Addin |
- Imam Muda Perlu Bersihkan Dalaman ASTRO Terlebih Dahulu
- Kerajaan Selangor 'Skim Pemilikan Kediaman Persendirian'
- Bekas Wartawan Utusan Timbang Sertai Politik
- Walaupun Sukar.. Peguam Tetap Mahu Heret Najib, Rosmah Ke Mahkamah
- UMNO Be End Takut Adakan PRU Awal, Gara-Gara Elektrik Naik
- Zaid Ibrahim Dan KITA Kini Tukang Karut UMNO
- SPRM Kata Peguam Negara Bebas Rasuah
- Pemuda PAS Bantah Konsert MTV World Stage
Imam Muda Perlu Bersihkan Dalaman ASTRO Terlebih Dahulu Posted: 01 Jun 2011 05:00 PM PDT Saya nak komen sedikit aktiviti yang dilaksanakan dalam pertandingan Imam Muda. Keseluruhannya memang baik. Walau bagaimanapun saya ada perkara yang perlu Imam Muda kena laksanakan. Saya lihat aktiviti Imam Muda ini banyak membuat kerja-kerja luar (out-door activities), antaranya membuat kerja-kerja amal, membuat operasi-operasi JPJ, menangkap mereka yang membuat maksiat, menjadi khatib semasa solat Jumaat serta menyempurnakan urusan jenazah. Semua kerja-kerja amal itu ialah kerja-kerja outdoor. Ini bermakna tugas-tugas amal luar dari Astro. Dan saya berpendapat, mengiring dan bekerjasama dengan pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam, JPJ dan lain-lain agensi kerajaan tidak seharusnya dijadi sebahagian kurikulum dalam Imam Muda. Lebih murni dan lebih baik jika kurikulum Imam Muda ini diajar dalam aktiviti ketenteraan dan dalam urusan pengurusan perniagaan. Justeru itu Mursyid dan Imam Muda terlupa untuk melakukan aktiviti wajib dalaman Astro. Dengan lain perkataan Imam Muda wajib bersihkan dalam rumah sendiri sebelum pergi membersihkan luar rumah. Jika tidak, projek Imam Muda hanya sia-sia sahaja di mana tuan masih belum membersihkan dalaman Astro. Jika benar Imam Muda berhasrat untuk menghapuskan maksiat di luar sana, cuba bersihkan maksiat dalam Astro dulu seperti maksiat drama-drama Melayu yang banyak mengandungi perkara khurafat, hiburan melampau dan Akademi Fantasia. Tuan-tuan bukan tidak tahu bahawasanya mereka yang melakukan semua ini anak Melayu Islam. Cuba tegur merek ini. Barulah anda semua dan tuan-tuan True Imam Muda. /Pok Deng |
Kerajaan Selangor 'Skim Pemilikan Kediaman Persendirian' Posted: 01 Jun 2011 06:52 AM PDT SHAH ALAM - Kerajaan negeri hari ini memperkenalkan 'Skim Pemilikan Kediaman Persendirian' yang bertujuan untuk memudahkan rakyat Selangor memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel di bawah program 'Merakyatkan Ekonomi Selangor'. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, skim ini adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas. "Kajian telah dibuat setelah kerajaan negeri mendapati bahawa tidak ramai rakyat Selangor dapat menikmati sepenuhnya skim pemberian geran kerana tidak mampu membayar premium," katanya dalam satu kenyataan media. Melalui skim ini katanya, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membuat bayaran sejumlah RM1,000. "Mereka yang memilih cara ini, hanya perlu menjelaskan keseluruhan premium (mengikut harga semasa) jika hartanah itu dipindahmilik atau dijual," terang beliau. Khalid berkata Skim ini juga memberi peluang kepada mereka yang membayar premium penuh dalam tempoh enam bulan dari tarikh tempoh notis dikeluarkan mendapat diskaun sebanyak 30% secara automatik. Skim ini katanya lagi, boleh dipakai untuk permohonan pemberimilikan baru, pemberimilikan disebabkan oleh tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah. Bagaimanapun pindahmilik melalui mahkamah, turunmilik dan perwarisan adalah dibenarkan. Menurutnya, Skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian sahaja dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersil. Reformasi dalam pemilikan hartanah Khalid berkata, inisiatif ini adalah satu reformasi oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam pemilikan hartanah. "Ini adalah kali pertama sebuah kerajaan negeri di Malaysia memperkenalkan skim mudah bayar demi menggalakkan pemilikan harta persendirian," jelasnya. Menurutnya, kerajaan negeri berharap ianya dapat menolong mengurang beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya dengan kenaikan harga minyak dan elektrik. "Skim ini juga akan menggalakkan rakyat menjelaskan bayaran premium khususnya bagi mereka mengekalkan pemilikan apabila mereka memperbaharui pemilikan atau menyambung pajakan tanah mereka," tambahnya. Katanya, ini akan meningkat bilangan pemilikan hartanah di Selangor sekaligus menambah pendapatan negeri melalui hasil cukai tanah yang perlu dijelaskan setiap tahun. "Skim ini akan dilancarkan sepenuhnya pada tarikh yang akan diumumkan kelak," katanya. Menurut beliau, Skim ini merupakan satu usaha yang dibuat untuk memudahkan rakyat dalam urusan hartanah bersama kerajaan negeri serta menjadikan pejabat tanah dan galian negeri Selangor lebih "mesra rakyat". "Sebelum ini, kita telah memperkenalkan skim pemberian geran dengan memperbaiki sistem pemilikan tanah di mana pejabat daerah akan mengenalpasti rakyat yang tinggal di tanah TOL (temporary occupancy license) lebih dari 10 tahun untuk diberi hakmilik kekal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. "Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan pusat maklumat tanah bersepadu yang membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan tanah./FMT |
Bekas Wartawan Utusan Timbang Sertai Politik Posted: 01 Jun 2011 05:00 AM PDT KUALA LUMPUR - Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Mohd Hata Wahari sedia menimbang untuk menyertai parti politik bagi meneruskan perjuangannya selepas tidak lagi terlibat dengan NUJ. Bercakap ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu berkata, beliau bagaimanapun masih belum membuat keputusan parti mana mahu disertainya. "Setakat ini saya berjuang secara individu dahululah. Lagi pun parti politik mana nak terima saya."Lain la kalau PAS tawar, saya boleh la pertimbangkan," katanya dalam nada berseloroh. Hata melepaskan jawatannya sebagai presiden NUJ berkuat kuasa serta merta selepas dipecat daripada Utusan Melayu, bulan lalu. Menurut Hata, keputusan itu diambilnya demi kepentingan kesatuan berkenaan. "Saya tidak mahu NUJ timbul masalah dengan Jabatan Hal Ehwal Pendaftaran Kesatuan Sekerja sebab saya bukan lagi ahli mana-mana anggota kesatuan," katanya lagi. Jawatan yang dikosongkan itu kini diisi Naib Presiden NUJ, Chin Sung Chew daripada Sin Chew selepas dipilih sebulat suara dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi kesatuan hari ini. "Saya harap NUJ dapat meneruskan perjuangannya untuk kebebasan media," ujarnya. Hata sebelum ini dipecat oleh Utusan Melayu Berhad kerana didakwa melanggar syarat perkhidmatan dengan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan polisi syarikat. Beliau juga sebelum ini mendedahkan bahawa agenda akhbar Utusan ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak./Hrkh |
Walaupun Sukar.. Peguam Tetap Mahu Heret Najib, Rosmah Ke Mahkamah Posted: 01 Jun 2011 03:00 AM PDT KUALA LUMPUR - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bagi memberi keterangan di mahkamah dalam kes Fitnah II. Menurut Sankara Nair, kedua-dua individu itu akan dipanggil apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersidang semula pada 6 Jun hingga 30 Jun depan, lapor Keadilan Daily. Namun, Sankara berkata pihak polis menyukarkan usaha pihaknya untuk memanggil perdana menteri dan isterinya bagi memberi keterangan. Menurut Sankara, pasukan peguam Anwar sudah memberikan notis untuk memanggil Najib pada 16 Mei lalu tetapi sehingga kini, selepas dua minggu berlalu polis masih lagi tidak membenarkan Najib disoal siasat peguam Anwar. "Pihak polis belum buat apa-apa persiapan walau pun kami dah beri notis 16 Mei lalu," kata Sankara kepada Keadilandaily.com Najib Razak adalah antara saksi yang mahu dipanggil ke mahkamah oleh peguam Anwar kerana pernah menemui pengadu, Saiful Bukhari Azlan dua hari sebelum dia membuat laporan polis memfitnah Anwar. Najib sebelum ini memberikan alasan Saiful bertemunya atas urusan biasiswa sedangkan Saiful sebenarnya adalah pelajar yang gagal menamatkan pengajian di sebuah universiti swasta. Selain Najib dan Rosmah, peguam juga akan memanggil bekas atlet negara yang juga pembantu peribadi Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Ezam Mohd Nor. Pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mac lalu, Pegawai Penyiasat Jude Pereira membuat kejutan apabila mengaku mengambil keterangan Najib dan isterinya berhubung kes berkenaan. Saiful Bukhari dalam keterangannya turut mengaku bertemu Najib yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri tetapi menafikan berjumpa Rosmah. Sebaliknya Saiful mengaku pernah bertemu Mumtaz Jaafar di kediamannya. Beliau juga mengaku bertemu Ezam Mohd Nor antara tengah malam 27 Jun dan awal pagi 28 Jun, sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar. |
UMNO Be End Takut Adakan PRU Awal, Gara-Gara Elektrik Naik Posted: 01 Jun 2011 01:00 AM PDT Kenaikan tarif elektrik dan kemungkinan peningkatan harga bahan api akibat harga minyak global yang terus melambung menjadikan peluang pilihan raya umum awal diadakan di negara ini agak tipis. Lebih-lebih lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu berdepan dan menangani kemarahan orang ramai terlebih dahulu. Kerajaan semalam mengumumkan tarif elektrik dinaikkan sebanyak purata 7.1 peratus apabila subsidi kerajaan naik hampir sekali ganda kepada AS$6.9 bilion tahun ini. Namun belum ada sebarang langkah bagi mengurangkan subsidi minyak yang dianggap lebih sensitif tetapi mempunyai impak lebih besar ke atas defisit fiskal. Namun menurut penganalisis, menaikkan harga minyak tetap dalam perancangan kerajaan. "Kenaikan tarif elektrik adalah detik percubaan kepada Najib untuk menguji rasa kurang senang orang ramai sebelum beliau memutuskan untuk menaikkan harga bahan api," kata Bridget Welsh pakar mengenai Malaysia di Universiti Pengurusan Singapura. Najib dalam ucapannya baru-baru ini mengibaratkan subsidi minyak yang dinikmati rakyat Malaysia sebagai candu tetapi agak berhati-hati dengan kenyataannya kerana tidak mahu pengundi marah sehingga menjejaskan sokongan terhadap BN yang dilanda prestasi terburuk pada pilihan raya umum 2008.Pilihan raya umum tidak perlu diadakan sehingga pertengahan 2013 tetapi ramai pemerhati politik menjangkakan Najib akan membubarkan parlimen seawal-awalnya lewat tahun ini berdasarkan kekukuhan pertumbuhan dalam negara (KDNK) yang mencapai paras tertinggi dekad ini pada 7.2 peratus pada 2010. Tetapi HwangDBS dan JP Morgan berkata dalam nota penyelidikannya jadual itu kini tidak mungkin dipatuhi lagi. "Pengumuman pada Isnin menunjukkan kerajaan sanggup mengambil tindakan yang tidak popular dari segi politik tetapi positif dari segi ekonomi, ini kemungkinan bermakna pilihan raya akan ditunda sehingga 2012," kata HwangDBS./Reuters |
Zaid Ibrahim Dan KITA Kini Tukang Karut UMNO Posted: 31 May 2011 11:00 PM PDT Banyak pihak sebelum ini mempersoalkan tujuan Datuk Zaid Ibrahim menerajui KITA. Langkah ini sekaligus menambah jumlah parti pembangkang di negara ini, sesuatu yang dilihat kurang bijak dari segi strategi untuk menumbangkan Barisan Nasional. Namun jawapan kepada persoalan itu terungkai dalam tempoh beberapa bulan lalu dan semakin jelas dengan langkah terbaru pemimpin parti itu menganjurkan peraduan mirip Anwar Ibrahim yang diumumkan semalam. Peraduan itu menawarkan hadiah kereta Rolls Royce dan wang tunai RM10,000. Hadiah lumayan itu diatur oleh Pengerusi KITA di Kedah Zamil Ibrahim adalah sebuah sandiwara yang bertujuan membantu Umno meneruskan proses mengaibkan Anwar bersabit video seks Datuk T. Mungkin kerana "sambutan" orang ramai khususnya masyarakat Melayu terhadap cubaan untuk mengaitkan video itu kepada Anwar semakin hambar, maka KITA tampil membantu Umno memberi kekuatan baru kepada kempen anti- Anwar dengan peraduan sebegitu. Hubungan Umno-KITA memang akrab pada masa ini, walaupun Zaid Ibrahim pernah digelar kaki kuda dan kaki arak oleh Utusan Malaysia (akhbar milik Umno) khususnya ketika beliau dalam Parti Keadilan Rakyat dan menjadi calon parti itu pada Pilihanraya Kecil Hulu Selangor 13 bulan lalu. Namun, Zaid menjadi "anak emas" Utusan dan Umno apabila beliau mengkritik Anwar secara terbuka dan pada masa sama serangan beliau terhadap Najib menjadi makin luntur. Pada masa sama, KITA mencatat sejarah kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran parti itu, hanya tiga bulan selepas Zaid mengambil alih kepimpinan AKIM yang kemudian diubah menjadi KITA. Hindraf yang membuat permohonan untuk didaftar sebagai NGO pada tahun 2009, masih belum mendapat jawapan daripada ROS. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat yang memohon pendaftaran untuk menjadi entiti politik seperti BN. Permohonan dibuat tahun lalu namun ROS masih membisu. Berbalik kepada peraduan mencari mirip Anwar – Zamil berkata kereta Rolls Royce yang ditawarkan itu adalah miliknya sendiri. Kereta mewah sebegitu lazimnya sinonim dengan kekayaan yang dimiliki juak-juak Umno. Bagaimanapun bukan harta mahu pun gaya hidup Zamil atau Zaid yang dipertikaikan. Apa yang perlu diperjelaskan ialah kenapa Zamil dan Zaid dan pemimpin KITA merelakan diri diheret dalam permainan Umno. Ketika rakyat bergelumang dengan kenaikan harga barangan termasuk tarif elektrik yang diumumkan semalam, pemotongan subsidi barangan keperluan dan risiko cukai GST diperkenalkan, Zaid dan juak-juak dalam KITA masih sibuk dengan video lucah, malah mempunyai "ilham" menganjurkan peraduan mirip Anwar. Namun itu hak mereka. Tentunya peraduan mirip Anwar yang diumumkan oleh Zamil bertujuan mengisi agenda tertentu yang perlu didokong oleh KITA demi kelangsungan politik parti itu sendiri. Kesahihan video lucah itu sudahpun diputuskan di dalam mahkamah rakyat. Laporan polis yang dibuat oleh pihak yang menerima video itu menerusi pos, atau menjumpainya di masjid cukup membuktikan rasa mual rakyat dengan isu ini. Dalam keadaan sebegitu, tampil pula pemimpin KITA menawarkan hadiah kereta Rolls Royce untuk mencari seorang yang seiras Anwar. Tujuan khusus peraduan ini adalah semata-mata untuk mengkitar semula, memerah dan menghangatkan kembali isu berkenaan demi mencari keuntungan politik. Hakim untuk peraduan mirip Anwar ditetapkan sebagai Presiden KITA, Zaid Ibrahim sendiri, bekas Ketua Pemuda PKR Ezam Mohamad Nor yang kini bergelar Senator selepas lompat masuk Umno, serta ahli perniagaan Sharyzl Eskay – satu daripada tiga Datuk T yang mendalangi video lucah itu. Zamil berkata peraduan berkenaan beserta dengan barisan hakim yang disediakan bertujuan "membela" nama baik Anwar. Pada anggapan orang-orang "bijak pandai" seperti Zamil dan Zaid ini mungkin kenyataan yang dianggap sinis dan menyindir secara cerdik. Namun hakikatnya ialah, peraduan mirip Anwar anjuran mereka hanya menyerlahkan budaya politik murahan yang semakin didokong oleh Zaid dan pengikut-pengikutnya. Alangkah baiknya jika kereta Rolly Royce itu dilelong dan duitnya diguna untuk membela nasib penduduk yang dihimpit kepayahan akibat langkah kerajaan memotong subsidi dan mengizinkan harga barangan perlu melonjak. Alangkah baiknya jika Zaid memberi tumpuan untuk menggerakkan rakyat supaya bangun dan menuntut kerajaan Umno-BN menghentikan amalan kronisme dan penyelewengan kuasa. Kenapa desakan ini yang cukup lantang ketika Zaid dalam PKR semakin lesu apabila beliau beralih ke KITA? Yang dirasakan lebih mendesak ketika ini bukan isu video lucah atau agenda yang tersirat di sebaliknya . Yang lebih utama adalah keperluan untuk bertanya kepada pemerintah kenapa rakyat terpaksa menanggung beban hidup yang semakin meningkat akibat salah urus kewangan negara. Dan jika ia bukan salah urus kerajaan Umno-BN, salah siapa apabila subsidi untuk rakyat dipotong manakala subsidi untuk syarikat IPP dikekalkan. Apakah manfaat meluluskan RM5 bilion untuk bangunan setinggi 100 tingkat apabila rakyat yang hidup tidak jauh dari situ tidak berupaya menyara hidup walaupun dengan pendapatan RM3,000 sebulan. Rasanya persoalan-persoalan seperti ini lebih penting, bukannya peraduan huntuk mencari mirip Anwar dengan kereta Rolls Royce sebagai ganjaran./Tvs |
SPRM Kata Peguam Negara Bebas Rasuah Posted: 31 May 2011 09:00 PM PDT Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan Tan Sri Abdul Gani Patail daripada dakwaan rasuah berkaitan dengan ibadat haji dikerjakan oleh Peguam Negara itu tahun lalu. Pengerusi panel penilaian operasi (PPO) Tan Sri Datuk Dr Hadenan Abdul Jalil berkata kes itu digugurkan kerana siasatan menunjukkan tiada keterangan yang boleh membuktikan ada kesalahan jenayah. PPO telah bermesyuarat hari ini dan mengkaji semula butiran-butiran siasatan selain berpuas hati dengan testimoni Abdul Gani. "SPRM mendapati wang untuk perjalanan beliau (Abdul Gani) adalah wang sendiri, dari akuannya sendiri, akaun yang menyimpan gaji bulanannya. "Tiada bukti sesiapa memberi wang... pembayaran dibuat dari akaunnya sendiri," kata Hadenan kepada wartawan. Peguam tertinggi negara itu telah menemui ahli lembaga SPRM dan ahli panel untuk berdialog pada Januari lalu dan telah mengemukakan bukti bahawa beliau telah menunaikan haji baru-baru ini seperti mana yang dikatakan Shahidan Shafie. Shahidan didakwa bekerjasama dengan bekas pengerusi eksekutif MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli. Bekas panel penasihat SPRM Tan Sri Robert Phang berkata penjelasan Abdul Gani itu gagal untuk menghilangkan syak-wasangka bahawa beliau "bekerjasama" dengan Shahidan. Tajuddin ialah pengerusi ekskutif MAS dari 1994 hingga 2001. Semasa tempoh itu syarikat penerbangan itu telah mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion – jumlah terbesar – yang membawa aduan dikemukakan terhadap beliau. SPRM juga menjelaskan dakwaan Phang itu tidak mempunyai bukti yang cukup. "Kes terhadap Tan Sri Robert Phang... siapa yang dituduh telah cuba memberi rasuah kepada ketua setiausaha kementerian... kami berpuas hati dengan hasil siasatan dan testimoni menunjukkan tidak mempunyai bukti untuk mendakwa sesiapa," kata Hadenan. Phang telah meletakkan jawatan selepas SPRM menolak kes yang membabitkan amalan rasuah yang berlaku dalam MAS./TMI |
Pemuda PAS Bantah Konsert MTV World Stage Posted: 31 May 2011 07:00 PM PDT Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membantah penganjuran satu program hiburan bertaraf antarabangsa, Konsert MTV Word Stage di i-City, Seksyen 7 Shah Alam, 24 Julai depan yang dikatakan bertujuan mempromosi bandaraya Shah Alam di peringkat antarabangsa. DPPNS mahu Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan menarik balik kelulusan program tersebut kerana bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Selangor. Ketuanya, Hasbullah Ridzwan berkata, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ataupun pengurusan i-City dapat mematuhi garis panduan hiburan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri serta mencari kaedah yang lebih sesuai untuk mempromosi Bandaraya Shah Alam selain daripada menganjurkan konsert secara terbuka. "Dewan Pemuda PAS Negri Selangor melahirkan rasa kecewa dan terkilan di atas kenyataan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam satu sidang media pada 18 Mei lalu yang mengatakan konsert ini untuk memperkenalkan Bnadaraya Shah Alam di peringkat antarabangsa," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Menurutnya, DPPNS amat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir yang disiarkan dalam satu protal berita tentang kemungkinan wujudnya pengaruh negatif berbanding positif hasil daripada penganjuran konsert tersebut. "Janganlah kita menggadaikan maruah anak bangsa dan negara hanya semata-mata untuk mendapatkan sedikit pengiktirafan dunia antarabangsa. "Penganjuran konsert yang membabitkan artis-artis barat dan artis tempatan yang pro barat sudah pastilah berlawanan dengan hasrat Kerajaan Negeri di dalam melahirkan modal insan yang terbaik untuk negeri Selangor," katanya. Tambahnya, DPPNS yakin bahawa penganjuran konsert ini pasti akan menimbulkan rasa resah, gelisah dan amarah khususnya kepada penduduk setempat. "Kami dimaklumkan telah ada persatuan penduduk di persekitaran tersebut yang telah menyatakan bantahan mereka terhadap konsert tersebut," katanya. Antara artis yang mengesahkan penyertaan pada konsert itu ialah '30 Second To Mars' iaitu pemenang Band Rock Terbaik di MTV Europe Music Award 2010 dan band tempatan Pop Shuvit. Sehubungan itu, DPPNS akan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung penganjuran konsert ini kepada Datuk Bandar Shah Alam dan Menteri Besar dalam masa terdekat ini. "Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap semoga Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengambil tanggungjawab terhadap usaha-usaha mencalar imej dan agenda Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat," katanya./Hrkh |
You are subscribed to email updates from Addin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan