Selasa, 24 Mei 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Terkini: Sah, Pesuruhjaya PAS Pahang Serta Naib Presiden PAS Pusat Akhirnya 'Setuju' Bertanding Timbalan Presiden Pada Pemilihan Parti Jun Ini !

Posted: 23 May 2011 10:40 PM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Mei - Pesuruhjaya PAS Pahang dan juga Naib Presiden PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) hari ini mengesahkan bakal bertanding jawatan Timbala Presiden dalam pemilihan parti itu Jun ini. Dato' Tuan dalam terdahulu berkata dia telah menerima surat rasmi daripada Jawatankuasa Pemilihan PAS pada 22 Mei 2011. Difahamkan dia telah mendapat pencalonan untuk dua jawatan, iaitu jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak memberangsangkan. Walaupun telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa dia lebih berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerjanya dalam parti sebagai Naib Presiden sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar. "Saya tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang saya terima, namun ianya suatu jumlah yang memerlukan saya untuk memikirkannya semula hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan. Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan hati yang terbuka, pada masa yang sama saya menyerahkannya kepada perwakilan untuk membuat keputusan", kata satu kenyataan medianya hari ini.

[Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkannya. "Dengan rendah diri, saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama. Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam", tambah beliau lagi. Kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato' Tuan atas keputusan yang amat dinantikan oleh akar umbi PAS itu. Semoga beliau akan memenangi jawatan tersebut bagi menaikkan lagi imej negeri Pahang selepas ini].

Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Tian Chua Untuk Merayu Hukuman Denda RM2,000, Tetapi Masih Kekal Sebagai Ahli Parlimen Kawasan Batu!

Posted: 23 May 2011 03:56 PM PDT

KUALA LUMPUR 24 Mei - Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan ahli parlimen Batu, Tian Chua (foto) untuk merayu hukuman denda sebanyak RM2,000 atas kesalahan menghalang tugas polis yang dijatuhkan ke atasnya sebelum ini. Peguamnya Amer Hamzah Arshad bagaimanapun berkata, Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR masih kekal sebagai Ahli Parlimen walaupun hukuman dan denda berkenaan dikekalkan oleh mahkamah rayuan. Bercakap kepada pemberita, Amer Hamzah berkata, status Tian Chua itu adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lalu bahawa mahkamah tidak mahu satu pilihan raya kecil berlaku. Mahkamah Rayuan menolak permohonan Tian Chua secara sebulat suara memandangkan notis itu lewat difailkan. Sebelum itu, mahkamah turut menerima bantahan daripada pendakwaan yang diketuai timbalan pendakwa raya Mohd Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof. Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Balia Yusuf Wahi ketika membacakan keputusan itu berkata, rayuan berkenaan ditolak kerana proses memfailkan rayuan itu dijalankan secara "tidak cekap" Jelasnya, Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos lalu telah membenarkan permohonan untuk mendengar hujah bagi rayuan tersebut. Bagaimanapun, pemohon berkenaan tidak memfailkan notis rayuan itu di pendaftar yang sepatutnya pada 6 September, 2010, kata Balia Yusuf lagi. "Apabila diberitahu berhubung kesilapan itu oleh pendaftar mahkamah pada 5 Oktober, 2010, meraka memfailkan permohonan itu pada keesokan harinya," katanya.

Isu Lynas: Empat "Fakta Panas" Serta Meragukan Berkenaan Proses Kelulusan Kilang Rare Earth Di Dedah Oleh "Persatuan Pengguna Pulau Pinang"!

Posted: 23 May 2011 01:21 PM PDT

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan seluruh proses kajian semula terhadap loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan seluruh proses kajian semula terhadap loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang. "Terdapat dua proses kelulusan yang berasingan iaitu Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) di bawah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Presiden CAP, SM Mohamed Idris (foto) mendakwa, di luar pengetahuan orang ramai, Penilaian Kesan Alam Sekitar Awal (PEIA) untuk Lynas tidak meliputi faktor radiasi dan kesihatan. "Pada hakikatnya, PEIA tidak menjelaskan pengecualian aspek radiasi daripada skop EIA dalam pengenalannya. Sebaliknya, pengecualian itu hanya dinyatakan secara khusus dalam bab kemudian, contohnya Bab 8 'Ringkasan dan Rumusan' (muka 8-13)," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. "Sebagai tambahan, PEIA ada menyebut tentang Penilaian Kesan Radiologi (RIA) tetapi dalam keadaan yang tidak jelas. Contohnya, dalam Bab 2 PEIA, ia menyatakan 'Agensi Nuklear Malaysia (MNA), perunding radiologi yang dilantik oleh Lynas pada ketika ini sedang berusaha mengenalpasti dalam isu-isu keselamatan radiasi berhubung penyimpanan, pengendalian dan pengangkutan lanthamide'. "Pada akhir Bab 3, PEIA menyebut buat pertama kali bahawa sisa yang dihasilkan dalam operasi loji adalah berradioaktif dan penyimpanannya akan dilakukan menurut saranan berdasarkan kepada 'Penilaian Kesan Radiologi' MNA yang dijalankan untuk projek itu (muka 3-7)," tambah beliau lagi.

Kelulusan Segera JAS Pahang Sangat Meragukan

Idris mendakwa projek Lynas mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS Pahang) cuma dalam tempoh dua atau tiga minggu selepas penyerahan cadangannya. "JAS menerima PEIA pada 21 Januari 2008 dan diluluskan pada awal Februari. Bagi projek sebegitu komplek yang melibatkan bahaya radiasi dengan cadangan pengurusan, penyimpanan, dan pelupusan sisa yang kabur, kelulusan segera tersebut menimbulkan persoalan yang serius. "Ini terutamanya apabila PEIA diserahkan dan diluluskan, RIA mengenai isu keselamatan radiasi masih dalam proses sedang ditulis oleh MNA untuk diserahkan kepada AELB," katanya. Sehubungan itu, katanya, CAP berasa bimbang: Pertama, bagaimana PEIA boleh menyarankan Pilihan Binaan (muka 3-8) apabila isu keselamatan radiasi masih belum dipertimbangkan? Bagaimana JAS negeri meluluskan PEIA dengan keadaan tergesa-gesa? Perlu diingat, katanya, bahawa dalam PEIA, cadangan pengurusan sisa adalah kabur dan tidak mencukupi. Ia termasuklah perkara berikut iaitu pertama, Ruang untuk sel simpanan sisa bawah tanah amat terhad memandangkan air bawah tanah amat dekat dengan permukaan; Kedua, Kawasan itu juga mudah terjejas kepada mendapan kerana ia adalah bekas kawasan tanah paya; Ketiga, Pelepasan sisa berbahaya ke dalam Sungai Balok dan seterusnya ke laut; dan keempat, Sisa radioaktif beracun dan berbahaya yang sepatutnya disimpan dengan teliti dalam kolam khas dan sel simpanan di tapaknya tetapi dicadangkan untuk digunakan semula sebagai baja, konkrit, papan plaster, untuk jalan dan sebagainya (muka 5-58, 59)." katanya.

Wujudnya Dua Penilaian Kesan Selari Serta Bebas

Kedua, terdapat RIA yang bebas daripada PEIA bermakna kini wujud dua penilaian kesan yang selari dan bebas. "Ini berbahaya kepada seluruh proses kajian semula. Di bawah undang-undang alam sekitar Malaysia, JAS adalah pihak berkuasa penyelaras utama terhadap isu berkaitan alam sekitar dan kesannya ke atas kesejahteraan rakyat negara ini. "MNA dan AELB adalah penggalak teknologi nuklear dan ini mungkin menimbulkan konflik kepentingan memandangkan MNA adalah perunding yang menulis RIA untuk Lynas. Oleh itu, sejauhmana berkesannya JAS dalam mencapai mandatnya untuk melindungi alam sekitar dan kesejahteraan rakyat negara ini?" soalnya. Idris juga bertanya sejauhmana bebas dan autonominya JAS daripada MNA dan AELB dan adakah dasar dan keputusan JAS akan jadi kurang penting berbanding kepentingan AELB? "Adakah JAS terpaksa serah peranannya kepada AELB dalam perkara yang berkaitan nuklear dan isu yang berkaitan radiasi dan kesannya? "Persoalan ini amatlah penting terhadap kredibiliti proses kajian semula Lynas," kata beliau lagi.

Prosedur Kelulusan AELB Sungguh Mengelirukan

Ketiga, kata Idris, apakah penilaian RIA dan prosedur kelulusan di bawah AELB? "Sementara proses EIA umum di bawah JAS diterbitkan secara meluas dan mudah diperolehi (contohnya dalam laman sesawang JAS), secara perbandingannya, proses RIA terus tidak diketahui. 'Agensi kerajaan manakah yang berada di dalam panel kelulusan RIA? Apakah kriteria untuk penilaian RIA? Kenapakah RIA dan kandungannya tidak dapat diperolehi untuk pemeriksaan pakar bebas?". Keempat, katanya, Lynas dikehendaki memohon kepada AELB lesen yang berasingan untuk menduduki, pembinaan, pengimportan bahan radioaktif, penimbunan sisa radioaktif di tapak, operasi sementara dan operasi kekal. "Adalah tidak jelas jika Lynas punyai semua lesen untuk beroperasi. AELB berkata hanya lesen menduduki dan pembinaan yang diluluskan." katanya. Kelima, tambah Idris, PEIA yang dilakukan tergesa-gesa itu juga kekurangan penilaian sosio-ekonomi yang sempurna.

Penilaian Manfaat Kos Tidak Pernah Di Lakukan

"Tiada Penilaian Manfaat Kos (CBA) dilakukan. Alasan utama yang diberikan dalam PEIA untuk saranan Pilihan Binaan untuk projek Lynas ialah pulangan ekonomi dan kewangan yang besar. "Kekurangan analisis sosio-ekonomi yang sempurna dan CBA membuktikan cadangan Pilihan Binaan adalah tidak betul. "Contohnya, apakah nilai untuk kesihatan awam, pelancongan, perikanan dan industri lain di kawasan itu dan apakah yang akan berlaku apabila ia terjejas oleh projek Lynas? "Mereka juga perlu mempertimbangkan contoh kesan kesihatan jangka panjang dalam kes Asian Rare Earth di Perak, dan industri nadir bumi di China," kata Idris sambil menambah bahawa terdapat isu-isu penting yang perlu ditangani berhubung projek Lynas. Katanya, berdasarkan kepada perkara yang disebutkan di atas, CAP dan SAM menyarankan bahawa, pertamanya, Projek Lynas dihentikan dalam usaha untuk menangani isu, termasuk Pelan Pengurusan Sisa (WMP) yang menurut pakar perlombongan Australia dilaporkan sebagai berkata, 'masih belum didedahkan oleh Lynas'; Kedua, Penilaian bersepadu dan telus perlu dilakukan untuk projek yang memerlukan EIA dan RIA. Ini boleh mencegah PEIA atau DEIA (EIA lengkap) diluluskan tanpa mengetahui sepenuhnya kesan keselamatan radiologi dalam RIA; Ketiga, DEIA diperlukan mengikut undang-undang bagi sebarang projek yang memerlukan RIA, dengan itu memastikan proses kajian semula yang lebih teliti. Ini wajar, memandangkan aktiviti kurang berbahaya memerlukan penilaian kesan alam sekitar yang lengkap. Seterusnya tidak seperti PEIA, DEIA memastikan penyertaan awam satu mandatori; Keempat, Analisis sosio-ekonomi yang sempurna diperlukan bagi semua EIA, sama ada peringkat awal atau terperinci; dan Kelima, Ahli politik negeri dan persekutuan seharusnya tidak membuat dakwaan bahawa projek kontroversi itu adalah selamat memandangkan pengesahan politik yang tidak bertauliah itu menjadikan kelulusan projek itu bersifat politik, amat berat sebelah dan berbahaya. Malaysikini


[Sesungguhnya apa yang didedahkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ini adalah sesuatu yang cukup ilmiah dan berfakta. Ternyata, benarlah bagai dikata bahawa projek pembinaan kilang Lynas di Gebeng itu dilakukan secara tergesa-gesa tanpa mengambilkira banyak faktor sebenarnya. Malah, terdapat juga rungutan daripada pihak yang berkenaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang mereka ditekan oleh pihak tertentu agar mempercepatkan proses berkaitan pembinaan kilan memproses rare earth tersebut. Kini, tiada alasan dan tiada lagi helah yang dapat dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meneruskan projek berisiko ini. Jika benar mereka "mendahulukan rakyat" maka projek itu haruslah dibatalkan, kerana banyak pelanggaran undang-undang telag berlaku. Apakah rakyat boleh percaya dengan pakar-pakar antarabangsa yang akan datang membuat kajian terhadap projek tersebut hujung bulan ini. Apa sangat yang boleh dilakukan oleh pakar-pakar terbabit jika mereka juga akhirnya ditekan supaya bersetuju dengan projek itu. Bukankah ini sesuatu yang akan mengecewakan rakyat. Lantaran itulah projek ini haruslah dibatalkan dalam apa jua keadaan sekali pun. Jangan biarkan rakyat terus hidup dalam tekanan akibat berhadapan dengan risiko radioaktif dari kilang berkenaan. Marilah kita selamatkan Malaysia serta generasi akan datang !].

Tiada ulasan: