Khamis, 30 Jun 2011

Ajijoi

Ajijoi


Baju kuning: Ahli Parlimen Gopeng dan Adun Simpang Pulai mangsa terbaru

Posted: 30 Jun 2011 03:34 AM PDT


Polis terus mengasak penyokong BERSIH 2.0 dengan menangkap mereka yang berpakaian kuning, termasuk dua lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak.

NONEAhli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye (kiri) dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai berserta dua lagi anggota PKR ditangkap di sebuah pasar di Gunung Rapat pagi ini kerana berpakaian kuning.

Lee mendakwa beliau dicekup sebaik tiba sekitar pasar itu pada jam 9 pagi. Wakil rakyat PKR itu terus digari dan diheret ke ibu pejabat polis daerah Ipoh.

"Saya tidak memakai kemeja T BERSIH, ia hanya baju biasa yang berwarna kuning. Saya baru tiba di pasar dan mula berjabat tangan dengan pengundi, kemudian mereka menahan saya," katanya ketika dihubungi.

Lee juga berkata beliau tidak mengedarkan sebarang risalah atau membawa sebarang sepanduk ketika itu.

Menurutnya, polis memaklumkan kepadanya beliau ditangkap mengikut Akta Polis bagi menghalang perhimpunan haram.

Semalam, di Sungai Siput, Perak polis menangkap ADUN Jalong Leong Mei Ming dan ADUN Teja Chang Lih Kang kerana memakai kemeja BERSIH.

Ahad lalu, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan 14 aktivis PSM ditahan polis di tol Sungai Dua ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis bertema "Udahlah...Bersaralah".

Mat Sabu: Kami komited tewaskan BN guna demokrasi, bukan cara lain

Posted: 29 Jun 2011 11:16 PM PDT

Mat Sabu menegas bahawa PAS ingin menewaskan BN menerusi pilihan raya. — Foto fail
Mat Sabu menegas bahawa PAS ingin menewaskan BN menerusi pilihan raya. — Foto fail

SHAH ALAM, 30 Jun — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengulangi komitmen parti Islam untuk menggunakan pendekatan demokratik sambil menegaskan, ada keperluan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya negara ini.

Bersih merancang untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, yang antara lain menuntut pembaharuan sistem pilihan raya yang adil dan bebas.

"Kami mahu menewaskan kerajaan (Barisan Nasional) menerusi pilihan raya, bukan cara lain. Ini komitmen kami," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata parti Islam yang mencintai keamanan memenuhi janji itu meskipun terus berhadapan dengan retorik daripada kerajaan pusat pimpinan Umno-BN.

PAS merupakan salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat. Dua yang lain ialah PKR dan DAP.

Mohamad juga berkata Umno sudah mengabaikan pendekatan kesederhanaannya, sebaliknya menggunakan cara yang berlawanan kerana pemimpin-pemimpin mereka seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah hilang "ketenangan" ekoran kebimbangan boleh hilang kuasa kelak.

Beliau merujuk kepada ucapan Najib pada perhimpunan agung Umno tahun lalu, meminta ahli-ahlinya mempertahankan Putrajaya dalam apa cara sekalipun.

Ketika berucap pada ceramah dan solat hajat anjuran Dewan Pemuda PAS Selangor di sini malam tadi, Mohamad berkata, Pakatan Rakyat sepatutnya telah memerintah negara ini jika pilihan raya umum dijalankan dengan seadil yang mungkin.

"Ramai yang bertanya bagaimana kami mampu boleh menang lima negeri jika pilihan raya tidak adil... sebenarnya, jika pilihan adalah adil dan saksama, kami sepatutnya sudah memerintah Malaysia," katanya di Stadium Malawati.

"BN menyelamatkan 25 kerusi Parlimen kerana undi pos dan 40 kerusi Parlimen di kawasan Felda. (Jika) tanpa yang ini... kita sepatutnya sudah mengambil alih Putrajaya," kata beliau.

Pas Perak menyokong Himpunan Bersih untuk diadakan

Posted: 29 Jun 2011 11:10 PM PDT

KENYATAAN MEDIA PAS PERAK

30 JUN 2011

PAS PERAK MENYOKONG HIMPUNAN BERSIH 2.0 UNTUK DIADAKAN

PAS berpendirian,tanggungjawab asas Perdana Menteri Malaysia adalah untuk menjamin kebajikan dan hak asasi semua warga Malaysia diberikan secara adil kepada rakyat.

PAS akan terus mengulangi komitmen Perjuangan PAS kepada aktivisme yang aman dan berprinsip. PAS sentiasa mengecam sebarang bentuk kekerasan dan konsisten dalam seruan kepada orang ramai untuk menjaga nilai-nilai tersebut bersama. Masyarakat sivil tidak pernah keluar daripada pegangan ini dan tidak akan menyokong sebarang kejadian yang melibatkan kekerasan.

Bagi PAS, perhimpunan BERSIH 2.0 secara aman pada 9 Julai ini, warga Malaysia dari pelbagai latar belakang etnik, agama, dan politik akan meIaksanakan hak perlembagaan mereka secara demokratik dan aman supaya suara mereka didengari.

PAS  sedih dan kecewa atas kenyataan Perdana Menteri Malaysia YAB Najib Razak bahawa penyokong himpunan BERSIH 2.0 akan diambil tindakan jika terlibat dalam perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang diketuai Perdana Menteri untuk menjamin keselamatan rakyat patriotik yang turun ke jalan raya menuntut hak mereka. Namun PAS tetap kecewa  kerana kerajaan malaysia enggan menunaikan tanggungjawab kerajaan sebagai penjamin hak perlembagaan dan keselamatan orang awam tetapi memilih untuk memutarbelitkan niat baik rakyat untuk berhimpun dan mengugut rakyat dengan tindakan menindas.

Bagi PAS, Perdana Menteri tidak membaca dan memahami tuntutan BERSIH 2.0 atau sengaja memburukkan imej BERSIH 2.0. Perdana Menteri perlu faham matlamathimpunan rakyat ini adalah adalah untuk memulihkan sistem pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil supaya semua parti politik di Malaysia boleh bertanding atas padang yang rata dan rakyat diberi peluang memilih sesiapa mereka fikirkan terbaik untuk menjadi pemimpin.

Bagi PAS sepatutnya Perdana Menteri menunjukkan idea-idea progresif yang beliau dukungi di dalam dan luar negara. Beliau boleh berbuat begitu dengan membenarkan himpunan 9 Julai berjalan tanpa halangan. Beliau juga boleh mengarahkan semua agensi kerajaan supaya bekerjasama untuk membolehkan setiap warga Malaysia yang ingin melaksanakan hak perlembagaan mereka boleh berbuat demikian tanpa perlu menakuti sebarang kekerasan dan kekacauan.

PAS mengingatkan Perdana Menteri bahawa kuasa politik berada dalam tangan rakyat, dan PAS menyedari bahawa kuasa politik di Malaysia dikumpulkan dalam tangan beberapa orang elit sehinggalah perubahan yang menyeluruh dilaksanakan atas sistem pilihan raya Malaysia, dan kuasa sebenar bagi Negara Malaysia adalah erletak kepada kuasa rakyat.

PAS berpendapat bahawa himpunan BERSIH 2.0 yang akan datang merupakan masa penentuan bagi Perdana Menteri dan kerajaan. Sebagai pemegang kata putus dalam kerajaan, sebarang tindakan keras terhadap masyarakat sivil, kegagalan menjamin keselamatan warga Malaysia pada 9 Julai, atau retorik yang mencemuhi rakyat patriotik dan aman akan mencerminkan kegagalan Perdana Menteri untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

Justeru PAS Perak memberikan komitmen untuk menghantar 50,000 ribu ahli PAS Perak untuk ke himpunan BERSIH, disamping menyeru semua penyokong PAS khusunya di Perak hadir dalam himpunan BERSIH 2.0 bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Berparlimen.

PAS Perak juga akan memberikan komitmen untuk:

1)      Membuat edaran risalah BERSIH 2.0 di setiap kawasan dengan mencetak  risalah BERSIH 2.0

2)      Pelancaran BERSIH 2.0 peringkat Pemuda Pakatan Rakyat Perak, pada 3 Julai, di Dewan Chin Woo Ipoh, jam 2.00 hingga 5.00 Petang

3)      Pelancaran BERSIH 2.0 peringkat Negeri Perak, pada 4 Julai, di Bukit Gantang, jam 9.00 Malam.

   Ustaz Haji Abu Bakar Hussain

( PESURUHJAYA PAS PERAK )

Kerjasama politik antara kaum: Rakyat jangan buta sejarah

Posted: 29 Jun 2011 05:51 PM PDT

Hujah yang mengajar rakyat mempersoal agenda tahaluf siasiy PAS bersama DAP dan PKR telah menjadi tugasan tetap pihak tertentu  tatkala mereka kehabisan modal. PAS dikatakan bersekongkol dengan Cina dengan dengan menggariskan istilah 'bersekongkol' untuk menampilkan konotasi negatif (kolaboratif ke arah negatif).  Malah lebih lucu apabila si pelontar isu itu sendiri sedang menyokong UMNO yang juga bersama bersepakat dalam politik bersama kaum Cina bernama MCA. Jentera penerangan parti kelihatan banyak menumpukan tenaga untuk menjelaskan dan menjawab isu ini di akar umbi. Walau bagaimanapun lontaran isu mudah sebegini banyak menjerat kaum Melayu pertengahan dan kaum veteran yang masih tidak faham sejarah asal politik plural kaum dan etnik yang telah lama diamalkan oleh ahli politik dan pejuang kebenaran sejak pra merdeka lagi.

Dahulu UMNO yang kini terpaksa bergantung erat dengan politik kaum Cina dan India untuk memerintah negara ini turut menolak pandangan Dato' Onn Jaafar untuk menerima konsep plural kaum dalam persepakatan politik. (Istilah plural di sini bermakna jamak, bersepakat secara kolektif) Akibatnya, antara sebab Dato' Onn keluar dari UMNO adalah disebabkan penolakan idea 'mega' ini. Keputusannya kita melihat IMP (Independent Malaya Party) serta Parti Negara ditubuhkan untuk merealisasikan politik baharu ini.

UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman hanya menerima kerjasama antara kaum selepas berlakunya beberapa plot politik dalam usaha memerdekakan negara ini.

PAS sendiri telah menerima persepakatan politik plural kaum dan plural ideologi politik apabila berjuang bersama Parti Negara (PN) bagi menentang Perikatan pada 1959. Pilihanraya Umum 1959 menyaksikan Dato Onn kembali ke persada politik nasional apabila memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan hasil kompromi PN – PAS. PN juga memenangi 4 kerusi DUN Terengganu walaupun kemudiannya 3 ADUN PN dibeli UMNO yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan Terengganu.

Jika UMNO mengajar rakyat bahawa fakta ini belum cukup kuat bagi menyaksikan bahawa amalan bergabung antara pelbagai parti adalah amalan biasa, sila lihat sorotan sejarah lebih awal lagi.

Menurut tulisan Ishak Saat (USM), percaturan politik pelbagai kaum yang pertama di Tanah Melayu adalah antara PUTERA-AMCJA pada tahun 1947. Perkara ini cukup menggambarkan suatu kerjasama erat antara kaum. PUTERA telah mengadakan Persidangan Gerakan Kiri di ibu pejabat PKMM di Jalan Batu, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1947. Dalam gabungan tersebut majoriti pertubuhan yang menganggotai PUTERA datangnya dari negeri Perak ataupun berpusat di negeri Perak, seperti PKMM, API, AWAS dan Hizbul Muslimin. (Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, Vol. 37 (2010): 68 – 85)

Melalui persidangan ini, kesepakatan antara mereka telah melahirkan PUTERA. Gabungan ini dilahirkan untuk memperkasakan pergerakan kiri di Tanah Melayu. Perlu diingatkan kepada UMNO, bahawa PUTERA turut disertai oleh PKMM yang mana antara pemimpinnya adalah juga pemimpin PAS kemudiannya. Malah dalam PUTERA wujud pimpinan Hizbul Muslimin yang kemudiannya menjadi pejuang kepada penubuhan PAS.

Memandangkan waktu itu pergerakan politik Cina turut menentang penjajah British maka PUTERA berpendapat perlulah mewujudkan kerjasama politik dalam kalangan mereka. All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) merupakan gabungan pergerakan Cina berhaluan kiri. Ini jelas menunjukkan golongan Ulama', nasionalis agamawan negara ini telah lama menerima konsep persepakatan politik antara agama, antara ideologi atas alasan SAMA matlamat SAMA tujuan tertentu. Jelas, Hizbul Muslimin dan PKMM tidak pernah menggadai perkara asas walaupun pernah bersepakat dengan golongan sosialis mahupun komunis.

Pandangan dan langkah tersebut membuktikan bahawa kerjasama politik pelbagai kaum telah dimulai oleh golongan kiri dalam persada politik Tanah Melayu. Caturan politik PUTERA-AMCJA berjaya menyedarkan pihak penjajah, bahawa rakyat pelbagai kaum boleh bersatu untuk terus maju ke hadapan.

Gagasan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh penjajah British ditentang oleh PUTERA-AMCJA. Lantaran itu, mereka telah melahirkan sebuah perlembagaan yang diberi nama Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Perlembagaan ini jauh lebih maju ke hadapan berbanding apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Reid yang memasukkan jarum penjajah ke dalam kosmo adat dan politik Tanah Melayu.

British meninjau bahawa kesepaduan antara kaum di Malaya hanya akan mengundang bala kepada agenda neo-koloni yang ingin mereka terapkan. Mereka ingin kaum di Malaya hanya bersatu dalam hal tertentu yang menguntungkan penjajah tetapi kekal komunal yang menjadi aspek pencegahan kepada penolakan sistem pemerintahan warisan British. Maka diberi restu untuk kaum-kaum di Malaysia menubuhkan parti perkauman yang berpisah-pisah. Akta Pertubuhan tahun 1920 yang dikuatkuasakan di Tanah Melayu dijadikan senjata British. Akta ini bertujuan memastikan semua pertubuhan mestilah didaftarkan. Dengan berbuat demikian, ia akan memudahkan penjajah mengawasi pergerakan, perancangan dan matlamat pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Kemudian pada 15 April 1947, akta ini dipinda lagi dan seterusnya dikuatkuasakan bagi memperketat dan mengawasi perjalanan pertubuhan-pertubuhan yang bersifat penentang. Namun kebanyakan pertubuhan yang berpegang kepada konsep perjuangan anti British mengambil sikap tidak mematuhi akta tersebut sehingga kekal ideologi kiri menerbitkan parti istiqamah seperti PAS.

Lantaran itu, J.D. Dalley, Ketua Perisik, Malayan Security Service di Tanah Melayu telah menyenarai dan melabelkan gerakan seperti PETANI, API, PKMM, AWAS, PNI, PETA, Hizbul Muslimin, Barisan Tani SeMalaya, Gabungan Melayu Patani Raya(GEMPAR/GMPR) dan Malayan Demokratic Union(MDU) sebagai radikal dan amat berbahaya kepada British di Tanah Melayu.

Jadi , apa yag perlu kita hairankan jika PAS bersama DAP dan PKR? Mengapa perlu dipertikai PAS pernah berpisah dengan DAP kemudian kembali bersama DAP? Ia hanya adat dalam berpolitik dan tebukti pernah menjadi amalan pejuang awal pra kemerdekaan. Selagi mana persefahaman boleh dicapai atas nama menolak kezaliman, persefahaman itu adalah absah dan ia relevan untuk diamalkan di Malaysia. Komposisi kaum dan atas perkongsian nilai sejagat yang sama menghendaki semua blok politik negara ini memilih jalan persefahaman antara kaum dan ideologi untuk menjatuhkan pihak satu sama lain.

Jika ingin tahu apa pula nilai sepunya kemanusiaan antara PAS dengan Parti Negara suatu ketika dahulu yang mengakibatkan persefahaman politik berjaya dilakukan, kita perlu tahu apa yang Dato' Onn perjuangkan bersama PAS pada 1959. Dato' Onn pernah memberi pandangan, para  Senator mestilah dilantik daripada kepelbagaian latar belakang politik supaya keputusan di peringkat Dewan Negara akan lebih adil.

Dato Onn juga menentang keras beberapa fasal di dalam Internal Security Bill 1960 (ISA) kerana wujudnya beberapa fasal yang mengekang kebebasan bersuara. Beliau berhujah bagaimana fasal-fasal tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sikap UMNO mempertikai hubungan PAS dengan DAP sama sahaja dengan sikap segelintir ahli UMNO yang pesimis terhadap idea persefahaman antara kaum  Dato' Onn pada 1951 dahulu yang akhirnya melihat UMNO sendiri terpaksa menerima cadangan seumpama Dato' Onn semata-mata untuk kekal dalam persada politik Tanah Melayu.

Muhamad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Berbaju-T BERSIH: 2 ADUN, 12 ahli DAP, PKR ditahan

Posted: 29 Jun 2011 04:32 PM PDT



Empat belas aktivis politik pagi ini ditahan di Sungei Siput, Perak, ketika mengedarkan bendera Malaysia di sebuah pasar.

NONESemuanya kerana gara-gara lapan daripada mereka memakaaju-T BERSIH manakala rakan-rakannya pula memakai baju DAP yang tertera tema 'Ubah' pada waktu kejadian .

Aktivis itu mula mengunjungi pasar berkenaan kira-kira jam 9 pagi tetapi pihak polis tiba 15 minit kemudian dan mengheret mereka ke balai polis.

Dua belas daripada mereka adalah ahli DAP dan dua lagi ahli PKR.

Antara mereka yang dicekup polis itu adalah ADUN Jalong Leong Mei Ming, ADUN Teja Chang Lih Kang dan Tan Kar Hing, setiausuha politrik kepada ahli parlimen Dr Lee Boon Chye.

Ketika dihubungi, Leong mengesahkan bahawa beliau ditahan tetapi belum diberitahu di bawah akta atau undang-undang mana mereka ditangkap.

NONE"Kami diberitahu polis mendapat arahan daripada 'pihak atas' untuk tangkap sesiapa yang memakai baju-T BERSIH," katanya.

Mereka kemudiannya diarah menanggalkan baju-T Bersih yang dipakai mereka. Yang wanita pula diarahkan menukarkannya dengan baju lain.

Semua mereka dibebaskan kira-kira jam 8 malam dengan jaminan lisan dan diarahkan datang semula pada 7 Julai depan.


Dibebaskan tanpa berbaju kerana baju kemeja T Bersih mereka dirampas polis.

Tiada ulasan: