Rabu, 15 Jun 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Felda Tewas, Diarah Bayar Balik RM1.2j Caruman Peneroka

Posted: 15 Jun 2011 12:50 AM PDT

Kota Bharu – Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di sini, semalam memerintahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membayar balik caruman Tabung Wang Simpanan Tanam Semula berjumlah RM1.2 juta kepada lebih 100 peneroka di Tanah Merah, Kelantan.

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star, Kedah, Datuk Mohd Azman Husin memutuskan perkara membabitkan 131 peneroka di dua Tanah Rancangan Felda Kemahang 1 dan 2 di daerah itu.

Semua peneroka selaku plaintif memfailkan writ saman tuntutan pada tahun 2004 didapati berhak ke atas keseluruhan jumlah wang caruman mereka sejak 20 tahun lalu itu.

Berdasarkan fakta tuntutan, perjanjian antara Felda (defendan) dan plaintif pada 1981, RM56 dipotong setiap bulan dan berakhir pada 1998, menjadikan jumlah keseluruhan caruman setiap peneroka mencecah RM12,000.

Sementara itu, plaintif, Ismail Mat Jusoh berkata, beliau dapat menarik nafas lega apabila keputusan berpihak kepada peneroka. -SH

Dewan Rakyat Tolak Usul Bantah Perhimpunan BERSIH

Posted: 14 Jun 2011 11:25 PM PDT

Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan, kononnya bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengambil ketetapan untuk menolak usul yang dibawa Datuk Seri Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia sudah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan Bersih itu dan akan sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu, Zahrain yang mengemukakan usul itu sebaik sesi soal jawab selesai, meminta Dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan BERSIH, terutama menghasut rakyat agar merusuh di jalanan seperti mana yang berlaku di beberapa negara Asia Barat, termasuk Tunisia dan Mesir.

Beliau juga mahu persidangan mendesak BERSIH supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.

Zahrain berkata, tindakan BERSIH tidak mencerminkannya sebagai sebuah badan yang benar-benar memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan telus, sebaliknya bermotifkan politik kepartian.

"Kegiatan lampau BERSIH membuktikan kumpulan ini mempunyai agenda politik sempit dan berhasrat mengelirukan rakyat demi mencapai matlamat politik mereka," katanya.
Pada 2007, BERSIH yang menggunakan slogan "Gelombang Kuning", menganjurkan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara atas alasan sama.

Perhimpunan yang bermula di Dataran Merdeka itu bagaimanapun gagal mencapai sasaran mengumpul 100,000 peserta, apabila hanya beberapa ribu orang hadir.

Demonstrasi jalanan itu bagaimanapun menggugat ketenteraman awam selain menyebabkan kesesakan di lokasi utama di ibu negara.

Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil. - BERNAMA

Yang Dipersoalkan Bukan Penahanan Itu, Tetapi Bogel & Ketuk Ketampi Itu Sah Atau Tidak?

Posted: 14 Jun 2011 10:35 PM PDT

Penahanan Dua Wanita Singapura 9 Jun Lepas Sah

KUALA LUMPUR: Penahanan dua wanita rakyat Singapura ketika cuba memasuki negara ini oleh pegawai Imigresen bertugas di kaunter pemeriksaan keluar, bangunan Sultan Iskandar Johor Baharu, Johor pada 9 Jun lepas adalah sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata penahanan itu dibuat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas untuk masuk ke Malaysia.

"Kedua-dua mereka telah ditahan oleh pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter pemeriksaan keluar kerana didapati tidak memiliki sebarang pas atau cop masuk ke Malaysia yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan laporan oleh portal berita Malaysiakini.com hari ini yang memetik akhbar harian Singapura, Lianhe ZaoBao yang melaporkan bahawa penahanan kedua-dua wanita berkenaan adalah tidak sah.

Alias berkata di bawah akta berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata dakwaan kedua-dua wanita berkenaan bahawa tiada pegawai penyelia yang bertugas di kaunter pemeriksaan keluar pada hari itu adalah tidak benar kerana pasport kedua-dua wanita berkenaan menunjukkan mereka telah beberapa kali masuk dan keluar ke negara ini.

"Kali terakhir mereka masuk ialah pada 31 Julai 2010 dan 6 April 2010," katanya sambil menjelaskan bahawa kesemua 38 kaunter laluan kenderaan dibuka pada 9 Jun lepas.

Alias berkata kertas siasatan berkenaan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 10 Jun lepas dan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan kedua-dua wanita terbabit diusir ke Singapura dengan amaran.

Tindakan pengusiran telah dilakukan pada hari yang sama, katanya. -BERNAMA


SUARAM: Hentikan penyeksaan dan penyalahgunaan kuasa segera!

SUARAM berasa amat terkejut dan kecewa dengan isu dua orang wanita warga Singapura yang dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh anggota Jabatan Imigresen di dalam lokap Pontian selepas ditangkap atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah pada hari bulan 9 Jun pada pukul 1.30am di Johor Bahru.

Kes Orang Kena Tahan (OKT) yang dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel dalam lokap bukan kes pertama kali malah insiden sebegini pernah berlaku pada tahun 2005 yang menimbulkan kontroversi dalam masyarakat mengenai etika dan isu penyalahgunaan kuasa yang timbul dalam pihak-pihak penguatkuasa.

Insiden in jelas menunjukkan bahawa institusi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen tidak mengambil pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005.

Selain itu, dalam laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat Peraturan Prosedur Operasi Standard (IGSO) berhubung isu pemeriksaan badan, ketika ditangkap dan dalam tahanan pada 2006 juga menyatakan bahawa sebelum ini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Diraja telah menerima banyak kes seperti begini.

Hal ini menarik sekali lagi perhatian dan pandangan masyarakat bahawa manakah inisiatif dan penambahbaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan terhadap institusi penguatkuasa selepas isu "ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel" berlaku. Jelasnya ia tidak berlaku malahan bertambah teruk terutama dari segi penerapan unsur-unsur hak asasi di kalangan anggota penguatkuasa.

Walaupun negara kita sebagai ahli dalam majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menambahbaikkan status hak asasi kita, antaranya termasuk meratifikasikan konvensyen Anti Penyeksaan iaitu The United Nations Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT) dan juga mematuhi Prinsipal Perbadanan untuk Melindungi Semua Orang yang Ditahan atau Dipenjara (1).

Masa kini, makanisme kerajaan yang sedia ada langsung tidak dapat menangani isu penyalahgunaan kuasa terutama dalam PDRM dan Jabatan imigren antaranya termasuk bahagian tatatertib PDRM dan Biro Pengaduan Awam. Rakyat perlu menolak kerajaan yang zalim yang membenarkan isu penyeksaan dan penyalahgunaan kuasa diteruskan berlaku.

Pendirian SUARAM, sekiranya tiada satu mekanisme yang bebas dan berkuasa untuk memantau institusi-institusi penguatkuasa terutamanya PDRM dan Jabatan Imigren seperti penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja pada tahun 2005, maka tidak akan selesainya masalah penyalahgunaan kuasa seperti yang berlaku sekian hari.

Insiden sebegini jelas sebagai tindakan penyeksaan dan melanggari prinsip hak asasi manusia. Sempena 26 Jun adalah Hari sambutan sedunia PBB untuk menyokong mangsa-mangsa penyeksaan (2), SUARAM akan melancarkan beberapa program termasuk kempen kesedaran untuk menuntut kerajaan menghentikan segala tindakan penyeksaan terhadap rakyat pada masa akan datang.

1. Body of Principles for the Protection of All Persons under Any Form of Detention or Imprisonment

2. The United Nations International Day in Support of Victims of Torture

*Kenyataan media oleh Yap Heng Lung selaku Penyelaras SUARAM. -


Ulasan GB

Kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad lansung tidak menyentuh mengenai tindakan anggota Jabatan Imigresen memaksa dua orang wanita warga Singapura ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh di dalam lokap Pontian selepas ditangkap.

Itu yang menjadi tumpuan sekarang, yang menyebabkan nama negara begitu tercemar kini di luarnegara, bukan sekadar di Singapura kerana berita mengenainya tersebar di media-media antarabangsa.

Cubaan Ketua Pengarah Imigresen mengalihkan pandangan serta cuba membuat "cover-up" terhadap pegawainya itu amat dikesalkan.

Bagaimana kalau nanti Pegawai Imigresen di negara luar meminta Ketua Pengarah Imigresen itu nanti dibogelkan dan ketuk ketampi? Marah atau tidak?

Percubaan nak membodohkan rakyat sepanjang masa oleh pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan ini.

Kelantan Sifar Murtad

Posted: 14 Jun 2011 09:10 PM PDT

Jamil Khir: Permohonan murtad 135 orang diluluskan

Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar).

Beliau menjawap soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu.

Er juga memohon penjelasan kerajaan mengenai cara-cara yang diambil bagi menangani kes-kes gejala murtad itu.

Jamil dalam jawapannya berkata mengikut perangkaan yang dibekalkan kepada kementeriannya menunjukkan sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.

Mengikut data yang dibekalkan, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.

Jumlah permohonan untuk meninggalkan Islam yang terbesar adalah di Sabah - 238, Negeri Sembilan - 172, Selangor - 99 dan Perak - 47.

Tiada permohonan murtad dicatatkan di Kelantan.

"Dalam menangani gejala murtad, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa melasanakan program dan aktiviti bagi mengelakkan berlakunya gejala ini terutamnya di kalangan saudara-saudara baru.

"Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti khidmat nasihat; ziarah dan lawatan ke rumah; aktivitiaktiviti pengukuhan agama; kelas pengajian agam; dan sokongan Baitulmal," kata Jamil. -mk

Besarnya Kuasa Tuhan, Wanita Kebas Dompet Di Surau Akhirnya Ditangkap

Posted: 14 Jun 2011 08:10 PM PDT

Melaka: "Takdir tidak memihak kamu. Selepas kejadian di surau Melaka Mall kira-kira jam 5.20 petang (Sabtu), kamu ditangkap di Mydin MITC dua jam kemudian. Saya tidak pernah berjumpa kes macam ini yang menunjukkan betapa besarnya kuasa Tuhan."

Begitu kata Majistret Muhammad Hazri Hanafi ketika menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM7,500 terhadap seorang wanita pekerja kilang, Zalina Shidid, 38, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri dompet dan wang tunai RM650 milik Penolong Juruaudit Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Nor Azzren Bazid, 26, di sebuah surau di Melaka Mall, Rabu lalu.

Muhammad Hazri juga dalam penghakimannya itu memerintahkan Zalina yang tidak diwakili peguam, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.

"Apa alasan kamu melakukan perbuatan ini, adakah kerana kesempitan hidup? Atau peluang terbuka depan mata? "Jika mahu bayar sewa sekali pun, carilah sumber halal dan jangan ambil wang orang lain. Mana tahu, mangsa juga perlukan duit itu untuk bayar sewa dan sebagainya.

"Saya bimbang ia jadi tabiat awak mencuri dan berdoa kamu jadi lebih baik, berubah selepas ini," katanya. Zalina sebelum itu mengaku bersalah mencuri dompet jenama Cardirino, kad pengenalan, lesen memandu kelas B2/D, dua kad kredit Maybank American Express dan Master Card, kad ATM Ambank, telefon bimbit Nokia E71 yang semuanya bernilai kira-kira RM1,700 kepunyaan Nor Azzren di surau tingkat satu Melaka Mall, Jalan Lebuh Ayer Keroh, dekat sini, pada 8 Jun lalu, kira-kira jam 5.20 petang.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Tertuduh juga mengaku pertuduhan kedua, iaitu mencuri wang tunai RM650 milik pengadu di mesin ATM Ambank Pasaraya Mydin, Jalan Ayer Keroh, pada hari sama, kira-kira jam 7.20 malam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan setahun penjara serta denda RM2,500 bagi kesalahan kedua yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Mengikut fakta kes, ketika berada di surau itu, pengadu masuk ke bilik air dan meninggalkan beg tangan di tepi dinding manakala rakannya bersembahyang.

Apabila keluar dan memeriksa beg tangannya, didapati dokumen penting, telefon bimbit dan wang tunai hilang.


Pengadu sebelum itu menyedari suspek berada di dalam surau itu sebelum kehilangan barangan miliknya. Pengadu menghubungi Maybank dan diberitahu kad kreditnya digunakan di Pusat Pakaian Hari-Hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Ayer Keroh (MITC), Ayer Keroh.

Pengadu terus menghubungi rakannya membantu mengesan suspek dan berjaya menahannya berhampiran pasar raya itu sebelum diserahkan kepada polis. -HM

Berita sebelum ini:



Ulasan GB

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah juga.

Doktor Pelatih Yang Hilang Di Jitra Telah Ditemui Di Kuantan - Apa Pengajarannya?

Posted: 14 Jun 2011 05:50 PM PDT

Jitra – Seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini yang hilang selama hampir sebulan didakwa akibat dipukau ditemui selamat di pusat beli-belah Berjaya Mega Mall di Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu iaitu pada hari dia sepatutnya melangsungkan majlis pertunangan..

Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, ditemui oleh ketua pengawal keselamatan di pusat beli-belah tersebut apabila dia ditahan kerana tidak membayar bil makanan sushi RM70 di sebuah restoran pada pukul 5 petang.

Ketika ditemui, Mohd Noor mengenakan baju T putih dan seluar sukan sambil membawa sebuah beg galas mengandungi pakaian yang dipakainya pada hari dia dilaporkan hilang iaitu kemeja, kasut dan tali pinggang.

Turut disimpan dalam beg sama beberapa barangan lain antaranya kain pelikat, kopiah, berus sabut dan berus gigi.

Bagaimanapun, telefon bimbit dan beg kerjanya berwarna hitam yang mengandungi beberapa dokumen penting hilang.

Mengimbas kehilangannya, Noor Azam berkata, dia tidak menyedari apa yang berlaku pada dirinya sepanjang dilaporkan hilang sejak 26 hari lalu sehinggalah pengawal keselamatan membuka dompetnya untuk mengambil kad pengenalan.

"Pengawal itu bertanya sama ada saya Dr. Mohd. Noor Azam yang hilang selepas melihat kad pengenalan dan kad pekerja saya tetapi saya masih tidak ingat sehingga saya melihat gambar bakal tunang di dalam dompet.

"Saya tersedar dan terus menangis lalu bertanya kepada pengawal itu tarikh dan tempat saya berada pada ketika itu," kata doktor itu ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini semalam. -kosmo




Doktor pelatih hilang sejak 16 Mei ditemui


Seorang doktor pelatih yang dilaporkan hilang hampir sebulan ditemui selamat di sebuah pusat beli-belah di Kuantan Sabtu lalu tetapi tidak dapat menyatakan dengan jelas apa yang sebenarnya berlaku.

Dr Mohd Noor Azam Mohd Nazri, 26, memberitahu pemberita di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini hari ini, bahawa sepanjang dilaporkan hilang, beliau langsung tidak sedar apa yang berlaku sehingga membawanya ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Apa yang saya tahu, saya mendengar arahan daripada satu suara yang saya tidak pasti datang dari mana. Saya rasakan kehilangan saya hanya empat hari sahaja,"
katanya.

Mohd Noor Azam adalah lulusan Akademi Perubatan Moscow dan sedang menjalani latihan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar sejak Oktober tahun lalu.

Menceritakan detik beliau ditemui, Mohd Noor Azam berkata beliau ditahan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kuantan kerana tidak membayar makanan yang dimakannya.

Ketika saya ditahan, mereka telah memeriksa dompet saya untuk memastikan sama ada saya betul-betul tiada wang atau sebaliknya. Ketika mereka membuka dompet saya itu, baru saya berada dalam keadaan sedar.

"Sebaik sahaja sedar, saya berasa sangat lapar dan letih. Kaki juga berasa sangat lenguh, mungkin saya berjalan terlalu jauh," katanya.

Beliau dilaporkan hilang pada 16 Mei selepas dihantar ke tempat kerja oleh bapanya.

Mohd Noor Azam berkata bahawa semasa berjalan menuju ke pejabatnya, beliau mendengar suara yang pernah didengarnya sebelum ini dan ketika itulah beliau tidak sedar apa-apa.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, berkata beliau menerima mengenai penemuan anaknya itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semasa beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Kuantan.

"Kami tergerak hati untuk pergi sendiri mencari Azam di Kuantan selepas diberitahu dia ada mengeluarkan duit di sebuah mesin ATM di sana," katanya.

Natrah berkata ketika sampai di IPD Kuantan, dia melihat anaknya berada dalam keadaan sihat tetapi pakaian yang dipakainya lusuh dan bukan miliknya.

"Beg kerjanya juga tiada sebaliknya dia menggalas sebuah beg mengandungi berus gigi, berus sabut, kain pelikat, kemejanya yang sudah lusuh dan beberapa barang lagi yang bukan miliknya," katanya.

Sebelum kejadian itu, Mohd Noor Azam pernah hilang dua kali tetapi kehilangannya itu hanya dua hari sahaja. - BERNAMA


Berita sebelum ini:




Ulasan GB

Pertama, bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana doktor muda berkenaan telah ditemui dengan selamat.

Kedua, Itulah pentingnya berita mengenai kehilangan seseorang disebarkan secara meluas melalui akhbar, blog dan sebagainya supaya orangramai dapat mengetahui kejadian tersebut. Syukur kerana GB turut menyebarkan kisah tersebut sejak dari awal kehilangan itu dilaporkan oleh akhbar tempatan. Macam kes di atas, dengan berita yang tersebar, doktor berkenaan telah dapat dicam oleh pengawal keselamatan:

sehinggalah pengawal keselamatan membuka dompetnya untuk mengambil kad pengenalan.

"Pengawal itu bertanya sama ada saya Dr. Mohd. Noor Azam yang hilang selepas melihat kad pengenalan dan kad pekerja saya tetapi saya masih tidak ingat sehingga saya melihat gambar bakal tunang di dalam dompet.


Ketiga, isu pukau. Masyarakat Islam perlu meningkatkan kefahaman Islam disamping memperkuatkan aqidah mentauhidkan Allah s.w.t. Ketinggian ilmu duniawi semata-mata tanpa diiringi dengan kemantapan aqidah akan menyebabkan kita boleh diperdaya oleh "ilmu-ilmu hitam" sedangkan orang yang telah belajar mentauhidkan Allah yakin bahawa "benda baharu tidak boleh memberi bekas". Apabila ilmu aqidah tidak mantap maka mudah bagi syaitan dan iblis memperdaya manusia seperti kes diatas "hanya dengan sekali tepuk di dahi mangsa".

"Dia cerita kepada saya bahawa ada seorang wanita muda bertudung merah berusia lingkungan 20-an menegurnya ketika mahu naik lif di HSB kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Wanita itu bertindak menepuk dahi anak saya menyebabkan dia tidak sedar. Dia hanya tersedar di dalam kereta di kompleks beli-belah City Square di Sungai Petani dua hari selepas itu dan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM500," Kelab GB


Belajar dunia tinggi-tinggi, kumpul duit banyak-banyak, tetapi lupakan ilmu ukhrawi, nanti demikianlah jadinya. Salah satu cara untuk menjaga iman kita di dada ialah sentiasa hidup di dalam jemaah Islam tak kira dimana pun kita berada. InsyaAllah, di bawah imbauan surah Al-Asr iaitu saling "ingat-memperingatkan" akan menjadikan hidup kita sentiasa terpelihara dari lalai dan lupa yang merupakan ruang untuk syaitan dan iblis mencelahnya. Bayangkan pula jika kita tidak berjemaah, tentulah lebih besar ruang lalai dan lupa itu adanya.

p/s diharap keluarga Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazr tidak berkecil hati dengan ulasan GB di atas untuk dijadikan pengajaran kepada GB dan semua pembaca blog ini. Semuga Allah melindungi kita semua hendaknya.

[Video] Nizar Ucap Tahniah Kepada UMNO Kerana Takut Buat Pemilihan

Posted: 14 Jun 2011 04:10 PM PDT

PRU 13: Tahniah, Umno takut buat pemilihan

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) mencadangkan agar bekas tentera dilantik sebagai ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di setiap negeri.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, amat sesuai untuk bekas tentera ini dilibatkan dalam JKKK memandangkan ianya berkait dengan keselamatan rakyat.

"Saya nak cadangkan di sini dan saya minta pendapat menteri apakah boleh kalau bekas tentera ini dipilih sebagai ahli JKKK.

"Nama pun jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung jadi sudah tentu bekas tentera ini ada kepakaran, kemahiran dan disiplin dan akan memberikan manfaat kepada orang ramai.

"Jadi saya harap bekas tentera ini mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Nizar turut mempersoal kegagalan bekas tentera mendapatkan tanah walaupun telah membuat permohonan setelah bersara pada umur 40 tahun.

Sedangkan menurut Nizar, permohonan tanah itu termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) tahun 1973.

Beliau merujuk kepada PMAT bertarikh 29 ogos 1973, perenggan 9 hingga 11 yang antara lain menyatakan bahawa isteri bekas tentera berhak untuk memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak tanah perumahan daripada Kementerian Pertahanan melalui kerajaan negeri tertentu.

"Malangnya 99 peratus daripada pemohonan tidak diluluskan dan ahirnya ramai di antara bekas tentera hari ini hanya sekadar menjadi pengawal keselamatan, pemandu atau kerja-kerja buruh kasar.

"Saya merasa amat sedih oleh kerana mereka telah menggadaikan usia muda mereka, masa bekerluarga tiba-tiba selepas bersara tidak dilayan sebaiknya," katanya yang juga Adun Pasir Panjang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjawab soalan sebenar sebaliknya cuba mengalihkan isu dengan mendakwa tanah di bawah kuasa kerajan negeri dan Nizar sewaktu menjadi Menteri Besar Perak juga tidak memberikan tanah kepada bekas tentera.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil Pakatan Rakyat dan mendakwa Zahid tidak mengkaji isu sebenar
.

Nizar dalam soalan asalnya meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha serta langkah kerajaan dalam memanfaatkan tenaga serta kepakaran bekas-bekas tentera khususnya mereka yang tamat perkhidmatan pada umur 40-an.

Berbalas sindiran

Sementara itu, sewaktu sesi soal jawab berlangsung, berlaku berbalas-balas sindiran di antara Zahid dan Nizar.

Ianya bermula apabila Zahid sebelum menjawab soalan Nizar "mengucapkan tahniah" kepada Nizar dan pimpinan PAS yang menang dalam pemilihan parti minggu lalu.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada Bukit Gantang (Nizar) yang diberikan kepercayaan semula oleh Presiden partinya sebagai AJK PAS Pusat walaupun beliau kecundang dalam perebutan jawatan naib presiden baru-baru ini.


"Tahniah juga kepada Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) dan Kubang Kerian (Salahuddin Ayub) yang dapat mengekalkan jawatan sebagai naib presiden PAS dan tahniah kepada Presiden PAS yang menang tanpa bertanding," katanya.

Nizar sebelum mengemukakan soalan tambahan membalas "ucapan tahniah" itu dengan turut "mengucapkan tahniah" kepada Umno yang takut untuk mengadakan pemilihan partinya kerana ingin memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13.

"Saya ucapkan tahniah kepada menteri yang menjawab (soalan saya) dan kemudiannya memberikan ransangan dan mengucapkan tahiah kepada saya dan rakan-rakan yang bertanding dalam pemilihan parti baru-baru ini.

"Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada menteri kerana parti Umno juga gentar dan takut membuat pemilihan dan akhirnya ditangguh.

"Jadi tahniahlah kerana takut dan kalau boleh ditangguhkan lagi lama lagi elok. Tahniah,"
katanya. -HD




Kerja Gila! Laman Facebook Sampai RM1.8 Juta?

Posted: 14 Jun 2011 08:30 AM PDT

RM1.8 juta... untuk laman Facebook?

Kementerian Pelancongan sekali lagi 'panas' apabila ahli-ahli parlimen hari ini membidas tindakan kerajaan yang membelanjakan RM1.8 juta bagi membina dan menyelanggara laman Facebooknya.

Anthony Loke (DAP-Rasah) berkata sebegitu banyak wang dihabiskan sebegitu sahaja untuk laman sosial yang boleh dibuat secara percuma.

"Semakan terakhir saya mendapati ada hanya 20,308 peminat di laman Facebook kementerian. Secara bandingan laman Facebook 'Visit Penang', yang mana kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membelanjakan satu sen pun tetapi mendapat 100,000 peminat. Kenapa belanja RM1.8 juta?" soalnya semasa sesi soalan.

Loke berkata adalah sukar untuk mempercayai kononnya tidak ada sesiapun di kementerian itu yang mempunyai pengetahuan untuk mengemas-kinikan akaun Facebook sehingga kerajaan terpaksa memberikan kontrak kepada pihak ketiga.

Katanya, kerajaan dengan mudah boleh mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk BN dan juga ahli parlimen Pakatan yang sebahagian besar mereka pengguna rangkaian laman sosial yang aktif.

"Tak perlu tanya ahli sebelah sini (pembangkang). Terdapat ramai di kalangan penyokong kerajaan seperti Kota Belud dan Rembau... mereka boleh dibawa sebagai perunding," katanya merujuk kepada ahli parlimen Umno Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin, yang kedua-dua mereka kerap menggunakan Twitter.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit berkata kontrak RM1.8 juta itu ditenderkan kepada syarikat, Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.

Khairy, dalam soalan tambahannya bersetuju dengan Loke bahawa peruntukan RM1.8 juta itu adalah satu pembaziran dan berkata kurangnya minat laman Facebook kementerian itu tidak mencerminkan jumlah besar yang dibelanjakan.

Khairy juga membangkitkan sama ada kementerian menetapkan sebarang petunjuk prestasi (KPI) bagi memantau pencapaian agensi yang dilantik untuk melaksanakan penjenamaan itu.

"Apa KPI kepada syarikat berkenaan. Dari segi periklanan apakah tambahan mereka dan revenue yang dapat digenerate hasil usaha syarikat itu membuat online advertising," soalnya. -mk

Ulasan GB

Gila. Outsource sehingga jutaan ringgit di tapak percuma!

Itu baru satu kementerian. Belum lagi jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian lain. Begitu juga dengan akaun facebook, twitter dan blog para menteri dan pegawai-pegawai kanan.

Kena siasat pemilik semua syarikat-syarikat yang menerima tender dari kementerian-kementerian yang uruskan laman facebook/blog mereka.

Dah ler menteri-menteri BN bebal-bebal belaka, tak tahu nak uruskan facebook/twitter/blog/lamanweb kementerian masing-masing, guna pula wang rakyat secara membazir.

Itu semua perlu diBERSIHkan nanti.

PR Kutuk Si Kotor Yang Nak Ganggu BERSIH

Posted: 14 Jun 2011 07:30 AM PDT

Himpunan Bersih: Pemuda Pakatan kecam Perkasa, dakwa sengaja mahu buat kacau

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Sayap pemuda Pakatan Rakyat mengecam langkah pertubuhan membela hak Melayu, Perkasa yang mahu menghalang perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengadakan perarakan balas serentak 9 Julai ini.

Malah pemimpin pemuda Pakatan Rakyat juga menyifatkan tindakan Perkasa mahu mengerahkan ahlinya berarak dan bertembung dengan himpunan Bersih sebagai "satu ancaman serius" dan "tidak memahami hak asasi manusia."

Mereka juga mendakwa Perkasa sengaja mahu membuat kekacauan dan menimbulkan huru-hara apabila mengambil pendekatan itu.

"Kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara.

"Polis perlu menyiasat (Presiden Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka," tegas Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.

Semalam Ibrahim memberi amaran bahawa mereka akan menganjurkan protes balas bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru-hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.

Bagaimanapun Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan dan pemimpin PAS menegaskan himpunan Bersih bulan depan tetap akan diteruskan walaupun dibantah banyak pihak.

Suhaizan menegaskan himpunan Bersih 2.0 tidak akan menimbulkan huru-hara seperti mana yang didakwa Ibrahim.

"Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah, polis boleh menjaga keamaman himpunan Bersih dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara.

"Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak Perkasa dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana, maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza," katanya.

Justeru tambah beliau, polis perlu mengadakan perbincangan dengan kedua-dua penganjur untuk menetapkan laluan masing-masing.

"Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara.

"Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman, maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu, maka polis akan dihina oleh semua pihak," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon menyifatkan tindakan Perkasa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu beliau juga menyifatkan Perkasa tidak memahami hak asasi manusia apabila cuba menghalang rakyat menuntut keadilan dalam perjalanan pilihan raya.

"Perkasa telah memutarbelitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 sebagai sesuatu tindakan yang mengacau... fokus dan matlamat Bersih 2.0 sengaja dialihkan dengan ancaman Perkasa yang akan menganjur pertembungan dan "lawan habis-habisan" pada hari sama.

"Sebenarnya perhimpunan aman yang akan dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya dan Adil adalah sah, ia adalah usaha rasional," katanya.

Tegas Lee, walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun sistem pilihan raya yang diadakan selama ini tidak telus selain telah dimanipulasikan.

"Pelbagai masalah serius seperti senarai pengundi yang mengandungi pengundi hantu, mengundi lebih sekali, undi pos yang bermasalah, tiada liputan adil oleh media dan sebagainya masih berleluasa dan tiada tindakan reform yang sebenar dijalankan.

"Maka, AMK menyeru agar Perkasa dan Konsesus Bebas untuk memberi kerjasama serta sokongan kepada tuntutan Bersih 2.0 untuk pendemokrasian Malaysia. Sebarang tohmahan yang dilemparkan ke atas himpunan Bersih atau usaha untuk pertembungan dengan Bersih adalah tidak wajar serta tidak bijaksana," katanya.

Selain itu, tambah Lee, himpunan Bersih yang turut disertai parti politik tidak sepatutnya dilabelkan sebagai aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.

"Perhimpunan dan perarakan yang aman adalah perkara biasa di banyak negara demokrasi yang maju, malahan tidak perlu memburukkannya.

"Aktiviti seperti demonstrasi atau perhimpunan hanya merupakan satu proses biasa untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak yang berkuasa.


"Oleh itu, AMK berharap pihak polis akan bertindak profesional dengan memberi permit kepada herhimpunan Bersih," katanya. -TMI


Umno: Ini bukan BERSIH, tapi kotor

Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai ini adalah "himpunan kotor, bukan bersih," kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Sambil menyindir perhimpunan itu, Ahmad berkata, BERSIH akan menjadi "titik hitam" yang menjejaskan prestasi baik kerajaan dalam "364 hari lagi".

"(Ia) susahkan rakyat, rugikan penjaja, rugikan peniaga yang ada kedai, rugikan pemandu teksi," katanya.

Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan beberapa NGO bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan tuntutan lapan perkara bagi membaikpulih sistem pilihan raya.

Tuntutan itu bagi membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem pengundian pos, memperkenalkan dakwat kekal, memastikan akses kepada media bebas dan adil, menjamin tempoh minima 21 hari berkempen, menghentikan rasuah dan politik kotor.

Bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Ahmad menyifatkan perhimpunan itu sebagai ancaman kepada ekonomi negara, khususnya terhadap industri perlancongan dan pelaburan asing.

"Ia (BERSIH) bukan ancaman pada UMNO saja, ia ancaman pada negara. Kita lihat perhimpunan dulu (pada 2007), enam bulan baru pelancong kembali pada tahap sebelumnya," kata Ahmad Maslan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, belum pernah ada demonstrasi anjuran pembangkang berlangsung dengan tenang setakat ini.

"Tidak pernah lagi berlaku perkara itu. Pengalaman kita tidak pernah ada demonstrasi yang aman.

"Ada seorang saja yang 'histeria', habislah," katanya ketika ditanya tentang dakwaan Pemuda PAS yang menjangkakan perhimpunan itu akan aman sekiranya polis memberikan kerjasama.

Pembangkang jadi dalang

Ahmad juga berkata, BERSIH bukan mewakili kehendak NGO, sebaliknya didalangi pemimpin Pakatan, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tahu yang dibelakang-belakang ini semua (BERSIH 2.0) adalah pembangkang. Ini adalah alat pembangkang.

"(Ini) agenda kotor," katanya sambil menunjukkan gambar pemimpin PKR, DAP dan PAS dalam majlis kempen BERSIH.

Ahmad sebelum itu mengadakan perbincangan dengan NGO Melayu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) yang menentang penganjuran perhimpunan tersebut.

Antara hasilnya, Ahmad berkata, beliau mencadangkan semua berkaitan, termasuk persatuan penjaja dan pemandu teksi membuat laporan polis boleh dan menyaman penganjur perhimpunan itu.

"Saya mengesyorkan NGO yang lain buat laporan polis sebanyak yang boleh. Pemandu teksi sediakan peguam-peguam (ambil tindakan) untuk saman," katanya.

Turut hadir penasihat Pekida Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan Datuk Hamzah Daud dan Presiden Datuk Roslan Dahaman. -mk


Ulasan GB

Yang KOTOR itu ialah yang nak buat kacau dan yang nak ganggu perhimpunan BERSIH.

Rupa-rupanya laporan polis yang banyak dibuat oleh NGO-NGO itu adalah hasil hasutan Ahmad Maslan.

Antara hasilnya, Ahmad berkata, beliau mencadangkan semua berkaitan, termasuk persatuan penjaja dan pemandu teksi membuat laporan polis boleh dan menyaman penganjur perhimpunan itu.

"Saya mengesyorkan NGO yang lain buat laporan polis sebanyak yang boleh. Pemandu teksi sediakan peguam-peguam (ambil tindakan) untuk saman," katanya.

Itulah kerja kotor UMNO dan sememangnya UMNO itu pengotor, justeru itu mereka cukup takut dengan BERSIH kerana apabila dibersihkan nanti, maka ternampaklah kurap-kurap penipuan, songlap, rasuah, kroni di seluruh tubuh badan mereka.

Tindakan Bodoh Kementerian Pantau Harga Ikan Sedangkan Peniaga Sudah Tidak Ada Ikan

Posted: 14 Jun 2011 06:30 AM PDT

Harga Ikan Dipantau - Rohani

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memantau harga ikan di pasaran bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ekoran pengurangan subsidi harga diesel.

Timbalan Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata kementerian itu telah menyediakan pegawai untuk memantau harga pasaran ikan di seluruh negara.

Sekiranya peniaga didapati menaikkan harga, mereka boleh didakwa di bawah Akta Anti Pencatutan 2010 (harga melampau), katanya pada sidang media, di sini pada Selasa.

Beliau berkata kenaikan harga diesel bagi pengusaha bot pukat tunda C2 laut dalam tidak seharusnya diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga pasaran ikan.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pengusaha bot berkenaan perlu membeli diesel pada kadar RM1.80 seliter dan bukan pada harga subsidi super RM1.25 seliter yang layak mereka nikmati sebelum ini.

Super subsidi bagaimanapun dikekalkan kepada kenderaan yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti bas sekolah, teksi dan individu yang membeli enjin bot sangkut dan sebagainya. -- BERNAMA


Kebanyakan para peniaga ikan tidak menjual hasil tangkapan laut setelah bekalan tersebut berkurangan akibat nelayan melancarkan mogok ketika tinjauan fotoBERNAMA di Pasar Besar Kuantan di sini, hari ini.

Bekalan ikan di Kuantan berkurangan disebabkan ada segelintir nelayan yang melancarkan mogok selama tiga hari berturut-turut selepas tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan menarik subsidi minyak diesel kepada nelayan laut dalam.






Laporan Kelab GB semalam:



[Bergambar] Dua Gempa Bumi Di Sumatera Utara Gegarkan Pantai Barat Malaysia

Posted: 14 Jun 2011 05:00 AM PDT

Beberapa kawasan di sekitar ibu negara, Putrajaya, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan mengalami gegaran ekoran insiden gempa bumi yang berlaku di Sumatera Utara, Indonesia.

Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan gempa bumi bermagnitud 5.5 pada skala Ritcher di Sumatera Utara dikesan pada pukul 8.08 pagi ini manakala gempa bumi kedua bermagnitud 5.7 dilaporkan berlaku pada 11.01 pagi.

Ekoran kejadian gempa bumi itu, beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gegaran.

Kejadian gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut Jabatan Meteorologi.

Bernama dihujani panggilan daripada orang awam yang ingin mendapatkan maklumat berhubung gegaran berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Bomba Jabatan Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihak bomba mendapat panggilan daripada orang ramai menghuni beberapa bangunan tinggi, yang melaporkan merasai gegaran.

Antara bangunan di ibu negara yang merasai gegaran pada pukul 11 pagi ialah Wisma Bernama, Menara Kenanga, ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Megan Avenue.

Azizan berkata gegaran di dalam bangunan amat dirasai terutama dari tingkat lapan bangunan ke atas.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.

Penolong Editor Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, M. Govind Nair, 60, berkata beliau merasai gegaran itu ketika sedang menjalankan tugasnya menyunting berita di mejanya.

"Saya rasa gegaran itu kira-kira lima hingga enam saat. Saya juga rasa kerusi tempat duduk saya bergoyang sedikit dan selepas itu saya rasa pening-pening," katanya.

Pembantu tadbir Infolib Bernama Mohd Wahid Md Som, 53, berkata beliau merasakan gegaran itu kira-kira 10 saat.

"Saya tak terfikir mahu berlari keluar kerana gegaran itu hanya terasa sedikit dan sekejap. Walaupun ada sedikit rasa takut, saya tawakal," katanya, yang bertugas di tingkat lapan Wisma Bernama.

Di PUTRAJAYA, gegaran beberapa saat dirasai di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pegawai Perhubungan Awam MOSTI, Noriza Nazri berkata semua petugas di bangunan itu diarahkan meninggalkan premis berkenaan dan diarahkan berada di pekarangan bangunan sementara menunggu dibenarkan kembali memasuki bangunan.

Di KUALA SELANGOR, Meor Anas, 46, seorang Eksekutif Kejuruteraan di loji air Sungai Selangor berkata gegaran kecil terasa semasa beliau berada di pejabatnya kira-kira pukul 11 pagi.

"Gegaran beberapa saat itu terasa ketika saya berada di tempat duduk saya. Masa itu saya terlihat air di dalam balang (dispenser air) berkocak sedikit dan fail di atas meja saya sedikit bergerak," katanya.

Di SHAH ALAM, petugas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini meninggalkan pejabat masing-masing dan berkumpul di dataran dan kawasan lapang berhampiran bangunan setelah merasai gegaran pada kira-kira 8 pagi dan sekali lagi pada pukul 11 pagi.

Rahmah Abdul, 45, yang bertugas di tingkat 18 bangunan itu berkata kipas dan mejanya tiba-tiba bergoyang ketika dia baru hendak memulakan tugas.

"Saya panik sebab nampak semua bergoyang. Saya dan beberapa kawan terus turun," katanya ketika ditemui di dataran Bangunan SAAS.

Abdul Rahman Ahmad, 36, berkata semua petugas dibenarkan naik semula ke pejabat masing-masing selepas pemeriksaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Namun, kira-kira pukul 11 satu lagi gegaran dirasakan dan semua petugas diarahkan turun semula ke dataran oleh pihak pengurusan Bangunan SAAS.

Pengurus Komunikasi Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Hashimah Che Mat Din, yang kebetulan menghadiri mesyuarat di tingkat 21 bangunan SAAS, turut merasai gegaran itu. "Kami diminta meninggalkan bangunan dan turun segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Sehingga pukul 12 tengah hari, tinjauan Bernama mendapati petugas di bangunan itu masih berkumpul di dataran dan kawasan lapang bangunan SAAS.

Seorang penduduk di Kampung Meru, Klang, Suziela Che Mat memaklumkan rumahnya mengalami gegaran dalam kejadian itu.

"Katil di dalam bilik rasa bergegar, waktu itu saya sedang membaca buku di atas katil. Saya juga nampak air masak dalam botol (terletak di meja bersebelahan) bergoncang," kata suri rumah itu.

Suziela, 25, berkata dia berasa pening selepas mengalami gegaran itu. - BERNAMA



Penduduk KL gempar rasai gegaran

Penghuni di beberapa buah bangunan tinggi di sekitar Kuala Lumpur hari ini cemas seketika apabila merasai dua gegaran iaitu kira-kira jam 8 dan 11 pagi.

Sekurang-kurangnya 10 lokasi dikenal pasti dan antaranya di Pekeliling, Wangsa Maju, Jalan Sultan Ismail, Bangsar, Salak Selatan, Bukit Bintang dan Putrajaya.

Gegaran berpunca daripada dua gempa bumi bermagnitud 5.5 dan 5.6 skala Richter yang berlaku di Sumatera Utara pada jam 8.08 dan 11.01 pagi.

Turut tidak terkecuali adalah ribuan kakitangan awam yang terpaksa bergegas keluar dari Bangunan SUK di Shah Alam setelah berlaku gegaran kira kira pukul 11.30 pagi ini.

Gegaran itu dikesan dua kali.

Seorang kakitangan awam berkata, gegaran itu dapat dapat dirasai di tingkat lima termasuk menyedari bingkai gambar didapati bergerak-gerak.

Bagaimanapun, wartawan yang berada dalam sidang akhbar menteri besar di bangunan annex tidak merasai gegaran itu.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan gempa bumi sederhana di Sumatera Utara, Indonesia itu.

Menurut kenyataan jabatan itu, pusat gempa ialah 330 kilometer ke barat daya Klang, Selangor.

Gegaran turut dirasai di beberapa tempat di pantai barat Semenanjung terutama di sekitar Selangor, selatan Perak dan Melaka. -mk










Ulasan GB

Bersihkan akal dan jiwa, agar terbuka mata hati,
ada tempat yang dah bergegar terlebih dahulu sebelum PRU!

Sentiasa Ziarah Kubur Lalu Jodoh Dipertemukan

Posted: 14 Jun 2011 04:40 AM PDT

Rawang: Cinta pandang pertama di perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini, membawa seorang warga emas yang juga Imam 3, Masjid Bandar Tasik Puteri (MBTP), Idris Muhammad Sharif, 72, ke jenjang pelamin bersama Junanaah Zakaria, 53, kelmarin.

Pasangan berkenaan mengakui gementar pada saat majlis pernikahan itu dimulakan, namun gembira hasrat mereka mendirikan mahligai tercapai.

Idris berkata, semuanya bermula di tapak perkuburan selepas kematian isterinya, Miah Bidin, 64, pada 2009.

"Sejak kematian isteri, saya menziarahi kubur arwah setiap hari. Pada masa sama, saya lihat ada seorang wanita turut ada di situ menziarahi kubur arwah suaminya.

"Setiap kali bertemu, kami tak bertegur sapa. Namun hati ini terdetik hendak bertanya sesuatu tapi terasa malu. Di situlah hati saya terdetik memikat hati wanita berkenaan," katanya. Sementara itu, Junanaah berkata, dia menziarahi kubur arwah suaminya setiap hari sejak Mohd Isa A Yasih, 71, meninggal dunia juga pada 2009.

"Saban hari saya menziarahi kubur arwah suami manakala abang (Idris) menziarahi kubur arwah isterinya. Kami hanya berpandangan tapi tak berani bertegur sapa. "Pada Mac lalu abang merisik dengan menghubungi saya sendiri tanpa menerusi orang tengah. Dia menyatakan hasratnya untuk memperisterikan saya. Saya terpinga-pinga kerana tak tahu dari mana abang dapat nombor telefon saya tapi inilah yang dikatakan jodoh," katanya.

Menerusi perkahwinan pertama, Idris dianugerahi lima anak dan lapan cucu manakala Junanaah pula mempunyai dua anak dan enam cucu. -hm

Tindakan Imigresen Memalukan Negara, Arah Wanita Singapura Berbogel & Ketuk Ketampi

Posted: 14 Jun 2011 03:00 AM PDT

Wanita S'pura dakwa diarah berbogel, ketuk ketampi

Dua wanita warga Singapura dilaporkan dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh anggota Jabatan Imigresen selepas ditangkap atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah. Illustrasi oleh asiaone.com

Tindakan seumpama itu pernah diisytiharkan sebagai "tidak berperikemanusiaan dan menghina" serta diarahkan dihentikan serta-merta oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat Peraturan Prosedur Operasi Standard (IGSO) berhubung laporan mengenai pemeriksaan badan, ketika ditangkap dan dalam tahanan pada 2006.

Suruhanjaya lima anggota yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah itu berkata amalan tersebut juga haram di sisi Syariah dan mencabul hak asasi manusia.

Menurut akhbar harian berbahasa Cina Singapura - Lianhe Zaobao, kejadian berlaku pada awal pagi 9 Jun lalu apabila dua wanita berkenaan memandu menyeberangi Tambak Johor dari republik itu.

Mereka menuju ke Johor Bahru dengan tujuan untuk makan malam tetapi secara cuai dan lalai melalui kaunter imigresen tanpa mengecop passport masing-masing.

Atas kesilapan itu, mereka ditahan dan didakwa sebagai pendatang asing dan dikurung di lokap di Pontian, Johor.

Wanita yang menggunakan nama samaran Lin Li Li, memberitahu akhbar itu, dia dan rakannya Zhan Ting Ting, juga nama samaran, kemudiannya diarahkan supaya menanggalkan semua pakaian mereka dan melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali.

Selepas selesai melakukannya, mereka diberi pakaian tahanan dan mendakwa digari dan dikurung di bilik tahanan yang cukup memilukan.

"Baju yang diberikan itu kotor dan berbau. Sel itu sebesar dua pertiga gelanggang bola keranjang tetapi ada 50 ditempatkan di dalamnya. Ada banyak nyamuk dan juga lipas.

"Kami digari dan dilayan seperti banduan meskipun kami belum didapati bersalah. Ini amat menghina," kata Lin kepada akhbar itu.

Selepas dikurung selama 24 jam, mereka kemudiannya dibebaskan dengan surat amaran daripada seorang pegawai imigresen.

Berang layanan yang tidak berperikemanusiaan itu, kedua-dua mereka berkata tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia walaupun dijemput berbuat demikian.

Menurut laman web akhbar harian Sin Chew, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmud Adam enggan mengulas kerana belum menerima laporan berhubung perkara itu. -mk


Imigresen Johor: Ketuk ketampi berbogel bukan prosedur 'hukum' warga asing

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Ketuk ketampi dalam keadaan berbogel bukan satu prosedur hukuman jika rakyat bukan warganegara ditahan memasuki Malaysia secara tidak sah, kata Pengarah Imigresen Johor Mohd Nasri Ishak.

Dalam laporan akhbar Straits Times Singapura hari ini, dua wanita warga Singapura yang memandu ke Johor Baru untuk makan malam telah disoal oleh pegawai-pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dengan digari, dihumban ke dalam pusat tahanan dan yang paling teruk diarah ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel selepas ditangkap atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah.

Nasri berkata, terdapat hukuman lain jika mereka didapati bersalah memasuki Malaysia tanpa membawa pas dan dokumen perjalanan yang tidak sah.

"Mereka akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau lima tahun penjara," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Nasri menambah, beliau tidak mahu media hanya mendengar kenyataan daripada sebelah pihak sahaja.

"Kami akan buat siasatan dan mendengar pula kenyataan dari pihak yang satu lagi," ujarnya lagi.

Mangsa ditahan, Chang, lewat 30-an, telah memandu ke Johor Baru bersama rakannya seorang ejen hartanah yang berumur lewat 20-an, hanya mahu dikenali sebagai Lim kira-kira pukul 1.30 pagi Khamis lalu.

Lim memandu kereta model Nissan Latio, ini merupakan kali pertama dia memandu ke Malaysia, walaupun telah ke sana bersama rakan-rakan sebelum ini.

Di pihak Jabatan Imigresen Malaysia, mereka memandu di lorong yang tidak dikawal.

"Tiada sesiapa pun di sana dan lampu hijau menyala," kata Lim.

"Saya menekan interkom dan tidak mendengar apa-apa, jadi saya terus memandu ketika penghadang dibuka," katanya.

Chang memberitahu akhbar harian itu mereka terus memandu kerana menyangkakan Malaysia menggunakan sistem biometrik — yang baru diperkenalkan.

Menurut laporan media, dua wanita itu dikurung dalam sebuah bilik selama dua jam sebelum dibawa ke bilik mesyuarat kira-kira pukul 4 pagi.

Pada pukul 5 petang, mereka diberitahu akan dihantar ke Pusat Tahanan Pontian untuk ditahan selama 14 hari.

Di pusat tahanan itu, wanita itu digari. Mereka juga dikehendaki menanggalkan barang kepunyaan masing-masing.

"Mereka minta kami agar tanggalkan pakaian, tanggalkan semua pakaian termasuk pakaian dalam dan kemudian minta kami melakukan ketuk ketampi," kata Lim.

Selepas melakukan 10 kali ketuk ketampi, wanita itu diarahkan memakai semula seluar dan diberikan sehelai kemeja-T.

Mereka kemudian diletakkan dalam sebuah bilik sebesar gelanggang bola keranjang bersama 50 wanita lain, kebanyakannya daripada Indonesia, China dan Filipina.

Kedua-dua wanita itu ditahan selama satu malam dan pada pukul 5 petang keesokan hari, mereka diberitahu akan dibebaskan dan dihantar menaikan sebuah van dengan enam tempat duduk ke Jabatan Imigresen di Causeway di mana mereka turut menerima surat amaran.

Bagaimanapun, Nasri enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata tindakan itu mengaibkan maruah dan sesuatu tidak masuk akal manakala wakil rakyat Bakri Er Teck Hwa pula berkata perkembangan itu memberi persepsi bahawa Malaysia sebuah negara tiada undang-undang.

"Anda tidak boleh lakukan ini. Mengapa mereka menyoal siasat wanita-wanita ini sebegini? Ia tindakan mengaibkan," katanya. -TMI


Ulasan GB

Hal ini sesuatu yang amat mendukacitakan. Malaysia mendapat liputan buruk di peringkat antarabangsa.

Pegawai Imigresen mbertindak sewenang-wenangnya dengan meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka.

Jika dakwaan tersebut terbukti benar, pegawai-pegawai imigresen yang terlibat mesti dihukum seberat-beratnya dan Pengarah Imigresen Johor, Mohd Nasri Ishak perlu meletakkan jawatannya dengan segera.

Kita tidak dapat bertolak ansur dengan pegawai-pegawai bertaraf "binatang" ini kerana seperti yang dinyatakan oleh Ketua Suruhanjaya Diraja bagi Peraturan Prosedur Operasi Standard, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah, amalan tersebut juga haram di sisi Syariah dan mencabul hak asasi manusia.

Tiada ulasan: