Ahad, 29 Mei 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


AMK Persiap Jentera Pilihan Raya

Posted: 29 May 2011 08:41 PM PDT




PETALING JAYA 30 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) bakal menggerakkan jentera pilihan rayanya seawal Jun ini bagi mendepani arus Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Walaupun masih belum diputuskan mana-mana kawasan yang perlu diberikan tumpuan oleh sayap parti itu, namun perbincangan awal mengenainya sudah dibuat.

"Jentera Angkatan Muda Keadilan ini akan kita gerakkan di semua kawasan tumpuan di mana masih lagi belum dimaklumkan oleh pimpinan pusat tetapi saya dan pimpinan pusat telah berbincang.

" Jentera khususnya Angkatan Muda Keadilan akan disiapkan dahulu. Pada peringkat pertama ini, ia dilakukan di kawasan yang mana kita bertanding," kata ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat AMK di Ibu Pejabat PKR, di sini semalam.

Menurut beliau, tumpuan akan diberikan kepada kawasan yang ditandingi oleh calon AMK selain calon PKR di seluruh negara.

Jelasnya, perbincangan mengenainya telah dijalankan dengan pimpinan pusat biarpun belum dipastikan secara khusus kawasan mana yang akan ditandingi.

Berdasarkan perkembangan semasa, AMK menjangkakan PRU ke-13 akan diadakan dalam masa terdekat iaitu kemungkinan pada Julai ini.

Ujar Shamsul, AMK akan membantu semua calon Pakatan Rakyat khususnya PKR yang bertanding bagi mengekalkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selain calon lain bagi meraih kemenangan pada PRU ke-13 nanti.

Katanya, gerak kerja itu akan dilakukan jentera AMK yang akan memberi tumpuan khusus di semua negeri termasuk di Sabah dan Sarawak bermula Jun ini.

Selain itu jelasnya, AMK juga akan mengenal pasti individu dari angkatan itu yang akan diketengahkan sebagai calon di peringkat Parlimen atau DUN.

"Kita (juga) akan buat tapisan dan saringan kerana kita mahu kekalkan rekod bahawa calon-calon Angkatan Muda Keadilan yang bertanding dan menang kita kekalkan dan istiqamah bahawa calon Keadilan yang menang tidak ada seorangpun yang melompat parti," katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, AMK telah memilih 18 Jun ini supaya semua jentera pilihanraya AMK dan bakal calon dapat dihimpunkan untuk satu program khas iaitu sehari sebelum konvensyen pilihan raya PKR yang dijangka diadakan pada 19 Jun.

Jelasnya, AMK juga akan memastikan segala hubungan dan jaringan yang berkaitan dengaan angkatan itu diberikan tumpuan khusus seperti golongan profesional muda.

Satu pertemuan khusus anjuran AMK telah diadakan semalam di antara kumpulan itu dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pertemuan itu, golongan profesional muda ini diberi peluang untuk bertukar pandangan dan berbincang mengenai isu semasa.




AMK Jamin Bersih 2.0 Capai Sasaran

Posted: 29 May 2011 08:31 PM PDT




PETALING JAYA 30 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan bersama-sama 100,000 rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan fahaman pada 9 Julai ini dalam perhimpunan Bersih 2.0 sebagai menyatakan sokongan kepada objektif perhimpunan itu.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin yakin, perhimpunan itu nanti bakal mengumpulkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang mendokong sepenuhnya demokrasi tulen supaya pilihan raya di negara ini dijalankan dengan bersih, adil dan telus.

"Angkatan Muda Keadilan telah bermesyuarat dan membincangkan tentang mobilisasi jentera AMK di seluruh negara untuk bersama-sama dengan perhimpunan Bersih 2.0 ini yang dijangka diadakan pada 9 Julai dan kita menjangkakan bahawa sasaran 100,000 rakyat, yang mana kita nyatakan daripada awal akan berjaya kita capai," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini, malam tadi.

Tambahnya, AMK tidak memerlukan sebarang pengumuman seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Najib Razak pada Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya yang gagal mencapai sasaran.

Difahamkan himpunan itu hanya berjaya mengumpulkan 8,000 belia iaitu kurang 10 peratus daripada yang disasarkan.

Walau bagaimanapun menurut Shamsul, Bersih 2.0 yang mempunyai objektif jelas pastinya akan mendapat sambutan rakyat pelbagai kaum dan usaha untuk mengumpulkan rakyat akan diperhebatkan.

Perhimpunan ini jelasnya amat penting kepada rakyat untuk menyampaikan mesej jelas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) betapa sesebuah pilihan raya itu perlu diadakan dengan telus.

"Kali ini kita nak pastikan yang betul-betul hadir itu adalah rakyat daripada pelbagai agama, kelompok dan fahaman berkumpul dan jumlahnya mencecah 100,000 dan itu peranan yang cukup besar yang akan dimainkan oleh AMK dan sebenarnya dalam tujuan itu kita telah pun mengatur sesi jelajah seluruh negara.

"Kita ingin menyatakan dengan tegas bahawa sudah sampai masanya SPR harus memahami bahawa mereka tidak boleh selama-lamanya diperalatkan oleh jentera di bawah kepimpinan Umno dan juga Barisan Nasional," katanya.




Najib-Muhyiddin Tak Setuju Tarikh PRU-13?

Posted: 29 May 2011 08:12 PM PDT




TEMERLOH 29 MEI : Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin dilaporkan berselisih mengenai tarikh untuk memanggil Pilihanraya Umum ke-13 akibat pergelutan kuasa dalam parti itu, kata seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

Muhyiddin dilaporkan mendesak Najib untuk mengadakan pilihanraya secepat mungkin walaupun Timbalan Presiden Umno itu menyedari langkah itu mengundang padah untuk Umno berasaskan sentimen semasa pengundi, kata Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid.

Menurut beliau, kekalahan untuk Umno pada PRU-13 akan membuka laluan untuk Muhyiddin mencabar Najib pada pemilihan parti yang akan datang, dan jika menang, Muhyiddin sekali gus akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib.

"Ramai yang ramalkan PRU bulan julai ini, saya ingin berkongsi, teman-teman saya di dalam Umno memberitahu apa yang berlaku ialah terdapat desakan daripada kumpulan pro Muhyidin Yassin mendesak supaya Najib Razak istihar pilihanraya dan bubar parlimen dalam waktu terdekat."

"Kerana penguasaan, Muhyidin ingin berkuasa tetapi Najib masih berbelah-bagi, Namun kumpulan ini terus mendesak (mahukan PRU cepat)," kata Nizam.

Nizam berkata kumpulan pro Muhyiddin menggunakan taktik yang sama untuk mengusir Tun Abdullah Ahmad Badawi dari Putrajaya selepas beliau memanggil PRU ke-12 pada Mac 2008 atas desakan pihak tertentu.

Keputusan itu berakhir dengan Umno-BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen.
Pakatan Rakyat turut menawan Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah disamping mengekalkan Kelantan.
Tidak lama selepas itu, Muhyiddin dilaporkan antara pemimpin utama yang mendesak supaya Abdullah berundur "demi masa depan Umno."

Nizam berkata apa yang berlaku dalam Umno ketika itu adalah kes "kawan makan kawan" dan kini episod itu sedang berulang sekali lagi antara Muhyiddin dan Najib.

"Muhyidin mahu perangkap Najib agar nasib yang diterima oleh Abdullah Ahmad Badawi akan terjadi kepada Najib, sebab apa ianya berlaku...dari maklumat yang kita terima Muhyidin mengesa anak buahnya kerana beliau sudah berumur berbanding Najib. Jadi sebab itu Muhyidin mahu jadi Perdana Menteri"

Hadir sama pada majlis itu Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim, Adun Kuala Semantan, Syed hamid Syed Mohamad dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pahang, Fauzi Abd Rahman.

Kira-kira 300 orang dan pemimpin masyarakat memenuhi perkarangan Markas Pas Temerloh menghadiri majlis itu.



NAJIB SILAP TENTANG BELIA

Posted: 29 May 2011 06:39 AM PDT



















Tindakan Datuk Seri Najib Razak menghimpunan belia-belia di Putrajaya dan merayu undi mereka memperlihatkan rasa gusar perdana menteri terhadap kebangkitan golongan itu yang kini menuntut perubahan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Najib semalam mendakwa sejuta belia yang hadir di Putrajaya untuk sambutan Hari Belia Negara selama tiga hari, kononnya untuk "mempertahankan" pusat pentadbiran negara dari diambil alih oleh Pakatan Rakyat. TV Selangor memetik Anwar berkata, hakikatnya ialah persatuan-persatuan belia itu dibawa untuk mengisi pelbagai program riadah yang dianjurkan bersama oleh agensi-agensi persekutuan dan badan-badan koperat sempena Hari Belia Negara. "Dia kata di Mesir satu juta orang muda tuntut perubahan. Jadi di sini dia minta orang muda sokong Barisan Nasional. "Orang muda ini dikaitkan dengan idealisme, cita-cita murni. Orang muda ini benci dengan kemungkaran, benci dengan rasuah, benci dengan kezaliman. anwar ceramah at kerdau pahang to felda settlers"Najib silap. (Sebenarnya belia) yang minta perubahan tumbangkan kerajaan yang ada. Jadi saya nak sambut dengan katakan sudah sampai ketikanya anak muda Felda, anak muda Malaysia bangkit tuntut perubahan," kata Anwar kepada ribuan peneroka Felda dan penduduk kampung di Kerdau, Pahang malam semalam untuk mendengar ceramahnya.

Kaya-raya

Anwar malam tadi juga mengupas ucapan Najib pada majlis sambutan Hari Belia itu yang dialas dengan gesaan supaya belia menyokong Umno-BN sebagai syarat menikmati kemakmuran. Kenyataan sedemikian, kata Anwar hanya menunjukkan rasa terdesak Perdana Menteri. Menurut Anwar beliau tidak menuduh Umno sebagai parti yang tidak pernah membuat apa-apa. Namun yang dipersoalkan adalah kemungkaran dan kezaliman yang menyebabkan rakyat menderita manakala pemimpin hidup dalam keadaan kaya-raya. anwar ceramah at kerdau pahang to felda settlers"Saya tidak samakan Umno dengan Firaun, Firaun pun buat bangunan dan jalan, negara komunis, Zimbabwe, mahupun Bangladesh pun buat pembangunan, soalnya kita ini mahu nilai apa kekurangan besar yang membolehkan sebuah perubahan kuasa itu perlu," katanya. Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat supaya merenung hala tuju negara di bawah pemerintahan Umno-BN dan tidak termakan dengan dakyah dan gula-gula politik yang disebarkan parti itu. "Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk sokong parti mana-mana, tetapi kita sanggupkah pertahankan kezaliman, bolehkah kita diam tentang rasuah, mampukah kita biarkan fitnah, lucah termasuk qazaf dan semulanya berlaku?" tanya Anwar. Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu, Ketua Serikandi Siti Aishah Shaik Ismail dan Presiden ANAK, Mazlan.


Hakim Korup Akan Disingkir, Janji Anwar

Posted: 29 May 2011 06:26 AM PDT








SUBANG JAYA 29 MEI : Hakim yang "korup dan melaksanakan undang-undang rimba" akan menjadi sasaran utama dalam pembaharuan badan kehakiman jika Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk ,menawan Putrajaya, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Maklumat terperinci mengenai rombakan badan kehakiman akan ditentukan kelak, namun matlamat pembaharuan adalah memastikan hakim menjalankan tanggungjawab secara amanah dan bebas, tambah beliau.
"Langkah yang spesefik akan dibincangkan, tetapi yang lebih penting pembaharuan badan kehakiman itu akan dilakukan. Individu yang korup akan disingkirkan," kata beliau dalam dialog dengan hampir 400 golongan professional beliau di sebuah hotel di sini.

Dalam dialog hampir tiga jam itu, Anwar ditanya pelbagai isu, khususnya mengenai hala tuju dan rancangan masa depan Pakatan Rakyat, kebebasan dan hak asasi, standard penggunaan Bahasa Inggeris yang semakin menurun di negara ini.

Anwar juga ditanya perancangan gagasan pembangkang itu untuk mengembalikan kredibiliti sistem kehakiman negara yang dilihat sebagai tercalar sejak pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu yakin Malaysia masih mempunyai hakim-hakim yang berwibawa namun tidak juga kurang hakim yang membelakangkan prisip-prinsip keadilan.

"Ada hakim yang masih okay, tetapi ada yang masih mendokong prinsip yang salah. Contohnya pada tahun 1998 badan juri antarabangsa membuat laporan mengenai badan kehakiman negara (hilang kewibawaan). Saya kadang-kadang hairan orang semua tahu ini, tetapi hakim masih buat tak tahu, " kata Anwar.

Akibatnya ramai pihak yang menjadi mangsa keputusan-keputusan hakim yang tidak berpaksi kepada undang-undang dan prinsip keadilan.

"Hakim kata saya tidak peduli, saya hanya ikut undang-undang, undang-undang mana? Undang-undang hutan ke? Perkara ini masih berlaku dalam negara kita," kata Anwar.
Anwar dilihat sebagai mangsa perbicaraan berat sebelah apabila beliau didapati bersalah atas tuduhan liwat dan rasuah setelah dipecat dari kerajaan dan Umno oleh Mahathir pada tahun 1998.

Beliau merengkok enam tahun dalam penjara sebelum Mahkamah Rayuan mendapatkan mantan timbalan kepada Mahathir itu disabit dengan bukti yang rapuh dan tidak boleh dipercayai.

Setelah memimpin Pakatan Rakyat kepada kejayaan besar pada pilihanraya umum 2008, Anwar sekali lagi diheret ke mahkamah untuk tuduhan liwat kali kedua.

Seperti kes pertama, perbicaraan kali ini juga penuh dengan keterangan rapuh saksi dan pengadu serta bukti yang mencurigai.

Malah pengadu Saiful Bukhari Azlan bertemu Perdana Menteri Najib Razak dan menalifon Ketua Polis Negara ketika itu Musa Hassan beberapa hari sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar.

Bagaimanapun Hakim Zabidin Mohamad Diah menerima segala bukti dan keterangan saksi pendakwaraya dan mengarahkan Anwar untuk membela diri mulai 6 Jun depan.

Peningkatan Jumlah Undi Di Selangor : SPR Perlu Telus

Posted: 29 May 2011 06:24 AM PDT




AMPANG 29 MEI :Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa Pakatan Rakyat mengada-adakan cerita berhubung pertambahan jumlah pengundi di Selangor baru-baru ini disifatkan sebagai tidak berasas, kata Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Menurut Abdul Hadi, SPR seharusnya menyiasat laporan yang dibuat beberapa pemimpin Pakatan Rakyat berhubung perkara tersebut dan bukannya berusaha untuk merumitkan lagi keadaan sedia ada.

"Kita tidak percaya pihak yang berkenaan (SPR) kerana mereka tidak bebas. Sebenarnya SPR masih di jabatan Perdana Menteri, begitu juga dengan SPRM yang jelas menunjukkan tidak ada ketelusan dalam pentadbiran negara. Sebab itu mereka perlu memahaminya dan tidak sepatutnya menuduh PR sebegitu, malah sebaliknya perlu menyiasat setiap laporan yang dilakukan." ujarnya ketika ditemui selepas menziarahi mangsa tanah runtuh di Batu 14, Hulu Langat yang kini ditempatkan di Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut, semalam.

Mengulas lanjut keputusan Pakatan rakyat untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Abdul Hadi berkata, pihaknya menyerahkan segala keputusan pembubaran tersebut kepada kepimpinan tertinggi.

Jelas Abdul Hadi lagi, pihaknya juga kini sedang merangka strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang

"Perkara itu akan dikaji oleh PR melalui strategi politik yang akan diguna pakai dalam membuat keputusan tersebut."katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata, DAP akan menyarankan semua negeri Pakatan Rakyat tidak membubarkan DUN masing-masing jika PRU diadakan tahun ini.

Malah, Pakatan Rakyat juga telah sebulat suara untuk tidak membubarkan DUN di setiap negeri Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Selangor mahu memastikan pentadbiran di negeri itu dilaksanakan bagi tempoh sekurang-kurangnya empat tahun sebelum berhasrat membubarkan DUN.

Manakala di Georgetown, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pakatan pembangkang kekal dengan cadangannya untuk tidak membubarkan DUN yang dikuasai mereka walaupun membabitkan kos yang tinggi.

Syabas Pula Tawar Air Percuma Sepanjang Tahun

Posted: 29 May 2011 06:22 AM PDT




SHAH ALAM 29 MEI : Kerajaan Selangor mengalu-alukan cadangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengecualikan keluarga miskin di negeri ini daripada membayar bil air untuk tempoh setahun.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Teresa Kok Suh Sim berkata demi terus membela golongan penduduk itu, Syabas kini perlu memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam melengkapkan penstrukturan semua industri air Selangor.
Ini akan memastikan penduduk terbabit terus menikmati kemudahan air pada kadar yang munasabah selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, tambah beliau kepada TV Selangor.
" Saya mengalu-alukan cadangan Syabas ini, tetapi apa yang penting adalah Syabas mempercepatkan proses pengambilalihan syarikat terbabit oleh Kerajaan Negeri Selangor," kata Teresa.
Beliau berkata langkah terbaru Syabas mengecualikan terus keluarga miskin daripada membayar bil air menyusul tindakan kerajaan negeri memberi air percuma 20 meter padu sejak tahun 2008.
" Kerajaan Negeri telah memberikan 20 meter padu air percuma kepada semua rakyat di Selangor dan kami telah menunjukkan prihatinan kami. Jadi jika Syabas ingin menghulurkan bantuan tersebut kepada keluarga miskin kami mengalu-alukanlah," kata beliau.
Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail berkata, syarikat itu akan memberi kelonggaran kepada keluarga berpendapatan rendah dan golongan tidak berkemampuan dari membayar bil air sepanjang tahun.
Rozali berkata keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai ahli keluarga yang ramai pula akan diberi keutamaan dalam pemberian air percuma kerana mereka dibeban dengan perbelanjaan mengurus pendidikan anak-anak.
Kerajaan Negeri sebelum ini membuat tawaran untuk mengamil alih aset Syabas dan tiga syarikat konsesi lain dalam hasrat untuk menjamin harga air tidak dinaikkan dengan sewenang-wenangnya seperti masa-masa lalu.
Kerajaan negeri dijangka mengadakan mesyuarat dengan kerajaan persekutuan bulan depan dalam usaha terbaru untuk mengatasi kemelut pengambilalihan itu.

MB Pahang: MCA perlu yakin, yakinkan kaum Cina hadapi PRU-13

Posted: 28 May 2011 10:15 PM PDT

Nada ketidakyakinan Bn terhadap pengundi sendiri...





GENTING HIGHLANDS, 29 Mei — Pemimpin-pemimpin MCA perlu memperbaiki dan melengkapkan diri jika komponen Barisan Nasional (BN) itu mahu menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-13, kata Datuk Seri Adnan Yaakob di sini malam tadi.

Menteri Besar Pahang (gambar) itu berkata, satu-satunya cara bagi MCA memenuhi matlamat itu adalah pemimpin-pemimpinnya yakin pada kekuatan mereka.

"Kita harus tahu kekuatan kita sebelum (boleh) menghadapi pilihan raya umum... kita perlu tahu kekuatan kita.

"MCA perlukan keyakinan. Jika anda teragak-agak, sah kita akan kalah," kata Adnan pada sesi pemukiman MCA di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, apabila MCA diperkuatkan, maka ia boleh bekerja dengan Umno sebagai perikatan yang mantap.

"Kaum Cina mesti diyakinkan bahawa MCA boleh berjuang untuk masyarakat Cina. Kita tidak boleh kata kita ini (menggambarkan) kepelbagaian kaum jika tiada perwakilan Cina dalam BN," kata beliau.

Pada pilihan raya umum 2008, MCA berhadapan dengan prestasi buruk selepas kehilangan lebih separuh daripada kerusi yang ditandinginya.

Ia hanya menang 15 daripada 31 kerusi Parlimen yang diperuntukkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disebut-sebut akan memanggil pilihan raya umum ke-13 bila-bila masa dari sekarang.

Desas-desus mengenai tarikh pilihan raya itu berterusan ketika BN masih bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi kalangan Cina yang beralih kepada pembangkang tiga tahun lalu.

Dalam aspek ini, MCA dan Gerakan dilihat berhadapan dengan saingan DAP, komponen Pakatan Rakyat, bukan sahaja di Pahang tetapi di kebanyakan negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

Rakyat Perlu Yakin Dengan Kredibiliti PR, Kata Aziz

Posted: 28 May 2011 10:11 PM PDT








SHAH ALAM 28 MEI: Penganalisis Politik Professor Dr. Abdul Aziz Bari berkata gagasan Pakatan Rakyat merupakan parti yang berani kerana berjaya meneruskan pemilihan pucuk pimpinan utamanya.

Ini, katanya kerana pemilihan itu diadakan dalam tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.
Malah, tindakan itu juga menunjukkan kematangan berpolitik setiap parti sekali gus menonjolkan sikap keterbukaan dan kefahamannya terhadap konsep sebenar demokrasi tanpa perlu mengganggu fokus utama Pakatan Rakyat dalam membawa perubahan.

"Berbanding dengan parti-parti dalam Barisan Nasional(BN), Pakatan Rakyat lebih berani untuk meneruskan sekali gus tidak menafikan proses demokrasi terhadap ahlinya. Ini juga menunjukkan ketelusan dan akautibiliti mereka dalam parti komponen Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Pada November 2010, PKR telah mengadakan pemilihan partinya sehingga mengakibatkan pelbagai isu dan kontroversi menyelubungi pemilihan terbabit.

Namun begitu, Aziz Bari percaya kematangan dan sikap percaya antara ahli parti yang ditunjukkan oleh PAS merupakan sesuatu perkara yang perlu dilihat rakyat dalam membina kemampuan parti Islam itu untuk terus mencapai matlamat mereka.

"Saya fikir perkara itu tidak timbul kerana setahu saya mereka tidak pernah menafikan untuk menagguhkan pemilihan tanpa sebab dengan erti kata lain mereka yakin dengan kredibiliti dan integriti ahli-ahli parti. Mereka yakin dengan kematangan ahli dan sistem pemilihan dalam parti. Ini merupakan satu perkara yang saya fikir sangat baik kerana kalau kita bandingkan dengan komponen BN jauh sekali. Dengan kata lain mereka percaya dengan diri sendiri,"ujarnya.

"Dibandingkan dengan komponen BN, mereka seolah-olah tidak percaya dengan kemampuan dan ketelusan dalam parti mereka sendiri. Ini perbandingan yang rakyat patut lihat," tegasnya.
Dalam pada itu, Aziz turut mengulangi keyakinan beliau bahawa sebarang keputusan yang berlaku dalam pemilihan Pas tidak akan mengganggu fokus Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya memandangkan ia bukan kali pertama Pas mengadakan pemilihan parti dan perkara ini boleh dilihat melalui cara ahli Pas berpolitik berbanding Umno dalam Barisan Nasional.

Ujar beliau lagi, kematangan Pas perlu dicontohi parti lain dalam usaha mengekalkan keharmonian dalam kalangan ahli parti dan parti komponen.

"Ya ini bukan kali pertama. Saya fikir benda ini dah berlaku sejak dahulu lagi. Ini merupakan satu bukti bahawa, satu parti yang cukup lama, yang tidak mendabik dada tetapi melakukan apa yang mereka sepatutnya lakukan. Ini merupakan satu perkara yang cukup baik," ujarnya.

Muktamar Pas ke-57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun depan di Taman Melewar Kuala Lumpur.

Setakat ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi berjaya mengekalkan jawatan masing-masing tanpa sebarang tentangan.

Tiada ulasan: