Tahniah, WHO Senaraikan Malaysia antara 10 Negara Paling Banyak Peminum ARAK Posted: 22 May 2011 07:34 AM PDT DC melaporkan Malaysia telah disenaraikan oleh World Health Organisation (WHO) antara 10 negara paling banyak menggunakan alkohol di dunia. Dengan kata lain, Malaysia diiktiraf sebagai antara 10 negara paling banyak minum air kencing syaitan. Yang menghairankan, statistik itu bertentangan dengan saiz dan populasi rakyat negara ini. Berdasarkan statistik WHO, orang Malaysia, termasuk orang Melayu Islam, menghabiskan RM1.5 bilion untuk membeli alkohol dengan penggunaan 7 liter per kapita. P/s: Anak bekas PM pun jadi ahli lembaga pengarah syarikat arak. Kilang arak pun besar gah di Malaysia. Nak hairan apa? Bala, bala! Alaahi, negara Islam versi UMCO!
|
"Ada Datuk Najib Berani Panggil YTL, Genting Sanyen, Malakoff dan Ananda Krishnan – Kamu Ini Ketagih "Candu"? - DSAI Posted: 22 May 2011 06:00 AM PDT
Saya petik:
[KD] KUALA LUMPUR: "Subsidi adalah candu pada rakyat, 'tauke-tauke' besar bagaimana?"Kepada orang kampung dan rakyat miskin, kamu katakan subsidi itu candu. Tetapi, adakah Najib akan berani mengatakan perkara yang sama kepada 'tauke-tauke' besar IPP?
"Ada Datuk Najib berani untuk panggil YTL, Genting Sanyen, Malakoff dan Ananda Krishnan – kamu ini ketagih 'candu? Tidak. Itulah sebabnya mereka marah sangat dan terus serang kita.
Demikian antara ucapan Ketua Umum KEADILAN itudi hadapan ratusan hadirin yang melimpah sehingga ke luar dewan pada siri program Jelajah Selangor (Jelas) di Dewan Orang Ramai Kampung Cheras Baru, malam tadi.
Anwar merujuk kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang melabel subsidi adalah satu bentuk candu, baru-baru ini.
Suasana perkarangan dewan seperti pesta dengan deretan puluhan gerai dan warung pasang siap, sekali pun program yang dimulakan dalam suasana hujan renyai.
....................
Meneruskan ucapannya, Anwar menyelar sikap kerajaan Umno-BN yang sentiasa berpihak kepada kroni perniagaan yang kaya, dalam masa yang sama meminggirkan jutaan rakyat terbanyak melalui pembikinan dasar yang tidak pro-rakyat.
"Kalau rakyat itu miskin, pendapatan rendah, merempat, duduk di kampung-kampung, adalah menjadi tanggungjawab dan amanah kerajaan untuk menjaga dan membantu kebajikan mereka.
"Dalam sejarah, tidak pernah 'tauke-tauke' ini kalah. Yang kalah ialah rakyat. Sebab itu saya tak setuju dengan cara ini," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Dalam pada itu, Anwar bertegas bahawa persoalan kemiskinan dan kemunduran orang Melayu tidak akan selesai sama ada dirinya dipenjara, berikutan pelbagai percubaan oleh lawan politik termasuk dakwaan kes yang kini dihadapinya di mahkamah.
"Adakah dengan memasukkan Anwar dalam penjara, akan selesai masalah kemiskinan orang Melayu? Dah masuk pun 6 tahun, tak selesai juga. Bahkan, rasuah makin banyak," kata Anwar.
Beliau mencabar pimpinan Umno-BN untuk bertanya kepada rakyat Malaysia sama ada gejala rasuah dan penyelewengan tidak wujud di Malaysia.
Dalam pada itu beliau menambah, beban sebenar rakyat cuba dialihkan oleh media kawalan Umno-BN melalui pelbagai fitnah rekaan untuk menyerang peribadi, malahan fizikal ahli keluarganya.
"Oleh sebab tak boleh 'patahkan' Anwar, maka mereka mahu 'patahkan' Azizah, Nurul Izzah malahan cucu saya juga diancam. Seolah-olah nyawa kami ini tidak berharga kepada mereka.
"Saya ini menjadi 'public enemy' nombor satu kepada mereka. Jika lenyap, lebih senang," dedahnya memperingatkan hadirin mengenai percubaan ancaman dan ugutan terhadap keluarganya kebelakangan ini.
"Tapi kalau kamu ingat kami akan lemah, maka kamu silap kerana Insya Allah, ujian ini akan memperkuatkan kita," kata Anwar dengan bersemangat disambut sorakan ribuan hadirin.
Justeru, Anwar bertegas bahawa sisa hidupnya yang masih tinggal akan didedikasikan untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan.
"Yang pertama, kita kena sabar. Jangan fikirkan untuk membalas dendam kepada orang lain. Anak muda terutamanya perlu memastikan matlamat perjuangan, benci kepada kezaliman, pengkhianatan dan mahu membela nasib rakyat.
"Siapa yang tidak terguris perasaan apabila melihatkan isteri, anak dan cucu menjadi mainan mereka? Tetapi kita yakin, bahawa kemenangan yang diperolehi dalam pilihan raya akan datang pasti menyelamatkan negara kita," jelas Anwar.
Beliau berpesan kepada jentera KEADILAN untuk mempergiat penerangan, terutamanya penyebaran maklumat dan tawaran Pakatan Rakyat seperti yang terkandung di dalam Buku Jingga.
"Rakyat kena bangkit. Walau bagaimana susah sekali pun, kita jangan mengaku kalah," jelasnya. |
Keju & Mentega Tidak Mendatangkan Risiko Sakit Jantung Posted: 22 May 2011 05:00 AM PDT Berita baik untuk penggemar keju dan mentega. Saintis mendapati pengambilan keju dan mentega dalam jumlah yang besar tidak meningkatkan risiko penyakit jantung. Menurut kajian yang dilakukan terhadap 3,630 lelaki warga Costa Rica yang memakan lebih setengah kilogram keju didapati tidak menderita masalah terbabit.
Pakar pemakanan Universiti Brown, Amerika Syarikat, Stella Aslibekyan berkata, zat makanan yang ditemukan dalam produk tenusu berkenaan sebenarnya mampu melawan penyakit bahaya itu.
"Produk seperti susu dan keju adalah zat yang sangat kompleks. Kami mendapati zat makanan seperti kalsium, vitamin D, dan kalium mampu melindungi orang ramai daripada penyakit jantung," katanya.
Selain itu, kajian terbabit turut mendapati jumlah bahan tenusu yang diambil pesakit jantung tidak berbeza daripada orang yang tiada masalah penyakit itu.
|
Tragedi Tanah Runtuh Madrasah Al-Taqwa: Senarai Mangsa yang Terkorban & Terselamat Posted: 22 May 2011 12:00 AM PDT Saya petik: [Bernama] KUALA LUMPUR: Berikut adalah senarai nama 25 mangsa yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini.
Sehingga 5.30 pagi ini, semua mangsa yang tertimbus sudah dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat dengan 16 daripadanya terkorban dan sembilan cedera.
Operasi yang bermula jam 2.45 petang semalam berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada jam 5.05 pagi.
Operasi mencari dan menyelamat disambung pada 8 pagi ini bagi membuat gerakan terakhir untuk memastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap.
Berikut ialah senarai nama penuh mangsa yang diperoleh dari bilik gerakan bergerak yang dibuka di lokasi kejadian:
Enam belas yang terkorban ialah: 1) Mohd Kamarul Amizan, 11 tahun 2) Nurahimi Rosdi, 14 3) Dzahir Haziq M. Muin, 11 4) Ahmad Lokman Hakim, 11 5) Farid Ibrahim, 34 6) Mohd Azret Azahari, 8 7) Wan Ahmad Hasril Hazim, 11 8) Zahid Assawal Zamri, 19 9) Mohd Mustakim Mamat, 12 10) Mohd Naerzein M. Nor, 8 11) Mohd Aiman Abdullah, 10 12) Shahrul Nurimran Adnan, 9 13) Mohd Zaid Azahari, 14 14) Mohd Imal Fahad, 9 15) Mohd Riezman Abdul Latif, 9 16) Mohd Hazim Sapri, 10
Sembilan yang terselamat ialah: 1) Aizat Khusairi, 12 2) M. Allaudin Sobri, 14 3) M. Syatiq Ibrahim, 21 4) Khairul Anuar Nasri, 9 5) M. Harris Izuddin Sahrul, 11 6) Zulkhairi Aminuddin, 13 7) Izzuddin Abdullah, 30 8) Izuan Zakaria, 33 9) Mohd Akmal Mohd Jefri, 10
Lapan daripada mereka sedang dirawat di Hospital Ampang manakala Mohd Akmal di KPJ Kajang |
Tragedi Tanah Runtuh Madrasah Al-Taqwa: Kerajaan Negeri Hulur Bantuan Kilat Posted: 21 May 2011 07:30 PM PDT
Saya petik: [KD] SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan segera kepada mangsa tanah runtuh Madrasah Al Taqwa Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, Hulu Langat hari ini.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri menghantar misi bantuan kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal ke tempat kejadian bagi membantu mangsa dan anggota keluarga mereka.
"Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini," kata dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar malam ini.
Selain itu, Menteri Besar Selangor Permerbadanan akan membiayai kos keperluan kepada mangsa dan petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi menyelamat.
Kerajaan Selangor juga mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor bagi memastikan urusan kebajikan.
Buat sementara waktu, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat sehingga misi menyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.
Dalam pada itu, Khalid berharap keluarga mangsa bersabar dengan kejadian itu.
"Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.
"Menteri Besar serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat," katanya.
Sehingga kini, enam mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun berjaya dikeluarkan dari tanah runtuhan yang berlaku pada pukul 2.30 petang.
Dilaporkan sehingga pukul 8 malam, sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun. Seramai sembilan mangsa dilapor masih tertimbus dalam runtuhan itu.
|
Suami Cemburu Belasah & Tetak Isteri Sebelum Bunuh Diri Posted: 21 May 2011 06:30 PM PDT
Saya petik: [HM] KOTA BELUD: Seorang lelaki yang cemburu melihat isterinya berjalan bersama lelaki lain 'naik hantu' apabila membelasah wanita itu separuh mati termasuk menetak hingga putus jari hantu tangan kiri mangsa sebelum membunuh diri dalam kejadian di Kampung Gentoung Rosok, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari, Dua Tulis, 46, parah di kepala selain patah tangan kiri selepas suaminya, Sibin Tetobok, 46, membelasahnya menggunakan parang dan kayu.
Difahamkan, suami mangsa dikatakan berang melihat isterinya berjalan bersama lelaki lain di sawah padi kampung berkenaan lalu mengamuk, termasuk mengeliling kampung dan menjerit akan membunuh isterinya.
Beberapa penduduk yang menyedari perkara itu menghubungi polis berikutan bimbang berlaku perkara tidak diingini.
Selain itu, jiran mangsa mendakwa terdengar pertelingkahan antara pasangan berkenaan sebelum anggota polis yang tiba beberapa minit kemudian menemui mangsa dalam keadaan parah manakala suaminya menghilangkan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Deputi Superintendan Mohan Nadasen mengesahkan perkara itu dan memberitahu, mangsa kini dirawat di Hospital Kota Belud akibat cedera parah di beberapa bahagian tubuhnya.
"Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis menuju ke rumah pasangan berkenaan dan menemui mangsa terbaring berlumuran darah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di dalam rumah terbabit.
"Polis turut menemui parang dan kayu dengan kesan darah, dipercayai digunakan suspek untuk menetak dan memukul isterinya," katanya.
Mohan berkata, pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui jari hantu mangsa dan dihantar ke hospital untuk disambung semula, namun doktor mendakwa sudah terlambat.
"Polis kemudian menjejaki suspek sebelum dimaklumkan penduduk bahawa lelaki itu berada di sebuah pondok di sawah padi.
"Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran polis meminum sejenis cecair dipercayai racun sebelum rebah dan tidak sedarkan diri," katanya.
Katanya, suspek dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
"Polis masih menunggu laporan bedah siasat suspek untuk mengetahui punca kematiannya.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya. P/s: Kes curang sama ada suami atau isteri umpama wabak penyakit berjangkit.
|
Tragedi Tanah Runtuh Madrasah Al-Taqwa: Perkembangan Terbaharu & Punca kejadian Posted: 21 May 2011 04:58 PM PDT
Saya petik: [HM] Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, ditemui awal pagi ini.
Mayat tiga daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi, manakala mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi.
Dengan penemuan empat mayat itu, kesemua mereka yang dilapor tertimbus dalam kejadian itu telah ditemui, kata polis.
Kejadian pada pukul 2.30 petang semalam itu mengakibatkan 25 orang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus. 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal.
Polis berkata operasi mencari dan menyelamat kini dihentikan dan akan disambung pukul 8 pagi ini.
Berikut adalah senarai nama 25 mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini Sabtu.
Senarai nama berikut adalah menurut nama panggilan mangsa di rumah anak yatim berkenaan.
1) Azrel, 8, 2) Nael, 8, 3) Shahrul, 9, 4) Boboy, 10, 5) Farid, 34, 6) Eqim * 7) Zaim * 8) Angah * 9) Rahimi * 10) Zaid Ashwal, 18, 11) Riz, 9, 12) Fahad, 9 13) Hazim, 9
Sembilan yang terselamat iaitu:
1) Khairul, 9, 2) Hairis * 3) Harris * 4) Akmal * 5) Aizat * 6) Alaudin * 7) Irwan, 33, 8) Din, 30, 9) Syafiz, 22,
Tidak diketahui keadaan tetapi telah dikeluarkan 1) Lokman, 11, 2) Aiman, 10, 3) Hasril, 11,
* umur tidak diketahui
[HM] KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, semalam, berkemungkinan berpunca daripada faktor alam semula jadi, iaitu aliran puing (debris flow).
Pengarah Institusi Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata ini kerana kawasan berkenaan masih belum diteroka dan aliran puing hanya berlaku secara di kawasan sedemikian setiap 20 hingga 30 tahun sekali bergantung kepada cuaca semasa.
Katanya, kejadian berkenaan berkemungkinan mempunyai persamaan dengan tragedi banjir lumpur yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 dan di Jalan Susur Genting Highlands pada 1995.
"Debris flow ini berpunca daripada tiga faktor alam sekitar iaitu keadaan cuaca, keadaan muka bumi dan geologi, di mana ia turut berkaitan dengan sumber air atas bukit.
"Tekanan air atas bukit yang kuat ini turut membawa sekali batu, pokok serta tanah dan mengakibatkan pergerakan tanah punca berlakunya tanah runtuh," katanya.
Menurut Ibrahim, kejadian ini adalah normal berlaku di kawasan berbukit tetapi tidak diberi perhatian serius kerana jarang membabitkan kawasan didiami penduduk.
"Di negara kita sendiri perkara ini selalu terjadi tetapi biasanya tidak diketahui kerana berlaku di tengah hutan seperti Banjaran Titiwangsa.
"Disebabkan ia jarang diberi perhatian, masalah ini tidak diambil berat oleh pihak berkaitan, termasuk orang ramai yang masih berani mendirikan rumah di lereng bukit," katanya.
Bagaimanapun, Ibrahim berkata, kejadian berkenaan berbeza dengan kes tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada 6 Disember 2008.
"Kejadian di Bukit Antarabangsa berpunca daripada kecuaian manusia yang rakus melakukan pembangunan tidak terkawal di kawasan bukit.
"Bagaimanapun, dalam kedua-dua situasi ini, kawasan berkenaan tetap mempunyai risiko untuk berlakunya tanah runtuh kerana terletak di kawasan bukit," katanya.
Menurutnya, bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, pihak berkaitan, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), memantau keselamatan kawasan berbukit yang didiami penduduk.
Katanya, ini kerana kejadian tanah runtuh hingga membabitkan kehilangan nyawa sering berlaku tetapi tindakan yang diambil selepas itu hanya sementara, lantas diabaikan.
"Kita lihat ini sebagai kelemahan kerana pemantauan dan pelbagai cadangan hanya dibuat bila kejadian berlaku, tetapi bila reda isu itu ia dilupakan," katanya. ..
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan