Jumaat, 10 Jun 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


43 Pelatih PUSPEN Larikan Diri Selepas Merusuh

Posted: 09 Jun 2011 11:50 PM PDT

Muar: Polis mengesahkan 43 daripada 377 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir dekat Ledang melarikan diri semasa rusuhan di pusat itu semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, DSP Salleh Abdul Razak, berkata pihaknya bersama Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Agensi Dadah Kebangsaan kini berusaha menjejaki mereka yang meloloskan diri.

"Kami juga masih menyiasat punca sebenar rusuhan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Gambar: ANTARA kenderaan yang rosak teruk selepas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir merusuh dan melarikan diri dari pusat itu malam tadi. Dalam kejadian itu, mereka turut membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat berkenaan. - Foto NSTP

Dalam kejadian yang dipercayai bermula kira-kira 8.40 malam itu, sekumpulan pelatih bertindak merusuh dan membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat tersebut.

Mereka juga bertindak memecahkan cermin tujuh buah kereta kepunyaan pegawai dan petugas pusat itu.

Ini adalah kejadian rusuhan kedua pernah berlaku di pusat tersebut selepas kejadian pertama pada 1999. - BERNAMA

Syukur, Bernikah Juga Mereka Akhirnya..

Posted: 09 Jun 2011 09:37 PM PDT

Akhirnya kasih bertaut

KANGAR: "Jika sudah jodoh tidak akan ke mana...saya bersyukur apabila semua (kemelut) sudah selesai dan tidak mahu lagi perbalahan antara keluarga saya dengan keluarga isteri berpanjangan."

Begitu kata jurujual kereta, Rohaizat Abdullah Sani, 37, yang pernikahannya dibatalkan pada saat akhir pada Ahad lalu, akhirnya selamat diijab kabul dengan isterinya, Yuni Amira Jab, 20, di Masjid Simpang Empat, dekat sini, malam kelmarin.

Majlis pernikahan Rohaizat dan Yuni Amira disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah, Salim Shari, dengan dihadiri keluarga terdekat, kira-kira jam 9.45 malam. Seorang abang Yuni Amira dikenali sebagai Jusri, 42, bertindak sebagai wali.

Persetujuan pernikahan pasangan itu tercapai apabila baki bayaran wang hantaran berjumlah RM4,000 akan dijelaskan secara ansuran dalam tempoh enam bulan oleh Rohaizat.

Rohaizat berkata, dia bersyukur apabila majlis pernikahannya berjalan lancar walaupun sebelum ini berdepan dengan masalah dan akan berusaha membimbing Yuni Amira menjadi isteri yang baik. Menurutnya, susulan pernikahan tu, dia dan keluarga akan mengadakan majlis kenduri di kampung halamannya di Perak dalam tempoh terdekat.

"Sebenarnya saya mengalami masalah kewangan dan pada waktu sama pengantin perempuan mendesak perkahwinan kami disegerakan menyebabkan saya gagal mengumpul wang secukupnya untuk menjelaskan bayaran wang hantaran seperti ditetapkan.

"Masalah itu menyebabkan saya menjadi buntu bagi mencari wang dalam tempoh singkat sehingga timbul salah faham menyebabkan keadaan menjadi kusut, tapi kini saya boleh menarik nafas lega apabila perkara ini sudah diselesaikan dengan baik.

"Justeru, saya akan menarik semula laporan polis berhubung pembatalan akad nikah yang dibuat di Balai Polis Kangar dan berharap keluarga isteri juga berbuat demikian terhadap laporan polis mereka," katanya ketika ditemui Harian Metro selepas majlis akad nikah itu,.

Turut hadir, ibu Rohaizat, Mariam Mohamed, 63.

Difahamkan, Rohaizat memandu kereta untuk mengambil Yuni Amira bersama ibu mentuanya di Kampung Kepala 10, Sungai Baru, untuk hadir ke majlis akad nikah itu.

Sementara itu, sebelum diijab kabulkan, Salim turut bertanya mengenai wang hantaran RM4,000 daripada RM7,662 yang ditetapkan pihak perempuan.

Bagaimanapun, Rohaizat memberi jaminan akan menjelaskan baki bayaran wang hantaran dalam tempoh enam bulan dan ia dipersetujui pihak keluarga pengantin perempuan.

Dia turut menjelaskan membelanjakan lebih RM1,400 untuk membeli barangan kemas termasuk cincin dan gelang tangan untuk isterinya bagi majlis pernikahan itu.

Pengantin lelaki menyediakan lima dulang hantaran, termasuk cincin, kain telekung, al-Quran, sejadah, buah-buahan dan kek.

Muka depan Harian Metro pada Isnin lalu, melaporkan kekecewaan Rohaizat apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Yuni Amira yang mahu majlis akad nikah dibatalkan kira-kira 11 jam sebelum dilangsungkan berikutan keengganan seorang abangnya menjadi wali.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis dan bercadang memfailkan saman terhadap keluarga pengantin perempuan kerana didakwa memalu dan mencemarkan maruah keluarganya, manakala keluarga pengantin perempuan tetap meneruskan majlis kenduri perkahwinan.

Bagaimanapun, sehari selepas laporan didedahkan di akhbar, pihak keluarga pengantin perempuan bersetuju supaya pernikahan pasangan itu segera dilangsungkan.

Sementara itu, Yuni Amira ketika ditemui enggan mengulas lanjut tetapi berterima kasih kepada seorang abangnya yang bersetuju mewalikan pernikahannya.

"Saya amat menyayangi Rohaizat dan tidak menghadapi sebarang masalah dengannya. Sebelum ini, saya menyerahkan kepada keluarga untuk menentukan masa depan saya," katanya. -HM

Peniaga Bangkrap Kerana Himpunan Bersih? Karut!

Posted: 09 Jun 2011 08:55 PM PDT

Bersih : Laporan Polis Karut dan Khurafat, Kata Mat Sabu

SHAH ALAM 9 JUN : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan sebagai "karut dan khurafat" laporan polis oleh Pemuda Umno yang mahukan perhimpunan Bersih pada bulan depan dibatalkan.

Dalam laporan polis yang dibuat petang tadi, Pemuda Umno dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong Umno mendakwa Himpunan Bersih di Kuala Lumour pada 9 Julai akan menjejaskan keamanan dan mata pencarian peniaga.

Mohamad atau Mat Sabu berkata hujah yang diberikan oleh Pemuda Umno dan NGO berkenaan tidak masuk akal kerana hakikat adalah sebaliknya. Penyertaan orang ramai pada perhimpunan aman itu, akan merancakkan perniagaan penjaja dan peniaga, kata beliau kepada TvSelangor.

"Laporan polis ini satu perkara yang paling pelik, saya rasa ini cubaan UMNO menghasut," kata beliau.

"Secara rasionalnya, apabila ramai yang hadir menyertai perhimpunan aman BERSIh sudah tentu mereka akan menggunakan perkhidmatan awam, makan, minum, jadi apa isu menjejaskan pendapatan, bukankah ia akan menambah pendapatan peniaga." kata beliau.

"Jadi yang dikatakan Umno bahawa perhimpunan ini boleh menjejaskan pendapatan jelas satu kepercayaan karut dan khurafat." tegas beliau.

Laporan polis itu dibuat oleh Exco hal ehwal bandar Pemuda Umno, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

Beliau menuntut polis supaya mengambil tindakan awal memastikan perhimpunan itu tidak dijalankan.

Naib Presiden PKR Tian Chua semalam dipetik berkata 60,000 perserta akan terlibat dalam perhimpunan itu pada 9 Julai.

Mengulas lanjut Mat Sabu menegaskan perhimpunan BERSIH akan berjalan secara aman.

Beliau berkata perhimpunan itu akan menzahirkan tuntutan rakyat untuk sebuah sistem demokrasi tuntas demi menjamin sebuah pilihanraya umum yang adil.

Mohamad Sabu menegaskan peserta perhimpunan itu tidak akan menjadi mangsa provokasi polis seperti masa-masa lalu.

"Kalau penjaja tidak mampu menjual air tebu misalnya, ia bukan kerana kebanjiran orang ramai, ia kerana FRU menembah gas dan termasuk kedalam air jualannya," katanya. -tvsnews



PAS: Tiada yang bankrap selepas demo

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyelar tindakan Pemuda Umno yang meminta polis bertindak awal terhadap penganjur demonstrasi BERSIH kerana alasan yang diberikan didakwa tidak berasas.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad (kiri) sebaliknya mendakwa tindakan musuh politik mereka itu didorong "ketakutan" menghadapi gelombang kebangkitan rakyat pada 9 Julai ini.

"Ketika Himpunan BERSIH 2007, mereka juga membuat dakwaan yang serupa. Namun sehingga ke hari ini dakwaan itu gagal dibuktikan. Para peniaga sekitar Kuala Lumpur khususnya di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abd Rahman masih dapat meneruskan perniagaan.

"Tidak ada yang diistihar bankrap kerana himpunan BERSIH. Tiada kedai-kedai yang dipecah masuk, tiada peniaga yang cedera, tiada harta awam yang rosak," katanya.

Malah, Kamaruzaman juga menegaskan, sebelum dan selepas himpunan itu, peniaga menerima kunjungan pelanggan yang begitu ramai.

Bimbangkan keamanan tergugat dan mata pencarian penjaja terjejas, Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis meminta pihak berkuasa mengambil tindakan awal terhadap demonstrasi BERSIH.

Seru Pemuda Umno berkawal

Exco hal ehwal bandar pergerakan itu Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, tindakan itu mesti diambil sekarang sebelum terlambat.

Dalam kenyataannya petang ini, beliau juga mendakwa Pemuda Umno sebenarnya takut jika perhimpunan pada bulan depan berjaya, rakyat akan membuka mata dan tampil membuat perubahan lebih besar dalam pilihan raya umum ke-13.

"Matlamat himpunan BERSIH adalah untuk mengajak rakyat menuntut hak demokrasi mereka dan menyelar pihak BN yang jelas memperkudakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru agar pihak polis memberikan permit kepada penganjur himpunan BERSIH dan memberikan kerjasama bagi memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Menurut Kamaruzaman, hingga ke hari ini, semua himpunan yang disertai PAS berjalan aman tanpa sebarang masalah walaupun pihak polis enggan mengeluarkan permit.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga menyeru agar pemuda Umno turun sendiri membuat kawalan keselamatan, jika mereka merasakan perhimpunan ini mengancam mereka," sindirnya. -mk



Terima Kasih Asri: Asri Sifatkan UMNO Perlihat Sikap Hipokrit Terhadap Pendirian PAS

Posted: 09 Jun 2011 07:25 PM PDT

Asri: Umno nampak hipokrit kecam konsep negara kebajikan PAS

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara berkebajikan.

Sehubungan itu kata Asri (gambar), Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai konservatif dan fanatik.

"Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya. Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang golongan profesional ada, mereka masih hentam.

"Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini sikap yang tidak betul
," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

"Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan bukannya mengkritik PAS," kata beliau.

Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.

Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.

Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Justeru kata Menteri Besar Kelantan itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.

Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.

Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.

Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan "kemajuan memberangsangkan" memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk 'negara Islam', isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama 'negara Islam' itu semata-mata.

"Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

"Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama," katanya.

Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata, pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa "keadaan sudah terbalik" memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan dan menunjukkan sikap keterbukaan.

"PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS... dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang sudah terbalik keadaan," kata Asri lagi.

"Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang. Saya pun ti

Ulasan GB

GB ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Dr. Asri kerana telah perasan kemunafikan UMNO dan mendedahkannya demi kebaikan umat Islam.

PAS di era kepimpinan apa yang dikatakan golongan professional ini akan lebih ke depan dan diyakini akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dari masyarakat negara ini termasuk dari kalangan bukan-Islam, maka sebab itu ia amat menggusarkan UMNO.

Lebih hipokrit lagi, dalam waktu mereka menghentam negara kebajikan yang digagaskan oleh PAS, mereka laungkan pula mengajak PAS untuk menjayakan semula Kerajaan Perpaduan.

Sungguh terdesak dan nazaknya UMNO kini. Semakin banyak UMNO bersuara semakin jelas sikap hipokritnya.

Pencuri Sorok Dalam Beg Besar Sebelum Kebas Barang Berharga

Posted: 09 Jun 2011 06:00 PM PDT

Barcelona: Seorang pencuri sanggup mengerekot dalam beg pakaian yang besar untuk mencuri barangan berharga dalam beg lain ketika berada dalam ruang bagasi bas lapangan terbang Sepanyol.

Menurut polis, pencuri itu mempunyai rakan yang akan membeli tiket bas dan meletakkan beg pakaian berkenaan dalam bas dari lapangan terbang Girona ke Barcelona di timur laut Sepanyol.

"Sebaik perjalanan bermula dia akan keluar dari beg pakaian itu dan mennyelongkar beg lain untuk mencari barangan berharga serta menyorokkannya di dalam beg kecil yang dibawanya," kata polis daerah Catalan dalam satu kenyataan.

Pencuri itu kemudian masuk semula ke dalam beg pakaian tadi yang akan diambil rakannya pada akhir perjalanan.

Berikutan kes kecurian yang berlaku berulang kali, polis mengesyaki satu beg mencurigakan di atas bas pada 3 Jun lalu dan membukanya.

"Mereka lihat seorang lelaki mengerekot dalam beg itu bagaikan ahli jimnastik," kata kenyataan itu. - AFP

Bagaimana Khir Miliki Wang Sebegitu Banyak Boleh Bayar Tunai RM6.5 Juta Ubahsuai Rumah?

Posted: 09 Jun 2011 04:22 PM PDT

Saksi: Ubah-suai rumah RM6.5 juta dibayar tunai

Mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo membelanjakan RM6.5 juta bagi mengubah-suai rumahnya daripada rekabentuk asal Itali tropikal kepada konsep Bali, kata pereka lanskap yang dipertanggungjawab membuat pengubah-suaian itu, Nasir Ismail, di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Jumlah itu, katanya pada hari ketiga perbicaraan rasuah Khir dibuat dalam bayaran ansuran sebanyak lima kali dan dibayar dengan tunai.

Nasir berkata beliau menerima bayarannya sebanyak RM500,000 dalam bentuk tunai daripada Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni dan Khir, yang ketika itu adalah menteri besar Selangor di kediaman rasminya.

"Saya terima bayaran pendahuluan sebanyak RM250,000 pada Mac 2006 dan kemudian saya ke pejabat pemegang harta (kini insolvensi) untuk uruskan pasport ke Bali untuk membeli barang.

"Pembayaran seterusnya saya terima kira-kira RM500,000... setiap kali pembayaran di mana empat atau lima kali pembayaran diserahkan oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni manakala tujuh atau lapan kali pembayaran diserahkan oleh Dr Khir Toyo sendiri,"
katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud.

Nasir memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes Dr Mohamad Khir, 45, yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin.

Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam diperoleh pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Nasir yang diperkenalkan kepada Dr Mohamad Khir oleh ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor, berkata Shamsuddin dilantik oleh bekas Menteri Besar itu sebagai pengurus dalam urusan kerja-kerja pengubahsuaian banglo tersebut.

Ditanya mengenai siapa pemilik sebenar banglo itu, saksi itu menjawab: "Saya keliru sebab yang beri arahan Dr Mohamad Khir tetapi bila dapat pelan ada nama Ditamas Sdn Bhd. Pelan itu telah diluluskan."

"Semasa awak terima wang, awak tiada akaun bank, jadi bagaimana awak uruskan wang?" soal Masri dan Nasir menjawab: "Saya bayar pada supplier (pembekal) dan sebahagian wang itu saya simpan untuk beri kepada pekerja yang diupah.

"Ada atau tidak pada bila-bila masa awak kemuka sebarang sebut harga pada Dr Mohamad Khir?" soal Masri dan saksi itu menjawab: "Ya. Pada Dr Mohamad Khir sendiri dan bila dirujuk (sebut harga) Dr Mohamad Khir minta kurang sikit."

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam M Athimulan yang mewakili Dr Mohamad Khir berhubung status muflisnya, Nasir berkata beliau muflis sejak 1998 dan kemudiannya bebas daripada status muflis pada 2008.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki. -mk

Ulasan GB

Bukankah sepatutnya satu siasatan baru perlu dilakukan: Bagaimana Khir Toyo dapat mengumpulkan wang sebegitu banyak sewaktu beliau menjadi MB Selangor?

RM6.5 juta itu yang didedahkan untuk renovasi rumah. Sepastinyalah wang yang dimilikinya lebih besar dari jumlah itu.

p/s Ini macam kes seorang pegawai bank dahulu bernama Aman Shah tiba-tiba menjadi jutawan mampu membeli kereta-kereta mahal seperti Porsche dan sebagainya. Rupa-rupanya kebas duit pelanggan bank secara diam-diam. Benda yang salah akhirnya akan terdedah juga.


Mangsa Simbahan Asid Hilang Penglihatan

Posted: 09 Jun 2011 03:00 PM PDT

Seremban – Seorang ibu muda terpaksa menerima hakikat bahawa dia mengalami kecacatan kekal akibat menjadi mangsa simbahan asid oleh lelaki tidak dikenali, Mac lalu.

Zuhaina Tengkis, 27, ibu kepada dua orang anak yang tinggal di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini terpaksa menanggung keperitan sepanjang hayatnya apabila selu­ruh wajah dan sebahagian dadanya melecur.

Lebih memilukan, Zuhaina hilang penglihatan apabila kedua-dua matanya buta akibat kejadian itu.

Menceritakan detik kejadian, Zuhaina berkata, kejadian berlaku pertengahan bulan Mac lalu, bagaimanapun dia tidak ingat tarikh kejadian.

"Pada malam kejadian, saya bersama adik saudara keluar rumah menaiki motosikal untuk bertemu dengan seorang rakan di sebuah kedai makan di pekan Mantin.

"Kira-kira 9.30 malam, saya bersama adik saudara menunggang motosikal bergerak pulang ke rumah selepas bertemu kawan," katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di satu kawasan berhampiran Lapang Sasar Mantin di sini, kelihatan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berusia lingkungan 20-an ingin memotong motosikal mereka.

"Semasa motosikal itu menghampiri motosikal kami, terdengar seorang suspek menyebut 'hai'. Saya segera menoleh ke arah mereka sebelum seorang daripada mereka menyimbah air tepat kepada wajah saya," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini, semalam.

Zuhaina berkata, simbahan air yang dipercayai asid itu turut terkena pada bahagian belakang badan adik saudaranya itu.

"Dalam keadaan kesakitan, kami terus pulang rumah dan suami segera membasuh wajah saya sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini.

"Saya mendapat rawa­tan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua bulan dan dibenarkan pulang ke rumah, 27 Mei lalu," katanya.

Menurutnya, doktor memberitahu kedua-dua matanya tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan teruk akibat simbahan asid.

"Sehingga kini, saya tidak dapat tidur kerana kelopak mata saya tidak boleh tutup. Sakit di muka dan dada masih terasa sehingga kini," katanya.

Menurutnya, nasib menimpanya juga menyebabkan perasaannya adakala terganggu sehingga menitiskan air mata, lebih-lebih lagi tidak dapat melihat anak-anaknya membesar.

"Saya tidak berdendam dengan orang, saya tidak pernah dengki dengan orang tetapi kenapa orang buat saya begini," katanya.

Sementara itu, suami, Nor Azman Jani, 30, berkata, sehingga kini dua lelaki tidak bertanggungjawab itu gagal dikesan pihak berkuasa.

"Polis turut memaklumkan kes tersebut kemungkinan berkaitan dengan kes simbahan asid di Kuala Lumpur," katanya.

Nor Azman yang bekerja sebagai penoreh getah bagaimanapun bersyukur isterinya masih selamat.

"Meskipun keadaan isteri saya seperti ini, saya tetap menyayangi dia.

"Cuma saya sentiasa berharap masih ada peluang untuk isteri saya melihat semula," katanya.

Dalam pada itu, nasib menimpa Zuhaina mendapat perhatian Pengerusi MCA negeri, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam yang melawat mangsa serta menghulurkan sumbangan, semalam.

Chai Thiam berkata, dia akan memastikan mangsa mendapat bantuan sewajarnya dari segi kewangan serta kos rawatan.

"Saya akan memanjangkan masalah ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mangsa mendapat bantuan bulanan berikutan pendapatan suami bawah RM500 sebulan," katanya. -SH

Email Ahli Parlimen Batu Digunakan Untuk Yakinkan Orang Tentang Video Seks

Posted: 09 Jun 2011 08:29 AM PDT

Petaling Jaya: Dalang video lucah Datuk T dikesan menggunakan e-mail atas nama Naib Presiden PKR Tian Chua untuk menghantar mesej kononnya beliau mempercayai pelaku dalam rakaman itu adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 20 Ahli Parlimen dikesan menerima mesej fitnah itu yang dihantar menerusi alamat e-mel "tianchua@rocketmail.com" yang dicipta oleh penyamar, kata Tian kepada wartawan hari ini.

"Saya rayu kepada orang ramai jangan percaya jika dapat email mungkin juga dari Wan Azizah atau Nurul Izzah kerana ini adalah kerja-kerja penyamar. BN dah sampai tahap terdesak lakukan perkara ini." kata beliau.

"Penyamaran identiti ialah kesalahan serius. Semua bukti ada dan emel palsu, tidak mustahil untuk dijejaki puncanya," tambah beliau.

Emel berkenaan bertujuan mengelirukan dan memecahbelahkan ikatan dan hubungan ahli parlimen dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin pula mendedahkan beliau menerima salinan video fitnah itu yang dikirim melalui sampul ke peti surat rumahnya di Ampang, pagi ini.

Lebih teruk lagi, video tersebut dihantar bersama dengan kepala surat Parti Islam Se-malaysia (PAS) berserta dengan pamplet imej menghina Anwar Ibrahim.


Tian dan Zuraida akan melaporkan jenayah itu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam masa terdekat.

"Sama macam Tian Chua, kita juga nak minta polis siasat siapa yang sebar video ini. Patut tangkap 3 Datuk dan siasat siapa buat kerja tu tapi sampai sekarang, tiada apa berlaku," tegas Zuraidah yang juga Ahli Parlimen Ampang. -tvsnet




Ulasan GB

Apa taknya, konspirator dah keluarkan belanja berjuta ringgit untuk kempen video seks ini, pun rakyat masih percaya lagi.

Hairannya, dah banyak laporan polis dibuat tentang penyebaran video seks ini, belum nampak ada tindakan dari pihak polis.

Dan aneh, UMNO kata tak mahu dijadikan kambing hitam di dalam isu video seks ini, sedangkan Najib dah ulas semenjak dari awal lagi mengenai video seks berkenaan. Macam mana tak nak jadi kambing hitam?

Itu baling batu sembunyi tangan. Sekarang dah desperate sangat, ahli parlimen Batu pula jadi sasaran dengan menghantar surat layang kononnya ia datang dari email Tian Chua.

Betul-betul konspirator tak de batu!



Sungguh Kejam Jika Benar Ditembak Semasa Melutut

Posted: 09 Jun 2011 07:30 AM PDT

NGO: Remaja ditembak semasa melutut

Laporan bedah siasat ke atas tiga remaja yang ditembak mati oleh polis pada tahun lalu menunjukkan mereka ditembak dari jarak dekat, dakwa NGO hak asasi Lawyers for Liberty.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, ditembak mati selepas dikejar pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.

Pihak polis sebelum ini mendakwa remaja berkenaan menyerbu mereka dengan bersenjatakan parang dan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

"Laporan bedah siasat bercanggah dengan versi polis bahawa dalam kejadian itu mereka bertindak mempertahankan diri dan menembak - yang bermakna tembakan mesti dilepaskan dari hadapan," kata peguam N Surendran.

"Bagaimanapun, menurut laporan bedah siasat sudut peluru menembusi kepala depan adalah dari 45 darjah dan keluar melalui belakang leher dan bagi tembakan di bahagian dada, (peluru) juga melalui 45 darjah di badan.

"Ini menunjukkan mangsa sedang melutut ataupun berada pada kedudukan lebih rendah daripada orang yang melepaskan tembakan," katanya sambil merujuk kepada laporan autopsi Muhammad Syamil Hafiz. -mk


Tembak Mati Remaja : Ibu Bapa Mangsa Kesal Tindakan Terburu-buru Polis

PETALING JAYA 9 JUN : Hancur luluh hati seorang ibu apabila membayangkan saat terakhir anaknya sedang melutut dan merayu meminta nyawa sebelum ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada begitu sahaja.

Apatah lagi si penembak merupakan mereka yang sepatutnya menjaga keamanan, keselamatan dan keadilan rakyat dan orang awam.

Dengan esak tangis, Norhafizah Mohd Ghazali menyatakan kekesalan dan hilang keyakinan terhadap Polis Di Raja Malaysia(PDRM) yang seolah cuba menyembunyikan hal sebenar berkaitan kematian anak beliau, Muhammad Syamil Hafiz bin Shafiei yang ditembak mati oleh anggota polis seminggu hari jadi ke 16 nya November tahun lalu.


"Selama hampir 7 bulan saya menunggu apa yang saya fikirkan selama ini menjadi kenyataan. Anak saya memang dibunuh. Kenapa dia dibunuh? Anak saya bukannya pembunuh. Dia cuba berumur 15 tahun. Di mana keadilan untuk anak saya? Saya hilang kenyakinan pada pihak polis. Saya nak tegakkan keadilan untuk anak saya. Saya nak orang yang bunuh anak saya dihadapkan ke mahkamah dan terima balasan setimpal,"

Malah katanya, beliau tidak faham mengapa Polis yang lengkap bersenjata tidak menangkap dan menghadapkan anaknya ke mahkamah jika ia benar-benar melakukan kesalahan tanpa perlu bertindak sedemikian rupa.

"Kenapa tidak dia ditangkap sahaja, kenapa dia harus dibunuh. Mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, sebagai ibu saya tak dapat membayangkan anak saya merayu agar nyawanya tidak diambil," ujarnya.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi pada 13 Disember lalu.

Pihak polis sebelum ini turut mendakwa ketiga-tiga remaja berkenaan telah menyerbu anggatonya dengan bersenjatakan parang dan bagi mempertahankan diri mereka pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum ini, ketiga-tiga remaja terbabit juga baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1, Glenmarie dan bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Bagaimanapun laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Jabatan Kimia Malaysia didapati ia bercanggah dengan kenyataan Thaiveegan itu.

Menurut laporan bedah siasat Hairul dan Syamil dan berdasarkan penemuan keluarga pada badan mangsa, Hanafi masing-masing mempunyai dua kesan tembakan iaitu di kepala dan dada.

Kata beliau, kesemua tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada manakala peluru-peluru pula keluar rendah dan badan mereka mengalami lebam dipercayai akibat dipukul.

Ia menunjukkan trajektori peluru pada badan Hairul juga menunjukkan penembak mangsa itu melepaskan peluru dari kedudukan yang tinggi.

Laporan kimia pula menunjukkan ketiga-tiga mereka ditembak dari jarak dekat berdasarkan kesan serbuk pistol di badan mangsa.


Justeru bapa Hanafi, Omar Abu Bakar mempertikai kenyataan Polis yang seolah cuba menyembunyikan apa yang berlaku.

"Saya nak pertikaikan kenapa Polis tembak anak saya dari sebelah kanan. Dua butir di kepala dan dibahu. Pihak polis keluarkan laporan lain. Hospital keluarkan laporan betul. Dan kalau polis kata serang dari depan, kenapa tembakan dari kanan? soalnya.

"Saya tak puas hati dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor itu. Mengaburi mata rakyat untuk melindungi anggotanya. Apa standing orders untuk menenbak penjenayah bersenjata? Yang bersenjata api tembak, yang pakai parang pun tembak juga? Pistol boleh tembak dari jauh," tambahnya lagi. -tvsnews




Ulasan GB

Dasyat gila jika benar mangsa ditembak dalam keadaan sedang melutut.

Kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar kebenaran itu dinyatakan dan jika berlaku kekejaman dan kezaliman, pihak yang berkenaan itu dihukum dengan seberat-beratnya.

Tiada daya dan kekuatan selain daripada Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.

Gandingan Hadi-Mat Sabu Ibarat Kabinet Perang - Azizan

Posted: 09 Jun 2011 05:24 AM PDT

Gandingan baru dalam kepimpinan Pas yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan, Mohamad Sabu (gambar) diibaratkan sebagai 'Kabinet Perang' untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, gandingan itu bersama barisan Kabinet baru perlu dibayangi pelbagai latar belakang, termasuk generasi muda.

"Inilah barisan Kabinet Perang untuk berdepan pilihan raya. Bagi pertahan dan mantapkan parti, perlulah lantik juga orang-orang muda. Ada pemimpin kita letak di bahagian tertentu, dan ada pemimpin kepalai angkatan, ada yang membantu. Kita lihat sahaja hasilnya kelak," katanya, ketika diminta mengulas mengenai barisan kepimpinan baru Pas pada pemilihan lalu.

Menurutnya, parti lawan hendaklah membuat persediaan lebih rapi untuk berdepan barisan kabinet Pas kali ini, yang diyakini lebih mantap dan berkaliber.

"Saya pasti UMNO sekarang susah hati dengan kepimpinan baru Pas, sebab itu mereka timbulkan isu ulama tewas, tolak golongan ulama dan sebagainya. Ingatan saya kepada UMNO, bersedialah!," katanya.

Mengulas mengenai perubahan dasar Pas yang kini mahu memperkenalkan dasar negara berkebajikan, Azizan berkata, ia juga sinonim dengan dasar negara Islam yang mengutamakan kebajikan rakyat dan amalan yang baik.

"Islam menyuruh kita berbuat baik, termasuk kebajikan. Apa salahnya sekadar tukar nama, namun pengisian tetap berteraskan Islam. Saya juga amalkan konsep kebajikan dalam pentadbiran, antaranya perkenalkan Skim Kafalah, sumbangan pada pelajar Kedah dan membangunkan agenda pendidikan," katanya.

Azizan turut menepis dakwaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengatakan UMNO sama sekali tidak tergugat dengan barisan kepimpinan baru Pas, malah yakin peluang mereka lebih cerah kerana pimpinan baru parti itu dipercayai tidak menyokong agenda perpaduan.

"Saya tak pasti apa tafsiran UMNO berhubung barisan kepimpinan Pas yang baru ini, sebab saya tidak mampu membaca apa yang terlintas di minda mereka. Tetapi mungkin mereka tidak puas hati dengan kelebihan yang ada pada gandingan baru ini yang boleh menggugat kedudukan mereka," katanya.

Ditanya sama ada timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi berhubung keputusan pemilihan atau usul yang dibangkitkan pada Muktamar lalu, Azizan menidakkan perkara itu memberitahu ia bukti kesepakatan dalam parti.

"Tiada ahli Pas suarakan rasa tidak puas hati, mungkin yang bising itu orang UMNO. Atau mungkin pemimpin parti itu tidak puas hati dengan barisan baru Pas yang mantap. Semuanya berjalan lancar," katanya. -SH

Ulasan GB

Patutlah UMNO BN kecut sangat dan lemparkan macam-macam tuduhan.

Waspada: Semak Label Alat Permainan Untuk Anak - Fomca

Posted: 09 Jun 2011 04:30 AM PDT

Ibu bapa disaran lebih peka terhadap tahap keselamatan alat permainan kanak-kanak dengan menyemak tanda "MC" (Malaysian Conformity) dan label peringkat umur pada barangan itu sebelum membelinya.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata selain perlunya meneliti tahap keselamatan alat permainan, ibu bapa juga perlu bijak memilih alat permainan yang sesuai untuk anak mereka mengikut kesesuaian peringkat umur.

"Alat permainan ini sebenarnya satu medium yang dapat membantu ke arah tumbesaran yang lebih seimbang bagi kanak-kanak dan menjana daya imaginasi tetapi jika tersalah beli, contohnya senapang untuk kanak-kanak berusia tiga tahun, kita bimbang ia boleh mendatangkan risiko kecederaan.

"Anak-anak pada tahap itu tidak ada rangsangan untuk mengetahui tahap bahaya sesuatu alat permainan dan di sinilah peranan ibu bapa diperlukan untuk menentukan supaya alat permainan yang dibeli itu selamat digunakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Isu keselamatan alat permainan kanak-kanak mendapat perhatian kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah mengeluarkan satu garis panduan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak.

Berkuatkuasa Februari lepas, semua alat permainan kanak-kanak sama ada buatan tempatan mahu pun yang diimport, diwajibkan mempunyai tanda "MC" sebagai bukti telah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan kementerian itu.

Sirim Qas International Sdn Bhd adalah agensi yang bertanggungjawab menilai daripada segi pematuhan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak yang dikemukakan pihak industri sebelum laporan penilaian dihantar ke kementerian itu untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Yusof berharap kempen kesedaran terhadap keselamatan alat permainan diperluaskan sama ada menerusi risalah atau pun media. -- BERNAMA

[Bergambar] Rebut Wanita, Pekerja Bangla Dan Vietnam Bergaduh Di Nilai

Posted: 09 Jun 2011 03:22 AM PDT

Bandar Baru Nilai: Hanya kerana seorang wanita, lebih 200 pekerja lelaki warga Vietnam dan Bangladesh bertempur mengakibatkan 23 cedera dalam pergaduhan di asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak di sini, malam kelmarin.

Mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) dan tiga dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua kumpulan terbabit yang saling melakukan provokasi bertempur menggunakan kayu, besi dan membaling batu di dalam kawasan asrama yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan rumah penduduk.

Bagaimanapun, tindakan pantas 150 pegawai dan anggota polis termasuk dua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya meleraikan pergaduhan itu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mhd Hassan, berkata pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang pekerja Bangladesh yang cuba memikat wanita Vietnam ketika bekerja syif malam Isnin lalu.

"Wanita itu mengadu kepada teman lelakinya yang juga warga Vietnam bekerja di kilang sama yang kemudian membawa beberapa rakan senegara membelasah lelaki Bangladesh terbabit sekali gus mencetuskan ketegangan antara dua kumpulan itu,"
katanya di sini, semalam.

Berikutan itu, berlaku pergaduhan kecil di kilang tekstil di Kawasan Perindustrian Nilai itu sebelum melarat ke asrama yang terletak kira-kira dua kilometer dari kilang.

Katanya, polis juga berjaya menghalang lebih 500 pekerja Bangladesh yang berarak dari kilang untuk menyerbu asrama pekerja Vietnam dan menenangkan mereka sebelum mengiringi mereka pulang ke blok asrama masing-masing.

Abd Manan berkata, polis berjaya menenangkan kedua-dua kumpulan itu kira-kira lapan jam kemudian, tetapi terpaksa menempatkan 150 pegawai dan anggota termasuk satu pasukan FRU sebagai langkah berjaga-jaga di kawasan asrama itu hingga keadaan benar-benar selamat.

"Hari ini (semalam) kita akan membuat pemeriksaan di semua bilik pekerja di asrama untuk memastikan mereka tidak menyimpan senjata atau benda terlarang sebagai langkah berjaga-jaga.

"Polis belum membuat sebarang tangkapan dan sedang menyiasat lanjut kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya yang menasihatkan pengurusan kilang menghentikan operasi kilang itu selama sehari. -BH







Tiada ulasan: