Rabu, 18 Mei 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


PKR hadapi risiko diharam, sidang media tengah hari

Posted: 18 May 2011 06:51 PM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13, Parti Keadilan Rakyat (PKR) - komponen Pakatan Rakyat, berhadapan dengan risiko kemungkinan dibatalkan pendaftaran, dipercayai berkaitan dengan pemilihan secara langsung akhir tahun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan PKR telah menerima surat berkaitan dengan tindakan itu daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) awal bulan ini.

"Saya dimaklumkan RoS sudah keluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran, surat diterima baru-baru ini, saya tak pasti tarikhnya," kata sumber.

Sumber itu berkata berdasarkan surat RoS, PKR didakwa melanggar beberapa peruntukan perlembagaan part itu, yang ditubuhkan April 1999.

Bagaimanapun katanya, PKR mempunyai alasan kukuh yang ia tidak melanggar sebarang peruntukan dalam perlembagaannya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan sidang media mengenai isu itu tengah hari ini.

"Kami tak terkejut dengan tindakan RoS ini, tunggu sidang media nanti," katanya lagi.

PKR, yang awalnya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditukar nama semasa selepas proses penggabungan empat tahun kemudian.

Ia mengadakan pemilihan secara langsung peringkat pusat menggunakan kaedah satu ahli satu undi, yang turut menyaksikan masalah dan aduan.

Sejak selepas pilihan raya umum 2008 PKR juga tidak kesunyian daripada kritikan daripada pesaingnya termasuk menggesa agar RoS mengambil tindakan ke atas parti itu.

Parti itu yang menyaksikan prestasi terbaik pada pilihan raya umum 2008 menerusi kerjasama dengan PAS dan DAP turut berhadapan dengan tindakan beberapa wakil rakyat, di kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, keluar atau melompat parti.

Lim Guan Eng: Hapuskan candu besar dahulu

Posted: 18 May 2011 06:35 AM PDT

Kerajaan BN seharusnya menghapuskan terlebih dahulu "candu besar" iaitu pemberian RM19 bilion setahun bagi subsidi gas kepada penjana tenaga bebas (IPP) dan sektor kuasa komersial sebelum menghapuskan "candu kecil" iaitu subsidi gula, petrol dan diesel untuk rakyat. DAP menentang sekeras- kerasnya penarikan subsidi diesel sejak 1 Jun 2011 tanpa terlebih dahulu menghapuskan subsidi gas kepada IPP yang telah menyebabkan inflasi yang teruk kepada peniaga dan pengguna.

Pemerintahan Najib menjangkakan penjimatan sebanyak RM659.3 juta tahun ini dengan menghapuskan subsidi diesel tetapi masih perlu membayar RM116 juta untuk membiayai subsidi sektor pengangkutan awam. Mereka yang terlibat tidak dapat lagi membeli diesel dengan harga RM1.48 per liter tetapi perlu membayar RM1.80 untuk harga pam. Kesemua pembawa kargo, van, lori- lori yang membawa minuman, kapal- kapal yang membawa muatan tepung, barang sejuk beku, tangki air, teksi limousine, van Luton dan kapal laut dalam untuk memancing kategori C-2 akan terpengaruhi oleh kenaikan harga diesel tersebut.

Mengapa rakyat dan 27 juta penduduk Malaysia terpaksa menanggung kenaikan harga ketika beberapa syarikat raksasa di dalam IPP tidak sedikitpun berasa terbeban walau satu sen dengan pemotongan subsidi tersebut? Penghapusan subsidi kepada masyarakat miskin menambahkan derita berikutan upah yang rendah sementara keuntungan IPP meningkat kerana mereka menikmati subsidi gas RM19 juta setahun tersebut. Laporan menunjukkan bahawa 40% isi rumah di Malaysia memperolehi pendapatan kurang daripada RM1500 sebulan dengan beberapa laporan menyatakan bahawa 34 % daripada pekerja di Malaysia memperolehi gaji bulanan di bawah garis kemiskinan iaitu sebanyak RM700.

Antara tahun 2008 dan 2010, bayaran upah hanya meningkat sebanyak 2.6%; bermaksud pada 10 tahun terakhir, trend penerimaan upah dan gaji tidak langsung berpadanan dengan peningkatan kos sara hidup. Ini diikuti dengan hutang isi rumah kepada KDNK iaitu sebanyak 78% dan dijangka akan meningkat hingga 80% dalam tempoh dua tahun akan datang.

Seharusnya ada dua cabang pendekatan dalam menangani penghapusan subsidi yang dianggap sebagai candu oleh Perdana Menteri. Gelaran yang diberikan dilihat seperti tidak sensitif dan tidak adil kepada golongan miskin yang memerlukan beberapa keperluan subsidi untuk mengatasi kenaikan harga barang.

Pertama berkaitan dengan candu rasuah yang lebih besar yang telah menyebabkan kerugian tahunan minimum sebanyak RM28 bilion setahun dengan anggaran beberapa lagi kerugian mencecah US $100 bilion sejak tahun 1980-an. Kedua ialah memadamkan candu besar dari subsidi gas yang sepatutnya boleh diselamatkan puluhan bilion ringgit setahun sebelum menghapuskan candu kecil yang hanya menjimatkan ratusan juta ringgit.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Video Seks Fitnah Diedar Dalam Kawalan Ketat Polis

Posted: 18 May 2011 04:43 AM PDT







BANDAR BARU SELAYANG 18 MEI : Bagaimana video seks fitnah dan risalah lucah boleh diedarkan dalam keadaan kawalan polis yang ketat ?
Itu persoalan yang dilontarkan Pakatan Rakyat Selayang apabila lebih 6000 keping video seks dan risalah lucah diedarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semasa majlis solat hajat anjuran Pakatan Rakyat berlangsung di Stadium Selayang Ahad lalu.

"Program ini dikawal oleh pihak keselamatan, polis yang menjaga sejak dari petang hingga ke malam. Tapi macamana pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menyeludup masuk dan mengedarkan video itu dalam keadaan kawalan polis yang ketat ?," soal Yang Dipertua Pas Selayang, Zaidy Abdul Talib.

Majlis solat hajat yang dikepalai Imam Besar Syiria, Sheikh Dr Wahbah Suhaily pada mulanya berjalan lancar, namun dicemari dengan insiden mengedar video tersebut kira- kira jam 8 malam.
"Dalam masa yang sama kita melahirkan rasa cukup kecewa dan terkejut sangat dan kita tak menjangkakan sebenarnya Umno dan Barisan Nasional boleh bertindak sejahat ini iaitu mereka telah mengedarkan ribuan video-video lucah yang mereka dakwa dan fitnah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim beserta dengan gambar-gambar," katanya kepada Tv Selangor di sini semalam," katanya.

Solat hajat tersebut diadakan untuk menolak fitnah berterusan yang dilemparkan UMNO BN ke atas Pakatan Rakyat.

Umno yang mulakan fitnah dan disokong oleh menteri-menteri, perdana menteri dan sebagainya seluruh kepimpinan Umno menyokong.

Video seks fitnah yang didalangi oleh 'Datuk T' yang merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim kini tersebar secara meluas di Youtube.

Tidak cukup dengan itu, video ini dicetak dalam bentuk VCD dan diposkan kepada pemimpin politik tertentu serta diedarkan di kawasan perumahan termasuk di masjid.
"Bila mana berlaku insiden ini penyebaran ini dan ingin mensabotajkan program kita ini bagi kami tidak lain dan tidak bukan secara adalah jelas tersuluh lagi nyatalah bahawa yang buat ini adalah orang yang bersama-sama Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat Selayang meminta agar polis segera menyiasat perkara itu dan mengekang gejala tidak sihat daripada menular dikalangan generasi muda yang menonton video itu.
"Laporan polis demi laporan poils telah dibuat jadi kita minta supaya pihak polis respons terhadap benda ini," katanya.

Perarakan Solidariti Hentikan Lynas!

Posted: 18 May 2011 02:58 AM PDT

http://buletinonline.net/images/stories/berita47/StopLynasSolidarityWalkPoster.jpgHentikan Lynas! Gerakan Hentikan Lynas akan menganjurkan Perarakan Solidarii Hentikan Lynas pada Jumaat ini 20 Mei 2011 dari KLCC ke Suruhanjaya Tinggi Australia (Australian High Commission).


Perarakan tersebut akan berakhir dengan penyerahan memorandum rakyat kepada Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

Acara ini dianjurkan oleh beberapa NGO antaranya Gabungan Rakyat Hijau, Pemantau Alam Sekitar Kuantan dan Selamatkan Malaysia.(The People's Green Coalition, Kuantan Environmental Watch Group & Save Malaysia).

Perhimpunan akan dimulakan di sekitar Taman KLCC (dekat masjid) sejurus selepas Solat Jumaat kira-kira jam 2 petang dan akan dilanjutkan ke
Suruhanjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng sejurus selepas itu.

Ini merupakan harapan kami bahawa anda akan dapat bergabung dengan kami dalam peristiwa bersejarah dan menunjukkan sokongan anda kepada kami, orang-orang Malaysia, yang menentang industri yang meninggalkan jumlah sisa radioaktif yang tak terbayangkan di tanah kita yang tercinta.

Melalui perarakan ini, kita akan menghantar mesej kepada kerajaan Malaysia bahawa kita tidak akan membiarkan persekitaran dan kesihatan kita dikorbankan atas nama keuntungan.

Dan yang paling penting adalah perarakan ini adalah satu penonjolan hak dan suara dari rakyat Malaysia yang perlu diperjuangkan.

Ramai para aktivis dan ahli politik pembangkang akan akan bergabung dengan kami untuk perarakan ini.

Sesiapa yang mewakili atau ahli Majlis Peguam Malaysia, NGO atau Masyarakat Sivil akan diberikan tag khas Hak Asasi Manusia

Kita perlu kerjasama anda untuk memantau Polis (terutama FRU) supaya mereka tidak melanggar hak-hak dari setiap peserta pada hari tersebut.

BERSAMA, tidak mengira kaum, agama, kelas sosial dan ekonomi, Kita akan berganding baru membuat suatu yang amat penting!

Jumpa kamu disana!


Kenapa Pengundi Hulu Selangor Meningkat Drastik?

Posted: 18 May 2011 02:52 AM PDT



PETALING JAYA 18 MEI : Peningkatan secara drastik jumlah pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor dipercayai berkait rapat dengan sindiket memberikan kewarganegaraan kepada warga asing, seperti yang didedahkan Parti Keadilan Rakyat 10 Mei lalu.

Hasil percaturan licik itu, semalam UMNO Hulu Selangor mengumumkan jumlah pengundi dikawasan parlimen itu meningkat secara drastik iaitu, lebih 15 ribu orang, menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Khalid Jaafar.

Sehubungan itu, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) didesak agar segera menyiasat dakwaan itu dan melumpuhkan segala aktiviti 'menjual' kedaulatan negara itu.

"Memetik Sinar Harian semalam, dia (UMNO Hulu Selangor) kata jumlah pengundi di Hulu Selangor meningkat lebih 15 ribu hasil usaha UMNO Selangor daftarkan mereka," kata Khalid kepada media ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

11 Mei lalu Khalid bertindak membuat laporan polis berikutan bimbang dengan tindakan terdesak UMNO BN yang berikrar mahu merampas kembali Selangor dengan apa jua cara tanpa menyedari tindakan itu akan menggadaikan kedaulatan negara.

Modus operadi memberikan hak kerakyatan itu dilihat mirip kepada projek kad pengenalan di Sabah sewaktu dipimpin oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990.

"Projek kad pengenalan tidak begitu diketahui di Semenanjung tetapi merupakan isu panas di Sabah. Sehingga kini kerajaan BN tidak mahu menangani isu itu dengan serius.

Kita tahu mengapa, kerana Projek kad pengenalan adalah projek UMNO Sabah merubah demografi negeri tersebut bagi memastikan UMNO terus berkuasa," tegas Khalid.

Sementara itu, bekas calon DUN Likas, Dr. Chong Eng Leong mengesahkan kegiatan memberi hak kerakyatan kepada warga asing berlaku secara berleluasa di Sabah.

Eng Leong yag juga penulis buku 'Lest We Forget', adalah individu yang bertanggungjawab membawa petisyen daftar pemilih yang dicemari warga asing ke mahkamah sehingga memaksa pilihan raya kecil DUN Likas diadakan semula pada tahun 1999.

Baru- baru ini, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mendedahkan Ketua UMNO Hulu Selangor, Datuk Idris Jaafar menghantar surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien memohon agar diberi status warganegara kepada kira- kira 2000 warga asing bagi mengundi BN pada pilihan raya umum ke- 13 akan datang.

Pendedahan itu dinafikan Idris dan mengugut untuk mengenakan tindakan mahkamah kepada PKR.

"Dia nak saman saya terpulang, Saya lapor Polis supaya perkara ini disiasat," kata Khalid.

UMNO Hulu Selangor turut mendakwa surat tersebut adalah palsu malah Hishamuddin serta Timbalannya Datuk Lee Chee Liong berkata, kementeriannya tidak akan memberi kelulusan ke atas permohonan kerakyatan penuh kepada warga asing jikapun ia dipohon Umno.

Justeru Khalid berkata, Pakatan Rakyat dan pelbagai pihak mendesak agar ditubuhkan Siasatan Diraja bagi menyelesaikan masalah tersebut namun cadangan itu tidak mendapat sebarang reaksi dari kerajaan pemerintah.

"Projek IC adalah cabaran besar PR. Justeri ia salah satu unsur dalam Buku Jingga. Kita menjanjikan rakyat Sabah untuk selesaikan isu tersebut dan kita juga perlu bersiap siaga kemungkinan sindiket tersebut melebarkan sayapnya ke Semenanjung," kata Khalid lagi.

Dr Chong Dakwa Projek IC Hulu Selangor Sama Seperti Di Sabah

Posted: 18 May 2011 02:51 AM PDT




PETALING JAYA 18 MEI : Modus operandi pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Selangor yang didedahkan oleh ahli parlimen Ampang Zuraidah Kamarudin minggu lalu dipercayai bermotif sama dengan 'Projek IC' atau 'Projek Mahathir' yang berleluasa di Sabah pada tahun 80-an dan 90-an.

Seorang aktivis dari Sabah Dr Chong Eng Leong tampil di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini menceritakan situasi sebenar di Sabah apabila Kerajaan Umno- BN mula merancang rampasan kuasa terhadap Parti Bersatu Sabah (PBS) pada awal 90-an.

Menurut beliau, perancangan itu melibatkan mantan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub

"Seorang bekas Ketua Kampung dan ahli Umno Hassnar Ebrahim ikut bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara...Bila ada yang membantah dia (Megat Junid) kata (Tun) Mahathir benarkan rancangan ini," katanya kepada media di sini.

Caranya menurut Chong cukup mudah iaitu membuat satu surat akuan dan ditandatangani oleh Ketua Kampung yang terlibat dan selebihnya akan diuruskan Kerajaan.

Menurut Chong lagi ia membantu rampasan Umno di Sabah pada 1995 dan meneruskan penerajuaan Umno di Sabah sehingga kini.

"Pada 1991, satu Jawatankuasa Khas Umno Sabah ditubuhkan untuk cari pendatang Asing dan beri mereka IC. Ketua Mereka Musa Aman, Ketua Menteri Sabah kini dan Yahya Hussin, Timbalannya. hal ini didedahkan oleh Jabar Khan, bekas setiausaha Musa sendiri," tegas Chong lagi.

Hassnar dan Jabar telah mendedahkan perkara ini kepada media pada 2006 namun tidak dilayan oleh Kerajaan Umno.

Chong merupakan pengarang buku "Lest We Forget' yang membincangkan mengenai masalah keselamatan dan pendatang tanpa izin di Sabah.

Beliau turut merupakan calon Pilihan Raya DUN Likas bagi PBS pada 1999 dan berhasil membawa petisyen sehingga Mahkamah Tinggi Sabah menolak daftar pengundi bagi kawasan itu dan memaksa berlakunya Pilihan Raya Kecil ketika itu.
Kejadian ini turut memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya meminda Undang-undang Pilihan Raya dengan menetapkan daftar pemilih yang telah digazet tidak boleh dicabar di mahkamah.
Chong turut bersetuju dengan janji buku Jingga Pakatan Rakyat yang akan mengadakan Inkuiri Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat hal ini demi menjamin kedaulatan dan hak rakyat Sabah.

Ini kerana menurut Chong, sehingga 2005, terdapat lebih 600 ribu rakyat yang diragui kerakyatannya di negeri itu.

Pemimpin Pakatan Rakyat seperti Lim Kit Siang telah membawa perkara ini ke Parlimen pada 2008 namun tidak diendahkan Kerajaan Pusat.

Justeru Chong menganggap Pakatan Rakyat merupakan harapan kepada Rakyat Sabah dan Malaysia yang kehilangan hak mereka di tangan pendatang asing ini.

"Umno tak akan buat RCI sebab mereka pun terlibat.

"Janji Pakatan Rakyat dialukan dalam buku Jingga untuk lakukan penyiasatan ini. Akhirnya dapat satu Parti Nasional yang mengambil peduli nasib kami, " kata Chong lagi.

Guru MARAH, Keluar Ketika Muhyiddin BERI PENJELASAN

Posted: 18 May 2011 02:42 AM PDT


KUCHING: Guru-guru sekolah rendah di Sabah dan Sarawak telah menyuarakan kekecewaan mereka dengan kaedah kenaikan pangkat terbaru untuk guru yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru Isnin lalu.

Naib Pengerusi JBKPGM, William Ghani Bina berkata kesatuan-kesatuan guru termasuk guru-guru menengah dan persatuan guru-guru besar telah bertemu semalam untuk membincangkan satu tindakan serta-merta diambil.

Menurutnya mereka akan menulis kepada Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin, mewakili 160,000 guru besar dan guru sekolah rendah, menyampaikan kebimbangan mereka mengenai isu tersebut.

Ghani yang juga Pengerusi Kesatuan Guru Sabah/Sarawak berkata dia telah bercakap kepada Muhyiddin sebaik sahaja selepas sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo di sini.

"Apa yang diumumkan pada Isnin lepas untuk guru siswazah di sekolah sahaja. Siswazah di pejabat dan dalam Kementerian Pendidikan tidak termasuk dalam pengumuman itu," katanya.

Ramai guru yang marah dan keluar daripada sambutan Hari Guru itu ketika Muhyiddin menerangkan peluang-peluang kenaikan pangkat.

"Selepas Muhyiddin menamatkan ucapannya, saya memberitahu dia secara peribadi yang kami tidak gembira dengan ucapan beliau.


"Dia bertanya kepada saya mengapa dan saya memberitahunya kerana pakej itu hanya untuk guru siswazah sekolah menengah sahaja," kata Ghani.


Guru-guru Kecewa

Ghani berkata kesatuan itu melihat guru sekolah rendah ialah yang 'paling penting' dalam hieraki pengajaran kerana mereka berurusan dengan tahun-tahun formatif (awal) pelajar di sekolah.

"Bagi kami, guru sekolah rendah ialah guru-guru paling penting kerana mereka ialah guru-guru paling efektif dan aktif.


"Jika mereka tidak gembira, mereka tidak akan bertugas (mengajar) dengan baik. Kedua, tiada guru mahu menjadi seorang pengetua kerana mereka hanya menerima elaun RM150.00.


"Elaun seorang Guru Besar hanya RM100.00," tambahnya.

Ghani berkata Muhyiddin mendengar penjelasan beliau dan memberitahunya jangan risau kerana dia akan memanggil untuk satu mesyuarat.

"Tidak kisahlah jika Muhyiddin tidak memanggil mesyuarat kerana kami akan bertindak," Ghani berkata.

Pada hari Isnin Najib mengumumkan guru terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) berpeluang menikmati kenaikan pangkat hingga ke gred DG54 berbanding setakat gred DG48 sekarang, mulai 1 Januari depan, selain berpeluang mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Beliau juga mengumumkan guru kini diklasifikasi kepada empat kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Guru Pendeta dengan mereka yang mencapai dua kategori tertinggi berpeluang mencapai sehingga gred DG54.

"Dengan wujudnya ia akan membolehkan guru itu naik kepada gred lebih tinggi berdasarkan prestasi mereka.


"Melalui kaedah baru berkenaan, guru diklasifikasi dalam empat kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Guru Pendeta dengan mereka yang mencapai dua kategori tertinggi berpeluang mencapai sehingga gred DG54 dalam tempoh 25 tahun perkhidmatan, berdasarkan kecemerlangan." Najib berkata.

Azmin : Kecam Tapi Rompak Dasar Buku Jingga

Posted: 18 May 2011 02:31 AM PDT






GOMBAK 18 MEI: Selepas mengecam dan memperlekehkan dasar Buku Jingga, kini pendekatan ekonomi kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dilihat mirip polisi yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

Ini dibuktikan melalui pengenalan kepada lima skim kenaikan pangkat guru-guru pada awal tahun hadapan selain pemansuhan tol Link Timur-Barat yang menghubungkan Cheras dan Petaling Jaya.

Dalam masa yang sama, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak itu dilihat bergelut untuk mengimbangi defisit negara tanpa membebankan rakyat.

Namun menerusi urus tadbir yang goyah kerajaan pusat terpaksa mengorbankan kepentingan rakyat apabila mengumumkan penarikan subsidi diesel negara untuk sembilan kategori kenderaan komersial bermula 1 Jun nanti.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang ditemuramah Tv Selangor menyifatkan pendekatan ekonomi kerajaan pusat sebelum ini terlalu bergantung kepada syarikat-syarikat utama yang dijangka dapat menampung kewangan negara.

Menurutnya, ternyata usaha pembekalan subsidi berbilion ringgit kepada syarikat proksi Umno-Barisan Nasional (BN) memberi unjuran negatif kepada ekonomi rakyat yang memerlukan tindakan penstrukturan semula.

"Persoalannya mengapa subsidi untuk taukeh besar dan syarikat gergasi khususnya syarikat Penjana Kuasa Bebas (IPP) masih mendapat subsidi lebih RM 20 bilion daripada kerajaan pusat.

"Sedangkan subsidi untuk rakyat itu ditarik balik. Maknanya Umno-BN lebih pro kepada taukeh-taukeh besar dan kroni mereka dan tidak pro kepada rakyat majoriti," jelas beliau kepada Tv Selangor.

Najib dalam lawatannya ke London kelmarin mengumumkan penarikan subsidi diesel berikutan kenaikan harga minyak antarabangsa sekaligus mengakui gagal mengawal defisit negara.

Katanya kerajaan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit negara kepada 5.6 peratus dan turun kepada 2.8 peratus menjelang 2015 untuk memastikan kerajaan Umno-BN diangkat semula menjelang pilihan raya nanti.

Malahan tambah Timbalan Presiden PKR itu, serangan yang dikenakan terhadap pengenalan Buku Jingga sebelum ini dirompak sepenuhnya oleh kerajaan Umno-BN untuk dijadikan dasar ekonomi negara.

"Bagi saya, tiada masalah, saya terima baik. Ini satu persaingan yang baik asalkan ianya memberi keuntungan kepada rakyat tetapi jangan mengambil sikap sombong dan angkuh dengan menolak dasar-dasar yang kita cadangkan dalam Buku Jingga dan hari ini mereka pula meniru langkah-langkah yang diambil Pakatan Rakyat," kata beliau lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan harus memberi fokus kepada penyelesaian jangka panjang agar penarikan subsidi bahan keperluan rakyat tidak akan berlarutan.

Beliau yang ditemui selepas program bertemu rakyat di Hulu Kelang turut menyarankan agar kerajaan melihat secara komprehensif dasar-dasar keterbukaan selain mengikis penyelewengan dan ketirisan wang negara.

"Asalkan ianya memberi manafaat kepada rakyat, kita boleh terima cuma masalahnya penyelesaian jangka panjang itu harus diteliti. Mereka tidak boleh berterusan menaikkan harga minyak kerana ianya akan membebankan rakyat majoriti," katanya.

Anwar Ibrahim Muncul Di 'Yahoo Malaysia Question Time' Esok

Posted: 18 May 2011 12:53 AM PDT




PETALING JAYA 18 MEI : Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan rakyat Malaysia pertama dijemput sebagai panelis segmen interaktif Yahoo! Malaysia 'Question Time, esok.

Segmen tersebut akan bermula pada hari Khamis 19 Mei 2011 pada jam 11.30 pagi.

Anwar akan meluangkan masa hampir 1 jam bersama warga siber menerusi platform "Cover It Live" di mana dapat berkomunikasi dengan Anwar secara langsung.

Editor Yahoo! Malaysia akan bertindak sebagai fasilitator.

Sila klik di sini untuk ke platform Cover It Live: http://my.news.yahoo.com/questiontime/

UMNO BN Ketagih Ciplak Tawaran Buku Jingga

Posted: 18 May 2011 12:46 AM PDT






SHAH ALAM 17 MEI : Kritikan lantang kerajaan pemerintah sebelum ini kononnya tawaran 100 hari Pakatan Rakyat akan menyebabkan negara muflis meleset sama sekali apabila sedikit demi sedikit tawaran Buku Jingga itu diceduk UMNO BN.

Sebelum ini, idea memberikan insentif RM500 kepada golongan pendidik diciplak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Najib Razak dan terbaru, cadangan pemansuhan tol turut digunapakai.

Berkuatkuasa semalam, kerajaan pemerintah memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol arah Cheras dan Plaza Tol arah Petaling Jaya, Lebuhraya Hubungan Timur- Barat (Metramac).

Pemansuhan tol ini dilakukan tujuh tahun lebih awal daripada tarikh sebenar dalam perjanjian konsesi yang dijadualkan 31 Mei 2018.
EXCO Selangor, Teressa Kok menjelaskan Pakatan Rakyat sebelum ini akan mengadakan rundingan semula dengan syarikat konsesi tol bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat marhaen.
"Salah satu dasar yang disebut dalam Buku Jingga adalah berkenaan dengan tol. Kita akan merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuh raya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.

"Bila kita masuk Putrajaya antara perkara yang akan dilakukan ialah mengambil balik PLUS, menghapuskan tol, dalam tempoh tujuh tahun. Ini tersebut dalam Buku Jingga kita lihat hari ini juga dua tol di PJ dan Cheras , sudah ada dua plaza tol dihapuskan, dimansuhkan," katanya lagi.
Sebelum ini, kerajaan pemerintah melalui Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan pemberian insentif kepada warga pendidik tidak akan menyebabkan negara mengalami defisit seperti yang seringkali diwar- warkan.

Insentif sebayak RM7,500 kepada kira- kira 924 guru besar dari seluruh negara dilihat mirip kepada tawaran insentif RM500 kepada setiap guru dinegara ini.

Kegugupan kerajaan Najib terhadap kekuatan Buku Jingga dizahirkan apabila media arus perdana diarahkan supaya menghentam rancangan 100 hari Pakatan Rakyat yang disenaraikan dalam Buku Jingga sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Arahan daripada Pejabat Perdana Menteri itu dikesan melalui nota seorang wartawan kanan kepada kepada pengarang dan pembantu pengarang berita Utusan Malaysia yang diletakkan dalam 'satu sistem' akhbar itu pada 21 Mac lalu.

Sehubungan itu, semua akhbar, terutamanya Utusan Malaysia, diminta mendapatkan komen pelbagai pihak — antaranya pemimpin parti komponen BN, penganalisis ekonomi dan tokoh akademik bagi mengambarkan seolah- olah negara akan bankrap jika tawaran Buku Jingga dilaksanakan.

Buku Jingga yang dilancar sempena konvensyen Pakatan Rakyat 2010 antara lain mengutarakan manifesto Pakatan Rakyat jika dapat menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dalam tempoh 100 hari.
Teresa yakin kerajaan Najib tidak hanya menceduk dua idea sahaja dari Buku Jingga itu. Beliau pasti lebih banyak idea Pakatan Rakyat yang bakal diciplak UMNO BN untuk mencerminkan kononnya mereka adalah kerajaan pemerintah yang menjaga kebajikan rakyat.

Umno Punca Melayu Merudum, Kata Azmin

Posted: 18 May 2011 12:44 AM PDT








GOMBAK 17 MEI: Orang Melayu harus menyalahkan kepimpinan Umno dan bukan menunding jari kepada kaum lain di atas kuasa ekonomi Bumiputera yang merudum, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali.

Saham bernilai RM52 bilion yang diperuntukkan kepada bumiputera tetapi dibolot oleh kroni Umno mencerminkan kerakusan dan kerelaan pemimpin parti itu menggadai maruah orang Melayu, kata beliau.

"Orang Melayu hanyut - jangan salahkan orang Cina dan DAP, Orang Melayu masih merempat sehingga kini sebab tangan pemimpin Melayu sendiri," ujar Azmin di majlis dialog di Kampong Pasir Hulu Kelang.

Azmin menegaskan isu RM52 bilion saham ekuiti bumiputera yang lesap dibangkitkan di Parlimen oleh Pakatan Rakyat namun sehingga hari ini belum ada jawapan daripada Perdana Menteri Najib Razak.

Justeru beliau menuntut masyarakat Melayu di negara ini untuk menyedari hakikat bahawa urus tadbir kerajaan pimpinan Najib memberi implikasi buruk kepada kedudukan kaum itu yang semakin ketinggalan.

Beliau berkata Pakatan Rakyat menawarkan pendekatan lebih komprehensif untuk mengangkat taraf hidup rakyat keseluruhan selari dengan pembangunan pesat untuk bersaing dengan negara jiran.

Azmin menasihati agar orang Melayu supaya tidak tunduk dengan dakyah kepimpinan yang mampu menjatuhkan kaum itu sendiri.

"Saya ingin menyatakan isu orang Melayu dan Islam kita (PR) tidak akan berkrompomi. Kita minta supaya jangan guna media pro Umno untuk memecahbelahkan umat Islam," kata beliau lagi.

Azmin menyatakan mandat yang berikan oleh pengundi kepada wakil rakyat PR pada pilihan raya lalu tetap akan dipertahankan.

Katanya, kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa bekerja dua kali ganda untuk memenuhi tuntutan rakyat melalui urus tadbir dan tata kelola yang baik dan pada masa yang sama menangkis fitnah kerajaan pusat.

Jelasnya, tiga puluh peratus keuntungan negeri Selangor yang dipulangkan kepada kerajaan pusat menunjukkan negeri itu masih tonggak utama negara dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Kerajaan negeri menerusi pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mensasarkan pendapatan negeri sebanyak RM1.6 bilion tahun ini iaitu rekod tertinggi dalam peningkatan ekonomi seluruh negara.

"Kalau amanah kita jaga dengan baik, rakyat akan dapat keuntungan tapi jika kita fitnah dah cerca, maka orang Melayu akan berpecah," jelas beliau lagi.

Beliau turut menyentuh kejayaan negeri itu menurunkan premium tanah di kawasan-kawasan sekitar Selangor sejak Pakatan Rakyat mengambil-alih tiga tahun lalu.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata kerajaan Selangor akan mengumumkan dalam masa terdekat mengenai dasar baru premium tanah yang dijangka mengurangkan beban rakyat.

Hak Kerakyatan : UMNO BN Gadai Negara

Posted: 18 May 2011 12:40 AM PDT










SHAH ALAM 17 MEI : Tindakan memberikan hak kerakyatan sewenang- wenangnya kepada warga asing dilihat sebagai cubaan mahu menggadaikan negara.

UMNO Hulu Selangor sebelum ini dikesan menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan menyenaraikan 2000 nama warga asing yang dikenalpasti berpotensi menjadi pengundi BN pada pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Namun pendedahan itu dinafikan Ketua UMNO Hulu Selangor, Datuk Mohamad Idris Abu Bakar dengan ugutan mahu menyaman PKR.

Ugutan saman itu bingkas disambut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida yang bertanggungjawab membuat pendedahan itu berkata, surat rasmi yang dihantar UMNO Hulu Selangor kepada KDN diperolehi dari seorang penjawat awam yang sudah tidak tahan dengan pengkhianatan kepada negara itu.

"Mereka ini adalah pengkhianat, pengkhianat kepada demokrasi, pengkhianat kepada perlembagaan, mengancam keselamatan negara kita dengan membawa warga asing.

"Kita tak marah warga asing yang datang untuk bekerja di sini tetapi kenapakah kerajaan yang rakus dan korup ini sanggup menggadai negara ini menjadikan mereka warganegara untuk mengekalkan kuasa mereka dalam negara," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang menegaskan, UMNO perlu memikirkan strategi yang lebih baik, bukannya dengan melakukan perbuatan khianat kepada kedaulatan negara.

"Ini memang memundurkan politik melayu, memang UMNO suka nak memundurkan orang Melayu dengan politik bodoh, lucah dan porno.

"Bila pendatang itu digunakan sebagai warganegara, apa akan terjadi kepada persekitaran kita? Kalau perkara ini digunakan, maka negara kita akan lebih mundur daripada apa yang ada sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan seramai 1,400 orang yang hadir dalam program ceramah majlis penerangan Jelajah Selangor atau 'JELAS- Tawan Malaysia' malam tadi di Dewan Kg Labohan Dagang, Dengkil (Markas PAS).

HADIR KE PROGRAM KEBANGKITAN WARGA FELDA PAHANG

Posted: 18 May 2011 12:38 AM PDT

Ibrahim Ali Boleh Disabitkan Bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan

Posted: 18 May 2011 12:24 AM PDT




SHAH ALAM 18 MEI : Seksyen 298A Kanun Keseksaan boleh dikenakan ke atas ahli parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali kerana mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci, niat jahat atau memudaratkan ekoran pengisytiharan perang salib yang dibuatnya.

Namun menurut N Surendran melihat kepada perkembangan semasa dan pengalaman lalu, adalah tidak mustahil seseorang yang membangkitkan isu sensitif dan menimbulkan ketegangan seperti Ibrahim akan terlepas daripada tindakan perundangan.

" Malangnya kuasa mutlak untuk membuat tuduhan adalah hak peguam negara. Dan kita tahu peguam negara berpihak kepada kerajaan," kata Surendran.

" (Namun) kesalahan itu jelas dan itu bukanlah tempat atau hak Nazri untuk melepaskan Ibrahim Ali. Undang-undang dan sistem keadilan jenayah di negara ini perlu diteruskan," tambah Surendran lagi.

Menteri Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri semalam berkata, tidak ada tindakan yang boleh diambil ke atas Ibrahim kerana kenyataan seumpama itu sudah menjadi norma di Malaysia pada waktu ini.

Katanya, walaupun kenyataan itu mungkin tidak disenangi, tetapi rakyat "perlu hidup" dan "jadi matang" dalam menangani watak-watak seperti Ibrahim Ali.

"Adalah sukar untuk bertindak terhadap Ibrahim sekarang dengan adanya Twitter dan blog... kerana kita tidak boleh memilih dalam membuat membuat pendakwaan," Nazri dipetik sebagai berkata kepada portal Malaysiakini.

Ibrahim pada 14 Mei lalu dalam satu ceramah di Kampung Changkat Gombak berkata, sekiranya orang Kristian meneruskan agenda seperti yang didakwa Utusan Malaysia, beliau akan melancarkan perang salib ke atas penganut Kristian.

Sebelum Nazri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien membayangkan ugutan Ibrahim untuk melancarkan perang salib bukanlah sesuatu yang memudaratkan.

Hujah beliau, ugutan itu hanya "mencerminkan tahap pemahaman yang berlainan".




Tiada ulasan: