Sabtu, 21 Mei 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Tanah runtuh: MB Selangor arah bantuan segera

Posted: 21 May 2011 05:39 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat untuk memberikan bantuan segera.

"Sedih dengan berita kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang menyebab kematian. Kerajaan negeri akan sedia tabung bantuan mangsa dengan segera," fulisnya di laman twitter petang tadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan di laman sama memberitahu, Unit Amal bergegas ke Lembah Azwin Sungai Semungkis di mana tanah runtuh menimpa rumah anak yatim.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berharap Unit Amal dapat menyelamatkan mangsa sambil mengiringi doa agar tidak ramai yang terkorban.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.

Dilaporkan tiga mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan telah dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 6.30 petang tadi.

Tanah runtuh: Presiden PAS rakam takziah

Posted: 21 May 2011 05:38 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR- Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.

"Bersabarlah dengan ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh," tulis beliau di laman twitter malam ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.

Dilaporkan tiga mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan telah dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 6.30 petang tadi.

Umno ‘hidupkan semula’ Juara Rakyat hadapi PRU-13

Posted: 21 May 2011 05:35 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

ALOR SETAR— Umno akan menerapkan dua elemen baru dalam fasa kedua program Juara Rakyat bermula Jun ini untuk mengukuhkan kesepaduan komponen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dianggap Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih getir.

Umno memperkenalkan program Juara Rakyat awal tahun lalu dan telah diadakan secara di seluruh negara.

Dipetik Bernama, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, elemen itu ialah ceramah yang menyentuh isu-isu semasa dan pembabitan semua parti komponen BN.

PRU-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ahmad berkata, ingatan Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden BN semalam bahawa PRU-13 dijangka getir bagi BN dan tidak seperti PRU terdahulu berikutan parti-parti lawan bertambah agresif, tepat pada masanya.

"Perubahan yang dibuat dalam program Juara Rakyat kali ini mengandungi unsur-unsur untuk menghadapi situasi getir terbabit supaya penyokong BN tidak goyah," katanya di sini malam tadi.

Kata Ahmad, surat arahan daripada beliau bagi penganjuran program itu akan diedarkan kepada semua ketua bahagian dalam tempoh seminggu dari sekarang.

"Selepas menerima surat, saya mahu setiap bahagian menganjurkannya dengan pelbagai tema supaya Umno dilihat bergerak di seluruh negara," katanya dan menambah ibu pejabat parti akan membantu menjayakan program daripada segi kewangan.

Mengenai ingatan Muhyiddin supaya tiada lagi pertelagahan di bahagian, Ahmad berkata, ingatan itu sangat wajar supaya semua pihak segera menyelesaikan pertelingkahan sekiranya masih belum selesai.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyamakan perkara itu dengan "cah keting" yang menjadi punca BN tewas di lima negeri pada PRU-12.

"Maaflah... perkara ini berlaku di Kedah dan tidak terkecuali Kelantan. Di Manik Urai (pilihan raya kecil 2009), kita kalah 65 undi sahaja kerana 300 ahli Umno yang tidak setuju dengan pemilihan calon tidak keluar mengundi.

"Perbuatan jatuh menjatuhkan seperti ini tidak boleh berlaku lagi dalam Umno. Jadikan kekalahan (PRU) 2008 pengalaman pahit yang sangat berharga," katanya.

Tanah runtuh ragut enam penghuni asrama anak yatim, ramai timbus

Posted: 21 May 2011 05:31 AM PDT

TERKINI
MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR – Enam orang disahkan terbunuh dalam kejadian akibat tanah runtuh di kawasan asrama anak yatim Sungai Semungkis dekat Kajang petang tadi.

Laporan terdahulu menyebut antara 20 hingga 30 penghuni asrama itu tertimbus dalam kejadian, yang dilaporkan berlaku kira-kira 2.20 petang.

Laporan The Star Online menyebut mayat enam kanak-kanak telah dikeluarkan.

Laporan Berita Harian Online pula memetik jurucakap ibu pejabat polis daerah Kajang berkata, tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan.

Media juga melaporkan enam lagi kanak-kanak berjaya diselamatkan dan keadaan mereka dilaporkan parah selepas anggota penyelamat dan penduduk kampung mengorek tanah yang tertimbus.

Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Kajang.

Seramai empat penyelia asrama belum dikesan lagi, laporan The Star Online.

DAP mahu terus desak Putrajaya tarik balik Interlok

Posted: 21 May 2011 05:23 AM PDT


KUALA LUMPUR– DAP akan terus mendesak Putrajaya sehingga novel kontroversial Interlok digugur sebagai buku teks sastera di sekolah menengah.

Naib Pengerusi DAP kebangsaan M. Kulasegaran berkata, novel hasil karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang dijadikan buku teks Tingkatan Lima telah menyinggung perasaan rakyat negara ini.

Tegas Kulasegaran, konsep 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah gagal untuk diampilkasikan apabila tidak mengambil kira pandangan masyarakat dalam isu Interlok.

"Sehingga hari ini kerajaan Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan untuk menarik balik novel Interlok dari sekolah walaupun terdapat kandungan novel itu menyinggung perasaan masyarakat India dan boleh menyemai benih-benih perkauman di kalangan anak muda.

"Jika kerajaan serius mengenai konsep 1 Malaysia, sudah tentu novel ini tidak akan diperkenalkan sebagai buku teks di sekolah, ia satu tindakan tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab walaupun Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu Interlok ini sudah selesai," katanya dalam ceramah di Melaka malam tadi.

Dalam teks ucapan yang diedarkan kepada media hari ini, kata beliau, selain masyarakat India, novel Interlok itu turut menyinggung perasaan dan menyentuh sensitiviti orang Melayu dan orang Cina.

"DAP akan terus menuntut novel Interlok yang telah menyinggung perasaan masyarakat India, Melayu dan Cina ditarik balik daripada dijadikan buku teks sekolah.

"Jika kerajaan BN bertegas tidak mahu menarik balik, sebaliknya meneruskan perkara yang menyinggung perasaan masyarakat India sudah tentu BN akan menerima pengajaran pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sebelum ini Muhyiddin berkata, novel Interlok akan kekal digunakan sebagai teks komponen sastera mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pindaan itu dibuat selepas panel bebas mengkaji novel Interlok telah mengenal pasti bahagian yang dianggap sensitif itu.

Novel karya Abdullah menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Sebelum ini, beberapa badan mewakili masyarakat India termasuk MIC meminta Putrajaya menarik balik novel Interlok daripada digunakan sebagai bahan teks sastera Tingkatan Lima.

Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) telah memulakan kempen meminta pelajar-pelajar yang dibekalkan novel kontroversi Interlok, yang jumlahnya dianggarkan 180,000 orang di Zon 2, agar memulangkan kepada pengetua masing-masing sebagai tanda protes.

"Konsep 1 Malaysia menekankan perpaduan kaum tapi apa yang berlaku sekarang bertentangan dengan konsep yang dibawa Najib," kata Kulasegaran.

Tanah Runtuh : Lima Kanak-kanak Yatim Maut, 7 Selamat

Posted: 21 May 2011 04:58 AM PDT

Ditulis oleh Jasbant Singh


KAJANG : Mayat seorang lagi mangsa dibawa keluar dari timbunan tanah runtuh rumah kebajikan Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia di Batu 14, Hulu Langat, Kajang, menjadikan angka terkorban setakat ini lima orang anak yatim.

Penolong Pesuruhjaya Jabatan Bomba Putrajaya Morni Mamat berkata 12 orang masih dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Mayat terbaru dibawa keluar sebentar tadi manakala tujuh mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Ampang dan Kajang untuk rawatan.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 200 anggota keselamatan masih giat diteruskan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Tragedi tanah runtuh itu berlaku pada kira- kira jam 2.30. Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh yang menimbus rumah kebajikan itu terletak di lereng bukti Hulu Langat.

24 orang dilaporkan tertimbus dalam kejadian itu. 20 daripadanya adalah kanak- kanak yang menghuni di rumah manakala empat lagi adalah penjaga.

Lebih 200 anggota pasukan keselamatan merangkumi ahli bomba dan Jabatan Pertahanan Awam serta sukarelawan menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata operasi menyelamat akan diteruskan selagi keadaan cuaca membenarkan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menerusi laman twitternya berkata pihaknya mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera.

Khalid juga berkata kerajaan negeri akan menyediakan tabung bantuan mangsa dengan kadar segera.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail yang berada di tempat kejadian memberitahu TVSelangor bahawa kerajaan negeri akan memberi segala bantuan yang diperlukan.

'Tiba- Tiba Tanah Kejar Saya': Saksi Tragedi Tanah Runtuh

Posted: 21 May 2011 04:56 AM PDT

TVS NEWS


KAJANG: "Saya dengar bunyi dentuman kuat, tiba-tiba tanah kejar saya," kata Ketua Warden Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Mohamad Hambali Ismail, 34, ketika ditemuramah wartawan Berita Harian Online, sebentar tadi.

Katanya, ketika kejadian 2.15 petang itu, seramai 23 penghuni sedang membuat persiapan untuk menyambut ketibaan rombongan FINAS yang dijadualkan makan tengah dan beramah mesra dengan anak yatim.

"Ketika sedang sibuk membuat persiapan, saya terdengar dentuman kuat. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa lari menyelamatkan diri," katanya. Beliau berkata, sementara menunggu rombongan FINAS, anak yatim terbabit sebahagiannya berlatih kompang dan nasyid.

Ketika kejadian, 23 orang berada di bawah khemah untuk majlis makan tengah hari itu.

Rumah anak yatim berkenaan mempunyai 34 penghuni, semuanya lelaki.

Setakat ini, dua penghuni maut dan enam pula cedera parah.

Sementara itu, seorang penghuni rumah anak yatim berkenaan, Mohd Faizal Isni, 17, berkata, ketika kejadian dia ke tandas dan tiba-tiba kejadian berkenaan berlaku.

"Saya nampak kawan-kawan yang berada bawah khemah sudah tertimbus, cuma nampak tangan dan kepala mereka. Semuanya terkambus.

"Masa yang sama, ketika saya menoleh ke belakang ternampak tanah runtuh seperti mengejar saya," katanya.

10 Ribu Ahli PAS Turun Himpunan Bersih 2

Posted: 21 May 2011 04:54 AM PDT

Ditulis oleh Fauzan Uda

SHAH ALAM : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan mengadakan himpunan bersih 2 pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS akan menggerakkan sekurang- kurangnya 10 ribu ahli untuk turut sama menyertai himpunan itu yang bertemakan 'Walk For Democracy'.

Beliau berkata, himpunan itu akan berlangsung secara aman dengan syarat tiada sebarang provokasi dari pihak tertentu terutamanya, anggota keselamatan sepeti polis.

"Tujuannya sama dengan tujuan himpunan Bersih 1 yang lalu iaitu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Kami yang juga duduk dalam Bersih bersetuju dengan pihak Bersih tentang tarikh perhimpunan itu dan pihak kami akan mengerahkan ahli dan penyokong seramai mungkin untuk hadir dalam himpunan aman seperti amannya himpunan Bersih yang pertama dahulu kalau tidak ada gangguan dari pihak terterntu khasnya pihak polis dan himpunan akan berlaku dengan aman," katanya.

Bagaimanapun, tempat, warna tema dan mekanisme himpunan itu akan diperincikan pihak BERSIH sendiri yang dipengerusikan

Datuk Ambiga Sreneevasan dalam masa terdekat.

Himpunan Bersih pertama telah diadakan pada 10 November 2007 lalu dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat berarak menuju ke Istana Negara bagi mengiringi penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

Ianya diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke- 12 yang berlangsung Mac tahun berikutnya.

Katanya, tujuan himpunan tersebut adalah kesinambungan empat tuntutan BERSIH dalam himpunan pertama mereka pada November 2007.

Menurutnya selain empat tuntutan mereka yang tidak dilayan oleh kerajaan dalam himpunan sebelum ini, BERSIH telah menambah lagi dua tuntutan.

Dua perkara itu adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan institusi kerajaan dalam pilihan raya sehingga rakyat tidak dapat menilai antara parti politik dan kerajaan.

Satu lagi tuntutan adalah melanjutkan tempoh pilihan raya di peringkat kebangsaan dengan 'tempoh yang lebih munasabah' berbanding tempoh lapan hari yang dianggap sebagai terlalu singkat.

Iaitu hal penyalahgunaan harta kerajaan secara berleluasa kebelakangan itu teruama dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak sehingga kita dan rakyat tidak dapat menilai lagi yang mana satu parti politik bergerak yang mana satu kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata himpunan bersih 2 terpaksa diadakan ekoran tuntutan Himpunan Bersih pertama dahulu tidak mencapai matlamat.

"Jadi pada kami, pada bersih apa juga yang kami tuntut selama ini belum Berjaya belum dapat diterima maka Bersih versi 2 ni akan meneruskan kesimambungan untuk mengerakkan rakyat," katanya.

Tambahnya, perhimpunan itu juga dijadikan gelanggang bagi membantah undang-undang yang dianggap zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi OSA.

Seniwati Mahyon Ismail Meninggal Dunia

Posted: 21 May 2011 04:48 AM PDT

TVS NEWS



PETALING JAYA : Seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Binti Ismail telah meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari tadi di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Menurut anak sulungnya, Dilla Hussein, 47, ibunya sudah tiga minggu mengalami demam panas dan batuk namun, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan kritikal melainkan penyakit diabetisnya sahaja.

"Semalam, arwah mengalami masalah pernafasan dan muntah-muntah. Bila ibu dibawa ke klinik, doktor meminta saya dan adik beradik yang lain menghantarnya ke hospital kerana kandungan gula dalam badannya tinggi.

"Disebabkan masalah itu, jangkitan berlaku di paru-paru pula. Dalam pukul 10 malam tadi, ibu terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Sabtu.

Tambah Dilla, dia tidak menyangka ibunya pergi terlalu awal kerana pada Khamis lalu, dia bersama Allahyarham telah membeli belah dan meluangkan masa bersama. "Malah beberapa minggu ini terdapat sedikit perubahan tentang ibu yang sungguh berselera dalam bab makan sedangkan dia seorang yang begitu teliti tentang penjagaan pemakanannya.

"Bayangkan, setiap dua jam, dia akan lapar dan mahu makan. Saya masih teringat lagi, dia begitu teringin untuk makan ikan terubuk masin masak cili api dan saya masakkan untuknya," tuturnya.

Selain Dilla, Allahyarham yang merupakan balu pelakon veteran Hussein Abu Hassan, meninggalkan dua orang anaknya iaitu Fairuz, 45 dan Faizal 43.

Allahyarham telah dibawa ke rumah Dilla di 175, Jalan Setia, Gombak Setia, Off Jalan Gombak dan akan disembahyangkan di Masjid As-Syakirin.

Selepas itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Setapak, selepas waktu Isyak.-mstar online

PAS Makin Dekat Dengan Kerajaan Perpaduan ?

Posted: 21 May 2011 04:46 AM PDT

TVS NEWS


SHAH ALAM : Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan pengekalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas pada pemilihan kali ini akan mendekatkan PAS dengan kerajaan perpaduan, sebagai pandangan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pandangan cetek seumpama itu sekadar mahu menimbulkan ketakutan dan keresahan dikalangan ahli PAS dan rakan kompenan Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

Semalam editorial yang diterbitkan agensi berita BERNAMA mengajukan persoalan, adakah pengekalan Hadi sebagai pemimpin tertinggi PAS pada penggal akan datang, akan mendekatkan PAS dengan kerajaan perpaduan ?

"Kenyataan yang berniat jahat dan tidak bertanggungjawab yang saya anggap cuba untuk mewujudkan satu tanggapan buruk terhadap Presiden Pas," katanya.

BERNAMA dalam editorialnya berhujah rapuh apabila menyatakan Hadi dipilih untuk kekal sebagai presiden berikutan direstui ramai ahli yang menyokongnya untuk bekerjasama dengan UMNO BN menerusi kerajaan perpaduan.

Ia hanya bersandarkan kenyataan Hadi yang diputar belit media arus perdana, kononnya beliau berminat untuk perpaduan itu semasa berucap di Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Jun 2009.

Hadi dipilih menjadi Presiden Pas selepas kematian penyandangnya, Datuk Mohd Fadzil Noor pada tahun 2002.

Salahuddin menambah, kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini sengaja dimainkan demi mewujudkan suasana tidak sihat menjelang Muktamar Pas yang bakal berlangsung Jun ini.

"Itu satu agenda mereka mewujudkan suasana tidak sihat, mewujudkan kenyataan yang tidak berasas menjelang muktamar kali ini," katanya.

Muktamar Pas ke- 57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini di Taman Melewar Kuala Lumpur.

Sehingga berita ini ditulis, Presiden Pas, Hadi Awang dan Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi berjaya mengekalkan jawatan masing- masing tanpa sebarang tentangan.

Subsidi : Jangan Anggap Rakyat Penagih Candu, Kata Anwar

Posted: 21 May 2011 04:43 AM PDT

TVS NEWS


CHERAS : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri Najib Razak kerana menganggap pemberian subsidi untuk barangan keperluan rakyat sebagai "candu" yang mesti dihentikan.

Menurut Anwar, dalam keadaan ekonomi yang semakin mendesak serta kos hidup semakin tinggi, langkah kerajaan menaikan lagi harga barangan bakal menyusahkan lagi rakyat.

"Candu apa ? Bagi subsidi sikit kepada rakyat, candu ? Yang diberi kepada tauke tak apa ? Subsidi rakyat RM4 Billion. Subsidi IPP RM19 Billion. Apakah (Najib) berani tak panggil Genting San-Yen, Malakoff, Ananda, YTL penagih candu, berani ?," kata Anwar.

"Kalau miskin, memang tanggungjawab kerajaan beri bantuan. Ini bukan nak tolong rakyat miskin, tetapi tuduh mereka penagih candu. Tapi tolong Genting San Yen semua, berbillion ringgit, boleh ! Kepada orang kampung, candu. Ini saya tak boleh terima," tegas Anwar.

Beliau berucap di hadapan kira- kira seribu hadirin di Majlis Ceramah Perdana di Dewan Serbaguna Cheras Baru hari ini.

Najib dalam ucapan beliau di Pusat Pengajian Islam di Oxford 17 Mei lalu menyatakan subsidi ibarat "candu" yang perlu dikurangkan secara berperingkat- peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Justeru, harga Petrol RON95 dan Diesel turut dijangka meningkat dalam masa terdekat berikutan pengumuman beberapa Menteri yang meminta rakyat 'bersedia' dengan kenaikan harganya.

Anwar menyatakan UMNO cuma menghalalkan kenaikan harga minyak dengan membandingkan dengan harga petrol di Singapura - negara yang tidak mempunyai sumber minyak mentah dan taraf hidup jauh lebih tinggi dari Malaysia.

Menurut Anwar lagi, rakyat Singapura sendiri berfikir untuk perubahan walaupun telah maju kerana tahu mereka boleh menjadi lebih baik.

"Gaji mereka lebih tinggi? Rasuah jauh lebih kurang dari di Malaysia. Pembangunan Tinggi," kata Anwar.

"Tapi babak demokrasi berat sikit. Tapi itupun, parti Pembangkang dibenarkan bercakap di TV. Walaupun maju dan stabil, rakyat masih nak berubah sebab mereka berfikir Singapura boleh menjadi lebih baik," kata Anwar.

RoS Ibarat 'Pak Turut', Mahu Lumpuhkan PKR

Posted: 21 May 2011 04:22 AM PDT

TVS NEWS


SHAH ALAM : Tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi notis memansuhkan PKR tidak ubah seperti 'Pak Turut' yang setia mengikut telunjuk tuannya.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata insiden ROS memberi notis mengugut akan mengharamkan PKR dilihat sebagai kemuncak pemerintahan diktator UMNO-BN terhadap parti pembangkang yang berselindung disebalik alasan teknikal.

"Saya berpendapat mungkin ini diantara strategi oleh pihak UMNO-BN untuk mengunakan salah satu sebab teknikal, semata-mata mahu melunaskan impian membubarkan PKR atas dasar teknikal," kata Johari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TvSelangor di Ibu Pejabat TvSelangor di Shah Alam.

Awal minggu ini ROS mengemukakan notis membatalkan pendaftaran PKR mulai 9 Jun depan kerana kononnya memecat seorang ahli bernama A. Jayagopal pada tahun 2009 tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Displin parti itu.

ROS secara gelojoh mensabitkan PKR melanggar peruntukan fasal 32.2.1 perlembagaan PKR.

Hakikatnya, tiada peruntukan seumpama itu melainkan fasal 32 "yang tidak langsung berkaitan dengan isu displin dan Lembaga Displin".

Fasal 32 itu hanya menetapkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat mempunyai kuasa muktamad menyelesaikan sebarang pertikaian mengenai tafsiran perlembagaan atau peraturan tetap mengenai kongres parti.

Johari menegaskan UMNO-BN sengaja mengheret PKR supaya terus terjerumus dalam perangkap mereka sekali gus melambatkan proses permohonan dalam memastikan PKR seterusnya, Pakatan Rakyat gagal menyertai Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

"Sebagai pemimpin dalam Parti PKR saya tidak terlepas dari mempunyai syakwasangka bahawa ini adalah diantara agenda UMNO-BN untuk menidakan kita (PKR) dari turut bertanding didalam pilihanraya.

"Atas dasar teknikal, dimana PKR terpaksa melalui permohonan semula, dan proses itu akan dilambatkan dan sebagainya," katanya lagi.

Potongan Subsidi - Kerajaan tiada hak tegur rakyat, kata PKR

Posted: 21 May 2011 04:18 AM PDT

TVS NEWS



Kerajaan Umno-BN tidak harus mempersalahkan rakyat yang membantah pemotongan subsidi barangan keperluan kerana langkah itu amat membebankan mereka, kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Beliau berkata selagi kerajaan Umno-BN terus memberi subsidi kepada syarikat kroni dalam jumlah yang jauh mengatasi apa yang diperuntukan untuk rakyat, selagi itu rasa tidak puas hati awam akan berkekalan.

"Rakyat sudah lama menjadi mangsa kerajaan UMNO-BN ini. Subsidi gas yang pemerintah perkenalkan itu telah lama digunakan pakai iaitu sekitar tahun 96-97 tetapi kini dikurangkan. Rakyat terpaksa menanggung beban dan pada masa sama terpaksa melihat wang negara berpuluh billion tiap-tiap tahun masuk ke poket kroni," kata beliau kepada TvSelangor.

Kerajaan Umno-BN hanya memperuntukan subsidi untuk barangan keperluan rakyat sebanyak RM4 Billion manakala subsidi untuk pengeluar tenaga bebas (IPP) adalah RM19 Billion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein semalam mengesa rakyat bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan subsidi untuk mengimbangi defisit negara.

Seperti masa-masa lalu, beliau berjanji kerajaan akan mencari jalan supaya pemotongan subsidi "tidak membebankan rakyat".

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi amaran bahawa harga barangan keperluan akan melonjak naik 30 peratus akhir tahun ini berbanding lima tahun lalu, jika pemotongan subsidi terus berkekalan pada tahap sekarang.

Paras harga barangan keperluan sekarang adalah yang tertinggi sejak tahun 2008.

Harga tepung, gula dan minyak sudah pun mengalami kenaikan yang semakin menghimpit sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rafizi menjelaskan "nasihat-nasihat" UMNO-BN, mahukan rakyat mengamalkan cara hidup berhemah jelas menyerlahkan sifat hipokritnya.

"Kerajaan engesa rakyat mengubah cara hidup dengan hidup berjimat, kurangkan pengambilan gula dan minyak sedangkan kerajaan tidak laksanakan apa-apa langkah untuk mengurangkan perbelanjaan negara meskipun dalam soal membanteras rasuah."

Rafizi berkata kerajaan tidak seharusnya terus menerus menjadikan rakyat sebagai mangsa bahana dari kepincangan pemerintahan korup mereka.

"Pakatan Rakyat berpendirian bahawa kerajaan Malaysia mampu untuk menampung harga minyak tanpa menaikan harga minyak sekiranya kerajaan mengawal ketirisan dan amalan rasuah," kata beliau.

"Amalan rasuah ini yang jelas banyak telan wang rakyat, kalau rasuah ini dapat dibanteras, wang ini boleh digunakan untuk menampung dan mengekalkan harga minyak, malah pada paras yang lebih rendah." tambah beliau.

Tanah Runtuh Kajang: Mayat Dua Kanak-kanak dijumpai, 6 selamat

Posted: 21 May 2011 04:13 AM PDT

Ditulis oleh Jasbant Singh




KAJANG : 8 orang kanak- kanak, mangsa kejadian tanah runtuh yang meranapkan Rumah Anak Yatim Al- Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, berjaya diselamatkan sehingga kini.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 200 anggota keselamatan masih giat diteruskan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Setakat ini, 2 orang kanak- kanak disahkan meninggal dunia dan identitinya masih belum dikenalpasti.

Kesemua mangsa yang terselamat dikejarkan ke Hospital Kajang.

Sekitar jam 2.30 petang tadi satu tragedi tanah runtuh dilereng bukit di Hulu Langat mengakibatkan sebuah rumah anak yatim musnah sama sekali.

Dilaporkan 24 orang tertimbus dalam kejadian itu. 20 daripadanya kanak- kanak dan 4 lagi adalah penjaga.

Potong subsidi, Khairy cakap bernada pembangkang

Posted: 21 May 2011 04:08 AM PDT

SIASAH DAILY


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan agak mengejutkan apabila menuntu kerajaan terlebih dahulu berjimat sebelum mengambil langkah kurangkan subsidi untuk rakyat.

Kenyataannya itu senada dengan apa yang sering ditimbulkan oleh pembangkang dan mengejutkan daripada seorang yang terpinggir dalam parti pemerintah.

Khairy mengemukakan satu senarai projek-projek kerajaan yang dianggap membazir dan tidak membawa hasil yang sewajarnya, seperti khidmat negara yang menelan belanja RM560 juta tahun ini.

"Jangan meminta rakyat mengikat perut sebelum (kerajaan sendiri) memendekkan senarai perbelanjaan sendiri," katanya kepada Malaysian Insider, portal berita dikuasai tokoh yang rapat dengan beliau.

Kenyataan Khairy itu dibuat tidak lama selepas harga gula dan petro RON 97 meningkat dan di tengah-tengah jangkaan kenaikan harga RON 95 dan tarif elektrik.

Pemerintah menyatakan peningkatan harga minyak mentah di pasaran global menyebabkan perbelanjaan subsidi meningkat, dan telah memulakan tindakan mengurangkan subsidi, menyebabkan peningkatan harga barang-barang keperluan.

Kenyataan Khairy meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang berdepan cabaran mengukuhkan sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Isu kenaikan harga barang keperluan mudah menjadi isu yang menjejaskan sokongan kepada pemerintah dalam pilihan raya, seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu pada 2008.

Pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi membenarkan kenaikan mendadak yang tinggi harga bahan bakar semasa pemerintahannya, sehingga mengundang kritikan pemimpin Umno sendiri dan juga bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Dalam perkembangan sama, orang kuat pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencetuskan kembali ingatan kepada kenaikan harga menjelang 2008 yang menyumbang kepada kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Tegas Anwar, undi untuk BN bermakna undi untuk salah urus ekonomi dan kenaikan harga makanan.

Said Zahari dan pengkhianatan Utusan Melayu

Posted: 21 May 2011 12:18 AM PDT

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Sudah lebih setahun saya tidak mendengar khabar berita dan perkembangan Pak Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan yang pernah dikurung tanpa bicara selama 17 tahun. Sehinggalah apabila beberapa wartawan di bilik berita Harakah bertanyakan bila akan mengunjungi wartawan veteran yang seringkali dikaitkan dengan peristiwa pemogokan Utusan Melayu 1961, barulah saya tersedar memang agak lama kami tidak bersua muka.

"Cik Lutfi, Pak Said tanya bila nak datang rumah, boleh sembang-sembang?" kata Nyza Ayob. Rakannya, Intan Abdullah menggesa saya mengosongkan aktiviti pada suatu petang: "Dah janji dengan Pak Said ni, Cik Lutfi jangan tak pergi sekali pula."

Pak Said sentiasa menjadi rujukan kami terutama jika timbul isu-isu berkaitan kebebasan media. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui pada awal tahun 2000 -- berikutan tindakan kerajaan mengharamkan beberapa penerbitan berbahasa Melayu selepas pilihan raya umum 1999 -- pernah menganugerahkannya Tokoh Kebebasan Akhbar 2001 sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei.

Menurut rakan-rakan yang selalu menghubungi Pak Said, daripada tutur katanya di hujung talian, ternyata obor semangat beliau tetap membakar; mengalahkan para wartawan muda. Dalam usia 83 tahun, keuzuran memang menganggunya, namun Pak Said tidak pernah menghampakan kami. Komen dan ulasannya walaupun kadangkalanya pendek, tetapi padat, lancar dan begitu "menginspirasikan".

Berbanding beberapa tahun lalu, saya lihat keadaan Pak Said agak lemah. Tetapi ia hanya dari segi kekuatan fizikal dan ini sebenarnya tidaklah jauh beza dengan keadaan saya sendiri. Saya pun masih bertongkat ketika menaiki tangga ke tingkat atas bilik Pak Said di rumahnya, di Subang Jaya itu.

"Saya, Dr Mahathir Mohamad dan Lee Kuan Yew hampir sebaya, cuma mereka masing-masing lebih tua, dua dan empat tahun daripada saya," jelasnya ketika saya membandingkan kesihatan beliau dengan dua tokoh besar itu. Saya pun terasa tua apabila selalu berbicara tentang kesihatan dan penyakit mutakhir ini. Agak ramai teman-teman yang menjadikan saya rujukan sekiranya dilanda penyakit tiga serangkai -- diabetis, kolestrol tinggi, darah tinggi -- yang mempunyai risiko tinggi ke atas jantung dans serangan angin ahmar.

"Mungkin jasad nampak uzur tetapi saya lihat Pak Said, Dr Mahathir dan Kuan Yew masih hebat dari segi pemikiran dan hujah. Tentu ada rahsianya, 'kan?" saya mengusiknya. Saya agak berhati-hati apabila menyinggung nama bekas Perdana Menteri Singapura itu kerana ia akan mengimbas kembali Operation Cold Store pada dinihari 2 Februari 1963, yang memisahkan Pak Said secara kejam dengan anak isterinya, selama lebih 6,000 hari.

Pak Said cuma mengakui beliau mudah penat dan cepat kenyang bila makan. "Bila saya tanyakan doktor tentang masalah kesihatan, dia kata okey saja, tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan .... apa pun doktor sambil senyum mengingatkan saya tentang usia," ceritanya dengan wajah ceria.

"Saya tak memilih makan. Makan seadanya sahaja, mungkin lanjutan tabiat di penjara dulu. Ya ... dalam penjara, apalah sangat hidanganya," kata Pak Said menjawab soalan Intan mengenai rahsia penjagaan kesihatannya.

"Saya pula berbeza, Pak Said," saya memintasnya. "Selepas bypass operation, memang selera makan tak ada, berat jatuh 15kg, tapi lapan bulan kemudian, pantang jumpa ... terasa selera sekali dan sekarang badan naik balik 20kg," saya berterus-terang tentang kelemahan diri.

Masih teringat-ingat nasihat seorang wanita tua Indonesia, dari Surabaya, ketika saya menjalani operasi angioplasti di sebuah pusat perubatan swasta, dekat KLCC, Mac 2010. Beliau menemani anak lelaki sulungnya yang turut mendapat rawatan sama. "Mulut ini jahat betul ... jahat betul kalau tak dikawal. Jaga makan tahu," katanya lembut sambil mohon beredar, "jumpa lagi, ya ... tapi jangan di hospital seperti ini."

Pakar bedah jantung saya kerap berpesan (sebenarnya memberi amaran, tetapi nada suaranya mendatar saja dan ini membuatkan saya seperti "mengambil mudah"), selepas pembedahan kadar bacaan kolestrol mesti turun di bawah empat. Angka kencing manis pula mesti "cantik", jika tidak kerosakan pada buah pinggang lebih cepat merebak.

Pak Said kini membataskan banyak kegiatan hariannya. "Dalam usia sebegini, saya terpaksa lebih memilih untuk hadir mana-mana program yang diundang," ujarnya. Apabila saya bertanyakan lebih terperinci, Pak Said mengaku selain banyak membaca beliau mahu menulis dan mencatat dengan lebih tekun, sekurang-kurangnya sebagai khazanah peninggalannya nanti.

(Terkedu saya. Impian untuk menulis "banyak-banyak", paling kurang tentang pengalaman dalam dunia kewartawanan dan penulisan, belum kesampaian. Buku terbaru yang saya kunyah, Tuesdays with Morrie, kisah hari-hari akhir seorang profesor tua, diharap dapat menyuntik tenaga untuk memulakannya).

Memoir pertamanya, Meniti Lautan Gelora, cukup memikat. Saya membaca dan menghayatinya berulang kali. Ada dorongan luar biasa dalam karya besarnya itu. Memoir keduanya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah, juga berterus-terang. Allahyarham Prof Nik Anuar Nik Mahmud, pakar sejarah mengulas buku tersebut: "Pembaca akan kagum dengan derita penderitaan keluarga Said Zahari semasa beliau terpenjara. Kita dapat melihat Said Zahari yang berpendirian tegas dan tak tahu erti takut kerana memperjuangkan keadilan dan kebenaran itu, rupa-rupanya masih berperasaan dan beremosi seperti manusia biasa juga ..."

Saya dimaklumkan deraf awal memoir ketiganya "dicuri" orang semasa beliau dan keluarga bercuti di Port Dickson. Yang peliknya, pencuri yang menggeledah rumahnya hanya melarikan laptop yang menyimpan deraf itu. Setiap penulis dapat memahami bagaimana peritnya jika hasil tulisan kita "hilang" begitu sahaja. Untuk mengulangi proses penulisan semula cukup memeritkan dan memerlukan masa untuk "luka di hati" sembuh.

Bersembang dengan Pak Said terasa tidak lengkap jika gagal menyentuh suasana persuratkhabaran di negara ini. "Sekarang saya perhatikan orang sudah tidak bercakap soal kebebasan akhbar, termasuk oleh wartawan sendiri. Kalau dulu, wartawan itu sendiri seorang pejuang, sekurang-kurangnya aktivis. Mereka menulis dengan semangat perjuangan yang kental," tambahnya.

Sekali lagi saya terkedu. Ingatan Pak Said itu seperti menyentuh batang hidung sendiri. KAMI yang diasaskan bagi memansuhkan segala undang-undang yang mengongkong kebebasan berkarya, terutama peraturan "karut-marut" Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), bagaikan hidup segan mati tak mahu. Ternyata nafas dan stamina KAMI pendek.

Jika mahu mencari daleh, saya meletakkan punca utama kepada "laihnya" komitmen wartawan sendiri untuk membebaskan belenggu itu. Mungkin Pak Said, yang menghabiskan masa muda bertenaganya di dalam tahanan persendirian (solitary confinement) kecewa dengan sikap saya yang mudah mengalah. Beliau ternyata mengidamkan iklim yang kondusif untuk wartawan beroperasi.

"Tapi, ia mesti diperjuangkan, bukannya hanya menunggu dan mengharapkan ...," tegasnya.

Kebetulan semasa kunjungan kami itu, isu Utusan Malaysia memainkan sentimen perkauman dan agama sempit heboh diperkatakan. Sebagai orang lama Utusan, Pak Said mudah diajak berbicara mengenainya. Utusan yang lahir pada 29 Mei 1939, bermula dengan modal yang dikumpulkan dari 542 orang Melayu di Singapura dan Johor, sudah jauh menyimpang.

Utusan kini menjadi alat dan perkakas buat Umno mempertahankan sisa-sisa kuasanya. Itu pun bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi mana-mana akhbar untuk mendokong parti politik tertentu, tetapi berpadalah. Masakan kerana "kekebalan" yang dianugerahkan elit penguasa, Utusan boleh menyiarkan apa jua bahan, tanpa mengira fitnah atau pendustaan, apatah lagi boleh mencetuskan sengketa kaum yang tajam dan pedih. Malah, fungsi Utusan itu sendiri tidak lebih daripada lidah rasmi Umno, cuma ia tidak disekat dengan pelbagai pantang-larang seperti dikenakan KDN kepada organ parti lainnya, contohnya Harakah.

Pak Said merupakan aktor penting semasa peristiwa mogok Utusan, yang bermula pada 20 Julai 1961, selama 93 hari. Umno berhasrat mengambil alih Utusan bukan untuk tujuan perniagaan, tetapi bagi memastikan akhbar itu memihak kepadanya seratus peratus. "Cetakan akhbar Utusan waktu itu tidaklah tinggi tetapi ia cukup berpengaruh kepada orang Melayu. Satu naskhah Utusan mungkin dibaca lebih 100 orang," kata Pak Said.

Dalam buku Akhbar dan Kuasa, Dr Mohd Safar Hasim merakamkan kembali pandangan Pak Said: Sebagai parti kerajaan, Umno tidak mementingkan soal perniagaan tetapi pengaruh Utusan Melayu di kalangan orang Melayu, kerana pembaca Utusan ketika itu 80 peratus daripadanya masyarakat luar bandar. Orang-orang inilah yang menentukan kemenangan besar Perikatan dalam pilihan raya. Sedangkan kepada Utusan Melayu, ia memperjuangkan kepentingan orang Melayu seluruhnya. Umno hanyalah satu kumpulan Melayu, terdapat kumpulan Melayu yang lain dalam PAS, Parti Rakyat dan sebagainya. Bagi Umno, peranan Utusan Melayu sebagai akhbar berpengaruh tidak boleh dibiarkan terus dipimpin oleh orang-orang yang mempunyai tujuan mempertahankan kebebasan akhbar itu.

Kata kunci kepada kekuatan akhbar ialah keupayaannya untuk mempengaruhi, dan ini terletak kepada kewibawaannya. Soalnya, sejauh mana Utusan masih boleh meneruskan misinya sebagai alat propaganda Umno jika tahap kredibilitinya jatuh teruk? Ataupun, daripada sudut berbeza, apakah persepsi kebanyakan masyarakat Melayu kampung misalnya, masih terikat dengan kepompong lama yang dibentuk Utusan?

Cikgu Azmi Abd Hamid, Pengerusi Teras semasa majlis melancarkan KEMBANG (Kempen Membaca Bersama Anggota Masyarakat) menekankan bahawa orang Melayu tidaklah begitu jahil dengan isu-isu yang berlaku, termasuk fakta tentang penyelewengan dan salahlaku pemimpin BN. Masalahnya, kata Cikgu Azmi, adalah pada persepsi orang Melayu. Persepsi lama masih belum dapat dipecahkan.

Perbincangan tentang persepsi ini dan bagaimana sebahagian orang Melayu melihat realiti politik mungkin memerlukan perbahasan lebih mendalam. Kita tangguh dulu, ya?

Pemuda bawa usul kenaikan harga barang

Posted: 21 May 2011 12:17 AM PDT

Mahu isu ini dibincangkan secara panjang lebar supaya dapat mencari jalan mengapa kenaikan barangan ini berlaku sehingga meresahkan orang ramai.



PETALING JAYA: Pemuda PAS akan membawa usul kenaikan harga barangan keperluan harian untuk dibincangkan dalam muktamar parti Jun depan, kata setiausahnya Khairi Faizi Ahmad Kamil.

Beliau berkata, kenaikan harga barangan yang berlaku sekarang mencengkam rakyat terutama golongan miskin.

"Pemuda mahu isu ini dibincangkan secara panjang lebar supaya dapat mencari jalan mengapa kenaikan barangan ini berlaku sehingga meresahkan orang ramai.

"Kita juga percaya kenaikan harga barangan ini akan terus berlaku terutama selepas subsidi ditarik balik," katanya.

Isu itu diputuskan oleh mesyuarat Pemuda PAS malam tadi.

Khairi Faizi juga berkata, Pemuda juga mengemukakan usul mendesak empat negeri yang diperintah Pakatan Rakyat supaya tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen.

Katanya, usul ini dibuka untuk perbahasan semasa muktamar Pemuda PAS di Shah Alam pada 1 dan 2 Jun.

"Kita buka sesiapa sahaja perwakilan dari kawasan Pemuda PAS di seluruh negara untuk mengambil bahagian berbahas dalam usul itu.
"Mereka bebas bercakap, mereka boleh mengutarakan pandangan kerana Pemuda PAS sangat terbuka.

"Ini peluang mereka untuk bercakap mengenai isu kenaikan barangan. Mereka boleh bercakap berdasarkan pengalaman sendiri," katanya.

Seramai 650 perwakilan Pemuda PAS akan menghadiri muktamar yang akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pada 1 Jun.

Video seks bukan fokus muktamar

Posted: 21 May 2011 12:15 AM PDT

Perwakilan tahu ianya isu politik



KUALA LUMPUR: Isu video seks yang dikatakan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi fokus perbincangan muktamar PAS yang akan berlangsung pada 3 Jun.

"Ahli PAS faham isu ini isu politik. Kalau cakap akan dikecam," kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

"Isu ini isu politik. BN menggunakan pembunuhan watak kerana matlamat halalkan kaedah," katanya selepas sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Trio Datuk T – bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah mendedahkan video seks yang didakwa mantan timbalan perdana menteri itu.

Bagaimanapun, isu videk tersebut sudah menjadi kes polis.

Beliau yakin bahawa ahli PAS tidak akan terheret dengan isu yang dimainkan Umno/BN.

Sebaliknya fokus muktamar pada kali ini akan menumpukan fokus kepada pilihanraya umum ke 13, katanya kepada FMT.

Sementara itu ketika ditanya sama ada terdapat usul untuk mengkaji hubungan dengan DAP dan PKR, beliau berkata 'tiada dan tiada keperluan' untuk berbuat demikian.

Tambahnya jawatankuasa usul PAS juga tidak menerima sebarang usul berkenaan kedua-dua perkara di atas.

PAS belum runding pembahagian kerusi PRU

Posted: 20 May 2011 11:04 PM PDT

Ia mengikut status quo.


KUALA LUMPUR: PAS belum mengadakan rundingan pembahagian berkenaan kerusi pilihanraya umum.

"Rundingan belum selesai di peringkat negeri. Kalau tak boleh, ia akan dibawa ke peringkat pusat.," kata Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

"Walau bagaimanapun, kerusi yang ditanding akan mengikut status quo. Sebab itu, kita tanding di Tenang," kata Abdul Halim merujuk kepada pilihanraya kecil di Johor, Januari lalu.

"Kalau ada perubahan kita akan runding," tambah beliau.

Pilihan raya umum dijangka diadakan pada akhir tahun ini atau pertengahan tahun depan.

Beliau turut menolak cadangan bahawa PAS akan bertanding di kerusi majoriti Melayu di negeri Sabah, Perak dan Selangor kerana mahu menjaga status quo.

Sementara itu beliau turut menolak cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno yang digembar-gemburkan oleh pihak Umno.

"(Mursyidul Am) Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun sudah menolak cadangan kerajaan perpaduan."

Fitnah UMNO buka pekung sendiri

Posted: 20 May 2011 10:57 PM PDT

PASPB


PETALING JAYA : Tindakan pemimpin Umno melancarkan serangan peribadi lagi mengaibkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim secara bertubi-tubi hanya mendedahkan perwatakan "jelek" diri mereka, kata Ketua Pembangkang itu.

"Pemimpin yang memilih untuk menjurus ke arah taktik lucah pornografi, dan mengaibkan orang, itu sudah semestinya orang yang terdesak. Apa lagi moral orang itu sendiri dipertikai," kata Anwar.

"Kalau orang itu moralnya baik, (ini tidak akan berlaku.) Belum pernah kita dengar orang seperti ulama, sanggup dan mampu untuk mengaibkan orang. Orang yang selalu mengaibkan orang itu adalah mereka yang peribadinya jelek," kata Anwar.

Pemimpin-pemimpin Umno termasuk Perdana Menteri Najib Razak menjadikan isu video lucah Datuk T sebagai modal politik di ceramah-ceramah termasuk semasa pilihanraya negeri Sarawak bulan lalu.

Datuk T merangkumi Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Sharzyl Eskay yang mempunyai kaitan rapat dengan pimpinan Umno. Mereka mendakwa Anwar adalah pelaku dalam video itu.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan terhadap Datuk T.

Pada masa sama beliau juga mahukan undang-undang Qazaf digunapakai untuk menangani fitnah yang dibawa oleh Rahim yang juga Pengerusi Felda dan dua rakannya itu.

Selain mencanang video itu di ceramah-ceramah untuk mengaibkan Anwar, Umno juga menggunakan taktik-taktik lain termasuk mengitar semula Umni Hafilda untuk melemparkan tuduhan-tuduhan kesat terhadap Anwar.

Anwar menghabiskan enam tahun dipenjara atas tuduhan liwat yang kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan sebagai tidak berasas kerana bersandarkan bukti rapuh dan keterangan yang palsu.

Kini mantan Timbalan Perdana Menteri itu sekali lagi menghadapi pertuduhan liwat selepas pengadunya Saiful Bukhari Azlan menemui Perdana Menteri Najib Razak secara sulit sebelum membuat dakwaan-dakwaan yang mencurigakan.

Dalam wawancara dengan TvSelangor, Anwar percaya sesebuah kerajaan yang telus dan adil tidak perlu menggunakan taktik-taktik jijik untuk menumpaskan pembangkang.

Sekatan dan serangan menggunakan taktik kotor dan lucah yang diamalkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional menunjukkan sebuah sistem pemerintahan yang rosak, pincang dan terdesak, kata beliau.

"Apabila sistem pemerintahan itu zalim atau mengkongkong, maka tindakan akan diambil untuk menyekat kebebasan. Jika sistem itu baik, harga barang tidak meningkat, kehidupan rakyat terbela maka pemerintah tidak akan gentar. Datanglah idealogi apa sekalipun, dia(pemerintah) mampu jawab," kata Anwar.

"Tetapi bila kerosakan terlalu banyak, maka dia terpaksa reka-reka fitnah untuk tutup kelemahan," Tambah beliau.

Sejarah, menurut Anwar, penuh dengan contoh-contoh diktator yang menjerut hak rakyat demi melebarkan jangka hayat politik mereka.

Anwar yakin pemerintahan yang menindas rakyat akan mempunyai kesudahan yang sama, tidak kira sama ada di Malaysia atau di negara lain.

"Tengok masa Hitler di German. Starlin di Rusia, Mubarak di Mesir. Tengok cara dia menekan dan menyekat pembangkang, ulama dan golongan pengkritik. Itu paternnya agak sama. Cara penyekatan dia sama. Saya yakin kerana setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat negara ini tidak boleh dan tidak mudah diperbodohkan," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengingatkan Barisan Nasional supaya tidak terlampau leka dengan menganggap rakyat akan sentiasa mempercayai segala pembohongan dan fitnah yang disajikan menerusi media arus perdana.

" Umno, Utusan atau Tv3 anggap orang Melayu bodoh. Tetapi orang Melayu ini mempunyai budaya besar. Bila orang sebut pasal budaya Melayu selalunya ia berakar kepada agama," kata Anwar.

Usaha haram KEADILAN, konspirasi sebelum pilihan raya- Tian Chua

Posted: 20 May 2011 10:56 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, wujud konspirasi yang dilakukan kerajaan Umno-BN untuk mengharamkan KEADILAN, sebelum tarikh pilihan raya yang dijangka diadakan tahun ini.

Menurut Tian Chua, beliau yakin arahan itu datangnya dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan menggunakan peranan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Dalam isu pengharaman ini, yang merancang dan beri arahan adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN), ROS nampaknya hanya menantikan kesempatan untuk tindakan membatalkan pendaftaran KEADILAN.

"Kita menjangkakan pilihan raya pada tahun ini, dengan cara ini ROS sempat membatalkan pendaftaran sebelum pilihan raya. Ini merupakan satu konspirasi peringkat tertinggi bagi mengharamkan KEADILAN," ujar Tian kepada Keadilandaily.com.

Semalam, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan surat tunjuk sebab yang diterima daripada ROS, kononnya parti itu telah melanggar salah satu fasal dalam perlembagaannya.

ROS memberi alasan KEADILAN melanggar fasal 32.2.1 Undang-undang berdaftar parti dengan merujuk pemecatan Rajagopal a/l Andaikalam pada 2009.

Namun, Saifuddin berkata fasal berkenaan tidak wujud, malah sebab yang dinyatakan itu juga tidak boleh dijadikan asas bagi pengharaman KEADILAN.

Pihak Pendaftar Pertubuhan turut melakukan kesalahan kerana rekod parti menunjukkan bahawa nama individu yang dinyatakan sebenarnya adalah Jayagopal a/l Andaikallam.

"Surat tunjuk sebab yang diberikan adalah tindakan yang agak serius, surat yang mereka keluarkan adalah tergesa-gesa dengan maklumat yang tidak betul, nama yang salah, tarikh pemecatan ahli yang juga salah, seolah-olah ROS sedang mengejar masa," ujar Tian Chua.

Menurut Tian Chua, KEADILAN tidak akan bertolak ansur dengan usaha yang dilakukan kerajaan menerusi KDN untuk membatalkan parti itu.

"Kita beri amaran kepada KDN, kita tidak akan bertolak ansur dan mengambil sikap berlembut. Bukan sahaja mengikut saluran untuk memfailkan kes ini tetapi juga mengambil tindakan seperti perhimpunan besar-besaran oleh penyokong dan orang awam.

"Kerana ini bukan sahaja isu pembatalan satu parti sahaja, tetapi menyentuh prinsip demokrasi di mana parti-parti politik sepatutnya dibenarkan bertanding secara bebas dalam sebuah negara demokrasi,' tegas Tian Chua.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang seolah-olah merestui tindakan ROS.

"Muhyiddin cuba memberi gambaran bahawa ROS mempunyai kuasa yang besar untuk mengharamkan KEADILAN," ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman bahawa KEADILAN perlu mengikut saluran dan tidak menggunakan media untuk memberi jawapan, Tian melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan itu.

"Kita disiasat dan diberi arahan untuk memberikan alasan dalam surat tunjuk sebab, jadi memang perlu kita memberikan maklumat kepada ahli menerusi media. Bagaimana jika tiba-tiba parti ini diharamkan," soal Tian Chua.

Fuziah ulangi, mengapa Lynas tak bina projek nadir bumi di Australia?

Posted: 20 May 2011 10:53 PM PDT

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengulangi persoalan mengapa Lynas Corporation tidak membina pusat pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Australia, sebaliknya dibina di Gebeng Kuantan.

Beliau berkata demikian selepas perarakan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia, petang tadi.

Ketika ditemui para pemberita, Fuziah berkata, Lynas memilih Malaysia sebagai lokasi loji ini kerana undang-undang Australia ketat dalam penjagaan alam sekitarnya.

"Lynas mendapat lesen di Australia tetapi mereka tidak memilih untuk membuka kilang di sana kerana peraturan yang ketat dalam aspek menjaga alam sekitar.

"Ada 41 komitmen yang perlu dijaga dengan pelbagai aspek melalui agensi Lembaga Pemuliharaan Alam Sekitar (EPA).

"Di Malaysia badan pengawalnya ialah Agensi Tenaga Atom Kebangsaan (AELB) yang hanya memikirkan kesan radiasi dan tahap radioaktif. Namun, AELB tidak dapat berfungsi seperti EPA kerana sekatan perundangan dan penguatkuasaan yang lemah dari Kerajaan Malaysia sendiri," tegas Fuziah yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Justeru itu beliau menyatakan tindakan Lynas itu jelas bertujuan untuk memanipulasi undang-undang alam sekitar di Malaysia yang longgar.

"Di Australia, zon penampannya (Buffer Zone) ada dalam radius 30 km, dan tak boleh ada penduduk. Di Gebeng ada 70 ribu penduduk dalam radius 30 km itu. Kami bimbang Lynas mengambil kesempatan dengan undang-undang Malaysia," jelasnya.


Fuziah menambah, tidak ada kilang yang menjadi rujukan bagi pembinaan loji tersebut, justeru kerajaan Malaysia tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk membenarkan industri yang bakal mengundang bencana.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna & Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong berkata, kerajaan Selangor tidak akan membenarkan sebarang pembinaan kilang pemprosesan bahan radioaktif.

"Kita tidak akan membenarkan sebarang industri yang mencemar alam sekitar," katanya yang turut serta dalam perarakan di lokasi perhimpunan tersebut.

Penduduk bukan 'Tikus Makmal'


Petang tadi, meskipun dalam keadaan cuaca yang berubah dari panas terik kepada hujan, namun ia tidak menghalang kira-kira 500 peserta dari pelbagai lapisan umur dan bangsa untuk berhimpun bagi membantah projek tersebut.

Bermula dari masjid As Syakirin KLCC, kumpulan tersebut menuju ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia dan berhimpun di persimpangan Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

Perarakan itu anjuran People's Green Coalition dengan kerjasama kumpulan menentang projek berkenaan, Save Malaysia, Stop Lynas bersama pimpinan parti Pakatan Rakyat dari KEADILAN, Pas, DAP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sebanyak enam trak polis lengkap dengan meriam air dan dua trak dari Pasukan Unit Polis Persekutuan (FRU) turut dilihat berada di kawasan perhimpunan, namun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan.


Setibanya di lokasi berhampiran Kedutaan Australia, peserta perarakan melaungkan slogan 'Hidup Rakyat', 'Bantah Lynas' dan 'Kami bukan tikus makmal' manakala, pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO bergilir-gilir memberikan ucapan.

Pelbagai slogan bantahan tertera pada kain pemidang yang direntangkan, sementara pengguna kenderaan di Jalan Ampang turut membunyikan hon tanda sokongan.

Selepas menunggu lebih sejam, enam wakil yang diketuai Fuziah sendiri berjaya menemui Pemangku Timbalan Duta Besar Australia, Arthur Spyrou.

Dengan merujuk kepada pengalaman di Bukit Merah, Perak kandungan memorandum tersebut menjelaskan bahawa penduduk di pinggir bandar Ipoh itu masih trauma dengan kesan Thorium yang berterusan sehingga ke hari ini.

"Lynas akan memproses nadir bumi yang mana terdiri dari Thorium. Sementara mineral Thorium tersebut merupakan bahan radioaktif.

"Australia sendiri menyatakan bahawa bahan tersebut adalah berbahaya, maka keprihatinan kami bahawa di sini kami masih belum bersedia untuk 'bereksperimen' dengan kesihatan nasib masa depan generasi di Malaysia," jelas memorandum tersebut.

MerdekaReview dan kisah seorang Cina menulis dalam Bahasa Melayu

Posted: 20 May 2011 10:48 PM PDT

Ooi Heng

Sebagai seorang Cina Malaysia, pengalaman penulisan dalam Bahasa Melayu jauh berbeza jika dibandingkan dengan penulisan dalam Bahasa Cina. Penulisan dalam Bahasa Melayu adalah sesuatu yang bukan sahaja bersendirian seperti penulisan dalam bahasa Cina, malahan jauh lebih sepi rasanya.

Sahabat Cina lazimnya tidak membaca analisisi tentang isu-isu semasa dalam Bahasa Melayu. Banyak kali saya ditanya oleh kenalan-kenalan dan pembaca-pembaca edisi Bahasa Cina MerdekaReview soalan yang sama: dah lama tak nampak kolum kau di MerdekaReview?

Ada, saya masih menulis untuk MerdekaReview, tapi bukan dalam Bahasa Cina. Kini saya menulis dalam Bahasa Melayu - Bacalah Edisi Bahasa Melayu MerdekaReview!

Jawapan saya kadang-kadang mengundang muka yang semacam saja, seolah-olah adalah sesuatu yang aneh apabila seorang Cina menulis dalam Bahasa Melayu. Saya tak salahkan mereka. Saya pun hanya memulakan pembacaan berita dan karya dalam Bahasa Melayu secara berterusan bermula dari zaman reformasi. Ingatan dan pengalaman pembacaan segala bahan Bahasa Melayu semasa belajar di sekolah rendah dan menengah bagaikan dibaluti kabut tebal. Selepas itu, bacaan utama saya merupakan bahan Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.

Dunia pembacaan saya berubah apabila laungan reformasi makin kuat bergema menggegarkan generasi muda. Surat khabar Bahasa Melayu pertama yang saya baca ialah Harakah. Buku Bahasa Melayu pertama yang saya beli ialah karya Shahnon Ahmad berjudul "Shit".

"Kau kalau tak reformasi diri kau terlebih dulu seluruhnya, kau tak akan berjaya mereformasi sistem politik taik barisan yang busuk lagi membusukkan ini. Kau sama saja dengan ketulan taik di barisan taik kalau kau tak reformasi diri kau terlebih dulu."

Frasa kata "yang busuk lagi membusukkan" dan banyak lagi frasa kata sedemikian dalam karya "Shit" mempengaruhi gaya penulisan saya hari ini. Kini saya suka gunakan frasa kata seperti "yang zalim lagi menzalimkan" atau "yang lucu lagi melucukan"...

Penulisan cukup penting buat seseorang insan yang sukakan aktiviti membaca. Aktiviti penulisan itu memerlukan ruangan atau pentas yang dapat menyampaikan buah fikiran seseorang kepada pembaca secara amnya.

MerdekaReview bukan sahaja memberikan ruangan tersebut kepada saya. Raison d'être MerdekaReview yang berkait rapat dengan penyediaan ruangan untuk penterjemahan dan penulisan yang dapat menjalin hubungan antara dunia penulisan Bahasa Cina dan Bahasa Melayu banyak menggalakkan saya untuk menulis meskipun kerja senantiasa meletihkan saya.

Saya asyik memikirkan bagaimana penulisan saya dalam Bahasa Melayu dapat menambah sedikit pemahaman pembaca edisi Bahasa Melayu MerdekaReview kepada kekompleksan pelosok dunia yang lebih senang difahami jika seseorang fasih Bahasa Cina.

Kadang kala saya berbisik kepada diriku: Betulkah masa depan Malaysia bergantung kepada interaksi kepelbagaian etnik dan pemahaman sesama etnik berlainan? Ataupun, biarlah kita yang selesa dengan keadaan sedia ada teruskan begitu sahaja.

Seorang Cina apabila menulis dalam Bahasa Cina banyak mendapat sambutan. Namun masih ada orang yang bertekad dengan penulisan dalam Bahasa Melayu malahan menulis secara kritikal meskipun sepi rasanya. Dalam hal ini, saya cukup menghargai dan menyanjung tinggi usaha yang dimulakan oleh Lim Hong Siang dan MerdekaReview.

MerdekaReview tidak sama dengan media lain. Jika sekiranya MerdekaReview dibiarkan "mati begitu sahaja", penjalinan hubungan antara dunia Bahasa Cina dan Bahasa Melayu yang baharu dibina akan "lenyap" dalam masa singkat. Media lain tidak signifikan dalam usaha ke arah ini.

Saya terbayangkan perasaan kesayuan (melancholy) mengisi segenap pelosok kota, seperti pengalaman dan pengamatan Orhan Pamuk mengenai Istanbul. Kematian MerdekaReview melambangkan kesayuan sebuah kota yang pernah ditenggelami laungan reformasi. Sedih.

Pengundian Pos: DAP desak pemantauan dari parti politik

Posted: 20 May 2011 10:46 PM PDT

MERDEKA REVIEW


Undi Pos untuk anggota tentera dan polis telah diberi penjenamaan semula dan dikenali sebagai pengundian awal dan hanya akan dikendalikan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang pilihan raya umum akan datang. Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar berkata pungutan pengundian awal (advanced voting) akan dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai khas yang dilantik semula dan bukan lagi pegawai atasan di dalam kem askar mahupun ibu pejabat polis.

Sementara itu, penghapusan undi pos yang dikecualikan kepada kesemua anggota keselamatan yang bertugas di luar Negara dan di perbatasan adalah sangat- sangat dialukan berikutan wujud kebimbangan bahawa tiada perbezaan dalam mewujudkan pilihan raya yang bebas, adil dan berkecuali sekiranya parti politik masih tidak mempunyai hak untuk menjadi pemerhatian ketika proses pengundian dijalankan.

DAP menegaskan bahawa pemantauan dari parti politik dan SPR harus dilaksanakan ketika proses pengundian dillakukan bagi memastikan tiada ada manipulasi mahupun penipuan berlaku.

Semua penguatkuasaan undang-undang Malaysia dan anggota angkatan bersenjata mengorbankan hidup mereka setiap hari bagi melindungi Negara dan mereka seharusnya mempunyai hak dan keistimewaan yang sama seperti orang lain. Oleh itu, proses pengundian undi seharusnya dilakukan dengan semudah mungkin.

Dalam amalan sekarang, undi pos dilaksanakan kepada hampir semua angkatan bersenjata termasuk polis sendiri. Pengiraan undi kemudiannya dilakukan secara berasingan di mana kertas undi dimasukkan dalam sampul dan dikempilkan bersama dengan borang yang bertandatangan dan butiran lain. Akibatnya, proses begini jelas tidak telus dan boleh menimbulkan kecurigaan kepada semua undian yang dilakukan samada identiti pengundi boleh dikesan, ini dianggap tidak mengikut perlembagaan.

Kertas cadangan baru untuk menghapuskan undi pos dilihat menjadi pengubat kepada permasalahan di atas. Walau bagaimanapun, persoalan besar ialah bagaimana perkara ini boleh dilakukan? Dari laporan media, pasukan bersenjata dan anggota polis akan membuang undi dua atau tiga hari awal di tempat pengundi sebelum tarikh sebenar pilihan raya. Jika ini benar, timbul pertanyaan adakah proses undi akan dikawal rapi seperti Ejen Tempat Undi (Polling Agent) dibenarkan dan sebagainya?

Akhir sekali, perkara lebih menarik untuk dilihat ialah adakah perubahan tersebut akan dilaksanakan dalam pilihan raya akan datang? Terpulang kepada Pengarah SPR untuk membuktikan sama ada perubahan tersebut ke arah positif dan akan memberi pelindungan untuk mengelakkan berlakunya penipuan termasuk memudahkan pihak- pihak tertentu melakukan penipuan selama proses undi pos atau pengundian awal.

DAP menyokong sepenuhnya proses pengundian yang lebih telus dan berharap SPR akan memastikan bahawa peraturan ini dipatuhi. Selain itu, jika kita dapat menyediakan peluang mengundi secara biasa kepada anggota bersenjata dan polis, kita juga harus memberi peluang yang sama kepada hampir 1 juta rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di luar Negara. Singapura telah berjaya memberikan hak- hak rakyat untuk mengundi di Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan Besar di luar Negara dan India juga telah melakukannya. Jika India yang mempunyai pengundi yang jauh lebih besar mampu melaksanakan program seperti ini, jadi tiada sebab mengapa Malaysia tidak mampu untuk mengembalikan hak mengundi kepada rakyatnya.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar atas) selaku Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan.

Pelancongan & sumpah laknat

Posted: 20 May 2011 10:40 PM PDT

Hishamuddin Rais


Menurut satu sumber, sumpah laknat berkeupayaan untuk membuka satu pasaran yang lebih luas. Untuk membuktikan hujah sesetengah saudagar agama, satu sumpah laknat telah dipentas di Masjid Sentul. Para pelakon untuk bersumpah telah dipilih khas.

Berbanding dengan sumpah laknat tiga tahun dahulu, kali ini sumpah laknat lebih teratur dari segi pengurusan media. Secara terancang media telah membuat laporan berminggu-minggu tanpa putus tentang sumpah laknat. Laporan media ini cukup membantu kerana di hari pementasan, Masjid Sentul yang biasanya kosong tiba-tiba telah penuh sehinggakan tidak ada tempat untuk bersembahyang.

Untuk merancakkan kempen sumpah laknat ini, para pelakon telah diminta untuk memakai baju kalis peluru. Ini adalah taktik sensasi untuk memastikan berita sumpah laknat di Masjid Sentul ini akan mendapat laporan CNN, BBC, PBB, DDT, PIBG, JKK, SITC, MMC, KLM, BOAC, MTD, TT dan CCTV.

Menurut saudagar agama dari sebuah negeri di Utara semenanjung Malaysia, sumpah laknat ini juga boleh difrancaiskan. Malah beberapa buah masjid di Malaysia ini perlu menyediakan kelengkapan khas untuk menjalankan Sumpah Laknat. Masjid Sentul boleh dijadikan masjid contoh khusus untuk membuat sumpah laknat.

Para pelancong dari Eropah yang menghadapi banyak masalah undang-undang atau terbelenggu dengan kes saman menyaman boleh datang ke Malaysia untuk melafazkan sumpah laknat. Saksi, penterjemah dan pemandu pelancong wajib disediakan oleh masjid-masjid. Masjid juga dikawal untuk memastikan hanya yang telah mendapat lesen sahaja dibenarkan untuk menjalankan upacara sumpah laknat.

Malah sesudah sumpah laknat dilafaz, satu watikah akan dikeluarkan untuk mensahihkan sumpah ini. Masjid-masjid yang menjalankan sumpah laknat ini wajib terus dikawal untuk memastikan perniagaan sumpah laknat ini terjamin kualitinya. Dengan kualiti yang terjamin bukan sahaja pelancong akan berpusu-pusu masuk ke Malaysia, malah jabatan berkaitan boleh membuka cawangan sumpah laknat di luar negara.

Pasaran sampingan

Mengikut jurucakap jabatan itu yang tidak mahu namanya disebut, perniagaan sumpah laknat ini berpotensi untuk membuka satu pasaran yang luas.

Di Malaysia perniagaan sumpah laknat ini pasti akan dilesenkan hanya kepada Melayu-Bumiputera sahaja. Tidak ada lesen akan dikeluarkan kepada non-Bumiputera. Ini untuk memastikan industri sumpah laknat ini tidak akan jatuh ke tangan bangsa lain.

Sumpah laknat ini juga akan membuka pasaran sampingan baru. Pelajar Bumiputera yang kini terlatih di Timur Tengah berkemungkinan untuk menjawat kerja-kerja yang bersangkutan dengan sumpah laknat. Malah universiti tempatan boleh membuka kursus sumpah laknat sebagai mata pelajaran wajib.

Hingga ke saat ini, Kementerian Pelancongan masih lagi belum membuat apa-apa keputusan. Kementerian sedang dalam dilemma. Tidak pasti cadangan dan kertas kerja mana yang akan menjadi asas kempen pelancongn tahun 2011 ini.

Cadangan dari Profesor Sintok juga memiliki merit untuk diimplementasi. Dalam masa yang sama cadangan dari beberapa jabatan juga amat menarik. Sokongan saudagar agama dari sebuah negeri di Utara semenanjung terbukti telah membantu jabatan itu.

Ketika ini pelancongan adalah mata pencarian utama untuk Malaysia. Ini kerana harga getah dan kelapa sawit telah jatuh. Pendapatan dari ekspot bahan bakar minyak pula telah semakin berkurangan. Semua ini menjadikan perlancongan sebagai sumber utama negara Malaysia.

Simbol pelancongan

Tidak dapat tidak, ekonomi Malaysia hari ini sedang berhadapan dengan dua pilihan, satu daripadanya sumpah laknat. Tersalah pilih akan membawa akibat yang maha dahsyat. Tersalah pilih akan membawa porak-peranda yang akan memerosotkan ekonomi negara.

Sebelum ini, terdapat jabatan yang bermati-matian mengajukan sumpah laknat sebagai kempen pelancongan untuk tahun 2011. Cadangan ini kelihatan telah mendapat sokongan dari ramai peniaga dan saudagar-saudagar agama. Paling jelas sokongan datang dari beberapa orang saudagar agama dari sebuah negeri di Utara.

Para saudagar ini melihat dengan wujudnya sumpah laknat ini, maka saham dan peranan para saudagar agama ini akan melonjak. Malah besar kemungkinan pandangan dan pendapat para saudagar akan terus dilanggani oleh Kementerian Prelancongan.

Bayangkan selama ini, terutama anak muda, langsung 'tidak ambil pot' terhadap para saudagar ini. Berbuih-buih mulut para saudagar menjaja ke hulu ke hilir tetapi tidak ada sesiapa yang ambil pot. Apabila Kementerian Perlancongan membukakan tender dan mencari cadangan untuk kempen tahun 2011, maka para saudagar agama melihat ini adalah peluang terbaik. Ini bukan lagi durian runtuh tetapi ini peluang untuk membuka jalan mendapat kontrak. Silap-silap mungkin para saudagar agama ini akan diberi slot di televisyen untuk membuat program.

Cadangan ini telah tersebar di media. Berita ini telah menjadikan Profesor Sintok mengelabah. Para profesor melihat saudagar ini telah potong jalan. Mereka merasakan jika cadangan ini diterima oleh Kementerian Perlancongan maka 'soro' para profesor akan tergelincir. Masa depan Profesor Sintok ini semakin gelap. Mereka tidak lagi akan dipanggil untuk berseminar. Mereka mungkin akan menjadi tidak relevan.

Ada satu pekara yang paling menakutkan para profesor ini apabila tulisan ilmiah mereka mungkin tidak lagi diterima oleh akhbar arus perdana. Jika ini berlaku maka runtuhlah harapan dan masa depan mereka. Jika akbar tidak menerima tulisan, di manakah peluang untuk profesor ini menulis. Tidak ada jurnal yang sanggup menerbitkan tulisan para profesor ini. Bayangkan, jika editor hiburan pun menolak tulisan profesor ini bermakna dunia intelektual mereka akan gelap.

Cadangan ini hampir-hampir diterima oleh kabinet. Tetapi jabatan berkaitan tadi dengan licik dan bijak telah menggunakan saudagar agama dari Utara semenanjung untuk menghidupkan cadangan agar sumpah laknat yang sepatutnya dijadikan simbol pelancongan tahun ini.

Tiada ulasan: