Khamis, 19 Mei 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Video Seks: Tak Faham Atau Buat-Buat Tak Faham?

Posted: 19 May 2011 08:30 AM PDT

Video seks: PDRM tak faham mengapa asyik desak dedah pelaku

PEKAN, 19 Mei — Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa mirip ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis berpegang kepada peruntukan undang-undang dan peraturan serta tidak akan terpengaruh dengan mana-mana pihak.

Dipetik Bernama Online, Khalid berkata, tiada keperluan daripada segi undang-undang bagi polis mendedahkan perkara itu.

"Banyak kali saya dah beritahu mengenai perkara ini," katanya.

"Saya pun tak faham kenapa orang ini tak faham-faham bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang membolehkan kita membuat pendedahan.

"Jadi kalau undang-undang tak benarkan, tak bolehlah," katanya ketika diminta mengulas desakan sesetengah pihak supaya polis segera mendedahkan identiti pelaku itu.

Semalam, beliau menegaskan tiada keperluan dari segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan pemimpin sebuah parti pembangkang.

Kata Khalid, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.

"Tiada keperluan undang-undang untuk mendedah pelakunya. Jikalau kita mengambil tindakan yang lebih daripada had undang-undang, kita akan dituduh pula terlibat di dalam politik."

"Kita menjalankan tanggungjawab menyiasat kes ini, apa yang tidak boleh didedah kita tidak akan dedah. Jangan mendesak kita, kita mengikut peruntukan undang-undang," katanya mengulas kenyataan Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa kredibiliti polis akan terjejas jika ia masih teragak-agak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu.

Desakan seumpama itu terus dibuat menggesa polis mendedahkan identiti si pelaku.

Pendedahan Terbaru Wikileaks Pengampu-Pengampu Najib Dan Rosmah

Posted: 19 May 2011 08:01 AM PDT

Wikileaks dedah 19 'aktor pengaruh' dalam kitar politik Najib

Oleh Yow Hong Chieh


KUALA LUMPUR, 19 Mei — Kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS), yang terbocor dan disiarkan oleh Malaysia Today hari ini menyenaraikan 19 pemimpin bisnes utama sebagai "aktor-aktor berpengaruh" dalam kitar politik Datuk Seri Najib Razak — dua tahun selepas menjadi perdana menteri.

Najib kini berada di AS sempena lawatan kerja.

Maklumat kabel itu, yang ditulis oleh kaunselor politik Mark D. Clark untuk membantu Jabatan Negara AS meneliti pentadbiran dan keputusan-keputusan dasar Najib (gambar), adalah yang pertama diterbitkan menerusi Malaysia Today, kendalian Raja Petra Kamarudin, selepas ia menandatangani memorandum persefahaman dengan Wikileaks, Isnin lalu.

Pengerusi Ethos Capital Rohana Mahmood mengetuai senarai personaliti korporat.

Maklumat yang diterbitkan menunjukkan Rohana ada hubungan dengan kebanyakan syarikat yang berhubung kait dengan Najib, yang sebelum ini merupakan menteri pertahanan.

Pada 2008 Najib dilantik sebagai menteri kewangan, portfolio yang disandang sehingga kini.

Antara 19 pemimpin bisnes yang disenaraikan, Rohana sangat berkait rapat dengan kepentingan-kepentingan komersial keluarga Najib.

Rohana bersama pembantu rapat Najib, Abdul Razak Baginda, yang dibebaskan daripada kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu, menubuhkan Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia — badan pemikir yang menasihati beliau masa-masa lalu.

Pihak pembangkang seringkali mendakwa Altantuya, yang membantu dalam urusan pemerolehan kapal selam Scorpene bernilai RM3 bilion (AS$1 bilion), dibunuh disebabkan hubungannya dengan Najib, dakwaan yang dinafikan oleh perdana menteri.

Turut disertakan dalam senarai itu ialah pemilik MMC Corp Bhd, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp Bhd dan Pengerusi Hong Leong Group Quek Leng Chan.

"Syed Mokhtar Albukharry... mempunyai operasi bisnes yang signifikan dalam konstituensi Najib dan sektor pertahanan," kata kabel itu.

The Malaysian Insider difahamkan Syed Mokhtar muncul sebagai penyumbang utama dana kepada Umno selepas ahli-ahli perniagaan Cina tempatan keberatan ekoran kekurangan kontrak di bawah pentadbiran Najib.

Syed Mokhtar memperluaskan empayar bisnesnya dengan memperoleh Pos Malaysia dan projek MRT Lembah Klang baru-baru ini.

Turut disenaraikan ialah:

• Pengarah urusan Khazanah Nasional Azman Mokhtar;

• Pengarah Khazanah Mohamed Azman Yahya, pengasas dan ketua eksekutif Symphony House Bhd;

• Pengerusi dan ketua eksekutif Johan Holdings Bhd Tan Kay Hock, yang juga anggota Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA);

• Shahril Shamsuddin dari Kumpulan Sapura;

• Pengerusi jawatankuasa eksekutif Khazanah dan bekas pengarah urusan MAS Nor Yusof;

• Pengerusi dan pengarah urusan Konsortium Transnational Bhd Mohd Nadzmi Mohd Salleh;

• Pengarah eksekutif CIMB Group dan bekas konsultan Unit Perancang Ekonomi Dr Gan Wee Beng;

• Pengasas bersama Ethos Capital Omar Mustapha Ong, bekas pegawai khas Najib;

• Pengarah urusan dan ketua eksekutif Paramount Corporation Bhd Teo Chiang Quan;

• Pengarah urusan TH Group Bhd Lei Lin Thai;

• Ketua eksekutif Mamee Double Decker Bhd Pang Tee Chew;

• Ketua eksekutif Multi Vest Resources Bhd (MVest) Kenneth Eswaran, yang menurut kabel rapat dengan isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor;

• Ketua eksekutif Felda Holdings Bhd Bakke Salleh; dan

• Ketua Lembaga Tabung Angkatan Tentera Lodin Wok Kamarudin.

Mesej kabel itu terdedah ini, yang ditulis sebelum Najib disahkan sebagai perdana menteri keenam pada April 2009, menyusul penerbitan siri pertukaran sulit antara Washington dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam Asia Sentinel membutirkan keprihatinan AS berhubung perbicaraan dua anggota polis yang dituduh membunuh Altantuya.

PKR: Tiada fasal, RoS tindak dengan niat jahat

Posted: 19 May 2011 12:00 AM PDT

PETALING JAYA, 19 Mei — Pendaftar Pertubuhan (RoS) mendakwa PKR telah melanggar perlembagaan sendiri apabila memutuskan untuk memecat seorang ahlinya tanpa didengar oleh lembaga disiplin lebih dua tahun lalu, ketika pilihan raya kecil Bukit Selambau.

Bagaimanapun PKR mendakwa peruntukan dimaksudkan RoS tidak wujud dalam perlembagaanya dan menegaskan agensi Kementerian Dalam Negeri itu bertindak dengan niat jahat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Pilihan raya umum tergempat disebut-sebut akan diadakan Julai ini.

Surat dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman bertarikh 9 Mei menyebut PKR telah melanggar Fasal 32.2.1 Perlembagaan PKR dengan memecat A. Rajagopal pada 1 April 2009 dan 27 April 2009 tanpa disiasat dan didengar oleh lembaga disiplin.

Malah dalam suratnya, Abdul Rahman berkata, di bawah Seksyen 13 (2) Akta Pertubuhan, RoS akan membatalkan pendaftaran PKR selepas 9 Jun ini melainkan ia memberikan alasan memuaskan.

Pada sidang media di sini tengah hari ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Fasal 32 tiada subseksyen dan ia juga bukan berkaitan dengan prosedur disiplin.

"Ia hanya mengatakan bahawa sekiranya ada sebarang pertikaian dalam interpretasi perlembagaan atau perkara-perkara berkaitan kongres nasional, intepretasi majlis pimpinan pusat akan diambil kira sebagai muktamad," kata Saifuddin.

Yb Khalid Samad Mengulas Berkaitan Isu Semasa Politik

Posted: 18 May 2011 11:45 PM PDT

Coretan Isu-Isu Semasa

Banyaknya isu, sikit sangat masa untuk menjelaskannya semua. Maka dilakukan coretan-coretan dari masa ke semasa. Harap memahami.

SERANGAN TERHADAP DAP
Saya melihat dengan penuh terhibur bagaimana BN berhempas pulas ingin menangani masalah sokongan bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, terhadap PR. Ini difahami BN sebagai masalah besar bagi mereka. Amat jelas, masyarakat bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina sudah menolak parti-parti Cina dalam BN. Maka untuk kekal sebagai "satu-satunya gabungan yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia", sebagai dakwaan BN selama ini, satu formula perlu dikenal pasti untuk mendapatkan kembali undi masyarakat Cina. Malangnya, undi masyarakat Cina sudah bersama PR dan kelihatan akan terus bersama PR sehingga PRU ke-13.

Oleh yang demikian, dianggap bahawa punca sokongan masyarakat Cina terhadap PR adalah berpunca dari DAP semata-mata dan untuk menanganinya, DAP perlu dijadikan sasaran. Maka bermulalah serangan terhadap DAP dengan pada mulanya mengistiharkannya sebagai sebuah parti rasis! Tuduhan DAP rasis dimainkan UMNO khususnya untuk lebih kurang dua minggu, bermula semenjak selesainya Pilihan Raya di Sarawak dan apabila dilihat ianya tidak mencapai apa yang diinginkan, berubah pula rentaknya.

Rentak kedua mengejutkan semua, ia itu setelah menyerang dan mengutuk DAP dengan begitu hebat sekali, tiba-tiba berlakunya U-turn yang amat besar apabila UMNO menjemput DAP menyertai BN! Hari itu diajaknya PAS dan MCA membantah, kali ini dijemput pula DAP. Sudah pasti MCA tergeliat dalam diam disebabkan ianya pukulan yang memalukan bagi mereka. Namun apabila DAP menolak, MCA bernafas lega tetapi bermula pula serangan seterusnya terhadap DAP.

Kali ini dikatakan pula DAP bersama Kristian ingin menjadikan Kristian agama rasmi dan melantik seorang PM Kristian. Pelik dan ajaib, bila pula Karpal Singh jadi Kristian? Walhal si Jeff Ooi sendiri bukan seorang Kristian! Tetapi, sepertimana yang telah sedia maklum, UMNO bukannya kisah dengan apa yang dikatakan, samada benar atau sebaliknya, politik mereka sudah jelas politik fitnah dan adu-domba.

Yang terkini, dikatakan pula DAP kommunis! Saya rasa UMNO/BN kena buat keputusan, adakah DAP itu rasis, fundamentalis Kristian atau Kommunis? Namun, yang jelas rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa UMNO adalah penipu, dulu kini dan selamanya.

Dalam pada itu, perlu dinyatakan bahawa pada masa ini, dengan penolakan bukan Melayu terhadap BN, hanya PR sahaja yang mampu membentuk kerajaan berbilang kaum yang menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia!

PERANG SALIB DIISTIHAR!
Ada seorang Melayu beragama Islam mengistiharkan 'perang salib' ke atas orang Kristian. Ini pun menyebabkan saya tersengih lebar. Apa pula kerja orang Melayu Islam ini mengistiharkan 'perang salib'? Jelas beliau ingin memperkasakan kejahilan dirinya sendiri. Untuk pengetahuannya dan mereka yang seangkatan dengannya, Perang salib atau dalam Bahasa inggerisnya, Crusade, diistiharkan oleh Pope sebagi peperangan demi kepentingan agama Kristian yang simbolnya adalah salib, maka dinamakan 'perang salib'! itulah si Melayu Islam ni, kalau duduk diam di rumah, orang tak akan tahu yang awak tak tahu. Sekarang satu dunia tahu bahawa awak tidak tahu apa yang awak katakan!

Orang Islam istihar perang 'sabilillah' atau diringkaskan oleh orang Melayu kita, 'perang sabil'. Bukan 'perang salib'. Kalau itu pun tidak tahu, saya nasihatkan orang Melayu Islam berkenaan untuk balik rumah dan tidur sahaja, jangan menyusahkan orang lain.

Perang sabilillah ni pula maknanya 'perang di jalan Allah'. Ianya bertujuan untuk menegakkan Islam demi keadilan untuk semua, iaitu untuk orang Islam dan juga bukan Islam. Ianya bukan untuk menegakkan 'ketuanan' satu kaum atas kaum yang lain. Konsep menegakkan ketuanan sesuatu kaum ke atas kaum yang lain ditolak Islam sebagai amalan zaman jahilliyyah kerana sebelum datangnya Islam. itulah yang sibuk dilakukan bangsa Arab jahilliyyah, iaitu perang untuk memenangkan kabilah masing-masing.

Hakikatnya, ummat Islam berjuang untuk menyeru manusia kepada jalan Allah, bukan dengan paksaan tetapi dengan membebaskan manusia dari kongkongan yang dikenakan ke atas mereka oleh pemerintah yang zalim. Kongkongan ini menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan secara bebas. Setelah kongkongan ditepikan, ditarik minat manusia melalui akhlak yang mulia dan keadilan. Bagaimana kita boleh menarik minat manusia kepada Islam kalau kita hanya mementingkan bangsa kita sendiri dan ingin menegakkan ketuanan satu bangsa ke atas bangsa lain? Akhirnya kita menjadi penghalang kepada manusia datang ke jalan Allah melalui perjuangan kita yang sempit dan songsang! Oleh itu ianya tidak lagi menjadi perjuangan 'sabilillah' kerana menghalau manusia dari jalan Allah dan sebaliknya menjadi 'sabilisSyaitan' naudzubillah. Itulah sebabnya Rasulullah (SAW) telah menafi sebagai ummat mereka yang berjuang atas dasar Assobiyyah yang ditakrif Baginda sebagai "menyokong kaum kamu atas dasar kezaliman".

DEMI KUASA PAS SANGGUP KORBANKAN PRINSIP?
Ada yang masih tidak faham dan termakan dengan dakyah BN yang mendakwa PAS telah korban prinsip demi kuasa kerana sanggup berkerjasama dengan DAP dan menolak kerjasama dengan UMNO! Yang termakan dengan dakyah ini memang otak mereka 'slow'. Saya ingin tanya, kalau PAS gilakan kuasa, tidakkah lebih mudah untuk PAS sekiranya terus berkerjasama sahaja dengan UMNO? Bukankah kalau PAS bersama UMNO dalam BN, PAS akan terus menjadi sebahagian dari pemerintah dan berkuasa?

Maknanya ada yang lebih penting dari sekadar 'berkuasa' bagi PAS. Ianya adalah prinsip perjuangan yang ingin terus diusahakan PAS sehingga sanggup menolak tawaran terus berkuasa bersama BN! Kalau masih tidak faham lagi, otaknya bukan sekadar slow, tetapi sudah stop?

Maka sudah pasti ada yang bertanya, apakah prinsip perjuangan yang begitu penting sehingga PAS sanggup menolak tawaran berkuasa bersama BN? Prinsipnya ialah politik bersih dan bertanggung-jawab, bebas dari rasuah, fitnah dan adu-domba. Dan inilah yang dituntut oleh Islam dan ini juga yang dipersetujui sebagai matlamat bersama PR. Kalau bersama UMNO/BN, PAS akan terpalit dengan segala amalan rasuah, fitnah dan adu-domba yang merupakan darah daging UMNO/BN.

PAS MINORITI DALAM PR
Ada satu lagi kenyataan yang sering dikeluarkan mereka yang kononnya ingin sokong PAS, iaitu, "saya nak sokong PAS, tapi PAS minoriti dalam PR". Bunyinya macam bijak tetapi sebenarnya ianya kurang bijak ; seperti yang mengistiharkan perang salib tadilah!

Hakikatnya kalau masalahnya adalah "PAS minoriti dalam PR" seperti yang didakwa, maka penyelesaiannya adalah memenangkan PAS di kerusi-kerusi yang ditandingi sehingga bertambah kerusi PAS dan PAS tidak menjadi minoriti lagi! Bagaimana masalah ini dapat diselesaikan sekiranya atas alasan itu maka tidak diundi calon PAS? Adakah dengan mengalahkan PAS maka PAS tidak lagi menjadi "minoriti dalam PR"? Sudah pasti tidak! Itulah yang saya sebut tadi, bunyi macam bijak tetapi pada hakikatnya 'slow'.

Lagipun, kalau dilihat secara objektif, keadaan sebenarnya tidak seperti yang didakwa. Hakikatnya PAS mempunyai 2 Menteri Besar (dulu 3), sedangkan DAP ada 1 dan PKR juga 1. PAS mempunyai jauh lagi banyak kerusi DUN dan memang itulah yang menjadi sasaran PAS pada PRU ke 12 yang lepas. Dari sudut kerusi Parlimen pula, PAS tidak jauh kebelakang bila dibandingkan dengan PKR dan DAP.

Namun digunakan hujjah itu secara rambang. Hakikatnya, bagi Negeri Selangor, insyaAllah UMNO/BN tidak akan mampu memenanginya kembali. Oleh itu, bagi yang ingin PAS tidak menjadi minoriti, maka undilah PAS untuk menggantikan UMNO!

PERBICARAAN DSAI – LIWAT 2
Sememangnya telahpun dijangka, keputusan mahkamah akan menyebelahi pihak Saiful. Ini adalah kerana kekuatan UMNO terletak di 'tubuh' Saiful. Sekiranya kesnya ditolak, maka akan terbukti kezaliman UMNO terhadap DSAI selama ini. Dan dengan itu akan terdedah segala pembohongan mereka.

Ini adalah seperti yang didakwa Dato' Mohd Zin, bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah PDRM yang mendakwa penipuan dan putar-belit dalam kes DSAI akan terpaksa diteruskan demi menutup penipuan pemerintah. Dalam Bahasa Inggeris dikatakan, "one lie leads to another". Dalam erti kata yang lain, seseorang itu terpaksa terus menipu demi menutup penipuan asal yang dilakukannya.

Bagi saya, ini hanya menambahkan hujjah untuk kita menukar kerajaan, dari BN ke PR. Ini adalah supaya kongkongan ke atas masyarakat dan Negara ditiadakan dan semua boleh bergerak tanpa ugutan atau paksaan dari pihak berkuasa yang ingin menutup kesalahan yang telah mereka lakukan. Negara dirosakkan demi menutup kesalahan mereka, supaya mereka boleh terus berkuasa. Proses kerosakan ini berterusan sejak 1998, sehingga segala institusi keadilan hilang kredibiliti dan kerosakan ini akan diteruskan sehingga punca kerosakan itu diketepikan dan ditiadakan. Iaitu mereka yang berkuasa diganti dan kesalahan mereka didedahkan dan dengan itu penipuan tidak lagi perlu diteruskan.

Saya menjangkakan mereka akan mengulangi skrip yang lama dan memenjarakan DSAI walaupun jelas beliau tidak bersalah dalam kes ini. Mereka tiada pilihan. Pilihan lain bererti mereka akan hilang kuasa dan segala-galanya akan terdedah. Akan turut hilang harta mereka dan kedudukan mereka.

Rakyat perlu menyedari, tiada yang mampu menghalang kezaliman ini selain rakyat itu sendiri. Jangan bersekongkol dengan kezaliman, jangan bersubahat. Bersama kita menolak politik fitnah dan adu-domba, tolak BN.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Lindungi Utusan, kerajaan tak beretika- Penasihat Editorial Karangkraf

Posted: 18 May 2011 11:27 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia yang menyiarkan berita menyentuh sensitiviti agama dan kaum, menunjukkan bahawa kerajaan sendiri tidak beretika dalam melaksanakan undang-undang sedia ada.

Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali berkata demikian dalam forum bertajuk 'Ke arah media yang lebih beretika' anjuran Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), di Auditorium Majlis Peguam, semalam.

"Tidak ada ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang, saya ambil contoh baru-baru ini Utusan menyiarkan berita mengenai sensitiviti agama. Tapi sampai ke hari ini tiada ada apa-apa tindakan diambil ke atas akhbar dan blogger tersebut.

"Etika telah dilanggar, adakah kerana surat khabar Umno, maka ia akan dibiarkan? Kita tidak tahu sama ada blogger ada autoriti atau kredibiliti sehingga akhbar itu memuatkan berita tersebut di muka hadapan. Kerajaan juga tidak beretika dalam isu ini," ujarnya yang pernah menyertai Utusan Melayu sejak 1974.

Antara panel yang turut diundang mengupas tajuk forum tersebut ialah pensyarah kewartawanan, Sharaad Kutan dan felo Asian Public Intellectual, Wong Chin Huat.

Menurut Abdul Jalil, etika kewartawanan yang rosak berpunca daripada sikap berat sebelah kerajaan sendiri yang terlalu berlembut dengan media yang dikuasai mereka.

"Kerajaan tidak akan mengenakan undang-undang kalau yang hendak dikenakan undang-undang itu melibatkan orang dia sendiri, tapi jika akhbar lain yang buat mengenai berita itu, saya pasti akhbar itu akan diharamkan," ujarnya.

Menurutnya lagi, beliau percaya, ketua-ketua editor media arus perdana lain akan dipanggil dalam beberapa hari lagi untuk menjelaskan mengenai kedudukan berita yang dilaporkan Utusan.

"Kerajaan perlu ada komitmen yang tinggi menegakkan undang-undang. Selagi kerajaan bermain dengan undang-undang, kita tidak akan jadi apa-apa," kata beliau

Sementara itu, beliau menegaskan sesetengah isu sensitif yang terlalu banyak dimainkan media sejak kebelakangan ini berpunca daripada ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

"Contohnya isu interlok adalah isu biasa yang tidak patut dijadikan isu perkauman yang begitu hebat kerana ia sama seperti karya-karya sastera yang lain.

"Saya bagi contoh, sekiranya ada karya sastera yang menggunakan istilah Pak Pandir yang membodohkan orang Melayu, saya tidak akan mengambil tindakan seperti yang dilakukan sesetengah pihak berkenaan novel Interlok tempoh hari.

"Kerana ada dua tiga orang politik yang sengaja memainkan isu ini, orang politik itu yang sepatutnya dihukum," ujarnya lagi.

Kesian! Rupanya Para Guru Ditipu Najib?

Posted: 18 May 2011 07:02 PM PDT

Bab kesian! Umno bn nak tipu para guru kat malaysia. Dari tak da lansung pengumuman baik ada. Takut guru marah!

Tapi guru ni orang cerdik, bukan mudah untuk ditipu. Masa pilihanraya bukan main dok paksa ugut guru sokong umno. Cilakak la lu umno!

Peluang terbaik Anwar membela diri di hadapan hakim — Utusan Malaysia

Posted: 18 May 2011 05:00 PM PDT

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim bijak orangnya, beliau boleh pergunakan hari-hari perbicaraan mulai 6 hingga 30 Jun ini untuk membela dirinya daripada tuduhan liwat.

Hari-hari itu amat penting dimanfaatkan sepenuhnya untuk menafikan tuduhan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Sejak kes liwat itu terbongkar pada Jun 2008, pelbagai cerita dan persepsi disebarkan melalui mulut ke mulut dan alam siber.

Rakyat sudah mendengar kenyataan dakwaan daripada Mohd Saiful perihal dia diliwat oleh pemimpin pembangkang itu sewaktu perbicaraan yang kerap diganggu dengan penangguhan demi penangguhan.

Kini masanya untuk Anwar menceritakan kisah sebenar dakwaan petuduh itu.

Anwar ada barisan peguam bela yang diketuai Karpal Singh dan pakar-pakar perubatan yang hebat serta saksi-saksi yang mungkin dapat membantunya sebagai pihak yang tidak bersalah.

Terpulang kepada pasukan pembela Anwar untuk membuktikan bahawa dakwaan ini cuma diada-adakan.

Pun begitu, mahkamah ketika memanggil Anwar untuk membela diri kelmarin, mendapati keterangan Mohd Saiful boleh dipercayai dan selaras dengan saksi-saksi pakar bahawa perbuatan liwat telah berlaku ke atas dirinya.

Kes liwat melibatkan Anwar ini adalah yang kedua. Dan tuduhan kes itu cukup serius kerana ia dibicara mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Pada 2000, Anwar dituduh meliwat pemandu kepada isterinya, Azizan Abu Bakar. Beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

Dalam perbicaraan membela diri kali ini, apa yang dikatakan oleh pembangkang sebagai dalang akan terjawab kelak.

Yang pasti, kes liwat ini dibawa sendiri oleh Mohd Saiful. Maka ia kes peribadi di antara Anwar dengan Mohd Saiful. Ia tiada kaitan dengan kerajaan ataupun Umno.

Mahkamah adalah tempat Anwar mencari keadilan. Beliau sendiri sudah banyak diberi layanan yang tidak pernah diberi kepada tertuduh biasa. Tidak perlulah beliau berdolak dalih lagi. Berilah keterangan sebenar supayanya menjadi jelas. Dan hakim dapat memberi keadilan kepada yang berhak.

Para penyokong Anwar pula boleh datang ke mahkamah untuk mendengar atau memberi sokongan moral tetapi usah buat kecoh. Biarlah barisan peguam bela dan pendakwa berhujah dan hakim membuat pertimbangannya.

Kita mengharapkan proses perbicaraan kes liwat ini berjalan dalam suasana baik dan aman. Tidak perlu ada provokasi dan kekecohan di jalan-jalan raya oleh penyokong Anwar. Tidak perlu juga satu pasukan polis yang terpaksa berkawal sekitar mahkamah dan ibu kota.

Anwar tidak perlu rasa takut mahupun gentar jika yakin berada di pihak yang benar. Jika Penasihat PKR itu yakin beliau tidak bersalah, maka tidak perlu kes hampir tiga tahun ini ditangguhkan lagi. Kita tidak mahu lagi melihat mahkamah seolah-olah dipersendakan.

Di dalam mahkamah nanti, inilah peluang Anwar membuktikan bahawa kes liwat itu tidak pernah terjadi dan jelas ada konspirasi untuk menjatuhkannya. Tetapi kena tunjukkan bukti dan bukan sekadar melontar kata-kata sahaja. — Utusan Malaysia

Tiada ulasan: