Selasa, 10 Mei 2011

Politiksukusakat

Politiksukusakat


Nik Aziz kritik Utusan Malaysia

Posted: 10 May 2011 07:34 PM PDT

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap akhbar Umno, Utusan Malaysia yang mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa melabelkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'pandi kutty'.

Menulis di Facebook, semalam, Nik Aziz berkata adalah menghairankan bagaimana Utusan, sebuah akhbar yang menjadi juara penyebaran kelucahan kepada masyarakat kini mahu menjuarai adab sopan.

"Saya terbaca tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini (10 Mei), "Anwar Dikecam," kononnya kerana guna kata-kata kesat serang Perdana Menteri.

"Hairan saya, akhbar yang menyebarkan segala bentuk kelucahan dalam masyarakat hari ini menjadi juara adab sopan?" tulisnya.

Utusan Malaysia pada muka depannya semalam meletakkan tajuk 'Anwar dikecam' dengan membawa beberapa pandangan individu membidas sikap Anwar yang didakwa melabelkan Najib sebagai 'pandi kutty' - perkataan bahasa Tamil yang bermaksud anak babi.

Malah, akhbar milik Umno itu mencetak bidasan seperti pemimpin Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin yang berkata Anwar mengalami "sindrom pra-haid (PMS), kesan daripada kes liwat dan video seks yang sedang dihadapinya."

Gesaan yang tepat

Hamidzun seperti pemimpin-pemimpin Umno yang lain termasuk Khairy Jamaluddin, Datuk Ibrahim Ali dan Mohammad Ezam Mohd Noor membidas Anwar hanya berasaskan laporan Utusan, tanpa mengesahkan kesahihan komen Anwar itu.

Mengulas isu yang sama, Najib dalam laporan Bernama, berkata kata-kata kesat yang dilemparkan itu tidak menjejaskan waktu tidur beliau.

"Ini tak menyebabkan saya tak tidur jendera (lena) waktu malam kerana dia (Anwar) buat sebutan sebegitu sebab saya yakin rakyat boleh menilai perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin sepertinya," katanya.

azlanNajib juga berkata ketua umum PKR itu sebagai sudah terjebak mengamalkan politik tidak beretika dan yakin rakyat boleh menilai sikap sebenar Anwar.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, gesaan MCA sebelum ini agar Utusan dipulaukan, sangat tepat.

"Tepat sungguh gesaan MCA agar Utusan Malaysia dipulaukan,"tulisnya lagi.

MCA bulan lalu menggesa rakyat Malaysia supaya memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mecadangkan gerakan '1Melayu, 1Bumi' diutamakan. Parti itu mendakwa cadangan itu adalah untuk menghalalkan diskriminasi kaum.

Sebarkan fitnah

Anwar dalam Twitternya semalam menulis serangan terbaru isu 'pandi kutty' terhadapnya itu adalah fitnah terbaru Umno BN.

Menurut laporan TV Selangor yang merakam penuh ceramah Anwar di Klang, Sabtu lalu itu, ketua pembangkang itu tidak langsung menghemburkan perkataan itu terhadap Najib.

Sebaliknya Anwar pada ceramahnya berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul pandi kutty." kata Anwar pada ceramah tersebut.

Sebelum ini, Utusan juga dikecam banyak pihak berikutan tindakan keterlaluan akhbar itu menyiarkan pelbagai berita fitnah di muka depan laporan serta gambar, termasuk berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan Anwar .

Sabtu lalu, akhbar itu mendakwa golongan paderi bersekongkol dengan DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini.

NIlailah pimpinan bagaimana yang perlu menjadi pilihan?

Posted: 09 May 2011 11:17 PM PDT

WAN NORDIN WAN YAACOB

Sejak dari awal lagi mesyuarat PAS Kawasan dan di peringkat negeri berjalan, cerita-cerita pemilihan adalah fokus yang paling hangat diperkatakan.

Malah semasa kempen Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak 6 hingga 16 April lalu juga, isu pemilihan dalam PAS sudah mula diperkatakan.

Turun sahaja pimpinan tertentu berkempen di Sarawak di kawasan tertentu, ada yang menggambarkan 'nampak seperti mahu bertanding, ada juga yang menyatakan, seolah-olah mahu kekal dalam jawatan yang disandang'.

Nah pelbagai persepsi mula timbul, dan kini setelah lebih 100 kawasan bermesyuarat di seluruh Malaysia, mula timbul pula soal siapa bakal menjadi pimpinan tertinggi parti bermula daripada AJK PAS Pusat, Ketua-ketua Dewan, hinggalah kepada jawatan tertinggi dalam parti, Presiden, Timbalan dan Naib-naib.

Setakat hari ini, penyandang jawatan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan kekal selaku Presiden dengan tiada pencabar walaupun Kawasan Bukit Bintang mencalonkan Dato' Paduka Husam Musa selaku Presiden.Namun Husam awal-awal menolak.

Di peringkat Timbalan, penyandangnya, Ustaz Nasharudin Mat Isa bakal berdepan dengan bekas pencabarnya, Haji Mohammad Sabu, sementara Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man serta Salahuddin Ayub juga mendapat pencalonan bagi kerusi Timbalan.

Sebelum ini Tuan Ibrahim telah menolak untuk bertanding Timbalan walaupun kini beliau mendapat 17 pencalonan.Mohammad Sabu menggungguli pencalonan dengan 70 kawasan memberi sokongan kepadanya, sementara penyandang, Nasharudin Mat Isa ditangga kedua dengan 39 pencalonan.

Di peringkat Naib Presiden pula, Tuan Ibrahim, Salahuddin, Dato' Mahfuz Omar, Dato' Nik Amar Nik Abdullah, Mujahid Yusof Rawa, Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan Dato' Takiyuddin Hassan dicalonkan.

Namun, setakat ini hampir pasti Mahfuz, Salahuddin, Tuan Ibrahim akan mempertahankan jawatannya, sementara Nik Amar dan beberapa nama yang lain masih belum memberi persetujuan bertanding.

Perihal pertandingan ini bakal memeriahkan lagi suasana demokrasi dalam PAS.PAS sebagai sebuah parti Islam bakal sekali lagi berdepan dengan perhitungan untuk memilih saf depan parti bagi dipertaruhkan kepada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Ada suara sahabat kalangan pengamal media memperincikan, jika PAS mahu berdepan dengan Umno, tokoh yang harus membarisi saf depan PAS adalah tokoh yang mampu, dan berani menentang Umno-BN.

Ada juga kalangan sahabat sekampus belajar dahulu yang kini sudah menjadi pensyarah di kampus-kampus awam mencadangkan agar, perwakilan PAS memilih orang yang benar-benar teruji akan perjuangannya untuk berentap dengan Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Ada pula kalangan sahabat yang baru pulang dari pengajian di Timur Tengah mencadangkan agar perwakilan memberikan amanah kepada orang yang bergama.

Tertarik penulis kepada telahan seorang aktivis lama PAS sewaktu berbual semalam, katanya "ORANG YANG MASUK PAS NI SAHABAT, SEMUANYA ORANG YANG SAYANGKAN ISLAM, YANG NAK KEPADA PERJUANGAN ISLAM KERANA PAS PARTI ISLAM, "

Tambah sahabat itu lagi, soal ahli itu bukan berlatarbelakangkan agamawan sebenarnya tidak perlu timbul kerana yang menyertai PAS sejak dahulu adalah orang yang sanggup berdepan dengan Umno BN untuk menyatakan ISLAM harus didaulahkan!

Tiada ulasan: