Isnin, 9 Mei 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


CHEGU BARD, SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

Posted: 09 May 2011 09:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

CHEGU BARD atau Badrul Hisham adalah tokoh muda dari Rembau di dalam AMK yang cuba ditonjolkan sebagai Ketua AMK di dalam pemilihan pimpinan parti yang lalu. Awalnya percaturan sungguh cantik, penyandang jawatan Sdr Shamsul Iskandar dikatakan akan dinaik taraf untuk bertanding jawatan Naib Presiden manakala Chegu Bard akan bertanding sebagai Ketua AMK. Memang cantik percaturan ini, kemas dan mantap.

Difahamkan Chegu Bard awal-awal lagi memberi lampu hijau bahawa sekiranya beliau memenangi jawatan Ketua AMK, sokongan AMK tidak akan berbelah bahagi kepada Sdr Shamsul Iskandar untuk jawatan Naib Presiden. Persefahaman ini amat positif di dalam memantapkan PKR sendiri kerana kedua-dua tokoh ini mempunyai kehebatan yang tersendiri.

Malangnya, percaturan yang cantik ini tidak berlaku kerana secara tiba-tiba Sdr Shamsul yang pada awalnya membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR telah membuat kejutan `U-Turn'. Ramai yang berpendapat sekiranya Chegu Bard bertanding menentang seorang lagi calon iaitu Sdr Rafizi Ramli, peluang Chegu Bard lebih besar bukan kerana Sdr Rafizi tidak layak tetapi masih terlalu awal untuk anak muda dari Terengganu itu untuk dikenali akar umbi di dalam AMK.

Apabila Sdr Shamsul membuat `U-Turn', maka pertembungan tidak dapat dielakkan lagi kerana Chegu Bard telah bersedia dengan jentera sokongannya sejak awal lagi. Chegu Bard tidak mampu untuk mengecewakan ramai penyokongnya yang mahu beliau memimpin AMK. Silapnya di sini, Sdr Shamsul tidak tetap pendirian dan beliau merosakkan percaturan yang amat baik untuk AMK. Saya penuh yakin, jika Sdr Shamsul bertanding jawatan Naib Presiden PKR sudah pasti bukan Dr Mansor Othman yang berada di kerusi itu sekarang.

Lajak perahu boleh diundur, lajak perbuatan terimalah akibatnya. Sememangnya dalam amalan demokrasi sesiapa pun boleh bertanding atau menarik diri mahu pun membuat `U-Turn'. Tetapi, semangat setiakawan dan kekentalan prinsip dan pendirian itu juga penting jika mahu ditabalkan sebagai pemimpin atau ahli politik. Sikap ini tiada pada Sdr Shamsul Iskandar, tetapi wujud dalam diri Chegu Bard. Maka, pertandingan pun berlaku akibat adik melawan abang. Malangnya, apabila adik melawan abang sewajarnya ibu atau bapa menjernihkan keadaan atau setidak-tidaknya berlaku adil kerana mereka berdua adalah anak beranak belaka.

Ini juga tidak dapat dilihat berlaku. Sadis bila melihat si adik `dikerjakan' oleh si abang dengan perlawanan yang berat sebelah. Maka, Chegu Bard tewas walaupun dengan majoriti yang amat tipis sekali. Penipuan dapat dikesan dengan nyata. Mana bukti dan mana saksi? Semuanya telah dikemukakan tetapi hasilnya hanya dengan sepatah perkataan iaitu `siasatan selesai'. Difahamkan siasatan selesai tanpa Chegu Bard dipanggil walau sesaat. Siapa boleh terima cara begini?

Baiklah, Chegu Bard memang dikatakan tewas walaupun beliau tidak mengiktiraf keputusan `pengadil' yang memberikan `sepakan penalti' tanpa berlakunya kekasaran atau menyalahi peraturan di dalam `kotak penalti'. Keputusan `Pengadil' muktamad kununnya. Chegu Bard tetap terus bersama PKR dan bekerja lebih kuat dari sebelum pertandingan merebut jawatan di dalam AMK. Adakah tanda-tanda itu menunjukkan Chegu Bard benci pada parti atau sayang pada parti?

Malang sekali, sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah beliau `dibelasah' di dalam pertandingan yang `senget' lalu kecundang, ada pihak yang masih tidak berpuas hati. Puak inilah yang dimaksudkan dengan `Trojan Horse' seperti yang disiarkan di dalam blog Chegu Bard di sini. Apa lagi yang tidak berpuas hati dengan anak muda yang banyak berkorban untuk parti ini? Besar sangatkah dosa Chegu Bard yang mahu membersihkan parti dari amalan yang lazimnya diamalkan oleh SPR itu? Mengapa ada dendam dan boikot serta provokasi terhadap beliau? Kenyataan Media PKR Cabang Rembau sendiri ada mengeluarkan cerita tentang isu ini di sini.

Saya merasakan ada baiknya parti memandang serius semua dakwaan ini kerana kita lihat perangai sakit hati dan iri hati masih ada di kalangan pimpinan kita. Paling tidak sanggup saya baca apabila ada pihak yang membabitkan tokoh utama parti sendiri iaitu Ketua Umum dan Presiden Parti terlibat sama. Saya tidak percaya mereka terlibat tetapi sukar untuk menjawab sekiranya ditanya mengapa tiada tindakan yang lebih tegas, adil dan jujur terhadap isu ini?/wfauzdin.blogspot.com

PAS DAN GERAKAN SAMA SAJA?

Posted: 09 May 2011 10:40 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

BERSETUJU dengan gesaan Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Koh Tsu Koon yang nampaknya mula naik `fade-up' dengan sebuah akhbar pencacai nombor Wahid. Akhbar ini jugalah yang `menyakitkan' hati dua parti Komponen Bn iaitu MCA dan Gerakan kerana menggatal mempromosi `1 Melayu 1 Bumi' yang jelas bertentangan dengan konsep 1 Malaysia tajaan Najib itu.

Di dalam kenyataan bekas KM P.Pinang itu di dalam Malaysiakini bagi mengulas tentang isu Kristian Agama Resmi, jelas pada kita akhbar ini memang patut dibenci oleh semua kaum. Jika ada yang masih ingin diperbodohkan oleh akhbar ini biarlah sekumpulan kecil Melayu yang bersongkok tinggi. Di dalam isu sensitif ini, Dr Koh Tsu Koon mengeluarkan kenyataan,
" GERAKAN hari ini mendesak pihak polis menjalankan siasatan yang bebas dan profesional terhadap laporan Utusan Malaysia berhubung usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan. Presidennya Datuk Seri Dr Koh Tsu Koon berkata, ia penting bagi menjelaskan perkara sebenarnya yang berlaku (Malaysiakini).

Dr Mujahid Yusoff seorang tokoh PAS juga turut mengulas yang memberi erti yang sama dengan Presiden Gerakan itu. Tokoh PAS ini mahu pihak Polis menyiasat dengan terperinci mengapa akhbar yang meloyakan ini mengambil sumber dari blog murahan semata-mata mahu rakyat berada di dalam resah gelisah? Bukan mudah untuk melihat pendirian tegas bersama di antara PAS dan Gerakan dan kali ini akhbar milik parti sekular bersemangat kebangsaan itu menjadi sasaran mereka.

Saya percaya pihak Polis akan tetap menyiasat walaupun mungkin mengambil masa agak lama seperti juga siasatan terhadap penayang video seks di Seri Carcosa yang sehingga kini masih belum didakwa. Jika yang menayang video seks itu mengaku sendiri melakukan perbuatan sumbang itu, pihak Polis mengambil masa agak lama juga untuk menyelesaikannya kita boleh jangka juga dengan kes ini apatah lagi jika pihak yang bertanggungjawab tidak mengaku melakukan `provokasi' serius ini.

Apa pun kita yakin semua ini tentu ada rahmat yang tersembunyi yang boleh menguntungkan perjuangan PR menuju Putrajaya. Di tengah kita dikalutkan dengan provokasi dan sensitiviti keagamaan ini, secara tiba-tiba kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen. Adakah kerana itu kita lupa bahawa kita terus dibelenggu dengan kesusahan akibat rejim ini?/wfauzdin.blogspot.com

BILA SUDAH TUA, HELAH MAHATHIR MUDAH DIBACA

Posted: 09 May 2011 01:47 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

MAHATHIR di dalam rungutannya semalam agar Umno berubah, sempat lagi menghasut PAS agar keluar dari bersahabat dengan PKR dan DAP. Mantan PM ini mahu PAS berjuang bersendirian untuk bertempur dengan Umno yang beliau sendiri akui banyak rosaknya. Pelik bukan?

Jika beliau sendiri sudah maklum bahawa Umno masih `rosak' dengan gelagat pemimpinnya yang berjuang untuk kepentingan diri, maka eloklah mantan Presiden Umno ini memperbetulkan Umno terlebih dahulu. Tidak perlulah Mahathir cuba memperbaiki PAS yang tidak rosak teruk seperti Umno sekarang.

Mengapa Mahathir mahu PAS bersendiri? Mahathir ini diakui bijak orangnya, dan sudah tentu idea bernas Mahathir agar PAS bersendirian untuk menentang Umno ini ada sebab tertentu. Sebijak-bijak Mahathir, di kala usia yang lanjut tidak sukar kita membaca apa yang terkandung di dalam kepala otak pemimpin yang mencipta `Umno Baru' dan pernah keluar sekejap dari parti yang diciptanya itu.

Beliau tahu PAS bertambah kuat dengan adanya kerjasama dengan PKR dan DAP. Begitu juga PKR dan DAP bertambah kuat dengan sokongan PAS. Umno pula bertambah teruk apabila PKR, DAP dan PAS bergabung membentuk PR. Kerosakan yang dialami oleh Umno kini bertambah serius apabila MCA dan Gerakan kini mula `masam muka' kepada parti sekular bersemangat kebangsaan ini. MCA dan Gerakan naik pening dengan karenah `1 Malaysia', kemudiannya timbul pula `1 Melayu, 1 Bumi'.

Justeru itu, wajarlah Mahathir mahu PAS bersendirian kerana Mahathir mahu melihat PAS kembali seperti dahulu kala. Mahathir tidak boleh bayangkan jika kerana sokongan PAS kepada PKR dan DAP, kuasa yang ada ditangan Umno di Putrajaya akan ghuyub. Bila kuasa sudah tiada, mungkin beliau bimbang akan menjadi seperti bekas Presiden Mesir Husni Mubarak yang belum diseret ke mahkamah lagi kini sudah terlantar sakit./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: