Rabu, 8 Jun 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kenapa Sesuatu Yang Diadukan Oleh Bukan-UMNO Maka Polis Lambat Bertindak?

Posted: 08 Jun 2011 12:45 AM PDT

Hina Surah Yassin: Polis diminta bertindak

Sekumpulan umat Islam yang menunaikan solat di Taman Bertam Kepala Batas pada Ahad lalu terkejut apabila mendapati beberapa keping gambar lucah diselitkan di beberapa Surah Yassin di masjid itu.

Gambar-gambar berkenaan dilekatkan dengan cara yang agak teratur, kata pengerusi jawatankuasa masid Abdul Rahman Abdullah kepada tabloid berbahasa Melayu Sinar Harian.

Membidas tindakan itu, ahli exco bagi hal ehwal agama, perdagangan dalam negeri dan pengguna Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim meminta kerjasama polis supya bertindak segera terhadap dalang berkenaan.

Abdul Malik berkata tindakan itu tidak dapat diterima tanpa mengira bangsa, agama atau pegangan politik sesiapa sekalipun.

"Tanpa mengira niat mereka, tidak ada sesiapapun yang boleh menerima provokasi yang berbentuk perkauman yang cukup menghina ini.

"Bentuk provokasi seumpama ini biasanya hanya kita dapati di surat khabar milik Umno."

Beliau mengulas kejadian dua hari lalu di mana kira-kira 100 jemaah Masjid At-Takwa di Taman Bertam Indah yang menjumpai gambar lucah di Surah Yassin milik masjid itu. -mk

Ulasan GB

Satu gejala yang menjatuhkan integriti dan maruah polis di negara ini ialah sikap pilih-kasih, diskriminasi serta tidak adil di dalam menjalankan tugas mereka.

Kita melihat PDRM begitu cekap dan aktif jika laporan/aduan dilakukan oleh pihak UMNO/BN/Perkasa tetapi akan membisu sehingga kadang-kala lansung tidak bertindak jika aduan itu datang dari pihak yang bukan-UMNO/BN.

Salah satu sebab utama mengapa rakyat membenci PDRM kerana ketidak-adilan itulah dan akibatnya UMNO BN sendiri menjadi mangsa di dalam pilihanraya apabila rakyat menolak politik yang menggunakan polis sebagai kuda tunggangan.


Berjalan-jalan "Window Shopping" Pun Kena Usir

Posted: 07 Jun 2011 11:10 PM PDT

Kuala Lumpur: Niat seorang warga emas untuk membeli-belah di sebuah kompleks komersial terkenal di sini, Sabtu lalu, terbantut apabila mendakwa dihalau keluar oleh pengawal keselamatan yang mengesyakinya ingin mencuri gara-gara berlegar hampir sejam di situ.

Lee Lai, 55, ketika ditemui di Balai Berita di sini, kecewa dan malu apabila pengawal keselamatan terbabit meninggikan suara serta menepis topi dipakainya, selain peristiwa berkenaan diperhatikan pengunjung lain.

Katanya, sempena cuti umum dan hujung minggu, dia keluar sendirian dan memasuki pusat beli-belah terbabit untuk mencari barang keperluan kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Ketika membelek-belek harga barang, Lee dikejutkan dengan pertanyaan kasar pengawal terbabit yang menanyakan apa yang dia lakukan selama hampir sejam di pusat beli-belah itu.

"Saya terkejut apabila pengawal terbabit mengaku mengekori saya sejak masuk ke pusat beli-belah itu.

"Lebih mengejutkan, dia (pengawal) menyatakan peraturan pusat beli-belah itu tidak membenarkan pelanggan berada terlalu lama di dalam premis.

"Saya yakin dia menganggap saya ingin mencuri barangan di situ sedangkan ia sebaliknya," dakwanya.

Katanya, selepas bertelagah hampir beberapa minit, lelaki terbabit mengugut akan menghalaunya keluar jika masih berdegil.

Menurutnya, dia meminta pengawal terbabit menyelesaikan masalah berkenaan di pejabat, selain ingin membuat aduan kepada pihak pengurusan, tetapi lelaki itu enggan dan menjerit menghalaunya keluar.

Akibat tidak tahan apabila disyaki mencuri, Lee menanggalkan jaketnya untuk membuktikan tiada barang diambil, namun pengawal terbabit tidak puas hati.

Dia kemudian pergi ke pejabat pengurusan untuk membuat aduan sebelum membuat laporan di Balai Polis Brickfields, semalam.

Sementara itu, pihak pengurusan pusat beli-belah itu memohon maaf kepada pelanggan berkenaan dan mengakui perkara itu terjadi akibat salah faham pengawal terbabit. -hm

Ulasan GB

"Window-shopping" pun kena tahan?

GB cuba besarkan imej repot polis yang disiarkan untuk mendapat tahu pusat membeli-belah yang dimaksudkan bertujuan untuk memberitahu semua supaya berhati-hati atkala berada di sana... anda mungkin sedang diperhatikan walaupun niat anda jujur dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.



Al-hasilnya, dapatlah dibaca lokasi kejadian iaitu di I-SETAN KLCC.



Kenapa Rais Sensitif Sangat Dengan Bahasa Indon?

Posted: 07 Jun 2011 09:20 PM PDT

Rais sindir golongan suka cedok istilah Indonesia

JELEBU: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, hari ini meminta supaya penggunaan istilah "mantan" untuk merujuk kepada bekas Perdana Menteri atau bekas Ketua Polis Negara, dikaji semula.

Beliau berkata, istilah mantan itu digunakan secara meluas di Indonesia dan sebenarnya ia memberi maksud "orang yang tidak bekerja".

"Kita di sini tanpa usul periksa suka mengambil perkataan luar seperti mantan. Janganlah kita begitu mudah meniru perkataan dari Indonesia tanpa faham erti sebenarnya," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Persatuan Bekas Polis Malaysia di Dewan Petaling hari ini.

Beliau hairan mengapa sesetengah pihak di negara ini terlalu beria-ia mengambil bahasa luar untuk disesuaikan dengan keadaan masyarakat tempatan tetapi meminggirkan istilah yang sedia ada dalam bahasa kebangsaan.

"Sikap saudara-saudara semua yang tetap menggunakan 'bekas' untuk menggambarkan persatuan anda amat saya gemari. Bayangkan jika terjadi begini...Persatuan Mantan Polis. Tahniah kepada saudara semua kerana tetap menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Sehubungan itu, Rais meminta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membuat kajian mengenai penggunaan istilah ini.

Menurut laman pencinta bahasa Indonesia, istilah mantan diperkenalkan oleh seorang tokoh bahasa Indonesia, Profesor Dr Anton Moeliono.

Perkataan mantan juga digambarkan sebagai bekas isteri atau suami, orang Indonesia juga menggunakan istilah "pensiun" atau "eks" yang dicedok daripada bahasa Inggeris.

Perkataan itu tidak pernah wujud dalam penggunaan seharian rakyat Malaysia sehinggalah media negara ini sendiri yang mencedok istilah Indonesia itu untuk digunakan, sekali gus menggantikan istilah "bekas" yang sedia ada dalam bahasa kebangsaan. - BERNAMA

Ulasan GB

Sensitif sangat menteri ini dengan Indonesia, sampaikan perkataan mantan pun dijadikan isu. Kenapa ya?

Bukankah Malaysia dan Indonesia itu satu rumpun di nusantara ini?

Proses assimilasi telah lama berlaku, apatah sekarang ini dimana ramai "amah-amah" dan tenaga kerja Indonesia bekerja di negara kita, justeru pertukaran istilah, perbendaharaan kata dan perkataan sering berlaku dan ia patut dilihat sebagai pengkayaan bahasa Malaysia kita sendiri.

Fobia?

Kalau tak da apa-apa masakan tempua bersarang rendah!

Kanak-kanak 5 Tahun Patah Bahu Kiri Dirempuh Kuda Di Pantai

Posted: 07 Jun 2011 07:50 PM PDT

Kanak-Kanak Dirempuh Kuda Di Pantai Batu Feringghi

GEORGETOWN:Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah bahu kiri setelah dirempuh seekor kuda yang ditunggang seorang lelaki di pantai Batu Feringghi di sini, Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, Arina Kirana Azrin turut cedera di paha kanan akibat dirempuh ketika dia sedang bermain dengan kakaknya yang berusia 12 tahun di belakang sebuah hotel.

Kakaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Azrin Abdul Razak, 37, berkata anaknya terpelanting setelah dirempuh kuda yang ditunggang dengan laju.

"Ketika saya menghampiri dan memegang Arina, dia berada dalam keadaan separuh sedar," katanya kepada pemberita.

Arina dihantar ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang. Azrin yang tiba dari Putrajaya untuk bercuti bersama keluarganya sejak semalam berkata beliau kesal dan marah dengan kejadian yang menimpa anaknya itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terdapat pihak yang bertanggungjawab.

"Saya kesal dan tidak dapat maafkan mereka. Saya akan ambil tindakan terutamanya terhadap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerana ketika kejadian terdapat dua anggota mereka berada di tempat kejadian namun tidak berbuat apa-apa," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow telah mengarahkan Yang Dipertua MPPP supaya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Kejadian ini telah mengakibatkan orang awam tercedera. Oleh itu saya berharap pihak polis dapat menyiasat kes berkenaan dan mendakwa pengusaha yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata terdapat pasukan penguatkuasaan MPPP yang meronda di sekitar pantai Batu Feringghi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam bagi mencegah aktiviti berkuda.

"Malangnya masih terdapat pengusaha yang ingkar serta masih menjalankan kegiatan itu hingga mencederakan orang awam," katanya.- BERNAMA

"Polis Bodo" - Denda RM50

Posted: 07 Jun 2011 06:30 PM PDT

Panggil polis bodoh, pekerja butik didenda RM50

KUALA TERENGGANU: Gara-gara memanggil seorang anggota polis bodoh, seorang pekerja sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dikenakan denda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah.

Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir didakwa mengeluarkan perkataan "polis bodo" terhadap Konstabel Mohd Hafifi Ali dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Gong Badak yang ketika itu menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 1 petang, 28 Mei lalu di kawasan LTSM dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1957 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100.

Tertuduh yang memakai baju kurung berwarna biru, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Adila Abd Latif.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai penyiasat, V Ravi, manakala tertuduh diwakili peguam Hayyatuddin Muhammad.

Peguam bela tertuduh sebelum itu merayu mahkamah supaya melepaskan tertuduh dengan amaran memandangkan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya selain anggota polis terbabit juga tidak memakai pakaian seragam serta kenderaan rasmi jabatan ketika menjalankan tugas itu.

Katanya ia tidak mencerminkan etika yang sepatutnya dipatuhi oleh seorang anggota polis ketika menjalankan tugas mengakibatkan berlaku salah faham sehingga menimbulkan provokasi yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

Mengikut fakta kes, tertuduh dilaporkan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke tempat kerjanya dan telah terserempak dengan anggota polis berkenaan yang ketika itu sedang menjalankan rondaan.

Dia yang diarah berhenti untuk tujuan pemeriksaan bagaimanapun dikatakan tidak berpuas hati menyebabkan berlaku pertengkaran sehingga mengeluarkan kata kesat itu sebelum bertindak menghubungi ayahnya.

Ayahnya yang datang selepas itu dilaporkan memarahi anggota polis berkenaan kerana menegur anaknya dengan mengatakan jalan itu adalah jalan anaknya dan kawasan itu adalah kampung mereka sebelum bertindak meninggalkan anggota polis tersebut dalam keadaan tidak puas hati. - BERNAMA

Ulasan GB

Begitu rupanya kisah. Denda RM50, dan denda maksima cuma RM100, tapi kenapa sampai digari dan dipakaikan baju lokap? Kenapa diaibkan sedemikian rupa?

Pertama: anggota polis terbabit tidak memakai pakaian seragam serta kenderaan rasmi jabatan ketika menjalankan tugas,

Kedua: Gadis itu tidak berpuas hati menyebabkan berlaku pertengkaran sehingga mengeluarkan kata kesat itu sebelum bertindak menghubungi ayahnya,

Ketiga: Sudah berlaku pertengkaran dimana ayahnya yang datang selepas itu dilaporkan memarahi anggota polis berkenaan kerana menegur anaknya dengan mengatakan jalan itu adalah jalan anaknya,

Rumusan yang boleh dibuat ialah : Polis itu bertindak membalas dendam kerana telah menerima gelaran "polis bodo".

(Dengan maaf) dan rakyat dapat melihat kebodohan polis tersebut yang amat nyata.


Kemaafan Diberikan Namun Saman Tetap Berjalan

Posted: 07 Jun 2011 04:30 PM PDT

Boleh maaf tapi tetap mahu saman

KANGAR – Pengantin lelaki yang kecewa setelah majlis pernikahannya dibatalkan oleh pasangannya dengan sekadar menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak akan melupakan detik hitam dalam hidupnya itu begitu sahaja walaupun selepas keluarga pihak perempuan menghantar wakil memohon maaf malam kelmarin.

Menurut pengantin itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 37, keluarga pihak perempuan menghantar empat lelaki termasuk dua abang ipar ke rumahnya di sini kira-kira pukul 8.30 malam untuk meminta maaf ekoran majlis tersebut dibatalkan.

Katanya, pihak keluarga perempuan ingin masalah tersebut selesai dan memohon agar isu tersebut tidak dipanjangkan lagi terutama mereka bimbang dengan tindakan saman yang akan diambil oleh Aizat.

"Walaupun sudah termakan hati, saya memaafkan pihak perempuan itu, namun tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Ini soal maruah, saya tetap akan bawa kes ini ke mahkamah,'' tegasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan mengenai impian jurujual kereta itu untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya itu membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman SMS.

Lebih melukakan hati lelaki itu, SMS tersebut dihantar cuma 11 jam sebelum majlis pernikahan mereka dilangsungkan di sebuah masjid di Simpang Empat di sini pukul 10 pagi kelmarin. -kosmo


Wali perlu adil

KUALA LUMPUR: Seseorang wali dalam perkahwinan Islam sepatutnya bertanggungjawab mencarikan suami yang soleh dan boleh membimbing gadis di bawah amanahnya, bukan merosakkan masa depan mangsa termasuk membatalkan pernikahan pada saat akhir tanpa alasan kukuh.

Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Noor, berkata enakmen undang-undang keluarga Islam tidak pernah membenarkan wali menyalah guna kuasa menolak perkahwinan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya beliau berkata, wali yang bertanggungjawab perlu bersikap adil kepada pasangan yang ingin dikahwinkan, malah mereka perlu disatukan segera jika kedua-duanya tidak melanggar perjanjian seperti yang dipersetujui keluarga kedua-dua pihak.

"Tanggungjawab wali mencari calon suami yang sesuai dan dalam kes ini (laporan muka depan Harian Metro semalam), saya tidak nampak di mana silapnya bakal pengantin lelaki itu...dia tak langgar perjanjian pun," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. -hm


Ulasan GB

Cukuplah dik. Mungkin dia bukan jodohmu. Redha dengan takdir Ilahi.

Bunga tidak sekuntum. Mungkin Allah hendak menurniakan seseorang yang lebih baik daripadanya untukmu.

Kami doakan engkau bertemu jodoh dengan yang terbaik untukmu dunia dan akhirat.

Tak Jadi "Tangkap" Tauge, Bukan Suspek Utama Pembawa E-Coli

Posted: 07 Jun 2011 09:09 AM PDT

Ujian dapati tauge bukan punca E. coli

Pihak berkuasa Jerman masih belum dapat pastikan sumber wabak

BERLIN: Ujian awal yang dilakukan ke atas tauge dari sebuah ladang di utara Jerman telah membuktikan bahawa sayur itu bukanlah punca wabak E. coli, yang telah meragut 22 nyawa sejauh ini.

Pegawai wilayah Lower Saxony semalam berkata ujian awal yang dijalankan menunjukkan kesan negatif.

Para saintis Jerman telah melakukan ujian ke atas tauge dari sebuah ladang organik di utara Jerman, yang mulanya disangka punca penularan wabak E. coli.

Menurut pengurus ladang di utara Jerman itu, beliau tidak mengerti bagaimana sayur tauge yang dihasil ladangnya boleh menjadi punca wabak yang lazimnya menular melalui najis atau makanan dan minuman yang dicemari bakteria najis.

Kementerian Pertanian negara itu berkata daripada 40 sampel yang diuji, 23 dikesan bebas daripada bakteria E. coli

Wabak E. coli yang menular di Eropah telah meragut 22 nyawa selain menyebabkan ribuan orang jatuh sakit.

Pihak berkuasa Jerman masih belum dapat menentukan sumber wabak itu.

Sejauh ini, sayur tauge, timun, tomato dan daun salad telah disyaki menyebabkan penularan bakteria E. coli.

Di Brussels, Suruhanjaya Eropah (EC) berkata ia akan mengadakan mesyuarat khas bagi menteri pertanian Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg hari ini.

Salah satu sumber Reuters pula berkata para menteri akan membincangkan kemungkinan memberikan bantuan kewangan kepada para pekebun sayur dan buah-buahan yang terjejas oleh krisis wabak E. coli itu.

Sebelum ini, para peladang Sepanyol mengalami masalah kewangan setelah timun yang ditanam dipercayai menjadi punca penularan wabak E. coli di Eropah.

Mereka berkata tuduhan terhadap mereka ternyata tidak benar apabila tauge yang ditanam di Jerman pula disyaki sebagai punca pencemaran.

Dua pertubuhan ladang Sepanyol berkata pesanan bagi eksport sayur dan buah-buahan naik sedikit semalam setelah hasil tanaman negara itu didapati bukanlah punca penularan wabak E. coli minggu lalu.

Namun, wakil kededua persatuan berkata ia akan mengambil masa untuk menambat semula kepercayaan pembeli.

Malah, mereka melahirkan rasa marah terhadap pihak Jerman kerana menuduh Sepanyol tanpa sebarang pengesahan.

Walaupun tidak mempunyai angka sebenar, mereka mengatakan para peladang kerugian berjuta euro, sementara industri sampingan seperti pengangkutan turut merasakan kesannya. -- AP, AFP, Reuters.

Telur Sudah Pecah, Ani Arope Dedahkan Skandal TNB RM131.3 Billion

Posted: 07 Jun 2011 08:40 AM PDT

IPP: Najib harus jelaskan subsidi gas RM131.3 bilion

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng desak Perdana Menteri jawab skandal subsidi gas yang didedahkan oleh bekas CEO TNB Tan Sri Ani Arope.

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab pendedahan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Ani Arope mengenai skandal subsidi gasyang mengakibatkan negara menanggung kos sebanyak RM131.3 bilion.

"Najib harus menjawab pendedahan yang dibuat oleh Ani Arope berhubung skandal subsidi minyak ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini hari ini.

Bekas CEO TNB itu mendedahkan bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bertanggungjawab terhadap skandal subsidi minyak yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung kos berjumlah RM131.3 bilion pada tahun 2010.

Lim berkata, Ani Arope sanggup memilih untuk melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, nPowertek dan Malakoff semasa pentadbiran mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

"EPU telah memaksa Tenaga untuk membeli kuasa daripada pengeluar bebas elektrik (Independent Power Producer – IPP), yakni Genting Sanyen, sebanyak 14sen/kWh walaupun terdapat penawaran sebanyak 12sen/kWh; dan IPP mengenakan bayaran sebanyak 16sen/kWh.


Menurut Lim, Ani Arope turut menggelar EPU sebagai 'Economic Plundering Unit' dengan menaikkan tarif elektrik sewenang- wenangnya.

Ani Arope menyatakan bahawa agensi janakuasa tersebut telah memaksa syarikat janakuasa nasional untuk menandatangani perjanjian pembelian berat sebelah hampir 20 tahun yang lalu di mana Tenaga mesti membeli tenaga yang tidak diperlukan.

Margin simpanan elektrik tertinggi di dunia

"Hal ini menyebabkan Malaysia mengalami margin simpanan elektrik yang tertinggi di dunia iaitu 52.6% pada tahun 2010," ujar Setiausaha Agung DAP itu.

Menurutnya lagi, sehingga akhir tahun 2010, Petronas telah menjengkakan subsidi gas asli terhadap sektor janakuasa dan sektor bukan janakuasa sebanyak RM131.3 bilion.

"Sekiranya harga gas asli tidak berubah (dalam sektor janakuasa pada RM10.70/MMBTU; sektor bukan janakuasa pada RM15.35/MMBTU), sejumlah RM27 billion terpaksa ditanggung pada 2011," katanya.

Beliau berkata TNB dibenarkan untuk menaikkan 7% kenaikan kerana Tenaga perlu membayar lebih untuk harga gas asli yang naik sebanyak RM3 se MMBTU, di mana ianya akan mengurangkan kos subsidi kepada RM25.64 bilion daripada RM27.22 bilion.

Jelas sekali, tiada justifikasi untuk Putrajaya menaikkan tarif elektrik sebanyak 7% apabila kajian semula syarat asal IPP adalah memadai daripada pemotongan nilai subsidi tersebut.

Katanya, 'Federation of Malaysian Manufacturers' (FMM) telah menyatakan bahawa harga dalam sektor janakuasa Malaysia belum menjadi lebih kompetitif, walaupun bayaran untuk gas asli adalah lebih murah (RM13.70/mmBtu) berbanding Thailand (RM18.23), Singapura (RM43.32) dan Indonesia (RM21.04).

"Kos elektrik di Malaysia berikutan kenaikan kadar adalah menghampiri kadar di Thailand. Sekiranya kita membandingkan kadar tenaga elektrik di Thailand yang berkategori tenaga bervoltan rendah, sederhana dan tinggi, kadar tarif Malaysia antara kategori tersebut adalah lebih tinggi.

"Perdana Menteri harus menjawab kepada rakyat Malaysia kenapa rakyat harus 'membayar' bagi kesilapan atau perjanjian yang tidak seimbang oleh EPU yang bertentangan dengan kepentingan nasional kerana ia hanya menguntungkan beberapa IPP dengan mengorbankan kepentingan 27 juta rakyat Malaysia," tambahnya. -FMT


Ani Arope blames high power tariffs on 'Economic Plundering Unit'

KUALA LUMPUR, June 3 — Former Tenaga Nasional Berhad (TNB) chief executive Tan Sri Ani Arope is blaming the Economic Planning Unit (EPU) for rising electricity tariffs, saying the powerful agency forced the national power company to sign lopsided purchase deals nearly 20 years ago.

Ani said EPU, which he sarcastically dubbed "Economic Plundering Unit", forced Tenaga to buy electricity from an independent power producer (IPP), believed to be Genting Sanyen, at 14 sen per kilowatt hour (kWh) despite an existing offer of 12 sen/kWh then; other IPPs then were charging 16 sen/kWh.

Genting Sanyen became the first IPP to transfer 15 million watts (MW) in electricity to TNB's national grid on April 15 and is scheduled to complete a RM1.8 billion upgrade on its existing gas-fired plant with a capacity for 720 MW by June next year.

"You don't need to go to a fanciful business school to figure out why we need a tariff hike — just revisit the terms given to some IPPs," Ani, who helmed the utility company between 1990 and 1996, said in his last Facebook posting three days ago.

"With the take-or-pay clause and with the 40 per cent excess reserve that we have today, one only has to produce half of one's capacity and be paid 80 per cent of the agreed capacity. Well done the then-EPU — Economic Plundering Unit," he added, mocking the economic unit under the Prime Minister's Department.

Ani called for a review of the original terms with the IPPs as the storm over energy price deals continues to build up.

DAP publicity chief Tony Pua cited today Ani's 2006 interview with English daily, The Star, to increase pressure on the federal government to declassify the power purchase agreements (PPAs) inked between TNB and the IPPs.

Ani caused a stir 15 years ago when he chose to resign from his executive chairman post rather than sign the imbalanced deals, which saw the first generation of IPPs created, such as YTL Power Services, Powertek and Malakoff during the Mahathir administration.

"TNB is the whipping boy. TNB has no control of the price it has to pay to the IPPs. Get to the source of the problem," said the Penang-born who turned 79 on May 17.

The Najib administration has been savaged for allegedly protecting the interests of IPPs rather than the public.

Putrajaya announced the 7.12 per cent hike in electricity rates in an effort to trim a subsidy bill that would otherwise double to RM21 billion this year and promised the hike will not affect 75 per cent of domestic consumers.

But power prices will now rise by as much as 2.3 sen per kWh in areas taking TNB's electricity supply, a potential source of public anger just ahead of a general election expected within the year.

The Star daily reported today the government was close to inking a deal for a 1,000 MW coal-fired plant in Manjung which will charge 25 sen/kWh. -TMI




Penghinaan Mahathir Terhadap Hukum Islam Lebih Dasyat Dari Karpal Singh

Posted: 07 Jun 2011 07:40 AM PDT

PAS: 'Kalah puak ulama, menang puak kopiah hitam', kata Dr M

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pihak menang besar di sebalik pemilihan PAS hujung minggu lalu, dilihat sebagai pertembungan kumpulan ulama dan profesional, adalah tokoh-tokoh yang tidak hadir dan bukan ahli PAS khususnya Karpal Singh.

Dengan nada menyindir, bekas perdana menteri berkata, syabas dan tahniah kepada Karpal kerana "akhirnya perjuangan mu menentang negara Islam PAS sudah berjaya."

Kata Dr Mahathir, yang kalah ialah puak ulama manakala yang menang ialah puak kopiah hitam, penyokong Anwar.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, perjuangan Karpal, selaku Pengerusi DAP kebangsaan, supaya PAS menggugurkan matlamat mendirikan negara Islam, yang akan menguatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai.

"Karpal tidak perlu mati untuk PAS langkah mayatnya.

"Belum pun dia mati, PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama," kata beliau dengan merujuk kepada ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu, menekankan bahawa PAS akan berjuang untuk negara berkebajikan.

Ucapan Hadi bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Tidak ada banyak laporan berkenaan perbincangan atau perbahasan berkenaan dengan pengenepian asas penubuhan parti PAS iaitu mendiri negara Islam.

"Dengan begitu mudah asas ini digugurkan," kata Dr Mahathir lagi.

Dr Mahathir mendakwa PAS berbuat demikian kerana ingin menghalalkan kerjasama DAP, khususnya Karpal.

"Lebih tepat lagi ialah kerana PAS tidak sanggup berhujah dengan Karpal Singh," katanya lagi.

Anwar, yang dipecat Dr Mahathir pada September 1998, kini mengetuai Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh DAP, PAS dan PKR.

Dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-57, Ahli Parlimen Marang ini berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.

"Contohnya dengan mewajibkan bayaran zakat kepada orang Islam, dan cukai kepada bukan Islam dengan kadar kemampuan dan galakan yang meningkatkan produktiviti pendapatan mereka.

"Kerajaan juga tidak boleh menyekat kekayaan yang halal, tidak menipu, tidak menindas dan tidak rasuah," katanya.

Hadi menjelaskan, PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan.

"PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara," kata beliau lagi.

Bekas menteri besar Terengganu ini berkata, PAS telah melaksanakan sebahagian daripada konsep negara berkebajikan di negeri yang diperintahnya, mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada di Kelantan dan Kedah, pernah di Terengganu dan Perak dan memperkenalkan di negeri PAS menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan.

"Sebenarnya sebahagian daripada Buku Jingga pernah dilaksanakan di negeri yang kita perintah, seperti pembatalan tol, pembatalan cukai yang membebankan rakyat dan memudahkan perkhidmatan asas yang menyentuh rukun hidup rakyat," katanya.

"Kita telah membuktikan kemampuan memerintah selama dua puluh tahun di Kelantan dan di negeri lain, dengan kadar hasil yang tidak boleh difikir mampu oleh mereka yang berfahaman kebendaan.

"Apatah lagi kini kita tentunya lebih yakin berkemampuan kerana hasil dan sumber negara tidak bocor dengan rasuah, membazir dan mewah," kata beliau lagi.

Kata Hadi, negara berkebajikan yang ingin dicapai bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata kerana "kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan" di sana sini tetapi jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat.

Oleh itu katanya, negara yang diinginkan ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat. -TMI

Ulasan GB

Awak tu baru keluar hospital Che Det, tiba-tiba dah nak mengata terhadap PAS. Mengata pulak mengenai fakta yang salah dan merapu.

Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa yang paling ulung menentang hukum hudud di negara ini ialah kamu, Che Det. Jangan lupa tatkala kerajaan Kelantan ingin membentang hukum hudud, kamulah penentang utamanya, dengan siap memberi ugutan kepada kerajaan Kelantan ketika itu untuk diambil tindakan.

Kalaulah hendak dibangkitkan penghinaan yang Che Det lakukan terhadap Islam mungkin ruang di blog ini tidak mencukupi, lebih buruk dari yang dilakukan oleh Karpal Singh.

Mahathir mengutuk ulama', merasakan diri sebagai ulama' al kabir

Beliau menghina ulama', menghina pandangan Tuan Hj. Ishak Baharum bekas Mufti Selangor yang dipecat, menghina Dr. Harun Din seorang ulama' yang disegani. Beliau menempelak pandangan ulama' dalam isu menutup aurat, pertandingan ratu cantik dengan menyatakan ulama' mentafsir Al Quran untuk kepentingan diri dan ianya bersalahan dari ajaran Islam. Selagi tafsir atau fatwa ulama' menggugat Mahathir, selagi itulah fatwa tersebut kononnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Apakah Mahathir itu layak memberi fatwa dan menjadikan dirinya sorang diktator satu ketika, tetapi juga ulama' Al Kabir.

Menghina hukum Islam serta memberi fatwa baru

Beliau mempermainkan hukum hudud dengan menempelak bahawa negara Islam yang mengamalkan hudud akan menyebabkan orang Islam semuanya kudung. Beliau juga mempermainkan hukum Allah ini dalam lawak jenakannya. Tidak berupaya melaksanakannya pada masa ini bolehlah dimaafkan tetapi menolak dan mempersendakan Hukum Allah ini adalah melampau dan wajib diperangi.

Menghina Nabi Muhammad sallalhu'alihi wassalam.

Beliau mempermainkan sunnah Rasulullah. Beliau membuat jenaka dengan janggut Nabi. Beliau mempermainkan pakaian ummat Islam yang dipakai Nabi dan para sahabat dengan menyatakan itu pakaian Arab dan bukan Islam.

Berikut ialah petikan kenyataan-kenyataan Mahathir:

(Kenyataan Tun Dr. Mahathir kepada wartawan pada 3hb Mac 1994 di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim): Hukum rejam kepada penzina adalah primitif

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 30 April 1992 di perjumpaan Ketua2 UMNO bahagian Johor). Saya nak tahu siapakan di antara ahli2 Pas yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan. Barangkali Nik Aziz akan melakukannya. Jika benar kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu nanti.

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 14 Ogos 1994 di Pasir Mas Kelantan). Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam.

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan). Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum2 yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan? – Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan)

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik. -

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa, 14 Julai 1992) "Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac1994. "Saya cabar Kelantan laksana hukum hudud di depan orang bukan Islam."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac 1994) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, 14 Ogos 1994). "Al-Quran perlu ditafsirkan semula untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa selepas sidang Majlis Tertinggi UMNO, 1994). "Saya akan mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Kerja yang paling sesuai bagi Tok Guru (ulama') ialah mengajar, bukan mentadbir."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam".

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Kita (Kerajaan Pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenyataannya kepada wartawan, 30 April 1992). "Bukan kerana dengan melaksanakan hukum hudud saja kita boleh menjadi Islam. Kita tengok banyak negara Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud, tetapi tidak bermakna mereka tidak Islam."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan wartawan, 18 Ogos 1991. "Perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, bercakap kepada wartawan, 24 April 1992) . "Jika mereka hendakkan sangat hukum hudud, mereka kenalah cuba hukum mereka sendiri atau mahkamah mereka sendiri. Mereka seronok nak potong tangan orang, seolah-olah jika tidak potong tangan, tidak Islam. Sekarang kita nak tengoklah mereka boleh buat atau tidak."

(Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Papar, Sabah, 2 Mei 1992). "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama."

(Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secucuk dengan ajaran Islam."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad 2/5/92) 'Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam rakyat Islam yang mati dan kudung sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama'.





[Video] Mat Sabu Tegaskan Mustahil PAS Untuk Bersama UMNO

Posted: 07 Jun 2011 06:29 AM PDT

Mustahil PAS Kembali Bersama Umno

SHAH ALAM 7 JUN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Umno Barisan Nasional selain hubungan sesama Islam dengan kepimpinan parti itu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, walaupun mungkin Umno masih mengimpikan untuk bersama-sama PAS, parti itu kini bersama Pakatan Rakyat yang sealiran pendirian dengannya dalam banyak perkara.

"Umno adalah musuh politik kita. Jadi kita bersama dengan Pakatan Rakyat. Musuh politik, bukan musuh peribadi," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

"Jadi kalau mereka (Umno) buka pintu untuk kita berunding dan bekerjasama, memang tak adalah. Kita memang bersama Pakatan Rakyat. Hubungan individu dengan pemimpin Umno, hubungan peribadi, itu biasalah, kita sesama Islam. Tetapi dalam politik, kerjasama tidak. Kita bersama Pakatan Rakyat," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa pintu Umno masih terbuka kepada PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Malah kenyataan Muhyiddin itu turut disokong ketua penerangan parti itu, Datuk Ahmad Maslan yang mengajak PAS melupakan memori silam antara kedua-dua parti itu.

"Kita tak tahu hujung pangkal. Biarlah peristiwa lama itu berlalu pergi. Sekarang dah beberapa generasi... bukalah buku baru, apa salahnya?" katanya, yang dipetik dari Mstar Online.

Hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu terputus pada 1977. -tvsnews



Dibunuh Dengan Kejam Sebelum Dicampak Ke Sungai Klang

Posted: 07 Jun 2011 05:30 AM PDT

Puchong: Seorang lelaki dibunuh kejam dengan kepalanya ditetak berkali-kali di bahagian kepala dan badan sebelum mayatnya dicampak di Sungai Klang berdekatan Lebuhraya Kesas di Taman Kinrara Sekyen 1 di sini.

Mayat mangsa yang sudah menggelembung dipercayai sudah tiga hari berada dalam sungai ditemui orang awam yang kebetulan ke tebing sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, polis menerima panggilan kira-kira jam 6 petang sebelum sepasukan polis ke tempat kejadian dan mendapati mayat tersangkut di tepi batu sungai.

"Berdasarkan keadaan mangsa, kita percaya dia sudah dibunuh tiga hari lalu di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dan dihanyutkan di sungai Klang.

"Hasil pemeriksaan polis forensik mendapati luka di kepala dan badan akibat ditetak dengan menggunakan objek tajam," katanya.

Abd Razak berkata, mangsa dikenali sebagai Radze Haron, 45, berasal dari MR 14 A, Kampung Paya Pulai, Temerloh, Pahang.

Beliau berkata, dompet duit mangsa ditemui bersamanya dengan sejumlah wang tunai, Mykad, lesen memandu dan kad mesin juruwang otomatik (ATM).

"Kita meminta ahli keluarga mangsa supaya dapat berhubung dengan polis untuk mengecam mayatnya. Ketika ditemui dia memakai t-shirt dan seluar jeans berwarna gelap.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. -SH

Sepatutnya Tiada Layanan Istimewa Untuk Adik Hisamuddin Hussein

Posted: 07 Jun 2011 04:25 AM PDT

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan laporan akhbar Australia yang mendakwa adiknya dibayar untuk menjayakan kontrak kerajaan dengan syarikat negara kiwi itu.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau mendakwa tidak tahu menahu mengenai kegiatan Haris Onn Hussein.

"Pertama sekali, saya tidak tahu menahu apa adik saya lakukan. Keduanya, saya tidak rasa bahawa (syarikat) Australia akan melakukannya," katanya ketika ditemui semasa pelancaran ibu pejabat daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada beliau menafikan semua dakwaan dalam laporan itu, Hishammuddin berkata: "Itu yang saya katakan. Ya."

Menurut akhbar The Age yang berpengkalan di Melbourne, Securency - firma teknologi kewangan - mengupah Haris pada 2009 untuk mendapatkan kontrak di Malaysia.

"Securency mengupah Haris Onn Hussein dengan harapan beliau akan menawarkan harapan untuk membolehkan mereka akses kepada, dan mempengaruhi, ahli politik tertinggi Malaysia,"
laporan itu dipetik.

Pada masa itu, Hishammuddin merupakan ketua Pemuda Umno dan juga menteri belia dan sukan. -mk


Tiada layanan istimewa untuk demo BERSIH

Pihak berkuasa tidak akan memberikan pengecualian tindakan undang-undang terhadap perhimpunan yang dirancang oleh gabungan menuntut pilihan raya bersih dan adil, BERSIH 2.0.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) berkata pihak yang terlibat tidak patut mengharapkan layanan istimewa.

Undang-undang berhimpun oleh lima orang atau lebih adalah tertakluk.

"Demonstrasi jalanan ini bukan benda baru. Dulu sudah ada (perhimpunan) anti-Isa, anti-PPSMI (program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris).

"Memang menjadi pertimbangan (pembangkang) sebab pilihan raya umum mungkin tahun ini, maka (mereka) mula mencari isu-isu sebegini rupa.

"Kita ikut undang-undang, keutamaan kita (pada) keamaanan dan keselamatan. Jika ini pertimbangan kita, tidak ada sesiapa yang boleh tuduh KDN dan polis salah guna kuasa," katanya.

Semalam, muktamar PAS ke-57 meluluskan usul berhubung penglibatan PAS dalam perhimpunan itu, sekali gus bersetuju menghantar anggotanya turut serta pada 9 Julai akan datang.

Mengulas muktamar itu, Hishammuddin berkata, jarang berlaku dalam perhimpunan agung sebuah parti memfokuskan menghentam kerajaan semata-mata.-mk


Ulasan GB

Sepatutnya tiada layanan istimewa diberikan kepada Harris Hussin Onn. Kegiatan beliau bersama Hishamuddin Hussein perlu disiasat.

BERSIH akan pastikan hal ini juga dibongkar habis-habisan.

J/K Masjid Akan Dipilihkan Dengan Sistem Pilihanraya Di Pulau Pinang, Asri Sokong

Posted: 07 Jun 2011 02:00 AM PDT

Pilihan Raya' Kembalikan Kegemilangan Institusi Masjid-Mansor

SHAH ALAM 6 JUN : 'Pilihan raya' masjid yang dijangka diadakan pertengahan bulan ini di Pulau Pinang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai langkah pendemokrasian di peringkat bawah selain mengimarahkan institusi masjid di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, idea tersebut lahir daripada pihaknya dan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim bagi menghidupkan kembali aktiviti kemasyarakatan di masjid.

"Kita mahu mengimarahkan masjid, yang mana masjid bukan sahaja tempat untuk beribadah malah mahu menghidupkan pendidikan, dakwah, ekonomi dan kebajikan,"katanya kepada Tv Selangor.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang dalam cubaan menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

Mengulas lanjut pelaksanaan pilihan raya masjid itu, ujarnya pemilihan jawatan kuasa masjid menerusi proses 'pilihan raya' adalah bertujuan mencari pemimpin dan ahli jawatan kuasa yang mampu mengerakkan peranan masjid untuk mengembalikan aktivi dengan pelbagai pengisian insani.

"Dengan adanya pemilihan seumpama ini, membuka ruang kepada calon yang bakal dipilih dari kalangan mereka yang disukai dan dirasakan layak oleh rakyat dan anak-anak kariah dan sebab itu kami melakasanakannya kerana tidak nampak unsur-unsur menarik masjid ke kancah kepartian pun,"katanya lagi.

Tv Selangor difahamkan kaedah pemilihan itu terkandung dalam notis Tatacara Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 yang telah diedarkan kepada kira-kira 4,000 jawatankuasa masjid seluruh negeri baru-baru ini.

Mengikut tatacara tersebut, jawatan kuasa masjid diarah menjalankan mesyuarat agung khas antara 1 hingga 7 Jun ini dan kerja-kerja pengedaran borang pencalonan akan dijalankan termasuk bagi jawatan pengerusi, timbalan Pengerusi, bendahari, setiausaha serta ahli jawatankuasa (AJK) wanita.

Bagaimanapun, setiap nama calon yang dikemukakan akan ditapis terlebih dahulu oleh sebuah Jawatan kuasa Khas MAIPP yang berhak menerima atau menolak mana-mana pencalonan yang dianggap tidak layak.

Setiap calon yang bertanding kemudiannya diberi tempoh seminggu untuk 'berkempen' iaitu antara 10 hingga 17 Jun sebelum hari pengundian bermula 18 Jun yang akan dihadiri wakil MAIPP.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia dalam laporan di halaman lapan hari ini mempersoalkan keputusan tersebut telah mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Ketua Agama Islam atau sebaliknya.

"Kalau timbul kebimbangan terhadap perkenan Tuanku, bagi saya ianya bergantung kepada bagaimana pelaksanaan ini dikemukakan kepada Tuanku, dikhuatiri ianya tidak tepat, jadi ianya perlu dikemukan dengan baik,"katanya.

Mansor yang juga Adun Penanti menjelaskan Umno-BN kelihatan terdesak dengan bertindak menggunakan akhbar milik mereka bagi memburukkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Apa yang saya nampak, mereka (Umno-BN) takut kerana kuasa yang mereka salahguna selama ini akan hilang, contoh ahli kariah masjid yang dipilih dahulu tidak pernah pergi masjid pun terpilih jadi ahli kariah masjid, anak kariah tidak suka pun terpilih juga, sebab apa...sebab ianya dipilih oleh mereka (Umno-BN),"jelas Mansor lagi. -tvsnews


Asri: Pilihan Raya Masjid Mampu Atasi Politik Kepartian

SHAH ALAM 7 JUN : Pemilihan jawatan kuasa masjid di Pulau Pinang yang akan dilakukan menerusi 'pilihan raya masjid' mampu merawat institusi itu dari terus dinodai oleh sebarang unsur politik kepartian yang boleh membawa perpecahan di kalangan umat Islam, tegas Dr Asri.

Malah ujar bekas Mufti Perlis itu, persoalan institusi masjid dicemari politik kepartian bukan satu perkara baru di Malaysia.

"Soal mengheret masjid ke kancah politik ini sudah lama berlaku, dan tidak timbul apa-apa isu mengenainya kerana ia sudah ada sejak dari dulu lagi,"katanya.

"Jadi rakyat perlu tahu bahawa perkara tersebut baru sahaja timbul, maka dengan memberi ruang kepada anak kariah untuk memilih jawatankuasa masjid kerana ia boleh mengurangkan unsur politik dalam institusi itu bahkan kariah itu sendiri lebih tahu siapa yang layak menguruskan masjid tanpa mempedulikan perbezaan ideologi politik," Dr Asri memberitahu Tv Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu 'pilihan raya masjid' yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang bagi memilih jawatankuasa masjid yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Menurut Dr Asri, pemerintahan Umno di Pulau Pinang juga sebelum ini telah lama menggunapakai amalan politik kepartian dengan memilih ahli-ahli kariah untuk mengimarahkan masjid dari kalangan mereka sendiri tanpa mengikut prinsip syarak.

"Kebanyakkannya ahli-ahli jawatankuasa itu bukan dari ahli masjid sendiri tetapi kerana kuat berparti, khususnya di Pulau Pinang sebelum ini. Mereka yang kuat Umno akan mendapat kedudukan di dalam jawatankuas masjid." katanya.

Jelas Dr Asri, beliau turut berpendapat masyarakat tidak perlu dikhuatiri dengan pelaksanaan 'pilihan raya masjid' kerana ia disifatkan sebagai sangat berbeza dengan pemilihan mana-mana parti politik dimana ahli-ahli khariah hanya akan memilih calon yang mampu mentadbir masjid sekaligus mengakis unsur-unsur politik kepartian sedikit demi sedikit.

"Pemilihan jawatankuasa masjid ini selalunya tidak dilakukan seperti pilihan raya parti dimana setiap ahli khariah akan memilih calon yang sering ke masjid. Sekiranya ahli kariah itu memilih calon yang tidak bersesuain maka itu adalah kesilapan mereka, namun masyarakat hari ini sudah bijak untuk memilih siapa yang lebih layak." jelasnya.

Semalam, Kerajaan negeri pimpinan DAP Pulau Pinang memutuskan kaedah pemilihan Anggota Jawatankuasa (AJK) Kariah Masjid di seluruh negeri menggunakan sistem pengundian dalam kertas undi ala pilihan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim berkata, kaedah pemilihan yang diperkenalkan itu adalah persetujuan bersama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAI), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, kaedah itu bertujuan untuk mengembalikan hak anak-anak kariah memilih pemimpin mereka.








Tiada ulasan: