanjaan masing-masing, sekurang-kurangnya RM100 seorang.

Dalam masa 3 jam sahaja aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan Bersih 2 adalah RM30 juta. Mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Bukan semua mereka berkenderaan ke Kuala Lumpur.

Sebahagian besar mereka menaiki kenderaan awam. Oleh itu perkhidmatan bas, teksi, LRT dan lain-lain akan mendapat pulangan yang berganda. Kenyataan yang menyatakan bahawa penjaja, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami kerugian adalah hujah yang paling dangkal di abad ini.

Walaubagaimana pun semua pihak hendaklah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pihak kerajaan, Polis, Jawatankuasa Bersih 2, PERKASA, PERKIDA, parti-parti politik dan lain-lain pihak harus menghormati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan.

Sebagai contoh mengapa tidak pihak polis membuat reformasi dalam menguruskan peserta himpunan dengan meletakkan anggota polis di sepanjang jalan dari Jalan Chow Kit ke Istana Negara di mana Ketua Polis Negara memandu Pengerusi Bersih Datuk Ambiga ke Istana Negara. Di laluan yang lain pula Timbalan Ketua Polis Negara pula mengiringi Datuk Ibrahim Ali menuju ke Istana Negara.

Saya penuh yakin masyarakat negara ini khususnya anak muda sudah jauh terbuka minda mereka terhadap himpunan aman. Masyarakat sudah boleh menerima bahawa himpunan aman adalah suatu keperluan kepada negara demokrasi seperti Malaysia.

Pelancong-pelancong yang hadir akan berpuas hati dengan keharmonian yang berlaku. Seperti mereka melihat sambutan Maulidur Rasul S.A.W dan Thaipusam di Batu Caves.

Pihak polis bekerjasama dengan penganjur bagi menjayakan aktiviti tersebut
.

Jika pihak polis bersedia membuat reformasi dalam menguruskan himpunan aman ini maka insya Allah tiada kekacauan akan berlaku dan pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.


Peserta Bersih 2.0 bawa duit, peniaga untung

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Peniaga, penjaja dan pemandu teksi sepatutnya menyokong, bukan menyaman penganjur himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, ia kerana pihak penganjur iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan membawa lebih 800 ribu pelanggan kepada mereka.

"Kami nak bawa pelanggan. PAS sahaja 300 ribu orang. Sepatutnya peniaga sokong bila orang ramai nak datang.

"Mereka yang datang sini bawa duit bukan datang tangan kosong," katanya kepada Harakahdaily.

PAS, katanya seperti usul diluluskan pada Muktamar ke 57 lalu, akan mengerahkan 300 ribu dari ahlinya yang kini mencecah lebih 1 juta orang.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan semalam 'meracuni' penjaja, peniaga dan pemandu teksi agar menyaman penganjur himpunan Bersih bagi menuntut ganti rugi berikutan pendapatan mereka yang mungkin terjejas semasa perhimpunan berkenaan.

Mengulas lanjut, Firdaus yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, himpunan aman Bersih 2.0 tidak akan menjejaskan perniagaan mereka melainkan diprovokasi oleh pihak polis sehingga menimbulkan kekecohan.

"Kalau polis tembak gas, kami kena lari la, bila lari bertembung tahu-tahu sahajalah.

"Cuba polis jaga dan kawal elok-elok, sudah tentu semuanya akan untung malah berlipat kali ganda," tambahnya lagi.

"Semua tiket bas dari utara dan timur, Air Asia penuh, FireFly habis, jadi apa petandanya tu?" soalnya.

Sehubungan itu katanya, Umno khususnya perlu menerima himpunan Bersih akan datang demi kebaikan mereka apabila menjadi pembangkang selepas PRU ke-13 nanti.

"Kalau mereka (Umno) dah jadi pembangkang nanti, mereka tak perlu buat demo lagi untuk mereformasikan pilihan raya untuk menang semula sebab kita dah buat," tegasnya sinis. -HD


Pernah Ditawarkan Sejumlah Wang Jika Tak Bertanding Lagi Dalam PRU - Dr. Abd Rani

Posted: 15 Jun 2011 04:15 AM PDT

Ketua PAS Selangor: Saya ada ditawar tapi diminta tak pertahan DUN Meru

KLANG, 15 Jun — Dr Abd Rani Osman yang awal minggu ini dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor mendedahkan beliau juga pernah didampingi dua lelaki yang mendakwa diri mereka mewakili Umno dan memujuknya tidak lagi bertanding mempertahankan kerusi DUN Meru pilihan raya umum ke-13.

Ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam, Dr Abd Rani berkata, kedua-dua mereka datang hanya meminta "saya agar tidak bertanding lagi pilihan raya umum akan datang."

Sambil melahirkan rasa hairan dengan pendekatan itu, wakil rakyat penggal pertama ini memberitahu, kedua-dua mereka tidak memintanya keluar PAS dan menyertai komponen BN sebagaimana pernah disaksikan sejak tiga tahun lalu.

"Mereka tak minta saya keluar PAS, keluar Pakatan Rakyat, mereka tak minta saya menyertai Umno, tetapi hanya mahu saya tidak bertanding lagi pilihan raya umum akan datang... saya pun tidak tahu mengapa," kata beliau dalam temu bual sempena pelantikannya menggantikan Datuk Dr Hasan Ali mengetuai PAS Selangor.

Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri mengetuai PAS Selangor selama lapan tahun atau empat penggal.

The Malaysian Insider difahamkan beliau ada ditawarkan sejumlah wang jika sanggup menerima permintaan tersebut.

"Saya memberitahu mereka nilai saya ialah al-Quran dengan menunjukkan mereka al-Quran, mereka menitiskan air mata dan keluar dari pejabat saya... saya tak jumpa mereka lepas itu... saya pun tak ingat nama mereka," kata doktor perubatan ini yang menceburi politik dengan menyertai PAS akhir 1990-an.

Dengan seringkali kelihatan mengenakan songkok yang berbeza daripada ahli-ahli PAS yang lain, Dr Abd Rani (gambar) yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Kapar berkata, beliau didampingi kedua-dua lelaki itu awal tahun ini selepas beliau kembali dari lawatan ke luar negara.

DUN Meru merupakan salah satu kerusi dalam bahagian Parlimen Kapar yang wakilnya adalah dari PKR.

Dr Abd Rani memenangi kerusi Meru dengan menewaskan Md Ghazali Amin dengan memperoleh majoriti 5,513 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Abd Rani memperoleh 14,826 undi manakala Md Ghazali pula 9,313 undi.


PAS yang bergandingan dengan DAP dan PKR membentuk kerajaan negeri mempunyai lapan kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Usaha memujuk wakil rakyat parti komponen Pakatan Rakyat meninggalkan perikatan itu dan menyertai BN menjadi sebahagian 'budaya' politik sejak pilihan raya umum 2008.

Ia juga berlaku di Perak, Kedah dan Pulau Pinang iaitu negeri-negeri diterajui Pakatan Rakyat.

Di Selangor, Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat mesra Umno.

Tawar-menawar kepada wakil rakyat agar keluar Pakatan Rakyat menjadi fokus ketika cakap-cakap mengenai idea kerajaan perpaduan antara Umno-PAS turut menjadi perhatian dan banyak diperkatakan.

Mengulas mengenai idea kerajaan perpaduan itu, Dr Abd Rani menegaskan, sudah tidak lagi timbul soal kerajaan perpaduan khususnya selepas parti itu mengambil pendirian tegas.

"Ini soal UG (kerajaan perpaduan) ini jangan dikatakan lagi, bagi saya sudah tidak ada lagi soal UG ini... kami (PAS) akan kekal dalam Pakatan Rakyat, akan bersama dengan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum," kata beliau.

Dr Abd Rani berkata, dengan gandingan dan kerjasama komponen Pakatan Rakyat pihaknya yakin akan meningkatkan kerusi diperoleh parti Islam itu.

"Insya-Allah kami yakin dapat menambah kerusi, ya... sekali ganda... hingga 15 kerusi, berbanding lapan yang ada sekarang," katanya. -TMI

Ramai Tutup Akaun Facebook Kerana Kesedaran Bahaya Maklumat Peribadi Terdedah

Posted: 15 Jun 2011 03:00 AM PDT

Britain - Penutupan akaun laman jaringan sosial Facebook yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi petanda kepada permulaan zaman lesu laman web tersebut.

Pakar psikologi Internet, Graham Jones memberitahu pengguna Facebook mula berasa bosan setelah satu tempoh masa menggunakan Facebook.

"Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang individu teruja menggunakan sesuatu yang baru. Dia kemudian akan berasa bosan dan beralih pada perkara baru," katanya.

Kajian berkaitan penggunaan Facebook yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan sebanyak 100,000 pengguna di Britain telah menutup akaun mereka sejak bulan lalu.

Penutupan secara mendadak itu turut dikaitkan dengan kebimbangan pengguna Facebook mengenai pencerobohan data dan maklumat peribadi mereka. Malah, timbul spekulasi bahawa laman Facebook juga bakal berdepan waktu suram seperti yang dialami MySpace dan Friendster.

Awal tahun ini, para eksekutif Facebook mengumumkan jumlah pengguna laman web itu UK mencecah 30 juta, iaitu separuh daripada populasi penduduk UK.

Di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna Facebook juga jatuh merudum kepada 149.4 juta pengguna berbanding 155.2 juta sebelum ini. - Agensi

Tiada ulasan: