KAJANG21 Mei – Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini hari ini. Setakat pukul 7 petang ini, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis. Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan. "Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata, rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki. Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang ini. Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit itu menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali.
[Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau. "Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian. Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang. Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat PutrajayaMorni Mamat berkata sehingga pukul 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat].
KUANTAN,21 Mei - Gara-gara tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan terhadap mereka, maka kira-kira 1,700 orang nelayan Kuantan mengadakan mogok dan protes besar-besaran hari ini. Protes yang diadakan berhampiran Jeti Sg.Kuantan (Taman Esplanade) itu bermula jam 11.00 pagi itu dan berakhir kira-kira jam 1.30 petang. Orang ramai yang lalu lalang dan bersantai di kawasan itu terkejut melihat beratus-ratus buah bot nelayan berlabuh secara berkumpulan di kawasan terbabit. Paling mengejutkan, majoriti daripada bot-bot tersebut didapati mengibarkan bendera UMNO. Tidak diketahui apakah motif mereka, namun apa yang jelas tindakan tersebut menyebabkan pihak berkaitan tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya menyaksikan sahaja dari jauh. Mungkin jika mereka mengibarkan bendera parti pembangkang, sudah pasti pihak berkuasa akan mengarahkan mereka bersurai agaknya. Menurut sumber, mogok tersebut bertujuan untuk menyatakan protes mereka kepada pihak kerajaan kerana memberi layanan istimewa kepada nelayan asing untuk berkeliaran di perairan negara ini. "Kami kecewa nelayan Vietnam diberikan kemudahan subsidi diesel oleh pihak kerajaan, sedangkan kami terpaksa membayar harga yang tinggi untuk membeli minyak itu", kata seorang nelayan.
Bukti, bendera UMNO berkibar pada bot nelayan yang mogok tersebut Antara ratusan bot nelayan mogok yang disusun dekat Jeti Sg.Kuantan
Menurut mereka lagi, protes terpaksa diadakan selepas melihat tiada langsung tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa akan masalah ini. "Nelayan Vietnam mengganggu kawasan kami, mereka menggunakan pukat yang panjang sehingga 2 kilometer dengan dua buat bot besar (sepasang) untuk menangkap ikan di perairan negara kita. Ini menyebabkan rezeki kami merudum. Mereka dijaga oleh orang berkepentingan di Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sendiri. Orang tempatan dibiarkan menyewakan lesen menangkap ikan kepada nelayan asing. Kami sudah beberapa kali mengadu tetapi mereka abaikan. Maka itulah kami terpaksa turun memprotes hari ini", kata seorang nelayan yang juga AJK Persatuan Nelayan Kuantan. Persoalannya sekarang, kenapa jabatan terbabit gagal bertindak sedangkan terbukti mereka menjejaskan pendapatan nelayan tempatan. Malahan majoriti nelayan tempatan juga adalah penyokong kerajaan dan merupakan ahli UMNO dan MCA itu sendiri. Kenapa mereka diabaikan dan masalah mereka tidak diselesaikan sejak sekian lama. Kenapa nelayan asing (Vietnam) boleh beroperasi di perairan negara kita, sedangkan ia jejas memperjudikan kedaulatan kita.
[Difahamkan protes itu sepatutnya berlangsung hingga jam 2.00 petang, namun dek kerana kehadiran beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Ahli Parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh maka kesemua nelayan terbabit diarahkan meninggalkan lokasi berkenaan. Ada diantara mereka marah dengan kehadiran pemimpin pembangkang, yang kononnya mengganggu kelancaran protes aman berkenaan. Dalam keadaan huru-hara seperti itu pun mereka nyata takut kepada kerajaan UMNO BN, sedangkan nasib mereka tidak dibela oleh mereka. Justeru itu, kita agak hairan dengan sikap nelayan-nelayan ini yang seolah-olah hidup dalam tekanan gara-gara mahu membuat protes mempertahankan hak-hak mereka. Kami sedang mengadakan rundingan untuk mendapatkan info lengakp berkenaan isu ini. Sesungguhnya, jika benar ada yang menyewakan lesen mereka kepada nelayan Vietnam maka itu adalah satutindakan penderhakaan yang tidak wajar dilakukan rakyat Malaysia].
KUALA LUMPUR,20 Mei - Ratusan orang berhimpun bagi membantah pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan yang dimiliki syarikat Lynas yang berpengkalan di Australia. Mereka yang terdiri daripada anggota Pemuda PAS, PKR, Parti Sosialis Malaysia (PSM), NGO dan aktivis sosial itu mengadakan perhimpunan di hadapan Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur. Sambil mengiringi enam wakil mereka untuk menghantar memorandum bantahan berhubung pembinaan pusat itu yang dikatakan akan mengeluarkan bahan radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar Gebeng di negeri itu. Mereka juga membawa pelbagai sepanduk, poster dan kain rentang yang menuntut kerajaan supaya segera menghentikan projek berkenaan. Ia antaranya bertulis "Selamatkan Bumi, Hapuskan Radiasi" dan "Katakan tidak Pada Radiasi! Hentikan Lynas!". Penunjuk perasaan mula berkumpul di Masjid As Syakirin KLCC sebelum berarak menuju ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia yang terletak kira-kira 700 meter dari selepas solat Jumaat. Sewaktu tiba di pada jam 2.15 petang mereka turut melaungkan "Hancur Lynas, Hidup Rakyat" berulang kali. Mereka kemudiannya disertai oleh ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, empat wakil NGO dan aktivis sosial sebelum memasuki perkarangan pejabat tersebut. Turut hadir ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Naib Presiden PKR, Tian Chua, Naib Ketua AMK PKR Azmizam Zamanhuri, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dan exco Kerajaan Selangor Rodziah Ismail dan Elizabeth Wong. Sejurus mereka masuk, hujan turun dengan lebatnya, tetapi penyokong anti-Lynas tidak berganjak dan terus berhimpun sambil menyanyikan 'Suara Rakyat' dan bertakbir.
Mereka dikawal lebih 50 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Malah kelihatan sebuah bas dan sebuah kereta meriam air diparkir di hadapan kedutaan itu. Beberapa siri penerangan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Pahang di sekitar Kuantan baru-baru ini dilihat tidak beri kesan positif. Kerajaan pada 22 April lalu telah juga mengumumkan penubuhan satu panel bebasbagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kilang itu. Sebelum ini, ramai aktivis yang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana mengadakan demonstrasi di seluruh negara. Bantahan hari ini diketuai pemimpin PAS Pahang Ustaz Suhaimi Saad yang merupakanNaib Yang Dipertua PAS Indera Mahkota dan bekas Ketua Pemuda Pahang.
Memulakan ucapannya, Suhaimi melaungkan "Kami bukan tikus makmal, Kami mahu Lynas undur" sambil ikuti oleh penyokong yang hadir di situ. "Kita menolak industri daripada Lynas yang dibawa dari jarak 2,500 kilometer ke negeri Pahang. Kita tidak izinkan secubit tanah diberikan (kepada mereka) di negeri Pahang," katanya. Katanya, sebelum ini Malaysia mempunyai 'sejarah hitam' yang menimpa penduduk di Bukit Merah, Perak dan rakyat perlu mempelajari daripada pengalaman tersebut. Manakala Rodziah yang juga Timbalan Ketua Wanita PKRmenegaskan kerajaan Selangor bersama-sama rakyat Pahang menentang habis-habisan pemprosesan nadir bumi itu.
Rakyat Tidak Yakin Jaminan Projek Lynas Selamat
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan Fuziah pula berkata pihaknya telah menyampaikan kebimbangan rakyat di Malaysia khususnya penduduk di Kuantan. Katanya, pembinaan tempat pemprosesan nadir bumi itu bukanlah satu amalan yang baik dilakukan di negera ini. "Tidak ada kilang yang menjadi rujukan (dalam pembinaan pusat ini). Jadi kita tidak boleh buat sebarangan. Industri ini banyak mengundang bencana kepada semua. "Lynas ada tanah di Australia, tetapi kenapa tak dibuat di sana," katanya yang juga naib presiden PKR. Fuziah mendakwa Lynas mengambil peluang beroperasi di negara ini disebabkan oleh "kelemahan undang-undang negara". edangkan, tambahnya, undang-undang di Australia sangat ketat dan mereka terpaksa mengikuti 41 syarat sebelum beroperasi. Memorandum tiga halaman yang diserahkan wakil pesuruhjaya tinggi Austaralia menyebut, rakyat Malaysia tidak yakin dengan jaminan bahawa Lynas Advanced Material Plant adalah selamat. "Sekiranya ia adalah benar, sudah tentu negara kamu bersedia untuk menyimpan (hasil) industri itu ataupun sekurang-kurangnya ambil balik baki (kimia thorium yang membunuh). "Tetapi negara kamu tolak untuk terima semula baki (bahan kimia) itu," memorandum itu dipetik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan