Kerabu Bersuara ® |
- Penulis memang tidak penting buat Pakatan?
- Macam Mana Pemimpin PAS Terpilih?
- Ekonomi Teruk! Kerajaan Dah Mati Akal Untuk Tolong Rakyat. Barangan Dijangka Naik
- Pakatan: Kami tak perlu pilihan raya olok-olok, tapi sudah hidu PRU
- Bekas polis elak ditangkap Jawi maut jatuh hotel
- Ulasan Peristiwa: Ladang Rakyat dan nota cemburu Umno Kelantan
- Siapa orang ketiga bersama Razak Baginda dan Altantuya ke Malta?
- TG Haji Hadi Kekal Presiden PAS, Senarai Ahli Yang Layak Bertanding
- Najib: Pengebom berani mati bukannya syuhada, tidak wakili Islam
- Tolong Rakyat Ibarat Kerajaan Bagi Candu
Penulis memang tidak penting buat Pakatan? Posted: 17 May 2011 09:00 AM PDT Oleh DINSMAN Kali ini saya menulis di Yan, Kedah. Sementara menunggu peserta Bengkel Penulisan CAP-Paksi 13-18 Mei semuanya hadir mendaftar diri di Chalet D' Yan, Titi Hayun, saya cuba menyiapkan wacana ini. Tentunya fikiran saya pun tidak menerawang jauh sangat meninggalkan program yang akan berlangsung di sini, iaitu bengkel penulisan. Saya memikirkan bahawa bengkel penulisan selama enam hari ini bertujuan untuk melahirkan beberapa orang penulis yang benar-benar akan menulis selepas ini, sama ada menulis dalam akhbar dan majalah atau menerbitkan buku sendiri. Maka saya terfikirkan peranan penulis. Dan saya terfikirkan juga apakah pihak Pakatan Rakyat dan terutamanya PAS benar-benar menyedari akan peranan penulis dalam masyarakat kita hari ini. Dan saya tak perlu berlama-lama sebenarnya memikirkan perkara ini, kerana ia bukanlah satu perkara baru. Ia selalu timbul dalam perbincangan dengan kawan-kawan penulis, budayawan dan pengamal media. Di kalangan penulis, budayawan dan pengamal media kita memang jelas berpendapat bahawa pihak pimpinan Pakatan Rakyat seperti tidak begitu menyedari pentingnya peranan yang boleh dimainkan oleh penulis dan pengamal media. Ini jelas dapat dilihat pada cara mereka berhubung dengan golongan ini, dan pada program-program yang mereka buat, yang berhubungan dengan golongan ini. Tetapi peliknya, mereka selalu kita dapati memarahi media-media pro-Umno/BN kerana tidak membuat laporan berita yang adil, dan tidak mengamalkan dasar kebebasan media. Pimpinan PR di pelbagai peringkat selalu mengecam media kerajaan dan yang pro-Umno/BN kerana tidak berlaku adil kepada PR dalam penyiaran berita. Seolah-olah mereka begitu mengharapkan pada media pro-Umno/BN itu untuk berlaku adil kepada mereka, dan seolah-olah mereka masih memberi kepercayaan kepada media-media pro-Umno/BN itu. Pelik 'kan? Padahal kita memang tahu benar yang pihak media-media pro-Umno/BN itu, baik namanya Utusan meloya atau namanya TV tiga suku atau apa pun namanya, mereka itu tidak akan samasekali berbuat yang baik kepada kita. Mereka itu memang kerjanya memfitnah PR, dan memang tujuannya hendak menjatuhkan PR. Yang kita duk percaya lagi dengan mereka itu kenapa? Yang kita duk layan sakan lagi mereka itu pasal apa? Padahal kita bukannya tidak ada media kita sendiri. Di zaman Reformasi 1998 dulu populariti media kita pernah mengalahkan media pro-Umno/BN, baik media cetak mahupun media internet. Tetapi selepas itu sokongan terhadap media kita semakin merosot. Kenapa merosot? Kerana orang-orang kita sendiri pun tidak memberi sokongan kepada media kita. Kerana pemimpin-pemimpin PR di pelbagai peringkat pun menampakkan yang mereka lebih suka berdamping dan didampingi oleh media-media pro-Umno/BN. Anda jangan terkejut dengan kenyataan ini. Dan anda jangan terkeliru dengan berita yang sesekali meletup menunjukkan pemimpin tinggi PR marah, berang dan tidak mahu melayan media pro-Umno/BN tertentu. Hanya sesekali sahaja demikian. Sedangkan selalunya adalah seperti yang saya sebutkan itu. Pimpinan PR sendiri seperti tidak membantu bagi memajukan media-media kepunyaan PR. Selepas saya tulis perihal seorang aktivis PAS di Johor yang mengadu susah nak beli Harakah di tempatnya, ramai pembaca yang respon dengan SMS dan menelefon saya menceritakan masalah yang sama di tempat mereka. Tak kurang juga yang menceritakan AJK PAS kawasan mereka sendiri pun tak membaca Harakah. Tapi apa pun, tak mengapalah itu, kerana khabarnya ada kawan-kawan telah menubuhkan "Kembang", dan akan menjalankan aktiviti-aktiviti kempen bagi menyedarkan masyarakat khasnya ahli-ahli PAS supaya membaca Harakah (di samping lain-lain aktiviti). Balik kepada topik wacana ini seperti yang saya mulakan di atas, iaitu mengenai perlunya pihak PR membina penulis dan pengamal media sebanyak-banyaknya, bagi membantu perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi ini. Saya fikirkan begini: Kita jangan mengharapkan kepada penulis-penulis dan pengamal media yang pro-Umno/BN itu. Pengalaman saya bersama dengan golongan penulis di negara ini, sejak sebelum zaman Reformasi, di waktu Reformasi dan sehingga sekarang, boleh dikatakan tidak banyak perubahan. Bahkan kadang-kadang mereka ini lebih Umno daripada Umno. Rasuah mereka biarkan saja. Pembohongan tidak menjadi masalah pada mereka. Rakyat dizalimi pun mereka tidak peduli. Itulah makanya selepas PRU 2008 Paksi pernah menganjurkan seminar "Penulis - Mengepalai atau Mengekori?" Seminar itu membincangkan sikap penulis hari ini yang jauh berbeza dengan penulis di zaman awal kebangkitan nasionalisme dulu. Kalau dulu golongan penulis (seperti Syed Sheikh Alhadi, Zaaba dan Rahim Kajai) menjadi pemimpin masyarakat, hari ini penulis jauh ditinggal oleh masyarakatnya yang mahukan perubahan. Jadi, elok kita lupakan sajalah niat untuk mengajak mereka ini supaya sedar dan berubah. Lebih baik kita mendidik dan melatih generasi baru. Kita perbanyakkan golongan penulis dan pengamal media yang memahami dan menghayati perjuangan kebenaran dan keadilan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dan al-Quran. Dan jadikan ini bahagian penting dalam agenda perjuangan kita, termasuk perjuangan politik. Cuba bayangkan sekiranya kita mempunyai penulis dan pengamal media yang menyokong perjuangan kita ini lebih ramai daripada penulis dan pengamal media yang menyokong Umno/BN. Apa akan terjadi pada senario politik Malaysia? Dengan sendirinya senario politik Malaysia akan berubah, 'kan! Memang teorinya sangat mudah. Tetapi teori yang sebaik mana pun, tidak akan ada maknanya kalau tidak dilaksanakan. Maka marilah kita melaksanakannya. Dan memang untuk melaksanakan agenda ini pun tidaklah mudah. Tetapi tidaklah begitu payah. Kalau kita mahu, ia boleh dilaksanakan. Bengkel penulisan CAP-Paksi ini memang tidak dirancang ke arah itu. Saya hanya terfikirkan perkara ini ketika duduk menunggu untuk memulakan bengkel ini. Rasa-rasanya, selepas ini bolehlah dirancangkan pula bengkel penulisan seperti yang dibincangkan ini. ---- Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 019-9592408 |
Macam Mana Pemimpin PAS Terpilih? Posted: 17 May 2011 08:25 AM PDT Oleh Zolkharnain Abidin Senarai mereka yang layak bertanding di dalam muktamar PAS yang akan datang telah diumumkan. Cuma menunggu pengesahan daripada mereka yang tercalun sama ada terus bertanding atau menarik diri. Tentu ramai yang akan menarik diri kerana merasa diri tidak layak, tidak mampu memberi tumpuan kepada tugas, terlalu banyak jawatan yang dipegang di pelbagai peringkat dan macam-macam lagi. Ramai juga yang bakal mempertahankan jawatan atau mencuba nasib ke jawatan yang lebih tinggi. Tidak kurang yang tidak pernah berjawatan di peringkat pusat dan mencuba-cuba 'pasaran' mudah-mudahan terpilih. Banyak pencalonan daripada kawasan belum tentu menyumbang kepada banyak undi. Semuanya bergantung kepada hari muktamar. Tidak ada kempen? Salah, kempen tetap ada dan sekarang pun telah ada individu yang berkempen. Semuanya di tangan perwakilan daripada kawasan-kawasan seluruh negara. Tenggelam atau timbul adalah di tangan perwakilan daripada kawasan. Apa kriteria yang biasanya digunakan oleh perwakilan daripada kawasan (bukan semua kawasan tetapi sesetengah kawasan)? CALON PANDAI CERAMAH: Dia suka calon yang pandai berceramah. Dia tidak kisah, calon itu bekerja atau tidak selepas terpilih, asalkan calon itu pandai berceramah dan pandai buat lawak dalam ceramah. CALON SATU NEGERI: Dia angkat calon dari negerinya sendiri. Ada perwakilan yang mengundi calon dari negerinya kerana katanya, mudah sikit kalau nak 'sign' apa-apa dokumen sebab berada dalam satu negeri. CALON LAMA: Tak payah fikir yang baru, pilih saja yang sudah sedia ada. Orang lama senang berkira, dah lama kenal dan senang untuk diajak datang berceramah ke kawasan. CALON USTAZ: Kena lantik ustaz untuk pertahankan apa yang diistilahkan sebagai 'kepimpinan ulama'. Kalau bukan ustaz, 'kepimpinan ulama' di dalam PAS terjejas. CALON BEKAS PEGAWAI TINGGI KERAJAAN: Pegawai tinggi kerajaan ada nama, ada pengaruh dan sedap kalau diperkenalkan di dalam majlis ceramah. Tentu orang ramai akan kagum. CALON YB: Biasanya YB ada duit. Kalau dia terpilih sebagai pemimpin tentu mudah untuknya menjalankan tugas-tugas parti. CALON ADA GELARAN: Gelaran Datuk atau apa-apa gelaran yang menyumbang rasa gah ketika disebut. Tentu nama yang ada gelaran sedap ditulis dan sedap disebut dan menimbulkan kebanggaan penulis atau penyebut. Banyak lagi kriteria yang digunakan oleh perwakilan untuk memilih pemimpin dalam muktamar. Apa pun kriteria yang digunakan, calon itu hendaklah mampu memikul beban membawa PAS ke hadapan, bukan menarik PAS ke belakang. Pemimpin itu hendaklah mampu memenuhi aspirasi rakyat terbanyak yang mahu melihat PAS mampu menggantikan Umno dalam tempoh terdekat. Justeru, pemilihan perwakilan untuk memilih pemimpin hendaklah dikenalpasti dengan teliti. Jangan tangkap muat. Perlu ada kriteria perwakilan supaya mereka yang menjadi perwakilan mampu memilih pemimpin yang berwibawa. Saya ulangi, bukan semua kawasan menggunakan kriteria di atas tetapi suatu masa dahulu, kawasan di negeri saya menggunakan sebahagian keriteria di atas. |
Ekonomi Teruk! Kerajaan Dah Mati Akal Untuk Tolong Rakyat. Barangan Dijangka Naik Posted: 17 May 2011 05:42 AM PDT RON95: Kaji beban rakyat sebelum naikkan harga TEMERLOH 17 Mei — Kerajaan diminta menjalankan kajian secara mendalam sebelum membuat keputusan menaikkan harga petrol RON95, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata, kerajaan perlu mencari satu mekanisme lain bagi menjimatkan pemberian subsidi untuk bahan bakar itu. "Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai mekanisme lain yang boleh digunakan bagi menampung subsidi dan kenaikan harga minyak tersebut. "Kerajaan juga boleh menggunakan pelbagai sumber cukai untuk menampung subsidi tersebut," katanya yang juga Menteri Pertahanan dipetik Bernama hari ini. Semalam, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat. Pergerakan itu juga berkata pihaknya gusar dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menggesa rakyat agar bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, usaha-usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak. Di Ipoh, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya. Ismail Sabri berkata, kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan. "Mengikut pelan rasionalisasi subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember lalu. "Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun... saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi," katanya dalam laporan Bernama. Ismail Sabri berkata, walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi. "Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum) adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion," katanya. Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan pelajaran. Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat. |
Pakatan: Kami tak perlu pilihan raya olok-olok, tapi sudah hidu PRU Posted: 17 May 2011 05:12 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 17 Mei — Pakatan Rakyat (PR) "tidak bimbang" untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun BN khususnya parti terasnya Umno dilaporkan bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya olok-olok Julai ini, atas alasan perikatan tiga komponen itu telah pun membuat persediaan rapi. Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, PR tidak perlu untuk mengadakan pilihan raya olok-olok sepertimana hendak dilakukan Umno dalam dua bulan lagi. "Kita telah persiapkan jentera kita untuk menghadapi pilihan raya umum di semua peringkat, semua parti telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi BN. "Dari segi PAS, kita akan membentuk satu pelan bertindak yang lebih serius selepas pemilihan parti nanti. Kita telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ditambah pula dengan pengalaman beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. Katanya, PR tidak perlu untuk mengadakan pilihan raya olok-olok seperti mana yang akan dilakukan BN itu. "Saya rasa kita ada cara lain yang kita rasa boleh (dilakukan), kita tidak perlu mengadakan pilihan raya olok-olok kerana kita ada mekanisma tersendiri untuk melihat tahap sokongan rakyat. "BN terpaksa mengadakan pilihan raya olok-olok sebab mereka harapkan sokongan 1 Malaysia dikembalikan yang mana BN kehilangan sokongan orang bukan Melayu terutamanya di Sabah dan Sarawak," kata beliau lagi. "BN adakan pilihan raya olok-olok sebab nak lihat tahap sokongan orang bukan Melayu, kalau tidak berjaya (dapat sokongan) kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan tahun depan...kalau dapat sokongan mungkin ia akan diadakan penghujung tahun ini," katanya. Laporan awal hari ini memetik Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pilihan raya "olok-olok" bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan menjadi topik utama dalam mesyuarat pengurusan Umno esok. Baru-baru ini, beliau berkata, Umno selaku parti teras BN akan mengadakan pilihan raya persediaan itu Julai ini. BN juga sepatutnya membincangkan jentera pilihan raya olok-olok Jumaat lalu tetapi ditangguhkan sehingga Datuk Seri Najib Razak kembali dari lawatan ke luar negara. Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata, mesyuarat esok akan dipengerusikan oleh Tan Sri Muhydidin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, di Putrajaya. "Kita akan bawa perkara yang dibincangkan esok itu kepada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 23 Mei untuk diputuskan tarikh mengadakan pilihan raya olok-olok di semua bahagian di seluruh negara," katanya. Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, PR sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan menggerakkan jentera di seluruh negara. "Kita sudah membuat persiapan rapi, kita juga telah arahkan jentera-jentera kita untuk turun ke bawah untuk menemui pengundi. "Semua ini telah kita lakukan, kita sudah gerakkan jentera di seluruh negara dan kita tidak memerlukan pilihan raya olok-olok," katanya. Jelas beliau, hasil keputusan pilihan raya olok-olok BN itu akan menjadi penentu tarikh sebenar pilihan raya umum ke-13. "Kita sudah dapat hidu bila pilihan raya umum akan diadakan, semua bergantung kepada pilihan raya olok-olok ini. "Mungkin ia akan diadakan hujung tahun ini atau tahun depan, kita perlu bersedia dari sekarang," katanya. The Malaysian Insider difahamkan Datuk Seri Najib Razak akan menangguhkan tarikh pilihan raya umum sehingga hujung tahun ini atau awal 2012 bagi memastikan sokongan Bumiputera dan pengundi India seterusnya memastikan kemenangan dua pertiga Parlimen. Bagaimanapun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa sokongan Melayu terhadap Umno akan meningkat selepas pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan diri beliau untuk mencalarkan imej PR sebagai tanda pilihan raya umum akan diadakan Ogos ini. Tapi sumber BN berkata Najib masih berhati-hati untuk mengadakan pilihan raya umum selagi beliau tidak yakin akan memperoleh majoriti dua pertiga yang mana kini dilihat agak mustahil selepas sokongan orang Cina di Sarawak menunjukkan penurunan sokongan yang besar. Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berkata, pilihan raya olok-olok BN itu tidak akan menutup hakikat pilihan raya adil akan dilaksanakan. Justeru, beliau menjemput BN untuk mengadakan satu pilihan raya yang adil dan telus pada pilihan raya umum ke-13. "Demi menghormati proses demokrasi PKR dan Pakatan Rakyat akan melaksanakan sebarang persediaan sebaik mungkin. "Pun begitu pilihan raya olok-olok BN tidak dapat menutup hakikat pilihan raya umum yang tidak telus dan tidak adil, justeru saya menjemput BN secara serius dan bukan olok-olok untuk bersama Pakatan Rakyat menuntut pilihan raya yang bebas dan adil. "Barulah pilihan raya olok-olok itu dapat dijadikan suatu latihan yang berguna," katanya. Kata Ahli Parlimen Lembah Pantai ini, pilihan raya yang telus dan adil boleh dilaksanakan sekiranya BN menghentikan segala bentuk politik yang bersifat fitnah, lucah dan ugutan. "Kenyataan bahawa medan pilihan raya tidak adil sepenuhnya datang daripada hakikat penggunaan politik lucah, fitnah dan ugutan yang dilakukan BN menerusi media yang dimilikinya serta kuasa eksekutif yang ada. "Hakikat ini menyebabkan saya mempersoalkan keyakinan dan keberanian BN untuk menang secara adil dalam mana-mana pilihan raya termasuk pilihan raya umum ke-13," katanya. |
Bekas polis elak ditangkap Jawi maut jatuh hotel Posted: 17 May 2011 02:46 AM PDT KUALA LUMPUR, 17 Mei — Seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel di ibu negara ketika cuba mengelak dicekup sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) yang melakukan operasi cegah maksiat awal pagi ini. Ketika cuba melarikan diri melalui tingkap biliknya yang terletak di tingkat 16 hotel itu di mana dia menginap dengan pasangannya, mangsa yang berumur 49 tahun itu terjatuh di beranda tingkat lima bangunan dalam insiden kira-kira 2 pagi itu, lapor Bernama Online. Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut. Mangsa mati serta-merta di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Zulkarnain berkata pihak Jawi telah mengambil keterangan daripada pasangan mangsa yang dipercayai janda berumur lingkungan 40-an untuk membantu siasatan. Beliau enggan mendedahkan identiti pasangan terbabit. |
Ulasan Peristiwa: Ladang Rakyat dan nota cemburu Umno Kelantan Posted: 17 May 2011 01:00 AM PDT Apa pun tulisan ini tidak akan mengulas mengenai hari guru, maruah Anwar Ibrahim dan hal Imigresen. Apa yang akan ditumpukan adalah isu penyerahan nota cemburu projek Ladang Rakyat oleh Pemuda Umno Kelantan kepada Menteri Besar Kelantan. Pemuda bangang Sesungguhnya kandungan nota cemburu yang ditulis sebagai 'memorandum rakyat' adalah sebenarnya suatu manifestasi pemuda Umno yang jelas 'bangang' dengan projek pembangunan anjuran Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar merangkap al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Meskipun sudah berlembar-lembar penjelasan dibuat oleh pimpinan Kerajaan Negeri, namun kandungan nota cemburu oleh ketua pemudanya, Anuar Safian (foto) membuktikan sifat bangang itu. Nota cemburu itu mengandungi lima butiran, iaitu meminta butiran perjanjian syarikat yang menjalankan kerja-kerja perladangan, mahu tahu penglibatan Bumiputera Kelantan dengan syarikat yang menjalan usahasama dengan Syarikat Ladang Rakyat, minta disenaraikan syarat-syarat dan kelayakan peserta, mahukan perincian perolehan pendapatan atau laporan kewangan dan hasil tahunan diperolehi, dan inginkan penjelasan mengenai lokasi, keluasan dan status tanah yang dimajukan (kononnya dirampas dari rakyat). Lima butiran itu, ternyata pengetahuan Pemuda Umno tidak bertambah-tambah meskipun pihak Ladang Rakyat dan Kerajaan Negeri sudah menjelaskan tanah pembangunan Ladang Rakyat adalah atas tanah kerajaan dan tidak pernah merampas tanah rakyat. Berlaku dakwaan rampasan tanah tidaklah tepat. Sebenarnya di situ ada segelintir rakyat yang melakukan teroka atas tanah kerajaan. Apa pun, bayaran pampasan dibuat oleh Ladang Rakyat kepada rakyat (peneroka) yang meneroka tanah kerajaan. Demikian pula, syarikat yang diberi hak hanya pemaju bukannya pemilik yang diberikan tanah.. Tanah tetap dimiliki oleh Ladang Rakyat. Justeru Ladang Rakyat telah meraih untung bukannya rugi. Buktinya, 4,300 peserta diberikan dividen dan mana-mana rakyat yang tanahnya terlibat dengan pembangunan Ladang Rakyat tetap dibayar pampasan. Jika rugi pasti dividen dan pampasan tidak akan dibayar. Demikian pula, Pemuda Umno bangang dalam memahami tujuan projek pembangunan Ladang Rakyat yang semestinya untuk membantu rakyat, khususnya yang miskin. Justeru penerima dividen adalah individu yang berada dalam lingkungan miskin, tanpa pilih kasih dan tidak mengira fahaman politik. Ia tidak sama dengan kerajaan Umno yang tebal dengan amalan diskriminasi, pilih bulu dan terpilih kerana ia Umno. Terbaru, Negeri Terengganu di bawah kerajaan Umno diberikan wang royalti minyak sedangkan Kelantan yang layak telah dinafikan. Belum lagi mengambil kira kegagalan menyiapkan projek atas semata-mata kontraktor adalah kroni. Lihat sahaja kemajuan pembinaan jambatan kedua 'Jambatan Sultan Yahya Petra' yang merentasi Sungai Kelantan. Ia adalah melibatkan kontraktor kroni yang cukup terkenal di Kelantan. Pemuda Umno Kelantan gagal nampak (jambatan tidak siap) kerana mereka bangang. TV1 pembohong Bangang pemuda Umno ditambah lagi dengan pelapor peristiwa menyerah nota cemburu itu telah dilapor secara 'pembohongan' oleh TV1 melalui siaran berita jam 5.30 petang dan jam 8.00 malam pada hari sama. Sekurang-kurang tiga pembohongan dibuat TV1. Pertama bantahan dikatakan kerana Kerajaan Kelantan merampas tanah rakyat, sedangkan tidak berlaku rampasan tanah. Kedua nota itu dilapor sebagai diserahkan kepada Timbalan Speaker Kelantan, sedangkan penerima sebenar ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan. Ketiga berlaku provokasi dicetus oleh pihak Timbalan Speaker yang dikatakan menyebabkan kekecohan, sedangkan pencetusnya adalah pemuda Umno yang mengampit di sebelah kiri Anuar Safian terlebih awal menarik tangan Timbalan Speaker ketika meminta pemuda itu menjarakkan kedudukan semasa penyerahan hendak dibuat. Dan pembohongan keempat, pihak TV1 melaporkan seramai 1,000 orang mengiringi Anuar Safian menyerahkan nota cemburu itu. Sebenarnya hanya 200 orang termasuk beberapa Orang Asli yang diupah. Atas pembohongan tersebut, pemuda Umno dan TV1 jelas tiada kredibiliti untuk dipercayai rakyat Kelantan. Kenapa cemburu? Meskipun Pemuda Umno berjaya mengumpul 200 orang pengiring semasa penyerahan nota cemburu itu, apa pun rakyat Kelantan harus tahu, kenapa Umno amnya begitu cemburu terhadap kejayaaan Ladang Rakyat. Tidak lain kerana di sebalik kejayaan itu kesannya adalah ia membangun negeri dan membantu rakyat miskin. Sementara itu, di sebalik pembangunan tanah untuk projek Ladang Rakyat, turut terbongkar broker teroka tanah Kerajaan Negeri secara tidak sah. Dikatakan broker itu membabitkan pimpinan Umno tertentu, di samping beberapa individu kroni pemimpin tersebut. Ia sudah menjadi kerugian dari segi 'politik anak buah' tatkala anak buah yang dijanjikan dengan geran tanah sudah terpaksa menagih janji yang tidak kesampaian. Justeru politik menghasut rakyat agar membangkang usaha Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz dilakukan oleh pemimpin Umno. Mungkin pemimpin tersebut sudah lupa, bahawa membangkang Ladang Rakyat bermakna menyekat rezeki untuk rakyat miskin. Apakah maruah pemimpin sedemikian? Sokongan majoriti Apa pun asakan pemuda Umno dan cubaan menjatuhkan kredibiliti Kerajaan Negeri di sebalik Ladang Rakyat, seramai 4,300 penerimanya tetap berdiri teguh menyokongnya. Ia simbolik sokongan majoriti rakyat Kelantan. Pada hari yang sama, pihak Ladang Rakyat turut melancarkan koperasi milik penerima dividen. Dua deklarasi diungkapkan iaitu pertama menyatakan sokongan sepenuhnya atas usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan keduanya bersetuju memperkukuhkan Ladang Rakyat sebagai satu badan untuk membantu rakyat dan meneguhkan kerajaan pimpinan ulama. Deklarasi yang disampaikan oleh ketua pegawai eksekutifnya, Dr. Nazmi Ghazali Azmi adalah jawapan tunai kepada sikap membangkang dan menentangnya pemuda Umno Kelantan. Sekaligus, ia petanda kegagalan gerakan rakyat oleh pemuda Umno yang bersimbolkan warna merah. Maka, merah itu sudah bermakna kematian idea politik Umno Kelantan. Hanya rakyat yang mendapat hidayah Ilahi bakal menjadi hakim atas ketulusan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran untuk sekalian warga Negeri Kelantan. http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/2011/05/ladang-rakyat-dan-nota-cemburu-umno.html |
Siapa orang ketiga bersama Razak Baginda dan Altantuya ke Malta? Posted: 17 May 2011 12:30 AM PDT KUALA LUMPUR: Pemilik KS Ombak Laut Sdn Bhd, Abdul Razak Baginda dan warganegara Mongolia yang dibunuh dengan kejam Altantuya Shariibu pernah dikatakan bersama seorang lagi individu menaiki penerbangan ke Malta bagi urusan pembelian komisyen kapal selam Scorpene. Perkara itu didedahkan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan yang memetik kenyataan Pengarah Urusetia Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gibrael. Dalam laporan itu, Cynthia berkata, dua tiket penerbangan itu disahkan atas nama Abdul Razak dan Altantuya. "Siasatan mendapati Gifen- sebuah subsyarikat kepada DCNS berpengkalan di Malta, berperanan sebagai pembuat bayaran. Mereka jumpa bayaran e-tiket melibatkan Razak baginda, Altantuya dan seorang lagi," kata Cynthia. Maklumat lanjut mengenainya disiar menerusi Suara Keadilan, edisi ke 16 yang boleh diperoleh di pasaran mulai hari ini. Suara Keadilan minggu lalu, mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene. Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia. Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya ia sebenarnya dibayar kerajaan Malaysia sendiri. |
TG Haji Hadi Kekal Presiden PAS, Senarai Ahli Yang Layak Bertanding Posted: 16 May 2011 11:56 PM PDT Presiden PAS kekal, 6 layak tanding timbalan Hazayani Zakaria KUALA LUMPUR, 17 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding, manakala enam orang dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden dan 14 lagi untuk jawatan naib presiden. Manakala 82 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat. Demikian dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan yang juga Pengarah jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini. Bagi jawatan timbalan presiden, enam orang yang dicalonkan termasuklah penyandangnya, Nasharudin Mat Isa. Lima lagi yang dicalonkan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, naib-naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub,ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu. Keenam-enam mereka turut dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden bersama lapan yang lain iaitu: 1. Idris Haji Ahmad (ketua penerangan) 2. Mahfuz Omar (naib presiden) 3. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat) 4. Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan) 5. Mohd Hatta Md Ramli (Bendahari PAS Pusat) 6. Mujahid Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat) 7. Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Peneranagn Dewan Ulamak) 8. Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat) Mengikut perlembagaan PAS, seseorang itu hanya memerlukan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti termasuk jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden. Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti. Berikut ialah 82 calon untuk AJK PAS Pusat: 1. Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz 2. Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz 3. Abdul Halim Abdul Rahman, Dato' Ustaz 4. Abdul Rani Osman, YB Dr. Hj 5. Abdul Wahid Endut, YB Hj 6. Abu Bakar Chik, Dato' Ustaz , 7. Abu Bakar Hussein, Ustaz 8. Adly Zahari, 9. Ahmad Sabki Yusof, 10. Aiman Athirah Al-Jundi 11. Amiruddin Hamzah, YB Ir. 12. Anuar Tan Abdullah, Dato' Hj 13. Asmuni Awi, Hj 14. Azizan Abdul Razak, YB Dato' Seri Ustaz, 15. Azman Shapawi, Ustaz 16. Halimah Ali, YB Dr. 17. Hamzah Abdullah, 18. Hamzah Jaafar, Dr. 19. Hanipa Maidin, Hj 20. Hashim Jasin, YB Ustaz 21. Hassan Ali, YB Dato' Dr. 22. Hayati Othman, YB Dr. 23. Husam Musa, YB Dato' 24. Idris Ahmad, Ustaz 25. Iskandar Abdul Samad, YB 26. Kamarudin Jaffar, YB Dato' 27. Khairuddin Dato' Abdul Malek, Dr., 28. Khalid Abd Samad, YB Hj. 29. Khalil Idham Lim, YB 30. Lo'Lo Dato Ghazali, YB Dr. 31. Mahfodz Mohamed, Dato' Dr. 32. Mahfuz Omar, YB Dato' 33. Mazlan Aliman, 34. Misbahul Munir Masduki , Ustaz 35. Mohamad Abdullah, (Sabah) 36. Mohamad Nor Mohamad, Hj. 37. Mohamad Sabu, Hj. 38. Mohd Anuar Tahir, Hj 39. Mohd Apandi Mohamed, Hj. 40. Mohd Firdaus Jaafar, YB 41. Mohd Hatta Md Ramli, YB Dr. 42. Mohd Nasir Mustafa, 43. Mohd Nasir Zakaria, YB, 44. Mohd Nizar Jamaluddin, YB Ir. Dato' Seri 45. Mujahid Yusof Rawa, YB Dr. 46. Mumtaz bt. Mohd Nawi, YB 47. Mustafa Ali, Dato' 48. Najihatusolehah Ahmad, Dr. 49. Nasharudin Mat Isa, YB Ustaz 50. Nasuruddin Hj Daud, Dato' Ustaz Hj 51. Nik Abduh Nik Abdul Aziz, 52. Nik Mohd Amar Abdullah, YB Dato' Ustaz 53. Nik Zawawi Nik Salleh, Ustaz 54. Norazli Musa, Ustaz Hj. 55. Normala Sudirman, 56. Nuridah Salleh, Ustazah 57. Phahrolrazi Zawawi, YB Ir. Dato' Hj 58. Razman Zakaria, 59. Riduan Mohd Nor, Ustaz, 60. Rosidi Hussin 61. Sa'ari Sungib, YB Hj. 62. Salahudin Ayub, YB, 63. Salleh Man, YB Ustaz 64. Sallehen Mukhyi, Ustaz 65. Shafie Abu Bakar, YB Dr. 66. Siti Mariah Mahmud, YB Dr. 67. Siti Zailah Yusoff, YB 68. Suhaizan Kaiyat, 69. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, YB Dr. 70. Taib Azamuddin Md Taib, YB Dato' 71. Takiyuddin Hassan, YB Dato' 72. Taufek Ghani, YB 73. Wan Abd Rahim Wan Abdullah, YB Dato' 74. Wan Hasrina Wan Hassan, 75. Wan Nik Wan Yusof, 76. Wan Ubaidah Wan Omar, YB 77. Yusof Embong, Ustaz Hj. 78. Zainuddin Yusof, YB Hj 79. Zaki Ibrahim, YB 80. Zuhdi Marzuki, Dr. 81. Zulkefly Muhamad Omar, Hj 82. Zulkifly Ahmad, Hj (Johor) Manakala bagi jawatan pengerusi tetap, terdapat tiga pencalonan iaitu Abu Kassim Abdullah, Hussin Ismail dan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. Bagi jawatan timbalan pengerusi tetap pula terdapat lima pencalonan iaitu: 1. Hussin Ismail 2. Ishak Surin 3. Misbahul Munir 4. Nasuruddin Daud, YB 5. Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, YB Dato' Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media sama berkata, surat tawaran akan dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka sama ada menerima pencalonan tersebut atau tidak. "Jadi mustahil kalau ada yang kata mereka tak tahu layak bertanding," katanya. Tarikh tutup untuk membuat pengesahan adalah pada 26 Mei ini. Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 15 Mei lalu. Katanya, PAS mempunyai 180 kawasan di seluruh negara dan 152 daripadanya menghantar pencalonan bagi jawatan utama namun enam borang ditolak menjadikan 146 pencalonan diterima. Seramai 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar tahunan parti itu bermula 1 hingga Jun depan. |
Najib: Pengebom berani mati bukannya syuhada, tidak wakili Islam Posted: 16 May 2011 10:45 PM PDT Najib berkata kesederhanaan boleh membantu mencipta masa depan lebih baik. OXFORD, 17 Mei — Datuk Seri Najib Razak menggesa masyarakat dunia untuk mengamalkan kesederhanaan sebagai cara terbaik untuk bertindak dan untuk maju ke hadapan. Perdana Menteri menegaskan kesederhanaan bukan konsep yang asing kepada manusia dan juga bukan bersifat teori semata-mata. Ketika menyampaikan syarahan di Sheldonian Theatre, Universiti Oxford di sini, Najib berkata, kesederhanaan boleh membantu mencipta masa depan lebih baik sepertimana dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin pada tamadun-tamadun terdahulu. "Jurang sebenar bukanlah di antara Timur dan Barat atau antara negara maju dan membangun atau malahan antara orang Islam dan bukan Islam. "Ia antara golongan sederhana dan ekstremis daripada semua agama," katanya dipetik laporan Bernama. Syarahan beliau bertajuk "Kesederhanaan dan Persefahaman Antara Tamadun". Memberikan contoh sikap sederhana yang diamalkan pada awal ketamadunan Islam, Barat dan pemimpin terkemuka seperti Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela, Najib berkata, prinsip kesederhanaan bukannya baru dalam Islam dan turut ditekankan dalam agama kristian dan agama lain. "Sebenarnya tidak wujud apa yang dikatakan sebagai Islam liberal atau ekstremis Islam, Islam konservatif atau Islam makrifat, jihad Islam atau Islam ihsan, Islam moden atau Islam pertengahan. "Hanya Islam, cara hidup yang sempurna. Bersikap sederhana tidak boleh dianggap sebagai bacul, tidak berprinsip, lemah atau ihsan," katanya. Perdana Menteri menegaskan bahawa kepelbagaian, dialog dan kewujudan bersama secara aman merupakan tema penting dalam Islam. "Dalam kitab suci Quran, Allah SWT berfirman bahawa Dia mencipta manusia daripada pelbagai kaum dan keturunan sebagai suatu rahmat agar mereka boleh berkenal-kenalan dan memanfaatkan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan mereka," katanya. Najib berkata mereka yang memasang bahan letupan di badan mereka dan meletupkan diri mereka bukannya tergolong sebagai syuhada dan tidak mewakili Islam. Beliau berkata dunia bebas daripada keganasan bukanlah sesuatu yang mustahil tetapi ia memerlukan mereka yang menganjurkan sifat sederhana; menuntut agar tidak ada lagi menjadi golongan majoriti yang hanya berdiam diri, tetapi mula mempamerkan keberanian dan keyakinan dalam menunaikan tanggungjawab. "Kita perlu menangani perkara yang menjadi punca berlakunya keganasan global dan mampu untuk membezakan antara gejala dan punca utama yang menyebabkannya berlaku. Melalui cara ini sajalah, kita akan dapat mencapai penyelesaian berkekalan." Laporan itu juga memetik Perdana Menteri sebagai berkata, tanggungjawab untuk menyuarakan penyelesaian bukan hanya mengenai Muslim tetapi juga daripada agama dan kepercayaan lain. Terdapat satu keperluan untuk mendengar suara ramai daripada kesederhanaan di semua negara dan daripada semua lapisan masyarakat, tegas Najib. Beliau menggesa, mereka yang menghargai kesederhanaan untuk memastikan kekecewaan, biar di mana jua ia dirasai, diberi perhatian dan setiap pandangan yang disuarakan, didengari. "Itu sebabnya kita semua berhimpun di sini petang ini (semalam) untuk memupuk, bukannya menyaksikan pertembungan ketamadunan tapi untuk mengukuhkan persefahaman, dan mungkin sehingga menyanjung perbezaan antara kita, dan pada masa yang sama, segalanya yang kita kongsi bersama. "Kemodenan dan kesederhanaan perlu bergerak seiring. Dialog kita mesti diteruskan," kata Perdana Menteri. Najib juga menghuraikan dengan panjang lebar dan mengaitkan pengalaman Malaysia dalam menguruskan kepelbagaian dan kemajmukkan, yang menyaksikan Malaysia memutuskan untuk mengetengahkan integrasi, dan bukannya asimilasi. "Rakyat Malaysia menerima kepelbagaian mereka. Kami bukan semata-mata bertoleransi antara satu sama lain, tapi juga menghargai dan menyanjung. Dengan meningkatkan kekuatan dan dinamis kepelbagaian ini, kita dan mewujudkan satu asas untuk katahanan nasional," katanya. Beliau berkata di Malaysia, Islam itu disamakan dengan kemodenan, inklusif, dan tadbir urus yang baik. Beliau berkata masalah Timur Tengah yang tidak selesai dan penderitaan rakyat Palestin menghantui kesedaran global sejak sekian lama. Najib seterusnya mengulangi sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk sebuah negara yang bebas dan berdaulat. Dengan merujuk kepada pelbagai kejadian yang berlaku di dunia Arab sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang mewujudkan kekecohan dan keraguan, beliau berkata, komuniti dunia tidak seharusnya terlepas pandang kenyataan bahawa negara-negara ini dan rakyatnya kini berhadapan dengan pilihan. "Pilihan antara ekstremis serta tiada toleransi; dan suasana aman serta kesederhanaan demokratik yang akan memberikan mereka lebih banyak kebebasan bersuara," tambah beliau. |
Tolong Rakyat Ibarat Kerajaan Bagi Candu Posted: 16 May 2011 10:05 PM PDT Najib: Subsidi ibarat candu, kos politik tak boleh dielak Pada Mac lalu, Najib berkata beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang. OXFORD, 17 Mei — Subsidi bahan api ibarat "candu" kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini semalam. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi. "Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik," kata beliau di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford. Pada Mac lalu, Najib berkata, beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang dan penjimatan seharusnya disasarkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan. "Pengurusan ekonomi yang baik dan makro membolehkan anda mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat. "Maka, anda membolehkan faktor pasaran untuk memperuntukkan sumber-sumber dengan berkesan," katanya lagi. Dipetik laporan Reuters, Najib berkata, keperluan untuk menarik balik subsidi secara berperingkat-peringkat perlu diseimbangkan dengan keperluan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet. Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit sehingga 5.4 peratus tahun ini berbanding 5.6 peratus sebelum ini, kemudian sehingga 2.8 peratus menjelang 2015. "Kami perlu menaikkan harga (bahan api) secara berperingkat-peringkat, kami tidak boleh melakukannya dalam satu malam. (Jadi) ada kos politik dalam mengurangkan subsidi," katanya lagi. "Saya perlu menguruskannya antara urus tadbir yang baik dan dapat dipilih semula," katanya. Pentadbiran Najib memperkenalkan dasar pelarasan subsidi sejak tahun lalu, yang sekali gus membawa kepada kenaikan harga beberapa barang kawalan. Semalam, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat. Pergerakan itu juga berkata pihaknya gusar dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin yang menggesa rakyat agar bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95. Laporan media memetik Ismail Sabri berkata, kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya. Beliau berkata, kemungkinan itu ada memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan. "Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga," katanya. Pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan harga barang kemungkinan naik kerana kemungkinan kerajaan mengkaji balik subsidi ekoran peningkatan kos subsidi tahun ini berbanding tahun lalu. Justeru, dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, usaha-usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak. Harga RON97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter awal bulan lalu. Harga gula pula naik 20 sen sekilogram berkuat kuasa minggu lalu. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan