SIASAH |
Najib dan kekalahan Manchester United Posted: 30 May 2011 02:57 AM PDT Oleh HARIS ZALKAPLI Perhimpunan sejuta belia di Putrajaya semalam memberi tanda-tanda kegemilangan pada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak. Program di seberang lain oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan diatur dengan tergesa-gesa, dengan kehadiran belia yang terhad, dan dengan tajuk generik "sesi ramah mesra." PAS pula beberapa bulan lalu hanya dapat mengumpul 30,000 pemuda di Kedah. Najib menurut laporan media pro-Umno dapat mengumpulkan sejuta belia. Kemuncak program Najib itu ialah perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah menemukan pasukan bola sepak ikon budaya popular, Manchester United dengan pasukan Sepanyol, Barcelona. Najib hadir sebagai penyokong pasukan paling popular - tetapi menjengkelkan pada pandangan sesetengah pihak - Manchester United, lengkap dengan jersi dan aksesori lain. Kemenangan Manchester United boleh memberikan poin besar kepada beliau, lebih-lebih lagi memandangkan usaha Najib mendekatkan diri dengan golongan muda untuk membina dan mengukuhkan sokongan mereka. Pemerintah juga kini semakin biasa mempolitikkan sukan untuk membina sentimen positif, seperti dilakukan ketika Kelantan menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu. Walau bagaimanapun, Manchester United tidak berjaya, tewas kepada Barcelona dengan jaringan 1 berbalas 3, keputusan yang kemudian mencetuskan pelbagai kritikan keras termasuk dari media Inggeris sendiri. Poin besar yang diharapkan Najib tidak kesampaian, dan mendedahkan dirinya kepada sindiran-sindiran, seperti yang biasa, disebut sebagai menjadi punca kekalahan pasukan popular itu (walaupun ada juga yang mengaitkannya dengan isteri beliau yang sering dikait dengan imej negatif). Sindiran seperti ini sememangnya bersifat murahan, tetapi memberi sedikit poin kepada penentang Najib dan parti pemerintah untuk dijadikan bahan jenaka buat seketika. Boleh dijangkakan, media propemerintah hari ini penuh dengan laporan-laporan dan komentar mengaitkan Najib dengan kemenangan sekiranya Manchester berjaya, tetapi menjadi laporan sukan biasa apabila pasukan sokongan perdana menteri itu tidak mencapai kemenangan. Tetapi, sebagai pemimpin yang semakin selesa dan berjaya memanfaatkan budaya popular - termasuk Facebook, Twitter dan kemunculan di radio popular bersama DJ selebriti - kehadiran Najib menonton perlawanan itu, dengan publisiti yang meluas, sekurang-kurangnya telah berjaya mendekatkan dirinya dengan golongan belia. Sedikit demi sedikit, permainan imej melalui budaya popular oleh Najib kini semakin menunjukkan kesan, terutama pada tahun ini, ketika pilihan raya umum akan datang dirasakan semakin dekat. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan